Showing posts with label Sunni-Syiah. Show all posts
Showing posts with label Sunni-Syiah. Show all posts

Tuesday, September 10, 2013

Syiah: Kedudukannya di sisi kerajaan sunni Malaysia

  • Syiah di bumi Malaysia bukanlah perkara yang baru. Malah, kehadiran pengaruh Syiah dikatakan sudah mendahului pengaruh Sunni dalam konteks penyebaran Islam di Kepulauan Melayu sejak dahulu lagi. Menurut Mahayuddin Yahya (2001, 165), pengaruh Syiah sudah mula bertapak di Kepulauan Melayu melalui Kerajaan Perlak dan Kerajaan Pasai-Samudera. Menurutnya lagi, fakta ini turut diperkuatkan dengan penemuan manuskrip ajaran Syiah seperti Bahru Lahut yang lebih tua daripada Kitab Aqaid Al-Nasafi yang dikatakan sebagai kitab tasauf berorientasikan Sunni (Mahayuddin Yahya, 2001, 43-54). Dalam sepucuk surat memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, yang tidak dapat penulis disahkan kebenarannya, pengarang surat menegaskan bahawa sememangnya pengaruh Syiah terlebih dahulu tiba di Kepuauan Melayu; malah turut menyatakan dengan terang bahawa amalan-amalan keagamaan tertentu dalam masyarakat Melayu kini sebenarnya diadaptasi   daripada amalan Syiah seperti membaca tahlil arwah, barzanji, maulid dan memakai songkok (Boleh carian Google tentang memorandum ini pada tahun 2011).

 

  • Akan tetapi, dalam konteks kerajaan dan pentadbiran agama negara masa kini, secara jelas telah ditetapkan bahawa umat Islam di Malaysia mengamalkan paradigma Ahli Sunnah wal Jamaah dengan majoritinya beramal dengan Mazhab Syafie. Perkara ini telah dikanunkan oleh Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996 dan hampir keseluruhan enakmen syariah negeri di Malaysia.  Justeru, dengan keadaan yang sudah menjadi berfatwa-fatwa, sudah tentulah soal Syiah bukanlah satu soal yang boleh dipandang ringan oleh masyarakat Islam Malaysia.

 

  • Syiah ialah manifestasi ketidakpuasan pengikut-pengikut Sayidina Ali r.a. atas kematian beliau dan sentimen itu bertambah lagi dengan pembunuhan anak beliau, Hussein di Karbala. Kebanyakkan sumber Sunni akan mengaitkan kewujudan Syiah didalangi oleh Abdullah bin Saba,’ seorang Yahudi yang masuk Islam, namun mempunyai rencana yang jahat untuk memecah-belahkan umat Islam. Sedangkan bagi pihak Syiah, mereka menafikan sama sekali kewujudan watak Abdullah bin Saba’ kerana berpendapat watak tersebut sekadar ciptaan pihak-pihak tertentu untuk memburuk-burukkan imej mereka dan mengaitkan fahaman mereka dengan Yahudi. Gerakan Syiah pada awalnya lebih berbentuk sokongan dan pembelaan terhadap Sayidina Ali dan Ahli Bait, namun berubah kepada gerakan politik dan ideologi selepas kematian Sayidina Ali.

 

  • Dalam konteks Malaysia, ajaran Syiah sering diperihalkan sebagai satu ajaran yang sesat dan membahayakan akidah umat Islam. Bagaimanapun, sebagaimana seputar isu-isu yang lain, isu Syiah sekadar menyinggah di laman-laman media cetak ketika panas dan akan menjadi suam kuku menjelang masa. Putaran sebegini akan berterusan tanpa akhir, daripada satu generasi pemimpin ke generasi pemimpin yang lain. Seolah-olah kesan kepada isu sebegini sekadar dibincangkan dalam persidangan atau seminar sahaja, sedangkan penganutnya semakin bertambah lantaran kekurangan tindakan yang konkrit bagi menyelesaikan masalah tersebut.

 

  • Tidaklah dinafikan bahawa kerajaan telah berbuat sesuatu, namun adakah tindakan itu sudah mencukupi? Mengapakan mereka tidak bertindak sebagaimana yang dikenakan kepada kumpulan Al-Arqam yang ditahan beramai-ramai dan diberikan program pemulihan akidah agar mereka kembali kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah? Mungkinkah Syiah merupakan masalah yang lebih global sehingga melibatkan pengaruh hubungan diplomatik dengan negara-negara tertentu sehingga pihak berkuasa tidak dapat bertindak sebagaimana tindakan mereka kepada ajaran-ajaran sesat yang lain? Persoalan sebegini bermain di minda-minda rakyat golongan awam kerana mereka juga inginkan agar ada kata putus dan tindakan yang tampak (tangible) dalam usaha membendung fahaman yang mendominasi mazhab akidah di Iran dan Iraq ini.

 

  • Malah, dikatakan bahawa pemimpin parti politik tertentu menyokong gerakan Syiah di Malaysia sambil membenarkan ahlinya dikalangan gerakan tersebut. Hal ini sudah tentulah akan menimbulkan persoalan, Islam jenis apakah yang diperjuangkan oleh parti politik itu? Kalau Syiah pun diberikan ruang, apa kurangnya Ayah Pin, Al-Arqam dan ajaran-ajaran sesat yang lain? Al-maklumlah, mereka turut mengakui bahawa mereka memperjuangkan kalimah Tuhan Yang Maha Esa dan menyeru manusia agar selamat dunia- akhirat! Pada masa yang sama juga, terdapat pula pertengkaran ‘manja’ sesama ulama kelompok Sunni sendiri yang promazhab dengan yang Salafi/Wahabi dalam mendepani isu Syiah sambil berlaku tuduh- menuduh antara satu sama lain. Hal sebegini sudah pasti akan  mengelirukan sama sekali orang awam yang kemungkinan besar akan menyebabkan mereka berasa bosan dan enggan lagi sama sekali untuk ambil tahu sebarang permasalahan dan isu akidah yang melanda umat Islam Malaysia.

 

  • Cukup-cukuplah kita bercerita tentang politik kerana isu akidah sebegini lebih berat berbanding politik. Sebab kadang-kala orang politik sanggup membuat apa sahaja untuk mencapai apa yang dihajatkan. Kini, sudah tiba masanya hala tuju dan perhatian ulama-ulama dan cendekiawan kita menghala ke arah pembentukan kesatuan ummah dalam menghadapi kebejatan akidah di kalangan umat Islam dalam negara ini. Dan apabila menyebut tentang kenegaraan dalam konteks Syiah, perkara ini bukanlah membawa konotasi nasionalisme, bukan pula membawa konotasi patriotisme. Sebaliknya, kita sedang berhadapan dengan permasalahan akidah yang menuntut tok-tok guru kita berganding bahu menyelesaikannya bersama-sama.
    Moga-moga tok-tok guru kita memahami perkara tersebut hendak-Nya.

 

Rujukan

Mahayudin Haji Yahya (2001) Islam di Alam Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Thursday, November 24, 2011

Syiah: Satu tinjauan awal

 

Soal penularan kegiatan syiah di dalam masyarakat Islam Malaysia telah bertambah dari semasa ke semasa.

Baru-baru ini, sudah kedengaran yang kumpulan cenderung Syiah telah membuat permohonan di mahkamah bagi mencabar keabsahan serbuan jabatan agama ke markaz kegiatan mereka[1].

Oleh yang demikian, sudah semestinya hal yang demikian mengundang persoalan tentang semenjak bilakah wujudnya kemasukan aliran akidah tersebut sedangkan umat Islam di Malaysia secara struktur dan amalannya adalah berpegang kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie[2].

Kehadiran aliran Syiah di Malaysia tidak boleh sama sekali disamakan dengan kewujudan mazhab akidah tersebut yang mendominasi Iran dan Iraq, dan menjadi mazhab akidah yang minoriti namun bererti di Lubnan dan negara-negara Asia Tengah.

Secara ‘konvensyennya’ aliran pemikiran akidah yang datang ke Tanah Melayu ialah Ahlus Sunnah Wal Jamaah[3].

Pengiktirafan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi boleh dilihat dengan kesemua negeri di Malaysia meletakkan sama ada mazhab Syafie atau Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi bagi umat Islam di peringkat negeri[4].

Oleh sebab itu, bagaimanakah unsur Syiah itu boleh menyelinap masul ke dalam pemikiran sesetengah umat Islam dan kini menjadi satu ancaman untuk mengekalkan kelangsungan dominasi pemikiran sunni?

Untuk tujuan pemahaman konsep Syiah itu sendiri, adalah wajar untuk kita meneliti sejarah awal kewujudan perpecahan pandangan yang menyebabkan wujudnya mazhab-mazhab aliran akidah.

Pertembungan-pertembungan pendapat atau idealisme di kalangan umat Islam pada zaman Nabi SAW tidak dikira sebagai satu pertembungan yang serius kerana ketika itu, perselisihan tersebut lantas diselesaikan terus dengan merujuk Nabi SAW. Misalnya perselisihan sahabat-sahabat berkenaan sembahyang Asar di perkampungan Bani Quraizah yang dirujuk kepada Nabi SAW, dan ditaqrirkan oleh Nabi SAW sama ada puak yang melakukan sembahyang Asar semasa perjalanan tersebut dan puak yang mentak’hirkan sembahyang Asar hingga tiba ke perkampungan tersebut.

Sebarang perselisihan ketika itu dengan mudah diselesaikan kerana umat Islam ketika itu masih mampu ketemu Nabi SAW untuk bertanyakan soal-soal hukum-hakam dan pendapat.

Bagaimanapun, kontra dengan pemikiran bahawa pepecahan itu sudah mula berlaku sewaktu zaman Uthman ra atau setelah kematian Ali kwj, pepecahan dikalangan umat Islam yang sebenarnya telah muncul seawal kewafatan Nabi SAW lagi apabila ada dikalangan para sahabat yang tidak boleh menerima bahawa Nabi SAW sudah tiada di sisi mereka.

Sedangkan Umar Al-Khattab r.a, sahabat akrab Nabi SAW yang terkenal dengan ketegasan, keilmuan dan dikategorikan sebagai ‘yang dijamin syurga;’ pada awalnya tidak dapat menerima sama sekali kewafatan Nabi, sehingga mengancam untuk memenggal kepada sesiapa sahaja yang berkata Nabi SAW telah wafat!

Mujur dengan rahmat Allah melalui kebijaksanaan Abu Bakar As-Siddiq r.a yang dapat mententeramkan keadaan pada ketika itu dengan hikmah membacakan ayat-ayat Al-Quran yang antara lain mempunyai inti pati pertanyaan kepada umat Islam, seandainya Nabi SAW wafat atau terbunuh, maka mereka akan murtad kembali kepada agama lain/asal[5]?

Kemudian, timbul pula perselisihan berkenaan pemakaman Rasulullah SAW, warisan (harta) Nabi dan kemuncak kepada perselisihan tersebut ialah berkenaan kepimpinan umat Islam pada ketika itu selepas kewafatan Nabi SAW[6].

Isu berkenaan kepimpinan umat Islam pada ketika itu berlegar antara tuntutan kaum Muhajirin dan Ansar bagi jawatan pemimpin dan perselisihan inilah menjadi bibit-bibit sejarah kewujudan kaum Syiah di dunia ini.

Walaupun terdapat riwayat yang mengatakan bahawa perselisihan di Balai Bani Sa‘idah tersebut sekadar antara kaum Muhajirin dan Ansar sahaja, ada pendapat juga yang menyebut Ali sendiri yang inginkan agar beliau dilantik sebagai khalifah[7].

Ditambah pula dengan keengganan Ali kwj membai‘ah Abu Bakar r.a pada awalnya sehinggalah selepas enam bulan iaitu setelah kematian isterinya iaitu anak Rasulullah SAW Fatimah Az-Zahra[8].

Nuansa ini sudah cukup untuk merasionalkan mengapakah gerakan pembelaan Ali kwj itu wujud; kerana pada pendapat mereka, Sayidina Alilah yang sepatutnya dilantik sebagai khalifah, dan bukannya Abu Bakar.

Ditambah pula dengan hujah puak penyokong Ali kwj yang mendakwa Nabi SAW telah telah berwasiat agar pimpinan patut diturunkan kepada Ali kwj (disebut juga sebagai Hadis Ghadir Khum) sempena tempat yang didakwa Nabi menyampaikan wasiat/hadis tersebut) dan hadis-hadis lain yang menunjukkan kelebihan Ali disisi Rasulullah SAW[9].

Akan tetapi, letusan cetusan ketakakuran puak penyokong Ali kepada kekhalifahan Abu Bakar dan Umar dikatakan hanya berlaku setelah kedua-duanya meninggal dunia setelah pada ketika itu, Sayidina Uthman mati terbunuh dan Muawiyah bin Abu Sufyan berkehendakkan jawatan khalifah.

Maka, puak-puak ini membela terus menerus Sayidina Ali kwj dan Ali diangkat menjadi khalifah dalam suasana ketaktentuan pada ketika itu yang membawa kepada peperangan Siffin, majlis Tahkim dan akhirnya pembunuhan Khalifah Ali Abi Thalib.

Namun, pada peringkat awal, pembelaan terhadap Sayidina Ali kwj hanya bersifat politikal dan bukannya membabitkan aspek kepercayaan dan ibadah[10].

Kewujudah pembela Ali ini adalah sebagai respon kepada puak Khawarij yang satu ketika menyokong dan mengikuti Khalifah Ali namun bertindak sebaliknya apabila Khalifah Ali bersetuju untuk berunding dengan Muawiyah[11].

Kehuru-haraan politik pada ketika itu menunjukkan betapa umat Islam pada ketika itu menghadapi pertembungan ideologi yang membawa kepada pembunuhan demi pembunuhan sahabat r.hum.

Kesemua puak yang terbabit mengaku bahawa merekalah yang sebenar-benarnya paling benar dan hal yang demikian mengundang kepada pepecahan, peperangan, tikam-menikam daripada belakang.

Setelah dinasti Umaiyah diwujudkan, terdapat beberapa pemimpin mereka yang terlalu melampau dalam menghina dan mencaci Ali kwj untuk menaikkan imej Muawiyah dan Uthman Affan r.a yang lantas menyebabkan ketidakpuasan penyokong-penyokong Ali kwj[12].

Perubahan kepimpinan, pengaruh, pepecahan dan tokok tambah dalam kepercayaan bagi mengagungkan Sayidina Ali menyebabkan puak Syiah itu sendiri terbahagi kepada beberapa kumpulan seperti Imamiyah, Zaidiyah, Ismailiyah dan Sabaiyah[13].

Bagaimanapun, kumpulan Imamiyah merupakan kumpulan yang paling dominan dan sehingga kini mendominasi mazhab Syiah itu sendiri. Kumpulan ini mempercayai imam yang dua belas termasuklah Imam Mahdi yang didakwa akan muncul semula bagi menegakkan keadilan Islam.[14]

Jadi, kelangsungan pemikiran Syiah bolehlah dikatakan begitu kuat berbanding mazhab-mazhab akidah yang lain kerana kewujudannya sehingga kini yang menjadi perbezaan yang jelas antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Hal yang demikian boleh dilihat apabila mazhab akidah yang lain yang wujud ketika zaman sahabat dan dinasti Umaiyah, Abbasiyah seperti Muktazilah dan Khawarij sudah lenyap walaupun intisari dan kecenderungan yang menghala ke unsur-unsur kedua-duanya masih wujud.

Misalnya puak-puak yang mudah mengkafirkan orang lain dilihat sebagai cenderung mempunyai pemikiran Khawarij dan mereka yang gemar menggunakan pandangan akal atau logik akal dikatakan sebagai Muktazilah.

Sebaliknya, Syiah kekal membentuk satu kumpulan atau mazhab berbeza dan dominan daripada segi akidah di negara-negara tertentu seperti di Iran atau berjaya menembusi pemikiran dominan Sunni seperti di Malaysia. Wujud cakap-cakap tertentu juga bahawa terdapat pemimpin parti politik Islam di sini yang cenderung kepada aliran Syiah[15].

Pada masa yang sama, pengaruh Syiah tidak boleh dipandang sepi oleh Jabatan-jabatan Agama Islam andai mereka mahu mengekalkan status quo bahawa akidah dan sumber hukum yang dipegang di Malaysia ialah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie.

