Tuesday, September 7, 2010

Luar lingkungan, perlembagaan,hak dan keadilan.


Topik yang dibawa oleh rancangan bual-bicara Di Luar Lingkungan Bersama Syed Munawar semalam (6/09/2010) merupakan satu topik yang sangat menarik. Isu perlembagaan dan sebuah karya bertajuk "Perlembagaanku" yang telah ditulis dalam Bahasa Melayu dan beberapa bahasa vernakular mendapat perhatian kerana karya tersebut telah dituduh sebagai mengelirukan masyarakat pembaca terhadap beberapa perkara penting di dalam Perlembagaan Persekutuan. Empat orang ahli penal dijemput untuk membincangkan perkara tersebut. Kesudahan rancangan tersebut memungkinkan topik yang sama akan cuba diperbahas pada masa akan datang sekali lagi (mungkin dengan dimensi berbeza, kata Syed Munawar) dan meninggalkan lompong yang begitu besar untuk diisi dengan pelbagai jawapan kepada persoalan yang tidak terjawab.

Apa yang boleh penulis komen adalah susunan acara Di Luar Lingkungan itu sendiri yang terlalu padat. Penalis sudahlah empat orang. Hendak menjawab soalan moderator. Kemundian kena jawab soalan pemanggil dari telefon. Kemudian hendak pula menjawab soalan dari Facebook. Hendak tayangkan iklan lagi... Sebuah bicarawara yang sepatutnya boleh memberi kesimpulan sebaliknya mewujudkan lagi persoalan-persoalan furu' yang akhirnya skop perbincangan nampaknya tidak ada! Mungkin pada masa akan datang, jumlah ahli penal boleh dikurangkan dan jemputlah ahli penal yang dapat memenuhi jangkaan (expectation) penonton dan bukannya dikatakan tidak layak membincangkan isu tersebut. Soalan juga hendaklah rencam dan sungguhpun "di luar lingkungan," lingkungan yang luar itu pun hendaklah kita lingkungkan sebab kalau kita tidak membataskan; jadilah perbincangan tersebut caca-marba.. tidak objektif dan tiada matlamat!

Pada hemat penulis, isu yang hendak dibincang lebih kepada "buku Perlembagaanku", maka biarlah skop perbincangan lebih kepada buku tersebut. Contohnya, matlamat buku, siapa yang menulis buku- pakar ke tidak penulis buku itu dalam membincangkan perlembagaan, kritikan terhadap buku, kenapa ada klausa-klausa yang mengelirukan dalam buku, kritikan terhadap buku dan cadangan penambahbaikkan buku. Tetapi, apabila perbincangan itu sudah masuk ke tafsiran hak istimewa Bumiputera atau kata seorang ahli penal sebagai "kedudukan istimewa bumiputera;" ada pula ahli penal yang lain membuat kesimpulan bahawa Perkara 153 digubal atas sebab "keadaan ekonomi pada ketika itu", maka perbincangan itu bukan bersifat impartial lagi, malah sebenarnya sudah menjadi tak berobjektif – apa sebenarnya yang hendak dibincangkan? Kalau hendak bincangkan tafsiran satu persatu klausa perlembagaan sekaligus, nescaya satu jam tidak mencukupi. Usahkan sejam, sehari, seminggu atau sebulan pun belum tentu mencukupi!

Satu perkara yang begitu menarik tentang perbincangan tersebut (yang kononnya hangat) adalah tatkala ahli-ahli penal begitu asyik membincangkan hak itu dan hak ini; hak berhimpun secara aman (dikatakan oleh ahli penal sebagai telah dikongkong oleh Akta Polis), hak tatkala ditahan polis, hak istimewa Bumiputera, hak mendapat keadilan dan pelbagai hak terpilih, tiada satu orang ahli penal pun menyentuh tentang tanggung jawab yang perlu dipikul dalam mengeksesais hak tersebut. Pada hemat penulis secara mudah, setiap hak ada had. Ramai yang memperjuangkan hak namun sedikit yang memperkatakan had. Semua hak ada had masing-masing dan hak tersebut boleh ditarik balik kerana seseorang tidak lagi memenuhi keperluan hak tersebut. Sebagai contoh seorang warganegara berhak bebas bergerak tanpa disekat tetapi kalau beliau telah disabit kesalahan oleh mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara, maka hak bergerak bebas telah ditarik balik. Kalau ikutkan hak asasi manusia, memenjarakan orang sebenarnya salah sebab orang itu berhak bebas! Namun sebab orang itu bersalah, hak itu ditarik semula.

Terdapat juga hak yang diberikan namun perlu ada langkah-langkah tertentu bagi membendung hak itu disalahgunakan. Misalnya berhimpun secara aman. Dalam kita mengeksesais hak ini, kita kena juga lihat apa yang telah berlaku sebelum ini. Berhimpun bukannya membabitkan seorang (kalau seorang-seorang bukan berhimpun namanya...) dan secara kognitif dan psikologinya, perangai dan sikap orang berbeza. Tujuan berhimpun perlu jelas kerana dalam sejarah, perhimpunan yang tidak terkawal boleh menyebabkan huru-hara (13 Mei misalnya). Soalnya bukan berhimpun itu yang salah, tetapi orang yang menyertai perhimpunan itu – apakah emosinya stabil? Ambil sahaja contoh Indonesia yang lebih mengeksesais hak berhimpun secara aman jauh lebih baik berbanding Malaysia (mungkin di sana hendak berhimpun tak perlu permit bapak polisi). Apa yang berlaku di sana? Bendera dibakar, najis dibaling. Asal perhimpunan yang aman telah diisi dengan provokasi itu dan ini. Maka perkara sebegini perlu dicegah. Sejarah membuktikan bukan rakyat Indonesia sahaja yang pernah membakar bendera Malaysia, rakyat Malaysia pun ada membakar bendera sendiri. Bukankah perkara sebegini boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat?

Satu lagi isu yang dibangkitkan dengan meluap-luap oleh ahli penal adalah soal keadilan. Keadilan kepada kesemua kaum misalnya. Kesemua kaum, tak mengira Melayu Cina dan India patut diberi keadilan yang sama. Sesuatu yang perlu dijelaskan disini adalah konsep keadilan (justice) dan kesamarataan. Pada pendapat penulis, adil dan sama itu dibezakan dengan input nilai dan hikmah iaitu keadilan perlu berteraskan nilai dan hikmah akan tetapi kesamarataan tidak semestinya berasaskan nilai dan hikmah. Ambil contoh, dalam menjelaskan pertelingkahan/perbezaan pendapat. Andai menurut konsep adil dalam Islam, perbezaan pendapat hendaklah diselesaikan dengan merujuk kembali kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya. Hal ini disebabkan kedua-duanya adalah sumber perundangan yang tertinggi di dalam Islam. Namun, andai sama rata digunakan, kalau ada dua pendapat yang paling dominan, maka dua pendapat itulah yang akan digunakan secara pukul rata. Misal lain, kalau pembahagian bantuan, kalau menurut konsep keadilan, ada yang mendapat lebih bantuan dan ada yang mendapat kurang kerana yang memerlukan mungkin mendapat lebih. Kadar bantuan dinilai dari segi kemampuan seseorang itu. Tetapi, kalau mengikut kesamarataan, kesemua akan mendapat jumlah yang sama tanpa mengira kaya miskin. Input nilailah yang membezakan sama rata dan adil. Tegasnya, adil didasari nilai kepercayaan (yang tidak semestinya umum pada kesemua latar masyarakat) dan hendaklah dilaksanakan dengan berhikmah (wisdom).

Bagi menyimpulkan satu perbincangan yang begitu berkepelbagaian, rancangan bual-bicara seperti Luar Lingkungan perlulah mempunyai satu skop yang nyata agar pada akhir perbincangan, satu kesimpulan dapat dibuat bagi menjawab persoalan yang dikemukakan. Isu perlembagaan pula memang wajar dibincang akan tetapi, perbincangan hendaklah berhemah, emosi terkawal dan lebih mengambil kepentingan umum berbanding yang khusus. Isu hak dan keadilan hendaklah dilihat dengan cermat agar penafsirannya tidak menyebabkan kekeliruan.

Soalnya, apakah masyarakat kita sudah sematang itu untuk membincangkan hal-hal yang sensitif dengan terkawal?




No comments: