PERINGATAN: Semua artikel yang ditulis oleh penulis adalah nukilan penulis sendiri melainkan telah dinyatakan sumbernya dan TIDAK mewakili organisasi yang telah/sedang penulis sertai. Tulisan bukan bermaksud membangkitkan sebarang sentimen yang menyebabkan perasaan kurang selesa kepada pembaca. Andai pembaca yang mendapati terdapat tulisan yang bersifat demikian, sila beri komen untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih
Thursday, November 7, 2013
Tuesday, October 29, 2013
Rokok seludup vs Rokok berdaftar
Catatan pasca suntingan: Ada kemungkinan yang sangat besar pendedahan dan tumpuan terhadap rokok seludup oleh pihak media tempatan turut disebabkan kehilangan hasil kutipan cukai oleh kerajaan terhadap industri rokok kerana penurunan jualan rokok berdaftar akibat kewujudan rokok seludup yang lebih mahal.
Sekali lagi, hal ini menguatkan lagi andaian penulis, bahawa laporan yang digembar-gemburkan oleh media sebenarnya ialah satu ‘rayuan’ tersirat agar perokok kembali membeli rokok berdaftar (baca: yang dikenakan cukai oleh kerajaan) dan bukannya usaha kerajaan yang mempedulikan kesihatan rakyatnya.
Seandainya benar kerajaan ikhlas untuk menyelesaikan masalah kesihatan rakyat, rokok seharusnya diharamkan serta-merta tanpa mengira sama ada rokok itu berdaftar (maka tiadalah cukai hasil rokok) ataupun tidak!
Monday, October 28, 2013
Friday, November 11, 2011
Homoseksual: Antara pengiktirafan dan hukuman
Ramai sebenarnya yang barangkali terlupa bahawa kewujudan homoseksual berlaku seawal zaman Nabi Lut a.s lagi. Hal ini bermaksud, menurut pandangan samawi kegiatan luar tabii ini telah berlaku sebelum zaman Masehi lagi. Oleh yang demikian, adalah sangat sesuai seandainya kajian berkenaan homoseksual ini diselaraskan dengan maklumat atau ilmu berkaitan sejarah pada zaman tersebut. Apatah lagi perkataan 'liwat' itu sendiri berasal daripada 'Lut' yang merujuk kepada kaum Nabi Lut sendiri. Kaum tersebut dikatakan sebagai telah mengamalkan gaya hidup yang suka kepada jantina sejenis; seterusnya membawa kepada kemurkaan Allah Taala setelah dakwah Nabi Lut a.s tidak diendahkan. Hukuman yang dikenakan bukanlah calang-calang kerana menurut sejarah, bumi sekitar penempatan kaum tersebut telah diangkat oleh malaikat, diterbalikkan lalu dihempas ke bawah membunuh hampir kesemua manusia yang ada di situ pada ketika itu.
Dahsyatnya hukuman Tuhan terhadap kelakuan kaum Lut itu membuktikan bahawa menurut ajaran samawi, perlakuan sebegitu tidak mendapat pengiktirafan langsung daripada Yang Maha Esa. Jadi, kata-kata 'aku sudah ditakdirkan begini' tidak dapat diterima langsung kerana walaupun seseorang itu khunsa sekali pun, penzahiran satu jantina sama ada lelaki ataupun perempuan perlu dibuat bagi memenuhi konsep fitrah. Oleh sebab itu, bagaimanakah hendak diselesaikan soal fizikal lelaki namun gemarkan yang lelaki, fizikal lelaki, gemar menjadi perempuan, fizikal perempuan, gemarkan perempuan dan fizikal perempuan, gemar untuk menjadi lelaki?
Pokok pangkalnya penyelesaian adalah melalui penglibatan semua orang (walaupun kedengaran cliche) iaitu daripada pihak ibu bapa (mendidik, menegur dan memantau seawal usia pucuk), rakan-rakan (menyokong ke arah yang betul), pihak keagamaan (sokongan moral, motivasi dan hikmah keilmuan), kerajaan (menyediakan dana, rangka kerja, kelengkapan dan program intervensi) dan masyarakat (menyokong mereka dalam usaha kembali kepada fitrah dan tidak memencilkan mereka). Akan tetapi, adakah dengan mengiktiraf hak mereka maka akan selesai segala masalah?
Soal hak dan promosi, walaupun nampak berbeza, namun akhirnya boleh membawa kepada kesimpulan yang sama. Misalnya andai kerajaan mengiktiraf hak untuk menghisap dadah, maka penagih dadah tidak boleh dihukum andai mereka membeli dadah. Pengedar 'dadah tak sah' tidak boleh dihukum mati dan tidak juga boleh diletakkan dalam hukuman 'jenayah berat.' Katakanlah, orang hanya boleh beli dadah di 'kedai berlesen' sahaja. Yang pastinya, kewujudan kedai berlesen pun belum tentu mengurangkan dadah seludup. Penghisap dadah boleh jadi bertambah kerana 'hak mereka telah diiktiraf.' Kononnya, selagi mereka membeli dadah di tempat yang betul, mereka tetap tidak bersalah. Pusat serenti boleh ditutup kerana penagihan ialah sesuatu yang dibolehkan mengikut undang-undang. Semakin ramai juga anak-anak muda ingin mencuba 'benda yang dibenarkan' itu.
Maka, adakah akan terselesai masalah penagihan? Kita hanya menyelesaikan masalah penagih dadah sebagai sesuatu yang bukan menjadi kesalahan (mengurangkan atau meniadakan kesalahan 'menagih dadah') tetapi kita mencipta pelbagai lagi masalah teknikal yang menjauhkan diri kita daripada masalah fundemental iaitu 'dadah' itu sendiri. Andai ini berterusan, kelak dadah akan menjadi umpama rokok apabila yang dipersoalkan hanyalah sekadar 'dadah seludup,' 'dadah murah,' dan 'kawasan larangan hisap dadah,' 'poster/gambar pada pek dadah - Amaran Kerajaan Malaysia: dadah membawa maut' 'dadah lari cukai,' dan seumpamanya sedangkan masalah sebenarnya ialah dadah itu sendiri.
Dalam keadaan sebegitu, bukankah kerajaan akan dilihat secara tidak langsung, mempromosi agar rakyatnya menghidap dadah dengan cara yang betul? Dengan pengeluaran lesen dan pengiktirafan bahawa dadah sekian-sekian adalah sah disisi undang-undang, maka bukankah kerajaan secara tidak langsung akan menggalakkan agar rakyatnya, kalau nak hisap dadah pun, biarlah hisap dadah yang sah!
Begitulah halnya dengan isu homoseksual. Kalau kita mengiktiraf hak untuk berhomoseksual, secara tidak langsung kita juga mempromosi agar semuanya boleh untuk berhomoseksual. Homoseksual itu menjadi bukan kesalahan (secara rela). Justeru negara kita perlu mengiktiraf golongan ini mempunyai hak itu dan ini. Hak mereka untuk menuntut hak mereka juga perlu dipenuhi. Sampai sudah nanti, mungkin ada ‘jabatan kebajikan homoseksual,’ dan menjelang masa, wanita pun perlu bersaing dengan golongan homoseksual kerana mereka pun hendak menjadi menteri, naib canselor, pengarah syarikat atau jabatan kerajaan, pengurus besar atau Perdana Menteri! Seperti di Barat, mereka ada jawatan kuasa tuntutan sendiri, wakil rakyat dan menteri sendiri, boleh melangsungkan perkahwinan sendiri justeru, mestilah ada 'badan agama' yang ditubuhkan bagi memenuhi keperluan mereka ini. Sebabnya - mereka berhak!
Yang diselesaikan bukannya masalah homoseksual, akan tetapi 'homoseksual itu tidak salah.' Itu sahaja! Hal ini samalah andai dinisbahkan dengan perbuatan mencuri itu tidak salah, jadi, memanglah tiada 'jenayah mencuri' dan bukannya 'jenayah mencuri berkurang' sebab mencuri kini telah dibolehkan.
Justeru, yang lebih penting untuk kita bincangkan adalah bagaimana kita hendak mencegah, membetulkan keadaan, membantu mereka kembali ke pangkal jalan; daripada satu sudut memanglah cuba untuk 'tidak menghukum' tetapi tidak juga mengiktiraf kelakuan mereka kerana kelakuan mereka salah daripada segi moral, nilai kemanusiaan dan nilai keagamaan. Oleh yang demikian, mereka perlu 'pulang ke pangkal jalan' dan 'kembali kepada fitrah.' Sungguhpun masyarakat akan 'cuba' untuk tidak mendiskriminasi, mereka juga seharusnya 'cuba' untuk memperbaiki diri. Yang lelaki perlu kembali menjadi lelaki, yang suka lelaki kena suka kembali kepada perempuan dan begitulah juga bagi pihak wanita.
Malangnya, keadaan dan rangka kerja ideal yang sedemikianlah yang sangat-sangat sukar untuk dicapai. Ada pihak yang cenderung menghukum mereka tanpa sebarang inisiatif mendidik atau berusaha untuk mendidik dan di pihak kutub yang satu lagi, ada pula sokongan besar daripada orang yang berpengaruh, pengamal undang-undang dan hak asasi manusia yang menyokong keterwujudan mereka sebagai hak manusia sejagat. Kemenangan biasanya akan mengikut keadaan latar masyarakat sesebuah negara sama ada masyarakat tersebut sudah terlalu kuat kesekularannya ataupun masyarakat yang lebih cenderung mengamalkan ciri-ciri tradisional.
Dan itulah sebenar-benarnya cabaran untuk golongan yang berada di tengah-tengah (wasathiyyah)!
Artikel berkaitan
Friday, October 28, 2011
Majlis Ayam Negara
- Pada hari Jumaat (28/10/2011), salah satu artikel ruangan ‘Surat’ akhbar Berita Harian menarik perhatian penulis untuk memberi ulasan mengenainya iaitu berkaitan 'boikot pembelian ayam.'
- Dalam artikel tersebut, dinyatakan tentang betapa nilai wang kini semakin kecil kerana peningkatan harga barang dan perkhidmatan.
- Peniaga seolah-olah memberikan jawapan standard bahawa kenaikan harga barang disebabkan oleh kenaikan harga pemborong dan harga pasaran global.
- Jadi, menurut surat itu, seruan Presiden Cuepacs supaya ahlinya memboikot ayam sangat wajar dipenuhi.
- Lalu artikel membawa pula perspektif ayam yang satu ketika dahulu bukan merupakan bahan komoditi kerana orang menternak ayam, tangkap ayak, sembelih ayam dan makan ayam itu sendiri.
- Namun kini yang namanya mempunyai perkataan 'kampung' (ayam kampung, telur ayam kampung) jauh lebih mahal daripada ayam muda biasa (ayam pasar).
- Ayam pula boleh diganti dengan ikan dan daging.
- Tapi, kini ikan dan daging yang lebih mahal daripada ayam (menyebabkan kedua-duanya tidak boleh menggantikan ayam lagi!)
- Jadi, apa yang boleh dilakukan ialah usaha memboikot ayam.
- Kalau beli seminggu tiga kali, bolehlah dikurangkan kepada setidak-tidaknya dua kali (boikot apa ke halnya cara begini?)
- Majlis kahwin kini pun perlu bersatu untuk turut serta memboikot ayam.
- Bolehlah digantikan menu ayam itu dengan lempeng pisang dan makanan ringan yang lain!
- Perkara inilah yang akan mencetuskan transformasi makanan agar generasi akan datang boleh menerimanya (iaitu sebagai contoh, menu majlis kahwin: lempeng pisang dan makanan ringan yang lainnya).
- Jujurnya, penulis teruja besar (gelaklah juga) apabila membaca artikel ini terutamanya menuju ke ayat 'majlis kahwin' dan 'diganti lempeng pisang.'
- Tidak tahulah sama ada salah penyunting surat dalam akhbar atau memang hasrat sebenar pengarang surat untuk berbuat demikian.
- Kadang-kala, penyunting akhbar hendak padatkan 'rencana' kita, itu yang ayat-ayat pelik pun boleh keluar.
- Tetapi, terbitan kali ini mengambil kira zahir tulisan pengarang tersebut sahaja. Sunting ke tak itu soal kedua (kena salahkan penyuntinglah....)
- Memang benar, ayam merupakan satu makanan yang paling kerap diperkatakan terutamanya menjelang perayaan besar negara.
- Jarang kita mendengar harga ayam jatuh tergolek menjelang hari raya, raya haji atau cuti sekolah; biasanya naik sahaja trendnya.
- Namun, harganya selalunya berfluktuasi, iaitu antara naik dan turun.
- Naik harganya biasa ketika ada sambutan sesuatu dan turunnya, orang tak kata banyak sangat pun.
- Tulisan surat pun mengakui bahawa harga daging dan ikan pun kini lebih tinggi berbanding ayam, jadi kenapa yang hendak diboikot ayam?
- Mengapakah bukan seruan untuk memboikot daging dan ikan sedangkan harga kedua-duanya naik jauh lebih mendadak berbanding ayam kerana dahulu, kedua-duanya lebih murah berbanding ayam dan kini, harganya setara atau lebih mahal berbanding ayam.
- Makanan mana yang naik lebih dalam hal ini?
- Kemudian, semangat boikot diteruskan sehingga majlis kahwin pun kalau boleh ditukar menunya.
- Menu biasa untuk majlis kahwin ialah nasi minyak.
- Maknanya kalau ayam tidak boleh dijadikan menu (umpama ayam masak merah atau ayam tomato) maka yang sebenarnya harus dibuat ialah ditukar terus menunya; iaitu bukan nasi minyak lagi. Daging pun turut mahal, ikan pun sudah mahal, tak payah hidang nasi! Hidang sahaja lempeng pisang!
- Soalnya bukannya transformasi ke apa, soalnya boleh ke dibuat dan dapat diterima atau pun tidak seandainya lempeng pisang sahaja yang dijadikan menu utama dalam kenduri kahwin.
- Adakah tetamu hendak makan nasi berlaukkan lempeng pisang?
- Kita hendak meraikan tetamu, barangkali datang dari jauh, barangkali amat sukar atau jarang untuk bertemu, namun ketika itu sahajalah mungkin disebab jemputan, dia hadir juga; maka kita hidangkan lempeng pisang?
- Kalau tidak hidang nasi minyak pun, barangkali nasi berlauk menjadi ganti. Bagi yang ada tradisi jawanya, mungkin nasi ambang 7 lauk. Di pantai timur mungkin makan kerabu.
- Tetapi, adakah hendak dijadikan lempeng pisang mengganti juadah?
- Memang diakui harga barang-barang niaga meningkat mendadak; namun penjual pun kena bayar lebih untuk mendapatkannya.
- Tapi, apabila mahu dijual; kena kekal harga sama - bagaimana?
- Barang kawalan seperti beras, gula dan minyak peket; lagilah tak ada untung.
- Beras berjenama 'Pilihan Muktamad' (ada gambar pelakon popular) harga datang untuk pek lima kilogram, RM12.80 hendaklah dijual harga kawalan kerajaan RM 13.00. Jual sepuluh pek baru dapat dua ringgit! (margin untung 1.6 peratus).
- Mana hendak tampung bil air dan eletrik (yang sememangnya harga lebih tinggi daripada pengguna domestik), sewa kedai, lesen itu dan ini, cukai dan kos lain-lain?
- Margin keuntungan runcit tidaklah sebesar yang disangka, lebih-lebih lagi peruncit barang tertentu sahaja seperti ayam, daging, ikan... Mereka berniaga bukannya semata-mata demi kebajikan masyarakat sahaja - tetapi hendak cari makan, bayar bil, sara anak-bini.
- Oleh sebab itu, disebabkan produk ayam yang diberatkan dalam terbitan kali ini, penulis mencadangkan agar kerajaan menubuhkan majlis ayam negara bagi memuaskan hati semua pihak.
- Atau mungkin nama yang lebih sedap dan gah seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja Industri Ayam.
- Suruhanjaya/Majlis Negara ini akan merangkumi kesemuanya daripada soal ternakan ayam komersial (ayam muda), ternakan ayam kampung, industri telur ayam, penempatan ladang ayam, jumlah keperluan ayam negara, bilangan ayam yang sedia wujud, jaminan kualiti dan piawaian ayam dan yang terakhir sudah semestinya isu ‘halalan toyyiba berkaitan ayam.’
- Badan ini hanya mempunyai skop ayam hidup, ayam telur, ayam tua dan ayam kampung sahaja; pendek katanya ayam terproses yang jadi nugget, tempura, daging cincang, sate frankfuter, sate segera dan bebola ayam tidak dimasukkan dalam skop kerjanya.
- Hal ini memandangkan kepentingan ayam daripada sudut perspektif media dan badan penekan seperti kesatuan itu dan ini yang begitu penting sekali dalam menetapkan mahal-murah harga di sektor makanan.
- Cili merah misalnya, sekarang sudah mencecah RM15-RM20 sekilogram jarang dijadikan penanda aras kepada harga barang makanan - mungkin sebab orang tidak makan cili untuk kenyang, atau dibuat gulai lemak cili cili atau kari cili.
- Ikan pun jarang orang dok cerita dan ungkit - mungkin sebab terlalu banyak kepelbagaian ikan. Kalau ikan segar tak ada, ikan benyek pun orang boleh beli. Nak sangat makan ikan tapi tak ada duit mungkin beli ikan bilis atau ikan sardin.
- Tetapi ayam... Lain pula ceritanya. Sampaikan hendak boikot pun boikot ayam.
- Kenapa tak boikot nasi sahaja, beras pun negara kita keluar, tapi jual RM2.60 sekilo (5 peratus hancur)? Lagi mahal daripada harga seliter petrol!
- Kedai Rakyat 1Malaysia pun jual beras 5 peratus RM11.50 untuk 5 kilogram, bermakna RM2.30 sekilogram, masih lagi mahal daripada harga petrol.
- Atau yang jauh lebih popular dan lebih masuk akal lagi munasabah, kenapa tak boikot rokok sahaja? Sudahlah kos tak seberapa, cukai melambak-lambak, harga mahal nak m*mp*s, memudharatkan alam sekitar (mencemarkan udara), penyakit lebih banyak diperoleh, manfaat hampir tiada dan barang Yahudi punya!
- Kesimpulannya, produk makanan tak kiralah ayam ke, bawang ke, daging lembu ke sememangnya satu keperluan makanan di Malaysia dan kita mungkin boleh boikot, namun penyelesaian harus lebih menyeluruh selain daripada boikot.
- Dan yang hendak diboikot pun biarlah munasabah hendak diboikot. Pemboikotan ayam memerlukan satu usaha yang cukup luar biasa untuk menggantikannya dengan lempeng pisang semasa walimah, misalnya.
- Kalau setakat seminggu beli dua atau sekali sahaja ayam pun bukanlah boikot namanya.
- Boikot ialah tak beli langsung dan menggantinya dengan yang lain!
- Jangan pula kerana dek marahkan ayam, tetamu dihidang makanan ringan kerana ternyata makanan ringan pun tiada khasiat.
- Andai sebab kesihatan untuk memboikot ayam, nescaya bukan ayam sahaja yang diboikot melainkan rokok, ayam, daging, nasi (beras), gula dan tepung yang lebih-lebih lagi perlu untuk diboikot. Tambahan pula, tiga yang terakhir itu penyumbang besar penyakit degeneratif seperti kencing manis dan yang pertama pula hampir tak bawa manfaat dan penyebab utama kanser dan penyakit-penyakit kronik lain.
- Akhir sekali, kalau seserius itulah ayam menjadi penanda aras bahan makanan basah negara, maka kerajaan memang wajar mewujudkan Majlis Ayam Negara bagi membolehkah kesemua pihak berkepentingan (stakeholders daripada pihak penternak, penjual, ahli agama, pembeli, wakil pembeli, kerajaan dan media yang begitu pantas menyiarkan berita ayam) mengambil bahagian, memberikan sebab kenaikan/penurunan harga dan permintaan dan melontarkan idea untuk menyelesaikan sama sekali permasalah ayam
- Berpijaklah di bumi yang nyata. Bukan semua orang makan ayam, bukan semua orang yang makan daging, bukan semua orang boleh mengelak memakan ayam dan lebih-lebih lagi, bukan semua orang boleh menternak/membela ayam!
Saturday, October 22, 2011
Nusantara satu.... Hah, tak ada? Habis tu apa yang ada?
- Sebagai lelaki, adalah sesuatu yang tidak menghairankan untuk dikelilingi rakan-rakan yang merokok.
- Malah, wanita kini sudah sebaris lelaki dalam menghisap rokok. Maklumlah, kini wanita pun hendak duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan lelaki, kalau lelaki jadi CEO, wanita pun kena jadi CEO, kalau lelaki main bola sepak, wanita pun perlu bermain bola sepak dan kalau lelaki hisap rokok, wanita pun lebihlah lagi perlu diberi hak menghisap rokok!
- Tulisan kali ini bukan berniat untuk membincangkan gender dan rokok... Di atas tadi sekadar menyebut realiti yang berlaku.
- Langkah kerajaan Malaysia untuk tidak menaikkan cukai rokok (baca: harga rokok) merupakan sesuatu yang amat-amat memeranjatkan pemerhati ekonomi; lebih-lebih lagi pakar cukai. Adakah ini taktik pilihan raya PM Najib?
- Masa pilihan raya, industri rokok merupakan antara yang paling banyak menerima tempias faedahnya.
- Sama ada puak kerajaan mahupun pembangkang, rokok merupakan insentif yang cukup popular untuk dibekalkan kepada pekerja-pekerja pilihan raya.
- Daripada peraih undinya, tukang pasang bendera dan kain rentangnya, pengiring orang kenamaannya, semuanya sudah tentu menginginkan sedikit habuan; maklumlah, ada yang cuti tanpa gaji, ada yang cuti sakit, ada yang memang kerjanya begitu; tunggu pilihan raya, adalah kerja lepas itu menganggur.
- Habuan paling popular (bagi lelaki) sebagai 'tanda mata' ialah rokok. Sekurang-kurangnya jimat duit rokok seminggu. Tak gitu?
- Tak payah tunggu pilihan raya, kalau dalam majlis rewang pun tentu ada tuan rumah yang menaja rokok. Daripada menyiang sampailah siap hidang di meja buffet, mestilah nak juga habuan rokok. Sekali lagi - biasanya lelaki la...
- Apabila kerajaan tidak naikkan harga rokok, dan ditanya pula kepada PM Najib merangkap Menteri Kewangan I, apa jawapannya? 'Oh, kita kena pertimbangkan harganya sudah sampai ke satu tahap yang tinggi. Kerajaan perlu pertimbangkan hal itu. Sekarang ini yang lebih kita concern ialah yang seludup.' Begitulah lebih kurang jawapan beliau.
- Begitu perihatin kerajaan Malaysia kerana takut rakyatnya tidak mampu beli rokok. Dan sekarang, dengan harga yang tinggi, kena fikir pula pasal rokok seludup.
- Sedangkan daripada satu segi, ekonomi bawah tanah, dalam konteks rokok telah lama berlaku. Penulis berkenalan dengan jenama bawah tanah terpilih terutamanya kretek sedari harga rokok premium Dunhill 20' sekitar RM5 lagi.
- Ialah, harga jenama bawah tanah Gud**g *aram Sur*a[1] pun baru sekitar RM2.50.
- Setelah itu, kenaikan rokok berlaku dengan drastik sehingga harga Duhill menjejak lebih RM8.00 sekotak. Kretek tetap naik juga namun tidaklah sedrastik rokok sah. Kini, harga minimum rokok sah di Malaysia ialah RM7.00, Gud**g *aram masih dalam lingkungan RM5.00-RM5.50.
- Namun, bukan itu sahaja jenama rokok kretek lari cukai yang ada di Malaysia; apa lagi adik-adik jenama utama Sur*a yang jauh lebih murah dan kononnya lebih 'mild' berbanding kretek kuat contohnya Nusan*a*a, St*rm*ld dan Sampoerna Indonesia.
- Tahun berganti tahun, semasa peningkatan harga rokok di pasaran, munculah jenama rokok tempatan yang dijual dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding jenama yang kukuh (established).
- Nama seperti rokok John, Promax, dan yang terbaharu (yang penulis sedang jual) Manchester pada asalnya dijual cuma sekitar RM3.00-RM4.00 sekotak.
- Sedangkan pada masa yang sama juga, kemasukan ‘rokok putih’ seludup juga berleluasa. Jenama seperti N*x, rokok bola, dan Ra*; semua diseludup dan dijual pada harga yang sangat-sangatlah murah.
- Walau bagaimanapun, dikri kerjaan merubah segala-galanya kononnya harga minimum rokok sah Malaysia ditetapkan pada kadar RM7.00. Justeru membawa kepada peningkatan harga rokok sah buatan/jenama Malaysia kepada RM7.00. Kononnya bagi menghalang budak sekolah membeli dan mengurangkan penghisap rokok yang baru.
- Pada ketika itu, pihak pembuat dan syarikat masih curi-curi menjual harga rokok tersebut dengan RM4.00. Mereka berpakat dengan penjual supaya pembelian satu karton dapat satu karton.
- Kaedah sedemikian tidak mampu bertahan lama. Akhirnya mereka tunduk kepada desakan kerajaan untuk menjual pada harga minimum yang dibenarkan. Kalau tidak, lagilah tiada bisnes![2]
- Akan tetapi, jenama seludup tetap kekal dengan harga yang lebih rendah. Masih ada peruncit yang berjaya mendapatkan bekalan untuk menjual rokok seludup kendatipun saban hari, ada sahaja laporan dalam akhbar tentang tangkapan besar-besaran rokok seludup.
- Terimalah hakikat. Margin keuntungan rokok seludup sungguhpun tidak besar, namun lebih besar berbanding menjual rokok sah yang untung bagi sepuluh kotak rokok 20' ialah sekotak rokok! Untung sekotak rokok pula hanya sebatang rokok.
- Sebaliknya, dengan harga yang lebih 'kompetetif,' rokok seludup lebih banyak dicari orang, lebih cepat habis dijual, lebih murah dan lebih tinggi pula nilai keuntungan kepada peruncit[3].
- Sedangkan penyeludupan rokok lebih kepada soal penguatkuasaan, keaktifan pihak penguat kuasa mencari 'lobang yang ditebuk' sehingga membolehkan produk tersebut terlepas ke pasaran Malaysia dan sudah semestinya soal wujudkah unsur rasuah yang membolehkan penyeludupan berlaku?
- Apakah kaitan rokok seludup dengan kenaikan harga rokok sah kalau kerajaan berjaya mengekang kemasukan rokok seludup dengan cekap dan berkesan? Kalau kita berjaya mengawal dengan sehabis mungkin rokok seludup sehingga harganya daripada semurah-murahnya hingga menjadi harga yang sama atau lebih mahal daripada rokok sah, sudah tentu isu rokok seludup tidak akan timbul!
- Malangnya, hal yang inilah yang kekal menjadi enigma kepada kerajaan, penjual dan pembeli rokok seludup.
- Kalau peruncit tidak mendapat sumber rokok seludup, sudah tentu dia tidak akan dapat menjualnya. Kalau tidak dapat jual, sudah tentu pembeli akan; mungkin pada awalnya mencari sehingga dapat tetapi akhirnya kalau semua sudah tiada, bagaimanakah dia hendak beli[4]?
- Memanglah selagi ada permintaan, akan ada penawaranan. Tetapi kalau secara ‘idealnya,’ andai sesuatu produk atau perkhidmatan itu sudah dibekukan pengeluarannya atau dalam konteks rokok seludup, sudah ditangani habis-habisan tanpa sebarang ‘ketirisan’ daripada pihak berwajib, sudah semestinya rokok seludup semakin sukar diperoleh. Harganya mungkin akan melambung tinggi kerana kenadirannya dan andai tiba tahap artikulasi pembeli memikirkan harganya sama dengan jualan rokok sah, sudah semestinya rokok R*y diganti rokok Malaysia yang lebih murah.
- Oleh yang demikian, adalah menjadi pilihan dan bergantung kepada keputusan kerajaan untuk benar-benar memerangi rokok seludup[5].
- Kalau sepakat fatwa melalui Majlis Fatwa Kerajaan mengiktiraf rokok sebagai haram; lagi bagus[6]. Pastilah wujud soal lesen dan lebih-lebih lagi, hanya bukan muslim sahaja yang boleh membelinya; akan memberikan sinar baru tahap kesihatan rakyat Malaysia dan dapat mengurangkan kemunafikan manusia yang beria-ia berteriak ‘boikot Yahudi’ dan ‘kerajaan ada kaitan dengan Apco ejen Yahudi’ tetapi rokok hisap berbatang-batang. Yang rokok tu bukan produk Yahudi ka[7]?
- Dari hal itu, bersama-samalah pihak pengilang rokok Malaysia, perokok dan penguatkuasa menggembleng usaha bagi membanteras kegiatan rokok seludup ini.
- Penulis masukkan pengilang rokok Malaysia (sama ada rokok Malaysia atau rokok yang dipasarkan di Malaysia seperti BAT, PM, JTI) kerana merekalah pihak yang paling berkepentingan dalam isu rokok ini. Kos rokok sangat rendah berbanding harga jualan dan perkara sebegini sebenarnya disebabkan oleh cukai kerajaan. Jadi, mereka harus bersatu menekan kerajaan dan pihak berkuasa melunyaikan sama sekali perniagaan bawah tanah ini. Malah mereka yang akan mendapat untung andai pembeli beralih arah membeli rokok mereka.
- Atau sebenarnya kerajaan kita dan pihak-pihak berkepentingan tersebut yang mempunyai pergantungan dengan ekonomi bawah tanah yang secara tidak langsung memacu ekonomi negara dan memberikan peluang pekerjaan[8]?
- Kita tidak mahu menuduh sedemikian dan kita lebih beratkan yang masalah rokok seludup timbul kerana kekurangan sumber penguatkuasaan atau ‘masalah’ berkaitan ‘kuasa.’
- Maka, buktikanlah bahawa masalah ini boleh diselesaikan[9]!
Nota hujung
[1]Nama rokok seludup atau bawah tanah atau pasaran gelap tidak akan disiarkan penuh. Siapa yang tahu, faham-faham sahajalah! Selain nama-nama yang disebut sini, banyak lagi jenama lain rokok seludup.Bukan niat penulis untuk membuat promosi rokok seludup.
[2] Misalnya syarikat pembuat Manchester telah mendapat kata dua daripada kerajaan supaya meningkatkan harga jualan mereka dan akhirnya mereka terpaksa akur (mungkin sebab takut lesen digantung, tindakan saman dan sebagainya. Maklumlah, ‘mat pot’ dalam isu sebegini sudah tentulah pesaing mereka yang menjual pada harga minimum yang ditetapkan oleh kerajaan.
[3] Maksudnya rokok seludup lebih berdaya saing dalam pasaran berbanding rokok sah ialah kerana harga yang lebih murah. Kualiti rokok kadang-kala berbeza antara penghisap rokok. Ada rakan penulis yang mengatakan Marlboro sebagai rokok ‘kuat’ namun tidak kurang yang mengatakan Dunhill sebagai rokok yang lebih ‘kuat.’ Namun semua sepakat bahawa Benson merupakan ‘rokok orang tua.’ Akan tetapi, dalam banyak keadaan, sekiranya rokok itu murah dan dapat memenuhi citarasanya, jenama biasanya ditolak ke tepi.
[4] Contoh kes ini pernah berlaku apabila rokok Dunhill menukarkan penampilannya yang baru. Pada waktu itu, terdapat ramai pelanggan Dunhill yang beria-ia hendak mencari Dunhill pek lama kononnya yang baru ‘tidak sedap.’ Sebaliknya Dunhill bertegas dengan pek baru itu dan akhirnya, pelanggan setia akan menerima juga seadanya sebab pek lama sudah tiada.
[5] Penulis pernah berhadapan dengan pelanggan yang membeli rokok seludup namu berungut bahawa harga rokok yang penulis jual mahal dan beliau mengugut untuk memberi tahu pihak Kastam. Apa yang menghairankan ialah beliau sendiri adalah seorang penjawat kerajaan; apa ke jadahnya hendak mencari rokok seludup? Sudah masuk dua penulis tidak lagi menjual rokok seludup di kedai penulis namun sehingga sekarang pun, makhluk ini tidak segan silu pula akan bertanya tentang rokok seludup kepada penulis acap kali tempat pembelian biasanya ketiadaan barang!
[6] Negeri Perak dan Selangor telah mewartakan keharaman rokok namun pengalaman penulis di Selangor, begitu ramai rakyatnya yang lelaki, wanita dan tidak ketinggalan tok imam bilal yang berdosa besar kerana tidak mengendahkan fatwa ini. Penulis pernah utarakan perbincangan ini dalam tajuk Halal-haram: Antara hukum, perlaksanaan dan implikasi.
[7] Hal ini merupakan satu paradoks yang sangat-sangat menghairankan. Sering kita lihat penyokong-penyokong kegiatan boikot ini begitu lantang bersuara dalam usaha mendakyahkan amalan boikot mereka namun mereka sendiri menghisap rokok yang merupakan salah satu dakyah Yahudi yang mereka perangi.
[8] Memetik laporan Buehn dan Schneider 2009, Malaysia mempunyai 31.9 peratus GDP yang berasaskan ekonomi bayangan atau ‘pasaran gelap.’ Lihat A. Buehn dan F. Schneider, Corruption dan The Shadow Economy: A Structural Economy Approach. Discussion Paper No. 4182,Institute for Study of Labor (IZA), May 2009. Boleh diakses melalui http://ftp.iza.org/dp4182.pdf
[9] Penulisan ini tidak bermaksud bahawa penulis menyokong kegiatan merokok; bagaimanapun cara untuk membanterasnya adalah terus ke akar umbi. Tidak perlulah beri alasan ‘ekonomi’ atau ‘pekerjaan’ atau pelbagai lagi alasan lain kerana ternyata akan keharaman rokok itu. Namun, mungkin langkah pertama untuk mengatasi masalah ialah dengan menyekat secara keseluruhan lambakan rokok murah seperti rokok seludup. Harga rokok seludup yang sangat-sangat murah menyebabkan perokok sanggup mencari ke mana sahaja jenis rokok tersebut.
Saturday, October 8, 2011
Input: Belanjawan. Proses: Rang Undang-undang perbekalan. Output: Bajet. Outcome: Bajek?
Sekadar sampingan, apa yang penulis kelakar seram adalah betapa mudahnya pihak media melencongkan pengistilahan 'belanjawan' kepada 'bajet' hanya dalam sekelip mata. Sebelum perbentangan oleh PM, puaslah dicanang istilah belanjawan dan menyebabkan penulis berasa kagum; kembalinya istilah tersebut ke tempatnya. Namun, sejam sebelum perbentangan, istilah bajet kembali bermain di mulut pengacara program perbincangan belanjawan dan akhirnya selepas dua jam PM berucap panjang, di warta berita segala-galanya telah menjadi bajet. Dan hari ini (8/10/2011) akhbar membuat pusingan-U bagi menggunakan istilah bajet semula.
Untuk rekod, nama rasmi kepada belanjawan/bajet adalah rang undang-undang perbekalan. Sama ada rakyat tahu atau tidak, sebenarnya belanjawan merupakan satu undang-undang yang diluluskan oleh parlimen dan perlu kepada kelulusan ahli YB. Maka seandainya YB yang tidak menyokong lebih ramai berbanding yang menyokong semasa proses kelulusan, maka tak terbekalah Malaysia untuk satu tahun! Semakin besar nilai perbelanjaan kerajaan boleh menggambarkan betapa besarnya kerajaan itu atau semakin banyak yang perlu ditanggung oleh kerajaan berbanding dengan perolehan kerajaan.
Sedangkan semakin banyak kerajaan berbelanja, sebenarnya semakin banyak jugalah sumber yang perlu dihirup oleh kerajaan daripada bagi membolehkannya berbelanja! Lalu akan dipersoalkan kembali, berbaloikah nilai kerajaan berbelanja? Kita bukan bercakap tentang perbelanjaan keluarga Pak Abu atau duit poket anak Pak Kassim; kita bercakap soal negara! Kalau Pak Abu dan Pak Kassim boleh kerja sampingan (part-time) bagi cuba memenuhi perbelanjaan mereka, maka apakah ada 'kerja sampingan' yang perlu dibuat bagi kerajaan?
Wednesday, July 27, 2011
Halal-haram: Antara hukum, perlaksanaan dan implikasi
- Sehingga kini, bukanlah sekali dua masyarakat Islam di Malaysia disajikan dengan isu berkaitan halal dan haram. Setelah isu kopitiam menyajikan kopi bercampuran babi, kita juga disajikan dengan isu bir halal. Nampaknya, isu ini merupakan satu isu malar segar setelah kebangkitan apa yang penulis sifatkan sebagai kesedaran halal (halal conscious) dalam artikel terdahulu.
- Menjelang masa, sudah tentu akan ada pelbagai lagi isu berkaitan halal haram sehinggakan ada kemungkinan kita akan hanyut dek soal hukum dalam membicarakan agama Islam. Sedangkan paradigma Islam itu sendiri begitu luas sehingga menjadikan "Islam sebagai cara hidup" kekal menjadi retorik kosong kerana tumpuan lebih menjurus kepada hukum itu dan ini dan sedikit pula kita memperkatakan soal akidah yang menjadi tunjang kepada agama Islam itu sendiri dan ihsan yang menjadi tonggak tingkah laku, adab dan akhlak.
- Sampaikan mana masalah akidah, mana masalah furu' hukum dan ibadah pun dicampur adukkan. Ada blogger yang menulis berkaitan satu siri drama di televisyen swasta yang dikatakan menghina wanita yang berburqa sehingga menuduh siri tersebut memesongkan akidah. Isu menghina wanita berburqa memanglah sesuatu perkara yang sangat berat namun tidaklah sampai ke tahap memesongkan akidah!
- Selain itu, ada juga perkara berkait halal-haram yang lebih kepada isu penggunaan bahasa berbanding hukum itu sendiri. Ada juga perkara berkait halal-haram yang mana perbezaan pendapat perlu diraikan bagi membolehkan kehidupan menjadi lebih terurus dan mengelakkan kesulitan lantaran ada pendapat yang terlalu ketat dan ada pula yang terlalu longgar.
- Oleh sebab itu, berlapang dada dalam menerima pendapat adalah dituntut sedangkan permasalahan yang ditimbulkan lebih berbentuk furu' malah mempunyai lebih banyak alternatif berbanding perkara-perkara usul yang lebih-lebih lagi berhak dipelihara.
- Isu berkait bir halal yang begitu hangat digembar-gemburkan oleh media massa terkini sebenarnya perlu juga dilihat daripada sudut penggunaan bahasa. Pada hemat penulis, bagaimanakah sesuatu minuman yang haram itu diletakkan entiti halal pada hujung namanya? Misalnya bir - bagaimana boleh jadi halal sedangkan satu dunia sudah meletakkannya sebagai minuman beralkohol yang memabukkan?
- Jadi kembali semula kepada isu, kenapa kalau minuman itu tidak memabukkan hendak dinamakan bir? Adakah sifat-sifat bir itu ada namun alkoholnya ditiadakan, maka bir itu menjadi halal? Sedangkan dari segi bahasa, bir (beer) adalah merujuk kepada minuman beralkohol yang akan mendatangkan kesan memabukkan andai diminum secara banyak. Jadi, dari situ sahaja sudah boleh disimpulkan bahawa bir tidak akan sama sekali bertukar status daripada haram kepada halal!
- Masalah kita pada masa kini adalah terlalu terikut-ikut sangat hendak memberikan atribut halal kepada sesuatu yang telah sedia haram. Sebab itu minuman berasaskan malt tersebut dipanggil 'bir halal' sedangkan dari segi bahasanya bir tetap haram. Kita sewenang-wenangnya menggunakan perkataan yang pada asalnya bermaksud makanan dan minuman yang haram, lalu diletakkan atribut 'halal' bagi mengaburi pengguna Islam membeli makanan/minuman tersebut. Sebab itu ada kita dengar 'ham halal' dan 'bacon halal' sedangkan pada asalnya kedua-duanya diperbuat daripada daging babi.
- Oleh sebab itu, bahan makanan dan minuman yang diubah daripada resepi asal (daging babi tukar kepada daging ayam misalnya) selepas itu dinamakan pula dengan nama yang mana pada asalnya merujuk kepada makanan atau minuman yang mempunyai sumber yang haram (bir, wine, bacon, ham) namun diletak pula perkataan 'halal' bagi menarik minat pelanggan muslim membelinya.
- Pada pandangan penulis, trend sebegini sepatutnya dikekang kerana sudah pasti keadaan sebegini akan menimbulkan kegelisahan dan kekeliruan kepada umat Islam. Maklumlah, teknik pemasaran sebegini akan melariskan jualan kerana sudah pasti ada sahaja orang yang teringin makan dan minum makanan yang pada asalnya 'haram' tapi kini dibuat 'halal.'[1] Selain penggunaan istilah yang salah, syubhah akan timbul dek kerana pencampuran nama haram dan halal sehingga mewujudkan rasa kurang senang umat Islam. Kita tak mahulah 'bir yang halal,' apabila dibuat ujian kimia ternyata haram kerana ada kandungan alkohol berlebihan. Perkara tersebut merupakan satu pengkhianatan terhadap hukum-hakam Islam dan apabila hukum Islam dikhianati maka bersedialah menghadapi balasan Tuhan!
- Kita tidak mahu institusi sosial umat Islam sentiasa berada dalam keadaan ragu-ragu disebabkan isu-isu yang sebegini kerana akan merencatkan perkembangan ekonomi Islam itu sendiri. Alangkah elok andai gelaran bir halal itu ditukar sama sekali dengan menggunakan perkataan yang tidak membawa konotasi haram. Begitu juga dengan ham dan bacon; sungguh pun nama mungkin tidak vogue kedua-dua itu, adalah lebih elok dinamakan seperti chicken slice atau smoked beef.
- Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini menyuarakan kekesalan beliau tentang umat Islam yang masih lagi merokok sedangkan dua buah negeri di Malaysia [2] telah mewartakan bahawa rokok itu haram. Rokok dilihat sebagai satu duri dalam daging yang membawa kepada permasalahan yang lebih besar dalam diri seseorang seperti masalah kesihatan, masalah kewangan dan bagi yang lebih teruk, mungkin menjurus kepada masalah penagihan dadah seperti ganja.
- Selain itu, sebelum ini pun, Sahibus Samahah Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah menyamakan perokok sebagai "lebih teruk daripada lembu" kerana lembu tidak dikurniakan akal membezakan baik buruk sebaliknya manusia dikurniakan akal yang boleh membuat pertimbangan positif dan negatif. Kesemua ini menjurus kepada satu kesimpulan yang hampir serupa iaitu rokok merupakan sesuatu yang negatif dan harus dihindarkan.
- Penulis semasa zaman mudanya (i.e. lebih muda daripada masa sekarang ini) juga pernah membuat pendirian bahawa rokok itu patut hukumnya haram. Ramai dikalangan rakan penulis (yang merokok mahu pun yang tidak) yang tahu benar dengan 'ketegasan' penulis pada ketika itu. Bagaimanapun, setelah kita bertambah dewasa, didedahkan dengan itu dan ini, barulah kita faham mengapa kita sepatutnya dan sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya membuat hukum itu dan ini kerana setiap hukum mestilah ada perlaksanaan dan implikasinya.
- Soal keluar hukum merupakan satu hal, akan tetapi bagaimanakah perlaksanaannya dan kesannya kepada rakyat? Perkara ini yang seharusnya lebih ditekankan oleh badan yang berkuasa dan pihak berkepentingan. Jangan kita menghukum itu dan ini tetapi kita tidak laksanakan. Kalau tidak dilaksanakan, apakah yang akan terjadi kepada hukum tersebut? Adakah sekadar terpahat di atas kertas, akta dan enakmen itu dan ini tetapi masyarakat masih tidak mengambil pusing hal tersebut. Atau sudah kata perkara itu haram, orang Islam masih lagi bebas membelinya dengan mudah?
- Bagi Pok Nik pula, Pok Nik kena sedar yang tembakau merupakan antara sumber pendapatan terbesar negeri Pok Nik. Kalaulah ibarat menghisap rokok itu lebih bangang daripada lembu, maka apakah pula ibarat mereka yang menanam, memproses, mengedar, menjual dan mendapat hasil daripada penanaman tembakau tersebut? Bagaimanakah pula ibarat kerajaan negeri yang membolehkan penanaman tembakau tersebut berlaku dan menjadi sumber pendapatan rakyatnya? Lebih teruk daripada baghal agaknya?
- Mungkin penulis pernah ceritakan sebelum ini, penulis pernah ditemu duga (nak dapat kerja kerajaan di Kementerian Kesihatan), penemuduga bertaraf Datuk itu bertanya adakah kempen berhenti merokok berjaya (ketika itu, rokok 10 dan 14 batang masih dijual) lalu penulis nyatakan memanglah ada kesannya tetapi tidaklah dapat dilihat secara total. Orang masih membeli rokok walau harga semahal mana (ketika itu masih harga RM5-8 sekotak 20 batang). Lalu ditanya penemuduga, 'apakah cadangan anda bagi mengatasi masalah ini.' Dengan selamba penulis jawab, 'kita haramkan sahaja rokok di pasaran, justeru orang tidak boleh menghisap lagi.' Kenyataan yang kedengaran naif ini dijawab oleh si Datuk, 'Eh, mana boleh kita haramkan?! Nanti akan timbul soal penyeludupan. Bagaimanakah pula dengan sektor pekerjaan? Pekerja yang kerja di kilang rokok itu bagaimana hendak cari kerja? Akan terjejaslah salah satu sumber pendapatan ekonomi negara.' Penulis gagal dalam temu duga tersebut.
- Nah, sekarang barang ditanya, mengapakah rokok itu tidak diharamkan? Jawabnya, 'sebab ekonomi, sebab pekerjaan.' Sedangkan banyak sekali tujuan pengharaman tersebut menjurus kepada soal kesihatan dan pembaziran. Kalau waktu 'dihalalkan' ini pun dengan harga yang sebegitu mahal sekotak, penyeludupan masih ada; adakah tatkala diharamkan tidak berlaku penyeludupan?
- Mengeluarkan hukum itu satu perkara, perlaksanaan itu satu perkara lain. Apalah ertinya hukum kalau tiada perlaksanaan? Kalau rokok benar-benar dihukumkan haram, sudah semestinya penguatkuasaan patut dilaksanakan. Rokok tidak boleh dijual kepada orang Islam. Rokok hendaklah dilesenkan dan hanya yang bukan Islam sahaja yang boleh menjualnya. Sumber pendapatan daripada rokok (termasuk tembakau) juga hukumnya haram. Tidak boleh diterima zakat orang yang menanam tembakau kerana ternyata hukum menanam tembakau pun sudah jadi haram! Tembakau lebihlah lagi tidak boleh diterima zakatnya kerana tiada manfaat besar yang lain selain membuat rokok berbeza dengan beras, gandum, barli kerana sungguh pun boleh dibuat arak, tanaman itu sebenarnya merupakan makanan ruji yang boleh dimakan - jadi terpulang kepada asal tanamannya untuk dibuat apa. Adakah kerajaan dan jabatan agama sudah bersedia menguatkuasa sampai ke tahap itu?
- Satu lagi isu yang timbul adalah tanggungan pemerintah. Tatkala kita mengeluarkan fatwa sesuatu itu menjadi haram, sesuatu fatwa itu hendaklah dipatuhi sebagaimana hukum agama yang lain. Pemerintah yang seharusnya memastikan agar hukum itu dipatuhi. Kalau rakyat tidak mematuhinya, pemerintah perlu membuat penguatkuasaan. Kalau pemerintah tidak membuat penguatkuasaan, dosa melanggar hukum itu jatuh kepada siapa? Kalau diikutkan hadis nabi, 'cegahi kemungkaran dengan tanganmu' [3] yang mana 'tangan' itu ulama menafsirkannya sebagai 'dengan kuasa.' Jadi tanggungan tersebut jatuh kepada pemerintah! Memanglah dosa sendiri-sendiri yang tanggung; tetapi yang keluar fatwa itu autoriti agama. Lalu kalau fatwa dikeluarkan tapi tidak ada yang menghormatinya, autoriti agama sendiri tidak mahu melaksanakannya (dengan sendirinya tidak menghormatinya) apakah hukum-hakam yang hendak diputuskan? Dosa ditanggung oleh siapa?
- Sebab itulah soal fatwa halal-haram ini tidak boleh dibuat main-main. Mesti jelas dan mesti difahami semua orang. Bukanlah niat penulis hendak memperkecilkan autoriti agama (jabatan agama, jabatan mufti) tetapi hakikatnya, kita tidak mahu soal hukum-hakam ini dipandang remeh sebab apabila kita sudah mengeluarkan fatwa, semua rakyat lingkungan fatwa tersebut wajib mengikutinya. Kalau Selangor sudah keluar dan wartakan fatwa yang rokok itu haram, maka haramlah rokok kepada rakyat negeri Selangor. Jabatan Agama Islam Selangorlah yang harus dipertanggungjawabkan dalam perlaksanaannya. Kalau orang Islam di Selangor menghisap rokok, hukumnya jadi haram lagi berdosa. Perlulah ada hukuman atau kaedah-kaedah yang dilaksanakan bagi membanteras gejala rokok di kalangan umat Islam di Selangor. Misalnya tangkapan, atau pesalah perlu menjalani kursus tertentu untuk kesalahan awal namun kalau tidak berhenti juga, perlulah ada hukuman. Kalau tidak, fatwa itu dipandang enteng dan semakin kerap orang melanggarinya, semakin banyak dosa-dosa yang ditanggung. Kalau penguatkuasaan sudah dibuat, barulah nampak ada usahanya menghormati fatwa. Namun kalau 'habuk pun tarak' institusi agama Islam akan terus dipermain-mainkan dan akan diperkecil-kecilkan sendiri oleh umatnya apatah lagi akan dipandang serong dan negatif oleh yang lain.
- Sebetulnya, soal rokok ini satu soal yang sangat-sangat rumit sebab penghisapnya bukan sahaja terdiri daripada kalangan orang kebanyakkan, malah orang alim agama pun ada yang menghisapnya. Senario pak lebai hisap rokok di luar ruang sembahyang di masjid bukanlah satu pemandangan yang aneh. Yang berserban besar pun tidak segan silu menghisapnya di hadapan orang ramai. Tok Imam dan Pak Bilal pun ada yang membuat perkara yang serupa. Yang bergelar Ustaz, kadang-kala tumpang sekaki andai 'penuntutnya' berkumpul bercerita sambil merokok. Oleh sebab itu, kalau mereka yang dihormati ini pun tidak berhenti merokok, bagaimanakah agaknya bagi si jahil dan ilmu agama sekadar alif ba ta ini hendak mengikut?
- Maka, kepada pihak yang berkepentingan, janganlah jadikan hukum-hakam agama ini sebagai barang yang tak laku dan dipandang sepi oleh orang ramai. Martabatkanlah institusi fatwa dengan perlaksananannya sekali; barulah institusi ini akan dihormati. Perlaksanaan bukan bermaksud menghukum sahaja, tetapi perlu ada langkah proaktif bagi memberi kesedaran, membuat penguatkuasaan dan memberi didikan. Nasihatkan pihak pemerintah supaya membuat pengharaman jualan rokok kepada umat Islam kerana sudah dikaji dalil naqli wa aqlinya bahawa rokok itu jatuh kepada hukum haram. Kerajaan pula tak usahlah guna alasan 'ekonomi' dan 'pekerjaan' sebagai sebab tidak boleh mengharamkan penjualan rokok sebab di atas muka bumi Allah yang Maha Penyayang, begitu banyak sekali pintu rezeki yang boleh dicari dan dimanfaatkan. Sinergi antara jabatan agama pula perlu diperkasakan supaya usaha untuk menjadikan autoriti agama di seluruh Malaysia sebagai badan yang dihormati dan disegani akan dapat dicapai.
- Soal halal dan haram dalam bab makanan dan minuman bukanlah satu soal yang boleh dibuat main-main kerana segala makan minum kita akan menjadi darah dan daging kita dan akan memberi kesan kepada seketul daging yang bergelar hati (qalbu). Penulis tidaklah mahu ulas berkaitan dosa pahala, syurga neraka dan balasan seksa orang yang memakan dan minum benda-benda yang haram kerana perbincangan yang begitu ekstensif berkaitan hal-hal begitu banyak sekali dalam buku-buku agama terutamanya berkaitan targhib wa tarhib. Sebaliknya renungkanlah fungsi hati kita yang mana andai baik, baiklah seisi badan dan amalannya dan andai buruk, maka buruklah seisi badan dan amalannya . Dan hati, daging dan darah kita terhasil daripada apa yang kita makan dan minum melalui pengaktifan sel-sel yang tak terbeza sebelum dibezakan menjadi sel bagi tisu, tisu bagi organ dan organ bagi sistem badan manusia.
- Masyarakat Islam kini menghadapi pelbagai krisis dari sosialnya, politiknya dan ekonominya; apatah lagi dicampur dengan persepsi negatif yang bukan Islam terutamanya Barat terhadap Islam. Kejadian pengeboman dan tembakan rambang yang berlaku di Norway misalnya pantas sekali dikaitkan dengan Islam sedangkan pelakunya merupakan pelampau Kristian. Begitulah buruknya persepsi media barat terhadap Islam. Kesemua ini tidak dapat tidak (inevitable) dapat dikaitkan dengan pelbagai permasalahan yang dikaitkan dengan Islam meskipun agama Islam juga merupakan agama yang paling cepat berkembang pada masa kini.
- Oleh sebab itu, kita tidaklah mahu jadikan Islam itu hanya ramai pada angka tetapi banyaknya itu sekadar seperti buih lautan di tepi pantai yang setelah menghempas bumi hilang kesemuanya. Kontra dengan pemikiran biasa, penulis berpendapat bahawa kuantiti harus seiring dengan kualiti (berlainan dengan kualiti lebih penting berbanding kuantiti) sebab Nabi SAW sangat bangga umatnya ramai. Apakah cara yang lebih baik untuk meraikan kebanggan Nabi SAW itu melainkan dengan umat yang taat juga kepada perintah Allah dan Rasul-Nya [4]? Justeru dengan landskap sosial dan media yang sedia ada di mana angka menjadi kata bicara, adalah sangat penting untuk menunjukkan yang umat Islam yang benar-benar muslim, mukmin dan muhsin itu ramai dan kesedaran ini sudah pasti akan membangkitkan roh Islami yang lebih kuat bagi menjadi ikutan kepada yang lain.
- Bagi mencapai hasrat tersebut, tidak dapat tidak, usaha ke arah memartabatkan Islam penting untuk dilaksanakan. Soal halal-haram terutamanya terhadap perkara-perkara baru (pasca-zaman Nabi SAW dan Sahabat) jangan cuma di meja rundingan sahaja sebaliknya hendaklah ditunjuk kenapa halal dan kenapa haram. Perlu dizahirkan kenapa haram? Umat Islam perlu menghormatinya kerana itu adalah hukum. Barulah wujud sebuah masyarakat Islam yang benar-benar menjaga batas halal-haramnya, terhindar dari syubhahnya dan bukan sekadar beria-ia hendak minta fatwa tetapi selepas dikeluarkan, fatwa itu dipandang sepi. Tatkala masyarakat terhindar daripada yang haram atau pun syubhah, barulah kesucian hati itu akan dapat dikembalikan dan Insya Allah, akan berkurang juga masalah sosial, masalah kepimpinan dan pelbagai lagi masalah yang berkait urusan duniawi dan ukhrawi.
- Akhir kalam, adalah penting untuk umat Islam masa kini kembali semula ke paradigma Islam yang sebenar (berlainan dengan membuat anjakan paradigma sebab kalau nak dianjak, nak anjak ke mana?) kerana Islam itu lengkap[5]. Usaha pengukuhan ekonomi Islam adalah langkah yang baik kerana melalui ekonomi jualah kita mendapat sumber makan minum kita. Kita perlu berdikit-dikit dahulu dalam memperkasakan institusi Islam yang lain seperti mahkamah syariah (jangan asyik dok tangguh kes aja!), majlis fatwa, baitul mal dan pelbagai lagi institusi dengan berterusan supaya hasrat kita mencapai negara yang baik dan maju dengan acuan Islam (baldatun toyyibatun) akan tercapai.