Showing posts with label Rasuah. Show all posts
Showing posts with label Rasuah. Show all posts

Saturday, October 5, 2013

Ayam masak tiga rasa

 

Dalam seminggu dua ini, kes berkaitan keracunan makanan melanda utara tanah air sehingga menyebabkan kematian kepada mangsa yang terkena. Disebabkan berlaku kematian akibat keracunan makanan, graviti berita tersebut bertambah, kerana melibatkan nyawa manusia. Hendak dijadikan cerita pula, kejadian-kejadian yang berlaku itu dikaitkan pula dengan hidangan ayam yang disediakan kepada mangsa yang memakannya.

Daripada sudut mikrobiologinya pula, bakteria yang biasanya dikaitkan dengan keracunan makanan untuk masakan ayam ialah Samonella. Bakteria Gram-negatif berbentuk rod ini biasanya akan memasuki sistem penghadaman manusia melalui makanan dan mereka akan menjangkiti saluran pemakanan yang dipanggil ‘usus.’ Di dalam usus ini pula, mereka terperangkap di dalam bendalir yang dikenali sebagai ‘mukos’ dan berkoloni dengan cepatnya sebagaimana kebanyakan organisma unisel yang lain. Keadaan inilah yang bertanggungjawab menyebabkan gangguan dalam usus yang mengakibatkan usus seolah-olah ‘berpintal,’ menyebabkan ‘sakit perut.’ Selain itu, mangsa akan mengalami cirit-birit dan muntah-muntah kesan serangan keracunan tersebut. Sebagaimana biasa, apabila cirit-birit berlaku, si mangsa akan kehilangan banyak air dan mineral akibat apa yang masuk banyak dikeluarkan semula melalui tinja. Mangsa akan menjadi lemah, sementelah ditambah pula dengan kelemahan sistem pertahanan badan dan sebarang kompilasi penyakit yang lain sama ada sebelum terkena jangkitan (contohnya HIV/AIDS) ataupun akibat daripada terkena jangkitan (kejutan dan kegagalan organ seperti jantung dan ginjal) memungkinkan kematian mangsa.

 

Contoh gambar SEM Salmonella. Kredit gambar:  http://www.foodpoisonjournal.com/foodborne-illness-outbreaks/tricities-salmonella-outbreak-or-isolated-case/#.Uk557UZXjIV

 

 

Kalau hendak diikutkan, bukanlah kali pertama kejadian keracunan makanan sebegini diwar-warkan dalam media. Boleh dikatakan acap kali juga laporan tentang keracunan makanan dijadikan bahan berita. Jadi, mengapakah kejadian yang sama berulang lagi seolah-olah tiada sesiapa yang mengambil pengajaran daripadanya?

Salah satu sebab yang mungkin boleh diutarakan ialah kegagalan penguatkuasaan terutamanya dalam rangka penjagaan kualiti kebersihan dan keselamatan dalam pengurusan makanan. Kita pun faham, apabila sebuah majlis terbesar keluarga seperti kenduri kahwin, penganjurnya (keluarga yang kahwin) mahu memastikan bahawa tiada sebarang kecacatan dalam majlis yang telah dirancang barangkali berbulan-bulan. Maka sebarang kekurangan dalam bekalan bahan mentah yang disediakan boleh menyebabkan kekecohan akan berlaku sekali gus mencacatkan majlis. Takkanlah ada sanak-saudara yang datang dari jauh terpaksa hampa dengan alasan lauk dah habis? Akan tetapi, penganjur juga perlu memahami bahawa kesan kepada pemakanan yang tercemar adalah buruk dan boleh jadi, membawa maut!.

Kes empat kematian orang jemputan menunjukkan kes keracunan makanan bukanlah satu kes yang boleh dipandang sebelah mata. Kadang-kala orang akan berseloroh mengenainya sambil mengatakan bahawa yang terkena itu mempunyai ‘perut yang manja,’ ‘perut tak cukup power’ dan seumpamanya. Namun, apabila kejadian menyebabkan nyawa, barulah kes ini hendak diambil berat. Insiden berlakunya kejadian keracunan makanan biasanya melibatkan mangsa yang ramai, justeru akan menambahkan lagi tekanan kepada pihak hospital untuk menerima pesakit. Sudahlah pesakit yang sedia ada pun masih tidak menang tangan untuk dilayan, inikan pula penambahan mendadak pesakit-pesakit baru yang keracunan makanan.

Dari hal itu, kesemua orang yang terlibat hendaklah mengambil pengajaran daripada sebarang insiden yang berlaku yang melibatkan keracunan makanan. Penyedia makanan kini perlu lebih tulus dan telus dalam menyediakan makanan dan mendahului kepentingan pelanggan yang memakannya melebihi majlis yang berlangsung. Selain daripada itu, pembekal ayam juga perlulah menjalankan tanggungjawab sebagai peniaga yang berhemah ketika membekalkan ayam untuk kegunaan yang banyak. Janganlah disebabkan keuntungan, ada pihak dalam rantaian pembekal-pengguna yang memandang ringan soal keselamatan makanan sehingga mengakibatkan kesusahan kepada pihak yang lain. Disinilah sebenarnya peranan penguatkuasaan undang-undang berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan kerana secara spesifik, pihak berkuasa boleh bertindak kepada setiap pihak yang terlibat dalam rantaian tersebut.

Namun, janganlah pula kita hendak harapkan semata-mata penguatkuasaan daripada pihak Jabatan Kesihatan kerana perkara tersebut hanya akan merumitkan lagi keadaan untuk pihak berkepentingan. Mahukah untuk kesemua majlis perkahwinan didaftarkan dahulu kepada pihak Jabatan Kesihatan? Mahukah kesemua tukang masak menjalani kursus keselamatan masakan walaupun hanya masak mungkin satu-dua hidangan besar sahaja? Mahukah kesemua kerja kahwin dan kenduri-kendara perlu dihadiri oleh wakil Jabatan Kesihatan untuk memastikan aspek keselamatan makanan?

Kita pun ada membaca berita sebelum ini bahawa ada pegawai Jabatan Kesihatan yang tak boleh diharapan. Dia yang kita harapkan untuk penguatkuasaan undang-undang, dia pula yang bertindak mencari mangsa duit kopi dengan menyeleweng, salah guna kuasa dan rasuah. Jadi, kepada diri sendirilah untuk menjaga bab-bab makanan ini, kerana pada akhirnya, yang kenyang pun diri sendiri, yang sakit pun diri sendiri.

Tak kira ayam masak jenis apa pun, apabila sudah tercemar, risiko untuk keracunan tetap ada!

Monday, September 16, 2013

Dengar tidak semestinya mencukupi

 

Apabila warta berita pada hari ini memberikan tajuk utama 'Saya Dengar,' sambil meletakkan gambar PM Najib sedang mengangkat tangannya persis tatkala Tunku Abdul Rahman melaungkan ungkapan ‘Merdeka !,’ penulis tertanya-tanya, adakah dengar sahaja sudah mencukupi? Dan mengenangkan sedutan berita semalam yang memaparkan ucapan beliau dalam keadaan sistem suara yang cukup-cukup menyayat hati, dengan suara dengungan lantaran masalah pembesar suara dan speaker yang boleh dikatakan hampir setiap ketika beliau berucap, penulis sinis mengatakan, 'aku pun tak larat nak dengar kalau betul kena dengar berjam-jam dengan bunyi dengung macam itu.' Beginikah sistem suara yang dipersembahkan untuk tetamu kehormat yang begitu berprofil tinggi dalam satu majis yang begitu penting dalam memperihakan hala tuju ekonomi negara?

Isu agenda ekonomi bumiputera bukanlah satu isu yang baru, malah sangat dekat dengan perbincangan berkaitan dasar-dasar yang penting dalam negara. Adakalanya, hal ini diangkat secara berlebihan sehingga tidak ada yang boleh melebihinya, dan ada ketikanya terlalu diperlekehkan umpama agenda itu tidak pernah wujud. Oleh hal yang demikian, sejauh mana kerajaan mendengar dan mengambil tindakan daripada apa yang didengarinya ialah asas kepada kepada sebarang tindakan untuk memperkasalan ekonomi bumiputera.

Pada kebiasaannya, apa yang termaktub dalam perlembagaan menjadi asas kepada tuntutan kepada keistimewaan diberikan kepada bumiputera. Selain itu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) menjadi acuan penting yang digunakan acap kali kerajaan merangka sesuatu dasar dengan harapan jurang ekonomi antara kaum dapat dikecilan. Dasar tersebut mengadaptasi kaedah pemberian handicap dalam permainan golf bagi membantu peserta amateur bersaing dengan pemain profesional. Bagaimanapun, seandainya konsep golf ini dijadikan ukuran, seharusnya matlamat si pemain itu mengecilkan bilangan handicap yang diterima supaya pemain tadi boleh bersaing ke peringkat yang lebih tinggi sebagai pemain golf profesional. Tiadalah peningkatan kepada pemain itu seandainya pemain itu memang bermain golf sepenuh masa namun masih kekal selama-lamanya dalam keadaan mendapat handicap.

Oleh sebab itu, sudah ada dikalangan rakyat termasuklah orang bumiputera sendiri yang mempertikaikan sampai bilakah pengaruh DEB akan kekal dalam dasar-dasar negara. Kalaulah dinisbahkan pendekatan DEB dengan kehidupan seorang insan, usianya mungkin semakin hampir dengan 40 tahun, satu usia yang seharusnya menjadikannya sudah matang. Akan tetapi, sekiranya sampai 40 tahun pun pendekatan yang sama diteruskan dan gagal memberikan perubahan, perkara ini pastilah akan menimbulkan persoalan bagaimana mungkin satu perkara yang sama dan diulang-ulang dengan harapan mendapatkan hasil yang berbeza.

Bagaimanapun, apabila dilihat daripada sudut yang lain pula, apa yang diberikan kepada bumiputera pada masa kini bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan. Malah, memang terdapat peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan tahap tertentu kepada mereka yang dipayungi oleh Raja-raja Melayu. Oleh hal yang demikian, dikalangan mereka yang begitu mendukung hak istimewa orang Melayu pasti akan berhujah dengan menggunakan peruntukan Perlembagaan Malaysia. Mereka biasanya dikaitkan dengan parti UMNO mahupun badan bukan kerajaan seperti Pesaka. Selain itu, kumpulan-kumpulan pendesak yang berorientasikan Melayu.

Pada kebiasannya, ketiadaan sebuah kementerian yang mempunyai fungsi khas untuk menjaga keperluan perniagaan dan ekonomi orang Melayu sebagaimana Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi tempoh hari. Malah, sehingga sekarang pun suara-suara kekesalan tentang ketiadaan kementerian seperti itu masih kedengaran menyebabkan timbulnya kegusaran tentang hala tuju dasar ekonomi di bawah pimpinan PM Najib. Sebab itulah kegusaran ini disuarakan sambil mengharapkan PM Najib mendengar kegusaran golongan tersebut dan mengambil tindakan. Tambahan pula, keputusan PRU tempoh hari memberikan isyarat yang jelas betapa bukan-bumiputera dan kebanyakkan bumiputera bandar menolak sama sekali kepimpinan negara yang ditunjangi oleh kepimpinan PM Najib menyebabkan modal untuk tuntutan sebegitu dilontarkan kepadanya.

Tuntutan sebegini menjadi cabaran besar kepada PM Najib, sementelah pula golongan yang berlawanan menuntut kesamarataan hak antara kesemua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. PM Najib mengisyaratkan agenda memperkasakan ekonomi bumiputera tidak pernah luntur dalam pembinaan negara bangsa. Akan tetapi, kaedah yang betul perlu dikenalpasti agar sebarang lompang rasuah dan salah guna kuasa boleh dielakkan sama sekali. Tidak dapat dinafikan terdapat kekurangan dan kecacatan dalam implementasi dasar berkait agenda ekonomi bumiputera, namun kekurangan dan kecacatan terbabit sama sekali menidakkan peranan besarnya dalam memperkasakan ekonomi bumiputera.

Begitu ramai bumiputera yang berjaya dalam bidang masing-masing, meningkatkan keilmuan masing-masing dan menikmati manfaatnya, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka sehingga mereka beroleh kesenangan dan hidup. Hal ini sudah tentulah menjadikan kehidupan mereka lebih baik berbanding ibu bapa mereka. Tidak ada dikalangan bumiputera yang berjaya yang mampu menidakkan sumbangan dasar berkait bumiputera walaupun mereka kini seorang bumiputera yang menentang dasar tersebut. Soal kecacatan dan ketirisan perlakasanaan tidak boleh dijadikan sebagai alasan kepada pembatalan terus sesebuah dasar yang memberikan pengaruh cukup besar dalam kelangsungan ekonomi bumiputera.

Syahadan, apa yang diperlukan ialah untuk menambahbaikkan dasar ekonomi membabitkan bumiputera agar dasar tersebut tidak lapuk dengan persepsi negatif yang menyelubunginya oleh penduduk bumiputera. Malah, alangkah baiknya dasar-dasar sebegini dirangkumkaan dengan pembabitan bukan bumiputera sekali. Hal ini sekali gus akan menjadikan dasar ini menjadi komprehensif dengan pembabitan pelbagai kaum dalam pembangunan negara. Kita bercakap tentang penyatuan antara kaum berbilang bangsa dalam rangka pembentukan negara bangsa, justeru adakah usaha sebegitu cukup sekadar diajar di sekolah-sekolah dan diperdebatkan di institusi-institusi pengajian tinggi?

Kinilah masanya untuk usaha sebegitu dipercikkan kerana kita tidak selamanya boleh mengharapkan tongkat sakti untuk menjadi pendinding kepada hala tuju ekonomi bumiputera, apatah lagi, kini sudah ada bumiputera yang pandang serong agenda bumiputera sendiri. Kita hendaklah berpijak di bumi yang nyata bahawa tidaklah selamanya negara boleh memberikan tongkat sakti tersebut kepada bumiputera kerana kita bukannya di alam Harry Potter yang sentiasa bergantung kepadanya untuk hidup.

Tuesday, December 6, 2011

Tak boleh selesaikan? Apa susah, salahkan jela yang terdahulu!

 

Berita Harian hari ini (6/12/11) mendedahkan satu berita yang amat penulis takuti akan berlaku kelak dengan tajuk 'Guan Eng salahkan BN isu parkir Bukit Bendera.' Bukanlah kerana Guan Eng merupakan seorang pemimpin DAP, malah kalaulah 'Khalifah Agung Umar Abdul Aziz' Lim seorang pemimpin BN pun akan penulis bangkitkan perkara yang sama. Menyalahkan yang sebelum ini akan segala perkara yang tidak dapat mereka selesaikan sedangkan ketika pilihan raya, mereka mendakwa merekalah jaguh dalam segala hal dan jauh lebih baik daripada parti yang satu lagi.

Soalnya, mengapakah salahkan orang lain atas ketidakupayaan diri sendiri? Kelakuan menyalahkan orang lain itu menampakkan betapa mudahnya mereka memberi alasan ke atas ketidakupayaan mereka tatkala mereka memerintah. Misalnya kalau negara mengalami kerugian, apa susah? Salahkan sahaja BN kerana kegagalan tersebut sebelum ini. BN korup. BN tidak cekap. Jadi, kalau negara ini bankrup pun, senang sahaja alasannya. Sebab sebelum ini, BN punya kerja!

Trend sebegini dapat dilihat dalam segala ketakupayaan pemimpin menyelesaikan masalah mereka sedangkan semasa pilihan raya, ungkapan seperti 'percaya kepada perubahan' atau 'bertindak sekarang' memberikan persepsi betapa mereka kononnya lebih baik daripada yang satu lagi. Namun, apabila sudah memegang tampuk, lain pula ucapannya.

Ambil contoh, Obama. Sebelum dipilih menjadi Presiden US, begitu berkarisma sekali beliau ini menyampaikan, berhujah, berdebat untuk 'mengubah dunia.' Polisi akan diperbaharui. Ekonomi akan direformasikan kepada yang lebih baik. Askar US di Iraq akan kembali sebaik memegang jawatan. Begitulah hebatnya beliau berkempen dan hasilnya, beliau menang bergaya. Dua tahun selepas itu; US perlu tingkatkan lagi siling hutangnya. Askar US barulah hendak pulang ke tanah air walaupun dipujuk rayu oleh pemerintah Iraq sendiri supaya tinggal lebih lama kerana masih huru hara. Pengangguran meningkat. Dan akhirnya, terkeluar juga daripada mulutnya betapa beliau mewarisi keadaan yang begitu teruk sedangkan satu ketika dahulu, beliaulah 'permata negara.' Ucapan retoriknya kini sudah semakin kurang kedengaran dan mungkin hanya akan muncul ketika mempertahankan jawatannya sahaja. Secara asasnya, berdasarkan pengaruh di Kongres, beliau sudah ketinggalan berbanding sesiapa sahaja yang bakal ditandinginya daripada Republikan kerana pengaruh mereka melebihi beliau.

Oleh yang demikian, kejayaan beliau memenangi jawatan Presiden kini sudah semakin dilupakan dek tanggungan dan kebertanggungjawaban beliau yang masih tidak selesai. Populariti beliau semakin terancam apabila sudah ada yang mula mempertikaikan janji manis yang tidak tertunai lagi. Sudah semestinya beliau terpaksa bekerja berganda dengan keadaan sedia ada bagi mengekalkan jawatannya untuk sepenggal lagi.

Keadaan sebegini perlu diinsafi oleh pihak di Malaysia sama ada pihak kerajaan apatah lagi pihak pembangkang. Kalau kita sudah sampai menyalahkan orang lain setelah bertahun-tahun memerintah, dan banyak keputusan eksekutif telah dibuat oleh kita sendiri, adakah kita hendak salahkan orang lain atas kegagalan kita. Kalau tak mahu teruskan, pancung awal-awal. Tetapi kalau sudah janji muluk tetapi tidak dapat diselesaikan, salah orang lain juga, bagaimana hendak dikatakan pemimpin berkesan dan cekap?

Alangkah mudahnya kita menjadi pemimpin yang diamanahkan oleh masyarakat kalau begitulah caranya! Kerja tak setel, seterulah sebabnya! Pak Man jual buah pun boleh jadi pemimpin negara!

Wednesday, October 26, 2011

Terhangat di pasaran....? Hangat sangatkah?



  • Laporan Audit Negara bagi tahun 2010 telah dikeluarkan. Aneh juga Jabatan Audit Negara memerlukan sehingga setahun untuk membentangkan laporan tahun lepas.
  • Macam dah basi ja...
  • Mungkin sebab hampir setahun juga yang diperlukan oleh jabatan ini untuk menghimpun kesemua laporan setiap jabatan atau agensi terbabit bagi membuat analisis dan laporan keseluruhan di peringkat kebangsaan.
  • Laporan ini menilai pencapaian jabatan atau agensi kerajaan terutamanya membabitkan perbelanjaan jabatan atau agensi tersebut.
  • Dalam bahasa yang mudah, laporan inilah sebenarnya laporan perbelanjaan di peringkat sektor kerajaan; duit yang telah dikeluarkan oleh kerajaan untuk perbelanjaannya mengurus tadbir dan menyediakan khidmat memudah cara kepada rakyat.
  • Andai diputar pula perspektif laporan itu kepada rakyat, laporan itu merupakan perbelanjaan wang rakyat melalui cukai, sumber kewangan lain dan pinjaman yang dibuat kerajaan - dan disinilah kaitannya dengan 'rakyat yang membayar cukai kerajaan.' (sangat-sangat gemar dibahasa Inggeriskan sebagai we, as the government tax payers).
  • Maka memang wajar sangatlah andai rakyat hendakkan sangat laporan ini kerana secara tidak langsung, rakyat akan tahu  kemanakah perginya duit yang mereka bayar melalui cukai.
  • Laporan sepenting ini barangkali perlukan lebih perhatian yang lebih agar rakyat faham mengenai perbelanjaan kerajaan. Maklumlah, duit rakyatlah antara sumber yang dileburkan untuk membayar gaji, membeli peralatan itu dan ini, melaksanakan projek itu dan ini, menawarkan jawatan itu dan ini atau dijadikan modal skim pinjaman itu dan ini.
  • Namun, liputan tentang laporan ini tidaklah sehangat yang disangka. Hal ini benar bagi akhbar Bahasa Melayu terbitan NSTP.
  • Muka hadapan berita masih lagi cerita Gaddafi (tajuk spesifiknya: Wasiat Gaddafi). Jangan haraplah Harian Metro hendak buat liputan tentang Audit Negara.
  • Kita faham mungkin cerita tentang Gaddafi lebih mudah dihadam oleh pembaca. Imej sama berulang-ulang kali yang menunjukkan saat kematiannya, (dengan muka dan badan penuh berdarah) atau imej rakyat terutamanya pemberontak mengambil gambar dengan mayatnya merupakan sesuatu yang lebih mudah dijadikan bahan cerita atau topik perbincangan dua tiga hari ini; lantaran itu, pengarang meletakkannya sebagai muka depan akhbar.
  • Kita faham. Seolah-olah ada semacam maksud tersirat kepada pemimpin kita yang anda pun mungkin jadi sepertinya?!?
  • Itu hak pengarang akhbar hendak letak cerita apa di muka mana.
  • Akan tetapi, alangkah eloknya liputan mengenai 'perbelanjaan yang telah kerajaan buat sepanjang 2010' itu mendapat tempat lebih utama lagi kerana rakyat berhak untuk tahu, mengambil tahu dan diberitahu supaya mengambil tahu tentang kecekapan dan keberkesanan kerajaan menggunakan sumber terutamanya sumber kewangan yang datang daripada rakyat sendiri.
  • Barulah rakyat faham ke mana perginya belanja, dan sekurang-kurangnya bagi yang lebih kritikal dan analitikal, mereka boleh menilai dan memberikan pandangan terhadap audit tersebut.
  • Bentangkanlah dengan piktograf, graf pai yang mudah dihadam oleh orang kebanyakan, dengan itu mereka bukan sahaja mendapat maklumat, malah menambahkan setidak-tidaknya pengetahuan terhadap sumber dan perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan.
  • Itu satu isu tentang pasaran - iaitu pasaran cerita dan berita. Ingat, berita hari ini ialah cerita semalam!
  • Satu lagi ialah berkaitan isi laporan itu sendiri.
  • Antaranya adalah berkaitan bintang-bintang yang diperoleh jabatan atau agensi, projek-projek perumahan yang tidak dilaksana terutamanya 'Kerajaan Kelantan,' dan lain-lain.
  • Selain itu Berita Harian turut memaparkan tajuk (yang lebih kecil berbanding tajuk besar muka tersebut) 'Belian alatan 2805 peratus yang lebih harga pasaran.'
  • Rasanya isu jabatan sekian-sekian beli dengan harga sekian-sekian yang lagi mahal daripada harga pasaran yang sekian-sekian memang sentiasa menjadi topik laporan audit negara.
  • Laporan sedemikian selalu sangat dikeluarkan namun penjelasan, penyelesaian, pendakwaan (jika ada) tidak pula diberikan liputan yang sama.
  • Soalnya, bagaimanakah boleh sehingga 2000 peratus lebih tinggi daripada pasaran? Bukan calang-calang harga yang berada di atas pasaran. 2000 persen!?!
  • Mengapakah setiap tahun perkara yang sama didedahkan, misalnya harga komputer riba dibeli pada harga yang memang jauh daripada munasabah sehingga mencecah lebih RM 11 000 seunit; adakah laptop itu perisiannya canggih sangat ka mungkin boleh mencetak, menablet, membuat semua dalam satu?
  • Itulah satu contoh terbaik yang ramai orang boleh kaitkan, yang senang orang kebanyakan boleh hubungkan. Kalau peralatan lain yang aneh-aneh susah pula orang nak cerita.
  • Justeru pihak yang berkaitan perlulah mengemukakan sebab harga sedemikian jauh tersisih daripada harga pasaran; hatta jenama yang mahal sekali pun!
  • Sedangkan wang yang digunakan untuk pembeliannya tidak dapat tidak berasal daripada cukai dibayar oleh rakyat.
  • Rakyat pun tidak ada yang sampai sanggup membeli komputer riba dengan harga sedahsyat demikian; maka apakah istimewanya komputer tersebut sampai sebegitu harganya?
  • Oleh yang demikian, soal ketelusan jabatan kerajaan perlulah dijaga kerana laporan audit demikian merupakan laporan rasmi negara.
  • Penulis tidak mahulah mengulas mengenai metodologi jabatan audit membuat audit sebab tiadalah penulis akan pengetahuan mengenainya.
  • Akan tetapi, tidak mungkinlah jabatan yang demikian asyik membuat khilaf yang sama, sedangkan laporan pembelian yang melebihi harga pasaran merupakan isu yang saban tahun dilaporkan.
  • Jadi, kini kerajaan perlu mengambil serius isu tersebut kerana hal yang demikian adalah cerminan ketelusan perbelanjaan kerajaan secara keseluruhannya.
  • Apa lagi andai dimasukkan sekali tuduhan-tuduhan parti pembangkang mengenai 'ketirisan' kerajaan dalam perbelanjaan dan yang kadang-kala kerajaan sendiri tidak mampu menjawabnya dengan lancar dan jelas.
  • Dan apa yang lebih-lebih ialah langkah kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut agar persepsi rakyat terhadap kerajaan bertambah baik.
  • Kemudian laporan-laporan sebegini tidak lagi berlaku lagi; bukannya tidak dilaporkan kerana tidak mahu diketahui umum melainkan sememangnya tidak wujud masalah beli lebih mahal daripada harga pasaran!
  • Kerana yang penting ialah rakyat tahu yang sebarang permasalahan boleh diatasi seandainya kerajaan benar-benar ikhlas berkhidmat untuk rakyat.
  • Laksana cogan kata yang diwar-warkan oleh PM Najib - pencapaian diutamakan!