Monday, September 6, 2010

Apabila akhir Ramadhan menjelma

Akhir Ramadhan semakin menjelang dan dari hari ke hari, kita semakin hampir ke hari kembali kepada fitrah iaitu Hari Raya Aidil Fitri. Terbaca juga di dalam akhbar ada yang mengatakan hari raya tahun ini disambut sehari lebih awal dari yang dijangka dalam takwim; ada yang mengatakan bahawa "anak bulan" pasti akan kelihatan pada petang (jadi besoknya raya) dan ada juga katanya alasan bahawa pak Arab akan menyambut raya terlebih dahulu maka kenapa pula kita tidak boleh menyambut sebagaimana mereka. Persoalan sebegini hanya mereka yang pakar sahaja yang boleh menjawabnya terutama mereka yang berada di Jabatan Mufti, pakar falak dan ahli astronomi. Walaupun kadang-kala mengelirukan, wajar juga pemahaman tentang kaedah penentuan tersebut dihebahkan kepada masyarakat agar mereka benar-benar faham apakah pertimbangan yang perlu dibuat bagi menentukan tarikh-tarikh penting dalam Islam[1].

Sebagaimana biasa, menjelang hari raya mood beraya biasanya lebih meluap-luap berbanding sebelumnya. Gedung membeli belah dan bazar Aidil Fitri menjadi tumpuan orang ramai untuk membuat persiapan beraya. Pelbagai promosi yang dibuat bagi menarik perhatian pengunjung untuk membeli jualan yang mereka sediakan. Dari kuih raya, pakaian raya, perabot raya, langsir raya, televisyen raya, permaidani raya hinggalah ke kenderaan raya; kesemuanya dipromosikan atas dasar "raya." Pada masa tersebut, pastilah kanak-kanak yang paling gembira menyambut ketibaan Syawal dan ibu bapa juga akan tersenyum gembira melihat karenah anak-anak; tidak kurang yang berkerut juga di dahi memikirkan duit cukup atau tidak untuk bertahan raya sebulan!

Dek kerana terlalu bersungguh untuk menyambut raya, maka terdengar juga suara-suara penceramah yang menegur/memberi nasihat tentang janganlah pula kita berlebihan untuk menyambut raya. Lalu diceritakan bersama kisah para sahabat RA yang semakin hari menjelang Syawal, semakin sedih di hati mereka kerana hendak meninggalkan satu bulan yang penuh kemuliaannya, bulan yang penuh rahmatnya; takut-takut tidak ketemu lagi Ramadhan pada masa akan datang! Malah, bukankah termaktub dalam Al-Quran tentang malam yang padanya lebih baik dari seribu bulan dan dikhabarkan melalui sabdaan Nabi-Nya SAW bahawa carilah malam tersebut dalam sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadhan[2]. Maka apakah kita hendak meninggalkan begitu sahaja peluang dan ruang yang begitu terbuka dan terhidang bagi memperoleh sekian banyak rahmat daripada-Nya hanya kerana hendak menyambut hari raya?

Namun, sebagaimana yang diperihalkan oleh Ismail Ibrahim [3] bahawa "orang agama" dahulu tidaklah secara sinis menegur kekurangan semangat ibadah menjelang hari raya kerana dek persiapan besar-besaran bagi menyambut Aidil Fitri. Hal ini mungkin disebabkan dalam kemeriahan sambutan tersebut, sememangnya masih ada yang tekun beribadah bagi merebut rahmat Ramadhan yang tersisa. Atau teguran yang dibuat oleh ustaz-ustazah masa kini merasakan bahawa masyarakat sekarang sudah dikelilingi dengan sambutan hiburan yang melampau yang semakin menyimpang dari matlamat asal perayaan Aidil Fitri.

Masjid dan surau masa kini pun telah banyak sekali mengadakan qiyamulail bagi menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan dan kesemua ini merupakan satu usaha yang baik dan harus dipuji. Sememangnya warid dari hadis yang sahih[4] bahawa Nabi SAW akan bersungguh-sungguh untuk beriktikaf di masjid pada sepuluh malam terakhir dan amalan sebegini telah dihidupkan kembali pada masa kini. Hal ini membuktikan bahawa bukan perihal adat sahaja yang dipentingkan oleh masyarakat Melayu Islam di Malaysia malah telah dari masa ke masa cuba untuk menghidupkan kembali amalan sunnah yang dibawa oleh Nabi SAW. Walaupun mungkin tidak semua yang dapat diamalkan, namun adalah lebih baik untuk beramal apa yang mampu daripada tidak berbuat langsung.

Sesungguhnya kita mungkin boleh mengatakan bahawa apa yang berlaku pada masa kini berbeza dengan apa yang berlaku dahulu. Namun, kita hendaklah menghargai apa yang terbaik yang kita lakukan hari ini sebelum kita terlalu mengkritik apa yang berlaku pada hari ini. Mana-mana yang baik hendaklah kita teruskan dan mana yang terkurang, kalau ditambah alangkah moleknya.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir batin.

____________________

Nota hujung

1. Salah satu contoh adalah artikel Berita Minggu 5 September 2010 bertajuk Anak Bulan Hanya Kiasan memberi maklumat sedikit sebanyak tentang maklumat tentang awal Ramadhan dan awal Syawal di Malaysia dan perbandingannya dengan negara-negara yang lain

2. Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim. Lihat hadis no. 726 dalam Fuwad Abdul-Baqi, Al-Lu' lu' wal-Marjan, translated by Muhammad Muhsin Khan, Pearls and Corals Dar-us Salam: S. Arabia, 1995

3. Ismail Ibrahim, Sekilas Pandang, Yayasan Ilmuan: K. Lumpur, 2009. m.s 195

4. Lihat hadis no. 724 dan 725 dalam Fuwad Abdul-Baqi, op.cit

No comments: