Showing posts with label Isu Bahasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Bahasa. Show all posts

Wednesday, October 9, 2013

Demo terlebih demokrasi

 

Bukanlah kali pertama Amerika Syarikat (US) menghadapi kesan terpaksa menaikkan siling hutang mereka untuk membayar gaji pekerja perkhidmatan awam. Dan bukanlah kali pertama juga dalam sejarah pentadbiran kewangan, US terpaksa berhadapan dengan keadaan 'penutupan kerajaan' (government shutdown) yang menyebabkan penutupan berbagai-bagai agensi kerajaan lantaran tidak mempunyai dana untuk membayar gaji pekerja mereka. Oleh sebab itu, tidak hairanlah sekiranya kejadian yang sama berlaku lagi saban tahun kerana negara ekonomi terbesar dunia itu sebenarnya mempunyai tanggungan hutang yang sangat besar.

 

Kredit Kartun: Juragan,Harian Metro

 

Barangkali ramai yang tidak perasan keadaan politik di negara Uncle Sam itu sebenarnya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri berbanding di Malaysia. Jika Presiden berasal daripada satu parti, Kongres (istilah yang sama dengan Parlimen di sini) tidak semestinya dikuasai oleh proparti si Presiden. Pemilihan presiden dan Ahli Kongres (setara Ahli Parlimen) atau Senator ialah dua perkara yang berbeza. Setiap empat tahun, pemilihan presiden dan Ahli Kongres dan Senator akan diadakan secara bersama-sama, namun dalam pertandingan berasingan. Jadi, boleh sahaja berlaku (dan sering juga berlaku) presiden yang dilantik tidak mewakili suara majoriti di dalam Dewan Perwakilan dan/atau Senat kerana berbeza parti. Misalnya pada masa kini, presiden US ialah seorang ahli Demokrat namun Dewan Perwakilan dikuasai oleh golongan Republikan.

Tambahan pula, dalam satu penggal pemerintahan seseorang presiden (empat tahun), akan ada sebuah pilihan raya pertengahan penggal (midterm, biasanya pada tahun kedua) yang mempertandingkan seluruh kerusi Dewan Perwakilan dan sebahagian kerusi Senat. Keadaan ini menambahkan lagi dinamika perwakilan dalam dewan yang mungkin berubah setiap dua tahun sekali. Oleh sebab itu, kejadian keengganan Dewan Perwakilan untuk meluluskan sebarang rang undang-undang yang memerlukan sokongan majoriti ahli dewan sentiasa boleh berlaku sekiranya ketua kerajaannya tidak sekepala dengan majoriti ahli dewan. Ataupun disebabkan kuasa presiden yang paling tinggi yang berhak untuk meveto sebarang keputusan yang dibuat oleh Senat dan Dewan Perwakilan yang menyebabkan sebarang rang undang-undang perlu mengikut kehendak si presiden seandainya mahu diluluskan.

Keadaan yang berlaku di US sekarang ini banyak dipengaruhi oleh keadaan perbezaan pandangan politik yang bertentangan antara kumpulan prokonservatif daripada Republikan dan proliberal daripada Demokrat. Malah, nama timangan kaukus prokonservatif daripada puak Republikan turut dikaitkan daripada kejadian Jamuan Teh Boston, yang merupakan pencetus kepada Revolusi Amerika Utara sebelum kewujudan Amerika Syarikat. Maka, atas dasar itulah nama kaukus Parti Teh (Tea Party). Ada juga mengaitkannya dengan kata-kata Tax Enough Already yang merujuk kepada terlalu banyak cukai yang dikenakan oleh kerajaan US kepada penduduknya.

Untuk rekod, masalah presiden yang tidak sekepala dengan majoriti Ahli Kongres pernah berlaku sebelum ini. Misalnya janji Bekas Presiden George H. Bush yang satu ketika dahulu popular dengan frasa 'Read my lips,' yang membawa konotasi untuk tidak mengenakan sebarang cukai lagi kepada rakyat US semasa kempennya untuk menjadi calon presiden pada 1988. Pun begitu, beliau sendiri terpaksa tunduk untuk meningkatkan cukai dalam usaha mengurangkan defisit dalam suasana Dewan Perwakilan dikuasai Demokrat. Akhirnya, beliau gagal mempertahankan jawatan beliau untuk penggal kedua pada 1992 untuk memberikan kemenangan pertama kepada Bill Clinton.

Malah, Bill Clinton turut menghadapi masalah sokongan Ahli Kongres pada 1996 apabila majoriti ahli dewan pada ketika itu dimiliki oleh Republikan tidak sebulu dengan Presiden Clinton yang memperjuang aspirasi Demokrat. Secara dasarnya, kegagalan Kerajaan US dalam meluluskan belanjawan tahunan (nama sebenar rang undang-undang perbekalan) sebenarnya disebabkan oleh Presiden Clinton telah meveto belanjawan yang telah diluluskan oleh kongres. Hal ini berlaku kerana dewan yang dikuasai oleh Republikan enggan menambah perbelanjaan untuk menampung keperluan seperti dalam aspek pendidikan, alam sekitar dan kesihatan awam yang diperjuangkan oleh Clinton. Keadaan ketika itu turut menyebabkan penutupan kerajaan dan berlaku dalam dua fasa iaitu akhir tahun 1995 dan awal tahun 1996.

Kegagalan Kongres dan presiden untuk menyelesaikan masalah tersebut turut menyebabkan gangguan periuk nasi penjawat awam yang terpaksa untuk bercuti lantaran tidak dibayar gaji oleh kerajaan, masalah kebajikan veteran tentera, pemberhentian operasi Pusat Kawalan Penyakit, dan penutupan Taman Negara dan Pusat Perlancongan serta lain-lain lagi gangguan kepada jabatan kerajaan. Bagaimanapun, krisis tersebut berakhir apabila persetujuan dicapai antara Presiden Clinton dengan pemimpin Republikan ketika itu, Speaker Dewan Perwakilan Newt Gingrich untuk menamatkan ketaktentuan yang berlaku. Sungguhpun berlainan ideologi politik, kesediaan kedua-dua pemimpin untuk berbincang berjaya untuk menamatkan penutupan kerajaan yang jumlah harinya seperti bulan Februari. Akan tetapi, kesan politik yang diterima oleh Republikan tidak memberangsangkan apabila mereka gagal memenangi kerusi presiden pada pemilihan 1996 dengan persepsi sebagai pencetus masalah kepada negara, sementara Clinton pula dipilih semula sebagai Presiden US untuk penggal kedua kerana dianggap sebagai hero.

Kembali kepada keadaan sekarang, sebagai bandingan, menurut makalah CNN, situasi yang dihadapi oleh US kali ini berbeza dengan apa yang berlaku pada 1995-1996 dalam beberapa keadaan. Paling ketara ialah hubungan antara Presiden Obama dan Speaker Dewan Perwakilan, John Boehner yang dikatakan sebagai cukup berbeza dengan keadaan ketika Clinton dan Gingrich. Perbincangan antara Obama dan Boehner diibaratkan sangat dingin, tidak sebagaimana krisis terakhir sebelum ini. Oleh hal yang demikian, kesediaan Obama dan pihak Republikan untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit diragui lantaran sikap pemimpin mereka yang berhati keras macam batu.

Tambahan pula, suasana ekonomi semasa bagi kedua-dua kejadian juga turut berbeza iaitu era Clinton ialah era yang jauh lebih stabil berbanding dengan keadaan sekarang yang memperlihatkan US dan dunia baru sahaja dalam usaha pemulihan ekonomi. Kesan yang bakal (atau sedang dirasai) pastilah jauh lebih besar berbanding dengan apa yang pernah US rasai satu ketika dahulu dan bertambah teruk sekiranya situasi semasa berlanjutan dalam jangka masa yang lama. Keengganan kerjasama politik antara pihak Demokrat dan Republikan akan menyebabkan kegagalan kerajaan secara total hanya kerana masing-masing merasakan bahawa mereka lebih betul untuk merancang masa depan rakyat mereka.

Kejadian kegagalan kerajaan US sekali lagi sebenarnya memberi tamparan hebat kepada sistem demokrasi secara umumnya dan sistem demokrasi US secara khususnya kerana keengganan ahli politiknya untuk menyelesaikan perbezaan pendapat sesama mereka. Pihak yang benar-benar terkesan bukanlah ahli-ahli politik yang menyebabkan masalah, sebaliknya rakyatlah yang menanggung derita. Betapa banyak urusan rakyat yang tergendala akibat sikap keras hati kedua-dua belah pihak Demokrat dan Republikan. Walaupun wakil US di luar negara mengisyaratkan penutupan kerajaan itu sebagai satu tanda positif terhadap 'kesuburan demokrasi,' tiada yang dapat menikmati suburnya demokrasi itu melainkan 'demokrasi' itu sendiri. Kesuburan demokrasi sebegini tidak dapat memberikan manfaat kepada rakyat dan dalam konteks penutupan kerajaan, tiada siapa pun yang sebenarnya menikmati kelebihan melainkan musuh-musuh luar dan domestik.

Justeru, tiada satu pun jaminan bahawa demokrasi akan menyelesaikan segala masalah yang muncul dalam dunia ini. Malah, kejadian yang melanda US yang dikatakan sebagai negara bebas yang paling demokratik tidak langsung memperlihatkan sisi kebaikan demokrasi, sebaliknya memperlihatkan bahawa demokrasi ala-Barat membawa kepada persoalan yang tidak mampu diselesaikan walaupun seseorang itu mempunyai kuasa. Akhirnya, sudah pastilah persoalan apakah locus standi US untuk menyerang negara orang untuk menegakkan demokrasi?

Dalam keadaan presiden yang berhaluan lain sedangkan majoriti wakil rakyat berhaluan lain, tidak sukar untuk melihhat dan memahami keadaan ketaktentuan ini sering berlaku di US. Maka, pemenang sebenar negara yang terlebih demokrasi itu ialah perjalanan politik seseorang itu sendiri, sama ada semakin baik atau semakin buruk. Rakyat hanya boleh melihat sahaja gelagat-gelagat ahli demokrasi yang mereka pilih, sedang memperjudikan nasib rakyat dan negara.

 

Glosari terjemahan sistem perundangan US

Kongres - (US Congress) - Istilah untuk cabang legislatif US yang berbentuk dwidewan (bicameral) iaitu Dewan Perwakilan dan Dewan Senat yang setara dengan ‘Parlimen Malaysia.’

Dewan Perwakilan – (House of Representative/ the House) – Istilah untuk dewan rendah bagi sistem dwidewan Kongres US, yang setara dengan Dewan Rakyat.

Ahli Kongres - (Congressmen) – Istilah untuk ahli kepada Dewan Perwakilan yang setara sebagai Ahli Parlimen. Justeru, sungguhpun ahli bagi Dewan Senat juga ialah ahli kepada kongres, istilah Ahli Kongres (Congressmen) hanya ekslusif kepada ahli Dewan Perwakilan sahaja. Keadaan ini mirip di Malaysia apabila walaupun Ahli Dewan Negara ialah ahli kepada Parlimen Malaysia, istilah ‘Ahli Parlimen’ biasanya hanya cucuk untuk Ahli Dewan Rakyat sahaja.

Dewan Senat – (US Senate) – Istilah untuk dewan tinggi bagi sistem dwidewan Kongres US yang setara dengan Dewan Negara; bagaimanapun mempunyai kuasa tertentu yang secara relatifnya lebih istimewa/berkuasa berbanding Dewan Perwakilan dan berbanding Dewan Negara Malaysia.

Senator - (Senator) – Istilah untuk ahli kepada Dewan Senat.

Saturday, September 7, 2013

Duhai sasterawanku

 

Penulis pernah membaca novel tulisannya, membayangkan sebuah pantai yang berhadapan dengan sebuah pulau, maka tajuk dikulit bukunya itu pun 'Di Hadapan Pulau.' Konflik kemanusian buruk lantaran Perang Dunia ke-2 dipaparkan dalam novel terbabit sehinggakan klimaks ceritanya, ada watak (Namanya Kapten Hebat) yang terpaksa makan seekor monyet belaan (bernama Mokmeng) mentah-mentah mungkin disebabkan kelaparan.

Bukan karya ini sahaja yang sinonim dengan empunya badan ini. Novelnya yang berjudul Salina diangkat sebagai magnum opus karyanya dan drama pentas Lantai T. Pinkie turut menjadi karya yang dibincang dan dianalisis dalam bidang kesusasteraan. Sumbangan terbesar kelahiran Melaka ini dalam kesusasteraan Islam mungkin boleh ditonjolkan lewat Puisi Panjang Al-Amin.

Itu sekadar beberapa tajuk-tajuk penting yang menjadi batu tanda terhadap pencapaiannya. Tidak hairanlah beliau diangkat sebagai Sasterawan Negara (SN) sebagai gelaran tertinggi dan terulung yang diberikan kepada seorang sasterawan dalam negara ini. Bagaimanapun, penampilannya yang begitu 'zuhud' dengan membiarkan rambut panjangnya, misai dan janggutnya nak putih menjadi imej yang mudah diingati. Akan tetapi, tidak semegah gelarannya yang digandingkan dengan perkataan ‘Negara,’ kini beliau seumpama penyair jalanan yang menuntut itu dan ini dalam rangka membawa idealisme yang baru untuk ditanamkan dalam masyarakat Malaysia.

Itulah agaknya bendera negara pun dia nak tukar yang baru!

Bukanlah sesuatu yang asing bagi seorang sasterawan, apatah lagi yang diangkat sebagai Sasterawan Negara untuk berkarya dan memperlihatkan kecenderungannya kepada pihak pembangkang. Sebelum ini, SN Dato' Dr Shahnon Ahmad turut berkarya menonjolkan kecenderungannya kepada pembangkang, malah suatu ketika beliau sendiri merupakan ahli yang bergiat aktif dalam jawatankuasa pusat parti. Banyak karya-karyanya dan sasterawan lain yang turut memperlihatkan sisi tersirat yang cunderung kepada satira politik negara dan secara tidak langsung menyindir parti pemerintah seperti Shit, Naratif Ogonshoto dan Kawin Kawin.

Tak terkecuali SN Dato' A. Samad Said. Bermula daripada peristiwa perarakan Keranda Mac 2009 (diambil nama sempena kejadian Keranda 152 yang turut disertai dan dijadikan puisi oleh Allahyarham SN Dato' Usman Awang), arah kecenderungan A. Samad Said bolehlah dilihat memihak kepada para pembangkang. Apa yang dihairankan pula ialah, apabila dasar PPSMI dimansukhkan, tidak pula dibuat perarakkan keraian keranda PPSMI! Kemudian, daripada semasa ke semasa, A. Samad Said melibatkan diri secara aktif dalam politik sebagai penaja Bersih dan mungkin kini, penaja bendera baharu Malaysia.

Kalau di bawah kerajaan semasa ini pun beliau mendapat gelaran Sasterawan Negara, maunya kalau pihak yang disokongnya menang pilihan raya dapat gelaran ‘Mahasastera’ gamaknya.

Tidak salah sebenarnya sasterawan-sasterawan mengemukakan karya yang bersifat kritikal kepada kerajaan pemerintah. Malah, perkara ini memang merupakan corak penerimaan komuniti kesusasteraan yang lebih gemar karya-karya yang bersifat 'anti-establishment' dan kritikal. Jarang benarlah kalau karya itu dilihat sebagai mengipas punggung pemerintah akan diangkat sebagai karya sastera hebat (atau sebenarnya tak ada langsung).

Namun, untuk seseorang yang bergelar SN terlibat sama dalam agenda tukar bendera negara kepada yang baru dicipta (ada orang yang mengaku bahawa dialah yang mencipta bendera tersebut) ialah satu tindakan murahan dan mencacatkan sama sekali gelaran yang diterimanya. Tak hairanlah kalau pak menteri pun ada menyatakan bahawa kemungkinan beliau mengalami masalah kemurungan. Dah habis isu ke A. Samad Said sampaikan bendera negara pun beliau nak tukar? Perlukah tukar bendera untuk tukar sama sekali idealisme dalam memerintah negara? Mesti tukar benderakah barulah negara ini dikatakan Bersih? Adakah pembangkang yang menaungi tindak tanduknya akan melaksanakan agenda tukar bendera seandainya berjaya Tukar Kerajaan?

Nasib baiklah pembangkang di luar negara tidak berfikiran sebagaimana pembangkang Malaysia sebab kalau tidak, pening jugalah kepada otak kita hendak ingat bendera baru negara tersebut setelah mereka menang pilihan raya. Maunya Jepun ada bendera baharu semasa DPJ memerintah satu ketika dahulu, atau Indonesia mengeluarkan bendera baharu selepas regim Suharto, atau Thailand tampil dengan bendera baharu setiap kali ‘baju berlainan warna’ berjaya memerintah negara tersebut!

Dan seharusnya A Samad Said, yang begitu lantang mengutarakan persoalan krisis peperangan, kesukaran semasa zaman penjajahan dan kesan buruk keadaan huru-hara dek perang dalam karya-karyanya lebih mengetahui dan memahami hal tersebut. Bendera menunjukkan bangsa dan negara dan seandainya dengan mudah sahaja hendak ditukar-tukar hanya kerana ‘nampak macam bendera Amerika,’ maka apakah yang tinggal pada bangsa dan negara? Mungkin umum perlu diberitahu bahawa meskipun sekali pandang macam ada dengan bendera negara Uncle Sam itu, spesifikasinya cukup berbeza dan takrifan kepada segala simbol pada bendera itu turut berbeza.

Mungkin akhirnya A Samad Said tidak lagi di kenang sebagai sasterawan yang terus-menerus memperjuangkan genre sastera dalam masyarakat kita. Yalah, nak tulis pasal penjajahan Jepun je memanjang, siapa nak baca; sedangkan Jepun pun sudah mara ke hadapan untuk bangkit daripada Hiroshima dan Nagasaki. Sebaliknya, beliau mungkin mahu dikenang sebagai sasterawan yang terjun dalam bidang politik dan mungkin berjaya mengubah bendera Malaysia kepada bendera yang mirip Indonesia dan Singapura. Beliau mungkin mahu dikenang sebagai Pengerusi Bersih dan penyair jalanan yang ingin membersihkan politik Malaysia yang kotor – tak kira mana pihak pun..

Maka alangkah ruginya dunia sastera kita....

Tuesday, November 8, 2011

Merealisasikan bahasa jiwa bangsa

(Sempena tercapainya angka 200 terbitan di lappanblablabla.blogspot.com.)

Terbitan dalam blog ini sudah mencecah dua ratus dan mempunyai kepelbagaian dalam isu dan topik perbincangan yang disentuh. Barangkali bagi yang pernah membaca blog ini berpendapat walaupun blog ini menggunakan frasa polymath, tampak sungguh perbincangan politik yang lebih diraikan oleh penulis. Seolah-olah politik tidak boleh lari daripada blog ini.


Akan tetapi, statistik menunjukkan bahawa terbitan dengan label 'ekonomi' merupakan terbitan yang paling banyak dibaca pengunjung berbanding yang lain. Terbitan Krisis Kewangan 2007-20?? merupakan terbitan yang paling ramai diraikan oleh pengunjung blog ini. Untuk rekod, sampai sekarang pun tanda soal pada tajuk tersebut masih kekal menjadi 'tanda soal' kerana dunia masih lagi bergelumang dengan krisis ekonomi/kewangan ciptaan Barat dan kapitalisme walaupun ada yang mungkin berhujah, apa yang berlaku sekarang sebenarnya berbeza konteksnya dengan apa yang terjadi pada tiga tahun lepas. Namun, tidak siapa pun boleh menafikan rantaian kejadian yang berlaku antara kedua-dua krisis sebenarnya berkaitan sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung.


Tiga tahun lepas orang bercakap mengenai 'krisis hutang subprima,' sekarang pun orang bercakap tentang hutang juga iaitu 'krisis hutang US' dan 'krisis hutang Eropah.' Pendek katanya, 'hutang' itu sendiri telah menjadi komoditi pasaran dunia apabila negara yang mempunyai hutang terbesar di dalam dunia ini (baca: US) ialah negara yang 'mengawal' ekonomi dunia. Ungkapan tersebut kekal menjadi sesuatu yang paradoks disebabkan kebergantungan ekonomi dunia terhadap penanda aras yang ditetapkan oleh Wall Street (sekali lagi, baca: US).


Justeru gagasan model ekonomi baru (secara literal, bukannya MBE/MEB semata-mata) yang lebih dinamik dan bersifat kemanusiaan adalah sangat-sangat penting bagi mengelakkan masyarakat secara keseluruhannya diheret sekali bersama-sama masalah dan kesilapan yang dicetuskan oleh pedagang-pedagang besar dan pembuat dasar. Hal itu jugalah yang cuba dibawa oleh gerakan seperti Occupy Wall Street yang nyata mempunyai penyokong dan pengikut mereka sendiri yang sanggup membuat piket, tunjuk perasaan berterusan bagi mempersoalkan peranan syarikat-syarikat korporat mega yang dilihat oleh peserta Occupy sebagai 'pemerintah' sebenar US kerana merekalah (syarikat mega) sebenarnya yang menentukan hala tuju ekonomi Washington.


Memang kedengaran seperti teori konspirasi ekonomi persis judul 'Confession of an Economic Hitman' namun kenyataannya kita tidak boleh sama sekali menafikan pengaruh syarikat korporat mega dan multibilion dolar ini terhadap kelangsungan ekonomi sesebuah negara. Masakan tidak, penyenaraian mereka di bursa pun menyumbang kepada angka-angka ajaib indeks itu dan ini, buat apa orang (kerajaan/bursa) hendak senaraikan sangat syarikat-syarikat ini kalau tak beri manfaat kepada mereka? (boleh dikaitkan dengan isu semasa domestik seperti Felda...).


Soal ekonomi juga mempunyai asosiasi dengan bahasa Inggeris. Kontra dengan pemikiran orang ramai mengenai Bahasa Melayu dianak tirikan dalam bidang Sains, penulis cenderung melihat perspektif bahawa bidang ekonomi dan perniagaan korporatlah yang paling menganak tirikan Bahasa Melayu. Terlalu sedikit rancangan televisyen yang memaparkan hal-hal berkaitan ekonomi dan korporat, apatah lagi dalam Bahasa Melayu. Akhbar atau majalah Bahasa Melayu yang membincangkan isu ekonomi teras sangatlah kurang berbanding genre keIslaman, mistik dan hiburan. Pendek katanya, Bahasa Melayu dan ekonomi di bibir-bibir pak menteri jaga korporat dan majlis korporat sangat-sangatlah perlahan.


Oleh sebab itulah sungguhpun beberan dalam blog ini berkenaan isu bahasa tidak sebanyak yang berlabel 'politik,' dan 'Islam,' terbitan berkaitannya diulas dengan panjang sekali. Kalau dikadarkan dengan helaian di perisian Microsoft Word, biasanya dalam lima atau enam muka surat. Hal ini bagi menzahirkan peri pentingnya agenda Bahasa Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya dipandang mudah atau rendah. Isu bahasa terlalu penting untuk dibincangkan pada perspektif politik semata-mata kerana ahli politik yang menentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam pendidikan bukan bermaksud yang mereka menyokong Bahasa Melayu. Perkara-perkara sebeginilah juga yang perlu disedari oleh 'pejuang-pejuang Bahasa Melayu.' Kegagalan dasar kerajaan seperti PPSMI dan huru-hara dalam implementasi MBMMBI merupakan bukti yang cukup kuat bahawa ahli politik sebenarnya cuma suka mengambil kesempatan dalam sesuatu isu berkaitan Bahasa Melayu tanpa memperjuangkan sebenar-benarnya keperluan bahasa itu sendiri.


Tuntasnya, andai dilihat daripada perspektif sejarah, bukanlah secara kebetulan sahaja Bahasa Melayu menjadi lingua franca pada zaman kegemilangannya. Penglibatan keseluruhan masyarakat pada ketika itu daripada institusi kesultanan, kegiatan perniagaan dan perdagangan, pengunaannya dalam kaedah pembelajaran terutamanya keagamaan dan keakuran masyarakat menggunakannya di dalam kehidupan seharian. Bahasa Melayu bukan sekadar hanya dijadikan isu retorik, petuturan peringkat bawahan semata-mata; malah turut diamalkan oleh kerabat diraja dan pedagang.


Melainkan untuk agama Islam, Bahasa Melayu sebenarnya sudah semakin dilupakan dalam segenap bidang keilmuan. Oleh sebab itu, masyarakat kita perlu mencontohi apa yang berlaku pada zaman kegemilangan Islam. Bukan sahaja karya-karya ilmiah bahasa asing sahaja yang diterjemah dan kitab-kitab keilmuan ditulis dalam Bahasa Arab, perkembangan kesusasteraan dan bahasa itu sendiri diperkukuhkan dalam segenap aspek kehidupan rakyat. Hal yang demikianlah yang menyebabkan kejayaan ketamadunan Islam-Arab pada ketika itu menjadi sumber kepada kebangkitan Tamadun Barat-Moden yang kini menuju ke fasa ‘pascamoden’ dan/atau transmoden yang kesemuanya tidak dapat tidak boleh dikaitkan dengan kelemahan umat Islam pada zaman kejatuhannya.


Sebab itulah isu bahasa terlalu penting untuk sekadar dipolitikkan

Monday, October 31, 2011

Politik dalam bahasa (jangan tak faham bahasa!)


Terkini

  • Berita Harian 1/11/11 melaporkan ugutan yang disampaikan oleh Pengerusi PAGE bahawa kesatuan mereka akan memberikan undi kepada pembangkang andai PPSMI tidak ditawarkan kepada pelajar sekolah.
  • Apa yang boleh dilihat disini ialah sudah ada pembauran politik di dalam perjuangan PAGE dan PPSMI sehingga menyebabkan pembangkang mendapat manfaat yang besar sama ada PPSMI diteruskan ataupun tidak!
  • Sekali gus menunjukkan pengenalan PPSMI tempoh hari merupakan bala ciptaan BN/UMNO sendiri yang memberi kelebihan kepada pembangkang.
  • Justeru perkara sebegini memberi pengajaran yang sangat-sangat memahitkan kepada pihak kerajaan supaya lebih berhati-hati, lebih berwaspada, lebih teliti dan lebih bersedia untuk melaksanakan dasar-dasar baru yang membabitkan kepentingan rakyat dan generasi rakyat seperti dasar pendidikan.
  • Kerana ternyata dalam beberapa aspek sekali pun, selepas perlaksanaan dasar tersebut, yang akan mendapat sokongan ialah pembangkang juga andai dasar yang dilaksanakan separuh masak!

Pendahuluan: Tarik tali PPSMI

  • Blog ini telah beberapa kali membincangkan bahasa[1].
  • Sedari awal kewujudannya, PPSMI masih dilaksanakan lagi; sehinggalah dasar ini dicadangkan untuk dimansukhkan.
  • Di peringkat penyokong kerajaan, UMNO Johor merupakan antara penentang dasar ini daripada dilaksanakan[2].
  • Di peringkat pembangkang; nampaknya dasar ini beria-ia sungguh ditentang; namun tidak tahulah sama ada yang menentang itu disebabkan bahasa Inggerisnya (jadi bukan bahasa ibunda) yang dijadikan pengantar atau benar-benar hendak memartabatkan Bahasa Melayu.
  • Masakan tidak, DAP sendiri suka menggunakan isu SJKC dipinggirkan, dianaktirikan; dan bukannya tuntutan agar SJKC menjadi sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu.
  • Di peringkat ahli akademik, PPSMI juga ditentang oleh Prof Diraja Ungku Aziz[3] dan Prof Shahrir Mohd Zain[4].
  • Kemuncak penentangan adalah apabila tunjuk perasaan dilaksanakan mebabitkan parti pembangkang dan golongan pendesak yang diadakan bagi menyerahkan memorendum untuk memansukhkan PPSMI[5].
  • Untuk rekod, sebelum kejayaan tunjuk perasaan tersebut, badan pendesak telah pun membuat satu piket di Sogo; akan tetapi, disebabkan tindakan mereka tidak menyertakan sekali pihak politik, piket tersebut kelihatan gagal.
  • Bagaimanapun, apabila A Samad Said pun diajak berceramah di pentas PAS, pihak PR pun tumpang sekaki menyertai tuntutan tersebut; lain pula ceritanya.
  • Perarakan dilakukan ke Istana Negara yang disertai oleh ribuan penyokong membuktikan betapa ramainya rakyat Malaysia yang menentang PPSMI.
  • Tetapi, sama ada orang ramai yang ikut turut serta bergerak dalam tunjuk perasaan itu faham ke tidak akan perjuangan sebenar kumpulan penganjur, tidak dapat dipastikan.
  • Setelah bertegas dalam 'perjuangan' mereka ini, akhirnya berbaloi juga hasilnya.
  • PM Najib setuju untuk menggantikannya kepada dasar baru yang akronimnya panjang dan mengelirukan: MBMMBI; yang intisarinya adalah untuk mengembalikan semula pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu dan memperkasakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.
  • Dasar tersebut dijadualkan berkuatkuasa 2012.
  • Ramai bersorak kerana kejayaan mengembalikan martabat Bahasa Melayu.
  • Namun, sorakan tersebut tidak bertahan; kembali sunyi.

