Showing posts with label Ekonomi Islam. Show all posts
Showing posts with label Ekonomi Islam. Show all posts

Wednesday, August 29, 2012

Hah, tu la BNM ni! Budak kecil pun tau.

 

“Bang nak tukar duit,” pinta seorang anak kecil kepada penulis. Maklumlah, sebab raya, jadi banyaklah dikalangan mereka ini yang mempunyai ‘duit raya’ yang banyak.

“Hah, berapa yang hendak tukar?” tanya penulis kembali.

“Entahlah, tak kira lagi.”

“Mari abang kirakan,” dan sebagaimana yang sudah dijangka, nota seringgit baharu yang diperbuat daripada plastik. Disebabkan ‘kebaharuan’ dan ‘kecanggihan duit tersebut, terkial-kial juga penulis untuk mengiranya dengan gerakan jari lantaran kelicinan duit tersebut.

Budak tersebut pun tersengih bagai kerang busuk sambil berkata, “Tu lah. Duit baru ni tak best. Nak kira pun melekat-lekat.”

“Hah, tu lah Bank Negara! Budak kecil pun tau (susah nak kira duit plastik). Kata dah buat kajian la, hapa ke bagai!” tiba-tiba terkeluarlah kata-kata tersebut daripada mulut penulis (geram juga sebab lenguh tangan....).

Bukanlah kali pertama nota wang yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia menerima rungutan. Setelah mereka memperkenalkan wang plastik lima ringgit (RM 5), kini mereka memperkenalkan juga bahan yang sama digunakan untuk nilai seringgit. Dan sungguhpun secanggih mana wang lima ringgit yang dikeluarkan itu, kecanggihannya sekadar pada rupa dan nama sahaja.

Wang plastik lima ringgit itulah yang paling senang ‘terkoyak,’ terkelepet dan ‘rapuh’ serta paling payah untuk dikira dengan tangan. Sudah semestinya dikalangan peniaga-peniaga kecil jugalah yang paling banyak mengeluh kerana mereka terpaksa membuat kerja lebih untuk menampal semula wang yang sudah terkoyak dua dan mengira dengan lebih berhati-hati kerana bahan yang digunakan untuk duit tersebut mudah melekat antara satu sama lain. Daya elektrostatik plastik mungkin sangat ketara pada wang plastik!

Dan kini, bukan sahaja nota berwarna hijau itu sahaja yang perlukan kerja lebih, nota seringgit pun sama! Sedangkan legaran wang seringgit ialah yang paling banyak di dalam transaksi peniaga kecil!!!

Setelah BNM memperkenalkan syiling baru, sudah ada respon negatif yang mengatakan duit tersebut sukar dibezakan terutamanya bagi syiling lima sen dan sepuluh sen. Namun, BNM bingkas mempertahankan reka bentuk mereka dengan alasan ‘telah membuat kajian pemasaran’ sebelum mengambil keputusan mencetaknya. Kini, kandungan logam lima sen dan sepuluh sen yang terbaharu nyata sekali lebih murah berbanding yang lama kerana menggunakan besi.

Pengeluaran reka bentuk baru syiling mendatangkan masalah pula kepada mesin automatik (vendor machine) seperti mesin air, mainan kanak-kanak dan mesin tiket; sama ada tiket perkhidmatan awam (LRT, Komuter) atau tempat letak kereta. Penyedia perkhidmatan terpaksa menyediakan mesin yang dapat memenuhi keperluan bentuk yang baharu bagi membolehkan kitaran wang berlaku dan wang baru pun ‘laku.’ Sudah semestinya hal ini mendatangkan lagi satu ‘kerja tambahan’ bukan sahaja kepada penyedia perkhidmatan, malah kepada orang ramai sendiri.

Kemudian, BNM mengeluarkan pula siri wang kertas baru yang dikatakan lebih tahan itu dan ini dan lebih ‘kebal.’ Sedangkan kalau hendak dikatakan kebal macam mana pun, terbukti bahawa wang kertas terdahulu yang dikatakan kebal daripada sebelumnya; pun pernah dipalsukan. Apalah ertinya kebal pada wang kertas siri baru ini???

Sama ada sedar atau tidak, nilai wang kertas itu sendiri sudah semakin berkurang. Satu ketika dahulu orang berdagang dengan logam berharga, kemudian digantikan pula dengan pengganti logam iaitu duit kertas[1]. Duit kertas yang satu ketika dahulu disandarkan kepada simpanan emas telah bertukar status menjadi komoditi apabila masyarakat dunia telah dipaksa menerima konsep wang fiat yang diperkenalkan oleh US pada 1971[2].

Selepas itu, bahan pembuatan duit pun mula mengalami perubahan sehinggalah wang plastik diperkenalkan. Setiap kali perubahan berlaku, ketika itulah nilai wang itu secara sendirinya menjadi lebih rendah daripada sebelumnya[3].

Kita pun faham mengapa bahan tersebut ditukar. Kesemuanya disebabkan kos. Kos plastik mungkin lebih murah daripada kos kertas. Maka, kita harus kaitkannya dengan istilah fiat itu sendiri yakni sesuatu yang menjadi wang kerana kita percaya yang benda itu wang. Maksudnya, kita kini percaya dan yakin bahawa duit kertas yang tak bernilai itu sebenarnya ada nilai wang.

Sebab itulah orang boleh membuat spekulasi terhadap nilai mata wang. Kita percaya kertas/plastik itu wang, tetapi orang lain boleh pula menggugat kepercayaan tersebut dengan membuat spekulasi pasaran penawaran dan permintaan wang tersebut. Maka, yang kita percaya wang itu walaupun termaktub di atasnya RM10lah katakan, nilai sebenarnya belum tentu RM10 kerana nilai yang sama tahun ini belum tentu boleh membeli jumlah barang yang sama pada tahun hadapan.

Sebaliknya, sebagaimana contoh klasik yang dikemukakan oleh saudagar emas, satu dinar zaman Nabi SAW boleh digunakan untuk membeli seekor kambing, maka seekor kambing jugalah boleh dibeli dengan satu dinar pada masa sekarang ini! Perkara inilah yang menunjukkan ‘perantaraan wang’ (i.e. emas) itu stabil dan mampu mengekang kesan inflasi.

Sebagai tambahan, pelaburan emas akan memberikan pulangan kerana harga emas akan meningkat ketika penurunan nilai mata wang dolar US, peningkatan inflasi dan peningkatan harga petroleum[4]. Negara seperti India dan China telah bersedia dengan pembelian emas dan menggalakkan rakyatnya menyimpan emas bagi kerana nilainya yang lebih baik berbanding wang tunai.

Sama ada negara kita mampu mewujudkan mata wang dinar emas, terpulanglah kepada pemerintah kita kerana mereka yang berkuasa. Namun, secara realitinya kita pun tak mampu berbuat apa-apa melainkan ada negara lain di dalam dunia ini yang turut serta membuat langkah yang sama dan mampu menampung kelompangan ekonomi kita.

Berpijaklah di bumi nyata; kebergantungan kita kepada negara yang sangat-sangat gemar mengamalkan budaya ekonomi bebas dan kapitalisme terlalu besar sehinggakan kalau mereka melabel minyak sawit kita tak mesra alam pun kita sudah gelabah dan gabra takut-takut harga CPO kita jatuh mendadak. Tak laku pulalah nilai saham mega mewah (blue chips) dan hal ini pastinya mengundang kebahayaan yang besar dalam ekonomi kita...!

Justeru, apa yang kita dapat perhatikan kini ialah penyahnilai wang kita dari semasa ke semasa. Kini, dengan kepesatan transaksi internet, nilai yang dahulunya disandarkan ke atas sekeping kertas kini menjadi maya. Masyarakat Barat misalnya lebih banyak berbelanja secara elektronik berbanding secara fizikal dan budaya ini semakin menjalar dan diterima di seluruh dunia. Sudah tentu kelak kita boleh mempersoalkan, apalah nilai sebenar duit nan berkeping itu!


[1] Idea resit simpanan emas dan barang menjadi asas kepada kewujudan wang kertas. Rujukan berillustrasi boleh dilihat dalam Wolfe, L. et al., Easy Economy, A visual Guide to What You Need to Know (New Jersey: John Wiley and Sons, 2012), 11-41. Rujukan ini ada menerangkan daripada permulaan konsep pertukaran barang (barter) sehinggalah kepada kewujudan sistem pembelian elektronik.

[2] Perkara ini disebabkan perubahan dalam Sistem Bretton Woods yang pada mulanya menyandarkan wang kertas dengan nilai emas di Fort Knox kepada sistem penawaran dan permintaan ketika pemerintahan Nixon. Lihat Korten, D. C. ‘The Money Game,’ dlm Korten, D. C. When Corporation Rule the World, 2nd Ed. (Sterling, VA: Kumarian Press, 2001), 177-185. Rujukan Bahasa Melayu misalnya dalam Zaharuddin Abdul Rahman, Riba dan Isu Kewangan Semasa (Kuala Lumpur: Telaga Biru, 2010), 58-71. Rujukan ini merupakan rujukan yang baik dalam memahami isu penciptaan wang kertas dan kesan-kesan disebaliknya.

[3] Hal ini dibincangkan secara panjang dalam Korten, When Corporation Rule the World, 179-181.

[4] Lihat Salleh Majid, 101 Saranan Salleh (KL: Utusan Publication and Distribution, 2012), 149-150. Malah dalam buku ini juga disertakan beberapa artikel yang menggesa agar rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu melabur dalam portfolio emas sama ada fizikal mahupun secara akaun dan melebihkan pelaburan emas tulen (999) berbanding emas barang kemas (916).

Thursday, December 8, 2011

Ekonomi? Apa benda nak bincang tentang ekonomi?

 

Ruangan Rencana dalam Berita Harian (8/12/11) menarik perhatian penulis apabila mengemukakan permasalahan berkaitan perbahasan usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang lepas. Antara ulasan yang diberikan oleh pengarangnya, Anwar Patho Rohman ialah betapa 'rendahnya' mutu perbahasan berkaitan isu ekonomi dalam perhimpunan tersebut dan pembahas yang kebanyakannya hanyut dek aura hendak meletakkan CEO GLC daripada kalangan orang UMNO.

Pembahas seolah-olah sekadar menyanjung tinggi segala usaha Presiden mereka tanpa secara kritikal memberikan input yang berguna kepada persidangan yang disertai oleh mereka. Seolah-olah mereka sekadar memuntahkan kembali apa yang kerajaan sedang lakukan tanpa memberikan cadangan yang bernas dalam aspek penambahbaikan ataupun mencambahkan idea baru. Jarang yang diperkatakan berkaitan peranan UMNO dalam membangkitkan kuasa ekonomi orang Melayu secara menyeluruh terutamanya mereka yang berada di luar bandar, apatah lagi di bandar.

Sekali lagi, dikotomi bandar-luar bandar itu wujud kembali kerana secara dasarnya, keperluan kedua-dua sektor adalah cukup berbeza. Misalnya bagi kawasan luar bandar, kerajaan boleh 'pajakkan' tanah suruh orang bertani, berternak namun di bandar, jangankan hendak bercucuk tanam, menanam pokok hiasan pun kadang-kala tiada tempat lantaran tinggal di flat. Harga barang, makanan dan rumah yang kadang-kala tidak masuk akal menyebabkan kehidupan mereka berada dalam tekanan walaupun mungkin mempunyai gaji yang melebihi RM3000. Hal inilah yang jarang diperkatakan oleh UMNO dan orang UMNO.

Program usahawan juga kini tidak boleh hanya tertakluk kepada luar bandar sahaja. Kini, sudah tiba masanya kerajaan memberikan tumpuan khusus bagi pembangunan usahawan bandar juga. Kita perlu memahami bahawa apabila bercakap mengenai perniagaan, situasi di bandar dan luar bandar cukup berbeza. Mungkin imej dan persepsi seseorang tauke di kampung-kampung tidak menjadi permasalahan sangat; ada dikalangan mereka yang boleh berjaya tetapi kekal menggunakan Waja atau Pesona. Di bandar, lain pula ceritanya. Disebabkan kegiatan mereka jauh lebih kompleks, mereka memerlukan sesuatu yang lebih kerana mungkin terpaksa berurusan secara niaga-ke-niaga (B2B). Jadi, adakah pelanggan mahu menjalinkan kerjasama ataupun urusan perniagaan dengan si tauke hanya memakai MyVi atau ViVa? Imej dan persepsi memainkan peranan penting dalam hal ini walaupun bukan jaminan kejayaan sesuatu peniagaan.

Semua orang bercakap tentang harga perumahan yang telah meningkat tinggi dan usaha kerajaan bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah. Namun, pada masa yang sama, jarang orang memperkatakan projek perumahan yang mewah dengan harga yang tidak masuk akal; tetapi tetap dibeli oleh orang. Hal ini membuktikan bahawa marginisasi antara yang kaya dan yang miskin sebenarnya semakin meluas. Apabila perumahan yang menelan harga hampir jutaan ringgit seunit masih mempunyai ramai pembeli atau habis dijual, sudah semestinya perkara sedemikian membuktikan kewujudan orang kaya Malaysia yang mampu untuk membelinya. Namun, pada masa yang sama, begitu ramai juga rakyat Malaysia yang begitu sukar untuk memiliki rumah sendiri dan perkara sebegini memberikan gambaran betapa wujudnya juga permasalahan pemilikan rumah bagi mereka yang berpendapatan sederhana. Andai kita mengambil kira komposisi mereka yang pendapatan sederhana jauh lebih besar berbanding yang kaya, sudah tentu perkara ini amat merisaukan kerana jurang antara yang kaya dan yang sederhana sebenarnya bertambah. Tiba ke satu tahap, kewujudan golongan berpendapatan sederhana akan menjadi 'pupus' dek kerana ada yang mungkin mampu menghala ke kategori berpendapatan tinggi sedangkan begitu ramai yang tidak mampu akan jatuh semula ke kategori berpendapatan rendah.

Oleh yang demikian, isu miskin bandar sebeginilah yang seharusnya cuba diselesaikan oleh pihak kerajaan bertunjangkan UMNO kerana mereka yang mempunyai kuasa. Dan orang UMNO ataupun pihak daripada Pakatan perlulah sedar akan kewujudan masalah sebegini kerana tampak sangat akan kurangnya idealisme dan hala tuju bagi menyelesaikan permasalahan ini. Lebih-lebih lagi, dalam konteks ekonomi, perkara sebeginilah yang harusnya diutarakan dalam perbahasan seperti dalam Perhimpunan Agung UMNO kerana membabitkan kepentingan golongan bumiputera yang banyak tergolong dalam kategori sederhana. Sehingga kini, konsep kemiskinan bandar masih lagi dibiarkan dalam keadaan samar sedangkan kewujudnya tidak boleh dinafikan. Sebagai parti yang menunjangi perjuangan orang Melayu, isu ini tidak boleh dipandang sepi kerana kelak akan menjadi duri dalam daging sokongan terhadap UMNO sendiri.

Sebab kepada permasalah ini mungkin berpunca kepada sumber atau maklumat terhadap ekonomi itu sendiri. Sebagaimana yang pernah penulis pernah utarakan, sumber berkaitan ekonomi yang dalam Bahasa Melayu sendiri sangatlah kurang sedangkan yang hendak membincangkannya ialah 'orang UMNO.' Sedangkan minat orang awam tentang ekonomi juga bukanlah berada pada tahap yang baik. Melihat kepada akhbar Bahasa Melayu tempatan sahaja kita boleh nampak betapa sedikitnya ruang yang diberikan kepada sektor ekonomi berbanding yang lain. Malah, cerita artis pun boleh mendapat satu sisipan khas pada hari minggu; tidak termasuk sisipan mini harian tentang mereka. Cerita wartawan hiburan tak dapat jemputan kahwin lebih diraikan berbanding kisah betapa ramainya rakyat Malaysia yang muflis angkara kad kredit. Kesemua itu menunjukkan tahap minda masyarakat Melayu yang tampak masih kurang peka terhadap isu ekonomi.

Hendak salahkan pihak akhbar pun tidak boleh juga kerana mereka pun hendak buat untung. Mengapa hendak sediakan ruang yang banyak kepada isu yang jarang dibaca? Justeru, melainkan anjakan paradigma berlaku dalam keseluruhan masyarakat Melayu, kita pun sebenarnya boleh ramalkan, apakah intipati usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO akan datang - puji Perdana Menteri, salahkan pula GLC!

Sunday, December 4, 2011

Perbankan Islam: Alatan, pengkelasan dan pendekatan kefahaman

 

Pendahuluan

Bank Islam dan perbankan Islam merupakan sebuah sistem yang dihidupkan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan yang berteraskan prinsip-prinsip syariah dan menjauhi sebarang unsur riba dan ketaktentuan. Sistem sebegini mendapat perhatian yang amat menggalakan daripada pelanggan-pelanggan perbankan dalam mencari alternatif kepada perbankan konvensional yang sudah bertapak secara bersistematik dalam tempoh yang agak lama. Bagaimanapun, dengan atribut 'Islam' itu sendiri pada namanya menjadikan persepsi yang tinggi daripada masyarakat terhadap bank Islam dan perbankan Islam.

Nama 'Islam' seolah-olah menggambarkan betapa jernih, tulus dan ikhlasnya sesuatu transaksi perkhidmatan tersebut sehingga dikaitkan dengan perlunya kadar yang dikenakan lebih 'murah' dan tidak berlaku sebarang 'kezaliman.' Oleh yang demikian, apabila pelanggan membandingkan secara zahir akan kadar yang ditawarkan oleh bank Islam dan perbankan Islam lebih tinggi daripada yang konvensional sudah tentulah mereka merasakan yang bank Islam dan perbankan Islam 'tak cukup Islam,' sama sahaja dengan perbankan konvensional ataupun lebih mahal daripada perbankan konvensional.

Oleh sebab itu dalam konteks Malaysia, kita dapat perhatikan beberapa tokoh ilmuan yang cuba memberikan penjelasan mengapakah penyimpangan imej bank Islam dan perbankan Islam ini timbul dengan mengemukakan hujah-hujah yang bernas bagi merasionalkan kesejadian (nature) bank Islam dan perbankan Islam. Terbitan-terbitan makalah di majalah, blog juga buku menjelaskan secara terperinci mengenai sistem perbankan Islam agar pembaca dapat memahami apakah sebenar-benarnya perbankan Islam.

Tulisan kali ini turut berhasrat untuk mengambil langkah yang sama melalui sudut pandangan yang berbeza iaitu cuma mengkategorikan jenis-jenis alatan perbankan Islam kepada kesejadiannya yang berbeza-beza. Hal ini demikian bagi membolehkan kita lebih memahami asas kepada perbankan Islam yang mempunyai pendekatan yang sama tetapi perlaksanaan dan alatan yang berbeza. Dengan itu, barulah kita boleh memahami mengapakah perbankan Islam boleh melakukan atau menyediakan harga-harga yang kelihatan 'tidak Islam' atau lebih mahal berbanding sistem perbankan konvensional. Bagi mencapai maksud tersebut, adalah penting juga kita mengetahui sedikit sebanyak produk-produk perbankan Islam yang ditawarkan di dalam pasaran sedia ada.

Produk-produk perbankan Islam.

Produk-produk perbankan Islam ialah alatan (instruments) yang digunakan bagi membolehkan urusan dilaksanakan antara pelanggan dan penyedia perkhidmatan. Produk-produk ini jugalah yang menyediakan kontrak-kontrak (akad) berbeza bagi tujuan berbeza mengikut 'kesesuaian' sesebuah urus niaga. Lazimnya, produk-produk ini didasari oleh kaedah-kaedah fiqh muamalat yang telah disusun oleh ulama-ulama muktabar berdasarkan Al-Quran dan Hadis. Akan tetapi, untuk tujuan terbitan ini, penulis menyenaraikan secara ringkas dan padat produk-produk popular yang wujud di pasaran perbankan Islam untuk membolehkan kita mengaitkannya dengan pengkelasan yang akan dibuat kelak.

Al-Ba‘i (selepas ini ditulis sebagai Al-Bai)

Secara literalnya bermaksud jual. Namun, biasanya digunakan untuk mengistilahkan 'jual-beli'[1] iaitu akad yang membolehkan pertukaran barangan oleh yang menjual dan yang membeli. yang dipersetujui nilai tukarannya melainkan dengan barang yang sama. Namun, perantara atau pertukaran yang biasanya difahami ialah antara barang/perkhidmatan dengan wang. Peranan wang suatu ketika dahulu sebagai 'perantara' kini telah bertukar menjadi objek. Antara produk al-Bai yang terkenal ialah:

  1. Murabahah iaitu jual-beli dengan tambahan keuntungan yang dicaj kepada pembeli berbanding kos keseluruhan sebenar dan tambahan tersebut diisytiharkan dalam akad tersebut. Alatan sebegini biasanya digunakan dalam pembiayaan perbankan dengan konsep bank membeli terlebih dahulu sesuatu aset ataupun produk lalu dijualkan kepada pengguna dengan harga yang ditambah dengan kos perkhidmatan dan keuntungan yang telah ditetapkan. Andai dilihat daripada satu sudut, alatan murabahah merupakan alatan yang paling telus kerana harga sebenar, kos perkhidmatan dan kadar keuntungan yang tetap telah termaktub di dalam perjanjian (akad/kontrak) jual beli. Bagaimanapun, keadaan yang ‘ideal’ untuk urus niaga ini ialah selesai dalam satu majlis yang sama. Perubahan kepada tata cara kontrak yang membawa kepada kaedah pembayaran ansuran yang dikenali sebagai pembayaran tangguh ialah Al-Bai bitaman ajil.
  2. Al-Bai bithaman ajil iaitu jualan sesuatu aset dengan pembayaran yang dibuat ialah dengan cara ansuran. Kontrak ini ialah bagi membolehkan klausa berkenaan masa dan tempat bagi majlis akad seperti yang termaktub dalam konsep murabahah menjadi sesuatu yang ‘ditangguh.’ Dalam bahasa mudah, pembayaran secara kredit. Contoh kepada pembiayaan sebegini ialah perumahan, kenderaan dan pendidikan. Secara amnya, kontrak pembelian secara ini masih menimbulkan pertikaian terutamanya bagi keterwujudannya yang disifatkan sebagai terlalu menyamai sistem konvensional.
  3. As-Salam iaitu jualan secara pesanan dengan bayaran didahulukan. Pada asasnya jualan sepatutnya pada satu jangka masa yang sama (i.e. majlis yang sama) dengan penerimaan produk dan pembayaran. Namun, jual-beli salam membenarkan barang tersebut diserahkan lewat. Biasanya kaedah ini digunakan bagi membolehkan tempahan seperti pakaian dan produk yang dibuat mengikut kekendak pelanggan (custom made).

Al-Ijarah Thumma Bai

Permasalahan Al-Bai bithaman ajil menjurus kepada keabsahan pihak bank menarik balik aset atau produk yang telah dijual seandainya si pembeli tidak membayar ansuran bulanan.[2] Juga berlaku permasalahan apabila kaedah ini menyebabkan seolah-olah pembeli membeli daripada penjual aset/produk, kemudian menjual kepada bank, akhirnya bank menjual semula kepada pembeli yang menyamai konsep Al-Inah yang diharamkan oleh majoriti ulama. Justeru, konsep sewa dahulu berakhir dengan pembelian dikatakan sebagai konsep yang lebih tepat kerana bayaran ansuran tersebut dikira sebagai bayaran ‘sewaan.’ Bagaimanapun, masih wujud pertikaian kerana seolah-olah wujud dua akad dalam satu kontrak sedangkan menurut pandangan fiqh klasik, tidak wujud dua transaksi dalam satu akad yang sama. Juga terdapat persoalan status kepada kebertanggungjawaban dan hak kerana terdapat keadaan berat sebelah yang memihak kepada bank seperti pembayaran cukai dan pampasan insuran/takaful.[3]

Mudharabah

Diterjemahkan secara bebas sebagai perkongsian (terutamanya dalam silibus sekolah menengah dan perniagaan asas di universiti!) namun hakikat sebenarnya ialah pelaburan.[4] Hal ini demikian mudharabah bukannya perkongsian kerja sebaliknya lebih bersifat pelaburan daripada pihak penanam modal dengan pelaksana peniagaan dengan keuntungan dibahagikan dengan kadar yang disepakati. Pihak bank Islam biasanya menggunakan konsep ini dengan menjadikannya sebagai ‘skim simpanan’ pelanggan dengan kadar keuntungan yang menarik. Namun, perlu diingat bahawa disebabkan kontrak ini merupakan kontrak pelaburan, seandainya berlaku kerugian dalam pelaburan yang dilaksanakan oleh bank sehinggakan tidak balik modal, secara fundamentalnya, bank tidak boleh disabitkan dengan sebarang tanggungan. Hal ini demikian kerana konsep mudharabah meletakkan tanggungan kerugian itu kepada penanam modal[5] dan pelaksana peniagaan telah pun ‘rugi’ kerana tidak dapat membuat ‘keuntungan.’ Dalam bahasa mudah, bank tidak boleh dipersalahkan seandainya berlaku kerugian yang membawa kepada kehilangan modal.

Musyarakah

Diterjemahkan secara bebas sebagai syarikat. Konsep ini merupakan konsep yang sangat luas dan tidak semata-mata menjurus kepada syarikat dalam erti kata 'syarikat perniagaan.' Misalnya satu konsep baharu yang bertujuan menggantikan bai bitaman ajil iaitu musyarakah mutanaqisah iaitu perkongsian pemilikan yang berakhir dengan pemilikan sebelah pihak (secara meningkat). Cara yang digunakan ialah melalui 'suntikan modal' terhadap baki bayaran yang perlu dibuat oleh pembeli dan kemudian, membuat dua kontrak iaitu sewaan (bayaran bulanan yang perlu dibuat oleh pembeli) dan jualan milikan aset/produk tersebut secara beransur kepada pembeli. Dalam erti kata mudah, 'sewaan' tadi seolah-olah berubah kepada pembelian menjelang masa yang telah ditetapkan.

Wadi'ah (dibaca wa-di-'ah)

Pada asalnya lebih menjurus kepada konsep simpanan barang dan kini digunakan dengan meluas untuk simpanan wang dalam bank. Seseorang itu menyimpan wang di dalam bank dengan pihak bank diberikan tanggungjawab sepenuhnya bagi menguruskannya dan mengizinkan pihak bank untuk menggunakan wang simpanan tersebut bagi menjana keuntungan bank dan pihak banklah yang paling berhak terhadap keuntungan tersebut (tetapi bank boleh berkongsi keuntungan tersebut dengan pihak pelanggan). Dalam maksud skim simpanan, kaedah wadi‘ah merupakan kaedah paling selamat kerana secara konseptualnya, apa yang disimpan itulah apa yang sepatutnya diterima semula sekiranya pelanggan mahu membuat pengeluaran. Namun, masih tidak diketahui sama ada prinsip sedemikian terpakai dalam mekanisme simpanan di bank Islam dan perbankan Islam di sini kerana seandainya simpanan tersebut besar (ratusan ribu atau jutaan ringgit misalnya), dan digunakan oleh pihak bank untuk perniagaan mereka, namun sekiranya bank menjadi bankrap angkara peniagaan tersebut, adakah simpanan tadi boleh terpelihara setidak-tidaknya pada jumlah asalnya?

Ar-Rahn

Ar-Rahn merupakan gadaian secara Islam iaitu produk atau harta yang digadai bagi mendapatkan pembiayaan. Macam iklan dalam televisyen, 'dapat pinjaman sehingga 60 peratus harga barang!' Dari beberapa sudut, gadaian merupakan sesuatu yang lebih jelas dan selamat untuk kedua-dua pembiaya dan yang dibiaya kerana setidak-tidaknya sudah ada sesuatu yang dicagarkan untuk memperoleh wang.

Takaful

Alatan ini dikatakan sebagar insuran secara Islam bagi menggantikan 'harga nyawa' yang 'dicagarkan/diperjudikan' oleh insuran konvensional. Konsepnya sebenarnya mudah iaitu saling-membantu antara satu sama lain dengan tabungan wang yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan. Namun, timbul persoalan apabila wujud pandangan tertentu yang mengatakan bahawa adalah silap untuk mengatakan sistem konvensional mengaplikasikan unsur perjudian kerana pada asasnya, insuran yang mereka wujudkan bukanlah untuk 'memperjudikan' aset atau nyawa seseorang! Oleh yang demikian, golongan sebegini mengkritik pihak yang menganjurkan konsep takaful dengan menyandarkan hujah bahawa sistem insuran konvensional sebagai sebagai sistem yang mempunyai unsur perjudian.

Demikianlah beberapa alatan kewangan Islam yang diaplikasikan oleh sistem perbankan Islam. Setiap alatan yang diwujudkan mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing namun keterwujudannya sedikit sebanyak memberikan pilihan kepada pelanggan untuk melangkaui urus niaga yang mempunyai pengaruh riba. Suka diingatkan masih terdapat banyak lagi alatan-alatan perbankan Islam yang digunakan di pasaran namun cukuplah sekadar menyebut di sini beberapa jenis yang popular untuk tujuan bandingan.

 

Pengkelasan alatan kewangan Islam

Disebabkan alatan-alatan kewangan Islam ini merupakan derivatif daripada konsep fiqh muamalat yang muktabar, pembahagian asalnya lebih merujuk kepada ketersediaan kontrak terbabit. Salah satu cara ialah dengan membahagikannya kepada dua jenis iaitu kontrak pertukaran berbalas pemilikan harta dan kontrak partisipasi. Pengkelasan ini menjadi asas kepada penulisan Zaharuddin Abd. Rahman dalam bukunya Panduan Perbankan Islam[6]. Alatan yang dimasukkan dalam kontrak pertukaran berbalas pemilikan harta ialah seperti murabahah, bai bitaman ajil, bai as-salam dan ijarah. Sementara kontrak pratisipasi ialah mudharabah dan musyarakah. Dapatlah dilihat di sini pembahagian sebegini menjurus kepada kontrak yang berunsur 'jual-beli' dan yang berunsur 'usaha sama dan modal'. Cara begini lebih menampakkan bahawa terdapat alatan yang menjurus kepada bank sebagai penjual dan bank sebagai rakan kongsi perniagaan.

Cara kedua ialah yang dikemukakan oleh ElGindi et. al yang secara mudah membahagikan alatan-alatan tersebut kepada dua kumpulan iaitu yang berasaskan perkongsian keuntungan/kerugian dan yang tidak berasaskan perkongsian keuntungan/kerugian.[7] Alatan yang termasuk dalam kategori perkongsian tersebut ialah mudharabah dan musyarakah sementara yang tidak bersifat demikian ialah seperti Al-Bai, Ijarah dan Qard Hassan. Walaupun kelihatan seperti sama dengan usul pengkelasan yang dikemukakan oleh Zaharuddin, pengelasan ini lebih bersifat liberal apabila sebarang transaksi yang tidak berasaskan kepada perkongsian boleh dimasukkan ke dalam kategori bukan-perkongsian tadi. Dan nyata sekali, berasaskan kepada fahaman fiqh klasik, hanya dua alatan sahaja yang boleh diletakkan sebagai 'perkongsian' iaitu mudharabah dan musyarakah.

 

Rangka kerja pemahaman perbankan Islam

Apabila kita memperkatakan bank Islam dan perbankan Islam, lantas yang bermain difikiran kita ialah 'bank Islam' bersaing dengan 'bank konvensional' atau seolah-olah bagaimanakah sebuah sistem yang diterima pakai secara turun temurun itu hendak 'diIslamkan.' Hal sebegini menjadi cabaran kepada umat Islam kerana ketiadaan idea asli dan ampuh bagi membentuk acuan sistem perbankan Islam. Soalnya, adakah bank Islam perlu menyediakan keserupaan yang sama dengan sistem konvensional namun sekadar menjadikannya sebagai 'cara Islam?'

Untuk itu, kita kembali semula kepada konsep wang sebagai perantara dan bukannya objek kepada sesebuah transaksi, justeru menjadikan sebahagian besar daripada alatan perbankan Islam itu sendiri sebagai kontrak 'bukan-duit,' seterusnya menjadikan bank Islam itu sebagai sebahagian daripada 'syarikat jualan.' Hal ini bermaksud, kontrak-kontrak seperti pembiayaan perumahan dan kenderaan bukanlah dalam maksud 'biaya' itu sendiri malah sebenarnya lebih kepada jual-sewa-beli. Perkara ini sudah tentu boleh dikaitkan dengan pengkelasan yang telah dicadangkan sebentar tadi apabila wujudnya kontrak yang berbentuk pelaburan dan satu lagi kontrak yang berakhir dengan pemilikan oleh pelanggan.  Paradigma sebeginilah yang perlu diperkasakan oleh pihak yang berkepentingan dan pemasar perbankan Islam kerana dalam kebanyakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank dan perbankan Islam, pelanggan sebenarnya membeli/menyewa sesuatu aset/produk daripada bank dan akhirnya setelah bayaran penuh, maka harta terbabit akan menjadi milik pelanggan.

Cabaran utama bagi kaedah kefahaman sebegini ialah apabila melibatkan pembelian jangka sederhana seperti kereta kerana terdapat kecenderungan pelanggan yang membeli kereta hanya untuk digunakan sekitar tiga atau empat tahun dan kemudian ingin menjualnya kembali. Maka, ada wajarnya pendekatan yang lebih segar dan boleh diamalkan dirangka oleh ilmuan dan pemain industri supaya dapat menyelesaikan permasalahan yang berbangkit melalui transaksi sebegini.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, penjelasan yang bersistematik dan lebih tepat harus digunakan oleh pihak pemasar perkhidmatan perbankan Islam bagi memudahkan pemahaman orang awam mengenainya dan agar dapat memberikan maklumat yang tepat kepada pengguna. Hal ini akan dapat membolehkan pengguna/pelanggan untuk memahami perbezaan yang amat ketara antara sistem perbankan Islam dengan perbankan konvensional sekali gus dapat menjana satu kefahaman yang lebih jelas dan tepat mengenai perbankan Islam dan bukanlah semata-mata 'mengIslamkan' apa yang telah wujud dalam sistem konvensional.

Usaha pihak kerajaan seperti hal-hal berkaitan peraturan dan undang-undang pun perlu diambil perhatian kerana adalah sesuatu yang janggal seandainya masalah berbangkit di dalam kapasiti syariah dibicarakan di dalam kamar mahkamah sivil sedangkan peruntukan berkaitan muamalah jelas sekali menjurus kepada bidang kuasa syariah. Pada masa yang sama, peraturan tentang hak pemilikan juga perlulah diselesaikan kerana bagaimanakah kita merasionalkan sesebuah aset/produk itu adalah milik seseorang sedangkan manfaatnya milik orang lain?[8]

Satu lagi perkara penting yang begitu sukar untuk diselesaikan ialah apabila jual-beli itu membabitkan sesuatu yang masih belum siap seperti projek perumahan yang masih sedang berjalan. Amalan perumahan baru di Malaysia menyebabkan timbul isu pembelian sesuatu yang masih belum pasti kerana rumah yang dibeli sebenarnya masih belum siap. Sedangkan pelanggan telah mengikat kontrak dengan pihak bank dan wang yang diperlukan oleh pemaju sudah pun diselesaikan. Malangnya, pemaju yang gagal menyelesaikan pembinaan rumah tersebut kini boleh ‘lari’ daripada tanggung jawab kerana urusan dengannya telah dikira ‘selesai.’ Bayar bank bulan-bulan lain cerita! Usaha untuk menjadikan kegagalan pemaju menyiapkan rumah sebagaimana masa yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi yang dijanjikan sebagai satu jenayah merupakan langkah pertama bagi mengatasi masalah tersebut. Akan tetapi, langkah sebegini masih belum tentu dapat menyelesaikan keakuran syariah yang menuntut kepada produk/perkhidmatan/aset yang dijadikan untuk jual beli mestilah dapat dipastikan kewujudannya.[9]

Justeru, isu sebegini memerlukan usaha seluruh pihak yang berkaitan dan berkepentingan (stakeholders) untuk memperkasakan sebuah sistem yang benar-benar malar segar dan releven dengan perkembangan masa. Janganlah kiranya slogan 'Islam itu lengkap' sekadar bertanam tebu di pinggir bibir sahaja kerana kita masih lagi hendak memadankan sesuatu sistem yang mempunyai asas yang cukup berbeza. Usaha ini memerlukan iltizam yang tinggi dan semoga pemain industri dan pihak yang terbabit benar-benar berusaha bagi mewujudkan sebuah sistem perbankan yang sempurna dan setidak-tidaknya boleh diterima di serata dunia.

Nota hujung


[1] As-Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah Jilid 6 terj. Nor Hasanuddin dan Aisyah Saipuddin (Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications, 2010), 34 dan Mustofa Al-Khin, et al. Kitab Fikah Mazhab Syafie Jilid 6 terj. Salehan Ayub (Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 2005), 1285.

[2] Lihat Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Transformasi Fikah Semasa (Batu Caves: PTS Islamika, 2010), 191-192.

[3] Lihat Zaharuddin Abd. Rahman, Panduan Perbankan Islam (Kuala Lumpur: Telaga Biru, 2009), 75-76.

[4] Walaupun tidak dinafikan sama sekali bahawa wujud unsur perkongsian keuntungan dalam hal mudharabah ini. Namun, yang menjadikannya kurang tepat ialah apabila konsep mudharabah ini dibandingkan pula dengan konsep perkongsian perniagaan sebagai salah sebuah cara untuk menjalankan perniagaan (i.e. perniagaan sendiri, perkongsian, syarikat sendirian berhad, syarikat berhad) kerana seandainya pemegang saham beratus orang sekali pun, tetapi urusan dilakukan dengan berasaskan sebelah pihak menyediakan modal dan sebelah pihak lagi menggunakan modal untuk menjana keuntungan secara asasnya tetap dinamakan sebagai mudharabah.

[5] Lihat Syed Mohd Ghazali Wafa et al., Pengantar Perniagaan Islam (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia, 2003), 160.

[6] Bagaimanapun, dalam naskah tersebut beliau ada menjelaskan mengenai pembahagian jenis-jenis kontrak menurut perspektif Islam secara rajah ringkas dan padat. Lihat Zaharuddin, Panduan Perbankan Islam,10 & 17.

[7] ElGindi, T., Said, M. dan Salevurakis, J. W. ‘Islamic alternatives to purely capitalist modes of finance: A study of Malaysian Banks from 1999 to 2006,’ Review of Radical Political Economics vol 41. no. 4 (2009): 516-538. Naskah ini secara radikal telah membandingkan kaedah muamalah dalam Islam dengan sumber sejarah Kristian yang dikatakan sebagai mempunyai banyak persamaan.

[8] Perkara ini acap kali ditimbulkan oleh Zaharuddin Abd Rahman misalnya ketika membincangkan bai bithaman ajil apabila berlaku pertembungan kepentingan antara pemilik secara perundangan (legal ownership) dan pemilik manfaat (beneficial ownership). Lihat contohnya Zaharuddin, Panduan Perbankan Islam, 38-40.

[9] Perkara ini boleh dikaitkan dengan jualan susu yang belum diperah, atau bulu haiwan yang masih belum diketam atau buah-buahan yang masih belum masak. Lihat Mustofa Al-Khin et al., Kitab Fikah Mazhab Syafie, 1325-1329. Juga melanggari syarat mampu untuk diserahkan seperti menjual ikan dalam sungai, menjual burung yang sedang terbang. Lihat Sayyed Sabiq, Fiqh Sunnah, 48-49.

Tuesday, November 15, 2011

Eh, nama je bank Islam tapi mahal juga!

  • Kewujudan sistem kewangan Islam di Malaysia ialah seawal 70-an lagi dengan terdirinya Tabung Haji (TH).
  • Sungguhpun jarang diperkatakan, idea asal TH hadir daripada Prof Diraja Ungku Aziz sekali gus memperlihatkan pandangan jangka panjang beliau dalam membantu umat Islam melaksanakan rukun Islam ke-5[1].
  • Penyediaan tabungan dan pengurusan jemaah haji sudah semestinya akan memudahkan umat Islam Malaysia merancang, menyimpan dan melaksanakan haji dengan lebih teratur, tertib dan terlatih.
  • Malah kini kumpulan jemaah Malaysia merupakan antara jemaah yang paling berdisiplin semasa menunaikan haji[2]; yang semestinya meletakkan TH sebagai penanda aras kepada kewangan dan kepengurusan haji.
  • Kewujudan TH juga menjadi batu loncatan kepada usaha untuk menstruktur sebuah sistem perbankan Islam di Malaysia.
  • Walaupun TH bertindak sebagai pengurus tabungan dan pelaburan berteraskan syariah, institusi ini masih tidak menyedia alatan-alatan lengkap yang mampu memenuhi keperluan kewangan Islam bagi menyaingi sistem perbankan konvensional (mungkin sebab matlamatnya 'Tabung' bukannya 'Labur').
  • Usaha tersebut berjaya apabila pada 1983 Bank Islam diperkenalkan dalam sistem kewangan dan perbankan negara.
  • Sepanjang sepuluh tahun Bank Islam menikmati monopoli jenama Islam sampailah 1993, tatkala 'sistem perbankan tanpa faedah' yang manjadi pendulu kepada perbankan jendela[3] Islam yang kini boleh dinikmati di merata tempat di seluruh negara[4].
  • Ada perbankan-dual yang mengambil inisiatif mewujudkan premis sendiri untuk perbankan Islamnya; mungkin bagi meyakinkan pelanggan bahawa urusannya tidak 'bercampur' dengan yang bukan Islamik.
  • Kemudian, liberalisasi pasaran kewangan Malaysia memberikan peluang bank-bank Islam daripada luar negara bertapak di negara kita dan kini, begitu banyak sekali bank-bank Islam dan hampir kesemua bank konvensional menyediakan kaunter dwi-perbankan untuk memenuhi keperluan perbankan Islam[5].
  • Dari semasa ke semasa imej dan kaliber bank Islam dan perbankan Islam akan sentiasa ditingkatkan sebagai alternatif kepada sistem konvensional sedia ada.
  • Malah, kerajaan turut berusaha bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat perbankan Islam serantau.
  • Begitu juga kefahaman mengenai perbankan Islam, sentiasa cuba dipromosikan terutamanya kepada umat Islam.
  • Pelbagai makalah dan buku diterbitkan bagi memenuhi kefahaman rakyat tentang perbankan Islam sama ada bersifat akademik dan teknikal ataupun yang bersifat santai dan analogikal.
  • Bagaimanapun, suka penulis kemukakan untuk rekod, buku-buku yang bersifat ‘teknikal’ untuk sistem perbankan dan kewangan Islam sangatlah mahal berbanding buku biasa. Mungkin memang adatnya buku sebegini mahal.
  • Barangkali perlu diingat, 'bank-bank Islam' lebih-lebih lagi Bank Islam dibekalkan dengan atribut 'Islam' dan aplikasi penggunaan istilah Arab yang Islamik untuk penjenamaan dan mewujudkan persepsi betapa bank tersebutlah bank yang menjalankan operasi dan pengurusan secara Islam.
  • Hal sebegini pasti memberi kelebihan saingan kepada segmen pasaran umat Islam kerana secara logik deduktifnya, umat Islam pasti mendambakan sistem yang lebih Islamik berbanding yang berteraskan kapitalisme.
  • Namun akhirnya, bagi kebanyakan pengguna, harga produk dan perkhidmatan jualah yang menjadi pemberat dalam pemilihan satu-satu sistem perbankan[6].
  • Dan ditambah pula dengan capaian maklumat, kesedaran kognitif yang semakin bertambah, lantas pelanggan lebih-lebih lagi umat Islam sendiri akan mula mempersoalan; adakah semata-mata namanya bank Islam/perbankan Islam atau instrumen yang digunakan dilekapkan dengan nama Arab - contohnya wadi'ah murabahah, mudharabah, ijarah dan ba'i bithaman 'ajil, maka sudah semestinya segala-galanya telah diIslamkan.
  • Tambah rumit lagi, apabila perbandingan harga dan kadar dibuat, sistem konvensional tampak lebih murah berbanding perbankan Islam; hatta pelaburan menggunakan bank konvensional juga tampak memberikan keuntungan yang lebih berbanding bank Islam.
  • Justeru perkara sedemikian membawa kepada kenyataan berikut: perbankan Islam bukannya bermakna harga dan kadarnya lebih murah atau pelaburannya tak semestinya lebih untung berbanding perbankan konvensional!
  • Bank-bank Islam pun hendak untung juga!
  • Isu sebeginilah yang kadang-kala menjadi momokan paradoks kepada sistem perbankan Islam terutamanya yang berkaitan dengan kadar 'pinjaman' yang dicaj oleh bank-bank Islam.
  • Misalnya untuk pembiayaan peribadi, ada bank konvensional yang mampu menawarkan kadar yang lebih murah berbanding 'caj keuntungan tetap' yang dikenakan oleh bank Islam.
  • 'Oh, itu caj yang tak nyata. Sebenarnya mereka (bank konvensional) sangat bergantung kepada kadar pinjaman asas (BLR). Cuba kalau BLR itu naik, yang konvensional akan tambah lagi caj mengikut kenaikan BLR namun yang perbankan Islam akan kekal sebab kontraknya sudah terang dan nyata bahawa kadar itu segini-segitu,' begitu antara hujah mengapa bank Islam memelihara hubungan dengan pelanggan supaya mereka tidak rugi.
  • Namun, itu kalau BLR naik. Kalau BLR turun?
  • Ketaktentuan pasaran bukannya semata-mata dilihat kepada harga naik, bagaimana pula kalau harga turun sedangkan kadar bank Islam sememangnya akan naik mengikut kontrak (iaitu digelar sebagai kenaikan yang telah ditetapkan).
  • Dan bagaimana pula seandainya satu kumpulan (batch) pelanggan perbankan Islam mendapat kadar tetap tertentu, dan menjelang masa mungkin akibat perubahan pasaran dan strategi pasaran (berpijaklah di bumi yang nyata; bank Islam juga peniaga!) mereka mungkin menaikkan atau menurunkan kadar tersebut.
  • Sememangnya kontrak asal adalah tetap sekian-sekian, akan tetapi apabila kadar itu sendiri dinaikkan atau diturunkan mengikut keperluan pasaran bukankah akan berlaku semacam ketidakadilan kepada sama ada pelanggan awal mahupun pelanggan lewat.
  • Kalau kadar tetap dinaikkan, pelanggan awal (sebelum kenaikan kadar) akan mendapat kelebihan kerana kadarnya tetap tidak dinaikkan meski pasaran kewangan menaikkan kadar.
  • Begitu halnya seandainya kadar tersebut diturunkan, pelanggan lewat (selepas penurunan kadar) pula menikmati faedah kerana harga yang dibayar lebih murah sepanjang masa kerana kontrak telah menetapkan kadar yang lebih rendah daripada sebelum ini; dan tidak akan berubah berbanding yang orang terdahulu, yang mesti membayar kadar yang lebih tinggi meski harga kadar pasaran ketika itu rendah.[7]
  • Justeru, kefahaman mengenai bank Islam dan perbankan Islam perlulah menyeluruh dengan penekanan bahawa bank-bank Islam juga sebuah entiti perniagaan dan bukannya entiti kebajikan[8].
  • Dalam kebanyakkan urusan perbankan Islam, kita sebenarnya berurusan 'jual beli' dengannya (Al-Ba'i) dan bukannya meminjam (Al-Qardu Hasan).
  • Semasa kita 'meminjam' untuk membeli rumah atau kereta misalnya (contoh popular dan senang dikaitkan), kontrak sebenar ialah kita membeli tersebut daripada bank kerana bank sebenarnya telah membelinya terlebih dahulu dan bersetuju menjualkannya pula kepada kita.
  • Jadi, harga dalam kontrak tertakluk kepada harga pasaran; boleh naik dan boleh turun (macam beli emas, kadang kala harganya murah, kadang-kala harga melambung tinggi).
  • Namun kalau difikirkan yang konvensional pun melaksanakan perantaraan yang hampir serupa juga.
  • Misalnya kalau seseorang membeli kereta, dia bayar pendahuluan sepuluh peratus kepada penjual, penjual 'tolong carikan' bank untuk membiaya kereta pembeli; sudah siap dokumen dan setelah bank luluskan pinjaman, barulah boleh dapat kereta dan urusan pembeli dengan penjual telah selesai; kerana kini secara praktiknya bank telah membayar kepada penjual amaun yang ditetapkan dan banklah yang menjadi pemilik perantara kereta tersebut sebelum penjual memiliki penuh.
  • Penjual dalam hal ini, sudah pun mendapat kesemua nilai harga kereta dan pembeli pun tidaklah membayar ansuran bulanan kepada penjual; melainkan kepada bank!
  • Kalau dikaitkan isu 'tarik kereta' pun (kerana ansuran bulanan tidak dibayar), pihak banklah (sama ada bank Islam atau tak Islam) yang menuntut kereta tersebut daripada pembeli dan bukannya pihak penjual yang memanggil 'bonzer-bonzer' untuk menarik kereta kerana pembeli tidak menjelaskan ansuran bulanan di bank.
  • Sekali lagi menunjukkan bahawa dalam kedua-dua keadaan perbankan Islam dan konvensional, banklah yang memiliki kereta tersebut pada asalnya dan bukannya pembeli.
  • Jadi, yang simpan geran pun bank, yang dibayar ansuran pun kepada bank.
  • Urusan pembeli dengan penjual pun mungkin sekadar untuk hidupkan cukai jalan tahunan sahaja.
  • Nama sebenar urusan sebegini di bank konvensional pun ialah 'hire purchase' (sewa-beli) dan bukannya lending purchase (pinjam beli) atau car loan (pinjaman kereta).
  • Hal ini pastinya boleh dibandingkan dengan pembiayaan kereta untuk perbankan Islam yang memperkenalkan istilah Arabnya ijarah thumma ba'i iaitu 'sewaan kemudian beli.'
  • Oleh yang demikian, seolah-olah satu-satunya yang membezakan sistem Islam dan konvensional (dalam konteks pembiayaan kenderaan) ialah nama Arab instrumen atau perkataan Islam itu sendiri!
  • Jadi timbul persoalan kini, adakah orang tidak faham konsep pembiayaan perbankan Islam atau 'konsep pembiayaan bank' itu sendiri.
  • Dalam risalah, iklan dan flyer pun sering ditulis pinjaman 100 peratus atau kadar pinjaman rendah sedangkan transaksi sebenar bank konvensional (dan bank Islam) pun mirip sewa-beli justeru istilah yang sepatutnya ialah kadar sewaan!
  • Sebab itulah apabila ditanya kenapa pakai pembiayaan Islam ? -
  • Akan ada yang menjawab, 'Oh, sebab dia Islam', atau 'Aku nak yang Islam supaya tak masuk neraka,' dan 'Mahal tak apa asalkan Islam.'
  • Seolah-olah Islam itu telah bertukar menjadi jenama dan bukannya konsep.
  • Menjadikan umat Islam mesti pasrah menerima 'mahal tak apa, asalkan Islam' satu ketetapan pemikiran.
  • Dan stigma 'bank Islam pun berniaga juga' sebagai sesuatu yang semakin menjadi realiti dan seolah-olahnya mempunyai konotasi, 'mahal bank Islam, mahal ikut syariat. Murah yang konvensional sebab riba???'
  • Dari hal yang demikian, adalah elok untuk pelanggan sendiri diberikan asas yang cukup untuk memahami isu perbankan dan janganlah terkeluar lagi frasa popular, 'Oh, kadar pinjaman sama je, cuma dia Islam.'
  • Kerana seandainya itu berlaku, nampak sangat yang kita sekadar mengIslamkan sistem dan menggunakan frasa syariah dan fiqh muamalah hanya untuk menjadikan sistem tersebut 'sistem Islam.[9]'
  • Banyak manfaatnya seandainya perbankan Islam berjaya mendapat tempat kerana sistemnya lebih jernih, tampak dan telus berbanding kapitalisme yang gemar memanipulasi keadaan dan terlalu bergantung kepada nilai-nilai potensi (future value) berbanding nilai sebenar sesuatu perniagaan[10].
  • Apa lagi kerangka kapitasime yang diaplikasikan oleh sistem konvensional membolehkan keuntungan dikaut walau apa cara sekali pun tanpa mengendahkan norma, nilai kebudayaan, moral dan agama[11].
  • Krisis subprima tempoh hari memperlihatkan betapa rakusnya pihak pelabur ala kapitalis yang ingin mengaut keuntungan sehingga membangkrapkan institusi pelaburan dan perniagaan itu sendiri[12].
  • Tegasnya, sistem kewangan Islam perlu menjadi alternatif yang ampuh, yang berkesan dan mengemukakan konseptual yang segar untuk membolehkannya menarik minat pengguna, menjana pendapatan yang lebih dan memperkasakan ekonomi Islam itu sendiri.
  • Malah, pelanggan juga perlulah didedahkan dengan maklumat-maklumat yang tepat tentang bank Islam dan sistem perbankan Islam.
  • Input nilai kemanusiaan perlulah hadir bagi membezakannya dengan yang konvensional; lebih-lebih lagi nilai-nilai Islami.
  • Dan nilai-nilai Islami pula tak semestinya kedengaran Arab semata-mata...

Nota hujung


[1] Anekdot ini dicatatkan misalnya dalam “Ungku Aziz – A man for all Seasons” yang turut menceritakan kekaguman Mufti Besar Al-Azhar berkenaan idea seminalnya berhubung Tabung Haji. Lihat Abu Bakar Abd Hamid & K. T. Joseph, “Ungku A Aziz – A Man for All Seasons dlm. Hashim Yaacob et al., The Renaissance Man (Kuala Lumpur: UM Press, 2010), 15.

[2] Misalnya laporan TV3 pada 30/09/2011 yang antara lain menyebut wakil Kementerian Haji Arab Saudi meletakkan gred jemaah Malaysia sebagai ‘mumtaz’ (cemerlang).

[3] Contohnya Maybank Islamic, Public Bank Islamic dan RHB Islamic.

[4] Bank Islam juga menikmati status monopoli penyedia perkhidmatan perbankan Islam tulen sehingga Bank Muamalat memulakan operasinya pada 1999. Lihat Hamim et al. “Efficiency and competition of Islamic banking in Malaysia,” Humanomic Vol. 24, no.1,(2008): 28-48.

[5] Misalnya Al-Rahji Bank dan Kuwait Finance House.

[6] Perkara sebeginilah yang menjadi kekangan apabila bank-bank konvensional memperkenalkan produk yang mempunyai kadar yang lebih murah berbanding perbankan Islam. Biasanya, apabila tiba pada tahap begini, ramai yang mengaitkan ‘hanya iman sahaja yang boleh menentukan pemilihan bank seseorang pelanggan Muslim itu.’ Tetapi, wajarkah keadaan sebegini dilabel sebegitu?

[7] Hal sebegini sebenarnya telah diulas panjang lebar berkenaan perbankan Islam menggunakan kadar kewangan asas (BFR). Malah, dalam keadaan tertentu, apabila kadar BFR menurun, pelanggan akan diberi diskaun/rebet pula kerana penurunan tersebut. Lihat Zaharuddin Abd. Rahman, Wang dan anda cet. ke-3 (Kuala Lumpur: True Welth Sdn. Bhd.), 124-134. Bagaimanapun, masih kurang jelas sama ada kesemua jenis perbankan Islam (yang tulen dan dwi-perbankan) melaksanakan cara yang sama kerana beliau memberikan contoh dua bank sahaja mengamalkan kaedah sedemikian.

[8] Perkara ini sangat-sangat ditegaskan oleh Zaharuddin Abd. Rahman kerana imej bank-bank Islam seolah-olah dilihat sebagai pusat kebajikan atau mesti memberikan kadar atau caj perkhidmatan yang lebih murah berbanding yang konvensional sedangkan kewujudan bank Islam juga sebenarnya untuk cari makan. Lihat Ibid. dan Zaharuddin Abd. Rahman, Riba dan isu kewangan semasa (Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd), 102, 142-143.

[9]Kelakuan sebegini dikritik oleh Mahmood Zuhdi kerana pemakaian istilah-istilah fiqh klasik tersebut kadang-kala digunakan secara keterlaluan bagi menghalalkan pengambilan untung untuk daripada skim hutang tanpa faedah. Sedangkan langkah-langkah seperti ini belum tentu memberi nafas baru kepada perkembangan fiqh semasa. Lihat Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Transformasi Fikah Semasa (Batu Caves: PTS Islamika, 2010), 150-152.

[10] ElGindi et al. ‘‘Islamic Alternative to purely capitalist modes of finance: A study of Malaysian Bank from 1999 to 2006,'' Review of Radical Political Economics, Vol 41, No. 4. (2009): 516-538.

[11] Ibid.

[12] Penulis telah mengulas dengan panjang lebar mengenai krisis subprima sebelum ini. Lihat http://lappanblablabla.blogspot.com/2009/06/krisis-kewangan-2007-20-perhatian.html. Juga terdapat penerangan yang terperinci peranan riba dalam krisis subprima dalam Zaharudin, Riba dan isu kewangan Islam, 73-85.

Tuesday, November 8, 2011

Merealisasikan bahasa jiwa bangsa

(Sempena tercapainya angka 200 terbitan di lappanblablabla.blogspot.com.)

Terbitan dalam blog ini sudah mencecah dua ratus dan mempunyai kepelbagaian dalam isu dan topik perbincangan yang disentuh. Barangkali bagi yang pernah membaca blog ini berpendapat walaupun blog ini menggunakan frasa polymath, tampak sungguh perbincangan politik yang lebih diraikan oleh penulis. Seolah-olah politik tidak boleh lari daripada blog ini.


Akan tetapi, statistik menunjukkan bahawa terbitan dengan label 'ekonomi' merupakan terbitan yang paling banyak dibaca pengunjung berbanding yang lain. Terbitan Krisis Kewangan 2007-20?? merupakan terbitan yang paling ramai diraikan oleh pengunjung blog ini. Untuk rekod, sampai sekarang pun tanda soal pada tajuk tersebut masih kekal menjadi 'tanda soal' kerana dunia masih lagi bergelumang dengan krisis ekonomi/kewangan ciptaan Barat dan kapitalisme walaupun ada yang mungkin berhujah, apa yang berlaku sekarang sebenarnya berbeza konteksnya dengan apa yang terjadi pada tiga tahun lepas. Namun, tidak siapa pun boleh menafikan rantaian kejadian yang berlaku antara kedua-dua krisis sebenarnya berkaitan sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung.


Tiga tahun lepas orang bercakap mengenai 'krisis hutang subprima,' sekarang pun orang bercakap tentang hutang juga iaitu 'krisis hutang US' dan 'krisis hutang Eropah.' Pendek katanya, 'hutang' itu sendiri telah menjadi komoditi pasaran dunia apabila negara yang mempunyai hutang terbesar di dalam dunia ini (baca: US) ialah negara yang 'mengawal' ekonomi dunia. Ungkapan tersebut kekal menjadi sesuatu yang paradoks disebabkan kebergantungan ekonomi dunia terhadap penanda aras yang ditetapkan oleh Wall Street (sekali lagi, baca: US).


Justeru gagasan model ekonomi baru (secara literal, bukannya MBE/MEB semata-mata) yang lebih dinamik dan bersifat kemanusiaan adalah sangat-sangat penting bagi mengelakkan masyarakat secara keseluruhannya diheret sekali bersama-sama masalah dan kesilapan yang dicetuskan oleh pedagang-pedagang besar dan pembuat dasar. Hal itu jugalah yang cuba dibawa oleh gerakan seperti Occupy Wall Street yang nyata mempunyai penyokong dan pengikut mereka sendiri yang sanggup membuat piket, tunjuk perasaan berterusan bagi mempersoalkan peranan syarikat-syarikat korporat mega yang dilihat oleh peserta Occupy sebagai 'pemerintah' sebenar US kerana merekalah (syarikat mega) sebenarnya yang menentukan hala tuju ekonomi Washington.


Memang kedengaran seperti teori konspirasi ekonomi persis judul 'Confession of an Economic Hitman' namun kenyataannya kita tidak boleh sama sekali menafikan pengaruh syarikat korporat mega dan multibilion dolar ini terhadap kelangsungan ekonomi sesebuah negara. Masakan tidak, penyenaraian mereka di bursa pun menyumbang kepada angka-angka ajaib indeks itu dan ini, buat apa orang (kerajaan/bursa) hendak senaraikan sangat syarikat-syarikat ini kalau tak beri manfaat kepada mereka? (boleh dikaitkan dengan isu semasa domestik seperti Felda...).


Soal ekonomi juga mempunyai asosiasi dengan bahasa Inggeris. Kontra dengan pemikiran orang ramai mengenai Bahasa Melayu dianak tirikan dalam bidang Sains, penulis cenderung melihat perspektif bahawa bidang ekonomi dan perniagaan korporatlah yang paling menganak tirikan Bahasa Melayu. Terlalu sedikit rancangan televisyen yang memaparkan hal-hal berkaitan ekonomi dan korporat, apatah lagi dalam Bahasa Melayu. Akhbar atau majalah Bahasa Melayu yang membincangkan isu ekonomi teras sangatlah kurang berbanding genre keIslaman, mistik dan hiburan. Pendek katanya, Bahasa Melayu dan ekonomi di bibir-bibir pak menteri jaga korporat dan majlis korporat sangat-sangatlah perlahan.


Oleh sebab itulah sungguhpun beberan dalam blog ini berkenaan isu bahasa tidak sebanyak yang berlabel 'politik,' dan 'Islam,' terbitan berkaitannya diulas dengan panjang sekali. Kalau dikadarkan dengan helaian di perisian Microsoft Word, biasanya dalam lima atau enam muka surat. Hal ini bagi menzahirkan peri pentingnya agenda Bahasa Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya dipandang mudah atau rendah. Isu bahasa terlalu penting untuk dibincangkan pada perspektif politik semata-mata kerana ahli politik yang menentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam pendidikan bukan bermaksud yang mereka menyokong Bahasa Melayu. Perkara-perkara sebeginilah juga yang perlu disedari oleh 'pejuang-pejuang Bahasa Melayu.' Kegagalan dasar kerajaan seperti PPSMI dan huru-hara dalam implementasi MBMMBI merupakan bukti yang cukup kuat bahawa ahli politik sebenarnya cuma suka mengambil kesempatan dalam sesuatu isu berkaitan Bahasa Melayu tanpa memperjuangkan sebenar-benarnya keperluan bahasa itu sendiri.


Tuntasnya, andai dilihat daripada perspektif sejarah, bukanlah secara kebetulan sahaja Bahasa Melayu menjadi lingua franca pada zaman kegemilangannya. Penglibatan keseluruhan masyarakat pada ketika itu daripada institusi kesultanan, kegiatan perniagaan dan perdagangan, pengunaannya dalam kaedah pembelajaran terutamanya keagamaan dan keakuran masyarakat menggunakannya di dalam kehidupan seharian. Bahasa Melayu bukan sekadar hanya dijadikan isu retorik, petuturan peringkat bawahan semata-mata; malah turut diamalkan oleh kerabat diraja dan pedagang.


Melainkan untuk agama Islam, Bahasa Melayu sebenarnya sudah semakin dilupakan dalam segenap bidang keilmuan. Oleh sebab itu, masyarakat kita perlu mencontohi apa yang berlaku pada zaman kegemilangan Islam. Bukan sahaja karya-karya ilmiah bahasa asing sahaja yang diterjemah dan kitab-kitab keilmuan ditulis dalam Bahasa Arab, perkembangan kesusasteraan dan bahasa itu sendiri diperkukuhkan dalam segenap aspek kehidupan rakyat. Hal yang demikianlah yang menyebabkan kejayaan ketamadunan Islam-Arab pada ketika itu menjadi sumber kepada kebangkitan Tamadun Barat-Moden yang kini menuju ke fasa ‘pascamoden’ dan/atau transmoden yang kesemuanya tidak dapat tidak boleh dikaitkan dengan kelemahan umat Islam pada zaman kejatuhannya.


Sebab itulah isu bahasa terlalu penting untuk sekadar dipolitikkan

Tuesday, August 23, 2011

Isu JAIS 'serbu' gereja: Refleksi sejarah silam dan pepecahan masa kini

  • Sebenarnya isu ini sudah menjajat lebih tiga minggu dan baru kali ini blog ini ingin mengulasnya. Masih tidak terlewat untuk mengulas isu tersebut; lebih-lebih lagi mengenangkan gelagat manusiawi yang sememangnya sering tergesa-gesa dalam melakukan pelbagai perkara di atas muka bumi ini.
  • Polemik JAIS 'serbu' gereja kini sudah berubah tunjangnya daripada aspek akidah kepada aspek politik. Saman-menyaman telah berlaku dan tuduh menuduh telah pun digembar-gemburkan. Situasi sebegini tidak ubah sebagaimana pada zaman Khalifah Ar-Rasyidin terakhir yang mana umat Islam berpecah-belah kerana masing-masing hendak menegakkan yang mereka lebih benar berbanding puak yang satu lagi. Sehingga timbulah ungkapan mengkafirkan sesama sahabat yang seterusnya membawa pertumpahan darah sesama umat Islam pada ketika itu.
  • Soalnya, siapakah yang lebih benar pada ketika itu?
  • Selepas Khalifah Ali KRW meninggal dunia dibunuh, runtuhlah satu sistem asli (genuine) pemerintahan kekhalifahan Islam dan bangkit pula sistem monarki Islam sungguh pun pemerintah tertinggi daulah Islamiyyah pada ketika itu menggunakan gelaran 'khalifah.' Begitulah hebatnya pertentangan idealisme umat Islam ketika itu sehingga menyebabkan runtuhnya satu paradigma asli agama Islam yang membawa kepada unsur-unsur baru menyerap masuk ke dalam sistem pemerintahan dan politik Islam.
  • Tidak berhenti setakat itu, umat Islam terus menerus menghadapi perbalahan sesama sendiri melibatkan akidah pula. Pada zaman 'keemasan' Islam, umat Islam sebenarnya menghadapi cabaran sengit dalam soal akidah pula apabila fahaman cenderung kepada dalil akal muncul. Puak ini digelar Muktazilah dan kehebatan mereka mendapat perhatian Orientalis zaman kini dalam mengiktiraf 'kemajuan umat Islam.' Nama seperti Ibn Sina, Ibn Rushd dan Al Farabi menjadi penyumbang kepada pemikiran yang pro-akal (walaupun tidaklah semestinya mereka Muktazilah) sehingga menyebabkan berlaku 'pertelingkahan' kosmologi dan teologi antara mereka dan puak sunni. Kemuncak kepada pertelingkahan hujah tersebut maka lahirlah Tahafut Al-Falasifah yang ditulis oleh Al-Ghazali.
  • Al-Ghazali, tokoh yang digelar Hujjahtul Islam seterusnya menyusun pula sebuah karya monumental yang berjudul Ihya Ulumuddin yang berhasrat mengembalikan semula pemikiran Sunni sebagai tunjang falsafah Islam. Bagaimanapun menjelang masa, Ihya juga dikritik teruk kerana terlalu banyak menggunakan hadis-hadis dhaif dan maudu' di dalamnya. Malah, terdapat juga cakap-cakap mengatakan bahawa terdapat negara Islam kini yang telah mengharamkan sama sekali Ihya kerana ada umat Islam yang melebihkannya sehingga ke tahap Al-Quran sedangkan kitab tersebut bukanlah sebuah kitab yang berautoriti dari segi hadisnya.
  • Mutakhir selepas zaman kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyah, muncul pula gerakan 'mengembalikan semula Islam ke asasnya' yang kini digelar fundemantalis. Tokoh seperti Ibn Taimiyah, Muhammad ibn Wahhab antara pelopor gerakan sebegini yang kemudiannya mempengaruhi sedikit sebanyak gerakan islah yang membawa kepada tokoh-tokoh seperti Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Redha dan Qutbuddin Ahmad (Shah Waliyullah Ad-Dahlawi). Bagaimanapun, gerakan sebegini pun dikritik apabila ada yang mengaitkannya sebagai gerakan anti-mazhab dan/atau selalu membidaahkan amalan tertentu yang telah diamal menjadi adat turun-temurun.
  • Kesan di Malaysia juga nyata apabila ada ulama-ulama tertentu sebelum merdeka yang pendapatnya dikatakan tidak selaras dengan mazhab Syafie; sehingga wujudlah regim yang dikatakan sebagai kaum muda (yang cenderung kepada islah dan tajdid) dan kaum tua (yang cenderung mempertahankan tradisi). Sekadar menyebut beberapa nama yang mana pendapat mereka berbeza dengan kebiasaan pada ketika itu seperti Zaaba, Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin dan Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi. Pandangan Hassan Bandung (A. Hassan) dan Haji Abdul Malik Amrullah (HAMKA) juga antara pandangan yang 'digam' pada ketika itu (berkait soal fikah).
  • Oleh sebab itu, adalah tidak menghairankan sangat apabila pada masa sekarang ini, pasca tahun 2000 pun, masih ada pertelingkahan pandangan sama ada berkait akidah, fikah dan lebih-lebih lagi teristimewanya di Malaysia: politik. Mempolitikkan isu agama merupakan sesuatu tindakan yang cukup-cukup gemar dilakukan oleh ahli politik Islam Malaysia, apatag lagi apabila di Malaysia, wujud sebuah parti yang bernama parti Islam yang pandangan mereka berkaitan Islam hendaklah pada pendapat mereka perlu diraikan lebih berbanding autoriti agama lain di dalam negara.
  • Berbanding Muhammadiyah dan Nadhatul Ulama di Indonesia yang mana entiti kedua-duanya boleh dikatakan wujud tanpa terlalu banyak sangat pertelingkahan politikal, di Malaysia, ada mufti yang digelar mufti poco-poco, ada ulama yang digelar barua kerajaan dan ada tok guru yang peranannya sudah sampai ke tahap 'Mullah' apabila semua kenyataan beliau dipetik sebagai hukum belaka! Perkara sebegini merupakan sesuatu yang akan menyelinap di dalam arena keagamaan Malaysia saban hari dan saban masa.
  • Kembali kepada isu JAIS yang dikatakan 'menyerbu' sebuah gereja Methodis di Petaling Jaya, putaran isunya tetap sama. Akhirnya isu ini dipolitikkan dan wujudlah seolah-olah ada konspirasi tertentu bagi menjatuhkan pihak tertentu. Walhal, isu pokoknya adalah umat Islam cuba untuk dimurtadkan! Cubaan Kristianisasi telah berlaku dan hal ini entah macam mana diputar alamkan kepada isu politik! Alangkah anehnya umat Islam di Malaysia?
  • Kita sudah pernah mendengar ada masjid yang membuat dua jemaah Jumaat hanya kerana imam berlainan parti politik. Kita juga telah didedahkan dengan baiah andai seseorang keluar parti, akan tertalaklah si isteri dan wanita di dalam parti tersebut berasa bangga dengan baiah tersebut. Kita pun telah dengar kalau keluar parti sekian, maka nerakalah hukumnya dan dilaknat Allah Taala namun apabila masuk ke parti tersebut, akan bersihlah segala dosa sebagaimana bayi yang baru lahir. Bukankah perkara-perkara sebegini cukup-cukup menganehkan?
  • Dan apabila umat Islam di negara ini menghadapi isu Kristianisasi sebagaimana di dedahkan di dada-dada akhbar; bukannya kenyataan bersama yang hendak dikeluarkan. Sebaliknya 'jangan terpengaruh dengan muslihat parti tertentu,' atau 'ini merupakan satu sandiwara politik pihak tertentu,' atau 'eh, apa pula parti kita yang suruh, bukankah JAIS bawah pemerintahan parti itu.' Umat Islam sedang mengadapi cabaran akidah dan mereka yang berkuasa dan berpengaruh ini cenderung 'main bola;' tendang sini tendang sana isu tersebut? Apa ke hal?
  • Penulis sungguh pun mengakui bahawa seharusnya badan bertanggung jawab (jabatan agama Islam, Majlis Agama Islam, Baitul Mal, Jabatan Kebajikan Masyarakat)perlu lebih peka keperluan umat Islam yang kekurangan dari segi wang ringgit; tetapi penulis tidak akan bersikap apologikal andai benar umat Islam di Malaysia ini sedang berusaha dipesongkan akidahnya. Kalau benar kita sebagai rakyat negara 1Malaysia, mengapakah bantuan yang hendak diberikan disulami dengan pujuk-rayu dan syarat-syarat yang berkaitan dengan agama (seperti nyayian, amalan, ikrar)? Lakukanlah kebajikan tersebut atas nama rakyat Malaysia dan bukannya cuba untuk menyulami bantuan dengan mengganggu gugat kepercayaan yang dianuti oleh seseorang itu!
  • Bagi pemimpin Islam pula, ambil contoh isu murid beragama Islam disogok dengan unsur-unsur nyanyian Kristian dan bertuhankan Jesus sebagaimana yang didedahkan oleh media tempoh hari, guru yang melaporkannya merupakan seorang bukan Islam dan beliau melaporkan atas rasa tanggung jawab sebagai rakyat Malaysia. Mengapakah ada yang bukan Islam yang rasa 'lebih bertanggung jawab' mendedahkan hal tersebut sedangkan dalam isu gereja ini, umat Islam 'tidak pula lebih bertanggung jawab' untuk duduk semeja dan cuba menyelesaikan isu yang sama?
  • Oleh sebab itu, pemimpin-pemimpin Islam Malaysia seharusnya bersatu-padu bagi mencari jalan penyelesaian kepada kes-kes sebegini dan bukan hanya tunggu isu Palastin sahaja barulah hendak bergabung tenaga mengutuk Yahudi. Dalam kita mengutuk dan mencerca regim Israel dan Zionis yang menzalimi umat Islam di Palastin, adakah kita terlupa bahawa puak-puak ini satu ketika dahulu dihina dan dicerca tak bertanah air. Namun disebabkan kesepaduan antara mereka menyokong antara satu sama lain (pada masa itu) dalam mempropagandakan sistem kapitalis menyebabkan mereka kini boleh memijak-mijak kepada umat Islam dengan semudah itu?
  • Justeru, kepada PAS, tak usahlah label ini isu perangkap maut UMNO atau sandiwara BN, alangkah eloknya gunakanlah biro dakwah yang ada berdakwah kepada mereka yang memerlukan? Kononnya hendak menegakkan negara kebajikan, namun kebajikan umat Islam sendiri tak terjaga; bagaimana? Islam bukan pada ceramah keluar dalil itu ini dok tuduh orang itu gini, orang ini gitu semata-mata. Mana sifat ihsan yang seharusnya ada pada pemimpin dan pengikut kamu? Kamu dok pegang nama Islam itu pada parti kamu tapi hal-hal Islam ada saja alasan politik; apa sebenarnya perjuangan kamu? Keluar dalil beria-ia dipadankan ayat Quran dengan tindakan mereka namun tidak pernah menghayati pula walatafarraqu yang juga disebut dalam Al Quran! Ada sahaja alasan untuk tidak mahu bersama-sama parti yang satu lagi (UMNO) macamlah parti tersebut merogol kesucian Islam zaman-berzaman sedangkan PAS kini dengan tawaduknya bekerjasama dengan parti-parti yang tidak langsung meletakkan Islam sebagai asas perjuangan mereka! Bertaubatlah!
  • Dan kepada UMNO, ikhlaskanlah perjuangan memartabatkan agama Islam dan membantu umat Islam. Janganlah bila timbul isu sebegini, diajuk pula, 'ini isu PAS; berlaku di negeri PAS' Kamu pegang negara, kalau umat Islam sampai ke gereja nak mintak bantuan, apakah sudah menyeluruh usaha yang kamu dah lakukan? Perangai sebegini sama sahaja membuat blok pemisah kerjasama sesama umat Islam. Buat apalah nak saman pemimpin PAS tu sebab mereka memang tak tahu apa-apa! Lantaklah mereka hendak tuduh apa tetapi patut difikir apakah yang telah dan akan kamu lakukan bagi mengelak kejadian sebegini berulang? Mintalah info daripada mereka yang arif, yang pernah membangkitkan isu sebegini sebelum ini (seperti Sahibus Sahamah Tuan Guru Al-Alamah Tan Sri Harussani Zakaria) bagi menyelesaikan masalah gejala murtad ini. Baik sangkalah yang PAS itu sebenarnya masih jahil tak tahu nak bezakan antara isu politik dengan isu akidah. Bukan semua orang dalam PAS yang tunduk sami'na wa ato'na dengan pemimpin tertinggi mereka sebab ada yang turut serta mengambil berat isu memurtadkan umat Islam. Carilah cara atas nama dan landasan Islam bagi menyelesaikan masalah ini bersama-sama.
  • Dan kepada pihak autoriti agama (selain PAS), sudah semestinya isu sebegini akan menjadi tamparan yang maha besar apabila kamu dituduh melulu 'menyerbu' gereja tersebut. Sama ada benar atau tidak gejala kristianisasi tersebut, mencegah lebih baik daripada mengubat. Perkasakanlah kaedah penghapusan kemiskinan terutamanya kemiskinan bandar yang melanda umat Islam. Lantiklah pakar ekonomi Islam menyertai badan-badan kamu kerana mereka mampu memberikan maklumat bagaimana mengatasi masalah kemiskinan dan masalah penerima zakat. Dinamika pengurusan zakat dan baitul mal perlulah ditambah baik agar kita dapat mengurangkan sama sekali umat Islam yang fakir, miskin dan yang berkeperluan. Janganlah akaun agihan zakat itu asyik-asyik ada lebihan sebab zakat pada asalnya bukannya modal untuk dijadikan wang pusingan untuk 'lembaga' atau 'pusat.'
  • Kepada umat Islam Malaysia pula, udah-udahlah asyik hendak menghentam orang sini sana tentang siapa yang salah. Cuba tanya diri sendiri, sudahkah kita menunaikan zakat (bukannya fitrah Ramadhan sahaja; tetapi zakat harta sekali)? Sudahkah kita bersedia dengan 'sedekah jariah' yang bakal menjadi amalan yang berkekalan selepas mati? Pertingkatkanlah taraf ekonomi diri sendiri dan keluarga dan dari semasa ke semasa cuba capai keadaan ekonomi yang benar-benar ideal sebagaimana zaman Khalifah Umar Abdul Aziz (yang tulen; khalifah daulah Islamiyyah; bukannya 'khalifah celup' yang diangkat yang bernama Lim Guan Eng!) Kita hendaklah mengingati dan menginsafi firman Allah dalam Al-Quran yang mana ayat ini menjadi salah satu daripada sunnah Nabi SAW untuk dibaca semasa sembahyang Jumaat yang bermaksud 'Dan nafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan sebelum maut datang kepadamu, lalu kamu mengatakan "Wahai Tuhanku, mengapakah aku tidak diberikan penangguhan waktu sebentar sahaja supaya aku boleh bersekah dan menjadi orang yang soleh". Namun, Allah tidak sama sekali akan menangguhkan ajal seseorang itu apabila sudah tiba, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala apa yang kamu lakukan.' (Surah Al-Munafiqun: 63, ayat 10-11). Maka hendaklah kita beramal dengan mafhum ayat tersebut.
  • Menjelang akhir Ramadhan, marilah kita sama-sama meningkatkan amalan khusus dan umum yang kita boleh buat dan dari semasa ke semasa, tinggalkan pertelingkahan yang sebenarnya hanya membawa kerugian kepada umat Islam. Selamat beramal!

Sunday, August 7, 2011

Krisis Hutang US: Kesan dan Mengurangkan Kesan

Pendahuluan: Apabila Obama sepatutnya berpeluh

  • Pada hari semalam (2/8/2011; waktu US), setelah berminggu-minggu debat dan debik antara pro-Republikan dan pro-Demokrat berkaitan krisis hutang, Dewan Perwakilan US berjaya juga meluluskan rang undang-undang berkaitan polisi hutang mereka setelah dilobi dengan bersungguh-sungguh oleh Presiden Barack Obama. Sejurus diluluskan oleh Senat, Barack Obama segera menandatangani rang undang-undang tersebut bagi menaikkan had hutang (siling hutang; macam 'harga siling...') US bagi mengelakkan apa yang dikatakan sebagai kebarangkalian untuk negara Uncle Sam itu bankrup menjelang keesokkan harinya (3/8/2011).
  • Sebagai pemerhati ekonomi sambilan dan tak bertauliah, keadaan sebegini pastilah akan menimbulkan tanda tanya. Andai semudah itu US menyelesaikan krisis ekonominya dengan membuat undang-undang baru, alangkah mudahnya dunia ini menyelesaikan segala krisis yang ada di atas muka bumi ini. Tetapi tidak. Bukan semudah itu US menyelesaikan masalah hutangnya kerana sungguh pun undang-undang baru itu diperkenalkan, sentimen pasaran masih lagi bersikap pessimis dan hasilnya, kebanyakan bursa utama dunia masih menunjukkan trend penurunan mata indeks mereka. Penyelesaian melalui perundangan lewat 2/8 hanya menjadi penyelesaian jangka pendek sahaja kerana hutang tetap perlu dibayar dan gaji kakitangan awam juga perlu dilangsaikan.
  • Banyak yang kita boleh pelajari daripada krisis hutang US ini. Salah satu yang mendapat perhatian adalah betapa perubahan (change) bukanlah semudah disangka. Obama dalam kempen politiknya sebelum menjadi presiden begitu ghairah mengetengahkan manifesto perubahannya. Malah, selepas 100 hari menjadi presiden pun, beliau sempat berseloroh bahawa 'kerjanya' rupanya lebih mudah daripada yang disangka dan rangka kerja 100 hari akan datang akan dapat diselesaikan lebih awal lagi. Namun, kini kita pun tahu bahawa disebalik gelek tarinya sekali dua menari seperti di siaran Ellen DeGeneres, beliau sepatutnya lebih kelihatan berpeluh dan panik berbanding ketenagan di wajahnya yang menyimpan pelbagai kerungsingan berkenaan negara.
  • Keadaan 'genting' sebelum undian di kongres juga memperlihatkan bahawa dengan kerajaan yang mempunyai dua kuasa undi yang sama kuat, adalah amat sukar untuk membuat keputusan undian bagi meluluskan rang undang-undang. Untuk rekod, selepas pilihan raya 'mid term' US, dewan kongres US lebih banyak dikuasai parti Republikan berbanding Demokrat dan hal yang demikian pastilah memberi kesan terhadap dasar dalaman kerajaan US sendiri. Perkara tersebut disebabkan presiden tidak sebulu dengan majoriti ahli perwakilan (secara parti - Obama: Demokrat). Seolah-olah Presiden US adalah presiden yang terkuat pengaruhnya di luar US akan tetapi, di dalam negara sendiri lain pula ceritanya. Sungguh pun beliau boleh melobi untuk melakukan sesuatu keputusan; ahli kongres (Congressman; sepangkat dengan YB Dewan Rakyat) dan Senator tetap menjadi pemutus sama ada sesuatu rang undang-undang itu untuk diteruskan atau pun tidak.
  • Perbahasan berlangsung apabila kebanyakan ahli kongres US daripada Republikan menolak sama sekali usaha kerajaan meningkatkan cukai negara dan enggan setuju dengan peningkatan had hutang. Mereka menuntut kerajaan lebih berjimat dalam pengurusan wang kerana kerajaan didapati terlalu membazir memperhabiskan wang. Sedangkan andai had itu tidak dinaikkan, kerajaan US akan mengalami kebankrapan hasil dasar sendiri kerana tidak mampu membayar hutang mereka di seluruh dunia. Bagaimana pun, meningkatkan had hutang pun tidak menjamin bahawa ekonomi US akan mampu dipulihkan kerana kerajaan sebenarnya menambahkan lagi beban hutang sendiri dan belum tentu juga akan terbayar pada masa akan datang.
  • Dapatlah disimpulkan di sini bahawa walau pun ekonomi US bertindak sebagai penanda aras ekonomi dunia, ekonomi US sendiri penuh dengan kepalsuan apabila mereka sebenarnya merupakan negara yang paling tinggi nilai hutangnya. Justeru akan timbulah satu paradoks, bagaimanakah sebuah negara yang paling banyak hutangnya di dunia ini menjadi petunjuk kepada keadaan ekonomi dunia? Jawabnya mudah. Kebergantungan negara terhadap US sendiri yang menyebabkan negara akan terkesan kalau ekonomi US 'terbatuk.' Antara negara-negara yang mempunyai kepentingan adalah seperti Jepun, China, UK dan Timur Tengah kerana mereka melanggan sekuriti perbendaharaan US. Sudah tentu kalau nilai sekuriti US tak laku, mereka pun turut melabur di sesuatu yang sudah tidak laku (perhabis duit untuk rugi). Gred penarafan kredit US kini dalam keadaan kritikal direndahkan grednya daripada AAA kepada AA+ (oleh Standard & Poors) dan sudah semestinya ramai pelabur akan mula menjual (menuntut duit semula) pegangan mereka kerana tidak mahu menanggung kerugian!

'Kerajaan' pun jatuh bankrup....

  • Tatkala kegawatan ekonomi dunia sedang menjalar sama ada ke Eropah dan besar kemungkinan Asia, sudah semestinya kita tercari-cari apakah punca kepada malapetaka ekonomi yang boleh memberikan kesan jangka panjang terhadap kehidupan manusiawi di atas muka bumi ini. Barangkali perlu diingat bahawa oikos nomos boleh dikaitkan dengan oikos logos dan ekologi manusia sememangnya tidak dapat tidak; mesti dikaitkan dengan perhubungan sesama manusia bagi memenuhi keperluan antara satu sama lain. Dalam Bahasa Arabnya disebut mualamat.
  • Sistem kapitalis menjadi sasaran sebagai penyumbang kepada ketaktentuan ekonomi dan kewangan masa kini terutamanya bagi mereka yang beretika. Sistem ini membolehkan pengautan keuntungan dengan apa cara sekali pun dengan berlipat kali ganda. Industri kewangan dan korporat di US baru sahaja dilanda 'krisis subpirma,' yang memberi kesan yang dahsyat sehingga mengakibatkan kebankrupan begitu banyak sekali firma-firma yang satu ketika dahulu gah menakhodai ekonomi US. Semua itu dek kerana mahukan untung yang cepat dengan apa cara sekali pun, kredit dijual dengan berleluasa dan 'jual atas jual' berlangsung sehingga kering-kontang dibuatnya simpanan tunai mereka sedangkan mereka terlalu berharap kepada segala nilai masa hadapan yang kononnya memberikan pulangan berlipat kali ganda. Akhirnya, apa yang mereka peroleh hanyalah hutang berganda-ganda.
  • Andai sebelum ini kita terfikir, bagaimanakah sebuah bank boleh jatuh bankrup (bank yang penuh duit pun boleh muflis), bagaimanakah pula kita boleh menerima sebuah 'negara' menjadi bankrup? Sudah pastilah hal yang demikian akan menimbulkan tanda tanya yang sangat-sangat menghairan lagi menganehkan. Apatah lagi institusi kewangan lebih mempercayai 'kredit-kredit' yang hendak diambil oleh kerajaan dan yang berkaitan dengannya kerana kerajaan secara logiknya tidak akan jatuh muflis. Lihat sahaja misalnya pinjaman korperasi, perbankan dan dana-dana tertentu di Malaysia yang memberi syarat 'terbuka kepada kakitangan kerajaan dan badan berkanun sahaja' yang memperlihatkan keyakinan pelabur dan pemberi biaya bahawa kewangan kerajaan adalah kukuh. Kalau hendak dibandingkan pekerja sektor swasta yang mana syarikat yang menggajinya boleh sahaja mengalami pelbagai masalah kewangan dan persekitaran sama ada mikro mahu pun makro; perkara tersebut menyebabkan mereka tidak semudah itu mendapat sebarang biaya!
Alternatif Ekonomi menampan kesan
  • Oleh yang demikian, kejadian di US memberi amaran besar terutamanya kepada kerajaan agar lebih berhemah ketika berbelanja kerana kebankrupan negara boleh sahaja berlaku walau pun kedengaran agak pelik. Pelaburan negara seharusnya dilakukan dengan berhemah agar wang rakyat tidak akan dibazirkan sehingga menyebabkan dana-dana lain seperti skim pencen dan simpanan pekerja yang kelak menjadi galang gantinya. Perkara tersebut bukanlah mustahil berlaku kerana sudah ada ancaman berkenaan di US.
  • Selain itu, alternatif ekonomi perlulah dibangunkan bagi menjadi penampan kepada sebarang ancaman ekonomi terutamanya berkaitan dengan ekonomi negara lain. Untuk sekian kalinya, pelaburan dalaman atau kini lebih popular dengan nama kini, pelaburan terus domestik (DDI) haruslah diperkukuhkan bagi mengurangkan kebergantungan ekonomi negara dengan pasaran asing. DDI berfungsi bagi mengurangkan impak ketaktentuan pasaran antarabangsa terutamanya apabila fungsi FDI dikompromi oleh keadaan ekonomi negara pelabur yang gawat yang mungkin akan mengheret sama kesannya kepada Malaysia.
  • Bagi menjayakan DDI, tidak dapat tidak, pasaran kerja hendaklah diwujudkan bagi membolehkan rakyat di negara kita menceburi bidang perniagaan dan mengurangkan pengangguran. Industri kecil dan sederhana (IKS) tidak lagi boleh dianggap sebagai penyumbang sampingan negara sebaliknya harus digembeleng agar menjadi industri yang setara dengan sektor korporat dan menjadi petunjuk penting kepada ekonomi dunia. Bagi mencapai tahap tersebut, ada baiknya skim kredit mikro diperkasakan bagi membantu usahawan-usahawan baru untuk bertapak menjalankan perniagaan mereka dengan lebih baik. Skim latihan memanglah sangat-sangat penting; akan tetapi apa yang lebih penting adalah usahawan tersebut mengamalkan apa yang dilatih. Tak guna andai diberi sijil barang berpuluh keping tetapi aplikasinya tidak ada. Sudah tentu mereka akan melakukan banyak kesilapan sedangkan kesilapan adalah perkara yang perlu dielakkan dalam suasana tidak menentu. 'Belajar daripada kesilapan' adalah frasa yang tidak bermakna kalau seseorang itu sudah pun belajar tetapi asyik berkali-kali buat silap!
  • Apabila memperkatakan pelaburan domestik, sektor pertanian juga tidak boleh dipandang sepi hanya kerana statusnya 'pertanian.' Pertanian harus dilihat sebagai sumber yang sangat-sangat penting kerana melalui pertanian, kebergantungan negara terhadap pengimportan makanan akan dapat dikurangkan. Ruangan Kunta Kinte (pengarangnya dipercayai Datuk A Kadir Jasin?) di Berita Harian pada 5/8/2011 memberikan amaran terhadap kurangnya perhatian terhadap sektor pertanian sedangkan sektor tersebut merupakan pembekal makanan yang utama dalam citra ekonomi dunia. Perkara tersebut tidaklah menghairankan kerana ternyata kebangkitan ekonomi Eropah dan US dahulunya didorong oleh sektor pertanian yang menjana pembekalan makanan. Jadi, amatlah penting untuk kita mempelbagaikan maksud pertanian dan perladangan itu agar tidaklah terlalu dikaitkan dengan penanaman kelapa sawit semata-mata. Melainkan kita boleh menggunakan kelapa sawit untuk dijadikan makanan ruji, kita sebenarnya sangat bergantung kepada sawah bendang bagi membekalkan beras kepada rakyat. Begitu juga usaha bagi menggalakkan industri penternakan sama ada ayam, lembu, kambing dan ikan kerana kesemuanya menyumbang kepada peningkatan kapasiti makanan negara.
  • Usaha memperkasakan pertanian harus disokong oleh kerajaan, pihak swasta dan rakyat bagi membolehkan perkembangan pertanian makanan akan dapat berterusan seterusnya menjadi penyumbang yang substantif (kalau pun tidak mencapai tahap penyumbang utama) untuk KDNK negara. Ambil contoh Belanda, negara yang tak seberapa besarnya kalau hendak dibandingkan dengan jiran Eropah yang lain; bagaimana pun menjadi penyumbang pertanian terbesar dunia? Macam yang penulis pernah beberkan sebelum ini, karipap pun belum tentu boleh dikatakan sebagai 'buatan Malaysia' lantaran bahan daripada tepung, kentang, mentega, rempah dan bebawang kesemuanya diimport dari negara asing sebelum diadun menjadi kuih yang terpopular di tanah air itu!
  • Selain daripada pertanian, sudah tiba masanya kerajaan bersungguh-sungguh untuk mengeksploitasi peluang ekonomi dan kewangan Islam sebagai peneraju model ekonomi negara. Kesedaran ekonomi Islam haruslah dimangkin supaya rakyat faham faedah daripada perlaksanaan sistem tersebut yang bukan sahaja menjaga kepentingan pengguna, malah dapat mengelakkan daripada sebarang salah laku akibat pengambilan untung (baca: riba) yang berlipat kali ganda dan keuntungan atas angin. Oleh sebab itu, pembekal perkhidmatan hendaklah melatih tenaga kerjanya supaya menyebarkan informasi yang tepat berkaitan dengan instrumen pelaburan Islam dan mengapakah terdapat perbezaan antara yang mematuhi kehendak Islam dan yang konvensional. Janganlah terkeluar daripada mulut pekerja bank, 'Oh yang ini sama saja dengan pinjaman konvensional; cuma dia Islamik,' kerana kenyataan tersebut memperlihatkan betapa rendahnya kesedaran kita untuk memartabatkan sistem kewangan Islam.
  • Sudah tentu dalam sistem kewangan Islam, hutang tidak boleh dijual kerana penjualan hutang hanya memberi keuntungan atas angin kepada institusi perbankan. Jangan salah faham. Ekonomi Islam juga memberikan peluang seluas-luasnya kepada pelabur untuk mencari keuntungan; akan tetapi keuntungan melalui kezaliman kepada penerima biaya dan keuntungan atas angin ini merupakan keuntungan yang ditegah oleh syariah. Pematuhan terhadap syarak menjadi asas kepada sebarang keputusan pelaburan.
  • Untuk mencapai hasrat tersebut, instrumen perbankan Islam hendaklah dipelbagaikan bagi membolehkan rakyat memilih dan memanfaatkannya dengan seluas-luasnya. Dari pelaburan berasaskan mudharabah (Qiradh), pinjaman berasaskan murabahah atau ijarah (istilah yang dipopularkan PTPTN: ujrah), simpanan berasaskan wadi'ah, kerjasama berasaskah syarikah, sewa-beli berasaskan ijarah tsumma bai', gadaian secara rahn serta perlindungan berasaskan takaful.
  • Selain itu, terdapat juga instrumen kewangan yang pada asalnya konvensional namun bolehlah digunapakai selagi berlandaskan syarak seperti pelaburan amanah (trust) seperti amanah hartanah (REIT) dan amanah saham (unit trust) yang boleh dieksploitasi oleh pemain industri agar terciptanya kepelbagaian dalam portfolio pelaburan. Kewujudan bon Islam yang kini digelar sukuk juga akan dapat memberikan alternatif kepada mereka yang meminati pasaran bon untuk melabur dalam skim yang berlandaskan syariah. Kadang-kala, pelabur minat kepada yang Islamik tetapi hebahan dan capaian yang terbatas menyebabkan mereka ternanti-nanti bilakah tibanya peluang dan ruang.
  • Pasaran emas juga merupakan satu lagi pasaran yang cukup popular masa kini. Sama ada melalui buku pelaburan emas (di Maybank, CIMB, KFH; bukan KFC!) mahu pun emas fizikal seperti kepingan emas (gold wafer), barang kemas mahu pun syiling emas (dinar). Pasaran emas adalah pasaran yang stabil; oleh sebab itu, kekukuhan pasaran ini dapat menjamin pelaburan yang baik dan halal. Sungguh pun terdapat pandangan skeptik berkaitan penggunaan emas sebagai mata wang (seperti emas dalam dunia ini tidak cukup untuk menampung penggunaannya sebagai duit), didapati pasaran emas lebih stabil berbanding wang kertas yang boleh dicetak dan boleh sahaja dinaik turunkan nilainya kerana spekulasi oleh pelabur mata wang yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan dan keuntungan (pasaran ini dipopularkan sebagai ForEx).
  • Dalam hal mencari keuntungan, jangan dilupa hak orang lain daripada rezeki yang kita ada. Maka hak tersebut boleh dilangsaikan melalui zakat. Kesemua instrumen pelaburan dan pelaburan emas tadi, ada keperluannya untuk dizakatkan apabila cukup tempoh masanya (haul) dan cukup nisabnya (jumlah yang diwajibkan zakat). Apabila kita bercakap tentang zakat, pastilah institusi baitul mal menjadi pasangan terbaik untuk dibicarakan sama. Baitul mal hendaklah bertindak dengan proaktif bagi mengeluarkan asnaf-asnaf daripada dibelenggu kefakiran dan kemiskinan. Mereka yang seharusnya diutamakan terlebih dahulu berbanding yang lain. Pengurusan zakat perlulah didinamikkan agar tujuan asal zakat bagi mengeluarkan umat manusia daripada kesempitan hidup dapat dicapai. Kita tidak mahu entiti baitul mal hanya mengalami perubahan kosmetik sahaja dengan nama sebagai 'lembaga' atau 'pusat' namun penerima zakat bagi kategori fakir dan miskin masih orang yang sama. Eloklah konsep pengagihan itu ditambah baik agar yang meminta-minta ini tidak terus-menerus menjadi peminta kerana 'tangan yang memberi lebih mulia daripada yang menerima.'

Penutup: Amaran dan cabaran

  • Penutup kata, tatkala kebergantungan ekonomi kita dengan perubahan landskap ekonomi dunia, bukanlah mustahil bagi negara dan rakyat mengurangkan impak fluktuasi pasaran luar daripada mengganggu dan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara. Di bawah pentadbiran PM Najib, begitu banyak sekali senarai kependekan yang dikeluarkan dari GTP, ETP, PTP, NKRA, NKEA dan KPI (sungguh pun KPI merupakan istilah yang umum tak tertakluk di Malaysia); akan tetapi, yang lebih penting adalah perlaksanaannya agar mencapai matlamat sebenar penubuhan kosa-kosa kata baru tersebut. Setelah gelembung hartanah subprima yang berlaku dalam sektor kewangan US memberi kesan yang amat signifikan kepada kestabilan ekonomi negara, adalah amat penting untuk kerajaan melalui agensi yang berkaitan (MOF, MITI, EPU, KPDNKK) mengambil serius apa yang berlaku di US sekarang bagi mencari dan menggali sebarang kontinjensi untuk menghadapi asakan kegagalan US menguruskan hutang mereka. Kejadian di US juga menginsafkan kita betapa setingginya harapan yang diletakkan ke bahu Obama bagi membuat perubahan, setinggi itulah harapan itu jatuh berkecai ke lantai dan bersepai umpama orang terjun bangunan dari tingkat 80! Melainkan usaha kita bagi menyerap tekanan ekonomi dunia yang dikuasai puak Yahudi, kita seharusnya bertawakkal agar diberi kemudahan bagi menghadapi urusan duniawi sebagai bekal kelak ke akhirat sana.
  • Moga-moga Tuham merahmati dan memberkati usaha kita ke arah itu!