Friday, September 17, 2010

Hari-hari Hari Malaysia

Bermula tahun ini, kerajaan Malaysia yang diterajui BN telah memutuskan untuk turut serta memberi cuti kepada rakyat sempena hari penggabungan Sabah-Sarawak (dan pada ketika itu Singapura) bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu lalu digelar sebagai negara Malaysia. Oleh sebab itu, secara teknikalnya, Sabah dan Sarawak dibebaskan dari koloni British pada 16 September 1963 dan bukannya pada 31 Ogos. Jadi, secara "teknikalnya" juga, sambutan kemerdekaan Sabah Sarawak adalah pada 16 September.

Mungkin ada kepentingan tertentu bagi pihak kerajaan untuk secara rasmi menyambut hari tersebut (baca: memberi cuti) sedangkan 46 tahun yang lepas, tidak pula disambut dengan meriah Hari Malaysia. Dari perspektif seorang rakyat biasa, Hari Malaysia sesungguhnya menambahkan lagi satu lagi hari cuti tahunan berbayar dan sudah pastilah akan diterima dengan redha dan gembira. Tambahan pula, mood sambutan Aidil Fitri masih lagi belum surut, maka seharusnya hari cuti tambahan sebegini memberikan peluang kepada pekerja untuk sama ada bercuti, mengadakan rumah terbuka mahupun berziarah sesama keluarga, rakan dan taulan.

Pada masa yang sama, jasa mereka yang terdahulu yang berjuang bagi melengkapkan Persekutuan Malaysia tidaklah boleh dipandang sepi. Lalu diwujudkanlah Anugerah Hari Malaysia bagi mengenang jasa dan pengorbanan mereka ini agar sentiasa diingati atau sekurang-kurangnya, dikenali oleh generasi yang baru. Masih tidak jelas sama ada anugerah tersebut seprestij Anugerah Merdeka namun mengadakannya pun sudah memadai bagi setidak-tidaknya menjadi dorongan kepada rakyat Malaysia untuk berbakti kepada negara dalam pelbagai bidang dan cabang yang boleh diusahakan.

Cuma dari segi politiknya juga, tahun ini merupakan ulang tahun kedua ketidakjayaan/kegagalan ketua pembangkang kita yang disegani lagi dihormati merangkap bakal PM Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan bagi menumbangkan BN sebagaimana yang telah dicanang, dirangka dan dijanjikan. Lebih dari itu, cadangan cuti pada 16 September yang diwar-warkan oleh Anwar dilaksanakan pula oleh BN tanpa perlu menunggu beliau menjadi PM. 16 September akan menjadi hari keramat kebangkitan PR yang dicanang seluruh negara dan sudah pasti mereka akan kekal pada landasan yang satu bagi menumbangkan kerajaan BN yang pada mereka kejam, zalim, tidak berperikemanusiaan, mengamalkan perebutan kuasa, melakukan pembasmian kaum dan pelbagai lagi gejala negatif yang boleh mereka fikirkan.

Apa yang lebih penting bagi hemat penulis adalah pendekatan yang sewajarnya bagi menanamkan semangat kekitaan kita dalam menjurus kepada perpaduan nasional merentas bangsa, agama dan politik. Dari masa ke masa kita sering dimomokkan dengan betapa generasi muda masa kini tidak lagi mempunyai perasaan cinta kepada negara. Pelbagai alasan dan tudingan jari dilakukan dek kerana sikap generasi masa kini yang dikatakan lebih individualistik berbanding generasi terdahulu. Kenyataan sebegitu mungkin ada benarnya dan mungkin juga ada khilafnya. Akan tetapi, tindakan lebih konkrit perlu dilaksanakan agar generasi kini lebih memahami sebab dan akibat dari pembentukan Malaysia itu sendiri. Oleh sebab itu, tidak dapat tidak, aspek pendidikan jualah yang menjadi salah satu komponen penting untuk menyemai kefahaman generasi masa kini untuk lebih menyayangi Malaysia.

Justeru, aspek patriotisme haruslah disemai sepanjang masa dan bukannya tertakluk pada hari-hari tertentu sahaja. Pihak kerajaan, swasta dan NGO sendiri haruslah menerapkan nilai-nilai Malaysia dalam keberadaan mereka tatkala bertemu dengan rakyat. Aspek-aspek rukun negara misalnya perlulah diperkasakan terutamanya bagi prinsip yang begitu universal iaitu kesopanan dan kesusilaan. Hal-hal kecil seperti ucapan terima kasih sering dianggap remeh dan tidak diamalkan. Kadang-kala, kita kerap mendengar wakil rakyat kita memaki-hamun dan cerca-mencerca di parlimen (baca: Dewan yang Mulia) sedangkan prinsip tersebut tidak sama-sekali memenuhi tuntutan prinsip Rukun Negara yang kelima. Sementara penggunaan Bahasa Malaysia (BM Malaysia) perlulah diperkasakan. Acap kali ditegur kenapa menggunakan perkataan "bajet" sedangkan ada perkataan "belanjawan." Perkara sebegini seharusnya diambil berat oleh pihak kerajaan kerana kalau kerajaan sendiri tidak serius untuk meMalaysiakan rakyat, mana mungkin rakyat akan menghargai menjadi seorang rakyat Malaysia?

Tuntasnya, sambutan (hari cuti) Hari Malaysia sememangnya satu cara untuk menzahirkan penghargaan terhadap usaha mereka yang terdahulu menjadikan Malaysia sebagaimana yang ada pada masa kini. Akan tetapi, menjelang zaman, ritual upacara itu dan ini (seperti perhimpunan) akan kekal menjadi ritual semata-mata dan tidak ada "isi" di dalamnya. Adalah lebih wajar untuk pihak berkepentingan untuk melaksanakan perancangan yang berkesan agar rakyat lebih memahami dan menginsafi apakah maksud menjadi seorang rakyat Malaysia berbanding sekadar satu sambutan saban tahun yang kadang-kala tidak memberikan tambah nilai kepada rakyat jelata.

Selamat Hari Malaysia!

No comments: