Friday, September 27, 2013

Kalau mak bapak pun dah macam tu...

 

Penulis membesar sebagai antara Generasi Y terawal yang lahir dan mengalami zaman remaja awal pada awal alaf ini. Menurut jargon kajian sosial dan pemasaran yang berpangkalan di US, Generasi Y dikatakan sebagai generasi 'dot com' yang terdedah dengan pelbagai kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi pada awal usianya. Tidak hairanlah juga kerana pembinaan produk perkhidmatan sosial bermula pada awal pertengahan dekad pertama milenia sambil capaian internet di Malaysia juga menjadi semakin rancak pada waktu itu. Kini, orang bercakap tentang capaian LTE berbanding sepuluh tahun dahulu yang menggunakan modem 'dial-up' dengan kelajuan yang standard.

Itulah serba sedikit hal tentang generasi penulis. Mereka inilah yang dikatakan semakin tak bertanggungjawab, tidak menghargai apa yang telah tersedia ada dan kurang matang. Peperiksaan dan penilaian di sekolah atau universiti pun penuh dengan kaedah cut and paste yang menghasilkan pelajar mesin cetak, sebagaimana yang pernah penulis beberkan dahulu. Pada masa yang sama, Generasi Baby Boomer yang paling banyak menjana pendapatan dunia masa kini semakin berkurang dan berkurang. Mereka semakin ditelan dek zaman dan kini, menjalani kehidupan pada usia senja. Tempat mereka sudah banyak diganti oleh Generasi X yang merupakan generasi Pasca-Perang Dunia ke-2. Generasi ini biasanya namun tak semestinya mempunyai zuriat yang kini dipanggil sebagai Generasi Z. Generasi Z sering dikaitkan dengan mereka yang lahir selepas kejadian pepijat alaf yang pernah menggemparkan dunia seluruhnya pada ketika itu. Dalam konteks sekarang ini, merekalah yang dikaitkan sebagai golongan yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa hadapan dan merupakan 'anak-cucu kita' dalam frasa, 'Kita hanyalah meminjam sumber dan negara ini daripada anak-cucu kita.'

Itu sekadar sedikit ulasan penulis tentang generasi. Apa yang sebenarnya ingin penulis utarakan ialah mak bapak pada masa kini tanpa mengira generasi mana mereka dikelaskan dalam jargon sosial dan pemasaran. Mungkin tertakluk kepada persekitaran tempat tinggal penulis sahaja, namun ungkapan seperti 'aku tumbuk karang, bersepai muka!' atau 'kan aku dah bagitau, jangan ambil, bodoh!' dan ‘engkau ni bangang ke apa tak faham-faham bahasa’ merupakan antara ungkapan yang sering penulis dengari yang terkeluar daripada mulut seorang ibu kepada anaknya yang berumur bawah sepuluh tahun. Sangat sering perkataan bodoh itu diucapkan daripada seorang ibu kepada si anak.

Sudah tentulah perkara ini sangat membimbangkan kerana bukankah kata-kata si ibu itu satu doa? Penulis pun hairan mengapakah ibu bapa masih menggunakan kata-kata kesat menunjukkan ekspresi ketakpuasan hati kepada anak sedangkan kita sudah melepasi dekad pertama alaf ini dengan pelbagai capaian maklumat keibubapaan. Buku berkenaan keibubapaan berlambak di pasaran, apatah lagi dengan maklumat daripada internet. Begitu juga dengan rancangan televisyen yang turut menayangkan pelbagai rancangan-rancangan motovasi keibubapaan dengan ahli-ahli panel yang bukan calang-calang daripada ustaz-ustazah, doktor-doktor penceramah dan pencetus inspirasi dan tunjuk ajar. Itu belum dicampur dengan pelbagai program kem-kem motovasi dan seminar-seminar kekeluargaan atau keibubapaan yang biasanya akan melibatkan si ibu bapa dan anak-anak menitiskan air mata haru dan sebak lantaran penyedaran yang dibuat oleh si penceramah yang cukup terkesan oleh peserta.

Jadi, seandainya kita kembali kepada teori generasi tadi, generasi anak-anak sekarang ini ialah Generasi Z sementara majoriti ibu bapanya ialah Generasi X, adakah kita akan mengatakan Generasi X masih tak geti-geti lagi nak jaga anak sampai masih memaki-hamun anak-anak dengan carut-marut? Tak taulah sekiranya ada yang hendak mempertahankan perkataan bodoh itu ialah satu dialek yang biasa digunakan oleh daerah-daerah tertentu di Malaysia! Tentulah ada yang akan mengeluarkan andaian, bahawa keadaan itu ialah kes terpencil, atau penulis sekadar menyatakannya kerana hanya berlaku di persekitaran penulis, atau segala-galanya memang dah ada, terpulanglah kepada mak bapak sekarang ini nak ajar anak dia; jadi bukannya masalah generasi. Segala keperluan untuk menjadi ibu bapa yang baik telah tersedia dan terpulanglah kepada si ibu bapa untuk memanfaatkannya. Kalau ibu bapa tu tak tonton Semanis Kurma atau Motivasi Pagi atau Tanyalah Ustaz/Ustazah, bukannya salah semua orang!

Oleh sebab itu, sebagaimana tiada satu pun di antara kita tidak mahu dilabel dengan konotasi negatif, sebegitulah juga seharusnya stereotype itu perlu dihentikan bagi mengatakan generasi sekian ialah generasi yang tidak matang, tiada soft skill atau terlalu lembik untuk berhadapan dengan cabaran mendatang. Sebagaimana yang pernah diiklankan dalam satu drama bersiri daripada US yang bermaksud, perubahan ialah satu-satunya perkara yang malar. Jadi, seharusnya kesemua orang perlu menghargai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Banyak faktor yang menyebabkan anak-anak muda sekarang ini melihat dunia daripada kaca mata yang berbeza; sementelah mereka mungkin tidak merasai malam hari dengan pelita api dan mandi harian di sumur atau di sungai, bukan bermakna mereka tidak mensyukuri nikmat.

Kepada ibu bapa pula, tanpa mengira generasi yang mana, ingatlah bahawa anak-anak merupakan kurniaan Tuhan yang tiada nilai gantinya kerana merekalah yang akan menjadi salah satu amalan yang berterusan walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia. Tambahan pula, anak-anak jualah yang diharapkan menjelang masa tua kelak untuk berbakti menjaga orang tuanya yang tidak berdaya dan menjaga nama mereka. Justeru, membodohkan anak-anak saban hari, setiap hari hanya kerana mereka tak dengar cakap tidak memungkinkan anak-anak akan membalas jasa orang tuanya; lebih-lebih lagi sekiranya doa membodohkan itu dimakbulkan Tuhan sehingga menjadikan si anak benar-benar bodoh, bahalol dan tolol!

Bukankah doa ibu bapa itu makbul?

No comments: