Showing posts with label Hiburan. Show all posts
Showing posts with label Hiburan. Show all posts

Sunday, April 28, 2013

Drama wanita

 

Saban hari dalam drama Melayu, persoalan yang sering diketengahkan dalam televisyen ialah percintaan muda-mudi dan perkahwinan. Perkahwinan itu pula selalunya, tapi tak semestinya melibatkan pasangan yang terpaksa berkahwin lantaran pelbagai sebab-musababnya. Sama ada untuk pengembangan bisnes keluarga atau sebagai syarat 'tebus' jasa-jasa nan lalu, atau untuk menutub keaiban si anak perempuan yang mengandung luar nikah.

Senario sebegini sering dipaparkan dalam skrip drama-drama Melayu dan jarang pula diterbitkan dalam drama bahasa dan bangsa lain. Drama Cina Singapura misalnya, mempunyai pelbagai genre yang memaparkan pelbagai latar masa dan budaya. Misalnya drama masa lampau (period drama), memaparkan latar semasa zaman prapenjajahan Jepun sehinggalah selepas kemerdekaan. Drama masa moden pula mempunyai kepelbagaian persoalan daripada jenis masalah kekeluargaan, cinta, prosedur penyiasatan polis, mistik dan lain-lain.

Bagaimana pun, di sini drama Melayu kekal dengan genre cinta muda-mudi, si lelaki yang ego dan si perempuan yang mengikut sahajalah cakap lelaki itu secara telus dan tulus. Apatah lagi dicampur dengan pengadaptasian novel-novel cinta popular yang mencampur-adukkan antara cinta dan sedikit sejamah unsur keIslaman yang menjadikan wujudnya dua keadaan yang kontra; satu bergelumang dengan dosa, satu lagi di tikar sembahyang memohon doa kepada yang Maha Esa.

Cuma penulis tertarik dengan watak dan perwatakan yang dibawa oleh heroin dalam cerita sebegini. Setakat yang penulis perasan ada yang jenis terlalu memberontak sehingga sanggup menggadai maruah sebagai isteri. Ada pula yang menunjukkan sikap begitu tidak reda kepada suami kerana kahwin paksa; dan ada juga yang bersikap terlalu tulus dan telus kepada suami sehingga kelihatan diperhambakan sedangkan suami berbuat sesuka hatinya.

Kesemua ini memaparkan sisi watak wanita yang sama ada bersifat terlalu menentang atau pun terlalu akur sehingga menimbulkan persoalan kepada penulis, adakah ini realiti semasa wanita hari ini? Lebih-lebih lagi bagi perwatakan yang begitu pasrah mendengar dan menerima apa sahaja tengkingan dan makian daripada si suami lantaran 'tidak tahu memasak.' Hal ini turut menimbulkan satu lagi persoalan sampingan, adakah wanita sekarang ini tidak geti memasak? Teruk benar agaknya sampaikan nak masak pun tak geti, macam mana hendak jadi suri rumah tangga?

Kesemua ini memberikan imej yang buruk kepada wanita Melayu sendiri apabila mereka digambarkan sama ada terlalu havoc atau pun terlalu tunduk kepada segala apa yang diperlakukan kepadanya. Seolah-olah adat Melayu membenarkan wanita diperlakukan sebegitu rupa dan tunduk seadanya kepada lelaki. Adakah ini yang cuba ditunjukkan dalam drama Melayu? Adakah ini sahaja konflik yang mampu diterbitkan oleh pengarang dan penulis skrip?

Mungkin ada yang mengatakan bahawa naskhah macam inilah yang akan mengangkat martabat wanita. Wanita sanggup diperguna segala-galanya kerana cinta kepada jantan lain atau kepada suami sendiri, Bahkan, hujah ini ialah hujah kepada mempersoalkan perwatakan drama bagi wanita yang terlalu memperhambakan sahaja dirinya kepada apa sahaja tindak tanduk si lelaki dan bukannya hujah untuk mengangkat martabat wanita. Martabat wanita diangkat melalui kedatangan Islam yang membela segala bentuk hak dan kebajikan untuk wanita. Wanita tidak lagi diperhambakan dan dipergunakan sesuka hati oleh kaum lelaki walaupun suami sendiri. Malangnya, sebaliknya yang berlaku apabila suami menjadikan isterinya sebagai alat untuk melepaskan geram, ditengkingnya dan dimarahnya isteri itu macamlah isteri itu sampah. Konflik sebegini yang sering diutarakan boleh dibaca dan kadang-kala terlalu klise.

Memanglah pada akhir drama sebegini akan menunjukkan suami-isteri hidup rukun damai dan bahagia, atau sang jejaka dan wanita berkahwin, namun pada realitinya adakah hal sedemikian yang berlaku? Kita pun selalu membaca kisah di dada akhbar, seandainya hinggap sepenampar di muka isteri, terus boleh membawa ke kes cerai. Pada hemat penulis, perkara tersebut memang wajar kerana si jantan menjadikan wanita sebagai tempat melepaskan barannya. Kalau satu kesalahan ditempeleng, mau kalau perkara besar, si wanita akan dijadikan sebagai puncing beg pula! Silap-silap, hal-hal kerja pun si lelaki akan meluahkan perasaan marahnya kepada si wanita.

Pendek kata, kreativiti drama Melayu masa kini patut dipelbagaikan dan bukannya tertakluk kepada 'pengorbanan wanita sehingga lunyai sebelum diangkat sebagai heroin' yang hidup bersama 'jantan keparat yang hidupnya tak sedar diuntung.' Maruah wanita perlu diletakkan pada tahapnya yang telah unggul untuk membolehkan orang ramai memahami status sebenar wanita dalam Islam dan di Alam Melayu. Seandainya watak mereka hanya sekadar merelakan segala perlakuan buruk sama ada fizikal mahu pun mental sahaja, perkara ini hanya menampilkan sisi negatif dalam masyarakat Melayu. Sedangkan kini, wanita di Malaysia sudah berdiri teguh untuk 'mempertahankan' hak-hak mereka.

Justeru, tampilkanlah penghargaan kepada mereka dalam karya-karya kita...

Friday, August 24, 2012

Hah, beratur-beratur untuk ditalak!

 

Cerita-cerita yang ditayangkan sempena lebaran kadang-kala memberi pengajaran, ada yang sekadar hiburan dan ada juga yang mencampurkan hiburan dan pengajaran.

Semasa pulang ke kampung tempoh hari, setelah tiba, penulis tertonton sebuah filem yang dilakonkan oleh seorang pelakon komedi yang satu ketika dahulu meletup-letup dengan lakonannya yang dikatakan kelakar. Plot ceritanya diringkaskan, dua orang kembar seiras diwasiatkan untuk berkahwin empat untuk melayakkan mereka mewarisi harta peninggalan ayahnya yang cukup-cukup besar (boleh beli Boeing 747 gamaknya!). Namun, pada akhir cerita tersebut, salah seorang daripadanya terpaksa menceraikan tiga isterinya kerana desakan mereka dan memberikan mereka sejuta sebagai memenuhi janji sebab perkahwinan tersebut (hendak memenuhi wasiat untuk mendapat harta pesaka).

Jadi, sebab kepada perkahwinan tersebut ialah kerana semata-mata harta pesaka. Kemudian, dilakonkanlah dialog antara lawak dan antara tidak agar isteri-isteri lelaki tadi beratur untuk diceraikan. Selepas itu, satu persatu diceraikanlah isteri tersebut talak satu melainkan yang terakhir yang berloghat Kelantan iaitu dengan talak dua kerana menipu. Moral cerita itu ialah poligami boleh membawa kebaikan kalau kena gayanya dan poligami tidak akan berjaya seandai tidak ‘ditakdirkan’ oleh-Nya.

Penulis tidaklah mahu mengulas isu takdir kerana isu tersebut mengundang perbahasan yang perlu diperincikan; apatah lagi melibatkan akidah dan kepercayaan. Akan tetapi, apa yang menarik perhatian penulis ialah betapa mudahnya pakatan untuk nikah-ceraikan isteri lantaran memperoleh habuan harta pesaka daripada suami selepas wasiat bapa mentua dipenuhi. Kalaulah semudah itu untuk kahwin cerai, apatah lagi poligami bagi mencapai hasrat harta, maka alangkah mudahnya sesuatu perkahwinan itu didirikan dan diceraikan![1]

“Pada aku, itu cuma cerita je la... Untuk hiburan sahaja,” kata kawan penulis ketika kami berbual-bual.

“Masalahnya, dia (cerita itu) menggunakan isu talak sebagai sesuatu yang nak diambil ringan. Macam main-main sedangkan soal talak ni bukannya boleh dibuat main!” terang penulis pula.

Lalu penulis bertanyakan beliau apa pendapat beliau (daripada apa yang telah beliau pelajari dan fahami) tentang seseorang yang bergurau dengan si isteri dan menceraikan isterinya ketika bergurau?

“Eh, jatuh talak kalau macam tu![2]” jawab beliau dengan tegas.

“Sebab itu soal-soal sebegini tak boleh dibuat main. Kita sudah ada pemikiran yang ustaz cuma halau hantu, macam mana pula dengan isu nikah cerai dengan senang-lenang?” penulis membalas sambil mengaitkan soal cinta dan kasih-sayang yang membawa kepada perkahwinan itu sebenarnya datang daripada Tuhan, adakah kita hendak mempermainkannya dengan mewujudkan kisah nikah-cerai dengan sebegitu mudah sekali sebabnya?

Sama ada hiburan boleh dijadikan medium dakwah itu masih lagi menjadi khilafiyah. Ada yang mengatakan boleh, ada juga yang dengan mudah berhujah, ‘kalaulah dengan menyanyi (dan berlakon) itu merupakan satu cara yang baik untuk dakwah, nescaya Nabi SAW telah melakukannya terlebih dahulu.’ Masing-masing punya alasan yang tersendiri sama ada terlalu longgar atau terlalu ketat (rigid).

Bagaimanapun, jika kita lihat plot penceritaan yang hendak dikaitkan dengan agama pun kadang-kala terlalu tipikal. Sama ada cerita hantu, nikah-kahwin dan soal kehidupan yang menceritakan seseorang itu terlalu ekstream meninggalkan agamanya dengan digelumangi dosa dan akhirnya sama ada bertaubat atau menerima balasan buruk; bukanlah sesuatu yang segar dalam erti kata uslub dakwah pun. Adakah semua manusia seekstream sebegitu?

Namun, apabila kita menggunakan perkara-perkara keagamaan dalam karya kita, maka kita sebenarnya bertanggungjawab terhadap karya tersebut dan kemungkinan-kemungkinan yang timbul daripada karya itu. Seandainya ada dikalangan Dato’- Dato’ orang kaya yang tiba-tiba terasa hendak meniru wasiat untuk kahwin empat, bagaimana? Implikasi agama juga akan timbul apabila wasiat tersebut memerlukan seseorang melakukan sesuatu yang belum tentu dirinya mampu, walaupun perkahwinan itu sesuatu yang boleh diwasiatkan.

Kesan negatif lain ialah seolah-olah mencerminkan begitu mudahnya kita berhelah dengan menggunakan poligami apabila ada yang berkahwin kerana hendakkan harta semata-mata lantas boleh pula bercerai selepas harta itu diperloleh. Sedangkan ikatan perkahwinan itu ialah sesuatu yang suci dan menjadi pendinding kepada masalah sosial; tetapi kini digunakan sebagai satu helah yang mudah untuk keperluan duniawi semata-mata!

Bukanlah hendak menulis yang negatif sahaja, sebab soal wasiat, perkahwinan, persefahaman suami-isteri-isteri dan tolak ansur mencerminkan sesuatu tuntutan agama yang murni. Cuma cara diakhirinya cerita itu dengan ‘beratur untuk diceraikan’ tidak melambangkan sikap dan kemurnian dalam perkahwinan dan poligami dan barangkali memberi persepsi buruk kepada yang tidak faham.

Soal sama ada penonton boleh fikir ke tidak, sebenarnya tidak timbul. Kita tidak boleh menganggap kesemua penonton mempunyai laras pemikiran yang sama. Tambahan pula, judul komedi bukan sahaja ditonton oleh yang dewasa, malah kanak-kanak pun turut serta menontonnya. Oleh yang demikian, seharusnya filem-filem sebegini mempunyai klasifikasi PG 13 agar yang dewasa boleh memberi didikan kepada yang kecil.

Isu berkaitan filem Islamik atau yang mengaitkan unsur-unsur hukum-hakam Islam patut dibincangkan secara panjang-lebar oleh mereka yang berkepentingan (jabatan agama, ulama, pemerintah etc.). Kita tidak mahu sama sekali industri hiburan kita menjadi sebagaimana di Barat yang berlandaskan your taboo is not my taboo; sanggup melacurkan prinsip-prinsip agama untuk kepentingan wang ringgit dan atas nama kebebasan bersuara.

Ada filem dan drama daripada sana yang terang-terangan menghina agama dalam dialognya[3]; tetapi atas nama lakonan dan hiburan, perkara tersebut tidak diendahkan. Maka, usahlah kita hendak ikutkan sangat cara mereka memperguna dan memainkan sentimen agama dalam plot cerita, walaupun yang cuba kita mainkan itu sekadar sekelumit sahaja daripada agama!


[1] Menurut Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a. bermaksud seorang wanita dinikahi kerana empat perkara: hartanya keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Kahwinlah wanita yang berpegang kepada agama, nescaya kamu bahagia. Rujukan hadis misalnya dalam Alawi Abbas Al-Maliki et al, Ibanah Al-Ahkam Syarah Bulugh Al-Maram jil. 3, terj. Nor Hasanuddin H. M. Fauzi (KL: Hidayah Publication, 2011), 335.

[2] Menurut Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda dengan maksud, ‘Ada tiga perkara yang andai dikatakan bersungguh-sungguh, menjadi sah dan seandainya dikatakan secara bergurau juga sah, iaitu kahwin, talak dan rujuk.’ Mengikut mazhab Syafie dan Hanafi, jatuh talak terhadap si isteri seandainya si suami melafazkannya secara bergurau, Lihat perbahasannya dalam Al-Maliki et al., Ibanah Al-Ahkam Syarah Bulugh Al-Maram, jil. 3, 502-504. Hadis yang sama disyarahkan oleh Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi sambil menukilkan beberapa contoh dan keadaan. Menurutnya lagi, seandainya suami yang mentalak isterinya dengan bergurau itu masih bersama dengan isterinya sehingga menyebabkan kelahiran seorang anak, jadilah anak tersebut anak luar nikah. Rujuk Muhammad Idris Al-Marbawi, Bahru Madzi, jil. 9, (KL: Al-Hidayah Publication, 2006), 31-34.

[3] Seperti dialog ‘I don’t believe in God and He hates me’ menunjukkan betapa Tuhan sendiri dipermain-mainkan. Perkara sebegini membuktikan bahawa dunia Barat begitu sekular sehingga hal berkaitan Tuhan pun boleh dipersenda. Beginilah sebenar-benarnya yang dikatakan sebagai ‘agama suku, dunia suku.’ Konteks sekular dan kesekularan perlulah dilihat daripada asal kewujudannya kerana tradisi tersebut bukannya daripada pandangan alam dan kebudayaan Timur, apatah lagi Islam.

Wednesday, November 16, 2011

Kami pun manusia biasa juga...

 

Ungkapan sebegini ialah salah satu alasan popular yang akan dikemukakan oleh sesetengah pihak tatkala 'terkantoi' akan sesuatu perkara negatif. Dalam konteks tulisan yang kali ini, kita bercerita tentang dunia artis. Suka dinukilkan kembali bahawa pada hemat penulis, dunia hiburan merupakan penanda aras kesosialan masyarakat di Malaysia. Justeru, apabila mereka mengatakan frasa 'kami pun manusia biasa juga...,' sebenarnya mereka menampilkan sisi apologia dan defensif mereka kerana mengaitkan sisi kemanusiaan setelah perkara negatif itu dihidu, dihebah dan diperbesarkan oleh media massa melalui wartawan berdesupnya.

Kalau kesilapan yang berbentuk benar-benar kemanusiaan itu, boleh diterima juga. Terlupa, tertinggal, tak ingat, tak terfikir...Namun, apabila yang dimanusiakan itu soal moral, integriti dan maruah, sudah semestinya hal sebegini mengundang persoalan sehingga adakah semua manusia melakukan 'kesalahan yang sama.'

Misalnya kejayaan wartawan merakam aksi mereka di kelab malam, pub, disko dan tempat-tempat 'elit ekslusif' yang mempunyai unsur-unsur arak dan hiburan melampau. Apabila artis Melayu yang dicekup gambarnya dalam keadaan sedemikian dan dipersoalkan selepas itu, mulalah keluar frasa 'saya pun manusia juga, ada buat salah.' Atau 'hendak lepaskan tekanan juga!' Jadi, persoalan akan timbul, adakah dengan ke kelab malam sahaja akan dapat melepaskan tekanan?

'Kau apa tau, tak hidup di bandar, tak rasa tekanan yang dihadapi. Kau bukan artis untuk rasa kesukaran dan tekanan jadi artis,' barangkali ada di kalangan mereka yang menjawab begitu.

Soalnya bukan tekanan, kesusahan, kebebasan dan sebagainya. Sebaliknya berkait dengan imej, persepsi, pandangan dan penampilan. Kalau berlakon jadi 'wanita beriman,' tetapi selepas itu kelihatan tertonggek dan muka menjelir lidah di gambar-gambar majalah/internet, apa ke jadahnya melakonkan watak beriman tersebut di dalam drama atau filem. Tentang profesionalisme pelakon yang timbul bukannya berkaitan dia boleh berlakon ke tidak, tetapi lebih kepada imej pelakon di luar lakonan pada mata penonton. Imej juga menggambarkan profesionalisme!

Begitu juga halnya kalau penyanyi nasyid kelihatan ligat di kelab malam. Semua orang pun akan pertikaikan, kenapa sebagai seorang pendakwah, dia boleh ke kelab malam berhibur? Mungkin boleh dijawab, 'Ini soal dakwah,' tetapi dakwah apanya di kelab malam kalau dia pun ligat sekali? Ada metod dan uslub dakwah tertentu tetapi bukan bermakna dia pun ikut 'enjoy!'

Satu lagi perkara yang biasanya dikaitkan dengan 'saya cuma manusia' ialah gambar-gambar dalam keadaan kurang senonoh yang berjaya dirakam oleh wartawan, orang yang memberikannya kepada wartawan atau yang diterbitkan sendiri dalam media internet. Kita kena faham yang memang ada manusia yang suka mencari aib orang, tetapi ada juga manusia yang gemar 'menjaja' aib sendiri. Soal laman sosial persendirian pun sebenarnya tidak timbul kerana yang ternyata, laman sosial bukannya bersifat peribadi sangat pun! Walaupun boleh ditapis senarai yang layak menjadi 'rakan-rakan,' sebenarnya 'rakan-rakan' itu pun bukan semuanya rakan dalam erti kata sebenar. Apabila gambar berpeluk-cium atau memakai pakaian mandi dimuat naik dalam laman sosial, timbul pula isu 'rakan tak amanah la,' 'teman lelaki tak fikir panjang la,' atau 'ini sebenarnya gambar peribadi, bukannya untuk dibuat tatapan umum.' Sedangkan isu peribadi atau tidak ialah satu cerita, soal gambar yang aib, cerita yang lain pula. Kenapa hendak bergambar dalam keadaan tak cukup kain kalau tahu perkara tersebut boleh mengundang persepsi negatif. Adakah sudah tidak ada cara lain untuk bergambar untuk tujuan berkenang-kenang andai bukan berpakaian kurang benang? Lalu, pada akhirnya akan timbulah frasa, 'saya pun manusia biasa, buat kesalahan.'

Artis-artis dalam dunia hiburan mesti tahu, semakin banyak kontroversi yang timbul disebabkan kelakuan dan sikapnya, semakin 'berjus' cerita dan berita yang akan disampaikan. Mereka menjadi bahan tontonan dan bacaan oleh cakupan yang cukup ramai, lebih banyak daripada media politik. Tidak hairanlah Arnold Schwarzenegger boleh menjadi Gabenor Califonia dan Joseph Estrada menjadi Presiden Filipina. Populariti mereka menyebabkan pengaruh mereka lebih hebat berbanding personaliti politik. Oleh yang demikian, pengaruh mereka dalam masyarakat tidak boleh dinafikan terutamanya bagi golongan 'urban' atau yang berada di bandar yang mampu mencapai pelbagai maklumat berkenaan hiburan. Justeru, perangai baik, kelakuan terpuji dan tidak mencetuskan persepsi buruk terhadap diri sendiri dan masyarakat merupakan tanggung jawab sosial 'murah' (tiada wang yang perlu dikeluarkan untuk berperangai baik) dan boleh diamalkan sendiri bukan sahaja untuk menjaga nama diri sendiri dan keluarga; malah mampu mewujudkan pengaruh yang lebih elok kepada penyokong mereka yang selalu mengikuti perkembangan mereka.

Tambahan pula, menjadi bonus berguna apabila wartawan pun taklah sentiasa asyik hendak buat dosa lantaran menjaja artis ini segini artis gitu segitu. Tambah pahala wartawan kita! Media hiburan pun cerita gosip-gosip tertentu sahaja; tak perlulah dok tayang gambar separa lucah artis-artis kita. Rakyat pun tak perlulah terpengaruh dengan fesyen separa lucah artis dan kelakuan sumbang-mambang mereka yang sekali gus mampu memberi pengaruh positif kepada pembaca

Semua pun menang, kalau kena gayanya! (Itu pun kalau berjaya...)

Sunday, November 13, 2011

Kisah artis kita (dan wartawan mereka)

Kita cerita pasal artis kali ini sebab dunia hiburan dan artis bolehlah dikatakan sebagai penanda aras tahap kesosialan sesebuah masyarakat atau negara. Kegiatan sosial, penampilan, perangai dan cara berfesyen kini lebih menjadi tumpuan masyarakat berbanding dunia lain hatta dibandingkan dengan politik pun. Sebab itulah satu ketika dahulu Raihan mengambil inisiatif untuk membuat filem 'Syukur 21' (walaupun impaknya tidak seperti yang diharapkan) kerana percaya keberkesanan masej melalui medium hiburan seperti filem dan movie.

Melihat kepada perkembangan semasa, tidak hairanlah andai dunia artis menjadi rujukan kepada tahap permasalahan sosial negara kerana kalau sudah ada artis yang berkelakuan segini-segini sehingga boleh diketahui umum, tidak hairanlah kalau orang awam lain pun melakukan segini-segini juga. Mereka menonjolkan citra kehidupan 'aristokrat' sama ada mereka berduit ataupun tidak. Terutamanya bagi yang wanita pula, gambar mereka sama ada dirakam untuk tujuan terbitan rasmi mahupun dicuri rakam. Kadang-kala, gambar tak cukup kain atau pakai baju adik ini mendapat reaksi yang cukup negatif di kalangan masyarakat. Tetapi, gambar-gambar sedemikian tetap wujud saban hari dengan gaya yang mengiurkan; tangan terangkat, peha ditayang, punggung ditonggek.


Ditambah pula dengan artis ini bergambar depan botol arak, sudah semestinya artis tersebut berada dalam majlis arak. Artis dan parti liar merupakan sesuatu yang paradoks; sungguhpun bukan semua artis yang berparti dan berjoget di kelab malam tetapi kaitan artis dan kelab malam merupakan sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Mungkin dek tekanan hidup hendak menjadi golongan elit dan sosialit, mereka pun mengeksesais sikap dan perangai yang menonjolkan kesosialitan mereka.


Artis-artis juga saban hari kahwin dan cerai. Yang kahwin lama dan stabil jarang dihebahkan sehari-harian berbanding kahwin-konflik-cerai. Orang kedua, ketiga dan keempat menjadi punca kepada penceraian tersebut dan hal-hal yang demikianlah yang menjadikan cerita artis itu lebih 'berjus.' Ditambah pula dengan poster menonggeng yang sudah semetinya menambahkan lagi impak terhadap terbitan media hiburan dengan pelbagai cerita dan cereka mengenai dunia artis, sama ada mereka membuka pekung artis atau artis itu sendiri membuka pekung sendiri. Keseronokan mengumpat pasal artis ialah semumpama makan nasi goreng USA!

Kita pun tidak tahu sama ada semasa sebarang sesi fotografi, artis itu dituntut untuk menggayakan lentik badan persis gimnas (kalau tidak, dikatakan sebagai tidak beretika) atau memang kehendak artis itu hendak melentikkan badannya. Wartawan pun sememangnya membuat provokasi untuk membolehkan maklumat-maklumat penting daripada artis tersebut. Terkeluarlah pula cerita dan ceriti.

Akan tetapi, kalau artis itu sudah berubah ke ‘jalan kebenaran’ (misalnya daripada menjadi seorang sosialit kepada yang bertudung, atau rockers kepada gaya ustaz) , lain pula ceritanya. Sekurang-kurang kurang gosip bekenaan keburukan itu dan ini pada satu tahap. Soalan-soalan yang dikemukakan pun sudah tidak sepanas dahulu, atau sekurang-kurangnya tidak ada soal nampak seksi ka, atau dengan perempuan simpanan ka. Pada masa yang sama artis-artis ini juga akan mendapat perhatian secara tidak langsung kerana pergaulan mereka juga diperhatikan; manalah tahu kopiah/ketayap atau tudung di kepala tidak sepadan dengan kelakuan mereka. Justeru bagi yang terkantoi sudah tentu terpaksa berapologia mengakui kesilapan dan cuba membetulkan keadaan. Juga, kepada yang berjaya menjaga adab sopannya akan secara beransur-ansur hilang seri gosip mengenainya. Maklumlah, sudah tiada benda hendak dicerita!


Apa yang pasti ialah betapa pengaruh dunia hiburan di dalam masyarakat dunia sampaikan rancangan keagamaan pun hendak dimodenkan persis rancangan realiti hiburan. Sama ada elok atau tidak keadaan begitu terpulanglah kepada tafsiran masing-masing, akan tetapi sebagaimana biasa, kesan dan kepopularan rancangan-rancangan Islami sedemikian mungkin tidak sehebat dan sebesar rancangan realiti hiburan. Lebih memeningkan ialah apabila budak-budak bawah umur pun sudah mempunyai rancangan masing-masing, anak muda remaja sudah menjadi superstar dan tidak perlulah fikirkan sangat tentang pelajaran sebab fulus sudah masyuk. Sama ada trend ini menjadi ikutan, hanya masa sahaja yang menetukannya.


Tatkala hiburan menjadi segala-galanya, hedonisme pun membiak-biak dan pada ketika itu, yang biasa akan menjadi tidak biasa dan tidak biasa menjadi biasa!




Thursday, October 27, 2011

Seklik yang mengagumkan....

  • Bukanlah hendak mendewakan internet namun internet dapat merealisasikan perkara yang mungkin sepuluh tahun dahulu tak terfikir untuk dilaksanakan.
  • Misalnya pembelajaran atas talian, satu ketika merupakan sesuatu yang mustahil kerana kalau hendak belajar, mestilah secara fizikal hadir ke kelas untuk mendengar syarahan atau 'ajaran' guru/pensyarah.
  • Kini sudah ada universiti yang membuat sistem pengajian jarak jauh - hanya perlu 'online' dan boleh mendengar kuliah, berinteraksi dengan guru/pensyarah dan sebagainya.
  • Ledakan maklumat semakin hari semakin tidak terkawal sehinggakan kerajaan Malaysia (baca: BN) sendiri begitu risau dampak yang diberikan oleh media alternatif yang zahirnya seolah-olah tidak pernah berehat daripada menyampaikan informasi-informasi yang tidak memihak kepada mereka.
  • Sama ada benar atau tidak maklumat itu bukanlah menjadi hasrat terbitan kali ini untuk membuat penilaiannya.
  • Dan bagi maklumat yang dikatakan 'betul' dan bersifat akademik pula tidak terlepas daripada menerima tempias yang sama.
  • Jurnal-jurnal yang suatu ketika dahulu yang kebanyakannnya diperoleh secara suku-tahunan kini ada yang diterbitkan dua kali seminggu melalui medium internet.
  • Malah, inisiatif yang lebih aktif lagi apabila ada artikel yang diberikan percuma (boleh dimuat turun percuma) sebelum diterbitkan di dalam judul jurnal yang dikenali sebagai atas talian dahulu (online first).
  • Tidak ketinggalan ada jurnal akademik yang dikategorikan sebagai jurnal atas talian sahaja; biasanya akan dirasionalkan supaya kita tidak menggunakan kertas untuk mencetak, jadi akan dapat menjimatkan wang dan akan membantu memelihara dan memulihara alam sekitar.
  • Hal ini menjadikan apa sahaja penemuan hari ini berkemungkinan besar merupakan sekadar sejarah menjelang dua tiga minggu sampaikan wujud persoalan - adakah sah (valid) sesuatu yang dikaji pada hari ini? 
  • Belum lagi masuk hiburan atas talian.
  • Kini begitu ramai penyanyi-penyanyi Youtube yang mendendangkan lagu artis-artis popular yang kadang-kala versinya lebih mendapat tempat berbanding versi asal penyayi tersebut.
  • Sudahnya mungkin satu hari nanti tak perlulah diadakan Idol atau AF atau Mentor atau XYZ Factor sebab banyak menghabiskan masa dan wang sahaja untuk tenaga produksi bagi mencari seseorang bakat segera yang hanya menyinar barangkali paling lama pun dua tahun - dalam konteks Malaysia lah...
  • Bintang 'covers' dan Youtube kini pun boleh menerjah pasaran dan berada sama taraf dengan artis yang masuk ke industri secara konvensional. Tak perlulah kita nak sebut nama mereka disini - maklumlah, sudah bertaraf bintang!
  • Laman sosial yang dulunya bertaraf 'laman peribadi' namun kini ada yang telah bertukar menjadi badi....
  • Maklumlah, segala yang terbuku di hati hendak diluahkan di laman Facebook/Twitter sendiri.
  • Itu yang selebriti dok bertengkar kerana tak puas hati.
  • Atas kecabulan tulisan artis yang satu lagi!
  • Belian di alam maya juga sudah semakin giat diperkembangkan.
  • Misalnya buku yang memang tidak dijual di Malaysia boleh ditempah secara online, tetapi kadang-kala harganya itu, bak kata sahabat penulis -
  • Koyak dompet lah...
  • Malah, teknologi internet itu sendiri saban hari saban menggerunkan.  
  • Satu ketika dahulu, internet persendirian sekadar modem 'dail up' yang kelajuannya sekadar sesuai untuk berchat dan e-mel. 
  • Sekarang modem dail up mungkin sudah boleh dikategorikan sebagai gajet muzium.
  • Bermula dengan talian 3G kini sudah 4G dan mungkin akan ada 5G atau 6G satu ketika nanti di Malaysia. Ada juga yang mengatakan guna kabel gentian optik .
  • Putus sehelai rosak seribu!
  • Kalau sudah siaran televisyen kabel pun sudah menerjah internet, mestilah sudah ada setidak-tidaknya teknologi bagi menampung siaran televisyen di internet.
  • Tiada buffering!
  • Kalau tonton Al-Kuliyyah TV3 tempoh hari, wasiat pun boleh dibuat secara rakaman video.
  • Mana tahu suatu hari nanti pembacaan wasiat pun boleh dibuat secara internet?
  • Kajian pemasaran pun sudah sampai ke tahap e-kualiti perkhidmatan e-kepuasan, e-kepercayaan (e-trust) dan e-kesetiaan.
  • Sudah semestinya memberikan cabaran kerana keadaan perkhidmatan sudah semakin maya (intangible).
  • Sebab sedangkan bank fizikal pun boleh dirompak, apatah lagi bank-bank maya ini; pasti boleh digodam pula!
  • Wang fizikal pun sudah semakin ditinggalkan.
  • Apa lagi dengan saranan dan gesaan kerajaan untuk menukarkan kesemuanya kepada atas talian.
  • Macam menggunakan kad debit; menggantikan kad kredit dan wang tunai.
  • Sekali gus hal ini memberikan cabaran kepada pihak pengurusan dan pentadbir untuk menampakkan nilai mata wang.
  • Kerana apabila wang sudah menjadi betul-betul maya kelak - atas nilai apakah yang sebenarnya wang itu disandarkan?
  • Sedangkan wang pada asalnya adalah perantara perniagaan.
  • Justeru tertera padanya frasa 'wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai....'
  • Maka pada apakah yang akan disandarkan wang maya itu?!?

Wednesday, October 19, 2011

Hantu Bunjamin pulang balik kotak nasi

  • Tun Dr Mahathir telah membuat satu komen yang menggemparkan dunia seni Malaysia - negara banyak sangat cerita hantu sedangkan cerita hantu memberikan pengaruh negatif kepada minda masyarakat Malaysia (Berita Harian 2 Oktober 2011).
  • Sudah ada pandangan yang mengatakan cerita-cerita hantu ini mencerminkan imej negatif kepada agama, tidak kurang juga memantulkan nuansa yang salah terhadap ustaz-ustaz alim ulama yang seolah-olah kerja mereka yang hakiki ialah sebagai penghalau hantu dan jin!
  • Selain daripada itu, filem-filem seram banyak menonjolkan kelakuan khurafat yang sebenarnya sangat-sangat ditegah dalam agama. Wajarkah filem menonjolkan kisah pemujaan kononnya untuk menyedarkan masyarakat tentang betapa salahnya perlakuan memuja sedangkan penonjolan cara-cara memuja tersebut sudah seolah-olah mempromosi pemujaan?
  • Bagi pembikin filem, mereka akan betah dengan mengatakan setiap filem yang dibuat adalah untuk menyampaikan pengajaran kepada penonton dan bukannya untuk mempromosikan perlakuan khurafat, syirik mahupun idealisme takut kepada hantu.
  • Malah, setiap cerita yang dibuat akan mengangkat seseorang sebagai pembimbing menuju jalan hidayah atau menjadi pengamal yang menggunakan ajaran agama untuk menewaskan kejahatan. Wujud kalimah-kalimah zikir, doa dan ayat Al-Quran yang digunakan sekali gus menjadi medium penyebaran amalan Islam menentang makhluk halus yang jahat.
  • Penerimaan penonton juga harus diraikan. Bukan semua filem hantu yang berjaya pecah panggung, dan kalau berjaya pun bukannya ke mana hasil keuntungan cerita tersebut pergi melainkan ke industri perfileman kita juga. Penonton Malaysia mempunyai cita yang berbeza berbeza dengan penonton luar negara justeru kita perlu penuhi cita rasa mereka. Industeri perfileman kita jauh lebih kecil saiznya kalau hendak dibanding dengan Hollywood atau Bollywood atau hatta filem Indonesia sekali pun!
  • Salah satu lagi hujah pendukung filem seram adalah betapa penonton bukannya 'tolol, bahlul dan bodoh' untuk tidak dapat menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Sungguhpun sejuta dua yang menonton filem hantu, bukannya semua yang balik daripada panggung bertukar percaya kepada hantu, pergi berjumpa pawang-pawang untuk menyembah jin atau mempelajari ilmu hitam. Penonton Malaysia masih waras dan mereka telah terpelajar dan mereka sebenarnya masih tahu, sedar dan faham yang mana buruk dan yang mana baik.
  • Begitulah hujah-hujah mereka yang menyokong. Ada pojok dalam tabliod hiburan pada hari minggu yang begitu mempertahankan industri hantu-hiburan dan bertindak mengecam seorang negarawan seperti Dr M. Biarlah orang hendak buat cerita hantu, sedangkan industri hiburan Malaysia pun bukannya untung sangat pun meski ada cerita yang berjaya mengaut kutipan berjuta-juta ringgit.
  • Pada hemat penulis, memang benar industri hiburan kita sebenarnya mengharapkan sangat cerita hantu sebab penonton kita memang ramai yang gemar tengok cerita hantu. Namun kita juga mesti faham bahawa corak dan pemikiran minda masyarakat juga bergantung kepada apa yang ditonjolkan melalui media mereka di hadapan mata. Persis budak terjun bangunan kerana hendak menjadi Superman. Atau orang bakar mayat demi menghapuskan DNA dan menutup jenayah; kesemuanya mungkin berasal daripada apa yang ditonton! 
  • Kita mungkin asalnya tak tahu atau tak faham amalan sekian-sekian, kenapa boleh jadi khurafat atau syirik, namun mestikah kita dihidangkan dengan berpuluh-puluh siri cerita berkaitan ilmu hitam dan soal bercakap dengan jin dan jembalang baru kita faham dan tahu apa yang dimaksudkan dengan 'khurafat' dan 'syirik?'
  • Sama ada penonton yang hendak tengok cerita hantu atau cerita hantu yang sebenarnya mencari pasaran menemui penonton merupakan satu persoalan yang paradoks; ayam dengan telur; yang mana keluar dulu? Dua-dua sebenarnya berperanan dalam menjayakan satu kerangka model permintaan dan pembelian kerana pada akhirnya, jenama juga yang menjadi faktor pemilihan penonton terhadap cerita yang ditonton.
  • Namun penghibur misalnya tidak boleh menidakkan pengaruh mereka kepada masyarakat. Pembikin filem tidak boleh mengatakan bahawa dengan penayangan adegan lucah atau membunuh orang dengan perantaraan jin misalnya tidak memberi sebarang kesan psikologi kepada penonton.
  • Bukan semua orang yang datang menonton memberi tumpuan kepada nilai dan pengajaran; andai benar, nescaya filem dakwahlah yang menjadi rekod box office sepanjang zaman. Bagaimanakah mereka yang hadir kerana hendak berhibur? Seyugia diingatkan sehingga kini pun tiada kajian yang konklusif tentang tahap minda penonton pascatayangan justeru hubungan antara kelakuan penonton dan apa yang ditonton tidak semestinya tiada.
  • Oleh yang demikian, saranan Dr M harus dilihat secara holistik, bukannya sekadar daripada perspektif 'pemimpin menghentam cerita seram' sahaja. Itulah satu luahan negarawan yang mengambil berat permasalahan pemikiran dikalangan masyarakat Malaysia dan seharusnya kita raikan. Kalau tidak setuju, buktikan yang beliau tidak benar. Buatlah sedikit penyelidikan bagi membuktikan kesilapan tersebut. Atau cubalah berusaha bagi menghidupkan genre baru yang mampu menyaingi cerita hantu lantaran pembuat filem jualah yang mula-mula sekali yang mempromosikan cerita bergenre seram!
  • Dari hal itu, usahlah pembuat filem melatah tak tentu pasal dan terlalu bersikap defensif/mempertahankan diri dengan segenap bicara apabila isu tersebut ditimbulkan. Bagaimana kalau mereka bekerjasama dengan pengamal perubatan Islam, ahli bidang media & masyarakat dan ahli hukum bagi menyelesaikan masalah tersebut.
  • Kendati kita melihat daripada aspek pengamal cereka dan kerajaan, pada akhirnya kesemua berkait dengan penonton juga. Sudah memang musimnya orang Malaysia suka tengok cerita hantu. Justeru penonton sendiri juga perlu menilai adakah wang mereka berbaloi untuk dikeluarkan untuk menonton cerita bercakap dengan hantu atau pun tidak. Sebab motif orang menonton berbeza-beza dan perbezaan itulah yang menjadi cabaran kepada ahli kaji sosial dan pemasaran untuk merasionalkan corak pemikiran penonton memilih menonton cerita hantu dan apakah kesan sosialnya kepada masyarakat.
  • Bukan hantu itu yang perlu ditakuti, melainkan kesannya ke dalam minda masyarakat kita! 

Sunday, August 1, 2010

Perlukah berita tentangnya?

Satu demi satu skandal artis yang berjaya diselongkar oleh pihak media. Kadang-kala, cerita tersebut berjaya menempatkan dirinya di muka hadapan akhbar utama; dan biasanya akhbar tabloid utama lebih-lebih lagi menyiarkannya. Kalau tidak di muka hadapan pun, ada sahaja ruang di dalam akhbar untuk diisi dengan berita tersebut; ruang hiburan, ruang nasional atau ruang antarabangsa. Cerita skandal tidak habis sudah ini tidak dapat tidak merupakan strategi pengamal media untuk mendapatkan untung disamping melaksanakan apa yang dikatakan sebagai "melaporkan perkara dari perspektif yang benar yang hendak dibaca oleh pembaca!"

Skandal artis yang dijadikan topik bicara dalam akhbar bukan sahaja berkait artis negara, malah artis luar negara pun turut mendapat tempat dalam ruang bicara akhbar. Pada sela masa sekarang ini, antara nama-nama yang menjadi bahan cerita tidak lain dan tidak bukan penyanyi utama kumpulan dari Indonesia yang bergelar Ariel yang di dakwa sengaja (atau dalam erti kata yang berkenaan) menyebarkan rakaman seksnya dengan selebriti wanita yang lain. Suatu ketika, hampir setiap hari laporan tentang jejaka bernama Ariel ini disiarkan seolah-olah beliaulah yang paling penting sekali di Indonesia; cerita tentang bapak presiden Republik Indonesia pun tidak mendapat tempat sebegitu penting dalam akhbar gamaknya!

Kita pun sebenarnya tidak tahu apakah motif sebenar sehingga rakaman seks si Ariel (yang dikatakan sudahpun beristeri) ini tersebar dalam arus media. Mungkin ada yang hendak menjatuhkan imejnya, atau mungkin memang benar beliau sendiri atau teman-temannya sendiri yang mendedahkan video tersebut. Apa yang pasti adalah nama beliau telah terpalit dengan nista yang teramat sangat dek kerana sebagai seorang muslim di sebuah negara yang dikatakan sebagai mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia, beliau dikaitkan satu gejala yang bukan sahaja memalukan, malah mengaibkan sama sekali status beliau. Diramalkan bahawa beliau tidak lagi akan mampu bangkit setelah terpalit dengan persepsi yang buruk daripada peminat dan pemerhatinya.

Pun begitu, persoalan yang lain di sebalik skandal tersebut adalah patutkah kita sebagai manusia insani dimomokkan dengan kes beliau, dan yang berkaitan beliau (seperti namanya Cut Tari dan Luna Maya) sedangkan ada perkara yang jauh lebih vital daripada membincangkan isu dan produk Peterporn yang beliau ciptakan? Laporan media kita di ruangan antarabangsa hari-hari melaporkan ceritera gosip berkait beliau seolah-olah macam sudah tiada berita lain lagi yang hendak diberitakan. Mungkin kita kenal kumpulan Peterpan, mungkin kenal vokalisnya namun tatkala menjajat sehingga terkenalnya Luna Maya dan Cut Tari menyebabkan kita diperkenalkan dari satu skandal ke satu skandal. Sebagaimana Tiger Woods tatkala menghadapi skandal seksnya, seorang demi seorang wanita yang entah mana datangnya dengan tiba-tiba menjadi popular dikaitkan dengan pemain golf tersebut. Seterusnya hal demikian menjadi batu loncatan menaikkan pula nama wanita terbabit kerana diskandalkan dengan Tiger Woods. Bukankah hal ini sesuatu yang menganehkan?

Mungkin media kita sepuluh tahun akan datang tidak lagi perlu membuat rancangan realiti tv sebagaimana sekarang ini sebab ramai yang boleh mencapai kepopularan ekspres (sebagaimana artis realiti pun digelar artis ekspres) dengan mewujudkan skandal-skandal dengan orang yang sudah terkenal. Sudahnya, disebabkan nilai peradaban manusia semakin terhakis dek sekularisme, mereka yang berskandal ini seterusnya akan menjadi selebriti yang akan menghias muka majalah hiburan pula.

Dari satu sudut pula, melihat kepada perangai artis kita pun, skandal memang tidak boleh dielak. Ada yang memberikan impresi buruk dengan pergi ke kelab malam, ke pub seolah-olah itulah dunia hari ini dan luahan cliché yang terpancul dari mulut mereka adalah "saya adalah manusia biasa, hendak melepaskan tekanan juga." Jawapan dan kelakuan sedemikian memberikan imej seolah-olah hanya dengan berpub dan berkelab malam sahajalah cara untuk melepaskan tekanan sedangkan masih banyak lagi perkara yang baik yang boleh dilakukan bagi melepaskan tension. Sebab itu kita tidak hairan lagi mendengar artis sekian-sekian ditahan polis bagi membantu siasatan, diminta membuat ujian air kencing dan sebagainya kerana mereka memang pun berada di tempat-tempat maksiat.

Oleh sebab itu, bagi menunjukkan teladan baik (bukan hendak disuruh menjadi malaikat pun...) adalah elok sekali pihak berkuasa kita menguatkuasakan larangan bagi artis muslim kita dari ke tempat-tempat maksiat ini kerana kelakuan mereka yang dijadikan sebagai ikon kepada peminat setia mungkin akan menjadi ikutan. Bukan bersosial yang dilarang namun bersosial tidak kena pada tempatnya; itulah masalah sebenarnya. Bukankah lebih baik mereka ini berpesatuan, mengajak peminat-peminat melakukan kerja-kerja yang berfaedah, yang mendatangkan input baik kepada fizikal, spiritual dan mental berbanding menyogokkan peminat dengan berita skandal ini dan skandal itu.

Ringkasnya, berita tentang skandal artis tidak boleh dielak melainkan artis itu sendiri yang berusaha mengelaknya. Cara megelaknya bukannya lari dari wartawan hiburan; namun lari dari skandal itu sendiri. Cukuplah kita tiap-tiap minggu disogokkan dengan selebriti ini merampas suami orang/kekasih orang. Berita tentang selebriti sekian-sekian ditangkap khalwat, atau positif dadah, atau mabuk sakan hendaklah dibanteras terlebih dahulu. Andai tidak, gejala "Peterporn" ciptaan media Indonesia (dan ciptaan si tuan punya badan) akan mula menular ke Malaysia pula. Makin lakulah berita hal-hal yang tak senonoh yang dibuat oleh artis kita!

Tuesday, March 16, 2010

Tenatkah industri muzik kita?


 

Kepelbagaian pertandingan dalam bidang hiburan merupakan sesuatu yang lumrah bagi mencari bakat-bakat baru yang akan menyinar dunia nyanyian pada suatu masa nanti. Namun, kadang-kala, dek kerana terlalu banyak sangat pertandingan nyanyian menyebabkan lambakan artis-artis baru yang akhirnya berlonggok sehingga menyebabkan kebolehpasaran mereka dalam industri muzik Malaysi.a. Ada yang benar-benar berjaya menembusi pasaran Malaysia, ada yang beralih arah ke bidang lain dalam dunia hiburan seperti menjadi deejay dan pelakon.

Perkara inilah yang berlaku di Malaysia. Untuk siaran pencarian bakat nyanyian, ternyata Malaysia jauh lebih banyak rancangannya berbanding siaran utama di US seperti American Idol. Mengambil contoh American Idol, tidak ramai juara rancangan tersebut menembusi pasaran dunia. Bagaimanapun, sesuatu yang harus diketahui ramai adalah betapa pasaran domestik di US sendiri sangat-sangat besar menyebabkan seseorang/sesebuah kumpulan muzik itu tidak perlu sehingga ke taraf antarabangsa bagi berkarya dan "membuat" duit untuk diri sendiri. Malah, banyak juga pemuzik-pemuzik mereka yang bergiat cergas dalam pasaran domestik terlebih dahulu sebelum menembusi pasaran antarabangsa.

Andai kita buat perbandingan antara sana dan sini, nyata sekali keadaannya bagai langit dan bumi. Namun, mengapakah industri hiburan di Malaysia cenderumg mengadakan begitu banyak pertandingan nyanyian yang disiarkan di kaca televisyen (dan belum lagi dikira pertandingan karaoke yang tidak masuk tv!) sedangkan kebolehpasaran artis-artis segera ini biasanya dipertikaikan?

Kalau sebab "memeriahkan lagi dan meningkatkan lagi mutu dan kuantiti produk nyayian Malaysia" yang menjadi justifikasi kewujudan pertandingan tersebut, nyata sekali keadaan kini sebenarnya sangat-sangat berbeza daripada apa yang diharapkan. Industri nyanyian dan muzik Malaysia sebenarnya sudah tenat dan ketandusan keuntungan berbanding apa yang didambakan. Hal ini mendorong menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Dr Rais Yatim mewajibkan siaran lagu-lagu tempatan bagi membolehkan industri muzik dan nyanyian kembali bernafas dalam negara sendiri.

Mengapakah keadaan begitu kritikal sehingga langkah berkenaan terpaksa dilakukan oleh pihak kementerian?

Salah satu daripada sebab yang disarankan oleh pengkritik adalah betapa stesen radio di Malaysia (baik kerajaan ataupun swasta) lebih mudah memutarkan lagu-lagu luar terutamanya dari Indonesia berbanding lagu ciptaan warganegara sendiri. Stesen radio di Malaysia didakwa begitu kritikal dan memilih akan lagu yang hendak mereka popularkan di corong radio namun begitu mudah menerima lagu-lagu "indah" dari Indonesia untuk dipopularkan kepada pendengar. Sudahnya, lagu-lagu Indonesia membanjiri siaran radio dan menyebabkan lagu-lagu Malaysia tidak diputar. Dalam satu jam siaran radio di Malaysia, lebih separuh lagu yang diputarkan adalah lagu-lagu Indonesia. Begitulah gamaknya.

Apabila hal ini diutarakan ke pihak pengurusan stesen radio, maka jawapan berikut akan dikeluarkan, "kami hanya memutarkan lagu yang ingin di dengar oleh pendengar." Justeru, disebabkan hawa telinga pendengar lebih senang menerima lagu Indonesia, maka seharusnya mereka memutarkan lagu Indonesia. Oleh yang demikian, disebalik menerima teguran daripada pihak pengkritik, stesen radio meletakkan tanggungjawab penerimaan lagu tempatan ke bahu pendengar pula kerana "pendengar yang hendak mendengar, jadi kami perdengarkanlah!"

Akhirnya, industri muzik di negara Malaysia lumpuh sehingga menyebabkan album yang diperkenalkan oleh penyanyi tidak laku. Ditambah pula dengan kebanjiran artis-artis realiti, artis-artis baru, artis-artis indie, cetak rompak dan saluran alternatif baru bagi mendengar muzik (seperti MySpace, You Tube), maka industri muzik Malayisa bertambah tenat dan jualan album bertambah susut. Kalau hendak diikutkan logik, pendengar tidak lagi perlu mendengar radio bagi mendapatkan muzik-muzik terbaru. Mereka boleh mendengar secara percuma (dengan membayar bil internet) akan lagu-lagu yang mereka inginkan.

Walaupun terdapat pelbagai reaksi tentang arahan kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, harus sekali arahan tersebut membuka mata kita tentang langkah kerajaan memelihara industri muzik negara daripada terus lumpuh dek buatan orang sendiri. Begitu mudah kita membiarkan kemasukan lagu-lagu daripada Indonesia sehingga radio kita lebih mudah memutarkan lagu-lagu mereka; keadaan yang bertentangan berlaku di Indonesia. Industri hiburan mereka dipelihara dengan baik bagi menyukarkan artis-artis serantau menembusi dengan sewenang-wenangnya media hiburan mereka. Sangat sedikit sekali penyanyi dan rancangan hiburan (seperti drama) Malaysia yang berjaya bertapak di sana namun berlambak-lambak pula drama sinetron, pemuzik-pemuzik sana yang bergiat cergas di Malaysia. Dari segi itulah juga kebudayaan mereka dapat mereka pelihara sehinggakan pelbagai tuntutan pun mereka boleh buat dan segala lemparan tuduhan terhadap kita.

Masih belum terlambat memelihara budaya kita.....Maka langkah tersebut merupakan pemula

 

Friday, November 27, 2009

Ke manakah perginya identiti kita?

Ke manakah perginya identiti kita?

Tajuk dan ulasan pojok /rencana hiburan di dalam akhbar kadang kala menarik dan wajar kita perhatikan akan kerelevenannya. Selain dari tajuk-tajuk popular seperti PR ini terlebih sudu dari kuah, atau artis itu sudah tidak tinggal sebumbung dengan suami/isterinya, ataupun artis sekian rapat dengan VVIP atau artis sekian, tajuk "Entah bila kita nak sedar" yang disiarkan akhbar Harian Metro
[1]
merupakan tajuk dan rencana yang menarik untuk kita bincangkan.

Dalam artikel tersebut, dibangkitkan isu dua ikon hiburan Indonesia (sebuah adalah kumpulan dan sebuah lagi penyanyi solo) menyanyikan semula lagu artis Malaysia yang popular dan bertaraf "malar hijau." Tindakan tersebut telah mengundang reaksi negatif oleh salah seorang daripada ahli kumpulan di Indonesia yang antara lain mengajak peminat dan penggiat seni Indonesia melestarikan lagu Indonesia yang indah-indah dan jangan lagi menyanyikan lagu Malaysia [2]. Lalu, artikel tersebut membuat ulasan yang panjang lebar tentang betapa teguh dan protectifnya media di Indonesia dalam mempertahankan seni budaya mereka dan betapa longgarnya pula media di Malaysia dalam bukan sahaja mempertahankan seni kita, malah dalam usaha mereka (pihak media) memahsyurkan seni budaya dan lagu Malaysia sendiri di arena sendiri.

Penulis kira, apa yang dibincangkan dalam artikel tersebut ada kebenarannya dan seandainya dilihat dari skop yang lebih luas, maka perkara yang sama juga akan dapat kita rasai. Selain daripada kita membiarkan dengan sewenang-wenangnya tayangan drama "mengarut" dan alunan muzik Indonesia di kaca televisyen dan corong radio, kita juga dengan mudah membiarkan sahaja warisan batik kita yang sudah semestinya jauh berbeza daripada batik Indonesia dimilikwariskan kepada negara Indonesia. Kita juga hanya mendengar dan bergosip situ dan sini tanpa sebarang tindakan drastik tatkala penyokong Manohara Odelia Pinot mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran mengutuk Malaysia dan membakar bendera Malaysia [3] sedangkan seharusnya mood pada ketika itu adalah mood pemilihan Presiden Republik Indonesia! Dalam erti kata lain, SBY menang sebab peduli apa SBY menang Mereka rela mempertahankan Manohara yang kononnya dalam keadaan sakit "didera" kerabat Kelantan yang sanggup pergi melakukan road show ke hulu dan ke hilir seolah-olah beliau dizalimi oleh Yang Maha Zalim lalu melambai-lambai dan melemparkan senyuman "pahit" daripada mendengar ucapan manifesto presiden daripada calon-calon presiden pada ketika itu![4] Blog-blog dan forum-forum tertentu begitu berkobar-kobar memburukkan Malaysia dan melaknat rakyat Malaysia disebabkan isu Manohara sahaja!

Sebaliknya, rakyat Malaysia tidak bersikap demikian. Mereka rela untuk menerima segala-galanya dengan pasrah. Tak apalah kalau batik itu menjadi "warisan Indonesia." Tak apalah melambak-lambaknya lagu-lagu Indonesia. Sedap didengar. Kita harus memberi peluang kepada kumpulan Indonesia bertapak di Malaysia. Mereka memberikan pulangan dan membuat pertukaran budaya. Kita pasrah apabila ada anak gadis kita yang dilarikan ke Lombok. Pasrah sahajalah. Berilah peluang anak gadis kita itu jadi warga Indonesia pula. Tak pun, kalau keluarga mereka di Indonesia itu hendak datang ke Malaysia, dapatlah tinggal bertahun-tahun di Malaysia, jadilah PR Malaysia. Kita mudah sekali hendak memberikan kembali kewarganegaraan Malaysia kepada rakyat Malaysia yang sudah melepaskan kewarganegaraan Malaysia sebab hendak jadi warganegara negara lain. Ahli politik kita memperjuangkan hak bekas warganegara. Kita begitu bersungguh-sungguh mempertahankan sekolah vernakular bagi menjaga budaya dan bahasa rakyat kita walaupun tindakan tersebut akan kekal mempolarisasikan kaum dalam rakyat Malaysia. Ahli politik kita berjuang biar satu papan tanda itu penuh dengan tulisan pelbagai bahasa; kalau boleh, bahasa Iban, Semang-Negrito, Senoi, Bidayuh pun kita hendak letak dalam satu papan tanda. Ahli parlimen/ADUN kita pun lebih selesa berbahasa Inggeris apabila menjawab soalan daripada wartawan – almaklumlah hendak jadi global gamaknya! Kita pasrah dengan kewujudan "China Town", "Souk Arabia", "Little Ranggon" "Little Africa" di bandar-bandar besar negara. Kita pun pasrah dengan kehadiran pak hitam datang kononnya belajar ke Malaysia tetapi ada diantara mereka yang membuat masalah itu dan ini di sini!

Dua puluh tahun nanti, kita pun tidak tahu apa yang akan berlaku dalam masyarakat Malaysia. Mungkin kita akan dipenuhi pelbagai unsur luar negara yang datang ke Malaysia... bak mengikut tagline pelancongan kita... Malaysia Truly Asia....!

P/s: Ke manakah perginya identiti kita....?

_____________________________

Nota hujung

[1] Ditulis oleh Norhadiani Baharom, 24 November 2009.

[2] Disiarkan dalam portal hiburan Kapanlagi.com.

[3] Penulis ada mengulas tentang kenapa berlaku reaksi yang berbeza antara Malaysia dan Indonesia, rujuk artikel penulis Perlunya Memahami Graviti di blog penulis, terbitan 15 September 2009.

[4] Perkara tersebut merupakan bingkisan pengalaman rakan penulis yang kebetulan berada di kota Jakarta tatkala pemilihan presiden yang terbaharu berlangsung. Apabila ditanya bagaimanakah keadaan penyokong politik di Indonesia, rakan penulis menjawab, "Tak ada perhimpunan kempen presiden... Yang ada ialah tunjuk perasaan besar-besaran menghentam Malaysia disebabkan isu Manohara. Begitulah hebatnya penangan Manohara, lebih hebat daripada calon presiden. Kalaulah pada ketika itu Manohara tawar diri jadi calon presiden, nescaya Manoharalah pemenangnya!

Monday, March 30, 2009

Akademi Fantasi

Pendahuluan: Pemilihan Umno

Pemilihan Umno telahpun tamat dan keputusannya sebagaimana yang telah terpampang di dada-dada akhbar pada minggu lepas. Penulis enggan mengulas dulu hal berkaitan dengan "kabinet baru" Umno dan kemungkinan kabinet baru selepas 4 April 2009; maklumlah, kita kena tunggu siapa yang dipilih dahulu baru berkomen. Andai benarlah tuntutan kononnya setiap mereka yang berjaya merebut jawatan di dalam Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Sayap pegerakan Umno mempunyai kebarangkalian tinggi untuk menjadi menteri/timbalan menteri kabinet, maka penulis tertunggu-tunggu juga apakah jawatan kabinet yang akan dipegang oleh YB Datuk Bung Mokhtar yang begitu lantang bersuara itu. Kita tunggu dan lihat sahajalah.

Akhbar Minggu: Berita Hiburan

Akhbar hari Minggu merupakan akhbar yang sangat penting untuk terbitan sesebuah syarikat surat khabar; lebih-lebih lagi yang berbahasa Melayu. Selain daripada disediakan temuramah yang menarik dan releven mengikut kehendak semasa; terdapat juga kolumnis-kolumnis tetap yang memberikan input yang baru dan pandangan-pandangan yang rencam; biasanya daripada orang kenamaan, ahli politik, menteri, ahli akademik dan pihak-pihak berkepentingan yang lain (seperti NGO, kesatuan dan sebagainya). Malahan, menjadi trend semasa akhbar hari minggu juga disertakan dengan satu sispan khas bersaiz tabloid untuk khusus untuk berita dan pojok hiburan; tak kiralah akhbar utama bersaiz biasa ataupun bersaiz tabliod juga!

Sebagai pembaca, penulis tidak ketinggalan membaca berita hiburan yang pada penulis dirasakan menarik; gosip-gosip artis dari pembukaan pekung artis oleh wartawan hiburan dan tidak kurang juga pujian melangit kepada artis yang digemari oleh wartawan. Sebab itulah, penulis tahu jugalah sedikit sebanyak tentang artis sekian-sekian ditangkap khalwat, artis sekian-sekian kantoi berdua-duaan di luar negara, artis sekian-sekian bersikap "kekwat" (satu istilah media yang penulis kurang arif maksudnya), artis sekian-sekian lari dari kontrak, artis sekian-sekian mendapat kontrak, artis sekian-sekian menarik rambut, artis sekian-sekian yang telah berkahwin sudah tidak duduk sebumbung (dah nak cerai lah tu..), artis sekian-sekian bertepuk tampar.

Pojok Leser dan persaingan media

Tidak kurang juga yang dapat dibaca adalah "pojok leser" daripada wartawan sekian-sekian yang mungkin agaknya sudah establish berkomen tentang artis. Biasanya, pojok leser ini bersifat satu hala dengan menonjolkan bahawa memang si pemojok sahajalah kononnya yang betul, "berasaskan sumber-sumber yang dipercayai." Contoh sumber-sumber yang tarafnya boleh dipercayai itu ialah seperti "kawan akak", atau "rakan joyah" atau "gadis X" atau "Mr. Y" atau "jiran saya"; begitulah adanya.

Pun begitu, dalam setiap apa perniagaan pun (termasuk akhbar harian/mingguan), pastilah faktor persaingan memainkan peranan dalam pasaran tersebut. Persaingan ini akan ditonjolkan melalui berita yang cuba disiarkan yang mana kesensasian berita itu menjadi salah satu faktor kepada harapan agar pembaca mengikuti sesuatu gosip. Maklumlah, kalaulah si artis A tu buat amal ibadat menderma di masjid, buat apa hendak dilanjutkan cerita tersebut sampai berminggu-minggu; kuat-kuatpun sekali keluar berita, sudahlah. Tetapi kalau artis sekian-sekian bergambar "suku/separuh bogel" atau "terdedah sini sana" atau gambar"dihadapan botol todi", berita sebeginilah yang sedap dibuat rencah untuk siaran setiap minggu berturut-turut. Tidak kurang juga kritikan pedas terhadap artis tertentu kerana kononnya tak layak pegang jawatan inilah, atau baru setahun jagung sudah jadi pengajar itulah, atau artis yang mulut celupar lebih daripada orang melatah ketika menjadi hakim untuk rancangan realiti itulah.. dan sebagainya.

Pengetua AF baru

Penulis hendak kaitkan dengan satu isu tentang pengetua AF yang baru, Tiara Jacquelina yang mendapat kritikan pedas daripada satu pojok yang disiarkan oleh satu tabloid mingguan bagi satu akhbar hari minggu; minggu lepas, 22 Mac 2009 (Kita gelar Akbar B). Memang penulis acap kali juga membaca pojok berkenaan sebab kadang kala terhibur dengan sikap "diva" pemojok yang seakan tahu segala-galanya dalam dunia artis; hatta dalam isu minggu lepas, beliau (si pemojok tadi) dengan yakinnya mengatakan bahawa pengetua AF yang baru berkenaan tak tahu baca nota muzik. Namun, Tiara membalas dakwaan tersebut di sebuah lagi akhbar tabloid mingguan pada minggu berikutnya 30 Mac 2009 di satu lagi akhbar hari minggu yang menjadi pesaing kepada Akhbar B tadi (mari kita gelarnya sebagai Akhbar M) dengan mengatakan bahawa beliau usahkan nota muzik, guitar pun beliau pandai main!

Begitulah adat persaingan. Saling menkritik sampai tak buat homework! Awak apa tau cik akak oiiiii.... Penulis pun lagilah, apa yang penulis tahu? Usahkan Akademi Fantasia, Astro pun penulis tiada di rumah! Tetapi, etika kewartawanan tetap kita kena jaga tidak kiralah kita menulis dalam bidang hiburan, ekonomi, politik, sukan atau luar negeri. Kenapa pula tidak dibuat dulu "kajian kepustakaan" terhadap seseorang personaliti sebelum mengkritiknya. Mengkritik adalah satu aras (level) yang lebih tinggi berbanding menghurai (describe). Dalam bidang keilmuan atau apa-apa bidang pun, pengkritik perlulah menguasai subjek tersebut sebelum boleh mengkritik isi di dalam subjek tersebut. Jadi, wartawan perlulah menguasai sesuatu isu/mengetahui sepenuhnya latar belakang artis sebelum membuat kritikan terhadap isu/artis terbabit. Datin Tiara yang sudah lama dalam industri hiburan pun awak tak tahu beliau belajar apa, apa achievement beliau, pandai main muzik ke tidak, awak dah nak kritik; Gelabahnya!

Lebih daripada itu, pengkritik yang sekadar tahu mengkritik tanpa memberikan cadangan adalah pengkritik taraf picisan yang belagak sahaja mengkritik. Kalau agak-agak tak boleh hendak diantarabangsakan muzik di Malaysia, bagilah cadangan yang bernas dan rencam untuk mengatasi masalah tersebut. Tau kritik tak tahu bagi pendapat; itu bukan kritik, itu kutuk namanya! Penulis sendiri mengkritik dalam tulisan penulis, namun pada akhir tulisan penulis akan cadangkan bagaimanakah kita hendak tambahbaikkan lagi keadaan. Itu prinsip seorang pengkritik. Kalau tidak, kita tidak ubah macam penulis/wartawan biasa yang sekadar melaporkan sahaja apa yang berlaku "ikut sedap diri sendiri sahaja" Baik tak payah buat pojok. Seseorang yang sudah ada kolum sendiri/menjadi kolumnis sepatutnya mengeluarkan satu tulisan yang lebih tinggi tahapnya berbanding wartawan biasa. Apabila dikatakan "tahap lebih tinggi" bukanlah bermaksud lebih akademik semata-mata, namun isinya sepatutnya lebih rencam, bukan sahaja mengutuk, namun seharusnya membina. Kalau tidak, tak payah lah nak buka kolum; jadi sahajalah paparazi ke hulu ke hilir hentam keromo orang ini, kutuk orang itu.

Tetapi, penulis berasa cukup terhibur dapat membaca pojok-pojok yang berada di dalam akhbar. Kritikan atau kutukan yang diberikan memang "kaw kaw." Dan perang media yang saling cuba mengatasi antara satu sama lain sama ada akhbar B atau akhbar M sememangnya kadang kala dapat dilihat juga. Macam kes Tiara tadi, sebab pojok B yang keluarkan dahulu kritikan kepada beliau, beliau balas balik kritikan tersebut dalam ruangan di akhbar M.

Penulis sendiri kurang setuju lepasan AF keluar-keluar ada yang jadi pelakonlah, atau ada yang jadi DJ lah. Penulis ibaratkan keluaran AF yang tidak menjadi penyanyi namun menceburi bidang hiburan lain seolah-olah seorang pelajar BBA (Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan) pengkhususan Kewangan yang selepas tamat belajar menjadi seorang pegawai pemasaran. Bidang core/asas itu tetap sama – business/perniagaan, namun utilitasi pengetahuan tentang kewangan tidak digunakan sepenuhnya seandainya beliau menjadi seorang pegawai pemasaran (sebetulnya beliau patut mejadi pegawai kewangan!).

Sebab itulah, sepatutnya keluaran AF ini mengeluarkan album vokal dahulu barulah boleh kalau hendak jadi DJ ke, atau nak jadi pelakon. Pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil kira matlamat membuat AF, menghasilkan penyanyi dan bukannya pelakon. Tambahan pula, AF dilengkapi tenaga pengajar dan dikhabarkan, kononnya ada juga pakar motivasi. Gunakanlah segala utiliti yang ada untuk melahirkan penyanyi. Kalau tidak, atau kalau mahu lebih luaskan lagi skop AF, binalah silibus baru yang mempunyai unsur-unsur lakonan, cuba pikat direktor tertentu untuk membimbing mereka untuk menjadi all rounder. Ini tidak, popular AF jadi DJ. Lepas itu memanjang buat silap semasa baca berita terkini kata orang itu mangkat lah, atau salah sebut nama orang lah. Kalau nak latih jadi DJ, sepatutnya ada akademi DJ (tidak silap, dulu Radio 4 atau Traxx FM ada membuatnya).

Pengkritik/Hakim AF pun kenalah cakap tu "sampai pada ilmunya" Sebagai hakim/ pengkritik kenalah cakap berasaskan ilmu yang kita ada. Kalau setakat cakap "awak menyanyi tiada feeling" atau "lagu baik awak jadikan buruk", budak sekolah Darjah 6 pun boleh cakap macam itu. Apa yang perlu untuk "feeling" itu? Bahagian mana lagu yang baik tu jadi buruk? Takkan satu lagu tu dinyanyikan buruk? Kalau tiada satu bahagian pun lagu itu dinyanyikan baik, bukannya masalah penyanyi tu nyanyi lagu dengan buruk, lagu tu sendiri mungkin sebenarnya buruk! Sepatutnya, hakim/pengkritik mengikuti latihan peserta setiap hari untuk lihat progress peserta; bolehlah peserta tanya tang mana yang hendak ditambah baik menurut persepsi hakim/pengkritik; bukannya satu minggu sekali pandai mengata itu dan ini tetapi tidak langsung dihuraikan apa yang beliau nak. Kalau setakat cakap suara awak macam katak, tang mana suara tu boleh macam katak? Kalau dah suara peserta itupun dah macam katak, kenapa sejak dari awal lagi tidak disingkirkan sahaja peserta tersebut. Pengkritik sepatutnya terlibat sejak awal lagi pemilihan peserta; untuk menyingkirkan suara katak, atau suara nenek kebayan. Cakap berapi macam tahu sangat tapi input kosong. Buatlah muka bangga kritik orang macam dia tu tahu sangat!

Mengantarabangsakan artis kita

Satu lagi, dalam hal mengantarabangsakan muzik Malaysia, ia merupakan satu usaha yang sepatutnya digembling oleh semua pihak termasuk wartawan media hiburan sendiri. Politiking media hiburan kadang kala tidak kurang hebatnya berbanding politiking parti politik di Malaysia. Justeru usaha mengantarabangsakan itu perlu dicetuskan dahulu, tidak kiralah sama ada ke seberang tambak ke, ke seberang Sungai Golok ke, atau merentasi Selat Melaka ke; sesuatu usaha perlu dilakukan.

Mungkin salah satu usaha yang boleh dilakukan adalah pertukaran/perkongsian bijak bagi kedua-dua pihak yang berkaitan. Contohnya, bagi membenarkan pemuzik pasaran Indonesia memasarkan muzik mereka di Malaysia, kita boleh tetapkan satu MoU dengan pihak media di Indonesia untuk memasarkan muzik Malaysia di Indonesia. Barulah wujudnya situasi quid pro quo dalam usaha ini. Kalau kita benarkan muzik mereka sahaja sewenang-wenangnya masuk ke negara kita tanpa kita sendiri hendak menjadikan situasi tersebut sebagai satu peluang, memang sampai bila pun Mawi cuma jaguh kampung yang popular di negara sendiri sebab keuntungan cuma sebelah pihak!

Penutup: Peranan wartawan hiburan kita

Intiha, penulis harapkan wartawan terutamanya dalam hal ini, wartawan hiburan kini menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat untuk membina masyarakat di negara kita. Kurangkan berita berkaitan artis ini "kekwat" lah, atau artis itu keluar dengan boyfriend sekianlah. Betul, mata pena wartawan tidak boleh membunuh; akan tetapi, buat apa kita hendak bunuh sedangkan kita boleh menghidup dan membina? Cubalah siarkan pula aktiviti artis sekian-sekian cuba berkempen untuk kitar semula, atau artis sekian-sekian dulu merokok sekarang sudah tidak merokok dan menyampaikan kepada peminat cara-cara untuk berhenti merokok (kata Pok Nik, hok yang merokok tu lagi hina dari lembu!), atau membantu artis sekian-sekian untuk meningkatkan prestasi, atau artis sekian-sekian membuat kempen gaya hidup sihat, atau artis sekian-sekian (yang bukan penyanyi nasyid atau qasidah) mampu mengajak orang muda pergi masjid, atau artis sekian-sekian dapat mengajar ilmu dan pengetahuan tentang hiburan dan seni (vokal, penguasaan pentas, gaya lakonan, method acting, tone, lukisan). Marilah kita membina bukan semata-mata menghancur. Bak tagline rancangan Melodi yang mereka sendiri kadang kala tak ikut, "kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi!"

Thursday, January 8, 2009

Apabila Majlis Kahwin Pun Jadi Hak Eksklusif...

Suka atau tidak, artis merupakan salah satu cara bagaimana pihak media mendapatkan keuntungan sama ada melalui televisyen, radio, akhbar mahupun majalah. Berilah alasan apa sahaja – sudah memang kehendak peminat; peminat berhak tahu segala-galanya; peminat yang menentukan cerita mana yang perlu keluar dalam media; haruslah yang paling banyak mendapat keuntungan daripada seseorang artis itu adalah media. Semasa artis itu popular, ke hulu ke hilir media akan kejar sampaikan artis terpaksa menyorok bagi melarikan diri daripada dikejar pembawa berita. Tetapi apabila artis itu dah tak dipanggil artis, sudah tentu commercial value pun sudah tiada, siapa yang nak mengangkut kamera mencari artis tersebut?!

Sesudah daripada itu, semenjak perkahwinan Siti Nurhaliza, seolah-olah menjadi trend pula akan majlis perkahwinan "eksklusif" yang dimomokkan media. Walaupun pada dasarnya, penulis pun sendiri kurang bersetuju: mengapa pula majlis perkahwinan artis sampai ditayangkan dalam televisyen; ada faedah besar kepada orang yang menonton kah? Mungkin majlis yang "gilang-gemilang" yang ditayangkan di televisyen akan memberi idea baru kepada bakal mempelai yang menonton akan konsep majlis perkahwinan mereka pula kelak. Atau mungkin menjadi pengajaran kepada masyarakat tentang budaya dan adat resam perkahwinan Melayu. Katakanlah apa sahaja, namun kalau sesuatu perkahwinan itu tiada commercial value – apa gunanya ditayuangkan dalam televisyen?! Kalau tiada hak eksklusif, buat apa hendak ditayangkan perkahwinan orang lain?!

Lucu juga membaca tabloid hiburan dan menonton siaran Melodi berkaitan perkahwinan salah seorang artis paling popular tanah air. Sampaikan wartawan (yang bukan Astro) hendak masuk Masjid Sultan Abu Bakar pun kena halau. Apakah pemandangan dalam masjid yang suci lagi berkat itupun menjadi hak eksklusif pihak berkenaan sampaikan pada suatu ketika yang tertentu, orang tidak boleh masuk sebab berlangsungnya perkahwinan? Hal ini sudah mengalahkan protokol DiRaja! Kalau nak buat eksklusif sangat, buatlah di atas pulau yang tiada orang yang boleh datang! Atau pergi buat di gua-gua batu kapur yang hanya media tertentu sahaja yang boleh sampai. Atau buatlah di hotel-hotel mewah yang hanya boleh dibayar oleh mereka-mereka yang mampu. JANGAN JADIKAN MASJID SEBAGAI TEMPAT EKSLUSIF UNTUK MENGAUT KEUNTUNGAN DUNIAWI ITU! Masjid tempat awam, bukannya tempat eksklusif.

Seharusnya pihak yang berkahwin sedar- tujuan walimatul-urus adalah untuk menghebahkan perkahwinan. Kalau tidak mahu perkahwinan dihebahkan, usah buat walimatul-urus. Jemput sahaja mereka yang eksklusif yang datang. Usah disebutpun bila tarikh perkahwinan. Sebab perkahwinan itu eksklusif; hanya yang eksklusif sahaja yang dijemput; buat apa dihebahkan kepada umum? Beritahu sahaja kepada yang eksklusif. Biar yang eksklusif itu simpan, lepas itu yang eksklusif sahaja yang perlu datang dan perlu meraikan perkahwinan – tak begitu? Lagi satu, seeloknya benda yang eksklusif tak usah dibuat di tempat ibadah yang sememangnya tempat umum. Lebih baik dibuat di rumah atau di tempat-tempat lain yang lebih khusus. Jangan ganggu orang yang hendak beribadah di rumah Allah.

Hasrat dan matlamat walimatul-urus yang sedemikian (yang eksklusif) sebenarnya tidak mencapai matlamat sebenar walimatul-urus. Mungkin sebab faktor artis yang kahwin, maka perkahwinan itu menjadi eksklusif. Kalau Ahamad bin Abu yang kahwin, belum tentu jadi eksklusif kalau beliau tidak berkahwin dengan artis, ahli politik atau orang kenamaan. Sudahnya, yang benar-benar untung pada masa perkahwinan yang eksklusif adalah pihak eksklusif yang menayangkan/membuat liputan perkahwinan yang sebenar-benarnya tidakpun "satu malaya" ni nak tonton! (Penulis masih gagal mencari faedah lain yang akan penulis peroleh andai menonton majlis perkahwinan eksklusif di televisyen; responden sila tambahkah ilmu dan pengetahuan penulis)

P/s : Agak-agaknya lah kan, ada tak majlis penceraian yang eksklusif? Ha... tv boleh buat duit ni!