Monday, September 30, 2013

Idaman Penuntut

 

Tatkala penulis melihat-lihat judul buku-buku yang dijual di Badan Cemerlang yang terletak di Plaza Angsana, penulis terpandang tiga jilid buku yang relatifnya lebih nipis berbanding buku-buku yang lain sekitarnya. Tambah menarik, buku-buku tersebut bersaiz lebih kurang A4, satu saiz yang amat jarang bagi buku-buku terkini dengan kulit nipis. Penulis menatap sungguh-sungguh kulit buku tersebut sambil terasa sangat teruja dengan apa yang sedang penulis pegang. Dua daripadanya bertulisan rumi sementara satu lagi bertulisan jawi. Memang tidak salah lagi, ketiga-tiganya ialah susunan penulis yang sama iaitu Al-ustaz Abdul Ghani Yahya. Ketiga-tiga naskhah tersebut ialah siri Ilmu Fiqh yang dinamai Idaman Penuntut pada Menghuraikan yang Kusut.

Penulis harus akui tidak banyak yang penulis tahu tentang penyusun atau pengarang kitab terbabit selain daripada apa yang tercatat di Pendahuluan. Setidak-tidaknya, apa yang penulis difahamkan ialah beliau ialah seorang guru agama dan terlibat dalam penyusunan silibus pembelajaran sekolah agama dalam sistem persekolahan agama Kerajaan Johor suatu ketika dahulu. Atas permintaan anak-anak muridnya, beliau menyusun kitab Idaman Penuntut ini sebagai rujukan pelajaran ilmu fiqah kepada pelajar-pelajar terutamanya yang berada antara Darjah 4 hingga Darjah Khas sekolah agama Kerajaan Johor. Hasrat yang disampaikan bermula selepas beliau berpencen pada 1967 dan hanya mula direalisasikan pada akhir 1982. Jilid pertama bagi siri kitab ini diterbitkan pada April 1983 dengan penekanan terhadap topik-topik Ibadah dengan topik pertama ialah tentang bersuci dan topik terakhir berkenaan makanan. Bolehlah dikatakan jilid pertama meliputi kesemua pelajaran berkenaan ibadah fardhu ain meliputi sembahyang, puasa, jenazah, zakat, dan haji dan umrah.

Jilid kedua pula menyusul dengan topik-topik yang berkaitan dengan dua bidang fiqah iaitu muamalat dan munakahat sementara jilid ketiga menyentuh topik-topik berkenaan faraidh dan jenayah Islam. Oleh hal yang demikan, ketiga-tiga jilid bagi siri ini menyentuh segenap perbincangan tentang fiqah Islami. Edisi awal ketiga-tiga jilid ialah dalam tulisan jawi sebelum pada masa kini, sekurang-kurangnya dua jilid terawal dialihtulisankan kepada tulisan rumi. Penyusun/pengarang kitab tersebut ada menyatakan bahawa rujukan utamanya dalam penyusunan kitab itu ialah Matla'al Badrain, Al-Baijuri dan Bujairimi Iqna' yang masing-masing merupakan naskhah-naskhah lama yang cukup diraikan dalam pengajian agama sama ada formal mahupun tidak formal. Kitab-kitab rujukan itu, sungguhpun cukup berjasa dalam pengajian Islam dalam masyarakat Melayu/Islam di Malaysia dan Kepulauan Melayu, jelas mempunyai laras bahasa yang agak keterbelakang berbanding Bahasa Melayu terkini selain susunan berbentuk satu perenggan berterusan yang hanya dipisahkan dengan penanda wacana.

Oleh sebab itu, penyusunan Idaman Penuntut memudahkan orang ramai, terutamanya pelajar sekolah agama Kerajaan Johor untuk menelaah pelajaran fiqah yang menjadi subjek-subjek teras bermula Darjah empat hingga Darjah Khas. Sekadar berkongsi pengalaman sendiri, pembelajaran fiqah di sekolah agama Kerajaan Johor meliputi lima mata pelajaran iaitu Ibadat, Muamalat, Munakahat, Faraidh dan Jenayat. Sebelum zaman penulis, kitab seperti Matla'al Badrain masih lagi menjadi pilihan rujukan bagi tenaga pengajar sekolah agama walaupun kitab/risalah khas untuk setiap subjek sudah disediakan oleh pihak Jabatan Agama Johor. Jadi, Idaman Penuntut memudahkan pelajar (tidak kurang guru juga) membuat rujukan fiqah lantaran susunannya lebih sistematik, dihadirkan dalam bentuk tajuk besar, tajuk kecil dan poin-poin yang memudahkan rujukan pembaca. Kewujudan edisi rumi tambah memudahkan lagi pembacaan penelaah yang tidak begitu fasih membaca jawi.

Idaman Penuntut Jld 1

 

Secara umumnya pula, Idaman Penuntut ialah sejenis kitab fiqah Mazhab Syafie sesuai dengan suasana dan keadaan masyarakat Islam Malaysia. Dari hal itu, pembaca yang berpegang pada mazhab itu tidak banyak menemui pandangan yang bertentangan dengan pegangan masyhur Mazhab Syafie di Kepulauan Melayu (seperti mughalazahnya seluruh babi, anjing dan kacukan mereka berdua, sunatnya qunut Subuh dan talkin mayat). Pun begitu, pandangan penyusun seperti tidak wajar menambahkan perkataan Saidina semasa berselawat kepada Nabi selepas tahiyat akhir (jilid 1, nota kaki 1., m.s. 27) dan membidaahkan orang datang berkumpul untuk jamuan makan di rumah si mati (jilid 1, m.s. 63) memperlihatkan sedikit sisi perbezaan pendapatnya berbanding dengan amalan dan kepercayaan tradisional yang didakwa sebagai pandangan Mazhab Syafie yang masyhur.

Dan daripada segi pendalilan, jelas sekali pengarangnya sangat bergantung kepada tiga sumber rujukan utama sambil kadang-kala membandingkan kewujudan perbezaan pendapat antara ketiga-tiga kitab itu. Misalnya dalam persoalan ungkapan Saidina dalam selawat tadi, beliau mengutarakan pendapat bagi kedua-dua kitab rujukannya iaitu Al-Baijuri dan Bujairimi Iqna', lalu mengunggulkan isyarat daripada Bujairimi Iqna' untuk tidak menambah kalimah tersebut semasa selawat dalam sembahyang. Akan tetapi, beliau berdiplomasi dengan menjelaskan kesetujuannya agar perkataan Saidina ditambah dalam selawat di luar sembahyang. Dalam banyak keadaan, pengarang memberikan pendalilan terhadap sebarang rukun, jenis dan syarat namun bukan kesemua perkara diberikan dalilnya. Matlamat penulisan kitab ini pun lebih kepada memenuhi tuntutan pelajaran sekolah agama, jadi pengisiannya jelas cukup sesuai untuk peringkat asas pengenalan fiqah.

Secara keseluruhannya, harapan penyusunan kitab bagi memudahkan pelajar untuk menelaah ilmu asas fiqah bolehlah dikatakan tercapai dengan pembaikan kepada gaya bahasa yang lebih mudah difahami. Tambahan pula bilangan muka suratnya yang tidak tebal cukup ideal memudahkan pembelajaran isi-isi penting berkaitan ibadat, muamalat, jenayat, faraidh dan munakahat. Sungguh pun diterbitkan pada 1984, ciri-ciri seperti menonjolkan pandangan daripada kitab-kitab fiqah melayu klasik/semiklasik cukup membuatkan Idaman Penuntut seperti ringkasan atau penerangan ringkas ilmu yang terkandung dalam kitab Melayu klasik/semiklasik. Bagaimanapun, untuk mengangkatnya sebagai kitab fiqah yang benar-benar lengkap dengan pendalilan dan ulasan panjang lebar mengenai fiqah Mazhab Syafie mungkin menuntut syarah/ulasan dibuat terhadap teks asalnya. Atau kitab ini perlu dijadikan teks pengkuliahan di majlis-majlis ilmu seperti di masjid-masjid agar penerangan yang lebih konprehensif dapat diberikan oleh tok-tok guru yang mengkuliahkannya.

Apa pun, perkara ini tidak sama sekali menafikan keistimewaan Idaman Penuntut sebagai kitab-kitab rujukan untuk ilmu fiqah permulaan yang sewajarnya diketahui oleh setiap umat Islam. Sekurang-kurangnya, kitab ini menjadi antara rujukan tambahan yang penting bagi kurikulum sekolah agama Kerajaan Johor sehinggalah pada tahun 1994 yang menyaksikan permulaan era baru rujukan rasmi sistem persekolahan tersebut. Dan penulis ketika itu merupakan 'batch' pertama peralihan daripada kitab nipis tanpa sebarang gambar kepada buku teks sederhana tebal yang bergambar hitam putih terbitan Synergymate.

Friday, September 27, 2013

Kalau mak bapak pun dah macam tu...

 

Penulis membesar sebagai antara Generasi Y terawal yang lahir dan mengalami zaman remaja awal pada awal alaf ini. Menurut jargon kajian sosial dan pemasaran yang berpangkalan di US, Generasi Y dikatakan sebagai generasi 'dot com' yang terdedah dengan pelbagai kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi pada awal usianya. Tidak hairanlah juga kerana pembinaan produk perkhidmatan sosial bermula pada awal pertengahan dekad pertama milenia sambil capaian internet di Malaysia juga menjadi semakin rancak pada waktu itu. Kini, orang bercakap tentang capaian LTE berbanding sepuluh tahun dahulu yang menggunakan modem 'dial-up' dengan kelajuan yang standard.

Itulah serba sedikit hal tentang generasi penulis. Mereka inilah yang dikatakan semakin tak bertanggungjawab, tidak menghargai apa yang telah tersedia ada dan kurang matang. Peperiksaan dan penilaian di sekolah atau universiti pun penuh dengan kaedah cut and paste yang menghasilkan pelajar mesin cetak, sebagaimana yang pernah penulis beberkan dahulu. Pada masa yang sama, Generasi Baby Boomer yang paling banyak menjana pendapatan dunia masa kini semakin berkurang dan berkurang. Mereka semakin ditelan dek zaman dan kini, menjalani kehidupan pada usia senja. Tempat mereka sudah banyak diganti oleh Generasi X yang merupakan generasi Pasca-Perang Dunia ke-2. Generasi ini biasanya namun tak semestinya mempunyai zuriat yang kini dipanggil sebagai Generasi Z. Generasi Z sering dikaitkan dengan mereka yang lahir selepas kejadian pepijat alaf yang pernah menggemparkan dunia seluruhnya pada ketika itu. Dalam konteks sekarang ini, merekalah yang dikaitkan sebagai golongan yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa hadapan dan merupakan 'anak-cucu kita' dalam frasa, 'Kita hanyalah meminjam sumber dan negara ini daripada anak-cucu kita.'

Itu sekadar sedikit ulasan penulis tentang generasi. Apa yang sebenarnya ingin penulis utarakan ialah mak bapak pada masa kini tanpa mengira generasi mana mereka dikelaskan dalam jargon sosial dan pemasaran. Mungkin tertakluk kepada persekitaran tempat tinggal penulis sahaja, namun ungkapan seperti 'aku tumbuk karang, bersepai muka!' atau 'kan aku dah bagitau, jangan ambil, bodoh!' dan ‘engkau ni bangang ke apa tak faham-faham bahasa’ merupakan antara ungkapan yang sering penulis dengari yang terkeluar daripada mulut seorang ibu kepada anaknya yang berumur bawah sepuluh tahun. Sangat sering perkataan bodoh itu diucapkan daripada seorang ibu kepada si anak.

Sudah tentulah perkara ini sangat membimbangkan kerana bukankah kata-kata si ibu itu satu doa? Penulis pun hairan mengapakah ibu bapa masih menggunakan kata-kata kesat menunjukkan ekspresi ketakpuasan hati kepada anak sedangkan kita sudah melepasi dekad pertama alaf ini dengan pelbagai capaian maklumat keibubapaan. Buku berkenaan keibubapaan berlambak di pasaran, apatah lagi dengan maklumat daripada internet. Begitu juga dengan rancangan televisyen yang turut menayangkan pelbagai rancangan-rancangan motovasi keibubapaan dengan ahli-ahli panel yang bukan calang-calang daripada ustaz-ustazah, doktor-doktor penceramah dan pencetus inspirasi dan tunjuk ajar. Itu belum dicampur dengan pelbagai program kem-kem motovasi dan seminar-seminar kekeluargaan atau keibubapaan yang biasanya akan melibatkan si ibu bapa dan anak-anak menitiskan air mata haru dan sebak lantaran penyedaran yang dibuat oleh si penceramah yang cukup terkesan oleh peserta.

Jadi, seandainya kita kembali kepada teori generasi tadi, generasi anak-anak sekarang ini ialah Generasi Z sementara majoriti ibu bapanya ialah Generasi X, adakah kita akan mengatakan Generasi X masih tak geti-geti lagi nak jaga anak sampai masih memaki-hamun anak-anak dengan carut-marut? Tak taulah sekiranya ada yang hendak mempertahankan perkataan bodoh itu ialah satu dialek yang biasa digunakan oleh daerah-daerah tertentu di Malaysia! Tentulah ada yang akan mengeluarkan andaian, bahawa keadaan itu ialah kes terpencil, atau penulis sekadar menyatakannya kerana hanya berlaku di persekitaran penulis, atau segala-galanya memang dah ada, terpulanglah kepada mak bapak sekarang ini nak ajar anak dia; jadi bukannya masalah generasi. Segala keperluan untuk menjadi ibu bapa yang baik telah tersedia dan terpulanglah kepada si ibu bapa untuk memanfaatkannya. Kalau ibu bapa tu tak tonton Semanis Kurma atau Motivasi Pagi atau Tanyalah Ustaz/Ustazah, bukannya salah semua orang!

Oleh sebab itu, sebagaimana tiada satu pun di antara kita tidak mahu dilabel dengan konotasi negatif, sebegitulah juga seharusnya stereotype itu perlu dihentikan bagi mengatakan generasi sekian ialah generasi yang tidak matang, tiada soft skill atau terlalu lembik untuk berhadapan dengan cabaran mendatang. Sebagaimana yang pernah diiklankan dalam satu drama bersiri daripada US yang bermaksud, perubahan ialah satu-satunya perkara yang malar. Jadi, seharusnya kesemua orang perlu menghargai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Banyak faktor yang menyebabkan anak-anak muda sekarang ini melihat dunia daripada kaca mata yang berbeza; sementelah mereka mungkin tidak merasai malam hari dengan pelita api dan mandi harian di sumur atau di sungai, bukan bermakna mereka tidak mensyukuri nikmat.

Kepada ibu bapa pula, tanpa mengira generasi yang mana, ingatlah bahawa anak-anak merupakan kurniaan Tuhan yang tiada nilai gantinya kerana merekalah yang akan menjadi salah satu amalan yang berterusan walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia. Tambahan pula, anak-anak jualah yang diharapkan menjelang masa tua kelak untuk berbakti menjaga orang tuanya yang tidak berdaya dan menjaga nama mereka. Justeru, membodohkan anak-anak saban hari, setiap hari hanya kerana mereka tak dengar cakap tidak memungkinkan anak-anak akan membalas jasa orang tuanya; lebih-lebih lagi sekiranya doa membodohkan itu dimakbulkan Tuhan sehingga menjadikan si anak benar-benar bodoh, bahalol dan tolol!

Bukankah doa ibu bapa itu makbul?

Saturday, September 21, 2013

TPPA: Tipah jangan tertipu

 

Sesuatu yang harus diakui ialah kefahaman manusia terhadap sesuatu isu adalah berbeza dan keperluan penerangan tentang sesuatu perkara sangat penting untuk memastikan sesuatu perkara itu difahami dengan cara yang betul. Begitulah juga halnya dengan perkara besar yang akan melibatkan masa depan negara dan kedaulatan negara seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Tidak kurang yang menetang perjanjian itu walaupun terdapat pakar ekonomi yang melihat ketidakmahuan atau ketidakakuran Malaysia untuk memeterainya sekadar meletakkan Malaysia di tahap lapuk.

Ringkasnya, TPPA ialah satu anjakan yang dibuat terhadap perjanjian sebelum ini yang dikenali sebagai TPESP (keanggotaan asal Singapura, Brunei, New Zealand dan Chile) yang bertujuan untuk menambahkan liberalisasi dalam pasaran dan ekonomi di kalangan negara Asia-Pasifik. Walaupun namanya 'trans-Pasifik,' isu 'transparensi' merupakan isu terbesar yang dihadapi oleh kaukus perjanjian ini kerana perbincangan tentangnya didakwa sebagai sangat penuh dengan kerahsiaan. Di kalangan penentang pasaran terbuka dan globalisasi, mereka mengibaratkan TPPA sebagai satu lagi klon FTA, namun lebih teruk lagi kerana melibatkan soal hak cipta dan paten.

Jujur penulis akui, apa yang betul-betul mencetuskan sifat ingin tahu penulis terhadap TPPA ialah persoalan ubat generik yang ditimbulkan semasa satu siaran berita yang membincangkan sebuah persidangan AIDS antarabangsa di Kuala Lumpur. Dikhabarkan bahawa kesan utama TPPA kepada industri perubatan dan kesihatan ialah pertambahan dalam tempoh penguatkuasaan hak cipta . Hal ini sekali gus mengakibatkan ubatan generik yang lebih murah tidak dapat dijual dan harga ditentukan oleh pengeluar ubat yang asal. Jadi, kos perubatan untuk penyakit kronik seperti AIDS/HIV berkemungkinan besar akan meningkat berbanding sewaktu ubat generik boleh dijual. Pengalaman penulis sendiri membeli ubat di farmasi, perbezaan harga ubat generik dengan ubat yang original ialah sekali ganda! Sudah tentulah capaian bagi perubatan penyakit kronik akan hanya tertumpu kepada mereka yang berwang sementara mereka yang kurang berkemampuan akan menanggung beban kewangan yang lebih besar.

Begitulah salah satu kesan yang amat besar kepada orang ramai apabila TPPA dimeterai. Mungkin syarikat multinasional berteraskan sains dan teknologi akan menikmati kelebihan dalam TPPA kerana mereka akan dapat menjana keuntungan dengan lebih lagi. Pegawai-pegawai penyelidik akan menikmati gaji yang lebih lumayan dan tambahan bonus lebih lama berbanding sebelum ini. Atau sebenarnya pegawai pemasaran akan menikmati pendapatan yang lebih banyak setelah banyak. Namun, bagi pengguna, mereka terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk kadar lebih lama kerana berlaku perubahan struktur hak cipta dan paten yang mengakibatkan kekangan kewangan terhadap capaian produk. Mungkin ada yang sinis mengatakan supaya orang membayar apa yang digunakan, namun bukannya klausa sedia ada tidak memberikan keuntungan langsung kepada syarikat, namun mereka hendak lebih lagi supaya lebih untung lagi!

Beberapa komen kritikal tentang TPPA ialah berkaitan kedaulatan negara, hak-hak bersuara dan kesan kepada dasar-dasar penting negara seperti hak istimewa bumiputera. Dalam beberapa terbitan makalah internet yang mengkritik TPPA turut menuduh perjanjian itu dengan pemberian kuasa yang kepada syarikat besar dan pembunuhan karier peniaga-peniaga kecil dan sederhana selain mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara.

Sesungguhnya, bukannya hanya NGO atau badan bertindak berkaitan ekonomi di Malaysia sahaja yang menggesa agar kerajaan tidak menandatangani perjanjian tersebut. Sebaliknya gesaan yang sama turut dibuat oleh rakyat-rakyat negara lain yang terlibat dengan TPPA termasuklah rakyat US sendiri. Gesaan-gesaan sebegini, walaupun sering dituduh sebagai pramatang, jelas membuktikan dengan persekitaran global yang tanpa batas itu sendiri memberikan ruang kepada orang ramai kepada capaian maklumat penting walaupun cuba dirahsiakan oleh negara terlibat. Pastilah satu perjanjian yang akan menjadikan dunia tanpa sempadan, namun proses perjanjian tersebut sendiri penuh dengan sempadan rahsia, akan menimbulkan syak-wasangka kepada orang ramai.

Jadi, berhati-hatilah pak-pak menteri dan pembesar-pembesar negara ini dalam memuktamadkan TPPA kerana akhirnya, kepentingan rakyat dan negara lebih dahulu perlu dipelihara berbanding perkara-perkara yang lain. Janganlah sehingga negara telah menjadi banana state baharulah orang besar kita nak bertepuk dahi....

Friday, September 20, 2013

Antara McDonald's, Marlboro dan mamaks

 

Penulis telah menulis secara ekstensif tentang isu halal (boleh klik pada tags Halal, Haram) dan sekali lagi, isu halal kembali bergema dengan syarikat makanan segera yang biasa yang menjadi mangsanya. Bukan sahaja isu halal, McDonald's turut pernah menghadapi isu berkaitan keuntungan syarikat diagih kepada Israel dalam rangka melancarkan serangan dan pembunuhan terhadap umat Islam Palestin.

Mangsa yang sama sering menghadapi tuduhan yang sama saban masa. Barangkali, secara kebetulan juga produk berkait McDonald's seperti minuman Coca Cola turut mendapat tempiasnya.

Biasanya, apabila pertubuhan bukan kerajaan Islami yang menggesa agar umat Islam memboikot jenama-jenama tertentu yang berpusat di Barat, tidak boleh tidak, kedua-dua jenama ini akan muncul sebagai antara yang tersenarai. Puas jugalah bahagian perhubungan awam syarikat terbabit terpaksa memberikan penerangan dan membeli iklan di media massa untuk meyakinkan pelanggan Muslim bahawa mereka menjual produk yang disahkan halal oleh JAKIM dan tidak terlibat dalam pemberian dana kepada pihak Israel. Cuma, daripada satu segi, mereka ialah pemain besar dalam industri, jadi apalah sangat kena jawab persoalan-persoalan sebegitu dan terpaksa melabur jutaan ringgit hanya untuk menerangkan kepada umum yang mereka tak bersalah.

Apa yang agak menghairankan ialah mengapakah pihak penggesa/penekan tidak istiqomah dalam perjuangan mereka untuk menggesa tindakan umat Islam terhadap pihak-pihak lain yang barangkali turut terlibat sama ada dalam isu halal mahupun isu berkait sumbangan dana kepada Israel. Nampak sangat bahawa usaha mereka menumpukan syarikat multinasional yang berpusat di US dan cakupan soal halal lebih tertumpu kepada makanan/minuman mutlak. Bagaimana pula dengan produk seperti tembakau yang jelas turut menjadi penyumbang utama kepada regim Israel? Mengapakah tidak ada gesaan untuk memboikot Phillip Morris dan British American Tobbaco yang menjadi pemilik jenama seperti Marlboro, Sampoerna A, Dunhill dan Benson & Hedges dengan berterusan?

Lebih penting daripada itu, mengapakah badan penggesa ini tidak benar-benar menggesa pengharaman rokok kepada umat Islam atas faktor pembaziran dan menyumbang masalah kesihatan yang kritikal seperti serangan jantung dan kanser paru-paru? Mengapakah mereka tidak begitu agresif membawa perkara ini ke media arus perdana dan mempropagandakannya agar kerajaan dan rakyat menurutinya sebagai satu ketetapan umum? Kita mahukan tindakan yang benar-benar substansial seperti pengkanunan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap pengharaman rokok dan bukannya sekadar tersekat di peringkat fatwa negeri sahaja.

Itu isu rokok, bagaimana pula dengan isu halal restoran-restoran yang menghidangkan makanan yang dimakan oleh orang Melayu/Islam sendiri. Restoran sebegini boleh jadi milik orang Melayu/Islam mahupun yang bukan Melayu/Islam. Tanpa mengira genre masakan, sejauh manakah gesaan pihak NGO Islami ini agar kesemua restoran dan kedai makan untuk mendapatkan persijilan halal yang sah daripada JAKIM dan JAIN?

Tidak. Apa yang penulis maksudkan bukan semata-mata kopitiam sahaja sebaliknya meliputi SEMUA genre masakan daripada Melayu, Siam, mamak, Cina, Arab, Korea, Jepun, Amerika Latin, Barat dan lain-lain lagi. Janganlah disebabkan namanya masakan makanan laut ala-Thai, maka mereka diampunkan daripada sebarang gesaan untuk mendapatkan status halal. Janganlah sebab orang Melayu/Islam suka makan di mamak dan mamak pula dikatakan sebagai penyedia makanan India-Muslim, maka mereka dikecualikan daripada keperluan persijilan halal. Berapa banyak restoran mamak (misalnya) yang diserbu oleh JAKIM/JAIN dan dikenakan tindakan kerana menyalahgunakan lambang-lambang yang berkait dengan Islam seperti gambar masjid/Kaabah, Bismillah, ayat-ayat Al-Quran ataupun memperdengarkan pembacaan ayat-ayat Al-Quran! Ada kalanya dapur masakan sesebuah restoran bergelumang dengan serangga kotor dan tikus, sementara pemprosesan bahan mentah yang tidak menepati piawaian kebersihan dan tidak mendapatkan bekalan daripada pihak yang telah disahkan halal!

Pendek kata, setiap gesaan kepada sesuatu entiti yang memberikan perkhidmatan/produk kepada masyarakat, lebih-lebih lagi untuk umat Islam hendaklah dibuat secara istiqomah dan tidak memihak semata-mata hanya disebabkan oleh umum melihatnya sebagai berunsurkan kemelayuan/keislaman. Sudah berkali-kali kita melihat cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti si penyedia produk dan perkhidmatan kerana sentimen tertentu, walaupun pihak yang ditekan sudah pun mendapat pengiktirafan halal daripada pihak berwajib. Sedangkan ada pihak lain yang mungkin lebih teruk lagi daripada segi kehalalan dan kebersihan; tetapi terselamat daripada sebarang kecaman atau gesaan sebegitu kerana dihiaskan dengan unsur Melayu/Islam atau mendapat tempat dalam komuniti muslim.

Lebih-lebih lagi, ada produk yang lebih besar kepentingannya kepada umat Islam seperti tembakau (baca: rokok) yang jarang-jarang menerima tekanan sebegitu hebat untuk diharamkan secara mutlak dengan menjadikannya sebagai kesalahan undang-undang syariah. Perkara ini mungkin disebabkan hendak menjaga periuk nasi penanam tembakau atau pak-pak syeikh dan kenalan mereka sendiri yang menghisap rokok.

Ikhlaskanlah diri kita untuk menuntut yang halal dan janganlah perkiraan itu dibuat atas nama jenama sahaja. Kalau takut sangat status halal ke tidak, sampai tahap nak uji molekul babi, silalah tanam sendiri, ternak sendiri, sembelih sendiri dan masak sendiri. Bukankah hal yang demikian lebih baik lagi awla?

Nota hujung: Penulis mengaku TIDAK dibayar oleh McDonald's ataupun Coca Cola untuk menulis makalah ini. Dan penulis berpendapat adalah lebih tepat jika badan berkuasa pensijilan halal yang mengeluarkan kenyataan selepas siasatan dibuat dan bukannya pihak yang dituduh kerana badan tersebut telah mengeluarkan sijil halal kepada pihak terbabit. Kenyataan badan pengiktiraf lebih boleh dipercayai berbanding pihak syarikat. Di pihak syarikat pula, jawatankuasa pematuhan syariah bagi syarikat lebih layak mengeluarkan kenyataan berkaitan isu halal.

Thursday, September 19, 2013

Demokrasi demo tak kasi

 

Sekali lagi, tibalah masanya menjelang musim pemilihan dalam parti. UMNO sudah tentu akan mengalaminya pada bulan Oktober kelak dengan akhbar utama sudah bersiap-sedia mencanang siapa yang hendak bertanding jawatan apa. Sudah ada kedengaran hasrat orang-orang tertentu untuk bertanding jawatan tertinggi dalam parti di peringkat pusat seperti Ahli Majlis Tertinggi (MT) mahupun jawatan yang lebih tinggi seperti Naib Presiden. Begitu juga bagi 'sayap' parti seperti Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri; bagi jawatan terakhir itu perlu dipertandingkan lantaran penyandangnya sudah tidak layak daripada segi umurnya.

Bukan sahaja UMNO yang akan menghadapi pemilihan parti sebaliknya PAS turut dikatakan akan menghadapi pemilihan pimpinan parti pada Muktamar Tahunannya kali ini. Pastinya tumpuan akan diberikan kepada jawatan nombor dua parti setelah penyandangnya mendapat reaksi yang kurang senang di kalangan ahli parti dan tekanan daripada dewan ulama parti tersebut. Terbaru, ada kalangan pimpinan negeri yang senada dengan Mohd Sabu bahawa kesemua orang di dalam PAS ialah ulama. Sudah semestinya pengisytiharaan ini sangat bertentangan dengan ajaran yang dikuliahkan oleh tok-tok guru dalam PAS khususnya, dan ustaz-ustaz penceramah bebas umumnya, yang selama ini meletakkan hanya cerdik pandai agama sebagai orang yang layak digelar ulama dan bukannya satu gelaran umum yang boleh dikurniakan kepada sesiapa sahaja hatta orang itu berilmu sekali pun.

Oleh hal yang demikian, jelas sekali bahawa kedua-dua parti yang mempunyai majoriti orang Melayu akan menghadapi cabaran bagi mengangkat pemimpin yang akan mengharungi dua atau tiga tahun akan datang. Kelangsungan kedua-dua parti akan menjadi taruhan untuk melihat muka-muka masa depan di antara ahli-ahli yang sudah banyak berjasa kepada parti. Ramai muka baru, tak kurang muka lama yang mengusulkan nama bagi merebut jawatan di peringkat tertinggi parti.

Cuma, dalam semangat demokrasi yang telah dicanang sebagai tunjang politik negara, kita sudah awal-awal lagi mendengar gesaan dan cadangan untuk jawatan tertinggi parti, lebih-lebih lagi dalam UMNO untuk tidak dipertandingkan. Alasan yang diberikan ialah agar tidak berlaku sebarang pepecahan dalam parti kerana sejarah telah membuktikan bahawa perebutan jawatan utama dalam parti akan menyebabkan pepecahan parti. Kesan terbesarnya pula ialah pepecahan dalam umat Melayu pula. Kegagalan ahli UMNO untuk bersetuju untuk tidak bersetuju menyebabkan ada di kalangan pemimpin yang keluar parti dan membuka parti baharu pula di bawah kepimpiman pihak yang keluar itu.

Lantaran itu, ada pula pemimpin UMNO yang menegaskan, sungguhpun jawatan terpenting dalam parti tidak dipertandingkan, parti itu tetap demokratik. Bagaimanakah konklusi sebegini boleh tercapai sedangkan puncak kepimpinan parti tidak dicabar? Penulis nampak sindrom ini memang sangat lekat dengan UMNO, namun tak bermaksud parti yang lain lebih demokratik.

Misalnya pemilihan DAP akhir tahun lepas turut tidak dipertandingkan jawatan penting seperti Pengerusi dan Setiausaha Agung. Pemilihan PAS tempoh hari turut tidak mempertanding jawatan eksekutif tertinggi dalam parti walaupun parti dihadiahkan dengan kemenangan bermakna Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden. Alasan paling layak untuk keadaan sebegini ialah tiada pencabar. Bagaimanapun, agak menghairankan juga bagaimana parti politik yang memiliki ratusan ribu ahli seluruh negara tidak memiliki seorang pun pencabar jawatan tertinggi? Sedangkan selepas itu, ada sahaja ahli parti yang meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan parti.

Kalau itu berlaku dalam kem Pakatan Rakyat dan alasannya masih boleh dirasionalkan, sebaliknya pula untuk UMNO apabila belum pun lagi gelanggang berkaitan pemilihan peringkat tertinggi dibuka, sudah ada di kalangan pemimpinnya yang mula menggesa agar jawatan tertinggi tidak dipertandingkan. Bagaimana mungkin demokrasi disuburkan seandainya jawatan tertinggi sesuatu parti pun tidak dipertandingkan? Bukankah penidakkan untuk sebarang pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden hanya menidakkan jua hasrat UMNO untuk bertambah demokratik selepas beria-ia benar mengubah perlembagaan dan kaedah pemilihan jawatan kuasa tertinggi?

Sebetulnya, tahun pertama inilah (i.e. selepas pindaan perlembagaan dan kaedah pemilihan) UMNO membuktikan kepada orang ramai bahawa parti itu semakin matang menghadapi cabaran luaran, lebih-lebih lagi cabaran dalaman. Seandainya pemilihan parti pun tak dapat diselesaikan dan ada di kalangan ahlinya yang merajuk keluar parti dan menubuhkan parti baharu, hal yang sedemikian hanya membuktikan ahli parti yang cukup bersejarah itu masih belum matang dalam pembangunan parti dan tidak dapat menerima sebarang penolakkan.

Bayangkan setelah hampir 70 tahun parti tersebut wujud, ahlinya masih belum cukup matang untuk menerima kekalahan. Kalau begitulah gayanya, mengapa tidak ubah sahaja cara pemilihan dan penjawatan dalam parti. Bukankah lebih baik dibuat cara pewarisan jawatan sahaja bagi memudahkan kerja berkaitan kepimpinan parti. Bukanlah menidakkan demokrasi, tetapi demokrasi apa ke bendanya kalau tidak mempertandingkan jawatan kerana takut perpecahan di kalangan ahli parti sedangkan perlembagaan parti membolehkan jawatan dicabar. Sekiranya ahli parti sudah cukup matang dalam politik, pastinya perkara seperti sabotaj dalam parti tidak akan berlaku.

Malangnya, UMNO masih takut dengan bayang-bayang semalam. Jawatan presiden masih disarankan untuk tidak dipertandingkan atas alasan penyatuan, maka apa gunanya jawatan itu dikanunkan untuk boleh dipertandingkan? Mengapakah acap kali ada di kalangan ahli yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi akan dipersepsikan sebagai persona non-grata oleh media arus perdana yang proparti? Sungguh, UMNO sepatutnya lebih matang daripada itu kerana mereka mendakwa diri mereka sebagai pendukung demokrasi; maka laksanakanlah demokrasi itu terlebih dahulu di dalam parti.

Sekiranya UMNO tidak dapat berbuat begitu, maka batalkan sahaja peruntukan tentang pemilihan presiden parti sebaliknya tetapkanlah bahawa pemilihan presiden parti ialah hak prerogatif presiden terdahulu; dan tidak boleh dicabar sehinggalah presiden itu bersara dan memilih pula bakal penggantinya yang baharu. Sesungguhnya hal yang sedemikian adalah lebih jelas dan mampu menjimatkan masa untuk berpolitik dalam politik. Mereka pun ada masalah negara yang perlu diselesaikan, jadi penjimatan sebegini akan memberikan nilai kepada parti politik tersebut.

Dan meskipun penulis mengisyaratkan perkara lebih kepada apa yang berlaku di dalam UMNO dalam penulisan kali ini, isyarat itu sebenarnya tercakup lebih luas lagi kepada kesemua parti politik di Malaysia dan di serata dunia yang pastinya punya situasi yang sama dengan apa yang berlaku dalam UMNO. Jelaslah di sini bahawa demokrasi tidaklah diamalkan dalam kesemua keperluan dan peringkat politik, walaupun ahli politik sering memproklamasikan perjuangan mereka ialah ke arah demokrasi. Hal ini dikatakan demikan kerana pada akhirnya, demokrasi hanya digunakan untuk mencapai matlamat politik, dan bukannya matlamat politik itu sendiri. Demokrasi tidak lebih daripada sistem ciptaan manusia yang penuh kelemahan dan sering dipergunakan untuk mencapai keinginan kendiri.

Jadilah tidak hairanlah kalau bukan semua perkara hendak kasi jadi demokrasi....

Tuesday, September 17, 2013

Sambutan penyatuan negara bangsa

 

Satu ketika dahulu, kita hanya menyambut 31 Ogos sebagai satu hari yang penuh bermakna dan bersejarah untuk negara. Tarikh itu ialah keramat Tanah Melayu dibebaskan daripada naungan British dan upacaranya memperingatinya sering dizahirkan dengan perbarisan di Dataran Merdeka sambil dilengkapi dengan kenderaan-kenderaan keselamatan mahupun yang istimewa yang dipertontonkan kepada khalayak ramai. Al-maklumlah, penulis masih ingat bukan setakat kereta kebal sahaja yang dipertontonkan kepada orang ramai, 'traktor kebal' milik Jabatan Pertanian pun diangkut ke perarakan tersebut.

Umum pada ketika itu, lebih-lebih lagi di Semenanjung kurang sedar tentang peristiwa yang lebih bermakna dalam konteks kewujudan negara Malaysia iaitu pada 16 September. Tarikh tersebut hanya dijadikan sebagai tarikh peringatan dan tiada cuti yang di berikan kepadanya. Tahun berganti tahun dan suasana politik tanah air saling berganti dan kesedaran tentang tarikh tersebut akhirnya memuncak. Penulis masih ingat lagi membuat ulasan tentang hal yang sama dalam blog ini yang pada ketika itu berkisar tentang permulaan pemberian cuti oleh pihak kerajaan setelah dicanang oleh pihak-pihak tentu.

Rupa-rupanya, gesaan itu begitu serius dicanang sehingga kerajaan pun yang bersetuju untuk menjadikan hari memperingati pembentukan Malaysia sebagai satu cuti umum dan perkara ini menjadi kenyataan di bawah regim PM Najib. Asas kepada tuntutan ini berkisar tentang hakikat bahawa Malaysia tidak terbentuk hingga pada 16 September 1963 dengan kemasukan Sabah dan Sarawak.

Sekadar selingan politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah bercanang-canang menakluk Malaysia dengan mengetuai Pakatan Rakyat sejurus selepas kembalinya beliau di dalam arena politik tanah air secara rasmi pada 2008 dan beliau turut menamakan 16 September sebagai tarikh keramat itu. Bagaimanapun, nampaknya impian beliau masih tidak tercapai dan kini, beliau berterusan dalam usaha untuk mencapainya. Rakyat Malaysia menanti kehadiran beliau sebagai PM kerana katanya, kalaulah beliau berjaya menjawat jawatan itu, selesai segala masalah atas muka bumi ini, menurutnya...

Jadi, tiadalah Malaysia melainkan kedua-dua buah negeri Sabah-Sarawak bersama-sama dalam satu perikatan yang dibentuk pada hari dan tahun tersebut. Rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak sangat terasa kerana kehadiran mereka seolah-olah tidak diperingati lantaran kerajaan hanya mengiktiraf 31 Ogos sebagai hari merdeka dan perayaan kenegaraan sedangkan mereka hanya menyertai Persekutuan Malaysia enam tahun selepas itu. Secara deduksinya, Sabah dan Sarawak belum merdeka lagi semasa Semenanjung mengecap kemerdekaan. Jadi, erti sambutan 31 Ogos tidak terlalu tampak di hati dan sanubari orang Sabah-Sarawak. Hal inilah yang dicanang oleh mereka yang menuntut agar 16 September turut menjadi hari keraian yang sempurna dengan pemberian cuti kepada seluruh rakyat.

Justeru, tidak hairanlah apabila ada iklan di televisyen yang bertanyakan tentang apa ertinya menjadi rakyat Malaysia, lalu responden itu menjawab, 'We have the most holiday in the world!' Hal ini menggambarkan betapa meriahnya sambutan cuti di Malaysia kerana kita sering menikmatinya sebagai satu keistimewaan di Malaysia. Mungkin selepas diberi cuti ini, rakyat Malaysia tidak perlulah berkecil hati tentang penghargaan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyatnya sempena 'kemerdekaan' masing-masing tanpa mengira daripada mana mereka datang.

