Sunday, October 23, 2011

Allahu akbar ! Kuasa rakyat kembali !.... Tapi....



  • Kematian Muammar Gaddafi merupakan cerita yang terhangat di pasaran sepanjang minggu ini.
  • Pemimpin yang memerintah Libya lebih 40 tahun telah dibunuh oleh rakyatnya sendiri dengan tragis. Beliau berumur 69 tahun.
  • Bagi sesetengah pihak, kematian beliau merupakan simbol kejayaan 'demokrasi' menentang kediktatoran. Kemenangan untuk rakyat Libya. Kemenangan untuk kuasa rakyat.
  • Lalu ditayangkan kemewahan hidup beliau, pistol emas miliknya, segala harta benda mewah miliknya, kubur-kubur penentang-penentangnya, perangai-perangai pelik dirinya serta berbagai-berbagai perkara yang membawa konotasi negatif tentang dirinya.
  • Kemudian kejadian tragis ke atas beliau dibandingkan  dengan gelombang kebangkitan Arab yang lain; daripada Tunisia, Mesir, Yaman dan Syria bagi merasionalkan gelombang rakyat menentang kekejaman kuku besi. Tumbangnya pemimpin tertinggi disebabkan kuasa rakyat. Rakyat akan menjadi 'raja' jua.
  • Justeru, ada yang mengaitkan kebangkitan rakyat Arab dengan gelombang rakyat di negara lain juga; misalnya kalangan rakyat Malaysia yang sangat-sangat teruja dengan tumbangnya Hosni Mubarak tempoh hari dan 'gelombang Dataran Tahrir.' Mereka ingin menterjemahkannya di sini. Tapi sama ada sekufu konteksnya dengan di sana, tidaklah mahu tulisan ini membincangkannya.
  • Cuma daripada satu segi, tatkala pemimpin Barat begitu meraikan kejayaan rakyat Libya membunuh Gaddafi, timbul satu isu, kenapa?
  • Kenapa gerakan menentang diktator di Libya itu begitu disokong Barat; bukan sekadar pada ucapan sahaja, malah bantuan ketenteraan juga diberikan?
  • Berbanding kejatuhan Bin Ali dan Hosni Mubarak, kebangkitan Libya hadir berbulan-bulan selepas cetusan pertama 'kebangkitan Arab.'
  • Namun, rakyat Libya dibekalkan bantuan ketenteraan bagi menggulingkan Gaddafi.
  • Bermula dengan US yang hendak memberikan bantuan ketenteraan, namun disebabkan persepsi buruk perang Iraq, 'perang US di tanah Iraq,' kewangan yang semakin sengkek, US mengheret pula persekutuan yang disertainya, NATO untuk menjayakan misinya mengembalikan demokrasi kepada rakyat Libya.
  • Dalam masa sebulan-dua sahaja, rakyat Libya berjaya menggulingkan Gaddafi dengan bantuan NATO seterusnya mungkin mencatat sejarah sebagai kempen perang yang paling singkat yang membabitkan Barat ke atas bumi orang.
  • Maka, secara tidak langsung kejayaan ini menjadi perangsang yang cukup-cukup besar kepada imej Barack Obama sebagai Presiden US yang sangat berjaya dalam misi US menentang paksi-paksi kejahatan.
  • Masakan tidak, dalam masa kurang sepenggal Obama berada di puncak kuasa, Osama Bin Laden berjaya dibunuh dan terkini, kempen ekspress membabitkan US membuahkan hasil yang begitu lumayan.
  • Hal ini berbeza jika dibandingkan pendulunya George W. Bush yang memerintah US dua penggal namun hanya dapat melabur begitu banyak wang kepada peperangan namun hanya Saddam Hussein sahaja yang berjaya digantung. Sedangkan perang ciptaan US bermula seawal 2001!
  • Tidak hairan apabila ada penganalisis politik-ekonomi antarabangsa yang memberi pandangan bahawa kekayaan sumber petroleum Libya merupakan daya tarikan mengapakah US dan Barat begitu bersemangat 'membantu' rakyat Libya berbanding negara-negara Arab lain yang mengalami revolusi pemerintahan.
  • Setelah Libya dilunyaikan, sudah tentu negara tersebut perlu dibangunkan semula dan pada ketika itu, peranan dan khidmat US dan negara-negara yang membantu dalam penggulingan mungkin akan digunakan; atau mungkin mereka akan dipaksa untuk menerimanya. Syarikat-syarikat besar Barat mungkin akan dapat didirikan di negara kaya sumber asli di Afrika Utara itu sedangkan sebelum ini, dasar Gaddafi tidak memihak kepada keadaan itu.
  • Maka tatkala itu memang benarlah penglibatan NATO merupakan serampang dua mata yang memberikan faedah dan manfaat yang besar kepada negara-negara yang menyertainya.
  • Sedangkan semua orang pun tahu (iaitu yang sedar) bahawa keadaan ekonomi US dan Eropah saban hari semakin tenat.
  • Dan andai benar terdapat kemasukan perniagaan besar daripada Barat kelak, perkara tersebut akan menjadi bukti kekemarukan Barat terhadap sumber komoditi negara orang untuk membina negara sendiri.
  • Selepas itu, tiadalah timbul isu demokrasi meski seandainya rakyat Libya masih berbalah, bergaduh dan bertelangah sesama sendiri bagi mencari pemimpin tertinggi mereka di sana.
  • Yang pasti, sejarah lebih 40 tahun Libya dibawah pemerintahan Gaddafi lenyap dalam janga masa kurang setahun. Hanya rakyat Libya sahaja yang tahu kemahuan mereka dan harapan yang mereka dambakan.
  • Tambahan  pula, kejadian yang berlaku ke atas Suharto, Saddam Hussein, Hosni Mubarak dan yang terbaru Muammar Gaddafi memberikan amaran bahawa mereka yang melancarkan coup satu ketika dahulu boleh ditumbangkan dengan coup juga seperti Robespierre lewat 'masa keganasan' revolusi Perancis.
  • Moga-moga berbaloi pembunuhannya kepada rakyatnya ditambah dengan perlakuan terhadap sekujur jasad Gaddafi dengan cara yang tidak bermaruah dan tidak berperikemanusiaan umpama patung atau token perang.
  • Kerana andai dibandingkan dengan kempen ketenteraan US di Iraq, masih banyak yang belum selesai dan orang awam terbunuh saban hari setelah bertahun-tahun tentera negara Uncle Sam itu berada di sana.
  • Semuanya atas nama demokrasi rakyat...
  • Yang tentunya memberi sumber mudah kepada negara Amerika dan Barat....

Artikel berkaitan

Tuntutan berdemonstrasi, alatan demokrasi; demokrasi itulah alat!

1 comment:

STEADYAKU47 said...

saudara

Maaf saya tidak meminta izin - sudah post artikel saudara di blog saya - good article to be shared with others. Salam.

HH