Sekali lagi, tibalah masanya menjelang musim pemilihan dalam parti. UMNO sudah tentu akan mengalaminya pada bulan Oktober kelak dengan akhbar utama sudah bersiap-sedia mencanang siapa yang hendak bertanding jawatan apa. Sudah ada kedengaran hasrat orang-orang tertentu untuk bertanding jawatan tertinggi dalam parti di peringkat pusat seperti Ahli Majlis Tertinggi (MT) mahupun jawatan yang lebih tinggi seperti Naib Presiden. Begitu juga bagi 'sayap' parti seperti Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri; bagi jawatan terakhir itu perlu dipertandingkan lantaran penyandangnya sudah tidak layak daripada segi umurnya.
Bukan sahaja UMNO yang akan menghadapi pemilihan parti sebaliknya PAS turut dikatakan akan menghadapi pemilihan pimpinan parti pada Muktamar Tahunannya kali ini. Pastinya tumpuan akan diberikan kepada jawatan nombor dua parti setelah penyandangnya mendapat reaksi yang kurang senang di kalangan ahli parti dan tekanan daripada dewan ulama parti tersebut. Terbaru, ada kalangan pimpinan negeri yang senada dengan Mohd Sabu bahawa kesemua orang di dalam PAS ialah ulama. Sudah semestinya pengisytiharaan ini sangat bertentangan dengan ajaran yang dikuliahkan oleh tok-tok guru dalam PAS khususnya, dan ustaz-ustaz penceramah bebas umumnya, yang selama ini meletakkan hanya cerdik pandai agama sebagai orang yang layak digelar ulama dan bukannya satu gelaran umum yang boleh dikurniakan kepada sesiapa sahaja hatta orang itu berilmu sekali pun.
Oleh hal yang demikian, jelas sekali bahawa kedua-dua parti yang mempunyai majoriti orang Melayu akan menghadapi cabaran bagi mengangkat pemimpin yang akan mengharungi dua atau tiga tahun akan datang. Kelangsungan kedua-dua parti akan menjadi taruhan untuk melihat muka-muka masa depan di antara ahli-ahli yang sudah banyak berjasa kepada parti. Ramai muka baru, tak kurang muka lama yang mengusulkan nama bagi merebut jawatan di peringkat tertinggi parti.
Cuma, dalam semangat demokrasi yang telah dicanang sebagai tunjang politik negara, kita sudah awal-awal lagi mendengar gesaan dan cadangan untuk jawatan tertinggi parti, lebih-lebih lagi dalam UMNO untuk tidak dipertandingkan. Alasan yang diberikan ialah agar tidak berlaku sebarang pepecahan dalam parti kerana sejarah telah membuktikan bahawa perebutan jawatan utama dalam parti akan menyebabkan pepecahan parti. Kesan terbesarnya pula ialah pepecahan dalam umat Melayu pula. Kegagalan ahli UMNO untuk bersetuju untuk tidak bersetuju menyebabkan ada di kalangan pemimpin yang keluar parti dan membuka parti baharu pula di bawah kepimpiman pihak yang keluar itu.
Lantaran itu, ada pula pemimpin UMNO yang menegaskan, sungguhpun jawatan terpenting dalam parti tidak dipertandingkan, parti itu tetap demokratik. Bagaimanakah konklusi sebegini boleh tercapai sedangkan puncak kepimpinan parti tidak dicabar? Penulis nampak sindrom ini memang sangat lekat dengan UMNO, namun tak bermaksud parti yang lain lebih demokratik.
Misalnya pemilihan DAP akhir tahun lepas turut tidak dipertandingkan jawatan penting seperti Pengerusi dan Setiausaha Agung. Pemilihan PAS tempoh hari turut tidak mempertanding jawatan eksekutif tertinggi dalam parti walaupun parti dihadiahkan dengan kemenangan bermakna Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden. Alasan paling layak untuk keadaan sebegini ialah tiada pencabar. Bagaimanapun, agak menghairankan juga bagaimana parti politik yang memiliki ratusan ribu ahli seluruh negara tidak memiliki seorang pun pencabar jawatan tertinggi? Sedangkan selepas itu, ada sahaja ahli parti yang meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan parti.
Kalau itu berlaku dalam kem Pakatan Rakyat dan alasannya masih boleh dirasionalkan, sebaliknya pula untuk UMNO apabila belum pun lagi gelanggang berkaitan pemilihan peringkat tertinggi dibuka, sudah ada di kalangan pemimpinnya yang mula menggesa agar jawatan tertinggi tidak dipertandingkan. Bagaimana mungkin demokrasi disuburkan seandainya jawatan tertinggi sesuatu parti pun tidak dipertandingkan? Bukankah penidakkan untuk sebarang pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden hanya menidakkan jua hasrat UMNO untuk bertambah demokratik selepas beria-ia benar mengubah perlembagaan dan kaedah pemilihan jawatan kuasa tertinggi?
Sebetulnya, tahun pertama inilah (i.e. selepas pindaan perlembagaan dan kaedah pemilihan) UMNO membuktikan kepada orang ramai bahawa parti itu semakin matang menghadapi cabaran luaran, lebih-lebih lagi cabaran dalaman. Seandainya pemilihan parti pun tak dapat diselesaikan dan ada di kalangan ahlinya yang merajuk keluar parti dan menubuhkan parti baharu, hal yang sedemikian hanya membuktikan ahli parti yang cukup bersejarah itu masih belum matang dalam pembangunan parti dan tidak dapat menerima sebarang penolakkan.
Bayangkan setelah hampir 70 tahun parti tersebut wujud, ahlinya masih belum cukup matang untuk menerima kekalahan. Kalau begitulah gayanya, mengapa tidak ubah sahaja cara pemilihan dan penjawatan dalam parti. Bukankah lebih baik dibuat cara pewarisan jawatan sahaja bagi memudahkan kerja berkaitan kepimpinan parti. Bukanlah menidakkan demokrasi, tetapi demokrasi apa ke bendanya kalau tidak mempertandingkan jawatan kerana takut perpecahan di kalangan ahli parti sedangkan perlembagaan parti membolehkan jawatan dicabar. Sekiranya ahli parti sudah cukup matang dalam politik, pastinya perkara seperti sabotaj dalam parti tidak akan berlaku.
Malangnya, UMNO masih takut dengan bayang-bayang semalam. Jawatan presiden masih disarankan untuk tidak dipertandingkan atas alasan penyatuan, maka apa gunanya jawatan itu dikanunkan untuk boleh dipertandingkan? Mengapakah acap kali ada di kalangan ahli yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi akan dipersepsikan sebagai persona non-grata oleh media arus perdana yang proparti? Sungguh, UMNO sepatutnya lebih matang daripada itu kerana mereka mendakwa diri mereka sebagai pendukung demokrasi; maka laksanakanlah demokrasi itu terlebih dahulu di dalam parti.
Sekiranya UMNO tidak dapat berbuat begitu, maka batalkan sahaja peruntukan tentang pemilihan presiden parti sebaliknya tetapkanlah bahawa pemilihan presiden parti ialah hak prerogatif presiden terdahulu; dan tidak boleh dicabar sehinggalah presiden itu bersara dan memilih pula bakal penggantinya yang baharu. Sesungguhnya hal yang sedemikian adalah lebih jelas dan mampu menjimatkan masa untuk berpolitik dalam politik. Mereka pun ada masalah negara yang perlu diselesaikan, jadi penjimatan sebegini akan memberikan nilai kepada parti politik tersebut.
Dan meskipun penulis mengisyaratkan perkara lebih kepada apa yang berlaku di dalam UMNO dalam penulisan kali ini, isyarat itu sebenarnya tercakup lebih luas lagi kepada kesemua parti politik di Malaysia dan di serata dunia yang pastinya punya situasi yang sama dengan apa yang berlaku dalam UMNO. Jelaslah di sini bahawa demokrasi tidaklah diamalkan dalam kesemua keperluan dan peringkat politik, walaupun ahli politik sering memproklamasikan perjuangan mereka ialah ke arah demokrasi. Hal ini dikatakan demikan kerana pada akhirnya, demokrasi hanya digunakan untuk mencapai matlamat politik, dan bukannya matlamat politik itu sendiri. Demokrasi tidak lebih daripada sistem ciptaan manusia yang penuh kelemahan dan sering dipergunakan untuk mencapai keinginan kendiri.
Jadilah tidak hairanlah kalau bukan semua perkara hendak kasi jadi demokrasi....
No comments:
Post a Comment