Hal ini demikian kerana cabaran Syiah membuka lembaran baru usaha mempertahankan status quo tersebut apabila selama ini, perkelahian yang tampak antara umat Islam sesama umat Islam masih dilingkungi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (seperti Syafie – Wahabi; Syafie – Salafi; Syafie – Hambali; UMNO – PAS daripada segi politik).

Justeru, sudah semestinya dakyah atau gerakan Syiah ini berasal daripada pemikiran Islam seawal zaman kehadiran Islam di Nusantara/Kepulauan Melayu/Tanah Melayu kerana sudah tentulah blueprintnya wujud pada masa tersebut.

Gerakan Syiah bukanlah sesuatu yang baharu dan asing daripada segi kewujudannya; oleh sebab itu, adalah wajar untuk diteliti sama ada pengaruh aliran tersebut hadir seawal kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi bagi memahami kewujudannya dan pengaruhnya dalam pemikiran akidah di Malaysia.

Hal ini sekali gus akan dapat memberikan kepada kita gambaran sebenar sejarah amalan dan ibadah yang telah sebati dengan masyarakat Islam di sini dan memberikan peluang untuk kita memahami perkembangan amalan-amalan tersebut sehingga menyebabkan umat Islam di Malaysia telah menerimanya sebagai amalan harian.

 

Nota hujung


[1] Laporan Bernama 31/10/11 yang antara lain menyebut salah seorang pengikut Syiah memfailkan saman terhadap JAIS dan Utusan berkenaan serbuan yang membawa kepada penangkapannya Disember tahun lepas. Hakim bagaimanapun telah membenarkan pembatalan saman oleh JAIS dan Ketua Pengarahnya pada ketika itu, Dato’ Khusrin Munawi.

[2] Di peringkat Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal ehwal Ugama Islam (dikenali sebagai Majlis Fatwa Kebangsan) pada 1996 misalnya telah memutuskan tujuh ketetapan berkaitan Syiah yang antara lain memansukhkan penerimaan amalan Syiah Zaidiyah dan Imamiyah di Malaysia dan menetapkan bahawa agama bagi Persekutuan dan negeri-negeri perlulah ditetapkan sebagai berasaskan Ahlus Sunnah Wal Jamaah daripada segi Akidah, Syariah dan Akhlak. Contoh lain ialah Keputusan Fatwa bagi Jawatan kuasa Perundingan Hukum Syarak (Fatwa) Negeri Selangor misalnya mendapati ajaran Syiah bersalahan dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sambil menyatakan tiga cara penyebaran Syiah di Malaysia iaitu melalui 1. Lawatan pembesar daripada Iran, 2. Pelajar yang ditawarkan belajar di Iran dan 3. Hadiah buku kepada perpustakaan, umum dan kedai buku terkenal. Untuk rujukan lanjut teks sila lihat http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/syiah-di-malaysia dan http://www.e-fatwa.gov.my/tagging-kod-isu/1996khas.

[3] Sebenarnya, perkara inilah yang menjadi titik persoalan berkenaan kedatangan Islam di Kepulauan Melayu yang kini dibayangi oleh dogma yang mengatakan Islam hadir melalui ajaran Sufi dan bermazhab Syafie. Pun begitu, andai dirujuk kepada sumber primer seperti Sulalatus-Salatin sekalipun, tidak ada tanda-tanda pengarang menyatakan secara terus apakah mazhab yang dibawa oleh pendakwah Islam pada ketika itu semasa penyebaran agama Islam di kepulauan ini. Sama ada pertikaian mazhab akidah pada ketika itu dikira penting atau tidak untuk pengarang-pengarang ‘hikayat’ tersebut belumlah dapat dipastikan. Bagaimanapun, kajian-kaiian terkini sebenarnya membuktikan bahawa aliran kesufian yang mula-mula tiba di Kepulauan Melayu sebenarnya cenderung kepada pemikiran Syiah.

[4] Misalnya Fasal 54 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor yang menetapkan agar qaul yang muktamad hendaklah daripada Mazhab Syafie, namun andai kesukaran atau berlawanan dengan kepentingan awam maka subfasa (2) menetapkan Jawatan kuasa fatwa boleh mengikut qaul daripada Hanafi, Maliki atau Hanbali. Ayat-ayat yang hampir sama juga ditemui di dalam Seksyen 39, Akta 505 Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan dan Seksyen 54 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor. Bagaimanapun, di Perlis Seksyen 7(4) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Ugama Islam menetapkan bahawa Jawatan kuasa Syariah perlulah menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah dalam mengeluarkan fatwa.

[5] Surah Ali-Imran: 3 ayat 144. Bacaan ayat ini seterusnya disambung pula dengan kata-kata Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq, ‘Barang siapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Dan barang siapa yang menyembah Allah (sebahagian versi disebut ‘Tuhan Muhammad,’ membawa konotasi yang sama juga iaitu Allah), maka sesungguhnya Dia Maha Hidup, tidak sama sekali akan mati.

[6] Lihat Ahmad Muhd Abd. Ghaffar, Serpihan Ummah Jilid (Kuala Lumpur: Darul Nu’man 1999), 2-7.

[7] Lihat Ahmad Shalaby, Sejarah dan Kebudayaan Islam Jilid 1, Cetakan ke-8, (Singapura: Pustaka Nasional, 2000) 258-259. Sungguhpun wujud golongan yang menyokong Ali pada waktu perselisihan perlantikan kepimpinan selepas kewafatan Nabi, golongan ini tetap menerima perlantikan Abu Bakar As-Siddiq dan bekerjasama dengan beliau. Lihat Mahayudin Yahya, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam (KL: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009) 202.

[8] Pendidikan Sirah Darjah Enam, Edisi Jabatan Agama Johor, (Kajang: Synergymate Sdn Bhd, 1998), 45.

[9] Misalnya ‘Aku (Nabi SAW) adalah kota ilmu sedangkan Ali adalah pintunya.’ Hadis ini dan hadis Ghadir Khum merupakan hadis-hadis yang dianggap lemah atau palsu oleh ulama hadis Ahlus Sunnah. Lihat Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 13-14 dan Abdul Razak Muthalib, 40 Hadis Palsu Popular (Batu Caves: PTS Islamika Sdn. Bhd., 2011) 66-70 .

[10] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 15 dan Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 202. Akan tetapi, S. H. Nasr menyatakan sungguhpun pendapat tersebut benar (i.e. dikatakan sebagai pandangan orientalis), beliau tetap menegaskan bahawa wujud perbezaan keagamaan dan teologi berkenaan jawatan khalifah/imam . Menurut pandangan Sunni, khalifah ialah pemimpin di peringkat syariah bagi sesebuah komuniti sementara Syiah pula cenderung meletakkan khalifah/imam sebagai pewaris fungsi spiritual yang mewarisi ajaran Nabi. Lihat S. H. Nasr, Ideals and Realities of Islam (London: Allen & Unwin, 1966), 148.

[11] Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 198 dan 201.

[12] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 16

[13] Untuk doktrin golongan Syiah yang lebih panjang, boleh lihat Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, dan Ab. Latif Muda dan Rosmawati Ali @ Mat Zin, Kemunculan Aliran Akidah dlm. Perbahasan Akidah Islam (KL: Pustaka Salam, 2007), 139-159 dan Nasr, Ideals and Realities of Islam, 147-176. Tulisan S. H. Nasr mempunyai banyak kecenderungan menyertakan pandangan Syiah apabila kebanyakan tulisannya mengenai aspek teologi/akidah cenderung untuk menonjolkan sudut perspektif ‘Mazhab Imam yang 12’ dan Ismailiyah; walaupun tidak dinafikan sama sekali beliau turut mengulas bersama-samanya sisi pandangan Sunni. Justeru, adalah selamat untuk mengatakan beliau cenderung kepada fahaman Syiah meskipun sering ditonjolkan sebagai mengikuti ‘mazhab Sufi.’

[14] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 17 dan Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 204.

[15] Disebabkan cakap-cakap ini bersifat spekulaitif, tiadalah penulis mahu memperincikan siapa yang dimaksudkan kerana bukti yang nyata masih belum dikemukakan atau ‘kesyiahannya’ masih belum ditonjolkan sendiri oleh pemimpin tersebut.