Syawal menjelang lagi menandakan tamatlah sudah bulan penuh barakah dan lubuk pahala untuk tahun ini. Kehadiran tanggal pertama Syawal dinanti-nantikan oleh segenap lapisan umat Islam bagi meraikan Aidil Fitri bersama-sama yang tersayang.
Umat Islam Malaysia biasanya menyambut Hari Raya dengan berkunjung ke rumah sanak-saudara dan sahabat handai. Kuih raya dibuat dan masakan tradisi disajikan daripada ketupat, lemang, rendang, kari dan lain-lain. Kesemua masakan tersebut mempunyai nilai kalori yang tinggi dan diharapkan kita dapat berpada-padalah dengan makanan tersebut.
Pada masa yang sama, kita juga akan dapati sebahagian daripada kita yang menyambut Hari Raya dengan suasana yang hiba. Media turut memainkan peranan menyedihkan keadaan dengan menayangkan cerita-cerita tragedi atau sedih di kaca televisyen dan memutarkan lagu-lagu yang hiba di corong radio. Irama yang mendayu-dayu kedengaran menyebabkan linangan air mata dek kerana mengenangkan kesedihan melodi, lagu dan seni kata.
Barangkali yang tak dapat pulang ke kampung, seni kata berikut akan menggamit perasaan:
Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh ku pohonkan ampun maaf
Dan bagi yang terkenangkan pemergian yang tersayang, bait-bait berikut mungkin menjadikannya terkedu:
Tiada bisikan, lembut yang ku dengar, hanya suara azan sayup bergema,
Masih ku rasakan hangat tangan mu, di pagi raya bersalam dengan ku...
Ditambah pula dengan takbir raya Malaysia yang berirama 'balada' menambahkan lagi rasa sebak di dada mengenangkan perasaan kesunyian dan kesedihan.
Sedangkan hari raya sepatutnya (dan disyariatkan) untuk kita bergembira dan menzahirkan kegembiraan itu dengan harapan optimis dan amal ibadat. Kita bertakbir menandakan kemenangan dan kejayaan kembali kepada fitrah selepas mengharungi tarbiah Ramadan.
Kalaulah Ramadan itu sebuah institusi pendidikan, maka Aidil Fitri merupakan hari konvokesyennya. Jadi, adakah orang menangis kesedihan pada 'hari konvonya'?
Kegembiraan yang disambut sepatutnya seiring dengan syariat. Bukannya buat pesta tak tentu pasal, bagai orang hendak menyambut Tahun Baru!
Takbir dilaungkan seharusnya bersemangat bagi menzahirkan kesediaan kita untuk menjejaki masa 'luar Ramadan' dengan dikekalkan seboleh dan semampu mungkin apa yang telah kita alami dalam bulan barakah itu. Tetapi, sebab melodi balada takbir Raya kita sudah sebegitu, rasa semangat bertukar menjadi hiba. Bukanlah hendak mengata yang ini tak boleh, yang itu tak boleh, namun bertakbir asalnya adalah untuk membesarkan Allah, jadi sebutan dan laungan pun mestilah tegas, menggambarkan kita membesarkan-Nya.
Selain itu, kegembiraan kita juga terpancar dengan menghadiri solat sunat Aidil Fitri, mendengar khutbah sempenanya dan kemudian menziarahi keluarga dan sahabat handai. Kita sama-sama mendoakan agar segala amalan kita dan doa yang dipanjatkan akan dimakbulkan.
Cuma kadang-kala apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ada dikalangan kita, apabila pulang ke kampung bertemu saudara-mara, menarik muka masam dek kerana dendam kesumat dan ketakpuashatian yang lama. Macam-macam yang menjadi penyebabnya; pasal tanahlah, pasal hartalah, pasal pesakalah pasal itu dan ini sehingga menyebabkan ceria menjadi duka, senang hati menjadi sakit hati.
Oleh yang demikian, diharapkan budaya bergaduh sesama keluarga pada hari raya dapatlah dielakkan. Hari raya untuk kita bergembira, bukannya bertepuk-tampar sesama kita.
Lebihlah lagi budaya raya di negara kita dikaitkan dengan saling-memaafkan, maka seharusnya kita memaafkan dan memohon maaf kepada orang lain. Budaya sebegini menjadi nilai tambah dalam sambutan raya agar kita sering berfikiran positif untuk memberikan dan meminta kemaafan pada hari yang mulia.
Kalau nak diikutkan, maaf-memaafkan sebenarnya bukan tertakluk pada hari raya sahaja. Namun, mungkin disebabkan kegembiraan menyambut raya itu mungkin memudahkan untuk orang memaafkan, maka agenda meminta maaf menjadi budaya pada hari tersebut. Justeru, memang wajarlah pada hari raya kita bergembira agar pintu kemaafan lebih mudah dibuka!
Akhir kata, Aidil Fitri menjadi satu sambutan yang sewajarnya dijadikan ibadat berbanding adat. Syawal juga memberi peluang kepada umat Islam melaksanakan ibadah puasa sunat yang dijanjikan pahala setahun gamaknya[1]! Sama ada berturutan atau tidak itu terpulang, dan soal niat serentak yang sunat dengan yang qada' pun sebenarnya khilaf[2]. Bolehlah tanya yang berilmu.
Apa yang penting, pembelajaran dalam pusat tarbiyah Ramadan memberi kesan kepada umat Islam selepas mengharunginya dan meraikan Aidil Fitri agar tercapailah maksud kepada ibadah puasa itu sendiri iaitu 'moga-moga kamu bertakwa!'
[1] Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Ayyub r.a. yang bermaksud ‘Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam daripada Syawal maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun.’ Rujukan hadis misalnya dalam An-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Ringkasan Riyadhus Solihin diringkaskan oleh Syaikh Yusuf Al-Nabhani, terj. Abu Khodijah Ibn Abdurrohim (KL: Telaga Biru, 2010), 228.
[2] Salah satu pendapat yang pernah penulis baca ialah daripada Almarhum Syed Abdillah Ahmad Al-Jufri ialah tidak boleh disatukan niat puasa enam Syawal dan qada’ dan haruslah didahulukan yang qada’ sebelum yang sunat. Wallau‘alam.
1 comment:
Salam
Penulisan yang baik. Teruskan menulis.
- http://hamydy.wordpress.com
Post a Comment