Saban tahun, Ops Sikap dijalankan dengan kerjasama pihak polis dan JPJ bagi membendung kejadian kemalangan pada musim perayaan. Biasanya, dua perayaan besar yang akan membabitkan Ops Sikap ialah Aidil Fitri dan Tahun Baru Cina. Apa yang dahulunya dikenali sebagai Ops Statik telah dilaksanakan saban tahun dengan harapan, pengguna jalan raya akan semakin berhati-hati dan semakin berwaspada semasa memandu di jalan raya. Pun begitu, saban tahun juga, kemalangan maut sentiasa menjadi statistik dalam Ops Sikap dan saban tahun juga, saman terus-menerus dikeluarkan bagi pesalah jalan raya. Oleh sebab itu, adakah operasi tersebut benar-benar memberi kesan yang diinginkan dalam mencapai kematian dan kemalangan sifar?
Salah satu penyebab kepada kemalangan jalan raya adalah kelajuan yang melampau. Kenderaan masa kini yang begitu mementingkan kecekapan dan keberkesanan enjin sudah pasti lebih laju berbanding yang lama. Apa yang merisaukan adalah apabila kelajuan itu tidak kena pada tempat dan tidak berhemah dalam pemanduan tersebut. Andai jalan raya yang memang terkenal dengan sifatnya yang bengkang-bengkok atau bersimpang-siur, sudah tentu kelajuan bukanlah sesuatu yang harus dipraktikkan. Begitu juga halnya kalau kenderaan terlalu banyak di atas jalan raya, maka kelajuan melampau sekadar menambah bahaya kepada diri sendiri.
Satu lagi punca kemalangan jalan raya adalah struktur jalan yang kadang-kala begitu mendukacitakan. Lobang di sini sana yang tidak bertampal hanya akan mengundang bahaya kepada pengguna (bukankah kita pernah mendengar berita penunggang mati kerana hendak mengelak lobang/melanggar lobang baru-baru ini?). Dalam hal ini, tidak dapat tidak pihak kerajaan perlu dipertanggungjawabkan kerana pembinaan dan baikpulih jalan adalah tertakluk kepada bidang kuasa mereka. Memang terdapat jalan-jalan yang terlalu uzur dan perlukan pembaikan namun, kadang-kala pemulihan yang diinginkan tidak dilakukan berbulan-bulan atau hingga bertahun-tahun. Pihak kerajaan seperti kerajaan tempatan (PBT), kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan seharusnya menyelia jalan-jalan yang ada bagi mengelakkan berlakunya kerosakan yang teruk yang mengakibatkan risiko keselamatan kepada pengguna. Adakah setiap kali Karam Singh Walia perlu membuat laporan aduan rakyat terhadap ketidakcekapan kerajaan dalam penyeliaan jalan barulah kerajaan dan pihak berkenaan hendak bertindak?
Skil dan kemahiran pemanduan juga merupakan satu perkara penting dalam menghadapi situasi kecemasan. Sepuluh tahun dahulu dalam sebuah rancangan perbincangan, penulis ada menonton satu temu-bual bersama sebuah organisasi yang melatih pemandu dengan mengajarkan skil tertentu dalam pemanduan. Skil-skil ini bukan sahaja digunakan untuk aktiviti stunt (lagak ngeri), malah boleh juga diaplikasikan dalam keadaan kecemasan semasa di jalan raya. Oleh yang demikian, kebarangkalian mendapat kecederaan semasa berlakunya kemalangan dapat diminimumkan. Skil-skil sebegini sangat penting terutamanya bagi mereka yang sering berjalan jauh dan melalui kawasan yang terdedah dengan bahawa kemalangan. Namun, nampaknya hebahan kursus-kursus sebegini tidak meluas sedangkan kursus-kursus sebegini sangat penting bagi mengelakkan kecederaan parah sekaligus mengelak melayang nyawa.
Lebih penting lagi sikap pemandu itu sendiri perlulah diubah bagi membentuk pemandu yang lebih berhemah dan tidak mementingkan diri sendiri. Pemandu yang memandu perlahan di lorong laju merupakan pemandu yang tidak berhemah dan boleh mengundang kemarahan orang lain dan kemalangan. Pemandu yang tidak memberikan isyarat semasa membelok ataupun menukar lorong juga merupakan pemandu yang bersikap "kurang ajar." Begitu juga bagi mereka yang galak menggunakan telefon bimbit padahal beliau sedang memandu di lorong laju, suka melakukan aksi "cilok" kiri dan kanan ketika memandu, memandu ketika mengantuk, tidak bertali pinggang keledar; kesemuanya mengundang bahaya bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada orang lain. Sikap-sikap beginilah yang seharusnya diubah bagi merealisasikan matlamat Ops Sikap itu sendiri.
Bagi penguatkuasa seperti polis dan JPJ pula, zahirkan kehadiran anda di jalan raya bagi sekurang-kurangnya mendisiplinkan pemandu. Tiada guna kita menyorok di semak-samun/kebun bunga, membuat speed trap kalau kehadiran penguatkuasa tidak langsung mencegah kemalangan daripada berlaku. Sudah nyata bahawa rakyat Malaysia takut kehadiran polis di jalan raya, maka kenapa pula polis hendak disorok-sorokkan? Letak sahaja seorang anggota polis setiap lima hingga sepuluh kilometer, maka boleh jadi orang akan memperlahankan pemanduan berbanding membuat pecutan!
Dalam banyak keadaan pun, kemalangan sifar adalah sesuatu yang kelihatan mustahil. Hal ini disebabkan perkataan itu sendiri – kemalangan. Malang tidak berbau dan walau secermat mana pun manusia, malang itu boleh terjadi bukan disebabkan dirinya (contohnya: wrong place at wrong time). Akan tetapi, kita boleh cuba dan berusaha untuk mengelak kemalangan itu sendiri daripada berlaku dan sekurang-kurangnya dapat mengelakkan kematian. Semoga pemandu pada musim perayaan kali ini akan memandu dengan lebih selamat sekaligus dapat mengurangkan jumlah statistik kemalangan dan kematian di jalan raya.
Pandu cermat, jiwa pun selamat..............
No comments:
Post a Comment