Friday, September 20, 2013

Antara McDonald's, Marlboro dan mamaks

 

Penulis telah menulis secara ekstensif tentang isu halal (boleh klik pada tags Halal, Haram) dan sekali lagi, isu halal kembali bergema dengan syarikat makanan segera yang biasa yang menjadi mangsanya. Bukan sahaja isu halal, McDonald's turut pernah menghadapi isu berkaitan keuntungan syarikat diagih kepada Israel dalam rangka melancarkan serangan dan pembunuhan terhadap umat Islam Palestin.

Mangsa yang sama sering menghadapi tuduhan yang sama saban masa. Barangkali, secara kebetulan juga produk berkait McDonald's seperti minuman Coca Cola turut mendapat tempiasnya.

Biasanya, apabila pertubuhan bukan kerajaan Islami yang menggesa agar umat Islam memboikot jenama-jenama tertentu yang berpusat di Barat, tidak boleh tidak, kedua-dua jenama ini akan muncul sebagai antara yang tersenarai. Puas jugalah bahagian perhubungan awam syarikat terbabit terpaksa memberikan penerangan dan membeli iklan di media massa untuk meyakinkan pelanggan Muslim bahawa mereka menjual produk yang disahkan halal oleh JAKIM dan tidak terlibat dalam pemberian dana kepada pihak Israel. Cuma, daripada satu segi, mereka ialah pemain besar dalam industri, jadi apalah sangat kena jawab persoalan-persoalan sebegitu dan terpaksa melabur jutaan ringgit hanya untuk menerangkan kepada umum yang mereka tak bersalah.

Apa yang agak menghairankan ialah mengapakah pihak penggesa/penekan tidak istiqomah dalam perjuangan mereka untuk menggesa tindakan umat Islam terhadap pihak-pihak lain yang barangkali turut terlibat sama ada dalam isu halal mahupun isu berkait sumbangan dana kepada Israel. Nampak sangat bahawa usaha mereka menumpukan syarikat multinasional yang berpusat di US dan cakupan soal halal lebih tertumpu kepada makanan/minuman mutlak. Bagaimana pula dengan produk seperti tembakau yang jelas turut menjadi penyumbang utama kepada regim Israel? Mengapakah tidak ada gesaan untuk memboikot Phillip Morris dan British American Tobbaco yang menjadi pemilik jenama seperti Marlboro, Sampoerna A, Dunhill dan Benson & Hedges dengan berterusan?

Lebih penting daripada itu, mengapakah badan penggesa ini tidak benar-benar menggesa pengharaman rokok kepada umat Islam atas faktor pembaziran dan menyumbang masalah kesihatan yang kritikal seperti serangan jantung dan kanser paru-paru? Mengapakah mereka tidak begitu agresif membawa perkara ini ke media arus perdana dan mempropagandakannya agar kerajaan dan rakyat menurutinya sebagai satu ketetapan umum? Kita mahukan tindakan yang benar-benar substansial seperti pengkanunan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap pengharaman rokok dan bukannya sekadar tersekat di peringkat fatwa negeri sahaja.

Itu isu rokok, bagaimana pula dengan isu halal restoran-restoran yang menghidangkan makanan yang dimakan oleh orang Melayu/Islam sendiri. Restoran sebegini boleh jadi milik orang Melayu/Islam mahupun yang bukan Melayu/Islam. Tanpa mengira genre masakan, sejauh manakah gesaan pihak NGO Islami ini agar kesemua restoran dan kedai makan untuk mendapatkan persijilan halal yang sah daripada JAKIM dan JAIN?

Tidak. Apa yang penulis maksudkan bukan semata-mata kopitiam sahaja sebaliknya meliputi SEMUA genre masakan daripada Melayu, Siam, mamak, Cina, Arab, Korea, Jepun, Amerika Latin, Barat dan lain-lain lagi. Janganlah disebabkan namanya masakan makanan laut ala-Thai, maka mereka diampunkan daripada sebarang gesaan untuk mendapatkan status halal. Janganlah sebab orang Melayu/Islam suka makan di mamak dan mamak pula dikatakan sebagai penyedia makanan India-Muslim, maka mereka dikecualikan daripada keperluan persijilan halal. Berapa banyak restoran mamak (misalnya) yang diserbu oleh JAKIM/JAIN dan dikenakan tindakan kerana menyalahgunakan lambang-lambang yang berkait dengan Islam seperti gambar masjid/Kaabah, Bismillah, ayat-ayat Al-Quran ataupun memperdengarkan pembacaan ayat-ayat Al-Quran! Ada kalanya dapur masakan sesebuah restoran bergelumang dengan serangga kotor dan tikus, sementara pemprosesan bahan mentah yang tidak menepati piawaian kebersihan dan tidak mendapatkan bekalan daripada pihak yang telah disahkan halal!

Pendek kata, setiap gesaan kepada sesuatu entiti yang memberikan perkhidmatan/produk kepada masyarakat, lebih-lebih lagi untuk umat Islam hendaklah dibuat secara istiqomah dan tidak memihak semata-mata hanya disebabkan oleh umum melihatnya sebagai berunsurkan kemelayuan/keislaman. Sudah berkali-kali kita melihat cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti si penyedia produk dan perkhidmatan kerana sentimen tertentu, walaupun pihak yang ditekan sudah pun mendapat pengiktirafan halal daripada pihak berwajib. Sedangkan ada pihak lain yang mungkin lebih teruk lagi daripada segi kehalalan dan kebersihan; tetapi terselamat daripada sebarang kecaman atau gesaan sebegitu kerana dihiaskan dengan unsur Melayu/Islam atau mendapat tempat dalam komuniti muslim.

Lebih-lebih lagi, ada produk yang lebih besar kepentingannya kepada umat Islam seperti tembakau (baca: rokok) yang jarang-jarang menerima tekanan sebegitu hebat untuk diharamkan secara mutlak dengan menjadikannya sebagai kesalahan undang-undang syariah. Perkara ini mungkin disebabkan hendak menjaga periuk nasi penanam tembakau atau pak-pak syeikh dan kenalan mereka sendiri yang menghisap rokok.

Ikhlaskanlah diri kita untuk menuntut yang halal dan janganlah perkiraan itu dibuat atas nama jenama sahaja. Kalau takut sangat status halal ke tidak, sampai tahap nak uji molekul babi, silalah tanam sendiri, ternak sendiri, sembelih sendiri dan masak sendiri. Bukankah hal yang demikian lebih baik lagi awla?

Nota hujung: Penulis mengaku TIDAK dibayar oleh McDonald's ataupun Coca Cola untuk menulis makalah ini. Dan penulis berpendapat adalah lebih tepat jika badan berkuasa pensijilan halal yang mengeluarkan kenyataan selepas siasatan dibuat dan bukannya pihak yang dituduh kerana badan tersebut telah mengeluarkan sijil halal kepada pihak terbabit. Kenyataan badan pengiktiraf lebih boleh dipercayai berbanding pihak syarikat. Di pihak syarikat pula, jawatankuasa pematuhan syariah bagi syarikat lebih layak mengeluarkan kenyataan berkaitan isu halal.

No comments: