Monday, September 30, 2013

Idaman Penuntut

 

Tatkala penulis melihat-lihat judul buku-buku yang dijual di Badan Cemerlang yang terletak di Plaza Angsana, penulis terpandang tiga jilid buku yang relatifnya lebih nipis berbanding buku-buku yang lain sekitarnya. Tambah menarik, buku-buku tersebut bersaiz lebih kurang A4, satu saiz yang amat jarang bagi buku-buku terkini dengan kulit nipis. Penulis menatap sungguh-sungguh kulit buku tersebut sambil terasa sangat teruja dengan apa yang sedang penulis pegang. Dua daripadanya bertulisan rumi sementara satu lagi bertulisan jawi. Memang tidak salah lagi, ketiga-tiganya ialah susunan penulis yang sama iaitu Al-ustaz Abdul Ghani Yahya. Ketiga-tiga naskhah tersebut ialah siri Ilmu Fiqh yang dinamai Idaman Penuntut pada Menghuraikan yang Kusut.

Penulis harus akui tidak banyak yang penulis tahu tentang penyusun atau pengarang kitab terbabit selain daripada apa yang tercatat di Pendahuluan. Setidak-tidaknya, apa yang penulis difahamkan ialah beliau ialah seorang guru agama dan terlibat dalam penyusunan silibus pembelajaran sekolah agama dalam sistem persekolahan agama Kerajaan Johor suatu ketika dahulu. Atas permintaan anak-anak muridnya, beliau menyusun kitab Idaman Penuntut ini sebagai rujukan pelajaran ilmu fiqah kepada pelajar-pelajar terutamanya yang berada antara Darjah 4 hingga Darjah Khas sekolah agama Kerajaan Johor. Hasrat yang disampaikan bermula selepas beliau berpencen pada 1967 dan hanya mula direalisasikan pada akhir 1982. Jilid pertama bagi siri kitab ini diterbitkan pada April 1983 dengan penekanan terhadap topik-topik Ibadah dengan topik pertama ialah tentang bersuci dan topik terakhir berkenaan makanan. Bolehlah dikatakan jilid pertama meliputi kesemua pelajaran berkenaan ibadah fardhu ain meliputi sembahyang, puasa, jenazah, zakat, dan haji dan umrah.

Jilid kedua pula menyusul dengan topik-topik yang berkaitan dengan dua bidang fiqah iaitu muamalat dan munakahat sementara jilid ketiga menyentuh topik-topik berkenaan faraidh dan jenayah Islam. Oleh hal yang demikan, ketiga-tiga jilid bagi siri ini menyentuh segenap perbincangan tentang fiqah Islami. Edisi awal ketiga-tiga jilid ialah dalam tulisan jawi sebelum pada masa kini, sekurang-kurangnya dua jilid terawal dialihtulisankan kepada tulisan rumi. Penyusun/pengarang kitab tersebut ada menyatakan bahawa rujukan utamanya dalam penyusunan kitab itu ialah Matla'al Badrain, Al-Baijuri dan Bujairimi Iqna' yang masing-masing merupakan naskhah-naskhah lama yang cukup diraikan dalam pengajian agama sama ada formal mahupun tidak formal. Kitab-kitab rujukan itu, sungguhpun cukup berjasa dalam pengajian Islam dalam masyarakat Melayu/Islam di Malaysia dan Kepulauan Melayu, jelas mempunyai laras bahasa yang agak keterbelakang berbanding Bahasa Melayu terkini selain susunan berbentuk satu perenggan berterusan yang hanya dipisahkan dengan penanda wacana.

Oleh sebab itu, penyusunan Idaman Penuntut memudahkan orang ramai, terutamanya pelajar sekolah agama Kerajaan Johor untuk menelaah pelajaran fiqah yang menjadi subjek-subjek teras bermula Darjah empat hingga Darjah Khas. Sekadar berkongsi pengalaman sendiri, pembelajaran fiqah di sekolah agama Kerajaan Johor meliputi lima mata pelajaran iaitu Ibadat, Muamalat, Munakahat, Faraidh dan Jenayat. Sebelum zaman penulis, kitab seperti Matla'al Badrain masih lagi menjadi pilihan rujukan bagi tenaga pengajar sekolah agama walaupun kitab/risalah khas untuk setiap subjek sudah disediakan oleh pihak Jabatan Agama Johor. Jadi, Idaman Penuntut memudahkan pelajar (tidak kurang guru juga) membuat rujukan fiqah lantaran susunannya lebih sistematik, dihadirkan dalam bentuk tajuk besar, tajuk kecil dan poin-poin yang memudahkan rujukan pembaca. Kewujudan edisi rumi tambah memudahkan lagi pembacaan penelaah yang tidak begitu fasih membaca jawi.

Idaman Penuntut Jld 1

 

Secara umumnya pula, Idaman Penuntut ialah sejenis kitab fiqah Mazhab Syafie sesuai dengan suasana dan keadaan masyarakat Islam Malaysia. Dari hal itu, pembaca yang berpegang pada mazhab itu tidak banyak menemui pandangan yang bertentangan dengan pegangan masyhur Mazhab Syafie di Kepulauan Melayu (seperti mughalazahnya seluruh babi, anjing dan kacukan mereka berdua, sunatnya qunut Subuh dan talkin mayat). Pun begitu, pandangan penyusun seperti tidak wajar menambahkan perkataan Saidina semasa berselawat kepada Nabi selepas tahiyat akhir (jilid 1, nota kaki 1., m.s. 27) dan membidaahkan orang datang berkumpul untuk jamuan makan di rumah si mati (jilid 1, m.s. 63) memperlihatkan sedikit sisi perbezaan pendapatnya berbanding dengan amalan dan kepercayaan tradisional yang didakwa sebagai pandangan Mazhab Syafie yang masyhur.

Dan daripada segi pendalilan, jelas sekali pengarangnya sangat bergantung kepada tiga sumber rujukan utama sambil kadang-kala membandingkan kewujudan perbezaan pendapat antara ketiga-tiga kitab itu. Misalnya dalam persoalan ungkapan Saidina dalam selawat tadi, beliau mengutarakan pendapat bagi kedua-dua kitab rujukannya iaitu Al-Baijuri dan Bujairimi Iqna', lalu mengunggulkan isyarat daripada Bujairimi Iqna' untuk tidak menambah kalimah tersebut semasa selawat dalam sembahyang. Akan tetapi, beliau berdiplomasi dengan menjelaskan kesetujuannya agar perkataan Saidina ditambah dalam selawat di luar sembahyang. Dalam banyak keadaan, pengarang memberikan pendalilan terhadap sebarang rukun, jenis dan syarat namun bukan kesemua perkara diberikan dalilnya. Matlamat penulisan kitab ini pun lebih kepada memenuhi tuntutan pelajaran sekolah agama, jadi pengisiannya jelas cukup sesuai untuk peringkat asas pengenalan fiqah.

Secara keseluruhannya, harapan penyusunan kitab bagi memudahkan pelajar untuk menelaah ilmu asas fiqah bolehlah dikatakan tercapai dengan pembaikan kepada gaya bahasa yang lebih mudah difahami. Tambahan pula bilangan muka suratnya yang tidak tebal cukup ideal memudahkan pembelajaran isi-isi penting berkaitan ibadat, muamalat, jenayat, faraidh dan munakahat. Sungguh pun diterbitkan pada 1984, ciri-ciri seperti menonjolkan pandangan daripada kitab-kitab fiqah melayu klasik/semiklasik cukup membuatkan Idaman Penuntut seperti ringkasan atau penerangan ringkas ilmu yang terkandung dalam kitab Melayu klasik/semiklasik. Bagaimanapun, untuk mengangkatnya sebagai kitab fiqah yang benar-benar lengkap dengan pendalilan dan ulasan panjang lebar mengenai fiqah Mazhab Syafie mungkin menuntut syarah/ulasan dibuat terhadap teks asalnya. Atau kitab ini perlu dijadikan teks pengkuliahan di majlis-majlis ilmu seperti di masjid-masjid agar penerangan yang lebih konprehensif dapat diberikan oleh tok-tok guru yang mengkuliahkannya.

Apa pun, perkara ini tidak sama sekali menafikan keistimewaan Idaman Penuntut sebagai kitab-kitab rujukan untuk ilmu fiqah permulaan yang sewajarnya diketahui oleh setiap umat Islam. Sekurang-kurangnya, kitab ini menjadi antara rujukan tambahan yang penting bagi kurikulum sekolah agama Kerajaan Johor sehinggalah pada tahun 1994 yang menyaksikan permulaan era baru rujukan rasmi sistem persekolahan tersebut. Dan penulis ketika itu merupakan 'batch' pertama peralihan daripada kitab nipis tanpa sebarang gambar kepada buku teks sederhana tebal yang bergambar hitam putih terbitan Synergymate.

No comments: