Kebetulan Sukan Olimpik tahun ini
berada dalam bulan yang mulia dan penuh barakah, maka perihalnya sudah tentulah
akan diperkatakan juga oleh segenap lapisan masyarakat kita.
Kalau tak silap penulis, Olimpik
punya pasal, ada mufti yang mengeluarkan fatwa bahawa peserta muslim boleh
tangguh puasa kerana menjaga kesihatan dan kecergasan; berjuang demi nama
negara – gamaknya! Teringat penulis ketika Piala Dunia 2002 di Korea/Jepun
tatkala ulama di Senegal mengeluarkan fatwa bolehnya tangguh sembahyang Jumaat
bagi rakyatnya menonton perlawanan bola sepak pada waktu Jumaat; sampai begitu
sekali!
Mungkin ada juga yang
mengeluarkan pendapat peserta tersebut sebenarnya sedang bermusafir, maka harus
untuknya tidak berpuasa – terpulanglah kepada tafsiran ulama tersebut kerana
hal-hal furu’ ini seeloknya mereka yang benar-benar mahir sahaja yang boleh
menjawabnya.
Selain daripada atlet yang pergi
ke London untuk berolimpik, pegawai pengiring juga turut ke sana. Cuma
kadang-kala kita pun naik hairan juga kalau atlet yang dihantar untuk satu
acara sekadar dua tiga orang, tetapi yang pengiringnya itu sudah taraf buat
rombongan pula. Duit rombongan itu datang daripada mana?
Negara jiran kita Singapura sudah
sah bergelar China Asia Tenggara sebab wakil mereka yang berjaya memenangi
gangsa sukan ping pong pun berasal daripada negara Tembok Besar juga. Nampaknya
sindrom Malaysia melanda negara Singa apabila hanya ping pong sahaja yang mampu
memberi sinar pingat kepada mereka – itupun melalui proses ‘pembelian pemain
daripada China.’ (Kalau Malaysia, badminton sahaja yang boleh bagi pingat;
tetapi kali ini, dapat jugalah sebutir gangsa hasil sukan terjun!)
Barangkali negara kita tidak
sampai ke tahap itu namun kalau difikirkan, ada pro kontranya neutralisasi
pemain luar menjadi rakyat Malaysia. Bukannya kita tidak pernah ada atlet yang
begitu.... namun kalau difikirkan sebenarnya
yang baiknya kalau begitu (beli pemain luar) kerana kita memberikan peluang kepada atlet yang memang sudah
sedia berbakat pada tahap yang tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa;
kerana mungkin kekangan di negara sendiri tidak memberi peluang kepada mereka
untuk berbuat demikian. Jadi, wang untuk latihan dan sebagainya dapatlah
dijimatkan dan tinggal ‘touch up’
sahaja! – Kalau dipandang secara logik akalnya.....
Kendatipun, disebabkan harga diri
dan peluang terpendam di kalangan rakyat sendiri, sudah tentu proses beli
pemain luar untuk jadi warganegara merupakan proses yang bertentangan dengan
semangat patriotisme yang terkandung dalam rakyat kita.
Pada masa yang sama juga, elok
juga Olimpik kali ini tidak dimenangi oleh atlit muslim negara kita kerana
bukan nak cakap apa, rekaan pingatnya itu terlalu menonjolkan sangat mitos
kedewaan zaman Yunani satu ketika dahulu; dari satu sudut, tak elok kalau
hendak menyimpan benda-benda yang ada rekaan ketuhanan agama yang lain. Tak
gitu?
Andai mengambil topik sukan
secara per se, nyatalah Olimpik
membuktikan kepada kita bahawa jurang sukan antara Asia Tenggara berbanding
rantau dunia yang lain (hatta Afrika sekali pun) sangat-sangatlah jauh ibarat
langit dan bumi. Walaupun Asia Tenggara boleh berbangga dengan Sukan SEA dan
kita pun berteriak yang kita menang pingat emas bola sepak sukan tersebut,
sebenarnya rantau ASEAN sudah semakin jauh ketinggalan dalam bidang sukan
berbanding rantau yang lain.
Tengok sahajalah pungutan pingat
negara-negara ASEAN, semua pun lebih kurang sama sahaja. Kalaulah Sukan Olimpik
dibuat secara merentas sub-benua, (Asia Tenggara, Asia Timur, Amerika Utara,
Amerika Selatan dsb) alamatnya yang paling corot sekali ialah negara-negara
ASEANlah jawabnya!!!
Justeru perkara sedemikian
membangkitkan persoalan apakah rasionalnya kita beria-ia hendak buat Sukan SEA.
Juara lumba lari 100 meter Sukan SEA pun tak mampu hendak menjadi wakil Asia
Tenggara di peringkat Olimpik, jadi apa yang hendak dibanggakan sangat???
Jadi, tok sah lah sangat hendak
menganjurkan sukan pelbagai acara (multiple
events) sangat sebab pulangannya belum tentu dan impak kepada sukan dalam
negara itu sendiri belum terbukti. Apa yang penting, budaya sukan itu sendiri
yang dipupuk di peringkat sekolah, dan yang dimaksudkan budaya sukan itu
termasuklah kepelbagaian jenis sukan yang membolehkan pelajar menyertainya.
Sudah tentulah peralatan dan tenaga pengajarnya perlu profesional (guru PJK)
yang benar-benar boleh membawa kepada matlamat 1Murid 1Sukan dan PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN.
Artikel berkaitan
Mengoptimumkan PJK: Nasi lemak dan kesihatan
Artikel berkaitan
Mengoptimumkan PJK: Nasi lemak dan kesihatan
No comments:
Post a Comment