Kebetulan pula, tahun ini ialah tahun ke-50 sambutan Hari Malaysia menyebabkan sebuah acara rasmi dilancarkan sempena jubli emas pembentukan negara ini dan kemerdekaan Sabah-Sarawak sehinggakan dibuat pula 'Sambutan 50 tahun Sarawak Merdeka dalam Malaysia.' Begitulah akhirnya iri itu mungkin akan dapat ditamatkan supaya kesemua rakyat akan merasai mereka ialah sebahagian daripada Malaysia.

Namun, barangkali kita terlupa Malaysia yang wujud pada 1963 berbeza secara komposisnya daripada Malaysia yang sedia ada pada sekarang ini. Pada awal penubuhannya, Singapura turut terbabit sebagai sebuah negeri dalam Malaysia. Akan tetapi, disebabkan isu politik dan pentadbiran, pulau tersebut diberikan status merdeka menjadi sebuah republik pada 9 Ogos 1965. Sehingga kini, mereka meraikan Hari Kebangsaan (National Day) pada tarikh tersebut tiap-tiap tahun dengan mengadakan perbarisan untuk hari berkenaan menjelang dan pada malam hari sambutan, dan dipenuhi dengan pertunjukan kekuatan aset ketenteraan, kebudayaan dan bunga api.

Dengan ketiadaan Singapura, Malaysia tetap kekal menjadi Malaysia sehinggalah ke saat ini dan sambutan Hari Merdeka kekal pada 31 Ogos setiap tahun dan 16 September disebut hari Malaysia. Walaupun hari cuti telah diberikan kepada kedua-dua hari tersebut, dikotomi terus wujud antara Semenanjung - Sabah/Sarawak lantaran suasana yang digambarkan berkenaan kedua-dua jenis sambutan. Hari Merdeka yang majoritinya disambut di Semenanjung dengan suasana yang lebih cocok dengan Semenjung dan jalan cerita yang melebihkan pensejarahan Semenanjung. Manakala Hari Malaysia pula melebihkan pengkisahan terbentuknya Malaysia, masuknya Sabah-Sarawak dalam Persekutuan Malaysia dan betapa kalaulah tidak Sabah-Sarawak memasuki Malaysia nescaya Malaysia tidak wujud. Begitulah yang berlaku sehinggakan berapa tahun Sabah-Sarawak merdeka dalam Malaysia pun dipertonjolkan dalam sambutan peringkat kebangsaan.

Sebetulnya, kedua-dua sambutan pun sama penting, kerana dampak kepada kedua-dua tarikh pun sama besar. Namun, dalam konteks penyatuan antara Semenanjung dan Sabah-Sarawak, sampai bilakah dikotomi ini akan berterusan dam hendak dikekalkan dan sambutan peringkat negara dengan bercuti itu hendak diteruskan? Sekiranya sambutan kenegaraan yang hendak ditonjolkan, bukankah elok sekiranya diadakan satu sahaja hari memperingati kedua-dua hari yang bersejarah dalam rangka penyatuan rakyat Malaysia secara keseluruhannya tanpa mengira sempadan geopolitik? Kerajaan berterusan mendakyahkan 1Malaysia, namun dalam sambutan kenegaraan pun mereka tidak mampu untuk membentuk satu sambutan penyatuan seluruh rakyat, bagaimana mungkin rakyatnya boleh merasa kekitaan duduk dalam negara yang sama menyambut hari negara yang sama?

Bayangkan keadaan berikut, walaupun pada dasarnya pada keadaan dunia alaf ini agak sukar berlaku namun siapa tahu? - sebuah wilayah lain hendak bergabung dengan Malaysia, adakah akan diadakan pula sambutan merdekanya wilayah atau negeri itu daripada negara asal? Atau sempena wilayah baharu menyertai Malaysia, maka dibuat pula Hari Malaysia Baharu atau Hari Lebih Malaysia?

Justeru, kerajaan eloklah memilih satu tarikh daripada kedua-dua tarikh untuk dijadikan sebagai Hari Kebangsaan Malaysia. Pada hari tersebut, propaganda yang hendak dimainkan perlulah menjurus kepada kenegaraan tanpa mengira batasan geografi, kaum mahupun agama. Kedua-dua pengkisahan hendaklah diangkat sama rata tanpa perlu sebarang kompartmentasi siapa lebih penting. Kemungkinan pihak kerajaan perlu memilih satu sahaja tarikh untuk sambutan terbabit iaitu antara 31 Ogos atau 16 September. Pastilah kebijaksanaan pihak pemerintah yang mempunyai ramai pakar sejarah dan perundangan mampu menyelesaikan pemilihan tersebut.

Apa yang mungkin boleh ditimbangkan ialah menjadikan sambutan kelahiran negara sebagaimana sambutan keputeraan DYMM Yang Di-Pertuan Agong yang menjadikan sambutan lebih kepada 'hari apa dalam minggu ke berapa bulan tertentu.' Misalnya hari Sabtu pertama bulan September. Jadi, sambutan akan menjadi lebih neutral dan membolehkan agenda penyatuan antara rakyat di Malaysia akan mampu dipupuk. Hari cuti ini bolehlah dijadikan sebagai sambutan rasmi negara untuk menghargai kemerdekaan negara dan pembentukan negara bangsa. Tarikh 31 Ogos dan 16 September kekal penting namun sambutan penzahirannya diadakan pada satu hari yang dipilih.

Negara kita ialah negara bertuah kerana semakin diiktiraf sebagai negara berdaya saing dan mampu mengekalkan keamanan walaupun mempunyai kepelbagaian kaum dan agama. Dan sebagaimana kata responden televisyen tentang Malaysia, kita ialah negara yang paling banyak cuti perayaan dan peringatan. Bukanlah tak boleh bercuti, tetapi kita pun tak tahu tambahan-tambahan cuti untuk masa akan datang. Sekiranya cuti sempena sambutan kenegaraan hanya menonjolkan sifat kewilayahan, apa ertinya sambutan tersebut sampai diberi cuti satu negara. Tak mahulah nanti orang luar kata, 'macam mana nak produktif kalau asyik cuti aja!'

Tambahan pula, dengan beberapa kejadian yang berlaku sejak dua menjak ini yang memperlihatkan sisi sebenar pemimpin dan rakyat negara ini yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan diri dan politik. Ada yang bertindak untuk menaikkan bendera 'baru' kononnya hendak mengganti bendera Malaysia yang sedia ada, dan ada pula yang ke luar negara untuk memburuk-burukkan negara untuk menunjukkan dirinya lebih mulia daripada yang lain. Seharusnya kita mengkaji semula cara sambutan hari negara yang kita amalkan pada masa sekarang ini. Golongan sebegini sudah menayangkan gelagat mereka sedangkan mereka baru sahaja diberi amanah sedikit kuasa maka bayangkan sekiranya mereka berjaya memenangi negara! Maunya ditukar pula nama Malaysia!

Dalam keadaan pemimpin dan rakyat yang sudah mula menunjukkan kurang ajarnya kepada negara, tinggal masa sahaja untuk negara ini dipimpin oleh pemimpin yang sanggup menggadai negara demi mencapai cita-cita yang didambakan.

Semoga pimpinan kita sedia ada maklum tentang hal tersebut...

Monday, September 16, 2013

Dengar tidak semestinya mencukupi

 

Apabila warta berita pada hari ini memberikan tajuk utama 'Saya Dengar,' sambil meletakkan gambar PM Najib sedang mengangkat tangannya persis tatkala Tunku Abdul Rahman melaungkan ungkapan ‘Merdeka !,’ penulis tertanya-tanya, adakah dengar sahaja sudah mencukupi? Dan mengenangkan sedutan berita semalam yang memaparkan ucapan beliau dalam keadaan sistem suara yang cukup-cukup menyayat hati, dengan suara dengungan lantaran masalah pembesar suara dan speaker yang boleh dikatakan hampir setiap ketika beliau berucap, penulis sinis mengatakan, 'aku pun tak larat nak dengar kalau betul kena dengar berjam-jam dengan bunyi dengung macam itu.' Beginikah sistem suara yang dipersembahkan untuk tetamu kehormat yang begitu berprofil tinggi dalam satu majis yang begitu penting dalam memperihakan hala tuju ekonomi negara?

Isu agenda ekonomi bumiputera bukanlah satu isu yang baru, malah sangat dekat dengan perbincangan berkaitan dasar-dasar yang penting dalam negara. Adakalanya, hal ini diangkat secara berlebihan sehingga tidak ada yang boleh melebihinya, dan ada ketikanya terlalu diperlekehkan umpama agenda itu tidak pernah wujud. Oleh hal yang demikian, sejauh mana kerajaan mendengar dan mengambil tindakan daripada apa yang didengarinya ialah asas kepada kepada sebarang tindakan untuk memperkasalan ekonomi bumiputera.

Pada kebiasaannya, apa yang termaktub dalam perlembagaan menjadi asas kepada tuntutan kepada keistimewaan diberikan kepada bumiputera. Selain itu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) menjadi acuan penting yang digunakan acap kali kerajaan merangka sesuatu dasar dengan harapan jurang ekonomi antara kaum dapat dikecilan. Dasar tersebut mengadaptasi kaedah pemberian handicap dalam permainan golf bagi membantu peserta amateur bersaing dengan pemain profesional. Bagaimanapun, seandainya konsep golf ini dijadikan ukuran, seharusnya matlamat si pemain itu mengecilkan bilangan handicap yang diterima supaya pemain tadi boleh bersaing ke peringkat yang lebih tinggi sebagai pemain golf profesional. Tiadalah peningkatan kepada pemain itu seandainya pemain itu memang bermain golf sepenuh masa namun masih kekal selama-lamanya dalam keadaan mendapat handicap.

Oleh sebab itu, sudah ada dikalangan rakyat termasuklah orang bumiputera sendiri yang mempertikaikan sampai bilakah pengaruh DEB akan kekal dalam dasar-dasar negara. Kalaulah dinisbahkan pendekatan DEB dengan kehidupan seorang insan, usianya mungkin semakin hampir dengan 40 tahun, satu usia yang seharusnya menjadikannya sudah matang. Akan tetapi, sekiranya sampai 40 tahun pun pendekatan yang sama diteruskan dan gagal memberikan perubahan, perkara ini pastilah akan menimbulkan persoalan bagaimana mungkin satu perkara yang sama dan diulang-ulang dengan harapan mendapatkan hasil yang berbeza.

Bagaimanapun, apabila dilihat daripada sudut yang lain pula, apa yang diberikan kepada bumiputera pada masa kini bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan. Malah, memang terdapat peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan tahap tertentu kepada mereka yang dipayungi oleh Raja-raja Melayu. Oleh hal yang demikian, dikalangan mereka yang begitu mendukung hak istimewa orang Melayu pasti akan berhujah dengan menggunakan peruntukan Perlembagaan Malaysia. Mereka biasanya dikaitkan dengan parti UMNO mahupun badan bukan kerajaan seperti Pesaka. Selain itu, kumpulan-kumpulan pendesak yang berorientasikan Melayu.

Pada kebiasannya, ketiadaan sebuah kementerian yang mempunyai fungsi khas untuk menjaga keperluan perniagaan dan ekonomi orang Melayu sebagaimana Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi tempoh hari. Malah, sehingga sekarang pun suara-suara kekesalan tentang ketiadaan kementerian seperti itu masih kedengaran menyebabkan timbulnya kegusaran tentang hala tuju dasar ekonomi di bawah pimpinan PM Najib. Sebab itulah kegusaran ini disuarakan sambil mengharapkan PM Najib mendengar kegusaran golongan tersebut dan mengambil tindakan. Tambahan pula, keputusan PRU tempoh hari memberikan isyarat yang jelas betapa bukan-bumiputera dan kebanyakkan bumiputera bandar menolak sama sekali kepimpinan negara yang ditunjangi oleh kepimpinan PM Najib menyebabkan modal untuk tuntutan sebegitu dilontarkan kepadanya.

Tuntutan sebegini menjadi cabaran besar kepada PM Najib, sementelah pula golongan yang berlawanan menuntut kesamarataan hak antara kesemua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. PM Najib mengisyaratkan agenda memperkasakan ekonomi bumiputera tidak pernah luntur dalam pembinaan negara bangsa. Akan tetapi, kaedah yang betul perlu dikenalpasti agar sebarang lompang rasuah dan salah guna kuasa boleh dielakkan sama sekali. Tidak dapat dinafikan terdapat kekurangan dan kecacatan dalam implementasi dasar berkait agenda ekonomi bumiputera, namun kekurangan dan kecacatan terbabit sama sekali menidakkan peranan besarnya dalam memperkasakan ekonomi bumiputera.

Begitu ramai bumiputera yang berjaya dalam bidang masing-masing, meningkatkan keilmuan masing-masing dan menikmati manfaatnya, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka sehingga mereka beroleh kesenangan dan hidup. Hal ini sudah tentulah menjadikan kehidupan mereka lebih baik berbanding ibu bapa mereka. Tidak ada dikalangan bumiputera yang berjaya yang mampu menidakkan sumbangan dasar berkait bumiputera walaupun mereka kini seorang bumiputera yang menentang dasar tersebut. Soal kecacatan dan ketirisan perlakasanaan tidak boleh dijadikan sebagai alasan kepada pembatalan terus sesebuah dasar yang memberikan pengaruh cukup besar dalam kelangsungan ekonomi bumiputera.

Syahadan, apa yang diperlukan ialah untuk menambahbaikkan dasar ekonomi membabitkan bumiputera agar dasar tersebut tidak lapuk dengan persepsi negatif yang menyelubunginya oleh penduduk bumiputera. Malah, alangkah baiknya dasar-dasar sebegini dirangkumkaan dengan pembabitan bukan bumiputera sekali. Hal ini sekali gus akan menjadikan dasar ini menjadi komprehensif dengan pembabitan pelbagai kaum dalam pembangunan negara. Kita bercakap tentang penyatuan antara kaum berbilang bangsa dalam rangka pembentukan negara bangsa, justeru adakah usaha sebegitu cukup sekadar diajar di sekolah-sekolah dan diperdebatkan di institusi-institusi pengajian tinggi?

Kinilah masanya untuk usaha sebegitu dipercikkan kerana kita tidak selamanya boleh mengharapkan tongkat sakti untuk menjadi pendinding kepada hala tuju ekonomi bumiputera, apatah lagi, kini sudah ada bumiputera yang pandang serong agenda bumiputera sendiri. Kita hendaklah berpijak di bumi yang nyata bahawa tidaklah selamanya negara boleh memberikan tongkat sakti tersebut kepada bumiputera kerana kita bukannya di alam Harry Potter yang sentiasa bergantung kepadanya untuk hidup.

Saturday, September 14, 2013

Dr M bagi IC

 

Nampaknya aura Tun Dr Mahathir dalam perkembangan semasa oleh media tempatan tidak pernah surut meskipun telah lebih sepuluh tahun meninggalkan arena politik dan pentadbiran Malaysia. Dalam konteks terbaru, beliau telah dijadikan sebagai seorang saksi kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi memahami isu pendatang asing di Sabah. Nama beliau telah dikaitkan dengan program pemberian kad pengenalan (IC) kepada pendatang asing yang tidak layak mendapatkannya di Sabah. Bagaimanapun, beliau menafikan yangbeliau terlibat dalam kes seumpamanya sambil mengakui tidak mengetahui sebarang program berkaitan yang dibuat atas namanya dalam rangka memberi IC kepada rakyat asing.

Isu berkaitan pendatang asing bukanlah sesuatu yang baru dalam masyarakat kita. Dalam satu kajian, Zawawi Ibrahim (2006, m.s 46-47) telah memetik dengan mengatakan bahawa penggunaan tenaga buruh asing dalam sektor perladangan di Malaysia sejak tahun 1970-an lagi. Kajian itu mendapati persepsi pemilik ladang yang cenderung menggaji pekerja Indonesia dikatakan lebih murah, rajin dan cekap kos jika dibandingkan dengan warga tempatan (Zawawi Ibrahim, 2006, passim 48-50) Justeru, kajian itu dapat menyimpulkan kewujudan mitos malas yang kembali melanda negara selepas tahun 70-an dan sehingga sekarang pun, mitos tersebut masih menghantui masyarakat negara kita.

Kesan terbesar kepada kebanjiran pendatang asing ialah isu berkaitan keselamatan dan peluang pekerjaan kerana kerana kedua-duanya ialah perkara asas dalam kehidupan manusia. Kita sudah lihat apabila media melaporkan beberapa sindiket jenayah daripada dadah, pelacuran, penipuan internet, pemalsuan dokumen dan yang terbaru kongsi gelap turut disertai oleh pendatang asing. Ada kejadian jenayah yang berlaku akibat perselisihan antara mereka sendiri; yang menyebabkan ketakutan kepada rakyat tempatan. Ada dikalangan mereka yang bertindak agresif kerana merasakan mereka memiliki wilayah mereka sendiri di sesuatu kawasan; sehingga bertindak sesuka hati dengan mengganggu ketenteraman awam dan menyebabkan kegusaran dikalangan kejiranan tersebut.

Begitu halnya dengan peluang perniagaan yang diberikan kepada pendatang asing sehinggakan mereka menguasai beberapa pusat-pusat perniagaan dan pasar-pasar di ibu kota. Mereka kini sudah memiliki perniagaan sampaikan pasar/bazar Ramadan tempoh hari pun turut dikuasai oleh mereka. Ditambah pula dengan perniagaan barangan keperluan mereka sendiri yang dilakukan dengan begitu terang, sampaikan papan tanda pun dilengkapi dengan tulisan bahasa asal negara mereka, menjadikan kawasan tersebut kini bertukar wajah sebagai 'Little Dhaka,' 'Little Yangoon' atau 'Nepal Street.'

Maka, seharusnya kedua-dua isu keselamatan dan pendapatan inilah yang dijadikan sebagai asas kepada sebarang tuntutan yang dibuat kepada pihak kerajaan kerana kedua-dua perkara ini ialah asas keperluan manusiawi. Kedua-dua perkara ini merupakan asas kepada kehidupan dan dengan kewarganegaraan, kedua-duanya boleh dicapai dengan cara sah dan dilengkapi dengan kemudahan yang disediakan untuk warga negara oleh pihak kerajaan. Jadi, seandainya taraf kewarganegaraan itu diberikan sewenag-wenangnya kepada orang asing, sudah tentulah hal yang demikian akan memberikan ancaman yang besar untuk warga negara asal yang terdiri daripada bangsa status quo di Malaysia seperti Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan-Dusun.

Daripada segi keselamatan, sekiranya pemberian kewarganegaraan itu dibuat sewenang-wenangnya, pastilah rakyat akan tertanya-tanya sejauh manakah warga negara yang baru ini selamat dan tidak mengancam nyawa warga negara yang sedia ada. Insiden jenayah yang dilakukan oleh warga asing juga membimbangkan, hatta ada pembantu rumah yang terlibat dalam kecurian dan mendatangkan kecederaan kepada bayi atau anak kecil di bawah jagaannya. Dalam Ops 6P yang dihidupkan semula oleh KDN baru-baru ini, turut mencatatkan beberapa orang warga asing yang ditahan sebagai ahli kongsi gelap tempatan. Pun begitu, bukanlah bermakna kesemua pekerja asing sama ada berdafar atau pun tidak itu ialah penjenayah.

Juga daripada segi peluang mencari rezeki, pemberian kewarganegaraan sewenang-wenangnya akan menambahkan lagi persaingan warga tempatan asal untuk berniaga, lantaran mereka telah terlebih dahulu menguasai satu-satu kawasan perniagaan di ibu kota. Bayangkan sekiranya masa kini pun mereka sudah menguasai jalan-jalan tertentu di Kuala Lumpur, apatah lagi seandainya mereka diberi hak kewarganegaraan pula. Barangkali mereka akan menjadi 'tokan besar' pula di kawasan-kawasan perniagaan yang utama. Maka seharusnya pihak berkuasa yang terlibat memantau aduan-aduan oleh peniaga tempatan yang mahukan pihak kerajaan bertindak agar membendung pemilikan perniagaan warga asing yang tidak sepatutnya berniaga ketika berada dalam negara ini.

Itu belum lagi masuk isu kebejatan sosial yang wujud disebabkan kemasukkan pelacur-pelacur daripada luar negara. Dikatakan bahawa industri pelacuran warga asing didominasi oleh pelayan-pelayan warga Vietnam dan China yang menyebabkan kita tertanya-tanya, sampai bilakah hal ini harus dibiarkan? Adakah dalam konteks sindiket pelacuran dan kegiatan berorientasikan seks ini, kerajaan dan masyarakat terpaksa tunduk kepada permintaan dan penawaran? Bukankah satu ketika dahulu kerajaan telah mengadaptasi sistem biometrik yang canggih yang khabarnya boleh menghalang sama sekali kemasukan bakal-bakal pelacur dan/atau pelaku jenayah sebelum mereka melepasi pintu imigresen lagi (dikatakan sebagai kerjasama dengan China). Kedengaran kerajaan telah mengadakan tindakan yang begitu sofistiksted namun mengapakah hasilnya masih belum mampu dituai?

Maka seharusnya isu-isu sebegini yang dijadikan sebagai tunjang kepada sebarang tuntutan untuk mengawal kemasukan pekerja asing, lebih-lebih lagi yang datang tanpa sebarang permit atau yang menyalahgunakan pas lawatan sosial. Mereka telah melakukan kesalahan yang berat kerana memperlekehkan undang-undang negara ini sedangkan kehadiran mereka disambut dengan pelbagai kemudahan yang disediakan sebagai pelancong mahupun pelajar, bagaimanapun telah disalahgunakan segala kemudahan tersebut. Kadang-kala kita pun hairan betapa mudahnya pintu kemasukan di negara ini menerima pelbagai warga asing, sedangkan betapa susahnya pula rakyat negara ini untuk memasuki nehara-negara tertentu di dunia ini.

Justeru, penafian bekas PM, Dr Mahathir yang menjadi saksi dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja menuntut kepada siasatan yang mendalam tentang siapa yang bertanggung jawab dalam pemberian kad pengenalan secara sewenang-wenangnya terutamanya dalam kes ini di Sabah. Motif kepada pemberian kad pengenalan dengan begitu mudah perlu dikenalpasti kerana kelakuan tersebut memberikan dampak yang negatif kepada masyarakat awam warga negara.

Sungguh pun begitu, ada pihak-pihak tertentu yang lebih melihat isu pendatang diberi kad pengenalan ini daripada kaca mata politik menyebabkan perjuangan pihak-pihak tadi juga lebih mengutamakan kesudahan politik. Oleh sebab itu, isu pendatang tersebut dicanangkan oleh mereka sebagai betapa kerajaan telah memberi kad pengenalan kepada pendatang asing untuk hadir ke pilihan raya dan memangkah calon BN. Tak tahulah bagaimanakah golongan sebegini sangat yakin bahawa pihak pendatang yang diberikan kad pengenalan itu memang akan memangkah BN kerana tiada jaminan yang jelas mereka akan berbuat demikian. Ditambah pula dengan berita yang menggemparkan semasa PRU yang lepas iaitu seramai puluhan ribu warga Bangladesh dan/atau Nepal yang diimport masuk untuk membuang undi. Walaupun kedengaran tidak masuk akal dan masih belum mampu dibuktikan secara susbstansial, perkara tersebut telah didakyahkan dengan begitu berkesan sehinggakan ramai yang telah dan masih mempercayainya. Akhirnya, soal berkaitan pendatang asing diberikan kad pengenalan hanya sekadar berlegar tentang kelangsungan politik murahan sedangkan bahana yang lebih besar lagi boleh terjadi seandainya benar perkara ini berlaku.

Tuntasnya, soal memberikan hak kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak ialah satu pengkhianatan yang besar kepada warga negara asal kerana orang yang diberikan keistimewaan itu tidak cukup padan untuk menikmatinya. Pada satu sudut yang lain, mengekalkan pengkhianat dalam negara setelah mereka terus-menerus melakukan perkara yang tidak sepatutnya, dan mencemar taraf diri sebagai warga negara juga satu pengkhianatan kepada warga negara yang taat kepada negara. Maka seharusnya pihak berkuasa yang diberikan amanah untuk bertindak mengikut undang-undang yang sedia ada. Petualang sebenar bagi kes pemberian kewarganegaraan sewenang-wenangnya harus dicari dan dihukum, tanpa mengira di mana letaknya hierarki diri orang tersebut. Pada masa yang sama, warga negara yang tidak mensyukuri nikmat sebagai warga negara dan bertindak mencalarkan nama baik negara sepatutnya turut dikenakan tindakan kerana melakukan mereka sangat keji. Tidak ada pemimpin dalam dunia ini yang lebih rakus memburuk-burukkan nama negara semasa mereka berada di luar negara selain pemimpin politik di Malaysia. Malah, sudah ada dikalangan rakyat di negara ini yang sudah berani memburuk-burukkan simbol negara; sesuatu yang satu ketika dahulu tidak pernah dibuat oleh orang. Oleh yang demikian, sekiranya amaran pun tidak diendahkan sementelah tiada pula sebarang tindakan dikenakan, maka tinggal apalah lagi nilai seseorang itu sebagai warga negara?

Rujukan

Zawawi Ibrahim (2006) Return of The Lazy Natives: Explaining Malay/Immigrant Labour Transition in Terenggnu Plantation Society, dlm Riaz Hassan (ed), Local and Global: Social Transformation in Southeast Asia: Essays in Honour of Professor Syed Hussein Alatas, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, m.s. 45-69.

Wednesday, September 11, 2013

Mengenang 11 September

 

Hari ini, US akan menyambut Peringatan 11 Septembernya yang ke-12 dalam keadaan pentadbiran negara kuasa dunia itu sedang menimbang secara serius rancangan besar untuk menyerang Syria. Ketika sebahagian daripada rakyat mereka sedang memperingati keluarga atau sanak-saudara yang terkorban dan bencana yang dahsyat melanda Big Apple, pemimpin mereka sedang berkira-kira untuk melaburkan perbelanjaan yang barangkali mencecah bilion dolar demi menunjukkan dasar kepolisan negara tersebut untuk mengajar erti demokrasi kepada rakyat Syria pula. Setelah mereka mengajar demokrasi di Afghanistan dan Iraq yang mungkin menelan multi trilion dolar, hala tuju mereka kini kepada sebuah lagi negara di Asia Barat.

