Showing posts with label murtad. Show all posts
Showing posts with label murtad. Show all posts

Thursday, November 8, 2012

Tiada paksaan dalam beragama...........

 

Kalaulah seseorang itu faham frasa ‘tiada paksaan dalam beragama,’ maka wajar sekali dia juga faham tentang tiada paksaan dalam menjawab soalan. Banyak sebenarnya hadis Nabi SAW yang lebih menekankan agar umatnya diam daripada berkata-kata yang tidak bermanfaat. Allah Taala juga berfirman agar umat manusia bertanya kepada mereka yang lebih faham atau ahlinya. Oleh yang demikian, tidak akan tercalar sedikit pun reputasi seseorang itu seandainya soalan yang ditanya kepadanya tidak dijawab seandainya takut jawapannya disalah erti, tidak pasti atau tiada pengetahuan langsung untuk menjawabnya.

Begitulah halnya yang sepatutnya berlaku apabila salah seorang pimpinan tinggi PKR yang juga merupakan anak kepada Ketua Umum PR, diajukan soalan tentang kebebasan beragama; sejauh manakah seseorang itu bebas untuk beragama dalam sebuah dialog yang dianjurkan bagi membincangkan isu ‘Negara Islam.’ Jawapan yang dikemukakan pantas menjadi kontroversi kerana dalam kenyataannya, beliau yang pernah bersekolah di Assunta yang ‘mempunyai salib yang besar’, menyatakan ‘tiada termaktub di dalam Al-Quran berkenaan orang Melayu (harus memilih sesuatu agama)’ dan ‘kebebasan agama itu terpakai bukan hanya orang bukan-Melayu sebaliknya seharusnya terpakai secara ‘saksama.’

Untuk berlaku adil, kita haruslah bertanya sama ada status mental beliau pada ketika itu baik kerana seandainya tidak, maka beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atas ungkapan sebegitu (tidak mukalaf). Selain itu, perlu juga disiasat sama ada beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan sebegitu disebabkan majlis tersebut dianjurkan oleh “Barisan Renaissance Islam” di sebuah gereja PJ. Namun, kenyataan balas beliau berkenaan ‘umat Islam harus patuh pada syariat Islam’ pada masa dan tempat lain menunjukkan apa yang beliau ungkapkan dalam majlis ‘Negara Islam’ itu dilakukan secara sedar dan bukan dipaksa.

Apa yang pasti, pelbagai polemik telah pun tercetus dengan kenyataan puteri reformasi itu. Sebagai ada pihak yang bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan kebebasan agama itu mutlak kepada kesemua rakyat Malaysia termasuk yang berbangsa Melayu, ada pula yang menyatakan bahawa kenyataan YB Lembah Pantai itu telah diputar-belitkan kerana kononnya beliau tidak bermaksud yang orang Melayu boleh bebas untuk memilih agamanya.

Bagi penyokong dan pimpinan kerajaan BN, sudah semestinya isu ini akan digunakan sebaik mungkin kerana kenyataan tersebut memberikan tafsiran bahawa orang Melayu bebas memilih agamanya sendiri tanpa apa paksaan; sekali gus memberikan implikasi bahawa umat Melayu boleh sewenang-wenangnya murtad. Sedangkan dalam perlembagaan, termaktub klausa yang menyatakan bahawa orang Melayu itu beragama Islam; sementelah sebagai orang yang kononnya ‘menjunjung perlembagaan,’ adakah patut beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian? Hal ini dikaitkan pluralisme dan liberalisme yang sering dipalitkan dengan bapa beliau dan pimpinan parti PKR.

Akhirnya, kita kembali kepada kemampuan seseorang menjawab soalan yang dikemukakan sedangkan soalan tersebut sememangnya soalan perangkap; maka patutkah dijawab? Malah, lebih tepat lagi, patutkah panel-panel tersebut dijemput memberikan pandangan tentang negara Islam sedangkan orang yang sepatutnya lebih mengetahui dari kalangan alim-ulama yang lebih berkelayakan untuk menjawab hal-hal tersebut daripada perspektif Islam? Mengapakah pihak penganjur tidak menjemput orang seperti Tuan Guru Sohibus Samahah Dato’ Nik Aziz mahupun Tuan Guru Sohibul Fadhilah Dato’ Seri Hadi Awang untuk hadir menerangkan apakah yang dimaksudkan sebagai negara Islam dan soal kebebasan beragama dalam Islam? Atau mungkin daripada pihak kerajaan seperti Dato’ Seri Jamil Khir Baharom mahupun Dato’ Dr Mashitah Ibrahim atau orang-orang kuat JAKIM supaya majlis sebegini dapat memuktamadkan konsep negara Islam yang boleh disesuaikan dan dibangunkan mengikut acuan tulen yang memanfaatkan pandangan pihak kerajaan dan pembangkang?

Soal negara Islam bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main-main apatah lagi dibincangkan oleh orang yang bukan ahli. Tambahan pula, majoriti ahli panel yang dijemput pun tidak ada autoriti untuk bercakap tentang hukum-hakam Islam dan negara Islam; bagaimana hendak memberi perspektif sebenar tentang negara Islam dan agama Islam? Paling tidak, panel itu mestilah yang mahir undang-undang Islam sama ada klasik (yang diperoleh daripada kitab-kitab induk fiqh) mahupun yang termaktub dalam enakmen syariah masa kini yang diamalkan di Malaysia.

Apa yang dapat penulis simpulkan ialah penganjuran dan sesi soal-jawab berkaitan ‘Negara Islam’ menampakkan betapa ada pihak tertentu yang ingin memerangkap umat Islam dalam polemik kebebasan beragama. Seterusnya ahli penal yang mempunyai semangat motivasi yang tinggi seperti YB Lembah Pantai sudah semestinya didambakan untuk memberikan respon ‘panas’ mengenai kebebasan beragama. Namun, soalan perangkap sebeginilah yang menyebabkan kecaman yang agak kasar terhadap beliau sehingga keluarnya sepanduk “Muka Lawa tapi Bodoh.” Apa yang diucapkan telah dirakam dan walau bagaimana cara pun beliau cuba nafikan konotasi disebalik jawapan beliau, ‘kerosakan telah belaku.’ (damage has been done). Pepecahan pendapat umat Islam telah pun berlaku. Label melabel telah pun terjadi.

Justeru, sebagaimana yang telah penulis utarakan awal tadi, tiadalah hilang kredibiliti seseorang itu seandainya tidak mampu menjawab sesuatu yang bukan bidangnya malah, alangkah molek seandainya ditanya dahulu kepada yang ahli tentangnya. Ulama muktabar terdahulu telah mewariskan kaedah dan adab yang cukup baik apabila berhadapan dengan pelbagai persoalan daripada penuntutnya sehinggakan ada yang enggan menjawab soalan yang tidak diketahui jawapannya. Mereka tidak menjawab mengikut hawa nafsu mereka seolah-olah ingin menonjolkan yang mereka tahu segala jawapan yang dipersoalkan.

Terpulanglah kepada ahli politik kita terutamanya yang beragama Islam untuk meneladaninya. Atau, sememangnya jawapan tersebut merupakan luahan hati yang tulus untuk menunjukkan yang mereka tahu cakap pasal agama!!!

Thursday, November 24, 2011

Syiah: Satu tinjauan awal

 

Soal penularan kegiatan syiah di dalam masyarakat Islam Malaysia telah bertambah dari semasa ke semasa.

Baru-baru ini, sudah kedengaran yang kumpulan cenderung Syiah telah membuat permohonan di mahkamah bagi mencabar keabsahan serbuan jabatan agama ke markaz kegiatan mereka[1].

Oleh yang demikian, sudah semestinya hal yang demikian mengundang persoalan tentang semenjak bilakah wujudnya kemasukan aliran akidah tersebut sedangkan umat Islam di Malaysia secara struktur dan amalannya adalah berpegang kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie[2].

Kehadiran aliran Syiah di Malaysia tidak boleh sama sekali disamakan dengan kewujudan mazhab akidah tersebut yang mendominasi Iran dan Iraq, dan menjadi mazhab akidah yang minoriti namun bererti di Lubnan dan negara-negara Asia Tengah.

Secara ‘konvensyennya’ aliran pemikiran akidah yang datang ke Tanah Melayu ialah Ahlus Sunnah Wal Jamaah[3].

Pengiktirafan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi boleh dilihat dengan kesemua negeri di Malaysia meletakkan sama ada mazhab Syafie atau Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi bagi umat Islam di peringkat negeri[4].

Oleh sebab itu, bagaimanakah unsur Syiah itu boleh menyelinap masul ke dalam pemikiran sesetengah umat Islam dan kini menjadi satu ancaman untuk mengekalkan kelangsungan dominasi pemikiran sunni?

Untuk tujuan pemahaman konsep Syiah itu sendiri, adalah wajar untuk kita meneliti sejarah awal kewujudan perpecahan pandangan yang menyebabkan wujudnya mazhab-mazhab aliran akidah.

Pertembungan-pertembungan pendapat atau idealisme di kalangan umat Islam pada zaman Nabi SAW tidak dikira sebagai satu pertembungan yang serius kerana ketika itu, perselisihan tersebut lantas diselesaikan terus dengan merujuk Nabi SAW. Misalnya perselisihan sahabat-sahabat berkenaan sembahyang Asar di perkampungan Bani Quraizah yang dirujuk kepada Nabi SAW, dan ditaqrirkan oleh Nabi SAW sama ada puak yang melakukan sembahyang Asar semasa perjalanan tersebut dan puak yang mentak’hirkan sembahyang Asar hingga tiba ke perkampungan tersebut.

Sebarang perselisihan ketika itu dengan mudah diselesaikan kerana umat Islam ketika itu masih mampu ketemu Nabi SAW untuk bertanyakan soal-soal hukum-hakam dan pendapat.

Bagaimanapun, kontra dengan pemikiran bahawa pepecahan itu sudah mula berlaku sewaktu zaman Uthman ra atau setelah kematian Ali kwj, pepecahan dikalangan umat Islam yang sebenarnya telah muncul seawal kewafatan Nabi SAW lagi apabila ada dikalangan para sahabat yang tidak boleh menerima bahawa Nabi SAW sudah tiada di sisi mereka.

Sedangkan Umar Al-Khattab r.a, sahabat akrab Nabi SAW yang terkenal dengan ketegasan, keilmuan dan dikategorikan sebagai ‘yang dijamin syurga;’ pada awalnya tidak dapat menerima sama sekali kewafatan Nabi, sehingga mengancam untuk memenggal kepada sesiapa sahaja yang berkata Nabi SAW telah wafat!

Mujur dengan rahmat Allah melalui kebijaksanaan Abu Bakar As-Siddiq r.a yang dapat mententeramkan keadaan pada ketika itu dengan hikmah membacakan ayat-ayat Al-Quran yang antara lain mempunyai inti pati pertanyaan kepada umat Islam, seandainya Nabi SAW wafat atau terbunuh, maka mereka akan murtad kembali kepada agama lain/asal[5]?

Kemudian, timbul pula perselisihan berkenaan pemakaman Rasulullah SAW, warisan (harta) Nabi dan kemuncak kepada perselisihan tersebut ialah berkenaan kepimpinan umat Islam pada ketika itu selepas kewafatan Nabi SAW[6].

Isu berkenaan kepimpinan umat Islam pada ketika itu berlegar antara tuntutan kaum Muhajirin dan Ansar bagi jawatan pemimpin dan perselisihan inilah menjadi bibit-bibit sejarah kewujudan kaum Syiah di dunia ini.

Walaupun terdapat riwayat yang mengatakan bahawa perselisihan di Balai Bani Sa‘idah tersebut sekadar antara kaum Muhajirin dan Ansar sahaja, ada pendapat juga yang menyebut Ali sendiri yang inginkan agar beliau dilantik sebagai khalifah[7].

Ditambah pula dengan keengganan Ali kwj membai‘ah Abu Bakar r.a pada awalnya sehinggalah selepas enam bulan iaitu setelah kematian isterinya iaitu anak Rasulullah SAW Fatimah Az-Zahra[8].

Nuansa ini sudah cukup untuk merasionalkan mengapakah gerakan pembelaan Ali kwj itu wujud; kerana pada pendapat mereka, Sayidina Alilah yang sepatutnya dilantik sebagai khalifah, dan bukannya Abu Bakar.

Ditambah pula dengan hujah puak penyokong Ali kwj yang mendakwa Nabi SAW telah telah berwasiat agar pimpinan patut diturunkan kepada Ali kwj (disebut juga sebagai Hadis Ghadir Khum) sempena tempat yang didakwa Nabi menyampaikan wasiat/hadis tersebut) dan hadis-hadis lain yang menunjukkan kelebihan Ali disisi Rasulullah SAW[9].

Akan tetapi, letusan cetusan ketakakuran puak penyokong Ali kepada kekhalifahan Abu Bakar dan Umar dikatakan hanya berlaku setelah kedua-duanya meninggal dunia setelah pada ketika itu, Sayidina Uthman mati terbunuh dan Muawiyah bin Abu Sufyan berkehendakkan jawatan khalifah.

Maka, puak-puak ini membela terus menerus Sayidina Ali kwj dan Ali diangkat menjadi khalifah dalam suasana ketaktentuan pada ketika itu yang membawa kepada peperangan Siffin, majlis Tahkim dan akhirnya pembunuhan Khalifah Ali Abi Thalib.

Namun, pada peringkat awal, pembelaan terhadap Sayidina Ali kwj hanya bersifat politikal dan bukannya membabitkan aspek kepercayaan dan ibadah[10].

Kewujudah pembela Ali ini adalah sebagai respon kepada puak Khawarij yang satu ketika menyokong dan mengikuti Khalifah Ali namun bertindak sebaliknya apabila Khalifah Ali bersetuju untuk berunding dengan Muawiyah[11].

Kehuru-haraan politik pada ketika itu menunjukkan betapa umat Islam pada ketika itu menghadapi pertembungan ideologi yang membawa kepada pembunuhan demi pembunuhan sahabat r.hum.

Kesemua puak yang terbabit mengaku bahawa merekalah yang sebenar-benarnya paling benar dan hal yang demikian mengundang kepada pepecahan, peperangan, tikam-menikam daripada belakang.

Setelah dinasti Umaiyah diwujudkan, terdapat beberapa pemimpin mereka yang terlalu melampau dalam menghina dan mencaci Ali kwj untuk menaikkan imej Muawiyah dan Uthman Affan r.a yang lantas menyebabkan ketidakpuasan penyokong-penyokong Ali kwj[12].

Perubahan kepimpinan, pengaruh, pepecahan dan tokok tambah dalam kepercayaan bagi mengagungkan Sayidina Ali menyebabkan puak Syiah itu sendiri terbahagi kepada beberapa kumpulan seperti Imamiyah, Zaidiyah, Ismailiyah dan Sabaiyah[13].

Bagaimanapun, kumpulan Imamiyah merupakan kumpulan yang paling dominan dan sehingga kini mendominasi mazhab Syiah itu sendiri. Kumpulan ini mempercayai imam yang dua belas termasuklah Imam Mahdi yang didakwa akan muncul semula bagi menegakkan keadilan Islam.[14]

Jadi, kelangsungan pemikiran Syiah bolehlah dikatakan begitu kuat berbanding mazhab-mazhab akidah yang lain kerana kewujudannya sehingga kini yang menjadi perbezaan yang jelas antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Hal yang demikian boleh dilihat apabila mazhab akidah yang lain yang wujud ketika zaman sahabat dan dinasti Umaiyah, Abbasiyah seperti Muktazilah dan Khawarij sudah lenyap walaupun intisari dan kecenderungan yang menghala ke unsur-unsur kedua-duanya masih wujud.

Misalnya puak-puak yang mudah mengkafirkan orang lain dilihat sebagai cenderung mempunyai pemikiran Khawarij dan mereka yang gemar menggunakan pandangan akal atau logik akal dikatakan sebagai Muktazilah.

Sebaliknya, Syiah kekal membentuk satu kumpulan atau mazhab berbeza dan dominan daripada segi akidah di negara-negara tertentu seperti di Iran atau berjaya menembusi pemikiran dominan Sunni seperti di Malaysia. Wujud cakap-cakap tertentu juga bahawa terdapat pemimpin parti politik Islam di sini yang cenderung kepada aliran Syiah[15].

Pada masa yang sama, pengaruh Syiah tidak boleh dipandang sepi oleh Jabatan-jabatan Agama Islam andai mereka mahu mengekalkan status quo bahawa akidah dan sumber hukum yang dipegang di Malaysia ialah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie.

Hal ini demikian kerana cabaran Syiah membuka lembaran baru usaha mempertahankan status quo tersebut apabila selama ini, perkelahian yang tampak antara umat Islam sesama umat Islam masih dilingkungi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (seperti Syafie – Wahabi; Syafie – Salafi; Syafie – Hambali; UMNO – PAS daripada segi politik).

Justeru, sudah semestinya dakyah atau gerakan Syiah ini berasal daripada pemikiran Islam seawal zaman kehadiran Islam di Nusantara/Kepulauan Melayu/Tanah Melayu kerana sudah tentulah blueprintnya wujud pada masa tersebut.

Gerakan Syiah bukanlah sesuatu yang baharu dan asing daripada segi kewujudannya; oleh sebab itu, adalah wajar untuk diteliti sama ada pengaruh aliran tersebut hadir seawal kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi bagi memahami kewujudannya dan pengaruhnya dalam pemikiran akidah di Malaysia.

Hal ini sekali gus akan dapat memberikan kepada kita gambaran sebenar sejarah amalan dan ibadah yang telah sebati dengan masyarakat Islam di sini dan memberikan peluang untuk kita memahami perkembangan amalan-amalan tersebut sehingga menyebabkan umat Islam di Malaysia telah menerimanya sebagai amalan harian.

 

Nota hujung


[1] Laporan Bernama 31/10/11 yang antara lain menyebut salah seorang pengikut Syiah memfailkan saman terhadap JAIS dan Utusan berkenaan serbuan yang membawa kepada penangkapannya Disember tahun lepas. Hakim bagaimanapun telah membenarkan pembatalan saman oleh JAIS dan Ketua Pengarahnya pada ketika itu, Dato’ Khusrin Munawi.

[2] Di peringkat Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal ehwal Ugama Islam (dikenali sebagai Majlis Fatwa Kebangsan) pada 1996 misalnya telah memutuskan tujuh ketetapan berkaitan Syiah yang antara lain memansukhkan penerimaan amalan Syiah Zaidiyah dan Imamiyah di Malaysia dan menetapkan bahawa agama bagi Persekutuan dan negeri-negeri perlulah ditetapkan sebagai berasaskan Ahlus Sunnah Wal Jamaah daripada segi Akidah, Syariah dan Akhlak. Contoh lain ialah Keputusan Fatwa bagi Jawatan kuasa Perundingan Hukum Syarak (Fatwa) Negeri Selangor misalnya mendapati ajaran Syiah bersalahan dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sambil menyatakan tiga cara penyebaran Syiah di Malaysia iaitu melalui 1. Lawatan pembesar daripada Iran, 2. Pelajar yang ditawarkan belajar di Iran dan 3. Hadiah buku kepada perpustakaan, umum dan kedai buku terkenal. Untuk rujukan lanjut teks sila lihat http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/syiah-di-malaysia dan http://www.e-fatwa.gov.my/tagging-kod-isu/1996khas.

[3] Sebenarnya, perkara inilah yang menjadi titik persoalan berkenaan kedatangan Islam di Kepulauan Melayu yang kini dibayangi oleh dogma yang mengatakan Islam hadir melalui ajaran Sufi dan bermazhab Syafie. Pun begitu, andai dirujuk kepada sumber primer seperti Sulalatus-Salatin sekalipun, tidak ada tanda-tanda pengarang menyatakan secara terus apakah mazhab yang dibawa oleh pendakwah Islam pada ketika itu semasa penyebaran agama Islam di kepulauan ini. Sama ada pertikaian mazhab akidah pada ketika itu dikira penting atau tidak untuk pengarang-pengarang ‘hikayat’ tersebut belumlah dapat dipastikan. Bagaimanapun, kajian-kaiian terkini sebenarnya membuktikan bahawa aliran kesufian yang mula-mula tiba di Kepulauan Melayu sebenarnya cenderung kepada pemikiran Syiah.

[4] Misalnya Fasal 54 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor yang menetapkan agar qaul yang muktamad hendaklah daripada Mazhab Syafie, namun andai kesukaran atau berlawanan dengan kepentingan awam maka subfasa (2) menetapkan Jawatan kuasa fatwa boleh mengikut qaul daripada Hanafi, Maliki atau Hanbali. Ayat-ayat yang hampir sama juga ditemui di dalam Seksyen 39, Akta 505 Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan dan Seksyen 54 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor. Bagaimanapun, di Perlis Seksyen 7(4) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Ugama Islam menetapkan bahawa Jawatan kuasa Syariah perlulah menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah dalam mengeluarkan fatwa.

[5] Surah Ali-Imran: 3 ayat 144. Bacaan ayat ini seterusnya disambung pula dengan kata-kata Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq, ‘Barang siapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Dan barang siapa yang menyembah Allah (sebahagian versi disebut ‘Tuhan Muhammad,’ membawa konotasi yang sama juga iaitu Allah), maka sesungguhnya Dia Maha Hidup, tidak sama sekali akan mati.

[6] Lihat Ahmad Muhd Abd. Ghaffar, Serpihan Ummah Jilid (Kuala Lumpur: Darul Nu’man 1999), 2-7.

[7] Lihat Ahmad Shalaby, Sejarah dan Kebudayaan Islam Jilid 1, Cetakan ke-8, (Singapura: Pustaka Nasional, 2000) 258-259. Sungguhpun wujud golongan yang menyokong Ali pada waktu perselisihan perlantikan kepimpinan selepas kewafatan Nabi, golongan ini tetap menerima perlantikan Abu Bakar As-Siddiq dan bekerjasama dengan beliau. Lihat Mahayudin Yahya, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam (KL: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009) 202.

[8] Pendidikan Sirah Darjah Enam, Edisi Jabatan Agama Johor, (Kajang: Synergymate Sdn Bhd, 1998), 45.

[9] Misalnya ‘Aku (Nabi SAW) adalah kota ilmu sedangkan Ali adalah pintunya.’ Hadis ini dan hadis Ghadir Khum merupakan hadis-hadis yang dianggap lemah atau palsu oleh ulama hadis Ahlus Sunnah. Lihat Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 13-14 dan Abdul Razak Muthalib, 40 Hadis Palsu Popular (Batu Caves: PTS Islamika Sdn. Bhd., 2011) 66-70 .

[10] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 15 dan Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 202. Akan tetapi, S. H. Nasr menyatakan sungguhpun pendapat tersebut benar (i.e. dikatakan sebagai pandangan orientalis), beliau tetap menegaskan bahawa wujud perbezaan keagamaan dan teologi berkenaan jawatan khalifah/imam . Menurut pandangan Sunni, khalifah ialah pemimpin di peringkat syariah bagi sesebuah komuniti sementara Syiah pula cenderung meletakkan khalifah/imam sebagai pewaris fungsi spiritual yang mewarisi ajaran Nabi. Lihat S. H. Nasr, Ideals and Realities of Islam (London: Allen & Unwin, 1966), 148.

[11] Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 198 dan 201.

[12] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 16

[13] Untuk doktrin golongan Syiah yang lebih panjang, boleh lihat Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, dan Ab. Latif Muda dan Rosmawati Ali @ Mat Zin, Kemunculan Aliran Akidah dlm. Perbahasan Akidah Islam (KL: Pustaka Salam, 2007), 139-159 dan Nasr, Ideals and Realities of Islam, 147-176. Tulisan S. H. Nasr mempunyai banyak kecenderungan menyertakan pandangan Syiah apabila kebanyakan tulisannya mengenai aspek teologi/akidah cenderung untuk menonjolkan sudut perspektif ‘Mazhab Imam yang 12’ dan Ismailiyah; walaupun tidak dinafikan sama sekali beliau turut mengulas bersama-samanya sisi pandangan Sunni. Justeru, adalah selamat untuk mengatakan beliau cenderung kepada fahaman Syiah meskipun sering ditonjolkan sebagai mengikuti ‘mazhab Sufi.’

[14] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 17 dan Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 204.

[15] Disebabkan cakap-cakap ini bersifat spekulaitif, tiadalah penulis mahu memperincikan siapa yang dimaksudkan kerana bukti yang nyata masih belum dikemukakan atau ‘kesyiahannya’ masih belum ditonjolkan sendiri oleh pemimpin tersebut.

Tuesday, August 23, 2011

Isu JAIS 'serbu' gereja: Refleksi sejarah silam dan pepecahan masa kini

  • Sebenarnya isu ini sudah menjajat lebih tiga minggu dan baru kali ini blog ini ingin mengulasnya. Masih tidak terlewat untuk mengulas isu tersebut; lebih-lebih lagi mengenangkan gelagat manusiawi yang sememangnya sering tergesa-gesa dalam melakukan pelbagai perkara di atas muka bumi ini.
  • Polemik JAIS 'serbu' gereja kini sudah berubah tunjangnya daripada aspek akidah kepada aspek politik. Saman-menyaman telah berlaku dan tuduh menuduh telah pun digembar-gemburkan. Situasi sebegini tidak ubah sebagaimana pada zaman Khalifah Ar-Rasyidin terakhir yang mana umat Islam berpecah-belah kerana masing-masing hendak menegakkan yang mereka lebih benar berbanding puak yang satu lagi. Sehingga timbulah ungkapan mengkafirkan sesama sahabat yang seterusnya membawa pertumpahan darah sesama umat Islam pada ketika itu.
  • Soalnya, siapakah yang lebih benar pada ketika itu?
  • Selepas Khalifah Ali KRW meninggal dunia dibunuh, runtuhlah satu sistem asli (genuine) pemerintahan kekhalifahan Islam dan bangkit pula sistem monarki Islam sungguh pun pemerintah tertinggi daulah Islamiyyah pada ketika itu menggunakan gelaran 'khalifah.' Begitulah hebatnya pertentangan idealisme umat Islam ketika itu sehingga menyebabkan runtuhnya satu paradigma asli agama Islam yang membawa kepada unsur-unsur baru menyerap masuk ke dalam sistem pemerintahan dan politik Islam.
  • Tidak berhenti setakat itu, umat Islam terus menerus menghadapi perbalahan sesama sendiri melibatkan akidah pula. Pada zaman 'keemasan' Islam, umat Islam sebenarnya menghadapi cabaran sengit dalam soal akidah pula apabila fahaman cenderung kepada dalil akal muncul. Puak ini digelar Muktazilah dan kehebatan mereka mendapat perhatian Orientalis zaman kini dalam mengiktiraf 'kemajuan umat Islam.' Nama seperti Ibn Sina, Ibn Rushd dan Al Farabi menjadi penyumbang kepada pemikiran yang pro-akal (walaupun tidaklah semestinya mereka Muktazilah) sehingga menyebabkan berlaku 'pertelingkahan' kosmologi dan teologi antara mereka dan puak sunni. Kemuncak kepada pertelingkahan hujah tersebut maka lahirlah Tahafut Al-Falasifah yang ditulis oleh Al-Ghazali.
  • Al-Ghazali, tokoh yang digelar Hujjahtul Islam seterusnya menyusun pula sebuah karya monumental yang berjudul Ihya Ulumuddin yang berhasrat mengembalikan semula pemikiran Sunni sebagai tunjang falsafah Islam. Bagaimanapun menjelang masa, Ihya juga dikritik teruk kerana terlalu banyak menggunakan hadis-hadis dhaif dan maudu' di dalamnya. Malah, terdapat juga cakap-cakap mengatakan bahawa terdapat negara Islam kini yang telah mengharamkan sama sekali Ihya kerana ada umat Islam yang melebihkannya sehingga ke tahap Al-Quran sedangkan kitab tersebut bukanlah sebuah kitab yang berautoriti dari segi hadisnya.
  • Mutakhir selepas zaman kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyah, muncul pula gerakan 'mengembalikan semula Islam ke asasnya' yang kini digelar fundemantalis. Tokoh seperti Ibn Taimiyah, Muhammad ibn Wahhab antara pelopor gerakan sebegini yang kemudiannya mempengaruhi sedikit sebanyak gerakan islah yang membawa kepada tokoh-tokoh seperti Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Redha dan Qutbuddin Ahmad (Shah Waliyullah Ad-Dahlawi). Bagaimanapun, gerakan sebegini pun dikritik apabila ada yang mengaitkannya sebagai gerakan anti-mazhab dan/atau selalu membidaahkan amalan tertentu yang telah diamal menjadi adat turun-temurun.
  • Kesan di Malaysia juga nyata apabila ada ulama-ulama tertentu sebelum merdeka yang pendapatnya dikatakan tidak selaras dengan mazhab Syafie; sehingga wujudlah regim yang dikatakan sebagai kaum muda (yang cenderung kepada islah dan tajdid) dan kaum tua (yang cenderung mempertahankan tradisi). Sekadar menyebut beberapa nama yang mana pendapat mereka berbeza dengan kebiasaan pada ketika itu seperti Zaaba, Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin dan Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi. Pandangan Hassan Bandung (A. Hassan) dan Haji Abdul Malik Amrullah (HAMKA) juga antara pandangan yang 'digam' pada ketika itu (berkait soal fikah).
  • Oleh sebab itu, adalah tidak menghairankan sangat apabila pada masa sekarang ini, pasca tahun 2000 pun, masih ada pertelingkahan pandangan sama ada berkait akidah, fikah dan lebih-lebih lagi teristimewanya di Malaysia: politik. Mempolitikkan isu agama merupakan sesuatu tindakan yang cukup-cukup gemar dilakukan oleh ahli politik Islam Malaysia, apatag lagi apabila di Malaysia, wujud sebuah parti yang bernama parti Islam yang pandangan mereka berkaitan Islam hendaklah pada pendapat mereka perlu diraikan lebih berbanding autoriti agama lain di dalam negara.
  • Berbanding Muhammadiyah dan Nadhatul Ulama di Indonesia yang mana entiti kedua-duanya boleh dikatakan wujud tanpa terlalu banyak sangat pertelingkahan politikal, di Malaysia, ada mufti yang digelar mufti poco-poco, ada ulama yang digelar barua kerajaan dan ada tok guru yang peranannya sudah sampai ke tahap 'Mullah' apabila semua kenyataan beliau dipetik sebagai hukum belaka! Perkara sebegini merupakan sesuatu yang akan menyelinap di dalam arena keagamaan Malaysia saban hari dan saban masa.
  • Kembali kepada isu JAIS yang dikatakan 'menyerbu' sebuah gereja Methodis di Petaling Jaya, putaran isunya tetap sama. Akhirnya isu ini dipolitikkan dan wujudlah seolah-olah ada konspirasi tertentu bagi menjatuhkan pihak tertentu. Walhal, isu pokoknya adalah umat Islam cuba untuk dimurtadkan! Cubaan Kristianisasi telah berlaku dan hal ini entah macam mana diputar alamkan kepada isu politik! Alangkah anehnya umat Islam di Malaysia?
  • Kita sudah pernah mendengar ada masjid yang membuat dua jemaah Jumaat hanya kerana imam berlainan parti politik. Kita juga telah didedahkan dengan baiah andai seseorang keluar parti, akan tertalaklah si isteri dan wanita di dalam parti tersebut berasa bangga dengan baiah tersebut. Kita pun telah dengar kalau keluar parti sekian, maka nerakalah hukumnya dan dilaknat Allah Taala namun apabila masuk ke parti tersebut, akan bersihlah segala dosa sebagaimana bayi yang baru lahir. Bukankah perkara-perkara sebegini cukup-cukup menganehkan?
  • Dan apabila umat Islam di negara ini menghadapi isu Kristianisasi sebagaimana di dedahkan di dada-dada akhbar; bukannya kenyataan bersama yang hendak dikeluarkan. Sebaliknya 'jangan terpengaruh dengan muslihat parti tertentu,' atau 'ini merupakan satu sandiwara politik pihak tertentu,' atau 'eh, apa pula parti kita yang suruh, bukankah JAIS bawah pemerintahan parti itu.' Umat Islam sedang mengadapi cabaran akidah dan mereka yang berkuasa dan berpengaruh ini cenderung 'main bola;' tendang sini tendang sana isu tersebut? Apa ke hal?
  • Penulis sungguh pun mengakui bahawa seharusnya badan bertanggung jawab (jabatan agama Islam, Majlis Agama Islam, Baitul Mal, Jabatan Kebajikan Masyarakat)perlu lebih peka keperluan umat Islam yang kekurangan dari segi wang ringgit; tetapi penulis tidak akan bersikap apologikal andai benar umat Islam di Malaysia ini sedang berusaha dipesongkan akidahnya. Kalau benar kita sebagai rakyat negara 1Malaysia, mengapakah bantuan yang hendak diberikan disulami dengan pujuk-rayu dan syarat-syarat yang berkaitan dengan agama (seperti nyayian, amalan, ikrar)? Lakukanlah kebajikan tersebut atas nama rakyat Malaysia dan bukannya cuba untuk menyulami bantuan dengan mengganggu gugat kepercayaan yang dianuti oleh seseorang itu!
  • Bagi pemimpin Islam pula, ambil contoh isu murid beragama Islam disogok dengan unsur-unsur nyanyian Kristian dan bertuhankan Jesus sebagaimana yang didedahkan oleh media tempoh hari, guru yang melaporkannya merupakan seorang bukan Islam dan beliau melaporkan atas rasa tanggung jawab sebagai rakyat Malaysia. Mengapakah ada yang bukan Islam yang rasa 'lebih bertanggung jawab' mendedahkan hal tersebut sedangkan dalam isu gereja ini, umat Islam 'tidak pula lebih bertanggung jawab' untuk duduk semeja dan cuba menyelesaikan isu yang sama?
  • Oleh sebab itu, pemimpin-pemimpin Islam Malaysia seharusnya bersatu-padu bagi mencari jalan penyelesaian kepada kes-kes sebegini dan bukan hanya tunggu isu Palastin sahaja barulah hendak bergabung tenaga mengutuk Yahudi. Dalam kita mengutuk dan mencerca regim Israel dan Zionis yang menzalimi umat Islam di Palastin, adakah kita terlupa bahawa puak-puak ini satu ketika dahulu dihina dan dicerca tak bertanah air. Namun disebabkan kesepaduan antara mereka menyokong antara satu sama lain (pada masa itu) dalam mempropagandakan sistem kapitalis menyebabkan mereka kini boleh memijak-mijak kepada umat Islam dengan semudah itu?
  • Justeru, kepada PAS, tak usahlah label ini isu perangkap maut UMNO atau sandiwara BN, alangkah eloknya gunakanlah biro dakwah yang ada berdakwah kepada mereka yang memerlukan? Kononnya hendak menegakkan negara kebajikan, namun kebajikan umat Islam sendiri tak terjaga; bagaimana? Islam bukan pada ceramah keluar dalil itu ini dok tuduh orang itu gini, orang ini gitu semata-mata. Mana sifat ihsan yang seharusnya ada pada pemimpin dan pengikut kamu? Kamu dok pegang nama Islam itu pada parti kamu tapi hal-hal Islam ada saja alasan politik; apa sebenarnya perjuangan kamu? Keluar dalil beria-ia dipadankan ayat Quran dengan tindakan mereka namun tidak pernah menghayati pula walatafarraqu yang juga disebut dalam Al Quran! Ada sahaja alasan untuk tidak mahu bersama-sama parti yang satu lagi (UMNO) macamlah parti tersebut merogol kesucian Islam zaman-berzaman sedangkan PAS kini dengan tawaduknya bekerjasama dengan parti-parti yang tidak langsung meletakkan Islam sebagai asas perjuangan mereka! Bertaubatlah!
  • Dan kepada UMNO, ikhlaskanlah perjuangan memartabatkan agama Islam dan membantu umat Islam. Janganlah bila timbul isu sebegini, diajuk pula, 'ini isu PAS; berlaku di negeri PAS' Kamu pegang negara, kalau umat Islam sampai ke gereja nak mintak bantuan, apakah sudah menyeluruh usaha yang kamu dah lakukan? Perangai sebegini sama sahaja membuat blok pemisah kerjasama sesama umat Islam. Buat apalah nak saman pemimpin PAS tu sebab mereka memang tak tahu apa-apa! Lantaklah mereka hendak tuduh apa tetapi patut difikir apakah yang telah dan akan kamu lakukan bagi mengelak kejadian sebegini berulang? Mintalah info daripada mereka yang arif, yang pernah membangkitkan isu sebegini sebelum ini (seperti Sahibus Sahamah Tuan Guru Al-Alamah Tan Sri Harussani Zakaria) bagi menyelesaikan masalah gejala murtad ini. Baik sangkalah yang PAS itu sebenarnya masih jahil tak tahu nak bezakan antara isu politik dengan isu akidah. Bukan semua orang dalam PAS yang tunduk sami'na wa ato'na dengan pemimpin tertinggi mereka sebab ada yang turut serta mengambil berat isu memurtadkan umat Islam. Carilah cara atas nama dan landasan Islam bagi menyelesaikan masalah ini bersama-sama.
  • Dan kepada pihak autoriti agama (selain PAS), sudah semestinya isu sebegini akan menjadi tamparan yang maha besar apabila kamu dituduh melulu 'menyerbu' gereja tersebut. Sama ada benar atau tidak gejala kristianisasi tersebut, mencegah lebih baik daripada mengubat. Perkasakanlah kaedah penghapusan kemiskinan terutamanya kemiskinan bandar yang melanda umat Islam. Lantiklah pakar ekonomi Islam menyertai badan-badan kamu kerana mereka mampu memberikan maklumat bagaimana mengatasi masalah kemiskinan dan masalah penerima zakat. Dinamika pengurusan zakat dan baitul mal perlulah ditambah baik agar kita dapat mengurangkan sama sekali umat Islam yang fakir, miskin dan yang berkeperluan. Janganlah akaun agihan zakat itu asyik-asyik ada lebihan sebab zakat pada asalnya bukannya modal untuk dijadikan wang pusingan untuk 'lembaga' atau 'pusat.'
  • Kepada umat Islam Malaysia pula, udah-udahlah asyik hendak menghentam orang sini sana tentang siapa yang salah. Cuba tanya diri sendiri, sudahkah kita menunaikan zakat (bukannya fitrah Ramadhan sahaja; tetapi zakat harta sekali)? Sudahkah kita bersedia dengan 'sedekah jariah' yang bakal menjadi amalan yang berkekalan selepas mati? Pertingkatkanlah taraf ekonomi diri sendiri dan keluarga dan dari semasa ke semasa cuba capai keadaan ekonomi yang benar-benar ideal sebagaimana zaman Khalifah Umar Abdul Aziz (yang tulen; khalifah daulah Islamiyyah; bukannya 'khalifah celup' yang diangkat yang bernama Lim Guan Eng!) Kita hendaklah mengingati dan menginsafi firman Allah dalam Al-Quran yang mana ayat ini menjadi salah satu daripada sunnah Nabi SAW untuk dibaca semasa sembahyang Jumaat yang bermaksud 'Dan nafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan sebelum maut datang kepadamu, lalu kamu mengatakan "Wahai Tuhanku, mengapakah aku tidak diberikan penangguhan waktu sebentar sahaja supaya aku boleh bersekah dan menjadi orang yang soleh". Namun, Allah tidak sama sekali akan menangguhkan ajal seseorang itu apabila sudah tiba, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala apa yang kamu lakukan.' (Surah Al-Munafiqun: 63, ayat 10-11). Maka hendaklah kita beramal dengan mafhum ayat tersebut.
  • Menjelang akhir Ramadhan, marilah kita sama-sama meningkatkan amalan khusus dan umum yang kita boleh buat dan dari semasa ke semasa, tinggalkan pertelingkahan yang sebenarnya hanya membawa kerugian kepada umat Islam. Selamat beramal!