Tuntutan PAGE

  • Kini, wujud pula badan pendesak dengan hasil kajian mereka yang menyebut majoriti ibu bapa mahukan anak-anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
  • Mereka saban hari mengemukakan hujah, dan keluar di media massa bagi merasionalkan pengekalan PPSMI.
  • Mereka inilah yang digelar PAGE[6].
  • Mereka mahukan ibu bapa diberi pilihan untuk menetapkan sama ada anak-anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu (tak ke pening kepala cikgu nanti???).
  • Hanya masa sahaja yang akan menentukan sama ada akan wujud pembabitan ahli politik yang mahu mempertahankan PPSMI.
  • Oleh sebab itu, janganlah kita hendak hairankan kelak akan ada tunjuk perasaan, berarak ke Istana Negara, rumah Najib, parlimen, atau Kementerian Pelajaran bagi mempertahankan PPSMI.
  • Macam yang penulis pernah utarakan sebelum ini, andai ditanya pendapat penulis, sudah tentu pandangan penulis memihak kepada Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu - semua sebab persekitaran pembelajaran penulis.

PAGE sendiri tak sokong PPSMI dahulu??? – carilah sokongan ahli politik!

  • Namun, secara politiknya juga, PAGE sendiri tidak langsung menyokong kerajaan semasa kerajaan sedang melaksanakan PPSMI.
  • Mereka tidak bertindak membela kerajaan, melakukan langkah proaktif terlebih dahulu bagi merasionalkan mengapa PPSMI penting.
  • Perjuangan mereka hanya kelihatan wujud setelah pengumuman PPSMI dimansukhkan.
  • Dan kini, mereka berteriak dengan bersungguh-sungguh mahukan PPSMI dikekalkan - apa kehal?
  • Apa ke halnya semasa orang dok beramai-ramai serbu istana negara PAGE ini tidak menjadi barisan hadapan untuk mempertahankan dasar negara?
  • Kenapa sedari awal lagi PAGE tidak membuat kajian sendiri bagi menunjukkan bukti yang PPSMI berkesan?
  • Sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, hanya tunggu masa sahaja untuk perjuangan PAGE ini mendapat sokongan pihak politik.
  • Mereka mestilah pandai membuat rapport dengan parti politik (tak kiralah kerajaan ke pembangkang) bagi membolehkan himpunan ramai, kaliber pemimpin untuk memperjuangkan PPSMI dalam sistem pendidikan negara.
  • Soal parti politik itu, pandai-pandai parti tersebut untuk putar alam mengatakan mereka sokong PPSMI – sebab korupsi ke, sebab ketirisan ke, sebab ketaktelusan ke, soal kepentingan bangsa ke, soal kehendak ibu bapa ke, soal kemajuan negara ke, soal bahasa antarabangsa ke... itu mereka memang pakar dok buat hari-hari!

Kemelut BM di universiti

  • Itu tadi cerita PPSMI.
  • Bahasa Melayu juga hendak diperkukuhkan penggunaannya di peringkat universiti.
  • Universiti tempatan telah digesa untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam pembelajarannya.
  • Malah, Menteri Pengajian Tinggi menyarankan untuk menjadikan kreteria kenaikan pangkat pangkat pensyarah membabitkan penerbitan bahan akademik dalam Bahasa Melayu.
  • Pensyarah disaran untuk menerbitkan artikel jurnal dalam Bahasa Melayu supaya bahasa ini akan mampu dimartabatkan di peringkat yang lebih tinggi lagi.
  • Malah, TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin pun menggesa Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi pendulu kepada usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
  • Malangnya, hala tuju pengajian tinggi Malaysia bukan kesemuanya memihak ke arah menggunakan bahasa kebangsaan sendiri dalam sama ada penerbitan, persidangan, simposium dan lain-lain.
  • Jurnal yang dipetik ISI[7]; begitulah antara gesaan pihak pentadbir universiti kepada bukan sahaja pelajar pascasiswazah malah kepada pensyarah sendiri bagi meningkatkan kedudukan universiti di dalam senarai universiti dunia kerana penerobosan artikel di senarai petikan ISI akan meningkatkan pemarkahan universiti di dalam senarai prestij tersebut.
  • Sedangkan ramai yang sedia maklum, terbitan-terbitan yang dipetik oleh ISI majoritinya ditulis dalam bahasa Inggeris.
  • Malah, bukannya mudah untuk menerbitkan artikel di dalam jurnal-jurnal yang dipetik oleh ISI kerana kreterianya mungkin tinggi, memerlukan masa yang panjang untuk diterbitkan kerana senarai akan terbitnya sudah berderet-deret; sehingga kadang-kala, hantar artikel tahun ini, tahun depan pun belum tentu terbit.
  • Bukan hendak menidakkan keperluan penarafan dan pemarkahan (ranking & rating) universiti-universiti di Malaysia namun, keperluan memartabatkan ilmu Malaysia juga penting agar bidang akademik kita berkembang mengikut acuan kita dan dapat memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat kita sendiri.

Cadangan pangkalan data keilmuan dalam Bahasa Melayu

  • Justeru dengan kewujudan jurnal atau terbitan Bahasa Melayulah yang akan menjadi antara langkah yang boleh dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan keupayaan Bahasa Melayu kerana penggunaan bahasa juga mencerminkan bangsa; bak kata pepatah, bahasa jiwa bangsa!
  • Terbitan Bahasa Melayu bukan sahaja perlu diperkasa, malah perlu dirai oleh ahli akademik sendiri kerana apalah gunanya andai terbitan dalam Bahasa Melayu berlambak-lambak namun tidak pula dikaji, dipetik atau dimanfaatkan oleh ahli akademik sendiri.
  • Oleh yang demikian, bagi merealisasikan seruan, gesaan Menteri Pengajian Tinggi dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, satu pangkalan data terbitan Bahasa Melayu perlulah diwujudkan untuk menyediakan runag dan peluang ilmuan mengkaji, melapor dan menerbitkan hasil kajian dalam Bahasa Melayu.
  • Selain itu, apabila wujudnya pangkalan data tersebut, universiti/IPT di Malaysia hendaklah mengambil kira terbitan dalam Bahasa Melayu pula dalam sebarang usaha penarafan institusi peringkat domestik. Hal ini bermaksud, setiap universiti perlu memastikan sama ada ahli akademiknya atau pelajarnya (pra atau pascasiswazah) menerbitkan tulisan yang dipetik oleh pangkalan data ini pula (iaitu mestilah dalam Bahasa Melayu).
  • Pada masa yang sama, setiap IPT juga hendaklah diwajibkan untuk memetik sumber terbitan dalam Bahasa Melayu dalam setiap penulisan mereka tak kiralah penulisannya ini ditulis dalam Bahasa Melayu mahupun bahasa lain misalnya Inggeris.
  • Dengan cara ini, artikel atau sumber dalam Bahasa Melayu akan dapat diperbanyakkan, kualitinya pula boleh dijaga dan impaknya pula akan dapat diperkenalkan dan diperluaskan.
  • Juga akan menyebabkan makalah, tulisan dan buku-buku dalam Bahasa Melayu lebih diraikan oleh ahli akademik dan pelajar pengajian tinggi.
  • Dan usaha sebegini pastilah memerlukan kerjasama kesemua institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia sama ada awam mahupun swasta seperti kewujudan jawatankuasa peringkat nasional untuk mengawal selia, dan menyunting terbitan-terbitan tersebut.
  • Pangkalan data ini perlulah sentiasa dikemaskini bagi memastikan kekiniannya dan sentiasa releven.
  • Setelah daripada itu, barulah kita boleh menjalankan usaha mengantarabangsakan terbitan kita ke luar negara, melibatkan sama institusi-institusi di alam Melayu dan Nusantara untuk menyertai dan membabitkan diri dalam terbitan berbahasa Melayu seterusnya diperluaskan lagi ke peringkat Asia dan dunia.
  • Barulah usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu menjadi lebih konkrit dan kelangsungan Bahasa Melayu dapat dipastikan dan diteruskan. Kemudian, usaha sebegini mampu meletakkan Bahasa Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa-bahasa ilmu yang lain seperti Bahasa Inggeris, bahasa Eropah dan Bahasa Jepun.

Sains, matematik dan bahasa

  • Rumusannya, memartabatkan bahasa bukanlah semata-mata usaha berasingan ahli politik, ahli akademik, pihak kerajaan dan pihak institusi sahaja sebaliknya perlu digembleng bersama-sama agar sinergi antara semua pihak dapat diwujudkan dan kelebihan masing-masing akan dapat diteroka dan dimanfaatkan bersama.
  • Soal pembelajaran Sains dan Matematik merupakan satu contoh apabila gangguan politik berjaya menjadikan sistem pendidikan huru-hara tanpa sebarang ketentuan. Janganlah hendaknya setelah tiga empat tahun kedua-dua subjek ini diajar dalam Bahasa Melayu selepas perlaksanaan MBMMBI, dasar ini ditukar semua; semuanya disebabkan intervensi ahli politik.
  • Malah, pemberatan ‘Sains dan Matematik’ memperlihatkan betapa sistem pendidikan, dasar kerajaan dan ahli masyarakat Malaysia terlalu pentingkan sangat kedua-dua subjek tersebut seolah-olah Bahasa Melayulah Sains dan Matematik dan Sains dan Matematik itu ialah Bahasa Melayu.
  • Sedangkan bahasa ialah medium, perantara, penyampai kepada hasrat dan matlamat kelimuan kedua-dua bidang tersebut.

Realiti Bahasa Melayu di segenap aspek di Malaysia

  • Bagaimanakah pula dengan bidang-bidang lain, perundangan misalnya yang mana sehingga kini pun, masih banyak menitikberatkan Bahasa Inggeris?
  • Hujahan peguam/pendakwa, hujahan kehakiman masih banyak yang ditulis dalam bahasa Inggeris sampaikan Karpal Singh[8] pun berani pertikaikan hujah kehakiman sebagai ‘melanggar tuntutan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu pada tempat yang unggul.’ Bidang undang-undang di universiti misalnya masih menekankan keputusan Bahasa Inggeris sebelum dipertimbangkan dan penulisan dalam Bahasa Inggeris juga semasa mengikutinya.
  • Begitu juga dengan bidang-bidang selain Sains dan Teknologi; pengantar yang dititikberatkan ketika di peringkat universiti berubah kepada Bahasa Inggeris, misalnya pentadbiran perniagaan, ekonomi, politik dan teknologi maklumat. Yang mungkin kekal ialah Sejarah dan Pengajian Islam, itu pun atas sebab-sebab yang tertentu, ada subjek Pengajian Islam yang memerlukan subjek diajar dalam Bahasa Arab.
  • Bahasa Melayu sekadar dijadikan bahasa untuk TITAS, pengajian kenegaraan dan mungkin subjek-subjek am sahaja.
  • Malah, ada universiti yang berorientasikan membantu bangsa Melayu namun tidak pula menggunakan pengantar dalam Bahasa Melayu. Paradoks apakah yang sesuai untuk kita namakan keadaan ini?
  • Bukanlah menidakkan penggunaan Bahasa Inggeris untuk kegunaan pendidikan, cuma usaha juga perlu dilakukan untuk mengangkat pembudayaan Bahasa Melayu dalam segenap bidang yang wujud di peringkat pengajian tinggi.
  • Kalau bukan keseluruhannya yang boleh dilaksanakan, jangan pula ditinggalkan langsung. Oleh sebab itu, pembangunan pangkalan data ilmu dalam Bahasa Melayu haruslah dilaksanakan dan diperkasakan.
  • Agar usaha memartabatkan Bahasa Melayu bukan sekadar bertanam tebu di pinggir bibir, yang mana ahli bahasa, sasterawan dan mereka yang berkaitan hanya diambil peduli, digunakan dan disokong dengan sebab-sebab politik sahaja sedangkan selepas itu, menghilang begitu sahaja.

Diskriminasi bahasa di alam pekerjaan[9]
  • Itu pun belum lagi cerita sektor pekerjaan apabila Bahasa Melayu ‘diputusnasabkan’ langsung dalam keperluan bahasa semasa temu duga lantaran bahasa lain yang menjadi nilai tambah yang bererti.
  • Memang betul, tak akan hilang kemelayuan Melayu yang berbahasa Melayu, tetapi tidak akan hilang juga identiti bangsa dan syarikat tersebut senadainya kakitangannya berbahasa Melayu.

Mana mereka yang ‘memperjuangkan bahasa?

  • Apabila kita bercerita tentang Bahasa Melayu, bukan cerita tentang bangsa Melayu semata-mata melainkan kedudukan dan kepentingannya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
  • Mengapa pejuang mansukh PPSMI tidak pula berarak bawa keranda melintasi Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, sekitar KLCC bagi memprotes iklan-iklan yang ditulis dalam Bahasa Inggeris – andai benar Perkara 152 itu benar-benar hendak diperjuangkan?
  • Atau buat protes besar-besaran ketika persidangan ekonomi dan kewangan domestik mahupun peringkat antarabangsa yang diadakan di Malaysia sendiri kerana sangat-sangatlah cenderung menggunakan Bahasa Inggeris.
  • Bukankah perkara-perkara sedemikian turut mencabuli dengan serakus-rakusnya Perkara 152 itu?

Penutup bicara

  • Pendek katanya, usaha memartabatkan Bahasa Melayu memerlukan sokongan semua pihak sama ada pihak kerajaan, institusi, pelajar institusi dan lebih-lebih lagi ahli politik.
  • Kerana kebanyakkan ahli politik kita pandai mengambil peluang dan ruang.
  • Suka berbicara umpama mahir bersepak dan terajang,
  • Apabila matlamat dan hasrat politik tercapai.
  • Jadilah dia (terhadap pejuang bahasa) daripada ‘Hai-hai’ kepada ‘Bye-bye!’







[2] Lihat Abdul Ghani Othman, Hidup Melayu Bersatu, (Johor Bahru: Pejabat Menteri Besar Johor, 2009), 109-127. Misalnya dalam konvensyen UMNO yang menggesa agar peranan Bahasa Melayu dikembalikan semula ke tempat asalnya dan hal inilah juga yang dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO. Beliau mendedikasikan satu bab di dalam buku tersebut membincangkan isu bahasa.
[3] Prof Diraja Ungku Aziz menyifatkan dasar PPSMI ini sebagai ‘gila.’ Lihat Isahak Haron, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz yang kukenal, dlm. Hashim Yaacob et al., The Renaissance Man (KL: UM Press, 2010), 144.
[4] Malah, Dr Shahrir Mohd Zain sendiri bertindak sebagai Timbalan Pengerusi badan penekan yang digelar Gabungan Mansuhkan PPSMI.
[5] Perarakan ini berlaku pada 7 Mac 2009 yang digelar sebagai ‘Perarakan Keranda 152.’ Antara ahli politik yang menyertainya ialah Sahibul Fadhilah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa dan ‘pejuang tokoh merdeka’ Mohamad Sabu.
[6] Perjuangan mereka pun menggunakan kata-kata ‘demi anak bangsa!’ Lihat laman web rasmi mereka di http://www.pagemalaysia.org/news.php.
[7] Institute of Scientific Knowledge milik syarikat multibilion dolar Amerika, Thomson Reuters. Setiap tahun, ISI sendiri akan mengeluarkan artikel berkaitan faktor impak (impact factors) untuk setiap terbitan yang dipetik olehnya dan faktor impak inilah yang menjadi penanda aras taraf atau perkiraan prestij jurnal-jurnal tersebut.
[8] Namun Karpal Singh sendiri menzahirkan rasa malu apabila ada dikalangan YB yang kurang fasih berbahasa Inggeris menunjukkan betapa oppurtunisnya peguam ini dalam ‘memperjuangkan Bahasa Melayu’ dan janganlah disangka yang beliau ialah seorang ‘pejuang bahasa’.
[9] Isu ini turut dibincangkan oleh MB Johor Dato’ Abdul Ghani Othman sebagai diskriminasi siswazah Melayu hanya sebab dikatakan tidak fasih berbahasa Inggeris dan keperluan Bahasa Mandarin sebagai prasyarat memasuki alam pekerjaan sebahagian syarikat di Malaysia. Lihat Abdul Ghani Othman, Hidup Melayu Bersatu, 98-101.

Saturday, October 8, 2011

Input: Belanjawan. Proses: Rang Undang-undang perbekalan. Output: Bajet. Outcome: Bajek?

 
Belanjawan 2012 telah pun dibentangkan di parlimen oleh YAB PM Najib merangkap Menteri Kewangan. Belanjawan kali ini boleh disifatkan sebagai belanjawan pilihan raya disebabkan begitu banyak insentif diberikan kepada rakyat. Pendidikan teras negara yang dahulunya diteriak oleh kerajaan sebagai 'percuma' kini bertambah percuma. Umur pesaraan wajib kakitangan awam telah ditingkatkan kepada 60 tahun, sesuatu yang begitu dituntut saban tahun oleh Cuepecs. Struktur gaji dan sistem saraan pun akan ditukarkan. Bantuan kepada keluarga yang berpendapatan kurang RM3000 juga diberikan. Budak sekolah pun mendapat bantuan RM100! Pelajar pra-U dan IPT pun mendapat baucer buku RM200! Begitu banyak sekali bantuan-bantuan yang dicadangkan oleh kerajaan!

Sekadar sampingan, apa yang penulis kelakar seram adalah betapa mudahnya pihak media melencongkan pengistilahan 'belanjawan' kepada 'bajet' hanya dalam sekelip mata. Sebelum perbentangan oleh PM, puaslah dicanang istilah belanjawan dan menyebabkan penulis berasa kagum; kembalinya istilah tersebut ke tempatnya. Namun, sejam sebelum perbentangan, istilah bajet kembali bermain di mulut pengacara program perbincangan belanjawan dan akhirnya selepas dua jam PM berucap panjang, di warta berita segala-galanya telah menjadi bajet. Dan hari ini (8/10/2011) akhbar membuat pusingan-U bagi menggunakan istilah bajet semula.

Untuk rekod, nama rasmi kepada belanjawan/bajet adalah rang undang-undang perbekalan. Sama ada rakyat tahu atau tidak, sebenarnya belanjawan merupakan satu undang-undang yang diluluskan oleh parlimen dan perlu kepada kelulusan ahli YB. Maka seandainya YB yang tidak menyokong lebih ramai berbanding yang menyokong semasa proses kelulusan, maka tak terbekalah Malaysia untuk satu tahun! Semakin besar nilai perbelanjaan kerajaan boleh menggambarkan betapa besarnya kerajaan itu atau semakin banyak yang perlu ditanggung oleh kerajaan berbanding dengan perolehan kerajaan.

Belanjawan biasanya akan menjadi defesit berbanding seimbang ataupun berlebihan kerana kos perbelanjaan yang sentiasa bertambah dan perolehan pula tidak semestinya meningkat. Oleh sebab itu, belanjawan sebenarnya lebih kepada unjuran perbelanjaan kerajaan dengan perolehan yang juga 'diunjurkan.' 'Duit' yang dikatakan dibelanja belum tentu terhasil daripada pendapatan yang diharapkan. Sebab itu, dalam kebanyakan belanjawan sama ada daripada pihak kerajaan atau 'belanjawan bayangan' daripada pihak pembangkang, tidak akan dibuat perincian seinci-incinya daripada manakah hasil kerajaan yang hendak diperbelanjakan itu.

Soalnya, mampukah kerajaan mencapai pendapatan yang dikatakan untuk dibelanjakan kepada rakyat itu? Kalau tidak, dari manakah datangnya duit itu untuk diberikan kepada rakyat?

Perkara sebegini merupakan cabaran kepada pihak pembuat dasar dan pelaksana kerana dengan suasana negara yang kadang-kala terlalu politikal, ramai yang kononnya 'ahli ekonomi' dan 'pakar kewangan' yang mengkritik kenapa bonos tak dibagi kepada pekerja, kenapa cukai dinaikkan, kenapa kerajaan cekik darah; lalu mereka akan bentangkan belanjawan mereka dengan memberikan 1001 harapan kepada rakyat manfaat yang akan mereka berikan andai mereka menjadi kerajaan.

Sedangkan semakin banyak kerajaan berbelanja, sebenarnya semakin banyak jugalah sumber yang perlu dihirup oleh kerajaan daripada bagi membolehkannya berbelanja! Lalu akan dipersoalkan kembali, berbaloikah nilai kerajaan berbelanja? Kita bukan bercakap tentang perbelanjaan keluarga Pak Abu atau duit poket anak Pak Kassim; kita bercakap soal negara! Kalau Pak Abu dan Pak Kassim boleh kerja sampingan (part-time) bagi cuba memenuhi perbelanjaan mereka, maka apakah ada 'kerja sampingan' yang perlu dibuat bagi kerajaan?

Sebab itulah di sebahagian negara, ada dikalangan rakyat mereka yang membuat tunjuk perasaan bagi meminta kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan mengkaji 'projek-projek' besar yang melibatkan kerajaan kerana perbelanjaan tersebut bermaksud kerajaan akan menggunakan duit cukai rakyat. Berbeza dengan Malaysia yang mana gaji kakitangan awam yang lebih diperjuangkan sehingga soal bonus, soal kenaikan gaji dan elaun lebih diraikan. Sedangkan dalam ekonomi asas (economy 101), semakin banyak yang terpaksa dibelanjakan bermaksud semakin kurang cekap dan berkesan sesuatu sistem. Jadi, dengan kadar produktiviti yang ada pada masa sekarang ini, sesuaikah gaji yang dibayar oleh pembayar cukai dengan perkhidmatan yang dirasai oleh rakyat kebanyakan?

Suntikan semangat sektor swasta pada belanjawan kali ini jelas kurang memberangsangkan pada tahap pekerja. Masih belum ada cadangan yang konklusif di peringkat kerajaan bagi gaji minimun bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana melainkan bagi mereka yang bekerja sendiri, dan bantuan setengah ribu yang sebenarnya, sama ada pekerja awam mahu pun swasta pun boleh memintanya kelak. Namun perlu diakui bahawa belanjawan bukanlah satu-satunya tempat bagi membincangkan isu ini. Rangka yang lebih mantap perlulah diusulkan bagi menjamin kebajikan pekerja swasta yang daripada segala segi, lebih anjal, tinggi tekanan dan mencabar berbanding rakan mereka di sektor awam.

Sudah semestinya sebagai rakyat, kita mengharap bahawa belanjawan populis ini memberikan kesan positif kepada sara hidup kita dan dapat menampung sedikit sebanyak kesukaran yang dihadapi oleh golongan marhaen. Besar harapan rakyat bagi agensi pelaksana agar dapat benar-benar melaksanakan apa yang telah dirancang bagi membuahkan hasil yang diinginkan. Kepada penjawat kerajaan, selamat menikmati skim gaji yang baru dan diharapkan dengan insentif yang begitu mengujakan (seuja ulasan presiden kesatuan sekerja mereka) dapatlah mereka meningkatkan produktiviti mereka dan membuang sama sekali persepsi buruk ‘birokrasi’ yang sering melingkari sektor perkhidmatan mereka yang mencecah 2 juta orang pekerja. Lembaga Produktiviti Malaysia atau MAMPU, silalah kemukakan laporan produktiviti agar rakyat boleh menilai keberkesanan dan kecekapan sumber yang mereka sediakan kepada kerajaan (baca: cukai) digunakan bagi memudahcarakan segala kegiatan berkait kerajaan. Jadikan laporan tersebut tajuk utama akhbar (perlu kerjasama pihak media pulak!) supaya rakyat peka dan cuba faham daripada sekadar satu berita sampingan satu lajur daripada seluruh muka surat khabar yang biasanya diletakkan di bahagian dalam yang orang pun kadang-kala tak baca.

Dan bagi pihak kerajaan, terima kasih kerana memberikan satu cadangan perbelanjaan yang disifatkan begitu menyeluruh; walaupun ada pihak yang merasakan mungkin harapan mereka tidak tertunai. Cukai rokok & tembakau dan arak tidak dinaikkan; sudah tentu memberi satu booster kepada perokok tegar. Namun kita tidak tahu pada masa akan datang dan sudah semestinya perlaksanaan cukai penggunaan akan memberikan impak luas kepada bukan sahaja rokok dan arak, sebaliknya segala perkara yang berkaitan dengan ‘barangan’ dan ‘perkhidmatan.’ Semoga kerajaan berdaya saing dan mampu mengekalkan atau menambahbaik tahap ekonomi negara dengan sebaik mungkin dan mengelak daripada meminjam wang daripada negara lain dengan banyaknya sehingga boleh menyebabkan krisis hutang persis negara-negara Eropah pada masa kini.

Satu lagi, bagi pihak media dan kerajaan juga, nampak sangat yang usaha memartabatkan bahasa Melayu sekadar bertanam tebu di pinggir bibir kerana sudahnya, jadi ‘bajet’ juga akhirnya istilah timangan untuk ‘rang undang-undang perbekalan.’ Sudah-sudahlah. Janganlah munafik (hipokrit) hendak jadi pejuang bahasa, menuntut universiti menjadi pendorong pejuangan bahasa kalau kerajaan sendiri tidak mahu turut serta memperjuangkannya. Sebab itu wujud perkataan bajet, sebab kerajaan pun pengiakannya penggunannya. Tugas memartabatkan bahasa bukan sekadar di bahu rakyat, kerajaan dan media pun perlu turut serta melakukannya.

Dari itu, selamatlah berbelanja atau berbajet!

Wednesday, July 27, 2011

Halal-haram: Antara hukum, perlaksanaan dan implikasi

Pengenalan

  • Sehingga kini, bukanlah sekali dua masyarakat Islam di Malaysia disajikan dengan isu berkaitan halal dan haram. Setelah isu kopitiam menyajikan kopi bercampuran babi, kita juga disajikan dengan isu bir halal. Nampaknya, isu ini merupakan satu isu malar segar setelah kebangkitan apa yang penulis sifatkan sebagai kesedaran halal (halal conscious) dalam artikel terdahulu.
  • Menjelang masa, sudah tentu akan ada pelbagai lagi isu berkaitan halal haram sehinggakan ada kemungkinan kita akan hanyut dek soal hukum dalam membicarakan agama Islam. Sedangkan paradigma Islam itu sendiri begitu luas sehingga menjadikan "Islam sebagai cara hidup" kekal menjadi retorik kosong kerana tumpuan lebih menjurus kepada hukum itu dan ini dan sedikit pula kita memperkatakan soal akidah yang menjadi tunjang kepada agama Islam itu sendiri dan ihsan yang menjadi tonggak tingkah laku, adab dan akhlak.
  • Sampaikan mana masalah akidah, mana masalah furu' hukum dan ibadah pun dicampur adukkan. Ada blogger yang menulis berkaitan satu siri drama di televisyen swasta yang dikatakan menghina wanita yang berburqa sehingga menuduh siri tersebut memesongkan akidah. Isu menghina wanita berburqa memanglah sesuatu perkara yang sangat berat namun tidaklah sampai ke tahap memesongkan akidah!
  • Selain itu, ada juga perkara berkait halal-haram yang lebih kepada isu penggunaan bahasa berbanding hukum itu sendiri. Ada juga perkara berkait halal-haram yang mana perbezaan pendapat perlu diraikan bagi membolehkan kehidupan menjadi lebih terurus dan mengelakkan kesulitan lantaran ada pendapat yang terlalu ketat dan ada pula yang terlalu longgar.
  • Oleh sebab itu, berlapang dada dalam menerima pendapat adalah dituntut sedangkan permasalahan yang ditimbulkan lebih berbentuk furu' malah mempunyai lebih banyak alternatif berbanding perkara-perkara usul yang lebih-lebih lagi berhak dipelihara.
Isu bahasa dan hukum
  • Isu berkait bir halal yang begitu hangat digembar-gemburkan oleh media massa terkini sebenarnya perlu juga dilihat daripada sudut penggunaan bahasa. Pada hemat penulis, bagaimanakah sesuatu minuman yang haram itu diletakkan entiti halal pada hujung namanya? Misalnya bir - bagaimana boleh jadi halal sedangkan satu dunia sudah meletakkannya sebagai minuman beralkohol yang memabukkan?
  • Jadi kembali semula kepada isu, kenapa kalau minuman itu tidak memabukkan hendak dinamakan bir? Adakah sifat-sifat bir itu ada namun alkoholnya ditiadakan, maka bir itu menjadi halal? Sedangkan dari segi bahasa, bir (beer) adalah merujuk kepada minuman beralkohol yang akan mendatangkan kesan memabukkan andai diminum secara banyak. Jadi, dari situ sahaja sudah boleh disimpulkan bahawa bir tidak akan sama sekali bertukar status daripada haram kepada halal!
  • Masalah kita pada masa kini adalah terlalu terikut-ikut sangat hendak memberikan atribut halal kepada sesuatu yang telah sedia haram. Sebab itu minuman berasaskan malt tersebut dipanggil 'bir halal' sedangkan dari segi bahasanya bir tetap haram. Kita sewenang-wenangnya menggunakan perkataan yang pada asalnya bermaksud makanan dan minuman yang haram, lalu diletakkan atribut 'halal' bagi mengaburi pengguna Islam membeli makanan/minuman tersebut. Sebab itu ada kita dengar 'ham halal' dan 'bacon halal' sedangkan pada asalnya kedua-duanya diperbuat daripada daging babi.
  • Oleh sebab itu, bahan makanan dan minuman yang diubah daripada resepi asal (daging babi tukar kepada daging ayam misalnya) selepas itu dinamakan pula dengan nama yang mana pada asalnya merujuk kepada makanan atau minuman yang mempunyai sumber yang haram (bir, wine, bacon, ham) namun diletak pula perkataan 'halal' bagi menarik minat pelanggan muslim membelinya.
  • Pada pandangan penulis, trend sebegini sepatutnya dikekang kerana sudah pasti keadaan sebegini akan menimbulkan kegelisahan dan kekeliruan kepada umat Islam. Maklumlah, teknik pemasaran sebegini akan melariskan jualan kerana sudah pasti ada sahaja orang yang teringin makan dan minum makanan yang pada asalnya 'haram' tapi kini dibuat 'halal.'[1] Selain penggunaan istilah yang salah, syubhah akan timbul dek kerana pencampuran nama haram dan halal sehingga mewujudkan rasa kurang senang umat Islam. Kita tak mahulah 'bir yang halal,' apabila dibuat ujian kimia ternyata haram kerana ada kandungan alkohol berlebihan. Perkara tersebut merupakan satu pengkhianatan terhadap hukum-hakam Islam dan apabila hukum Islam dikhianati maka bersedialah menghadapi balasan Tuhan!
  • Kita tidak mahu institusi sosial umat Islam sentiasa berada dalam keadaan ragu-ragu disebabkan isu-isu yang sebegini kerana akan merencatkan perkembangan ekonomi Islam itu sendiri. Alangkah elok andai gelaran bir halal itu ditukar sama sekali dengan menggunakan perkataan yang tidak membawa konotasi haram. Begitu juga dengan ham dan bacon; sungguh pun nama mungkin tidak vogue kedua-dua itu, adalah lebih elok dinamakan seperti chicken slice atau smoked beef.
Rokok: Halal, haram atau makruh?
  • Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini menyuarakan kekesalan beliau tentang umat Islam yang masih lagi merokok sedangkan dua buah negeri di Malaysia [2] telah mewartakan bahawa rokok itu haram. Rokok dilihat sebagai satu duri dalam daging yang membawa kepada permasalahan yang lebih besar dalam diri seseorang seperti masalah kesihatan, masalah kewangan dan bagi yang lebih teruk, mungkin menjurus kepada masalah penagihan dadah seperti ganja.
  • Selain itu, sebelum ini pun, Sahibus Samahah Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah menyamakan perokok sebagai "lebih teruk daripada lembu" kerana lembu tidak dikurniakan akal membezakan baik buruk sebaliknya manusia dikurniakan akal yang boleh membuat pertimbangan positif dan negatif. Kesemua ini menjurus kepada satu kesimpulan yang hampir serupa iaitu rokok merupakan sesuatu yang negatif dan harus dihindarkan.
  • Penulis semasa zaman mudanya (i.e. lebih muda daripada masa sekarang ini) juga pernah membuat pendirian bahawa rokok itu patut hukumnya haram. Ramai dikalangan rakan penulis (yang merokok mahu pun yang tidak) yang tahu benar dengan 'ketegasan' penulis pada ketika itu. Bagaimanapun, setelah kita bertambah dewasa, didedahkan dengan itu dan ini, barulah kita faham mengapa kita sepatutnya dan sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya membuat hukum itu dan ini kerana setiap hukum mestilah ada perlaksanaan dan implikasinya.
  • Soal keluar hukum merupakan satu hal, akan tetapi bagaimanakah perlaksanaannya dan kesannya kepada rakyat? Perkara ini yang seharusnya lebih ditekankan oleh badan yang berkuasa dan pihak berkepentingan. Jangan kita menghukum itu dan ini tetapi kita tidak laksanakan. Kalau tidak dilaksanakan, apakah yang akan terjadi kepada hukum tersebut? Adakah sekadar terpahat di atas kertas, akta dan enakmen itu dan ini tetapi masyarakat masih tidak mengambil pusing hal tersebut. Atau sudah kata perkara itu haram, orang Islam masih lagi bebas membelinya dengan mudah?
  • Bagi Pok Nik pula, Pok Nik kena sedar yang tembakau merupakan antara sumber pendapatan terbesar negeri Pok Nik. Kalaulah ibarat menghisap rokok itu lebih bangang daripada lembu, maka apakah pula ibarat mereka yang menanam, memproses, mengedar, menjual dan mendapat hasil daripada penanaman tembakau tersebut? Bagaimanakah pula ibarat kerajaan negeri yang membolehkan penanaman tembakau tersebut berlaku dan menjadi sumber pendapatan rakyatnya? Lebih teruk daripada baghal agaknya?
  • Mungkin penulis pernah ceritakan sebelum ini, penulis pernah ditemu duga (nak dapat kerja kerajaan di Kementerian Kesihatan), penemuduga bertaraf Datuk itu bertanya adakah kempen berhenti merokok berjaya (ketika itu, rokok 10 dan 14 batang masih dijual) lalu penulis nyatakan memanglah ada kesannya tetapi tidaklah dapat dilihat secara total. Orang masih membeli rokok walau harga semahal mana (ketika itu masih harga RM5-8 sekotak 20 batang). Lalu ditanya penemuduga, 'apakah cadangan anda bagi mengatasi masalah ini.' Dengan selamba penulis jawab, 'kita haramkan sahaja rokok di pasaran, justeru orang tidak boleh menghisap lagi.' Kenyataan yang kedengaran naif ini dijawab oleh si Datuk, 'Eh, mana boleh kita haramkan?! Nanti akan timbul soal penyeludupan. Bagaimanakah pula dengan sektor pekerjaan? Pekerja yang kerja di kilang rokok itu bagaimana hendak cari kerja? Akan terjejaslah salah satu sumber pendapatan ekonomi negara.' Penulis gagal dalam temu duga tersebut.
  • Nah, sekarang barang ditanya, mengapakah rokok itu tidak diharamkan? Jawabnya, 'sebab ekonomi, sebab pekerjaan.' Sedangkan banyak sekali tujuan pengharaman tersebut menjurus kepada soal kesihatan dan pembaziran. Kalau waktu 'dihalalkan' ini pun dengan harga yang sebegitu mahal sekotak, penyeludupan masih ada; adakah tatkala diharamkan tidak berlaku penyeludupan?
  • Mengeluarkan hukum itu satu perkara, perlaksanaan itu satu perkara lain. Apalah ertinya hukum kalau tiada perlaksanaan? Kalau rokok benar-benar dihukumkan haram, sudah semestinya penguatkuasaan patut dilaksanakan. Rokok tidak boleh dijual kepada orang Islam. Rokok hendaklah dilesenkan dan hanya yang bukan Islam sahaja yang boleh menjualnya. Sumber pendapatan daripada rokok (termasuk tembakau) juga hukumnya haram. Tidak boleh diterima zakat orang yang menanam tembakau kerana ternyata hukum menanam tembakau pun sudah jadi haram! Tembakau lebihlah lagi tidak boleh diterima zakatnya kerana tiada manfaat besar yang lain selain membuat rokok berbeza dengan beras, gandum, barli kerana sungguh pun boleh dibuat arak, tanaman itu sebenarnya merupakan makanan ruji yang boleh dimakan - jadi terpulang kepada asal tanamannya untuk dibuat apa. Adakah kerajaan dan jabatan agama sudah bersedia menguatkuasa sampai ke tahap itu?
  • Satu lagi isu yang timbul adalah tanggungan pemerintah. Tatkala kita mengeluarkan fatwa sesuatu itu menjadi haram, sesuatu fatwa itu hendaklah dipatuhi sebagaimana hukum agama yang lain. Pemerintah yang seharusnya memastikan agar hukum itu dipatuhi. Kalau rakyat tidak mematuhinya, pemerintah perlu membuat penguatkuasaan. Kalau pemerintah tidak membuat penguatkuasaan, dosa melanggar hukum itu jatuh kepada siapa? Kalau diikutkan hadis nabi, 'cegahi kemungkaran dengan tanganmu' [3] yang mana 'tangan' itu ulama menafsirkannya sebagai 'dengan kuasa.' Jadi tanggungan tersebut jatuh kepada pemerintah! Memanglah dosa sendiri-sendiri yang tanggung; tetapi yang keluar fatwa itu autoriti agama. Lalu kalau fatwa dikeluarkan tapi tidak ada yang menghormatinya, autoriti agama sendiri tidak mahu melaksanakannya (dengan sendirinya tidak menghormatinya) apakah hukum-hakam yang hendak diputuskan? Dosa ditanggung oleh siapa?
  • Sebab itulah soal fatwa halal-haram ini tidak boleh dibuat main-main. Mesti jelas dan mesti difahami semua orang. Bukanlah niat penulis hendak memperkecilkan autoriti agama (jabatan agama, jabatan mufti) tetapi hakikatnya, kita tidak mahu soal hukum-hakam ini dipandang remeh sebab apabila kita sudah mengeluarkan fatwa, semua rakyat lingkungan fatwa tersebut wajib mengikutinya. Kalau Selangor sudah keluar dan wartakan fatwa yang rokok itu haram, maka haramlah rokok kepada rakyat negeri Selangor. Jabatan Agama Islam Selangorlah yang harus dipertanggungjawabkan dalam perlaksanaannya. Kalau orang Islam di Selangor menghisap rokok, hukumnya jadi haram lagi berdosa. Perlulah ada hukuman atau kaedah-kaedah yang dilaksanakan bagi membanteras gejala rokok di kalangan umat Islam di Selangor. Misalnya tangkapan, atau pesalah perlu menjalani kursus tertentu untuk kesalahan awal namun kalau tidak berhenti juga, perlulah ada hukuman. Kalau tidak, fatwa itu dipandang enteng dan semakin kerap orang melanggarinya, semakin banyak dosa-dosa yang ditanggung. Kalau penguatkuasaan sudah dibuat, barulah nampak ada usahanya menghormati fatwa. Namun kalau 'habuk pun tarak' institusi agama Islam akan terus dipermain-mainkan dan akan diperkecil-kecilkan sendiri oleh umatnya apatah lagi akan dipandang serong dan negatif oleh yang lain.
  • Sebetulnya, soal rokok ini satu soal yang sangat-sangat rumit sebab penghisapnya bukan sahaja terdiri daripada kalangan orang kebanyakkan, malah orang alim agama pun ada yang menghisapnya. Senario pak lebai hisap rokok di luar ruang sembahyang di masjid bukanlah satu pemandangan yang aneh. Yang berserban besar pun tidak segan silu menghisapnya di hadapan orang ramai. Tok Imam dan Pak Bilal pun ada yang membuat perkara yang serupa. Yang bergelar Ustaz, kadang-kala tumpang sekaki andai 'penuntutnya' berkumpul bercerita sambil merokok. Oleh sebab itu, kalau mereka yang dihormati ini pun tidak berhenti merokok, bagaimanakah agaknya bagi si jahil dan ilmu agama sekadar alif ba ta ini hendak mengikut?
  • Maka, kepada pihak yang berkepentingan, janganlah jadikan hukum-hakam agama ini sebagai barang yang tak laku dan dipandang sepi oleh orang ramai. Martabatkanlah institusi fatwa dengan perlaksananannya sekali; barulah institusi ini akan dihormati. Perlaksanaan bukan bermaksud menghukum sahaja, tetapi perlu ada langkah proaktif bagi memberi kesedaran, membuat penguatkuasaan dan memberi didikan. Nasihatkan pihak pemerintah supaya membuat pengharaman jualan rokok kepada umat Islam kerana sudah dikaji dalil naqli wa aqlinya bahawa rokok itu jatuh kepada hukum haram. Kerajaan pula tak usahlah guna alasan 'ekonomi' dan 'pekerjaan' sebagai sebab tidak boleh mengharamkan penjualan rokok sebab di atas muka bumi Allah yang Maha Penyayang, begitu banyak sekali pintu rezeki yang boleh dicari dan dimanfaatkan. Sinergi antara jabatan agama pula perlu diperkasakan supaya usaha untuk menjadikan autoriti agama di seluruh Malaysia sebagai badan yang dihormati dan disegani akan dapat dicapai.
Kesimpulan
  • Soal halal dan haram dalam bab makanan dan minuman bukanlah satu soal yang boleh dibuat main-main kerana segala makan minum kita akan menjadi darah dan daging kita dan akan memberi kesan kepada seketul daging yang bergelar hati (qalbu). Penulis tidaklah mahu ulas berkaitan dosa pahala, syurga neraka dan balasan seksa orang yang memakan dan minum benda-benda yang haram kerana perbincangan yang begitu ekstensif berkaitan hal-hal begitu banyak sekali dalam buku-buku agama terutamanya berkaitan targhib wa tarhib. Sebaliknya renungkanlah fungsi hati kita yang mana andai baik, baiklah seisi badan dan amalannya dan andai buruk, maka buruklah seisi badan dan amalannya . Dan hati, daging dan darah kita terhasil daripada apa yang kita makan dan minum melalui pengaktifan sel-sel yang tak terbeza sebelum dibezakan menjadi sel bagi tisu, tisu bagi organ dan organ bagi sistem badan manusia.
  • Masyarakat Islam kini menghadapi pelbagai krisis dari sosialnya, politiknya dan ekonominya; apatah lagi dicampur dengan persepsi negatif yang bukan Islam terutamanya Barat terhadap Islam. Kejadian pengeboman dan tembakan rambang yang berlaku di Norway misalnya pantas sekali dikaitkan dengan Islam sedangkan pelakunya merupakan pelampau Kristian. Begitulah buruknya persepsi media barat terhadap Islam. Kesemua ini tidak dapat tidak (inevitable) dapat dikaitkan dengan pelbagai permasalahan yang dikaitkan dengan Islam meskipun agama Islam juga merupakan agama yang paling cepat berkembang pada masa kini.
  • Oleh sebab itu, kita tidaklah mahu jadikan Islam itu hanya ramai pada angka tetapi banyaknya itu sekadar seperti buih lautan di tepi pantai yang setelah menghempas bumi hilang kesemuanya. Kontra dengan pemikiran biasa, penulis berpendapat bahawa kuantiti harus seiring dengan kualiti (berlainan dengan kualiti lebih penting berbanding kuantiti) sebab Nabi SAW sangat bangga umatnya ramai. Apakah cara yang lebih baik untuk meraikan kebanggan Nabi SAW itu melainkan dengan umat yang taat juga kepada perintah Allah dan Rasul-Nya [4]? Justeru dengan landskap sosial dan media yang sedia ada di mana angka menjadi kata bicara, adalah sangat penting untuk menunjukkan yang umat Islam yang benar-benar muslim, mukmin dan muhsin itu ramai dan kesedaran ini sudah pasti akan membangkitkan roh Islami yang lebih kuat bagi menjadi ikutan kepada yang lain.
  • Bagi mencapai hasrat tersebut, tidak dapat tidak, usaha ke arah memartabatkan Islam penting untuk dilaksanakan. Soal halal-haram terutamanya terhadap perkara-perkara baru (pasca-zaman Nabi SAW dan Sahabat) jangan cuma di meja rundingan sahaja sebaliknya hendaklah ditunjuk kenapa halal dan kenapa haram. Perlu dizahirkan kenapa haram? Umat Islam perlu menghormatinya kerana itu adalah hukum. Barulah wujud sebuah masyarakat Islam yang benar-benar menjaga batas halal-haramnya, terhindar dari syubhahnya dan bukan sekadar beria-ia hendak minta fatwa tetapi selepas dikeluarkan, fatwa itu dipandang sepi. Tatkala masyarakat terhindar daripada yang haram atau pun syubhah, barulah kesucian hati itu akan dapat dikembalikan dan Insya Allah, akan berkurang juga masalah sosial, masalah kepimpinan dan pelbagai lagi masalah yang berkait urusan duniawi dan ukhrawi.
  • Akhir kalam, adalah penting untuk umat Islam masa kini kembali semula ke paradigma Islam yang sebenar (berlainan dengan membuat anjakan paradigma sebab kalau nak dianjak, nak anjak ke mana?) kerana Islam itu lengkap[5]. Usaha pengukuhan ekonomi Islam adalah langkah yang baik kerana melalui ekonomi jualah kita mendapat sumber makan minum kita. Kita perlu berdikit-dikit dahulu dalam memperkasakan institusi Islam yang lain seperti mahkamah syariah (jangan asyik dok tangguh kes aja!), majlis fatwa, baitul mal dan pelbagai lagi institusi dengan berterusan supaya hasrat kita mencapai negara yang baik dan maju dengan acuan Islam (baldatun toyyibatun) akan tercapai.
Nota hujung
1. Lebih-lebih lagi, dalam keadaan negara yang hendak mencapai status hub-halal, maka tidaklah seharusnya semua benda yang telah terdahulu haram hendak dibuat jadi halal dengan mengubah asal benda tersebut. Takut-takut satu hari nanti akan dikeluarkan pula produk 'daging babi halal' yang diperbuat daripada daging bukan babi tetapi berperisa babi. Walaupun hukumnya halal, kelihatan seolah-olah umat Islam hendakkan sangat (kemaruk) merasa perkara yang haram dengan cara dihalalkan sedangkan begitu banyak sekali makanan dan minuman di atas muka bumi ini yang halal dan berkhasiat!
2. Dua negeri tersebut ialah Selangor pada 1995 dan Pulau Pinang pada 2004. Rujuk Fatwa Negeri-Negeri Yang Diwartakan, Jabatan Kemajuam Islam Malaysia, 2007, m.s. 133 dan 139.
3. Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menyebut, barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tanggannya, andai tidak mampu hendaklah dengan lisan dan seandai tidak mampu, hendaklah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.
4. Firman Allah Taala dalam Surah Ali Imran, ayat 132 bermaksud, Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul, mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.
5. Perkataan paradigma (paradigm) adalah berasal daripada latar belakang pengajian sains yang bermaksud weltanchuung atau pandangan alam. Oleh sebab itu, "anjakan paradigma" adalah perubahan pemikiran sesebuah masyarakat saintifik daripada satu pandangan alam ke pandangan alam yang lain. Perkataan ini telah dipopularkan oleh Thomas S. Kuhn dalam The Structure of Scientific Revolutions (1962) dalam menerangkan mengapakah berlaku perubahan pemikiran masyarakat saintifik terhadap sesuatu isu. Sebagai contoh, perubahan pandangan astronomi geosentrik (bumi sebagai pusat cakerawala) kepada pandangan heliosentrik (matahari sebagai pusat cakerawala). Walaubagaimana pun, andai paradigma itu disifatkan sebagai satu pandangan alam, maka Islam itu sendiri merupakan satu pandangan alam kerana mempunyai sistem, struktur dan organisasinya yang tersendiri yang meliputi kesemua aspek dari segi sains, sosial, pendidikan, ekonomi, politik dan juga hal-hal berkaitan keagamaan. Keterwujudan pandangan alam ini adalah sudah sedia ada dan apa yang penting adalah untuk kita kembali kepada pandangan tersebut sebagaimana firman-Nya, Maka apabila berlaku perbalahan di antara kamu, hendaklah kamu kembali kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya); jika kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian itu lebih baik dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah An-Nisa', ayat 59).