Serangan 11 September didasari oleh sikap pelakunya yang cukup benci terhadap Barat dan sekutu mereka. Bukanlah sesuatu yang rahsia apabila umat Islam sering dijadikan sebagai sasaran untuk sebarang pemantauan berkait keganasan seperti mana yang didedahkan oleh media massa antarabangsa. Anehnya, warga dunia seakan-akan merelakan kelakuan tersebut, mungkin atas dasar mereka telah diresapi dengan pemikiran bahawa memang umat Islam dan yang berada di Asia Baratlah yang sentiasa membuat angkara. Hal ini amat jelas sekali dilihat dalam konteks kempen-kempen US dan sekutunya terhadap lawan-lawan mereka yang disifatkan sebagai paksi kejahatan. Kita lihat dengan mudah sekali negara-negara seperti Afghanistan, Iraq dan terbaru Libya menerima serangan daripada mereka. Kebetulan pula nak dijadikan cerita, ketiga-tiga negara itu mempunyai sumber minyak dan mempunyai infrastruktur petroleum trans-negara.

Untuk menyerang Syria, mereka memerlukan masa yang lebih lama untuk mengumpulkan ‘intel’ dan menyabitkan sebab kepada serangan terhadap regim Ba’syar Al-Assad. Sehingga ke saat penulisan makalah ini, masih belum ada tindakan ofensif yang dilaksanakan oleh US dan sekutunya lantaran menunggu lampu hijau daripada pembuat-pembuat dasar di negara sendiri di peringkat Senat. Namun, persediaan untuk menyerang tetap ada dan kemungkinan peperangan yang maha dahsyat boleh berlaku bila-bila masa sahaja di negara yang berjiran dengan begitu banyak negara-negara Islam lain. Sekali lagi, senjata kimia dijadikan sebagai alasan kepada serangan terhadap Syria walaupun bukti yang diberikan dan ditonjolkan masih lagi dikatakan bersifat spekulatif. Adakah Obama akan mengulangi skrip yang sama oleh George W. Bush untuk mengembalikan demokrasi kepada rakyat Syria sebagaimana di Iraq?

Hal ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan layanan yang diberikan kepada Korea Utara. Nampak sangat double standard US kerana sangat mengutamakan krisis di negara-negara teluk sebagai alatan untuk melancarkan perang ke atas kejahatan. Penulis pernah menulis tentang hal tersebut dan sehingga kini pun, acap kali US dikatakan sudah bersedia menyerang Korea Utara, mereka tetap tidak melaksanakannya walau sebesar mana pun ancaman dan cabaran yang dilemparkan oleh negara komunis tersebut. Maka kenapa hal sebegini boleh berlaku?

Satu hakikat yang pasti dan penting ialah kedudukan geografi negara terbabit yang sangat berhampiran dengan sekutu kuat US, iaitu Korea Selatan dan Jepun. Kedua-dua negara ini ialah rakan dagangan US yang sangat signifikan namun negara-negara terbabit dan Korea Utara tidaklah mempunyai sumber alam yang besar untuk dieksploitasi andaipun peperangan memihak kepada mereka. Peperangan di rantau Asia Timur hanya akan memberikan kesan negatif terhadap struktur makroekonomi US dan China. Hal ini sangat berbeza dengan negara-negara Arab yang pada hemat mereka masih keterbelakang, namun menyimpan khazanah yang boleh menentukan hidup mati penguasaan ekonomi negara terbabit terhadap dunia. Kita boleh saksikan betapa secara tiba-tiba sahaja US termasuk dalam negara pengeluar minyak dunia hanya kerana berjaya mendemokrasikan Iraq dan menyedut hasil mahsul bumi yang satu ketika menjadi pusat pentadbiran terpenting dalam dunia Islam.

Dan sekiranya gertakan dan ancaman menyerang Syria ini berakhir dengan tidak berlakunya serangan, hal ini sekadar menguatkan lagi pula teori bahawa beberapa buah negara di Timur Tengah sebenarnya bersekongkol dengan US dalam hal-hal tertentu. Namun mereka sengaja menampakkan bahawa mereka sedang bersengketa dengan US dan mencari pasal yang akhirnya membuatkan US menggertak untuk menyerang negara terbabit, tetapi tidak juga menyerang secara fizikal negara itu. Salah satu negara yang boleh dikategorikan dalam negara ini ialah Iran. Ancaman terhadap Iran hadir lebih dahulu dan lebih lama berbanding Libya, tetapi Libya mendapat habuan terlebih dahulu. Sesungguhnya, Iran dan Korea Utara mendapat gertakan yang berterusan dan bertali-arus acap kali dan acap masa, akan tetapi, sehingga kini pun, tiada sebiji peluru berpandu pun terlancar di kedua-dua negara ini. Mengapa?

Maka, pada masa yang sama mereka menunjukkan saling berantakan antara satu sama lain, saat yang sama juga regim Israel melaksanakan genosida besar-besaran terhadap rakyat Palestin dan melaksanakan agenda jahat membesarkan pengaruh mereka di tanah milik penduduk tempatan. Tumpuan media dunia akan beralih arah terhadap gertakan akan berlakunya Perang Dunia ke-3, tetapi pada masa yang sama, pembesaran wilayah Israel secara haram turut digerakkan dan liputan tentangnya sama ada sedikit ataupun tidak ada langsung! Hal ini bermaksud bahawa respon sebegini memanglah diharapkan agar membolehkan Israel meneruskan agenda kotor mereka untuk menguasai Timur Tengah sedangkan kelakuan mereka ini dikaburi dengan krisis besar US dan ‘lawannya’ di Asia Barat. Akhirnya, pemenang sebenar ialah sekutu terbesar US iaitu Israel!

Mengenang 11 September kali ini hendaklah kita ingat tentang polis dunia yang sentiasa mengawal hal ehwal negara orang ini sering mempunyai helah yang besar dalam merasionalkan tindakan mereka secara unilateral. Memang benar, begitu ramai mangsa yang mati akibat serangan ke atas WTC dan Pentagon, namun lebih banyak lagi darah bukan US yang mati angkara tindakan tentera US mengajar demokrasi kepada negara orang lain dalam peperangan US mempertahankan diri daripada kejahatan dunia, yang tidak pernah berlaku di tanah US sendiri. Mengenang 11 September ialah mengenang helah yang cukup licik sebuah negara yang begitu takutkan bayang-bayangnya sendiri yang sentiasa terjebak dalam permasalahan yang diciptanya sendiri. Mengenang 11 September memberikan kita pengajaran bahawa ada pihak yang lebih beruntung dengan setiap apa sahaja yang ditindak-tandukkan oleh US tanpa disedari oleh sesiapa pun bahawa mereka sedang mara untuk menguasai dunia.

Tuesday, September 10, 2013

Syiah: Kedudukannya di sisi kerajaan sunni Malaysia

  • Syiah di bumi Malaysia bukanlah perkara yang baru. Malah, kehadiran pengaruh Syiah dikatakan sudah mendahului pengaruh Sunni dalam konteks penyebaran Islam di Kepulauan Melayu sejak dahulu lagi. Menurut Mahayuddin Yahya (2001, 165), pengaruh Syiah sudah mula bertapak di Kepulauan Melayu melalui Kerajaan Perlak dan Kerajaan Pasai-Samudera. Menurutnya lagi, fakta ini turut diperkuatkan dengan penemuan manuskrip ajaran Syiah seperti Bahru Lahut yang lebih tua daripada Kitab Aqaid Al-Nasafi yang dikatakan sebagai kitab tasauf berorientasikan Sunni (Mahayuddin Yahya, 2001, 43-54). Dalam sepucuk surat memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, yang tidak dapat penulis disahkan kebenarannya, pengarang surat menegaskan bahawa sememangnya pengaruh Syiah terlebih dahulu tiba di Kepuauan Melayu; malah turut menyatakan dengan terang bahawa amalan-amalan keagamaan tertentu dalam masyarakat Melayu kini sebenarnya diadaptasi   daripada amalan Syiah seperti membaca tahlil arwah, barzanji, maulid dan memakai songkok (Boleh carian Google tentang memorandum ini pada tahun 2011).

 

  • Akan tetapi, dalam konteks kerajaan dan pentadbiran agama negara masa kini, secara jelas telah ditetapkan bahawa umat Islam di Malaysia mengamalkan paradigma Ahli Sunnah wal Jamaah dengan majoritinya beramal dengan Mazhab Syafie. Perkara ini telah dikanunkan oleh Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996 dan hampir keseluruhan enakmen syariah negeri di Malaysia.  Justeru, dengan keadaan yang sudah menjadi berfatwa-fatwa, sudah tentulah soal Syiah bukanlah satu soal yang boleh dipandang ringan oleh masyarakat Islam Malaysia.

 

  • Syiah ialah manifestasi ketidakpuasan pengikut-pengikut Sayidina Ali r.a. atas kematian beliau dan sentimen itu bertambah lagi dengan pembunuhan anak beliau, Hussein di Karbala. Kebanyakkan sumber Sunni akan mengaitkan kewujudan Syiah didalangi oleh Abdullah bin Saba,’ seorang Yahudi yang masuk Islam, namun mempunyai rencana yang jahat untuk memecah-belahkan umat Islam. Sedangkan bagi pihak Syiah, mereka menafikan sama sekali kewujudan watak Abdullah bin Saba’ kerana berpendapat watak tersebut sekadar ciptaan pihak-pihak tertentu untuk memburuk-burukkan imej mereka dan mengaitkan fahaman mereka dengan Yahudi. Gerakan Syiah pada awalnya lebih berbentuk sokongan dan pembelaan terhadap Sayidina Ali dan Ahli Bait, namun berubah kepada gerakan politik dan ideologi selepas kematian Sayidina Ali.

 

  • Dalam konteks Malaysia, ajaran Syiah sering diperihalkan sebagai satu ajaran yang sesat dan membahayakan akidah umat Islam. Bagaimanapun, sebagaimana seputar isu-isu yang lain, isu Syiah sekadar menyinggah di laman-laman media cetak ketika panas dan akan menjadi suam kuku menjelang masa. Putaran sebegini akan berterusan tanpa akhir, daripada satu generasi pemimpin ke generasi pemimpin yang lain. Seolah-olah kesan kepada isu sebegini sekadar dibincangkan dalam persidangan atau seminar sahaja, sedangkan penganutnya semakin bertambah lantaran kekurangan tindakan yang konkrit bagi menyelesaikan masalah tersebut.

 

  • Tidaklah dinafikan bahawa kerajaan telah berbuat sesuatu, namun adakah tindakan itu sudah mencukupi? Mengapakan mereka tidak bertindak sebagaimana yang dikenakan kepada kumpulan Al-Arqam yang ditahan beramai-ramai dan diberikan program pemulihan akidah agar mereka kembali kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah? Mungkinkah Syiah merupakan masalah yang lebih global sehingga melibatkan pengaruh hubungan diplomatik dengan negara-negara tertentu sehingga pihak berkuasa tidak dapat bertindak sebagaimana tindakan mereka kepada ajaran-ajaran sesat yang lain? Persoalan sebegini bermain di minda-minda rakyat golongan awam kerana mereka juga inginkan agar ada kata putus dan tindakan yang tampak (tangible) dalam usaha membendung fahaman yang mendominasi mazhab akidah di Iran dan Iraq ini.

 

  • Malah, dikatakan bahawa pemimpin parti politik tertentu menyokong gerakan Syiah di Malaysia sambil membenarkan ahlinya dikalangan gerakan tersebut. Hal ini sudah tentulah akan menimbulkan persoalan, Islam jenis apakah yang diperjuangkan oleh parti politik itu? Kalau Syiah pun diberikan ruang, apa kurangnya Ayah Pin, Al-Arqam dan ajaran-ajaran sesat yang lain? Al-maklumlah, mereka turut mengakui bahawa mereka memperjuangkan kalimah Tuhan Yang Maha Esa dan menyeru manusia agar selamat dunia- akhirat! Pada masa yang sama juga, terdapat pula pertengkaran ‘manja’ sesama ulama kelompok Sunni sendiri yang promazhab dengan yang Salafi/Wahabi dalam mendepani isu Syiah sambil berlaku tuduh- menuduh antara satu sama lain. Hal sebegini sudah pasti akan  mengelirukan sama sekali orang awam yang kemungkinan besar akan menyebabkan mereka berasa bosan dan enggan lagi sama sekali untuk ambil tahu sebarang permasalahan dan isu akidah yang melanda umat Islam Malaysia.

 

  • Cukup-cukuplah kita bercerita tentang politik kerana isu akidah sebegini lebih berat berbanding politik. Sebab kadang-kala orang politik sanggup membuat apa sahaja untuk mencapai apa yang dihajatkan. Kini, sudah tiba masanya hala tuju dan perhatian ulama-ulama dan cendekiawan kita menghala ke arah pembentukan kesatuan ummah dalam menghadapi kebejatan akidah di kalangan umat Islam dalam negara ini. Dan apabila menyebut tentang kenegaraan dalam konteks Syiah, perkara ini bukanlah membawa konotasi nasionalisme, bukan pula membawa konotasi patriotisme. Sebaliknya, kita sedang berhadapan dengan permasalahan akidah yang menuntut tok-tok guru kita berganding bahu menyelesaikannya bersama-sama.
    Moga-moga tok-tok guru kita memahami perkara tersebut hendak-Nya.

 

Rujukan

Mahayudin Haji Yahya (2001) Islam di Alam Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saturday, September 7, 2013

Duhai sasterawanku

 

Penulis pernah membaca novel tulisannya, membayangkan sebuah pantai yang berhadapan dengan sebuah pulau, maka tajuk dikulit bukunya itu pun 'Di Hadapan Pulau.' Konflik kemanusian buruk lantaran Perang Dunia ke-2 dipaparkan dalam novel terbabit sehinggakan klimaks ceritanya, ada watak (Namanya Kapten Hebat) yang terpaksa makan seekor monyet belaan (bernama Mokmeng) mentah-mentah mungkin disebabkan kelaparan.

Bukan karya ini sahaja yang sinonim dengan empunya badan ini. Novelnya yang berjudul Salina diangkat sebagai magnum opus karyanya dan drama pentas Lantai T. Pinkie turut menjadi karya yang dibincang dan dianalisis dalam bidang kesusasteraan. Sumbangan terbesar kelahiran Melaka ini dalam kesusasteraan Islam mungkin boleh ditonjolkan lewat Puisi Panjang Al-Amin.

Itu sekadar beberapa tajuk-tajuk penting yang menjadi batu tanda terhadap pencapaiannya. Tidak hairanlah beliau diangkat sebagai Sasterawan Negara (SN) sebagai gelaran tertinggi dan terulung yang diberikan kepada seorang sasterawan dalam negara ini. Bagaimanapun, penampilannya yang begitu 'zuhud' dengan membiarkan rambut panjangnya, misai dan janggutnya nak putih menjadi imej yang mudah diingati. Akan tetapi, tidak semegah gelarannya yang digandingkan dengan perkataan ‘Negara,’ kini beliau seumpama penyair jalanan yang menuntut itu dan ini dalam rangka membawa idealisme yang baru untuk ditanamkan dalam masyarakat Malaysia.

Itulah agaknya bendera negara pun dia nak tukar yang baru!

Bukanlah sesuatu yang asing bagi seorang sasterawan, apatah lagi yang diangkat sebagai Sasterawan Negara untuk berkarya dan memperlihatkan kecenderungannya kepada pihak pembangkang. Sebelum ini, SN Dato' Dr Shahnon Ahmad turut berkarya menonjolkan kecenderungannya kepada pembangkang, malah suatu ketika beliau sendiri merupakan ahli yang bergiat aktif dalam jawatankuasa pusat parti. Banyak karya-karyanya dan sasterawan lain yang turut memperlihatkan sisi tersirat yang cunderung kepada satira politik negara dan secara tidak langsung menyindir parti pemerintah seperti Shit, Naratif Ogonshoto dan Kawin Kawin.

Tak terkecuali SN Dato' A. Samad Said. Bermula daripada peristiwa perarakan Keranda Mac 2009 (diambil nama sempena kejadian Keranda 152 yang turut disertai dan dijadikan puisi oleh Allahyarham SN Dato' Usman Awang), arah kecenderungan A. Samad Said bolehlah dilihat memihak kepada para pembangkang. Apa yang dihairankan pula ialah, apabila dasar PPSMI dimansukhkan, tidak pula dibuat perarakkan keraian keranda PPSMI! Kemudian, daripada semasa ke semasa, A. Samad Said melibatkan diri secara aktif dalam politik sebagai penaja Bersih dan mungkin kini, penaja bendera baharu Malaysia.

Kalau di bawah kerajaan semasa ini pun beliau mendapat gelaran Sasterawan Negara, maunya kalau pihak yang disokongnya menang pilihan raya dapat gelaran ‘Mahasastera’ gamaknya.

Tidak salah sebenarnya sasterawan-sasterawan mengemukakan karya yang bersifat kritikal kepada kerajaan pemerintah. Malah, perkara ini memang merupakan corak penerimaan komuniti kesusasteraan yang lebih gemar karya-karya yang bersifat 'anti-establishment' dan kritikal. Jarang benarlah kalau karya itu dilihat sebagai mengipas punggung pemerintah akan diangkat sebagai karya sastera hebat (atau sebenarnya tak ada langsung).

Namun, untuk seseorang yang bergelar SN terlibat sama dalam agenda tukar bendera negara kepada yang baru dicipta (ada orang yang mengaku bahawa dialah yang mencipta bendera tersebut) ialah satu tindakan murahan dan mencacatkan sama sekali gelaran yang diterimanya. Tak hairanlah kalau pak menteri pun ada menyatakan bahawa kemungkinan beliau mengalami masalah kemurungan. Dah habis isu ke A. Samad Said sampaikan bendera negara pun beliau nak tukar? Perlukah tukar bendera untuk tukar sama sekali idealisme dalam memerintah negara? Mesti tukar benderakah barulah negara ini dikatakan Bersih? Adakah pembangkang yang menaungi tindak tanduknya akan melaksanakan agenda tukar bendera seandainya berjaya Tukar Kerajaan?

Nasib baiklah pembangkang di luar negara tidak berfikiran sebagaimana pembangkang Malaysia sebab kalau tidak, pening jugalah kepada otak kita hendak ingat bendera baru negara tersebut setelah mereka menang pilihan raya. Maunya Jepun ada bendera baharu semasa DPJ memerintah satu ketika dahulu, atau Indonesia mengeluarkan bendera baharu selepas regim Suharto, atau Thailand tampil dengan bendera baharu setiap kali ‘baju berlainan warna’ berjaya memerintah negara tersebut!

Dan seharusnya A Samad Said, yang begitu lantang mengutarakan persoalan krisis peperangan, kesukaran semasa zaman penjajahan dan kesan buruk keadaan huru-hara dek perang dalam karya-karyanya lebih mengetahui dan memahami hal tersebut. Bendera menunjukkan bangsa dan negara dan seandainya dengan mudah sahaja hendak ditukar-tukar hanya kerana ‘nampak macam bendera Amerika,’ maka apakah yang tinggal pada bangsa dan negara? Mungkin umum perlu diberitahu bahawa meskipun sekali pandang macam ada dengan bendera negara Uncle Sam itu, spesifikasinya cukup berbeza dan takrifan kepada segala simbol pada bendera itu turut berbeza.

Mungkin akhirnya A Samad Said tidak lagi di kenang sebagai sasterawan yang terus-menerus memperjuangkan genre sastera dalam masyarakat kita. Yalah, nak tulis pasal penjajahan Jepun je memanjang, siapa nak baca; sedangkan Jepun pun sudah mara ke hadapan untuk bangkit daripada Hiroshima dan Nagasaki. Sebaliknya, beliau mungkin mahu dikenang sebagai sasterawan yang terjun dalam bidang politik dan mungkin berjaya mengubah bendera Malaysia kepada bendera yang mirip Indonesia dan Singapura. Beliau mungkin mahu dikenang sebagai Pengerusi Bersih dan penyair jalanan yang ingin membersihkan politik Malaysia yang kotor – tak kira mana pihak pun..

Maka alangkah ruginya dunia sastera kita....

Wednesday, September 4, 2013

Kursus yang berguna untuk siswa?

 

Musim kemasukan baharu pelajar ke IPTA kembali lagi dan sudah semestinya harapan yang besar diletakkan kepada pelajar-pelajar ini untuk keluar dengan ilmu yang dikehendaki dan kemahiran insaniah yang diperlukan. Akhbar harian hari ini sampaikan menayangkan gambar bakal-bakal siswi dengan anak patung besar (teddy bear/teddy rabbit) masing-masing sebagai peneman mereka kelak di kolej kediaman dalam mengharungi cabaran sebagai seorang pelajar IPT. Biasanya nada yang disampaikan dalam berita-berita sebegini ialah berkenaan dengan 'bakal-bakal siswa harapan bangsa,' moga-moga mereka akan mencapai segulung ijazah setelah bergelumang dalam alam akademik selepas beberapa tahun di universiti.

Bagaimana pun, apa yang berlaku selepas tempoh masa tersebut tidaklah seindah yang disangka. Ada yang berjaya dalam perjalanan memanfaatkan sepenuhnya apa yang diajar ketika berkuliah bersama pensyarah-pensyarah mereka, dan tidak kurang juga jenis yang berakhir dengan belajar engineering tapi akhirnya menjadi tauke perniagaan di internet buat kek cawan. Ataupun mula-mula kerja sebagai doktor namun akhirnya bertukar kerjaya sebagai pengusaha pemasaran pelbagai aras atau dalam bahasa mudahnya 'multi-level marketing.'

Saban hari kita mendengar rintihan daripada belia yang tidak mendapat sebarang pekerjaan yang releven dengan apa yang dipelajari di institusi pengajian tinggi. Pak-pak menteri juga turut menggesa agar bakal-bakal siswa memilih 'dengan betul' sebarang kursus yang hendak diambil kelak di universiti agar mereka mendapat kerja selepas mereka tamat pengajian di menara gading. Dalam banyak keadaan, pihak pelajarlah yang biasanya dipersalahkan kerana tidak melengkapkan diri mereka dengan kemahiran insaniah yang berkesan bagi menghadapi cabaran semasa memburu pekerjaan. Siswa yang keluar daripada IPT dikatakan tidak memiliki 'skil kerja’ yang dikehendaki oleh pasaran yang menyebabkan mereka tidak mendapat kerja di pasaran.

Kendatipun, seandainya seseorang itu berjaya medapatkan pekerjaan dalam hidang yang dipelajarinya, bukanlah bermakna seseorang itu gagal dalam pembelajarannya di universiti atau gagal mengaplikasikan apa yang dipelajari semasa di IPT. Sebaliknya, peluang untuknya dalam bidang yang dipelajari di institusi itu sendiri yang tidak mencukupi. Akhirnya, disebabkan dia sendiri terdesak untuk mencari kerja dan mendapatkan pendapatan untuk membiaya diri, maka akhirnya dia akan berkeja juga dalam bidang yang dipelajarinya. Pada masa yang sama, kalau pun seseorang itu berjaya mendapatkan kerja dalam bidang yang dipelajarinya di universiti namun terjebak dalam peluang yang lain untuk 'meningkatkan potensi diri' dan memperoleh gaji yang lebih tinggi maka sudah tentulah pembabitannya dalam tugas yang lagi satu itu akan menjadi pilihan. Bayangkanlah kalau buat ‘part time’ pun sudah memperoleh pendapatan yang memuaskan hati, apatah lagi kalau bekerja sepenuh masa! Mestilah pendapatan lebih 'masyuk.'

Adakah ini satu kegagalan?

Persoalan ini sebenarnya terlalu retorik untuk ditanya. Kerana gagal apakah jika seseorang itu berjaya kerja dalam kerjaya yang memberikan pendapatan untuk dirinnya? Sedangkan daripada satu segi, bidang yang dipilihnya itulah yang gagal memberikan kerja kepadanya. Mungkin disebabkan lambakan calon yang telah menyertai bidang terbabit. Atau mungkin disebabkan nic pasaran bagi bidang tersebut lebih kecil daripada yang lain. Atau mungkin juga memang si calon itu sendiri yang tidak mempunyai 'kemahiran' yang diperlukan untuk menyertai bidang terbabit. Bagaimanapun, dia tetap mempunyai pekerjaan yang memberinya pendapatan yang memuaskan.

Akhirnya, kita kembali semula kepada saranan menteri dan orang-orang besar yang menggesa untuk bakal siswa untuk memilih kursus yang terbaik untuk pasaran kerja, maka kursus apa yang terbaik untuk pasaran kerja yang dimaksudkan itu? Kalau ditanya kepada pakar akademik pun nescaya mereka tidak mampu untuk memberi jawapan yang tepat bagi persoalan ini. Pasaran kerja; sebagaimana pasaran saham tidak akan mampu diterangkan secara tepat akan fenomenanya yang berlaku oleh pakar apa pun. Persoalan sebegini berbentuk multifaktor yang tidak mungkin dapat diterangkan dengan satu sebab sahaja.

Tambahan pula, dengan kejadian 'boom,' 'gelembung' serta 'letupan' ICT yang berlaku pada awal alaf ke-21 yang menyebabkan begitu ramai pelajar yang mengambil jurusan berkaitan ICT. Kesannya ialah 'lambakan' graduan ICT pada suatu ketika sehinggakan menimbulkan isu keberkesanan dan keperluan jurusan tersebut dikekalkan. (Penulis perlu akui bahawa situasi ini lebih kepada persepsi berbanding fakta kerana ada dikalangan kenalan penulis yang menafikan sama sekali ‘lambakan graduan ICT’ sambil menegaskan bahawa graduan jurusan itulah yang paling marketable.)

Begitu juga dengan beberapa kursus-kursus lain yang keperluannya menjadi samar lantaran keadaan semula jadi kursus tersebut. Misalnya perguruan yang begitu enigma kerana berlaku lambakan lepasan jurusan pendidikan sehingga terpaksa menunggu beberapa tahun untuk mula berkhidmat sedangkan pada masa yang sama, berlaku pula kekurangan guru di sekolah-sekolah tertentu menyebabkan kelas tergendala dan pihak sekolah terpaksa menggaji guru tak terlatih. Hal-hal sebegini hanya mereka yang mahir tentangnya sahaja yang faham mengapa perkara ini berlaku.

Justeru, soal pemilihan jurusan oleh pelajar pada masa sekarang ini masih lagi boleh dikatakan sebagai sesuatu yang kabur (fuzzy). Sama ada seseorang itu berjaya atau tidak dalam mengaplikasikannya dalam kehidupan dan pekerjaan terletaklah pada beberapa faktor, dan takdir, waktu dan keadaan memainkan peranan yang besar dalam perkiraan tersebut. Lebih-lebih lagi jurusan separa teknikal, separa akademikal dan separa business driven seperti sains tulen dan sains gunaan akan tertakluk kepada kecenderungan, keadaan, peluang dan ruang untuk pelajar itu benar-benar menggunakan apa yang dipelajari di dewan kuliah dan makmal.

Akhirnya, terkenang kembali apa yang pernah pensyarah penulis katakan dalam kuliahnya sebagai selingan, jika anda benar-benar ingin menggunakan apa yang dipelajari, maka jadilah seorang pensyarah! (If you really want to use what you’ve have learnt, then be a lecturer!)

Tuesday, September 3, 2013

Ya, untuk GST kalau...

 

GST ialah satu lagi cara kerajaan untuk mengutip cukai dalam rangka menambahkan pendapatan negara. Pendapatan negara inilah yang digunakan untuk pembangunan infrastruktur, penambahan aset, penyediaan perkhidmatan dan pembayaran gaji mereka yang berkhidmat untuk kerajaan. Walaupun kedengaran klise, hakikatnya ialah memang rakyatlah yang memberi dana kepada kerajaan melalui pelbagai cara dan bukannya sebaliknya.

Kewujudan kerajaan pada asalnya ialah sebagai 'pengawal selia' sebarang urusan yang membabitkan keperluan masyarakat. Sebenarnya, rakyatlah yang patut berusaha sendiri bagi memenuhi keperluan dirinya sendiri. Akan tetapi, kerajaan yang perihatin akan membantu rakyat yang memerlukan sebagai usaha memenuhi keperluannya sebagai pemudahcara dan pengawal selia. Daripada aspek keselamatan, pada dasarnya rakyatlah yang sebenarnya perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka sendiri; tetapi dengan kewujudan kerajaan, maka tanggungjawab itu dipindahkan kepada mereka.

Sebagai imbalan, rakyat terpaksalah membayar bayaran tertentu sebagai dana untuk pihak kerajaan melaksanakan tugas mereka itu. Bayaran ini hadir sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung. Rakyat pula boleh jadi tahu ataupun tidak tahu bahawa dia menyumbang kepada dana tersebut. 'Sumbangan' itu hadir dalam pelbagai nama, ada yang dipanggil 'lesen,' ada yang dipanggil 'eksais,' ada juga yang dibayar kerana melakukan perkara-perkara tertentu dan digelar 'kompaund' atau 'denda' dan satu istilah yang paling popular penggunaan namanya dan paling luas aplikasinya iaitu 'cukai.'

Cukai ini pula boleh hadir dalam pelbagai bentuk, sama ada disebabkan pemilikan tanah dan harta, pemilikan perniagaan, perjudian, hiburan, pemberian perkhidmatan dan yang paling popular dan mendapat perhatian iaitu 'pendapatan'. Sekadar berkongsi maklumat, peratus cukai yang boleh dikenakan terhadap pendapatan dan perniagaan (termasuklah korporat) ialah sehingga lebih 25%! Maksudnya, kalau RM100 000, maka cukai yang boleh dikenakan ialah sehingga lebih RM25 000!

Daripada pendapatan-pendapatan sebeginilah kerajaan membiayai kos pembangunan dan penyediaan perkhidmatan kepada rakyat. Dan kalau namanya pun perkhidmatan, tentulah orang yang berkhidmat dalam kerajaan pun (baca: kakitangan kerajaan) hendak dibayar upahnya (baca: gaji) semasa berkhidmat memudahcarakan rakyat (baca: bekerja).

Kini, sejenis cukai lagi yang hendak diperkenalkan oleh pihak kerajaan setelah pelbagai jenis cukai yang telah dikenakan. Sama ada disedari atau tidak, cukai jenis ini sebenarnya jelmaan (incarnation) daripada jenis cukai yang seumpamanya, iaitu cukai kerana pekhidmatan (baca: cukai perkhidmatan/SST) Perkara inilah yang menjadi enigma kerana kerajaan mencukai rakyat terhadap perkhidmatan yang digunakan oleh rakyat sedangkan perkhidmatan tersebut bukanlah disediakan oleh kerajaan sendiri! Dan daripada cukai perkhidmatan ini muncullah cukai barangan dan perkhidmatan yang lebih kompleks dan lebih 'cekap' untuk mengutip cukai iaitu cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Disebabkan unsur 'barang' telah dimasukkan dalam perkiraan ini, maka keluasan cakupannya turut dapat dilihat kerana, barangan turut menjadi medan kerajaan mengutip cukai. Selama ini, hanya perkhidmatan sahaja yang menjadi sasaran, kini barang beli di kedai runcit pun boleh menjadi mangsa cukai. Pada masa yang sama juga, kaedah kutipan turut menjadi lebih 'cekap' kerana di setiap hentian bagi sesuatu jujukan ('cascade') barang/perkhidmatan akan dikenakan cukai. Sekali gus, dengan cara ini kerajaan akan menikmati lebih banyak untuk dicukai dan akhirnya sudah semestinya pendapatan kerajaan akan bertambah. Sebab itulah secara ekonominya, kutipan cukai bertambah cekap dan pastilah pendapatan negara akan bertambah.

Bagaimanapun, hal yang demikian secara tidak langsung meluaskan lagi cakupan orang-orang yang membayar 'cukai' kerana apabila seseorang itu hendak membeli barang, dia kini perlulah membayar cukai terhadap barang yang dibelinya. Memanglah terdapat senarai tertentu yang dikecualikan cukai, namun keperluan dan kehendak 'barang' untuk setiap orang adalah berbeza. Oleh hal yang yang demikian, seandainya keperluan seseorang itu tiada dalam senarai pengecualian, apa citer?

Satu lagi isu yang lebih penting yang penulis musykilkan ialah, memanglah kutipan cukai terhadap rakyat lebih cekap, akan tetapi apakah pula jaminan kerajaan bahawa perkhidmatan kerajaan bertambah cekap? Apakah yang kerajaan akan lakukan dengan tambahan pendapatan setelah perlaksanaan GST kelak? Adakah cukai individu dan korporat akan dihapuskan kelak lantaran sudah ada kitupan cukai yang lebih ‘cekap’ [jawapannya, pastinya tidak ;( ] Bagaimanakah perkhidmatan-perkhidmatan yang selalunya diadu oleh rakyat sebagai memakan masa, terlalu banyak keperluan yang dikehendaki (banyak kerenah birokrasi) akan ditambahbaikkan? Selain insentif-insentif yang jelas memihak kepada mereka yang dikategorikan sebagai miskin atau miskin bandar, apakah pula insentif-insentif yang boleh dirasai oleh pembayar-pembayar cukai? Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh pihak kerajaan untuk memudahcarakan segala prosedur dan keperluan yang dikenakan kepada rakyat dalam satu-satu perkara?

Penulis mengutarakan persoalan-persoalan ini kerana penulis agak skeptik dengan apa yang kerajaan boleh perbaiki seandainya benar pendapatan negara semakin meningkat. Kita pun selalu mendengar gesaan Cuepecs berkaitan gaji dan bonus, dan ternyata banyak yang telah kerajaan penuhi. Namun dalam beberapa aspek dalam keperluan dan prosedur nampaknya masih kurang memberangsangkan dan aspek perlaksanaan masih banyak yang boleh diperbaiki.

Memang ada perkara yang dipermudahkan, pun begitu ada juga prosedur yang tak masuk akal. Respon terhadap pembaikpulihan infrastruktur awam masih menjadi aduan yang sering diutarakan oleh rakyat. Adakah patut untuk pelanggan menyediakan sendiri sampul ekspress untuk pengeposan lesen yang diperbaharui? Mengapakah masa yang diambil untuk memperbaharui lesen tertentu masih sehingga sebulan dua? Lebih aneh, mengapakah wujud prosedur yang dimestikan untuk dibuat secara atas talian namun masih tetap memerlukan seseorang itu untuk pergi secara fizikal ke kaunter di pejabat atau jabatan? Perkara ini seolah-olah seperti seseorang itu membayar bil secara perbankan internet namun tetap kena ke pejabat kutipan setempat untuk mengemaskinikan akaun yang dibayar. Bukankah keadaan seperti ini akan menidakkan sebab kepada penggunaan prosedur atas talian iaitu untuk memudahkan kerja pelanggan dan bukannya memudahkan kerja penjawat awam!

Itu belum cerita harga barangan yang sering naik dan naik, harga hartanah yang tidak masuk akal, syarikat berkait kerajaan yang memanjang sahaja rugi, anak-beranak keluarga menteri terlibat dalam urusan kerajaan sama ada pegawai, memegang tender kerajaan dan sebagainya yang kesemuanya membawa kepada isu kebolehpercayaan pak-pak menteri ini di mata rakyat.

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat (satu lagi ayat yang klise) dan nilai mata wang yang semakin merosot, tidak salah kiranya rakyat secara lantang dan berterusan bertanya kepada pihak kerajaan ke mana perginya segala kutipan yang dibuat oleh kerajaan dan mengapakah mereka masih memerlukan tambahan melalui tambahan cukai. Adakah kini kerajaan ingin menyertai perniagaan dan bersaing dengan rakyat pula? Berapa kerat rakyat yang menikmati subsidi dan berapa kerat pula yang membayar untuk subsidi? Mengapakah masa dan ketika yang lama masih diperlukan untuk kerajaan menyelesaikan masalah rakyat sedangkan kalau rakyat lambat membayar cukai, bukan main lagi dikenakan pelbagai denda dan penalti kerana lambat membayarnya?

Pendeknya, kerajaan sendiri perlu rasional dan melihat daripada mata rakyat untuk mengenakan sebarang bentuk pembayaran pendapatan baru kepada rakyat. Macam kata pak menteri dan ketua setiausaha kementerian kewangan, GST kini sudah menjadi sesuatu yang pasti namun, pastikah pula kerajaan dengan terlaksananya GST, segenap lapisan rakyat akan dapat menikmati sesuatu yang lebih baik daripada apa yang sedang mereka (baca: KAMI) nikmati sekarang ini? Kalau semasa pilihan raya pihak kerajaan boleh buat senarai semak untuk apa yang telah dan akan dilaksanakan, maka seharusnya juga untuk satu iltizam besar yang akan memberikan kesan yang cukup besar kepada seluruh rakyat turut dilengkapi dengan check list kepada ke mana perginya pendapatan yang diperoleh daripada GST kerana pembayarnya bukan sekadar golongan yang berpendapatan sekian-sekian sahaja.

Betul, begitu banyak negara yang telah menggunakan GST (disebutkan lebih seratus) akan tetapi, adakah kesemua negara-negara terbabit terus tidak menghadapi masalah fiskal setelah perlaksanaan GST? Kalau US dan Great Britainlah hendak dijadikan sebagai contoh ternyata jawapannya tidak. Itali dan Spanyol juga turut ber-GST, begitu juga dengan Greece. Kesemua negara terbabit memerlukan usaha luar biasa menaikkan kadar siling hutang masing-masing hanya untuk membayar gaji pekerja awam. Oleh hal yang demikian, apakah jaminan kerajaan bahawa setelah GST dilaksanakan maka fiskal negara lebih stabil dan kecekapan pentadbiran boleh ditingkatkan? Kalau negara beria-ia hendak mengikut acuan Hong Kong dalam memerangi masalah rasuah, mengapa tidak pula mengikut acuan negara yang sama yang masih tidak mengenakan GST?

Mulai hari ini (3 September 2013) harga petrol RON 95 dan diesel akan dinaikkan sempena ‘penyusunan’ semula subsidi dan ‘penyusunan’ ini nampaknya tidak hanya akan berakhir di sini. Banyak lagi perkara yang akan disusun oleh kerajaan dan jangkaannya semakin banyak kos yang perlu dikeluarkan oleh rakyat bagi menghadapi ‘penyusunan’ demi ‘penyusunan’ yang akan dilaksanakan. Tidak dapat tidak kita akan menghadapi kos yang lebih tinggi selepas ini. Memang kerajaan berhak melaksanakannya kerana ‘apa yang kita bagi, kita boleh ambil balik...’ Kesemuanya dibuat atas nama untuk mencekapkan dan menstabilkan dasar fiskal kerajaan. Bagaimanapun, rakyat berhak untuk tahu apakah pula yang semakin dicekapkan oleh kerajaan dalam rangka memberikan perkhidmatannya kepada rakyat.

Rakyat telah jelek dengan mainan politik pak menteri yang saban hari bergelumang dengan isu yang titik-bingik dan tidak berkesudahan. Terbaharu, kalau sudah timbalan menteri sendiri main wayang, maka apa kejadahnya PM kita yang ‘bijak laksana’ itu melantiknya sebagai timbalan menteri? Kalau selepas timbalan menteri itu meroyan baharulah PM nak bagi respon bahawa ‘ahli kabinet mesti memegang aspirasi kerajaan,’ nampak sangatlah PM kita ini tak cekap pun nak pilih ahli kabinet sendiri.

Maka, apakah jaminannya bahawa selepas GST dilaksanakan, PM akan bertambah cekap?