Monday, December 3, 2012

Singapura dah habis dah Ya Allah...

 

Masih membincangkan isu doa kehancuran terhadap BN. Tetapi kali ini, dilihat daripada sudut lain pula yang terselit di dalam doa tersebut. Dalam pada orang ramai mengulas, membincangkan, mengkritik dan mempersoalkan frasa 'K.O BN, hancur UMNO,' tampak kita terlupa ungkapan yang menggambarkan negara jiran kita, Singapura sebagai 'dah habis dah.' Apa yang dah habisnya?

Apa kena mengena Singapura yang 'sudah habis dah' dengan UMNO/BN? Bukannya UMNO/BN yang memerintah Singapura. Sebaliknya PAP, iaitu induk kepada DAP yang berada dalam Pakatan Rakyat (PR); yang kini memerintah republik itu. Hubungan PAP dan DAP sangat akrab sekali, sehinggakan PAP ingin mencontohi DAP mendekati rakyat dengan menaiki bas; maka, apa kaitan dengan UMNO?

Hal inilah yang sebenarnya menimbulkan persoalan kerana sebelum ini juga, pihak pembangkang di negara kita dan penyokongnya begitu lantang mengibaratkan segala benda yang berlaku di Singapura jauh lebih baik daripada di Malaysia. Dalam konteks Islam dan pengamalan Islam, PAS mengiktiraf yang Islam di Singapura lebih baik daripada di Malaysia. Bukankah begitu?

Satu ketika dahulu, pemimpin PAS bertaraf Mursyidul Am dengan bangga dan tersengihnya bersalaman dengan Bapa Kemerdekaan Singapura sambil menunjukkan isyarat jempolnya! Juga pernah ditimbulkan isu bahawa amalan Islam di Singapura jauh lebih baik daripada apa yang berlaku di Malaysia! Maka, mengapakah kini dikaitkan doa tersebut dengan 'Singapura dah habis dah?!!'

Bekas Perdana Menteri Singapura itu turut pernah menasihatkan agar umat Islam di negara pulau itu agar 'mengurangkan keIslamannya,' supaya dapat menyuburkan integrasi antara kaum dan memecahkan tembok perkauman. Seruan ini pantas sahaja disahut oleh Mursyidul Am PAS yang bersetuju dengan kenyataan tersebut. Bagaimana pun, kenyataan ini dikritik hebat oleh umat Islam di negara singa kerana seolah-olah menuntut umat Islam menjadi 'kurang Islam!' Sehinggakan pemimpin itu menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf; namun di pihak PAS? Barangkali dalam hal ini, Pok Nik dan PAS merasakan di Singapura sebenarnya lebih terpelihara Islam dan syiarnya berbanding Malaysia.

Tetapi, kini apabila hendak berdoa menghancurkan parti lawan, mengapakah disandarkan pula 'Singapura dah habis dah Ya-Allah?' Sedangkan pemerintahan di sana masih kekal dengan parti yang sama memerintah sedari dulu lagi selepas kemerdekaan negara republik itu!

Kalau dulu, PAS dan pembangkang mengiktiraf Singapura lebih keIslamannya daripada Malaysia tetapi semasa hendak berdoa memohon kepada Allah untuk K.O BN, K.O UMNO, tiba-tiba negara Singapura pula yang dijadikan contoh keadaan 'dah habis dah?’

Tulisan ini bukan untuk menimbulkan sentimen buruk kenegaraan antara kedua-dua buah negara Malaysia kerana dalam kebanyakan hal, rakyat antara kedua-dua buah negara hidup rukun, aman dan damai; bersaudara dan berurusan dengan begitu baik sekali dalam apa jua keadaan. Begitu ramai rakyat di Malaysia terutamanya di bandaraya Johor Bahru yang bekerja di sana, mempunyai pertalian keluarga di sana dan begitu juga rakyat Singapura yang bersaudara di sini dan bercuti berlibur di sini.

Malah, dalam aspek keagamaan pun ulama sana juga menabur jasa yang cukup besar dalam kerangka keilmuan di Nusantara. Sekadar menyebut beberapa nama tokoh ulama sana yang karya-karyanya tersebar luas di Malaysia dan pernah menyampaikan ilmu di tanah air kita, daripada Syed Abdillah Al-Jufri, M. Abdai Atory dan Syed Ahmad Semait. Mereka mengarang kitab dan menterjemahkan kitab-kitab Bahasa Arab kepada Bahasa Melayu lewat karya 'Pelita Al-Quran,' 'Riyadh As-Salihin' 'Nasihat Agama Wasiat Iman,' dan 'Ihya Ulumuddin.' Kesemuanya sangat bernilai dan cukup bermanfaat kepada seluruh umat Islam sama ada di Singapura mahupun Malaysia.

Akan tetapi, tatkala menjelang pilihan raya, sementara dahulunya pimpinan PAS mengiktiraf umat Islam dan kepimpinannya di Singapura jauh lebih baik daripada di Malaysia, dalam doa yang dipohon untuk 'menghancurkan BN dan UMNO,' tok guru yang berdoa itu mengisyaratkan bahawa 'Singapura dah habis dah Ya Allah,' seolah-olah punah sudah Islam di Singapura.

Perkara inilah yang seharusnya diamati, dinilai dan diinsafi oleh umat Islam di Malaysia dan juga lebih-lebih lagi umat Islam di Singapura; lantaran tuduhan yang cukup besar bahawa 'Singapura dah habis dah, Ya Allah!'

Beginilah tanda-tanda nifaq, dulu kata lain, sekarang kata lain!

P/s: Tanjung Pagar rapat ke pagar?????

Doa K.O UMNO selaras doktrin hanya PAS itu Islam

 

Peristiwa yang menjadi tajuk artikel ini bukanlah kali pertama berlaku dalam sejarah politik tanah air. Malah, sudah berkali-kali juga PAS melalui pimpinannya memohon kepada Allah Yang Maha Esa untuk menghancurkan UMNO/BN atau memecahkan perut pemimpin sekian-sekian. Pendek kata, bukan isu baru apabila PAS mendoakan kehancuran kepada sesama Islam.

Apa sebab?

Sebab Islam ialah PAS dan PAS ialah Islam. PAS tak peduli doa yang dibacakan itu mengenai orang-orang Islam yang wujud di Malaysia ini yang turut sama mengucap syahadah yang sama; bersolat ke arah kiblat yang sama, berpuasa pada bulan yang sama dengan mereka dan mungkin berhaji ke Baitullah al-Haram bersama-sama. Tidak timbul isu-isu tersebut. Yang Maha Penting, K.O UMNO, BN K.O dan permudahkanlah untuk ke Putrajaya.

Itulah sebabnya doa Tuan Guru Nik Razi Nik Mat berulang-ulang kali mengucapkan K.O BN. Apabila ditanya kepada Presiden PAS Tuan Guru Sohibul Fadhilah Dato' Seri Hadi Awang, maka jawabnya, 'itulah doa orang yang dizalimi, tiada pendiding daripadanya,' sambil menyifatkan 'doa orang kafir yang dizalimi pun sangatlah mustajab.'

Bayangkanlah lima puluh tahun lebih, dizalimi sedemikian rupa! Lima puluh tahun penuh dengan kezaliman! Barangkali Malaysia lebih teruk daripada Palestin kerana negara ini sudah lebih lima puluh tahun dizalimi oleh pemimpin UMNO dan BN. Zalim sungguh! (Boleh pula berhimpun dengan begitu sejahtera, tanpa sebarang kekacauan di stadium untuk buat solat Hajat!)

Umat Islam Malaysia merupakan antara yang paling dizalimi dalam dunia ini mengalahkan apa yang pernah berlaku di Bosnia dan Somalia! Barangkali mereka tidak tahu mereka dizalimi! Sebab itu PAS tampil untuk berdoakan kecelakaan pemimpin yang menzalimi mereka itu!

Bayangkan, segala institusi keagamaan Islam telah disediakan oleh pemerintah; daripada masjid, sekolah, sekolah agama, universiti Islam; bank Islam; Majlis dan Jabatan Agama, Tabung Haji - kesemuanya belum cukup untuk menidakkan kezaliman UMNO. Umat Islam senang-lenang ke masjid - tiada seorang pun dipaksa untuk tidak beribadah, melaungkan azan, melakukan ritual daripada zikirnya, baca Qurannya, berkorbannya dengan mudah; mendapatkan makanan halal, mempunyai akses pelbagai ilmu daripada kitab-kitab, tanpa sebarang kekacauan dan ketakutan - belum boleh dikatakan kerajaan UMNO berlaku adil. Belum.

Hatta, kalau hendak dibandingkan dengan segala negara Islam yang menghadapi konflik dalaman dan luaran sekali pun, kerajaan UMNO lebih zalim daripada apa yang berlaku di sana!

Bilakah masanya kezaliman ini akan terhenti?

Apabila PAS dan sekutunya menawan Putrajaya....

Lalu dinisbahkan doa itu dengan menyebut kekuasaan Allah Taala menghancurkan Firaun, Qarun, Namrud dan Abu Lahab - sedangkan kesemuanya tidak sama sekali mengakui keimanan kepada Tuhan Yang Maha Esa (pendek kata kafir) - kerana Allah telah menghancurkan mereka, apatah lagi pasti mudah Allah menghancurkan UMNO/BN. Mungkinkah yang hendak dimaksudkan ialah UMNO setaraf sengan Firaun, Qarun, Namrud dan Abu Lahab agaknya!

Masya Allah! La Hau la wala quata illah billah! Kesemua ini cukup-cukup jelas membuktikan doktrin hanya PAS sahaja yang Islam.

Bagaimanakah pula pendapat Tuan Guru Sohibus Samahah Dato' Nik Aziz Nik Mat?

Mudah sahaja hukumnya, 'UMNO tolak Isle, makanya dia agama apa? Hindu? Buddha?' Sementelah bukanlah kali pertama Tuan Guru Pok Nik mengatakan 'UMNO tolak Islam.'

Yup, ada sesuatu yang memusykilkan kerana UMNO yang menolak Islam ini pada dasarnya Islam belaka. Siulan yang sama yang dimainkan oleh pemimpin PAS daripada dahulu sehingga kini.

Oleh yang demikian, apa lagi yang hendak dinafikan? Doktrin PAS ialah Islam jelas sekali terpancul di mulut-mulut pemimpin PAS dan disokong penuh oleh ahli-ahli PAS. Mereka ada dalil belaka mengapa UMNO zalim.

Walaupun ulama yang lain boleh mematahkan hujah tersebut atau menegur sikap menyahIslamkan UMNO/BN, kesemuanya lebih inferior berbanding hujah PAS sebab, mereka ialah ulama jahat, terompah kayu, dibeli oleh UMNO dan wajib bertaubat.

Oleh yang demikian, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemimpin PAS bertindak sehingga menidakkan keIslaman orang selain penganut parti mereka. Selain ahli parti PAS (dan mungkin sekutunya), terutmanya UMNO, walaupun mereka mengimani dan menyaksikan Tiada Tuhan Selain Allah dan Muhammad itu hamba-Nya dan Rasul-Nya; mereka masih lagi zalim.

Dan tatkala kesemua itu berlaku dan Tuan Guru Pok Nik masih lagi mengimani bahawa UMNO menolak Islam, dan pengikut-pengikut PAS mempercayainya, maka jelaslah di sini bahawa PAS sedang melakukan takfir terhadap UMNO.

Memang mudah melabel orang sekian menolak Islam, namun pesan Nabi sendiri jelas seandainya yang dikatakan itu tidak benar, maka tunuhan tersebut kembali kepada orang yang menuduhnya.

Semoga Allah mengurniakan hidayah dan taufiq kepada keseluruh hamba-hamba-Nya di Malaysia, termasuk orang PAS.

Wednesday, November 21, 2012

Palestin: Plot yang telah direncanaa

 

Bukankah sesuatu yang menakjubkan bahawa selepas sahaja Obama berjaya mempertahankan jawatannya, Israel terus menyerang Gaza dengan sewenang-wenangnya? Mereka bagaikan orang gila yang tiba-tiba mengganas dan melancarkan serangan bertali arus untuk 'memusnahkan pejuang Hamas.'

Kepada siapakah amarah ini ditujukan?

Umat Islam?

Warga dunia?

Warga US?

Tiada noktahnya usaha damai yang dibuat, diusahakan oleh pihak Palestin namun tiada noktah juga pembunuhan, genosida dan holokos yang dilakukan oleh pihak Israel.

Begitulah yang dihadapi oleh saudara Islam di bumi penuh barakah dan sejarah ketamandunan agama Samawi. Umat Islam seluruh dunia hanya mampu berdoa memohon kebesaran Ilahi, Yang Maha Penyayang dan Yang Maha Pengasih, maka kasihilah mereka dan sayangilah mereka yang berjuang atas nama-Mu bagi memepertahankan bumi tanah air sendiri.

Ada benarnya jika disingkap kembali, tiadalah bezanya siapa yang dipilih oleh orang US untuk menjadi kepala negara kerana kedua-duanya sangat terikat dengan pengaruh Israel baik politik, ekonomi mahu pun sosialnya.

Lalu atas dasar pertalian itulah, janganlah kita hairan dengan sokongan Obama terhadap serangan tersebut. Obama redha umat Islam dibom tanpa sebarang justifikasi yang sah disisi hatta perlembangaan PBB yang begitu diagungkan itu. Nah, inilah buktinya walau apa pun yang berlaku, US dan Israel berada di atas sebarang resolusi PBB dan boleh melangkauinya.

Jenayah perang Israel tidak pernah dikira sebagai jenayah. Segala genosida yang dilaksanakan oleh Israel tidak pernah dikira sebagai genosida. Hakikatnya, empat tahun akan datang akan menonjolkan wajah sebenar politik US yang sentiasa tunduk, patuh dan akur kepada kehendak sekutunya Israel.

Saturday, November 17, 2012

Kenyataan Nurul Izzah selaras perjuangan PAS

 

Masih lagi berkaitan dengan kenyataan kontroversi YB Nurul Izzah dalam sebuah forum 'Negara Islam,' namun kali ini penulis mengambil sudut bandingan dengan perjuangan PAS sendiri. Dengan cara demikian, kita akan dapat memahami mengapakah PAS sebagai sebuah parti yang mendakwa dirinya Islam menangani isu ungkapan Nurul Izzah ini sebagaimana kini; dengan menemplak sesiapa sahaja yang menegur ucapan tersebut dan mengibaratkan ulama yang menentang ucapan itu sebagai ulama jahat dan perlu bertaubat.

Perjuangan PAS sedari dahulu lagi berkenaan agama. Ungkapan seperti 'Negara Islam,' 'hudud,' 'jihad,' 'agama' dan lain-lain frasa Islamik sering kali dikaitkan dengan parti tersebut. Cuma kini, dalam beberapa aspek seperti 'Negara Islam' bukan lagi prioriti PAS kerana 'tiada tuntutan dalam Al-Quran melainkan Negara Kebajikan.'

PAS juga sedari dahulu lagi menuduh UMNO, tunjang kepada Kerajaan Persekutuan sebagai asabiyyah. Disebabkan asas utama perjuangan UMNO ialah Melayu, maka PAS mempergunakan asas tersebut dengan menghentam sehentam-hentamnya (sehingga terbenam tujuh kaki ke perut bumi) bahawa perjuangan UMNO sebagai nasionalis, bersuku dan tidak memenuhi ajaran Islam kerana mendahulukan bangsa. Sungguhpun kalimah tipikal orang UMNO ialah, 'demi bangsa, agama dan negara;' PAS hanya boleh menghadam bab 'bangsa' sahaja daripada frasa tersebut. Walaupun perjuangan bangsa Melayu, berasaskan Perlembagaan Malaysia turut membabitkan Islam, PAS tetap tegar menyatakan bahawa yang penting ialah Islam. Melayu tidak wujud dalam perjuangan PAS kerana Islam itu lebih tinggi lagi.

Agenda PAS ialah Islam dan hudud dan ini digambarkan dengan doktrin PAS itu Islam dan Islam itu PAS. Semulia-mulia agama ialah Islam dan semulia-mulia parti ialah PAS. Apa jua perkara Islamik yang telah dilaksanakan oleh UMNO/BN tidak akan dapat menandingi apa sahaja rancangan yang belum atau sudah dilaksanakan oleh PAS. Misalnya, masjid yang dibina oleh kerajaan pusat sudah semestinya lebih rendah tarafnya daripada masjid yang dibina oleh PAS. Hujahnya mudah, peruntukan kerajaan pusat bercampur akan halal dan haramnya duit itu lantaran cukai araknya, cukai judinya. Tetapi, peruntukan PAS pula sehabis-habis suci dan halal walau daripada mana pun sumbernya. Itulah dogma PAS.

Ustaz-ustaz yang tidak bersetuju dan menegur pihak PAS dalam segenap isu ialah ustaz-ustaz yang telah dibeli oleh UMNO. Mereka ialah manusia berilmu yang tidak menyokong perjuangan Islam! Mereka ialah barua kerajaan, terompah kayu dan ulama as-suu' (jahat); hanyut dalam najis sekuler dulu kini dan selamanya. Sebaliknya, ustaz-ustaz PAS sedia maksum tiada cacat-celanya. Kata-katanya fatwa yang wajib ditaati. Kalaulah JAKIM menghalalkan Rebina, ustaz PAS kata, sungguh Rebina haram, maka jatuh hukum Rebina tadi haraaam. Beginilah anutan dan doktrin PAS dan ahli-ahlinya.

Sungguh, dalam dogma PAS, perjuangan PAS itu satu-satunya perjuangan Islam yang suci atas muka bumi ini. Semua pendukung Islam harus mengaitkan diri dengan PAS untuk mendapat taraf pejuang Islam yang tulen. Malah, PAS tidak teragak-agak untuk menganugerahkan gelaran yang muluk-muluk kepada pemimpin bukan Islam yang mempunyai matlamat yang sama dalam menumbangkan kerajaan yang zalim seperti BN dan menegakkan kerajaan berkebajikan yang dituntut dalam Al-Quran. Sebab itulah kuniyah PAS kepada Lim Guan Eng ialah Khalifah Umar Abdul Aziz.

Dalam PAS, pesetankan bangsa! Mana ada dalam perjuangan Islam menegakkan bangsa! Perjuangan bangsa dalam apa asbab sekali pun tidak pernah dituntut dalam Islam. Yang paling penting ialah agama. Yang mengangkat mulia sesuatu bangsa; tapi bangsa tak penting pun, ialah Islam. Dahulu bangsa Melayu beragama Hindu/Buddha, maka Allah muliakan bangsa Melayu dengan Islam. Yang mulia ialah Islam, bukannya Melayu!

Sebab itulah Sahibus Samahah Tuan Guru Dato' Bentara Setia Diraja Nik Aziz Nik Mat pernah meluahkan beliau tidak berbangga berbangsa Melayu. 'Sungguh, ambo tok bangge jadi Melayu; sebab yang penting, Isle...' Dengan kenyataan tersebut, eloklah penganut PAS dan sekutunya menggelarkan Tuan Guru tanpa gelaran 'Nik.' Sebab Nik ialah gelaran berasaskan bangsa! Nik ialah gelaran keturunan bangsa Melayu yang mulia di Kelantan. Jadi, patutnya daripada awal lagi Pok Nik tidak menamakan anak-anaknya dengan nama Nik juga kerana gelaran tersebut tidak dituntut dalam Isle.

Lagilah pula sebagai seorang pejuang Isle yang sejati, tok same skali meletokke bangse sebage asah perjuange, maka jangan dikaitkan langsung namanya dan gelarannya dengan hal-hal berkaitan Melayu sebab 'ambo tok bangge jadi bangse Melayu.'

Berasaskan kepada perjuangan PAS yang tulen inilah, relevennya ucapan dan idea yang dibawakan oleh YB Lembah Pantai. Saranan dan idea 'orang Melayu wajar diberikan kebebasan untuk memilih agama' sebenarnya satu pernyataan yang cocok dengan perjuangan PAS. Perlu diingatkan bahawa perjuangan PAS BUKAN kerana bangsa Melayu tetapi kerana agama Islam. Maka, apa yang disebutkan oleh Naib Presiden PKR itu selaras dengan perjuangan PAS kerana PAS mendambakan masyarakat Islam berteraskan hukum Allah, bukannya perjuangan sempit kepada bangsa.

Jadi, sebenarnya tidak perlulah umat Islam menjadi risau lantaran cadangan tersebut kerana pada hemat PAS, cadangan itu ada kebenarannya dan berteraskan kepada tuntutan Al-Quran dan Sunnah. Mungkin dakwah Islamiyyah akan lebih subur lagi kerana dengan qawaid manhaj PAS, keutamaan diberikan kepada Islam. Dengan cara ini, umat Islam akan ditarbiyahkan agar menjadi umat berkualiti meskipun bersekolah di sekolah mubaligh.

Sesungguhnya, apa yang PAS tahu dan faham ialah apabila seseorang itu telah Islam, tidak sempurna keIslamannya selagi tidak menyertai PAS. Sebab itu, memang patut pun Melayu diberikan pilihan beragama kerana mereka boleh memilih antara PAS atau bukan-PAS; sudah semestinya PAS semulia-mulia parti politik.

Kita kena ingat dan faham, barangsiapa yang menyertai parti lain selain PAS; dia tidak bersama dalam memperjuangkan Islam. Pada PAS, bangsa Melayu tak penting sebab yang benar dituntut dalam perjuangan ialah Islam. Segala kalimah liberalisme, pluralisme dan LGBT itu semuanya propaganda menentang Pakatan Rakyat dan PAS kerana selagi PAS bersama PR, tunggak Islam akan sentiasa dipegang, dijunjung dan dipertahankan.

Justeru, apabila wujud gejala memurtadkan orang di gereja suatu ketika dahulu, PAS bangkit mempertahankan hak kebebasan beragama dengan menyatakan itu semua kerja UMNO. UMNO yang mewujudkan isu, sebab tiada rencana murtad di gereja tersebut. Yang ada cuma makan-makan dan itu bukanlah sesuatu yang salah. Lagilah yang kononnya hendak dimurtadkan itu ialah orang Melayu; jadi tak ada isulah sebenarnya. Melayu bukan agenda perjuangan PAS, melainkan Islam. Paderi-paderi Kristian dan Biskop-biskop mereka bertepuklah tangan kerana PAS memahami agenda mereka. Yang hendak dimurtadkan ialah orang Melayu, bukannya Islam! Tidak gitu?

Oleh yang demikian, apabila orang Melayu diberikan kebebasan beragama, perkara ini selaras dengan perjuangan PAS kerana yang diperjuangkan PAS ialah Islam. PAS tak peduli Perlembagaan Malaysia yang menetapkan orang Melayu itu beragama Islam kerana undang-undang perlembagaan Malaysia ialah undang-undang kafir. Menentang UMNO/BN yang mempertahankan Perlembangaan Malaysia ialah jihad dan mati terkorban menentangnya ialah syahid.

Bekerjasama dengan UMNO juga haram kerana UMNO memperjuangkan Melayu sedangkan PAS memperjuangkan Islam. Walaupun UMNO mendukung perlembagaan Malaysia yang meletakkan Melayu beragama Islam, PAS tetap teguh dengan perjuangan Islam sejati. Berbeza dengan kerjasama dengan DAP dan PKR. DAP faham dengan perjuangan PAS. Mereka mempunyai pemikiran yang sama dengan PAS; walaupun DAP sama sekali tidak akan menerima konsep hudud dan negara Islam PAS. Sama tapi tak serupa.

Mengundi DAP yang menentang Islam dan tidak sama sekali akan redha untuk mengangkat Islam sebagai agama tertinggi di Malaysia, apatah lagi hendak melaksanakan hudud; ialah undi kepada perjuangan Islam dan mengangkat hudud sebagai hukum di Malaysia. Walaupun terdapat kontradiksi antara perjuangan PAS dan DAP, yang sebenarnya, mengundi DAP lebih dituntut dalam Islam dalam terus menerus memperjuangkan kalimah syahadah di bumi Allah ini. Akan tetapi, mengundi UMNO, ialah mengundi asabiyyah lagi batil; walaupun UMNO dalam usahanya telah banyak memberikan sumbangan kepada Islam dan perkembangan Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana UMNO ialah parti politik yang penuh korupsi dan mengkhianati perjuangan Islam.

Akhirnya, sangat cocoklah zahir tuntutan YB Nurul Izzah dengan perjuangan PAS kerana yang penting ialah kualiti agama, bukannya bangsa Melayu. PAS harus mendukung ucapan YB Nurul Izzah ini kerana mereka tidak langsung mempedulikan aspek dan atribut bangsa. Apa yang hendak dibanggakan tentang bangsa Melayu? Yang penting Islam dan kualiti Islam!

Walaupun hakikatnya bangsa Melayu itu tunjang kepada umat Islam di Malaysia......

Friday, November 9, 2012

Obama: Menang atau kalah

 

Seorang wartawan bertanya kepada pemimpin di Asia Barat mengenai kemenangan Obama ke Rumah Putih dan jawapan yang diberikan cukup sinis, 'memilih antara yang teruk, atau yang lebih teruk.' Sama ada yang dimaksudkan Obama itu teruk, Romney lebih teruk atau sebaliknya tidaklah diketahui. Namun apa yang boleh disimpulkan ialah perumpamaan Inggeris yang bermaksud 'yang kurang teruk daripada dua kejahatan' (lesser then two evils).

Hakikatnya, dua-dua pun teruk!

Bagaimanapun, apakah kelebihan Obama yang menyebabkan beliau dipilih menjadi Presiden buat penggal kedua negara Uncle Sam? Adakah benar Obama ialah 'yang kurang teruk daripada dua kejahatan?' Satu yang pasti ialah undian bukan kulit putih hampir kesemuanya memihak kepada Obama sementara Mitt Romney pula banyak memperoleh undian Caucasian.

Perkara sebegini membuktikan kecenderungan konservatif memihak Romney yang tampak lebih tegas dan mengibaratkan Palestin tidak bersungguh dalam menyelesaikan isu mereka dengan Israel. Pada pendapat mereka, kerajaan US perlu lebih tegas untuk menyelesaikan isu Palestin-Israel sekali pun dengan menggunakan kekerasan ketenteraan. Sudah semestinya 'tentera' dalam isu ini memihak kepada Israel.

Berbeza Obama yang sungguh pun tidak boleh lari daripada sokongannya terhadap regim Zionis, beliau dalam tindak-tanduknya masih berdiplomasi agar kumpulan pejuang Palestin turut serta dalam 'perbincangan menuntut perdamaian.' Walaupun semua tahu bahawa Israel sama sekali tidak ingin berdamai dengan Palestin, ketiadaan sokongan US dalam sebarang usaha menghancur-leburkan Palestin akan memberikan impresi dan imej bahawa regim Zionis sememangnya sebuah regim yang ganas, kejam dan tidak berperikemanusiaan di mata pemimpin bukan-Islam yang lain.

Justeru, kemenangan Obama kali ini tidaklah diraikan sehebat-hebatnya oleh dunia luar kerana pengalaman empat tahun di bawah pentadbirannya tidak menunjukkan sebarang keistimewaan sebagaimana yang pernah dipropagandakan sebelum ini. Malah, dalam beberapa keadaan, Obama memberikan elemen kejutan umpama kejayaannya (tenteranya) membunuh Osama bin Laden dan kejayaan NATO yang begitu mantap menggulingkan regim Muammar Gaddafi. Hal ini seolah-olah menjadi amaran keras kepada penentang US bahawa kendati beliau kelihatan kurang aggresif, beliau boleh mendapatkan apa sahaja yang beliau inginkan.

Selain itu, kemenangan Obama membuka ruang seluas-luasnya kepada penyebaran pemikiran liberal; bukan sahaja di US malah di seluruh dunia. Sebagaimana yang sedia maklum, pemikiran liberal (liberalisme) lebih subur di bawah Obama apatah lagi dengan sokongannya terhadap perkahwinan sejenis. Jadi, tidak hairanlah sekiranya lebih ramai selebriti US yang menyokong Obama kerana dasar-dasarnya yang mesra aliran liberal. Obama juga tampak mesra artis kerana 'kesantaiannya' yang membolehkan seseorang itu 'dunk with the president.' Pendek kata, pendekatan liberal yang sememangnya telah tersebar luas kini mendapat tonik apabila terpilihnya kembali Presiden yang juga liberal.

Akhir kalam, umat dunia kini terpaksa menghadapi sekali lagi Presiden Obama selama empat tahun lagi; sama ada baik ataupun buruk. Dunia terutamanya dunia Islam sebenarnya tiada pilihan kerana siapa pun yang terpilih, orang tersebut akan terikat dengan cengkaman ekonomi dunia yang dikuasai oleh orang Yahudi masa kini.

Oleh sebab itu, mereka terpaksa pasrah menerima satu daripada dua keterukkan kerana selama mana kuasa ekonomi di bawah tampuk Barat, maka selama itulah kita akan kekal di dalam kebergantungan terhadap bayangan sekutu Yahudi.

Thursday, November 8, 2012

Tiada paksaan dalam beragama...........

 

Kalaulah seseorang itu faham frasa ‘tiada paksaan dalam beragama,’ maka wajar sekali dia juga faham tentang tiada paksaan dalam menjawab soalan. Banyak sebenarnya hadis Nabi SAW yang lebih menekankan agar umatnya diam daripada berkata-kata yang tidak bermanfaat. Allah Taala juga berfirman agar umat manusia bertanya kepada mereka yang lebih faham atau ahlinya. Oleh yang demikian, tidak akan tercalar sedikit pun reputasi seseorang itu seandainya soalan yang ditanya kepadanya tidak dijawab seandainya takut jawapannya disalah erti, tidak pasti atau tiada pengetahuan langsung untuk menjawabnya.

Begitulah halnya yang sepatutnya berlaku apabila salah seorang pimpinan tinggi PKR yang juga merupakan anak kepada Ketua Umum PR, diajukan soalan tentang kebebasan beragama; sejauh manakah seseorang itu bebas untuk beragama dalam sebuah dialog yang dianjurkan bagi membincangkan isu ‘Negara Islam.’ Jawapan yang dikemukakan pantas menjadi kontroversi kerana dalam kenyataannya, beliau yang pernah bersekolah di Assunta yang ‘mempunyai salib yang besar’, menyatakan ‘tiada termaktub di dalam Al-Quran berkenaan orang Melayu (harus memilih sesuatu agama)’ dan ‘kebebasan agama itu terpakai bukan hanya orang bukan-Melayu sebaliknya seharusnya terpakai secara ‘saksama.’

Untuk berlaku adil, kita haruslah bertanya sama ada status mental beliau pada ketika itu baik kerana seandainya tidak, maka beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atas ungkapan sebegitu (tidak mukalaf). Selain itu, perlu juga disiasat sama ada beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan sebegitu disebabkan majlis tersebut dianjurkan oleh “Barisan Renaissance Islam” di sebuah gereja PJ. Namun, kenyataan balas beliau berkenaan ‘umat Islam harus patuh pada syariat Islam’ pada masa dan tempat lain menunjukkan apa yang beliau ungkapkan dalam majlis ‘Negara Islam’ itu dilakukan secara sedar dan bukan dipaksa.

Apa yang pasti, pelbagai polemik telah pun tercetus dengan kenyataan puteri reformasi itu. Sebagai ada pihak yang bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan kebebasan agama itu mutlak kepada kesemua rakyat Malaysia termasuk yang berbangsa Melayu, ada pula yang menyatakan bahawa kenyataan YB Lembah Pantai itu telah diputar-belitkan kerana kononnya beliau tidak bermaksud yang orang Melayu boleh bebas untuk memilih agamanya.

Bagi penyokong dan pimpinan kerajaan BN, sudah semestinya isu ini akan digunakan sebaik mungkin kerana kenyataan tersebut memberikan tafsiran bahawa orang Melayu bebas memilih agamanya sendiri tanpa apa paksaan; sekali gus memberikan implikasi bahawa umat Melayu boleh sewenang-wenangnya murtad. Sedangkan dalam perlembagaan, termaktub klausa yang menyatakan bahawa orang Melayu itu beragama Islam; sementelah sebagai orang yang kononnya ‘menjunjung perlembagaan,’ adakah patut beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian? Hal ini dikaitkan pluralisme dan liberalisme yang sering dipalitkan dengan bapa beliau dan pimpinan parti PKR.

Akhirnya, kita kembali kepada kemampuan seseorang menjawab soalan yang dikemukakan sedangkan soalan tersebut sememangnya soalan perangkap; maka patutkah dijawab? Malah, lebih tepat lagi, patutkah panel-panel tersebut dijemput memberikan pandangan tentang negara Islam sedangkan orang yang sepatutnya lebih mengetahui dari kalangan alim-ulama yang lebih berkelayakan untuk menjawab hal-hal tersebut daripada perspektif Islam? Mengapakah pihak penganjur tidak menjemput orang seperti Tuan Guru Sohibus Samahah Dato’ Nik Aziz mahupun Tuan Guru Sohibul Fadhilah Dato’ Seri Hadi Awang untuk hadir menerangkan apakah yang dimaksudkan sebagai negara Islam dan soal kebebasan beragama dalam Islam? Atau mungkin daripada pihak kerajaan seperti Dato’ Seri Jamil Khir Baharom mahupun Dato’ Dr Mashitah Ibrahim atau orang-orang kuat JAKIM supaya majlis sebegini dapat memuktamadkan konsep negara Islam yang boleh disesuaikan dan dibangunkan mengikut acuan tulen yang memanfaatkan pandangan pihak kerajaan dan pembangkang?

Soal negara Islam bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main-main apatah lagi dibincangkan oleh orang yang bukan ahli. Tambahan pula, majoriti ahli panel yang dijemput pun tidak ada autoriti untuk bercakap tentang hukum-hakam Islam dan negara Islam; bagaimana hendak memberi perspektif sebenar tentang negara Islam dan agama Islam? Paling tidak, panel itu mestilah yang mahir undang-undang Islam sama ada klasik (yang diperoleh daripada kitab-kitab induk fiqh) mahupun yang termaktub dalam enakmen syariah masa kini yang diamalkan di Malaysia.

Apa yang dapat penulis simpulkan ialah penganjuran dan sesi soal-jawab berkaitan ‘Negara Islam’ menampakkan betapa ada pihak tertentu yang ingin memerangkap umat Islam dalam polemik kebebasan beragama. Seterusnya ahli penal yang mempunyai semangat motivasi yang tinggi seperti YB Lembah Pantai sudah semestinya didambakan untuk memberikan respon ‘panas’ mengenai kebebasan beragama. Namun, soalan perangkap sebeginilah yang menyebabkan kecaman yang agak kasar terhadap beliau sehingga keluarnya sepanduk “Muka Lawa tapi Bodoh.” Apa yang diucapkan telah dirakam dan walau bagaimana cara pun beliau cuba nafikan konotasi disebalik jawapan beliau, ‘kerosakan telah belaku.’ (damage has been done). Pepecahan pendapat umat Islam telah pun berlaku. Label melabel telah pun terjadi.

Justeru, sebagaimana yang telah penulis utarakan awal tadi, tiadalah hilang kredibiliti seseorang itu seandainya tidak mampu menjawab sesuatu yang bukan bidangnya malah, alangkah molek seandainya ditanya dahulu kepada yang ahli tentangnya. Ulama muktabar terdahulu telah mewariskan kaedah dan adab yang cukup baik apabila berhadapan dengan pelbagai persoalan daripada penuntutnya sehinggakan ada yang enggan menjawab soalan yang tidak diketahui jawapannya. Mereka tidak menjawab mengikut hawa nafsu mereka seolah-olah ingin menonjolkan yang mereka tahu segala jawapan yang dipersoalkan.

Terpulanglah kepada ahli politik kita terutamanya yang beragama Islam untuk meneladaninya. Atau, sememangnya jawapan tersebut merupakan luahan hati yang tulus untuk menunjukkan yang mereka tahu cakap pasal agama!!!

Sunday, September 9, 2012

Gelek-gelek punggung

 

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan tindakan segelintir peserta perhimpunan 'Janji Bersih' menjelang ambang merdeka yang memijak gambar pemimpin negara dan meluahkan perasaan agar bendera Malaysia 'Jalur Gemilang' ditukar kepada bendera lain.

Bagi kumpulan yang melakukan tabiat buruk terhadap gambar pemimpin negara, memang jelas bahawa mereka melakukannya secara suka rela dan mereka sedar yang mereka sedang melakukan perkara tersebut serta kelakuan mereka dirakam. Ada yang bertindak melampaui batas adab dan kesopanan Timur sehingga mendedahkan bahagian punggungnya terhadap gambar tersebut.

Kalaulah si perakam itu merakam aksi manusia tersebut daripada arah belakangnya ketika itu, nescaya akan terpaparlah punggungnya itu seantero dunia. Mungkin boleh jadi iklan percuma untuk golongan homoseksual yang kemaruk punggung!

Pada masa yang sama, beberapa anak muda turut memijak-mijak gambar PM Najib sebagai meluahkan perasaan mereka; dalam keadaan yang bolehlah dikatakan 'gembira.'

Satu lagi kumpulan mengibarkan bendera merah putih persis bendera Indonesia dan Singapura kononnya itulah bendera yang sepatutnya menjadi bendera negara.

Macam biasalah juga, penyokong kelakuan tersebut akan memberikan pelbagai alasan untuk menyokong kelakuan tersebut; ada yang mengibaratkan bendera Malaysia kini seperti bendera US, jadi 'macam bendera kapir,' dan ada juga yang mempertahankan kononnya daripada segi sejarah, itulah bendera kepulauan Melayu atau Nusantara.

Tentang sejarah ataupun tidak, biarlah pakar sejarah yang mengulasnya. Akan tetapi, niat mereka yang terlibat sehingga mereka menayangkan 'No to this, yes to that' menunjukkan hasrat dan niat sebenar mereka untuk tukar bendera; - bukannya semata-mata sekadar memberitahu bahawasanya zaman Tok Kaduk dulu, Tanah Melayu menggunakan bendera sekian-sekian.

Kini, siasatan polis telahpun dijalankan setelah puluhan (atau ratusan) laporan dibuat. Si pemunggung dan keluarga telah memohon maaf dan menyesali perbuatan tersebut. Dikhabarkan pemunggung berasa trauma dan begitu terkesan sekali dengan impak yang diberikan oleh orang ramai terhadap dirinya dan keluarganya.

Peristiwa sebeginilah yang menunjukkan kepada kita wajah sebenar demonstrasi jalanan. Walaupun pada asasnya, 'Janji Bersih' tidak seteruk Bersih 3.0 dan Bersih-bersih yang lain, lensa kamera boleh sahaja merakam detik-detik istimewa dalam perhimpunan tersebut dan itulah yang akan menjadi tajuk berita dan bahan bual bicara.

Malah, ada yang mengulas sehingga ke tahap 'hilangnya patriotisme orang muda' atau 'lunturnya akhlak remaja' kerana memijak gambar pemimpin negara. Ingat, jawatan PM bukannya dikutip di tepi jalan!

Soal akhlak, budi daya dan adab merupakan soal yang cukup besar untuk dieksploitasi dalam sekelip mata. Kita perlu melihat evolusi peradaban manusia untuk bandingkan adakah yang kini lebih baik daripada yang dahulu. Tambahan pula cakupan maklumat, teknologi dan inovasi masa kini yang lebih kehadapan berbanding dahulu untuk merakam detik-detik menarik dalam sesebuah kejadian, maka kita seharusnya lebih objektif untuk membuat pemerhatian tentang akhlak dan adab.

Tetapi, penulis tertarik dengan pandangan Prof. Ulung Dato' Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkaitan isu demonstrasi sebegini; perlukah kita berasa putus asa dengan generasi kini lalu beliau memberikan jawapan yang amat sinis.

Menurut beliau, sedangkan pimpinan masa kini di tampuk pemerintahan juga banyak yang terlibat dalam tunjuk perasaan sekitar tahun 70-an dahulu (juga pada 80-an dan 90-an!). Kini merekalah jua yang menjadi pemimpin parti kerajaan mahupun pembangkang, orang kaya korporat dan menjawat jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan. Jadi, kalau kita nisbahkan mereka ini dengan apa yang berlaku sekarang, adakah pimpinan negara ini teruk?

Patriotisme tidak boleh semudahnya diukur dengan mengagak, meneka atau 'daripada pemerhatian saya....' Jumlah bendera tidak menentukan yang seseorang itu lebih patriotik daripada yang lain. 'Budak sekarang' tidak faham apa yang dimaksudkan dengan rukun negara? Macamlah 'budak dahulu' mahir dengan maksud dan pengertian Rukun Negara! Kalau setakat hafal, bukan bermaksud faham dan menghayatinya.

Apa yang lebih penting ialah usaha kerajaan dan penglibatan masyarakat tanpa mengira usia atau generasi dalam menyemaikan semangat patriotik dalam diri. Kemudian, wujudkan suasana yang benar-benar meletakkan negara melebihi apa-apa entiti dan dipisahkan dengan gejala politik. Kegiatan politik kita pada masa kini amat keterlaluan sehinggakan orang pacak bendera parti lebih banyak daripada bendera negara. Perang bendera parti kini sudah boleh dilihat di mana-mana sahaja seperti kita sudah pun dalam minggu pilihan raya!

Perkara lain yang boleh disimpulkan ialah berkaitan akhlak anak-anak muda kini. Soal pijak gambar itu ada kalanya boleh jadi relatif. Bak kata Prof. Ulung Shamsul Amri[1], kalau sebelum ini dalam perhimpunan anti-Israel/ anti-Amerika atau pro-Palestin pun ada di kalangan peserta yang memijak gambar George W. Bush. Begitu juga dalam konteks politik; ada penyokong PR yang memijak gambar pemimpin BN/kerajaan dan sebaliknya kita pun pernah melihat ada di kalangan penyokong BN/ anti-PR yang memijak gambar pimpinan pembangkang.

Soal adab dan akhlak ini, bukannya hanya tertakluk kepada satu pihak sahaja yang perlu berkelakuan baik. Sebaliknya, semua orang pun perlu beradab dan berakhlak tanpa mengira pihak yang mana. Sebab itulah penulis cenderung kepada tidak boleh/tidak perlu berbuat demonstrasi kerana kita tidak akan dapat mengagak sama sekali perangai manusia yang menyertainya. Ada yang datang memang untuk menyuarakan pendapat, namun kita tidak boleh nafikan sama sekali ada yang memang 'berseronok tak tentu hala' sehingga membuat kekacauan.

Lebih-lebih lagi apabila demonstrasi itu dicanang supaya ribuan atau puluhan ribu yang datang, siapa yang hendak jaga perangai kesemua orang? Dalam banyak keadaan, penganjur suka menyalahkan orang lain apabila kelakuan peserta tidak terkawal dan melampau-lampau, justeru mana kebertanggungjawaban?

Sebab mereka yang menganjur, maka merekalah yang sepatutnya bertanggung jawab! Kita tidak hairan peniaga yang terlibat di kawasan perhimpunan marah kerana mereka rugi sehari hanya kerana kelakuan orang lain yang tidak bertanggung jawab. Malah, sampah sarap bertebaran mengakibatkan kekotoran mencerminkan sikap sebenar peserta yang tidak mempunyai jati diri dan sahsiah kebersihan yang baik? Takbirlah sekuat mana pun tetapi buang sampah merata-rata bukannya akhlak seorang yang beriman!

Pendek kata, melainkan kita boleh mengawal kesemua pemikiran manusia, adalah mustahil untuk kita menjangkakan segala-galanya akan berakhir dengan baik untuk satu-satu demonstrasi jalanan. Kendatipun, demontrasi kini yang telalu bermotifkan politik; sememangnya sentimen dan emosi manusia tidak akan dapat dikawal. Akhlak dan adab bukan hanya perlu dijaga oleh orang yang pro, sebaliknya turut perlu dipelihara oleh orang yang kontra.

Cukup-cukuplah asyik menyalahkan orang lain sahaja apabila demonstrasi dicemari dengan kelakuan buruk peserta. Mungkin ada baiknya semaklah nawaitu peserta agar mereka faham apa yang dedemokan. Atau tunggu sahaja pilihan raya, pangkah sahaja mana yang berkenan di hati!


[1] Berita Harian, 9 September 2012, m.s. 26 & 27.

Friday, August 31, 2012

Menepati janji

 

Sebagaimana setiap tahun Hari Kemerdekaan Negara mempunyai tema atau 'cogan katanya' sendiri, tahun ini masih meneruskan tradisi yang sama. Sekadar rekod, terdapat beberapa tahun pada akhir pemerintahan Tun Dr. Mahathir yang mengekalkan tema 'Keranamu Malaysia.'

Tahun ini, tema yang digunakan pula agak kontroversi kerana mempunyai persamaan dengan cogan kata kempen politik BN iaitu 'Janji Ditepati.' Dan kita perlulah jujur sejujur-jujurnya dapat membuat perbandingan betapa sama sebiji sebentuknya tema itu dengan 'cogan kata' kempen tak rasmi BN itu.

Malah, BN juga menggunakan frasa yang sama semasa membuat jelajah ala-Jom Heboh dengan pimpinan tertinggi mereka iaitu PM dan TPM sebagai pemberi kata-kata aluan dan ucapan politik. Bolehlah dikatakan juga yang kempen BN kini telah beralih ke fasa baru setelah ungkapan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan menjadi 'wirid' di bibir-bibir pemimpin politik BN.

Penggunaan frasa 'Janji Ditepati' tidak boleh dianggap luar biasa. Malah, frasa tersebut bolehlah dikatakan tepat pada masa dan keadaan yang memihak kepada mereka (opportunist).

Apabila Pakatan Rakyat (PR) berjaya merendahkan majoriti kerusi BN, dan memenangi beberapa buah negeri yang cukup bererti (baca: maju dan kaya), mereka terperangkap denga segala janji yang dibuat pada manifesto yang pernah mereka kemukakan. Janji-janji tersebut indah-indah belaka dan ada yang dapat dipenuhi, ada juga yang tidak. Contohnya, air percuma, setiap kelahiran dikurniakan keraian, setiap anak yang ke IPT diberikan sagu hati, WiFi percuma dan bantuan ibu tunggal; begitulah hebatnya manifesto mereka. Lunak dan muluk kalau didengar.

Sebaliknya, setelah beberapa; atau banyak sekali perkara yang tidak dapat dipenuhi, mereka mula mencari helah baru untuk menutup keaiban dan kecelaan diri. Perlembagaan, isu ketelusan pilihan raya dan korupsi menjadi inti pendinding kepada kelemahan dan kekurangan mereka. Malah, secara tiba-tiba pula, isu pendidikan tinggi percuma pula dimanipulasikan (atas kegagalan mereka menyediakannya di negeri-negeri yang ditadbir oleh mereka) dan menjadi tuntutan pula. Begitulah liciknya permainan politik PR tapi, kita tak perlulah menghairankannya...

Kesemua itulah yang mendorong kepada penciptaan slogan 'Janji Ditepati' kerana ternyata pihak PR tidak mampu mengotakan janji mereka. Malah, kini pimpinan tertinggi yang berkuasa di negeri (bukannya ketua pembangkang) terpaksa mengakui bahawa apa yang dimanifestokan pada PRU12 bukanlah janji-perjanjian! Kesemuanya hanya akan berlaku kalau itu dan ini!!!

Maknanya, kalaulah mereka berjaya memerintah dan tidak mampu melaksanakan manifesto mereka, maka semuanya bukan salah mereka, tapi kekangan itu dan ini. Bukannya mereka tak nak tunaikan, tapi mereka tak boleh nak tunaikan sebab BN! Itu sahaja sebabnya. Hanyasanya boleh ditunaikan kalau BN sudah tidak wujud sebab lepas itu, sudah tak boleh tuding jari kepada orang lain lagi dah.....Artis bertudung pun boleh dapat job lebih kalau PR memerintah! Siapa tak mahu?

Tidak hairanlah kalau BN dan PM Najib menggunakan lompong berkisar janji sebagai satu senjata menyerang PR. Janji muluk, lunak dan manis bak madu itu tidak mampu ditunaikan oleh pihak yang sana. Isunya ialah menunaikan janji, bukannya alasan kenapa tak boleh tunaikan janji. Kalau sudah tahu yang janji itu tidak boleh ditunaikan, kenapa berani untuk berjanji pada asalnya?

Namun, andai diperhatikan kepada BN sendiri pun, adakah mereka telah menunaikan janji?

Perkara inilah yang menjadi satu persoalan yang perlu dikaji sedalam-dalamnya;. kerana apakah janji-janji tersebut dan tertunaikah kesemuanya sehingga mereka boleh 'menyindir' lawan mereka daripada pihak PR sampaikan tema Hari Merdeka pun hendak dikaitkan?

Kerajaan BN dalam banyak keadaan sebenarnya agak terselindung dalam isu ini kerana mereka tidak pernah mengisytiharkan sesuatu yang nyata dalam manifesto mereka. Malah, perlulah diakui manifesto PRU 12 milik mereka pun kita tidak hafal. Kesemua ini disebabkan mereka selalunya bermain selamat untuk tidak menjanjikan bulan dan bintang kerana tidak mahu dipersoalkan sebagaimana pihak PR.

Oleh sebab itu, janji mereka lebih bersifat umum (general) dan tidak terlalu spesifik seperti 'orang segini akan dapat segitu.' Atau mungkin 'kemudahan ini akan dapat percuma pada penggunaan sekian.' Janji mereka (manifesto mereka) lebih kepada 'kurangkan kadar jenayah,' 'rakyat hidup sejahtera' dan pelbagai lagi ungkapan-ungkapan yang besar maknanya dan luas interpretasinya.

Justeru, janji apakah yang telah ditepati itu? Kebanyakan yang dikatakan ditepati terdiri daripada perkara-perkara yang ditimbulkan oleh PM Najib dalam ucapan-ucapannya. Sama ada ucapan itu berbentuk politik, atau atas kapasiti beliau sebagai PM atau sebagai perasmi program itu dan ini, maka itulah yang menjadi neraca timbangan perkara yang 'ditepati' itu. Bukanlah janji yang dibuat ketika mereka mengarang manifesto ketika pilihan raya.

Misalnya Bantuan Rakyat 1Malaysia, Baucer Buku 1Malaysia dan lain-lain yang dicap bersama-samanya '1Malaysia' kesemuanya hadir ketika ucapan Belanjawan tahunan. Durian runtuh Felda diumumkan pada program berkaitan Felda dan baucer tayar untuk pemandu teksi pun diumumkan pada waktu PM berhimpun bersama-sama pemandu teksi. Jadi, adakah tepat setepatnya untuk mengatakan perkara-perkara tersebut 'dijanjikan' pada awal manifesto pilihan raya dan boleh dibandingkan dengan janji-janji pihak PR?

Pada hemat penulis, adalah tidak setara untuk membandingkan antara kedua-duanya kerana 'janji' politik PR hadir sejurus sebelum pilihan raya sementara 'janji yang ditepati' oleh BN hadir selepas menang pilihan raya dan adakalanya sangat-sangat kelihatan ad hoc. Janji PR lebih kepada daya penarik untuk rakyat menyokong mereka sementara janji BN pula ialah desakan untuk berbuat sesuatu untuk menunjukkan mereka membuat kerja.

Oleh sebab itu, walaupun BN boleh mendabik dada yang mereka menepati janji, sebenarnya graviti janji mereka cukup berbeza berbanding PR. BN memenuhi 'janji spesifik selepas pilihan raya;' namun tidaklah pula secara spesifik menyatakan langkah-langkah yang dilaksanakan ketika manifesto pilihan raya.

Kini, timbullah pula isu adakah langkah-langkah ad hoc yang 'ditepati' oleh BN itu mampu diulangi pada tahun-tahun akan datang. Apatah lagi ketepatan janji itu ialah pada tahun akhir sebelum pilihan raya; sudah semestinya membawa kepada persoalan bolehkah langkah sama diulang lagi?

Tambahan, sasaran bantuan kerajaan yang diberikan kepada golongan 'berpendapatan rendah,' sudah semestinya mereka yang berada ditengah-tengah berasa terpinggir. Sedangkan mereka inilah pembayar cukai teramai dan mungkin tidak merasa sebarang apa pun daripada benda-benda 1Malaysia.

Tuntas kata, janji yang ditepati oleh BN bolehlah dipuji. Akan tetapi lebih elok kalau ‘mengajar orang untuk memancing berbanding memberi orang ikan untuk dimakan’. Lebih-lebih lagi dengan persoalan daripada manakah datangnya wujudnya dana-dana 1Malaysia yang membolehkan pemberian tunai/baucer itu dibuat. Kita tidak mahulah seandainya segala insentif-insentif itu sekadar bermusim; kerana pilihan raya. Juga cakupan agihan tersebut janganlah sekadar berlegar di paras miskin bandar sahaja . Berilah insentif kepada pembayar cukai kerana mereka juga menyumbang kepada pembangunan negara.

Pada masa yang sama, tingkatkanlah produktiviti, kualiti dan inovasi dalam perkhidmatan awam secara keseluruhannya (bukannya ikut negeri, daerah, parlimen...) kerana mereka ialah pemudahcara urusan rakyat; dan bukannya batu penghalang atau pengutip cukai/denda sahaja sebagai hasil-mahsul negara!

Wednesday, August 29, 2012

Hah, tu la BNM ni! Budak kecil pun tau.

 

“Bang nak tukar duit,” pinta seorang anak kecil kepada penulis. Maklumlah, sebab raya, jadi banyaklah dikalangan mereka ini yang mempunyai ‘duit raya’ yang banyak.

“Hah, berapa yang hendak tukar?” tanya penulis kembali.

“Entahlah, tak kira lagi.”

“Mari abang kirakan,” dan sebagaimana yang sudah dijangka, nota seringgit baharu yang diperbuat daripada plastik. Disebabkan ‘kebaharuan’ dan ‘kecanggihan duit tersebut, terkial-kial juga penulis untuk mengiranya dengan gerakan jari lantaran kelicinan duit tersebut.

Budak tersebut pun tersengih bagai kerang busuk sambil berkata, “Tu lah. Duit baru ni tak best. Nak kira pun melekat-lekat.”

“Hah, tu lah Bank Negara! Budak kecil pun tau (susah nak kira duit plastik). Kata dah buat kajian la, hapa ke bagai!” tiba-tiba terkeluarlah kata-kata tersebut daripada mulut penulis (geram juga sebab lenguh tangan....).

Bukanlah kali pertama nota wang yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia menerima rungutan. Setelah mereka memperkenalkan wang plastik lima ringgit (RM 5), kini mereka memperkenalkan juga bahan yang sama digunakan untuk nilai seringgit. Dan sungguhpun secanggih mana wang lima ringgit yang dikeluarkan itu, kecanggihannya sekadar pada rupa dan nama sahaja.

Wang plastik lima ringgit itulah yang paling senang ‘terkoyak,’ terkelepet dan ‘rapuh’ serta paling payah untuk dikira dengan tangan. Sudah semestinya dikalangan peniaga-peniaga kecil jugalah yang paling banyak mengeluh kerana mereka terpaksa membuat kerja lebih untuk menampal semula wang yang sudah terkoyak dua dan mengira dengan lebih berhati-hati kerana bahan yang digunakan untuk duit tersebut mudah melekat antara satu sama lain. Daya elektrostatik plastik mungkin sangat ketara pada wang plastik!

Dan kini, bukan sahaja nota berwarna hijau itu sahaja yang perlukan kerja lebih, nota seringgit pun sama! Sedangkan legaran wang seringgit ialah yang paling banyak di dalam transaksi peniaga kecil!!!

Setelah BNM memperkenalkan syiling baru, sudah ada respon negatif yang mengatakan duit tersebut sukar dibezakan terutamanya bagi syiling lima sen dan sepuluh sen. Namun, BNM bingkas mempertahankan reka bentuk mereka dengan alasan ‘telah membuat kajian pemasaran’ sebelum mengambil keputusan mencetaknya. Kini, kandungan logam lima sen dan sepuluh sen yang terbaharu nyata sekali lebih murah berbanding yang lama kerana menggunakan besi.

Pengeluaran reka bentuk baru syiling mendatangkan masalah pula kepada mesin automatik (vendor machine) seperti mesin air, mainan kanak-kanak dan mesin tiket; sama ada tiket perkhidmatan awam (LRT, Komuter) atau tempat letak kereta. Penyedia perkhidmatan terpaksa menyediakan mesin yang dapat memenuhi keperluan bentuk yang baharu bagi membolehkan kitaran wang berlaku dan wang baru pun ‘laku.’ Sudah semestinya hal ini mendatangkan lagi satu ‘kerja tambahan’ bukan sahaja kepada penyedia perkhidmatan, malah kepada orang ramai sendiri.

Kemudian, BNM mengeluarkan pula siri wang kertas baru yang dikatakan lebih tahan itu dan ini dan lebih ‘kebal.’ Sedangkan kalau hendak dikatakan kebal macam mana pun, terbukti bahawa wang kertas terdahulu yang dikatakan kebal daripada sebelumnya; pun pernah dipalsukan. Apalah ertinya kebal pada wang kertas siri baru ini???

Sama ada sedar atau tidak, nilai wang kertas itu sendiri sudah semakin berkurang. Satu ketika dahulu orang berdagang dengan logam berharga, kemudian digantikan pula dengan pengganti logam iaitu duit kertas[1]. Duit kertas yang satu ketika dahulu disandarkan kepada simpanan emas telah bertukar status menjadi komoditi apabila masyarakat dunia telah dipaksa menerima konsep wang fiat yang diperkenalkan oleh US pada 1971[2].

Selepas itu, bahan pembuatan duit pun mula mengalami perubahan sehinggalah wang plastik diperkenalkan. Setiap kali perubahan berlaku, ketika itulah nilai wang itu secara sendirinya menjadi lebih rendah daripada sebelumnya[3].

Kita pun faham mengapa bahan tersebut ditukar. Kesemuanya disebabkan kos. Kos plastik mungkin lebih murah daripada kos kertas. Maka, kita harus kaitkannya dengan istilah fiat itu sendiri yakni sesuatu yang menjadi wang kerana kita percaya yang benda itu wang. Maksudnya, kita kini percaya dan yakin bahawa duit kertas yang tak bernilai itu sebenarnya ada nilai wang.

Sebab itulah orang boleh membuat spekulasi terhadap nilai mata wang. Kita percaya kertas/plastik itu wang, tetapi orang lain boleh pula menggugat kepercayaan tersebut dengan membuat spekulasi pasaran penawaran dan permintaan wang tersebut. Maka, yang kita percaya wang itu walaupun termaktub di atasnya RM10lah katakan, nilai sebenarnya belum tentu RM10 kerana nilai yang sama tahun ini belum tentu boleh membeli jumlah barang yang sama pada tahun hadapan.

Sebaliknya, sebagaimana contoh klasik yang dikemukakan oleh saudagar emas, satu dinar zaman Nabi SAW boleh digunakan untuk membeli seekor kambing, maka seekor kambing jugalah boleh dibeli dengan satu dinar pada masa sekarang ini! Perkara inilah yang menunjukkan ‘perantaraan wang’ (i.e. emas) itu stabil dan mampu mengekang kesan inflasi.

Sebagai tambahan, pelaburan emas akan memberikan pulangan kerana harga emas akan meningkat ketika penurunan nilai mata wang dolar US, peningkatan inflasi dan peningkatan harga petroleum[4]. Negara seperti India dan China telah bersedia dengan pembelian emas dan menggalakkan rakyatnya menyimpan emas bagi kerana nilainya yang lebih baik berbanding wang tunai.

Sama ada negara kita mampu mewujudkan mata wang dinar emas, terpulanglah kepada pemerintah kita kerana mereka yang berkuasa. Namun, secara realitinya kita pun tak mampu berbuat apa-apa melainkan ada negara lain di dalam dunia ini yang turut serta membuat langkah yang sama dan mampu menampung kelompangan ekonomi kita.

Berpijaklah di bumi nyata; kebergantungan kita kepada negara yang sangat-sangat gemar mengamalkan budaya ekonomi bebas dan kapitalisme terlalu besar sehinggakan kalau mereka melabel minyak sawit kita tak mesra alam pun kita sudah gelabah dan gabra takut-takut harga CPO kita jatuh mendadak. Tak laku pulalah nilai saham mega mewah (blue chips) dan hal ini pastinya mengundang kebahayaan yang besar dalam ekonomi kita...!

Justeru, apa yang kita dapat perhatikan kini ialah penyahnilai wang kita dari semasa ke semasa. Kini, dengan kepesatan transaksi internet, nilai yang dahulunya disandarkan ke atas sekeping kertas kini menjadi maya. Masyarakat Barat misalnya lebih banyak berbelanja secara elektronik berbanding secara fizikal dan budaya ini semakin menjalar dan diterima di seluruh dunia. Sudah tentu kelak kita boleh mempersoalkan, apalah nilai sebenar duit nan berkeping itu!


[1] Idea resit simpanan emas dan barang menjadi asas kepada kewujudan wang kertas. Rujukan berillustrasi boleh dilihat dalam Wolfe, L. et al., Easy Economy, A visual Guide to What You Need to Know (New Jersey: John Wiley and Sons, 2012), 11-41. Rujukan ini ada menerangkan daripada permulaan konsep pertukaran barang (barter) sehinggalah kepada kewujudan sistem pembelian elektronik.

[2] Perkara ini disebabkan perubahan dalam Sistem Bretton Woods yang pada mulanya menyandarkan wang kertas dengan nilai emas di Fort Knox kepada sistem penawaran dan permintaan ketika pemerintahan Nixon. Lihat Korten, D. C. ‘The Money Game,’ dlm Korten, D. C. When Corporation Rule the World, 2nd Ed. (Sterling, VA: Kumarian Press, 2001), 177-185. Rujukan Bahasa Melayu misalnya dalam Zaharuddin Abdul Rahman, Riba dan Isu Kewangan Semasa (Kuala Lumpur: Telaga Biru, 2010), 58-71. Rujukan ini merupakan rujukan yang baik dalam memahami isu penciptaan wang kertas dan kesan-kesan disebaliknya.

[3] Hal ini dibincangkan secara panjang dalam Korten, When Corporation Rule the World, 179-181.

[4] Lihat Salleh Majid, 101 Saranan Salleh (KL: Utusan Publication and Distribution, 2012), 149-150. Malah dalam buku ini juga disertakan beberapa artikel yang menggesa agar rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu melabur dalam portfolio emas sama ada fizikal mahupun secara akaun dan melebihkan pelaburan emas tulen (999) berbanding emas barang kemas (916).

Friday, August 24, 2012

Hah, beratur-beratur untuk ditalak!

 

Cerita-cerita yang ditayangkan sempena lebaran kadang-kala memberi pengajaran, ada yang sekadar hiburan dan ada juga yang mencampurkan hiburan dan pengajaran.

Semasa pulang ke kampung tempoh hari, setelah tiba, penulis tertonton sebuah filem yang dilakonkan oleh seorang pelakon komedi yang satu ketika dahulu meletup-letup dengan lakonannya yang dikatakan kelakar. Plot ceritanya diringkaskan, dua orang kembar seiras diwasiatkan untuk berkahwin empat untuk melayakkan mereka mewarisi harta peninggalan ayahnya yang cukup-cukup besar (boleh beli Boeing 747 gamaknya!). Namun, pada akhir cerita tersebut, salah seorang daripadanya terpaksa menceraikan tiga isterinya kerana desakan mereka dan memberikan mereka sejuta sebagai memenuhi janji sebab perkahwinan tersebut (hendak memenuhi wasiat untuk mendapat harta pesaka).

Jadi, sebab kepada perkahwinan tersebut ialah kerana semata-mata harta pesaka. Kemudian, dilakonkanlah dialog antara lawak dan antara tidak agar isteri-isteri lelaki tadi beratur untuk diceraikan. Selepas itu, satu persatu diceraikanlah isteri tersebut talak satu melainkan yang terakhir yang berloghat Kelantan iaitu dengan talak dua kerana menipu. Moral cerita itu ialah poligami boleh membawa kebaikan kalau kena gayanya dan poligami tidak akan berjaya seandai tidak ‘ditakdirkan’ oleh-Nya.

Penulis tidaklah mahu mengulas isu takdir kerana isu tersebut mengundang perbahasan yang perlu diperincikan; apatah lagi melibatkan akidah dan kepercayaan. Akan tetapi, apa yang menarik perhatian penulis ialah betapa mudahnya pakatan untuk nikah-ceraikan isteri lantaran memperoleh habuan harta pesaka daripada suami selepas wasiat bapa mentua dipenuhi. Kalaulah semudah itu untuk kahwin cerai, apatah lagi poligami bagi mencapai hasrat harta, maka alangkah mudahnya sesuatu perkahwinan itu didirikan dan diceraikan![1]

“Pada aku, itu cuma cerita je la... Untuk hiburan sahaja,” kata kawan penulis ketika kami berbual-bual.

“Masalahnya, dia (cerita itu) menggunakan isu talak sebagai sesuatu yang nak diambil ringan. Macam main-main sedangkan soal talak ni bukannya boleh dibuat main!” terang penulis pula.

Lalu penulis bertanyakan beliau apa pendapat beliau (daripada apa yang telah beliau pelajari dan fahami) tentang seseorang yang bergurau dengan si isteri dan menceraikan isterinya ketika bergurau?

“Eh, jatuh talak kalau macam tu![2]” jawab beliau dengan tegas.

“Sebab itu soal-soal sebegini tak boleh dibuat main. Kita sudah ada pemikiran yang ustaz cuma halau hantu, macam mana pula dengan isu nikah cerai dengan senang-lenang?” penulis membalas sambil mengaitkan soal cinta dan kasih-sayang yang membawa kepada perkahwinan itu sebenarnya datang daripada Tuhan, adakah kita hendak mempermainkannya dengan mewujudkan kisah nikah-cerai dengan sebegitu mudah sekali sebabnya?

Sama ada hiburan boleh dijadikan medium dakwah itu masih lagi menjadi khilafiyah. Ada yang mengatakan boleh, ada juga yang dengan mudah berhujah, ‘kalaulah dengan menyanyi (dan berlakon) itu merupakan satu cara yang baik untuk dakwah, nescaya Nabi SAW telah melakukannya terlebih dahulu.’ Masing-masing punya alasan yang tersendiri sama ada terlalu longgar atau terlalu ketat (rigid).

Bagaimanapun, jika kita lihat plot penceritaan yang hendak dikaitkan dengan agama pun kadang-kala terlalu tipikal. Sama ada cerita hantu, nikah-kahwin dan soal kehidupan yang menceritakan seseorang itu terlalu ekstream meninggalkan agamanya dengan digelumangi dosa dan akhirnya sama ada bertaubat atau menerima balasan buruk; bukanlah sesuatu yang segar dalam erti kata uslub dakwah pun. Adakah semua manusia seekstream sebegitu?

Namun, apabila kita menggunakan perkara-perkara keagamaan dalam karya kita, maka kita sebenarnya bertanggungjawab terhadap karya tersebut dan kemungkinan-kemungkinan yang timbul daripada karya itu. Seandainya ada dikalangan Dato’- Dato’ orang kaya yang tiba-tiba terasa hendak meniru wasiat untuk kahwin empat, bagaimana? Implikasi agama juga akan timbul apabila wasiat tersebut memerlukan seseorang melakukan sesuatu yang belum tentu dirinya mampu, walaupun perkahwinan itu sesuatu yang boleh diwasiatkan.

Kesan negatif lain ialah seolah-olah mencerminkan begitu mudahnya kita berhelah dengan menggunakan poligami apabila ada yang berkahwin kerana hendakkan harta semata-mata lantas boleh pula bercerai selepas harta itu diperloleh. Sedangkan ikatan perkahwinan itu ialah sesuatu yang suci dan menjadi pendinding kepada masalah sosial; tetapi kini digunakan sebagai satu helah yang mudah untuk keperluan duniawi semata-mata!

Bukanlah hendak menulis yang negatif sahaja, sebab soal wasiat, perkahwinan, persefahaman suami-isteri-isteri dan tolak ansur mencerminkan sesuatu tuntutan agama yang murni. Cuma cara diakhirinya cerita itu dengan ‘beratur untuk diceraikan’ tidak melambangkan sikap dan kemurnian dalam perkahwinan dan poligami dan barangkali memberi persepsi buruk kepada yang tidak faham.

Soal sama ada penonton boleh fikir ke tidak, sebenarnya tidak timbul. Kita tidak boleh menganggap kesemua penonton mempunyai laras pemikiran yang sama. Tambahan pula, judul komedi bukan sahaja ditonton oleh yang dewasa, malah kanak-kanak pun turut serta menontonnya. Oleh yang demikian, seharusnya filem-filem sebegini mempunyai klasifikasi PG 13 agar yang dewasa boleh memberi didikan kepada yang kecil.

Isu berkaitan filem Islamik atau yang mengaitkan unsur-unsur hukum-hakam Islam patut dibincangkan secara panjang-lebar oleh mereka yang berkepentingan (jabatan agama, ulama, pemerintah etc.). Kita tidak mahu sama sekali industri hiburan kita menjadi sebagaimana di Barat yang berlandaskan your taboo is not my taboo; sanggup melacurkan prinsip-prinsip agama untuk kepentingan wang ringgit dan atas nama kebebasan bersuara.

Ada filem dan drama daripada sana yang terang-terangan menghina agama dalam dialognya[3]; tetapi atas nama lakonan dan hiburan, perkara tersebut tidak diendahkan. Maka, usahlah kita hendak ikutkan sangat cara mereka memperguna dan memainkan sentimen agama dalam plot cerita, walaupun yang cuba kita mainkan itu sekadar sekelumit sahaja daripada agama!


[1] Menurut Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a. bermaksud seorang wanita dinikahi kerana empat perkara: hartanya keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Kahwinlah wanita yang berpegang kepada agama, nescaya kamu bahagia. Rujukan hadis misalnya dalam Alawi Abbas Al-Maliki et al, Ibanah Al-Ahkam Syarah Bulugh Al-Maram jil. 3, terj. Nor Hasanuddin H. M. Fauzi (KL: Hidayah Publication, 2011), 335.

[2] Menurut Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda dengan maksud, ‘Ada tiga perkara yang andai dikatakan bersungguh-sungguh, menjadi sah dan seandainya dikatakan secara bergurau juga sah, iaitu kahwin, talak dan rujuk.’ Mengikut mazhab Syafie dan Hanafi, jatuh talak terhadap si isteri seandainya si suami melafazkannya secara bergurau, Lihat perbahasannya dalam Al-Maliki et al., Ibanah Al-Ahkam Syarah Bulugh Al-Maram, jil. 3, 502-504. Hadis yang sama disyarahkan oleh Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi sambil menukilkan beberapa contoh dan keadaan. Menurutnya lagi, seandainya suami yang mentalak isterinya dengan bergurau itu masih bersama dengan isterinya sehingga menyebabkan kelahiran seorang anak, jadilah anak tersebut anak luar nikah. Rujuk Muhammad Idris Al-Marbawi, Bahru Madzi, jil. 9, (KL: Al-Hidayah Publication, 2006), 31-34.

[3] Seperti dialog ‘I don’t believe in God and He hates me’ menunjukkan betapa Tuhan sendiri dipermain-mainkan. Perkara sebegini membuktikan bahawa dunia Barat begitu sekular sehingga hal berkaitan Tuhan pun boleh dipersenda. Beginilah sebenar-benarnya yang dikatakan sebagai ‘agama suku, dunia suku.’ Konteks sekular dan kesekularan perlulah dilihat daripada asal kewujudannya kerana tradisi tersebut bukannya daripada pandangan alam dan kebudayaan Timur, apatah lagi Islam.

Saturday, August 18, 2012

Meraikan Raya

 

Syawal menjelang lagi menandakan tamatlah sudah bulan penuh barakah dan lubuk pahala untuk tahun ini. Kehadiran tanggal pertama Syawal dinanti-nantikan oleh segenap lapisan umat Islam bagi meraikan Aidil Fitri bersama-sama yang tersayang.

Umat Islam Malaysia biasanya menyambut Hari Raya dengan berkunjung ke rumah sanak-saudara dan sahabat handai. Kuih raya dibuat dan masakan tradisi disajikan daripada ketupat, lemang, rendang, kari dan lain-lain. Kesemua masakan tersebut mempunyai nilai kalori yang tinggi dan diharapkan kita dapat berpada-padalah dengan makanan tersebut.

Pada masa yang sama, kita juga akan dapati sebahagian daripada kita yang menyambut Hari Raya dengan suasana yang hiba. Media turut memainkan peranan menyedihkan keadaan dengan menayangkan cerita-cerita tragedi atau sedih di kaca televisyen dan memutarkan lagu-lagu yang hiba di corong radio. Irama yang mendayu-dayu kedengaran menyebabkan linangan air mata dek kerana mengenangkan kesedihan melodi, lagu dan seni kata.

Barangkali yang tak dapat pulang ke kampung, seni kata berikut akan menggamit perasaan:

Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas

Dari jauh ku pohonkan ampun maaf

Dan bagi yang terkenangkan pemergian yang tersayang, bait-bait berikut mungkin menjadikannya terkedu:

Tiada bisikan, lembut yang ku dengar, hanya suara azan sayup bergema,

Masih ku rasakan hangat tangan mu, di pagi raya bersalam dengan ku...

Ditambah pula dengan takbir raya Malaysia yang berirama 'balada' menambahkan lagi rasa sebak di dada mengenangkan perasaan kesunyian dan kesedihan.

Sedangkan hari raya sepatutnya (dan disyariatkan) untuk kita bergembira dan menzahirkan kegembiraan itu dengan harapan optimis dan amal ibadat. Kita bertakbir menandakan kemenangan dan kejayaan kembali kepada fitrah selepas mengharungi tarbiah Ramadan.

Kalaulah Ramadan itu sebuah institusi pendidikan, maka Aidil Fitri merupakan hari konvokesyennya. Jadi, adakah orang menangis kesedihan pada 'hari konvonya'?

Kegembiraan yang disambut sepatutnya seiring dengan syariat. Bukannya buat pesta tak tentu pasal, bagai orang hendak menyambut Tahun Baru!

Takbir dilaungkan seharusnya bersemangat bagi menzahirkan kesediaan kita untuk menjejaki masa 'luar Ramadan' dengan dikekalkan seboleh dan semampu mungkin apa yang telah kita alami dalam bulan barakah itu. Tetapi, sebab melodi balada takbir Raya kita sudah sebegitu, rasa semangat bertukar menjadi hiba. Bukanlah hendak mengata yang ini tak boleh, yang itu tak boleh, namun bertakbir asalnya adalah untuk membesarkan Allah, jadi sebutan dan laungan pun mestilah tegas, menggambarkan kita membesarkan-Nya.

Selain itu, kegembiraan kita juga terpancar dengan menghadiri solat sunat Aidil Fitri, mendengar khutbah sempenanya dan kemudian menziarahi keluarga dan sahabat handai. Kita sama-sama mendoakan agar segala amalan kita dan doa yang dipanjatkan akan dimakbulkan.

Cuma kadang-kala apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ada dikalangan kita, apabila pulang ke kampung bertemu saudara-mara, menarik muka masam dek kerana dendam kesumat dan ketakpuashatian yang lama. Macam-macam yang menjadi penyebabnya; pasal tanahlah, pasal hartalah, pasal pesakalah pasal itu dan ini sehingga menyebabkan ceria menjadi duka, senang hati menjadi sakit hati.

Oleh yang demikian, diharapkan budaya bergaduh sesama keluarga pada hari raya dapatlah dielakkan. Hari raya untuk kita bergembira, bukannya bertepuk-tampar sesama kita.

Lebihlah lagi budaya raya di negara kita dikaitkan dengan saling-memaafkan, maka seharusnya kita memaafkan dan memohon maaf kepada orang lain. Budaya sebegini menjadi nilai tambah dalam sambutan raya agar kita sering berfikiran positif untuk memberikan dan meminta kemaafan pada hari yang mulia.

Kalau nak diikutkan, maaf-memaafkan sebenarnya bukan tertakluk pada hari raya sahaja. Namun, mungkin disebabkan kegembiraan menyambut raya itu mungkin memudahkan untuk orang memaafkan, maka agenda meminta maaf menjadi budaya pada hari tersebut. Justeru, memang wajarlah pada hari raya kita bergembira agar pintu kemaafan lebih mudah dibuka!

Akhir kata, Aidil Fitri menjadi satu sambutan yang sewajarnya dijadikan ibadat berbanding adat. Syawal juga memberi peluang kepada umat Islam melaksanakan ibadah puasa sunat yang dijanjikan pahala setahun gamaknya[1]! Sama ada berturutan atau tidak itu terpulang, dan soal niat serentak yang sunat dengan yang qada' pun sebenarnya khilaf[2]. Bolehlah tanya yang berilmu.

Apa yang penting, pembelajaran dalam pusat tarbiyah Ramadan memberi kesan kepada umat Islam selepas mengharunginya dan meraikan Aidil Fitri agar tercapailah maksud kepada ibadah puasa itu sendiri iaitu 'moga-moga kamu bertakwa!'


[1] Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Ayyub r.a. yang bermaksud ‘Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam daripada Syawal maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun.’ Rujukan hadis misalnya dalam An-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Ringkasan Riyadhus Solihin diringkaskan oleh Syaikh Yusuf Al-Nabhani, terj. Abu Khodijah Ibn Abdurrohim (KL: Telaga Biru, 2010), 228.

[2] Salah satu pendapat yang pernah penulis baca ialah daripada Almarhum Syed Abdillah Ahmad Al-Jufri ialah tidak boleh disatukan niat puasa enam Syawal dan qada’ dan haruslah didahulukan yang qada’ sebelum yang sunat. Wallau‘alam.

Thursday, August 16, 2012

Dari hal Olimpik kita




Kebetulan Sukan Olimpik tahun ini berada dalam bulan yang mulia dan penuh barakah, maka perihalnya sudah tentulah akan diperkatakan juga oleh segenap lapisan masyarakat kita.

Kalau tak silap penulis, Olimpik punya pasal, ada mufti yang mengeluarkan fatwa bahawa peserta muslim boleh tangguh puasa kerana menjaga kesihatan dan kecergasan; berjuang demi nama negara – gamaknya! Teringat penulis ketika Piala Dunia 2002 di Korea/Jepun tatkala ulama di Senegal mengeluarkan fatwa bolehnya tangguh sembahyang Jumaat bagi rakyatnya menonton perlawanan bola sepak pada waktu Jumaat; sampai begitu sekali!

Mungkin ada juga yang mengeluarkan pendapat peserta tersebut sebenarnya sedang bermusafir, maka harus untuknya tidak berpuasa – terpulanglah kepada tafsiran ulama tersebut kerana hal-hal furu’ ini seeloknya mereka yang benar-benar mahir sahaja yang boleh menjawabnya.

Selain daripada atlet yang pergi ke London untuk berolimpik, pegawai pengiring juga turut ke sana. Cuma kadang-kala kita pun naik hairan juga kalau atlet yang dihantar untuk satu acara sekadar dua tiga orang, tetapi yang pengiringnya itu sudah taraf buat rombongan pula. Duit rombongan itu datang daripada mana?

Negara jiran kita Singapura sudah sah bergelar China Asia Tenggara sebab wakil mereka yang berjaya memenangi gangsa sukan ping pong pun berasal daripada negara Tembok Besar juga. Nampaknya sindrom Malaysia melanda negara Singa apabila hanya ping pong sahaja yang mampu memberi sinar pingat kepada mereka – itupun melalui proses ‘pembelian pemain daripada China.’ (Kalau Malaysia, badminton sahaja yang boleh bagi pingat; tetapi kali ini, dapat jugalah sebutir gangsa hasil sukan terjun!)

Barangkali negara kita tidak sampai ke tahap itu namun kalau difikirkan, ada pro kontranya neutralisasi pemain luar menjadi rakyat Malaysia. Bukannya kita tidak pernah ada atlet yang begitu.... namun  kalau difikirkan sebenarnya yang baiknya kalau begitu (beli pemain luar) kerana kita memberikan peluang kepada atlet yang memang sudah sedia berbakat pada tahap yang tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa; kerana mungkin kekangan di negara sendiri tidak memberi peluang kepada mereka untuk berbuat demikian. Jadi, wang untuk latihan dan sebagainya dapatlah dijimatkan dan tinggal ‘touch up’ sahaja! – Kalau dipandang secara logik akalnya.....

Kendatipun, disebabkan harga diri dan peluang terpendam di kalangan rakyat sendiri, sudah tentu proses beli pemain luar untuk jadi warganegara merupakan proses yang bertentangan dengan semangat patriotisme yang terkandung dalam rakyat kita.

Pada masa yang sama juga, elok juga Olimpik kali ini tidak dimenangi oleh atlit muslim negara kita kerana bukan nak cakap apa, rekaan pingatnya itu terlalu menonjolkan sangat mitos kedewaan zaman Yunani satu ketika dahulu; dari satu sudut, tak elok kalau hendak menyimpan benda-benda yang ada rekaan ketuhanan agama yang lain. Tak gitu?


Andai mengambil topik sukan secara per se, nyatalah Olimpik membuktikan kepada kita bahawa jurang sukan antara Asia Tenggara berbanding rantau dunia yang lain (hatta Afrika sekali pun) sangat-sangatlah jauh ibarat langit dan bumi. Walaupun Asia Tenggara boleh berbangga dengan Sukan SEA dan kita pun berteriak yang kita menang pingat emas bola sepak sukan tersebut, sebenarnya rantau ASEAN sudah semakin jauh ketinggalan dalam bidang sukan berbanding rantau yang lain.

Tengok sahajalah pungutan pingat negara-negara ASEAN, semua pun lebih kurang sama sahaja. Kalaulah Sukan Olimpik dibuat secara merentas sub-benua, (Asia Tenggara, Asia Timur, Amerika Utara, Amerika Selatan dsb) alamatnya yang paling corot sekali ialah negara-negara ASEANlah jawabnya!!!

Justeru perkara sedemikian membangkitkan persoalan apakah rasionalnya kita beria-ia hendak buat Sukan SEA. Juara lumba lari 100 meter Sukan SEA pun tak mampu hendak menjadi wakil Asia Tenggara di peringkat Olimpik, jadi apa yang hendak dibanggakan sangat???

Jadi, tok sah lah sangat hendak menganjurkan sukan pelbagai acara (multiple events) sangat sebab pulangannya belum tentu dan impak kepada sukan dalam negara itu sendiri belum terbukti. Apa yang penting, budaya sukan itu sendiri yang dipupuk di peringkat sekolah, dan yang dimaksudkan budaya sukan itu termasuklah kepelbagaian jenis sukan yang membolehkan pelajar menyertainya. Sudah tentulah peralatan dan tenaga pengajarnya perlu profesional (guru PJK) yang benar-benar boleh membawa kepada matlamat 1Murid 1Sukan dan PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN.

Artikel berkaitan

Mengoptimumkan PJK: Nasi lemak dan kesihatan

Wednesday, August 15, 2012

17 Ramadan


17 Ramadan                                       

Bagi umat Islam di Malaysia, 17 Ramadan bukan sahaja menandakan mereka telah berpuasa 17 hari, malah turut mencerminkan tinggal lebih kurang 13 hari sahaja lagi hendak beraya.

Bagi mereka yang Islamik sedikit, 17 Ramadan dikenang sebagai hari Nuzul Al-Quran iaitu peristiwa turunnya wahyu Allah ke langit bumi. Untuk menambahkan lagi seri sambutan tersebut, beberapa buah negeri di tanah air mengisytiharkan cuti negeri sempena hari tersebut.

Namun perlu diingat bahawa cuti atau tidak seseorang itu tidak ada kaitan dengan 'keimanan' dan 'pengharapan' seseorang dalam berpuasa[1].

HAMKA turut mengaitkan 17 Ramadan dengan peristiwa Badar Al-Kubra yang menjadi titik tolak perjuangan mempertahankan agama secara peperangan.[2] Justeru terngiang-ngiang doa Nabi SAW yang dipanjatkan kepada Allah Taala untuk memberikan kemenangan kepada pasukannya kerana andai tidak, tiada lagi manusia di atas muka bumi ini yang akan menyembah-Nya!

Bagi mereka yang lebih peka terhadap sunnah barangkali 17 Ramadan menjadi isyarat yang semakin jelas untuk melipatgandakan amalan mereka kerana sepuluh yang terakhir itu semakin hampir. Lagilah seandainya ditakdirkan Ramadan sekadar 29 hari, sepuluh yang terakhir itu bermula pada 19 haribulan, dan bukannya 20!

Jadi, usaha untuk mendapatkan yang 'lebih baik daripada seribu bulan' itu perlulah ditingkatkan kerana alamatnya telah dikhabarkan oleh Nabi SAW sedemikian[3].

Begitulah adanya, tidak ketinggalan bagi mereka yang mengikut trend semasa maka 17 Ramadan menandakan hari raya semakin hampir. Medium jualan misalnya, jangankan pada akhir Ramadan, berminggu-minggu sebelum puasa pun sudah mengadakan 'jualan sempena raya' bagi meraikan keuntungan berlipat kali ganda sempena menyambut lebaran. Puasa pun belum lagi, dah nak sambut raya!

Ada yang sanggup berhutang sini sana asalkan dapat benda raya; langsir raya, kereta raya, sofa raya. Tak masuk lagi benda-benda yang secara tradisinya dirayakan seperti baju raya, kasut raya dan kuih raya!

Ramadan seharusnya mengajar kita berhemah dalam berbelanja, sebab yang lebih utama ialah menahan diri daripada hawa nafsu. Namun, kalau yang 'raya' itu terlalu dilebihkan, sudah tentu objektif 'moga bertakwa' tidak dapat dicapai.

Selain daripada berpuasa, zakat juga merupakan satu ibadah yang dikaitkan dengan Ramadan; namanya fitrah. Tetapi, alangkah eloknya seandainya ibadah zakat itu secara keseluruhannya diperkasakan; bukan sahaja daripada segi zakat harta dan fitrah, malah agihan zakat itu sendiri hendaklah diperkasakan supaya rancangan seperti 'Bersamamu' itu tidak perlu ditayangkan lagi.

Akhir kata, 17 Ramadan bukanlah sekadar satu lagi tarikh untuk kita bercuti atau mengenang turunnya Al-Quran, sebaliknya harus menjadi penanda aras sejauh mana kita mengamalkan apa yang diturunkan oleh-Nya kepada kita. Betapa umat Islam Malaysia begitu gah dalam bertaranum dan berqiraat sehingga kita tidak pula memahami apa yang kita bacakan! Pak Arab naik hairan betapa lunak dan sedapnya orang kita baca Quran tapi rupanya tak faham apa yang dibaca!

Dan kalau sudah tidak faham, masakan untuk beramal dengannya? 







[1] Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud ‘Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana keimanan dan pengharapan kepada Allah maka diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu. Rujukan hadis boleh dilihat misalnya dalam An-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Ringkasan Riyadh us Solihin disusun semula Syaikh Yusuf Al-Nabhani (KL: Telaga Biru, 2010) m.s. 223.


[2] Hamka, Tujuh Belas Ramadan dlm .  Kesepaduan Iman & Amal Salih (Shah Alam: Pustaka Dini, 2003) m.s. 191-198. Bab ini dikatakan sebagai artikel terakhir sebelum beliau pulang ke rahmatullah.


[3] Majoriti perbahasan berkenaan sepuluh malam terakhir bermula malam ke-20 dalam usaha mendapatkan Lailatul-qadr.  Sebenarnya Lailatul-qadr merupakan misteri yang diberikan isyarat namun untuk mendapatkannya kesungguhan seharusnya bermula seawal malam pertama Ramadan.