Tuesday, September 17, 2013

Sambutan penyatuan negara bangsa

 

Satu ketika dahulu, kita hanya menyambut 31 Ogos sebagai satu hari yang penuh bermakna dan bersejarah untuk negara. Tarikh itu ialah keramat Tanah Melayu dibebaskan daripada naungan British dan upacaranya memperingatinya sering dizahirkan dengan perbarisan di Dataran Merdeka sambil dilengkapi dengan kenderaan-kenderaan keselamatan mahupun yang istimewa yang dipertontonkan kepada khalayak ramai. Al-maklumlah, penulis masih ingat bukan setakat kereta kebal sahaja yang dipertontonkan kepada orang ramai, 'traktor kebal' milik Jabatan Pertanian pun diangkut ke perarakan tersebut.

Umum pada ketika itu, lebih-lebih lagi di Semenanjung kurang sedar tentang peristiwa yang lebih bermakna dalam konteks kewujudan negara Malaysia iaitu pada 16 September. Tarikh tersebut hanya dijadikan sebagai tarikh peringatan dan tiada cuti yang di berikan kepadanya. Tahun berganti tahun dan suasana politik tanah air saling berganti dan kesedaran tentang tarikh tersebut akhirnya memuncak. Penulis masih ingat lagi membuat ulasan tentang hal yang sama dalam blog ini yang pada ketika itu berkisar tentang permulaan pemberian cuti oleh pihak kerajaan setelah dicanang oleh pihak-pihak tentu.

Rupa-rupanya, gesaan itu begitu serius dicanang sehingga kerajaan pun yang bersetuju untuk menjadikan hari memperingati pembentukan Malaysia sebagai satu cuti umum dan perkara ini menjadi kenyataan di bawah regim PM Najib. Asas kepada tuntutan ini berkisar tentang hakikat bahawa Malaysia tidak terbentuk hingga pada 16 September 1963 dengan kemasukan Sabah dan Sarawak.

Sekadar selingan politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah bercanang-canang menakluk Malaysia dengan mengetuai Pakatan Rakyat sejurus selepas kembalinya beliau di dalam arena politik tanah air secara rasmi pada 2008 dan beliau turut menamakan 16 September sebagai tarikh keramat itu. Bagaimanapun, nampaknya impian beliau masih tidak tercapai dan kini, beliau berterusan dalam usaha untuk mencapainya. Rakyat Malaysia menanti kehadiran beliau sebagai PM kerana katanya, kalaulah beliau berjaya menjawat jawatan itu, selesai segala masalah atas muka bumi ini, menurutnya...

Jadi, tiadalah Malaysia melainkan kedua-dua buah negeri Sabah-Sarawak bersama-sama dalam satu perikatan yang dibentuk pada hari dan tahun tersebut. Rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak sangat terasa kerana kehadiran mereka seolah-olah tidak diperingati lantaran kerajaan hanya mengiktiraf 31 Ogos sebagai hari merdeka dan perayaan kenegaraan sedangkan mereka hanya menyertai Persekutuan Malaysia enam tahun selepas itu. Secara deduksinya, Sabah dan Sarawak belum merdeka lagi semasa Semenanjung mengecap kemerdekaan. Jadi, erti sambutan 31 Ogos tidak terlalu tampak di hati dan sanubari orang Sabah-Sarawak. Hal inilah yang dicanang oleh mereka yang menuntut agar 16 September turut menjadi hari keraian yang sempurna dengan pemberian cuti kepada seluruh rakyat.

Justeru, tidak hairanlah apabila ada iklan di televisyen yang bertanyakan tentang apa ertinya menjadi rakyat Malaysia, lalu responden itu menjawab, 'We have the most holiday in the world!' Hal ini menggambarkan betapa meriahnya sambutan cuti di Malaysia kerana kita sering menikmatinya sebagai satu keistimewaan di Malaysia. Mungkin selepas diberi cuti ini, rakyat Malaysia tidak perlulah berkecil hati tentang penghargaan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyatnya sempena 'kemerdekaan' masing-masing tanpa mengira daripada mana mereka datang.

Kebetulan pula, tahun ini ialah tahun ke-50 sambutan Hari Malaysia menyebabkan sebuah acara rasmi dilancarkan sempena jubli emas pembentukan negara ini dan kemerdekaan Sabah-Sarawak sehinggakan dibuat pula 'Sambutan 50 tahun Sarawak Merdeka dalam Malaysia.' Begitulah akhirnya iri itu mungkin akan dapat ditamatkan supaya kesemua rakyat akan merasai mereka ialah sebahagian daripada Malaysia.

Namun, barangkali kita terlupa Malaysia yang wujud pada 1963 berbeza secara komposisnya daripada Malaysia yang sedia ada pada sekarang ini. Pada awal penubuhannya, Singapura turut terbabit sebagai sebuah negeri dalam Malaysia. Akan tetapi, disebabkan isu politik dan pentadbiran, pulau tersebut diberikan status merdeka menjadi sebuah republik pada 9 Ogos 1965. Sehingga kini, mereka meraikan Hari Kebangsaan (National Day) pada tarikh tersebut tiap-tiap tahun dengan mengadakan perbarisan untuk hari berkenaan menjelang dan pada malam hari sambutan, dan dipenuhi dengan pertunjukan kekuatan aset ketenteraan, kebudayaan dan bunga api.

Dengan ketiadaan Singapura, Malaysia tetap kekal menjadi Malaysia sehinggalah ke saat ini dan sambutan Hari Merdeka kekal pada 31 Ogos setiap tahun dan 16 September disebut hari Malaysia. Walaupun hari cuti telah diberikan kepada kedua-dua hari tersebut, dikotomi terus wujud antara Semenanjung - Sabah/Sarawak lantaran suasana yang digambarkan berkenaan kedua-dua jenis sambutan. Hari Merdeka yang majoritinya disambut di Semenanjung dengan suasana yang lebih cocok dengan Semenjung dan jalan cerita yang melebihkan pensejarahan Semenanjung. Manakala Hari Malaysia pula melebihkan pengkisahan terbentuknya Malaysia, masuknya Sabah-Sarawak dalam Persekutuan Malaysia dan betapa kalaulah tidak Sabah-Sarawak memasuki Malaysia nescaya Malaysia tidak wujud. Begitulah yang berlaku sehinggakan berapa tahun Sabah-Sarawak merdeka dalam Malaysia pun dipertonjolkan dalam sambutan peringkat kebangsaan.

Sebetulnya, kedua-dua sambutan pun sama penting, kerana dampak kepada kedua-dua tarikh pun sama besar. Namun, dalam konteks penyatuan antara Semenanjung dan Sabah-Sarawak, sampai bilakah dikotomi ini akan berterusan dam hendak dikekalkan dan sambutan peringkat negara dengan bercuti itu hendak diteruskan? Sekiranya sambutan kenegaraan yang hendak ditonjolkan, bukankah elok sekiranya diadakan satu sahaja hari memperingati kedua-dua hari yang bersejarah dalam rangka penyatuan rakyat Malaysia secara keseluruhannya tanpa mengira sempadan geopolitik? Kerajaan berterusan mendakyahkan 1Malaysia, namun dalam sambutan kenegaraan pun mereka tidak mampu untuk membentuk satu sambutan penyatuan seluruh rakyat, bagaimana mungkin rakyatnya boleh merasa kekitaan duduk dalam negara yang sama menyambut hari negara yang sama?

Bayangkan keadaan berikut, walaupun pada dasarnya pada keadaan dunia alaf ini agak sukar berlaku namun siapa tahu? - sebuah wilayah lain hendak bergabung dengan Malaysia, adakah akan diadakan pula sambutan merdekanya wilayah atau negeri itu daripada negara asal? Atau sempena wilayah baharu menyertai Malaysia, maka dibuat pula Hari Malaysia Baharu atau Hari Lebih Malaysia?

Justeru, kerajaan eloklah memilih satu tarikh daripada kedua-dua tarikh untuk dijadikan sebagai Hari Kebangsaan Malaysia. Pada hari tersebut, propaganda yang hendak dimainkan perlulah menjurus kepada kenegaraan tanpa mengira batasan geografi, kaum mahupun agama. Kedua-dua pengkisahan hendaklah diangkat sama rata tanpa perlu sebarang kompartmentasi siapa lebih penting. Kemungkinan pihak kerajaan perlu memilih satu sahaja tarikh untuk sambutan terbabit iaitu antara 31 Ogos atau 16 September. Pastilah kebijaksanaan pihak pemerintah yang mempunyai ramai pakar sejarah dan perundangan mampu menyelesaikan pemilihan tersebut.

Apa yang mungkin boleh ditimbangkan ialah menjadikan sambutan kelahiran negara sebagaimana sambutan keputeraan DYMM Yang Di-Pertuan Agong yang menjadikan sambutan lebih kepada 'hari apa dalam minggu ke berapa bulan tertentu.' Misalnya hari Sabtu pertama bulan September. Jadi, sambutan akan menjadi lebih neutral dan membolehkan agenda penyatuan antara rakyat di Malaysia akan mampu dipupuk. Hari cuti ini bolehlah dijadikan sebagai sambutan rasmi negara untuk menghargai kemerdekaan negara dan pembentukan negara bangsa. Tarikh 31 Ogos dan 16 September kekal penting namun sambutan penzahirannya diadakan pada satu hari yang dipilih.

Negara kita ialah negara bertuah kerana semakin diiktiraf sebagai negara berdaya saing dan mampu mengekalkan keamanan walaupun mempunyai kepelbagaian kaum dan agama. Dan sebagaimana kata responden televisyen tentang Malaysia, kita ialah negara yang paling banyak cuti perayaan dan peringatan. Bukanlah tak boleh bercuti, tetapi kita pun tak tahu tambahan-tambahan cuti untuk masa akan datang. Sekiranya cuti sempena sambutan kenegaraan hanya menonjolkan sifat kewilayahan, apa ertinya sambutan tersebut sampai diberi cuti satu negara. Tak mahulah nanti orang luar kata, 'macam mana nak produktif kalau asyik cuti aja!'

Tambahan pula, dengan beberapa kejadian yang berlaku sejak dua menjak ini yang memperlihatkan sisi sebenar pemimpin dan rakyat negara ini yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan diri dan politik. Ada yang bertindak untuk menaikkan bendera 'baru' kononnya hendak mengganti bendera Malaysia yang sedia ada, dan ada pula yang ke luar negara untuk memburuk-burukkan negara untuk menunjukkan dirinya lebih mulia daripada yang lain. Seharusnya kita mengkaji semula cara sambutan hari negara yang kita amalkan pada masa sekarang ini. Golongan sebegini sudah menayangkan gelagat mereka sedangkan mereka baru sahaja diberi amanah sedikit kuasa maka bayangkan sekiranya mereka berjaya memenangi negara! Maunya ditukar pula nama Malaysia!

Dalam keadaan pemimpin dan rakyat yang sudah mula menunjukkan kurang ajarnya kepada negara, tinggal masa sahaja untuk negara ini dipimpin oleh pemimpin yang sanggup menggadai negara demi mencapai cita-cita yang didambakan.

Semoga pimpinan kita sedia ada maklum tentang hal tersebut...

No comments: