Wednesday, August 15, 2012

17 Ramadan


17 Ramadan                                       

Bagi umat Islam di Malaysia, 17 Ramadan bukan sahaja menandakan mereka telah berpuasa 17 hari, malah turut mencerminkan tinggal lebih kurang 13 hari sahaja lagi hendak beraya.

Bagi mereka yang Islamik sedikit, 17 Ramadan dikenang sebagai hari Nuzul Al-Quran iaitu peristiwa turunnya wahyu Allah ke langit bumi. Untuk menambahkan lagi seri sambutan tersebut, beberapa buah negeri di tanah air mengisytiharkan cuti negeri sempena hari tersebut.

Namun perlu diingat bahawa cuti atau tidak seseorang itu tidak ada kaitan dengan 'keimanan' dan 'pengharapan' seseorang dalam berpuasa[1].

HAMKA turut mengaitkan 17 Ramadan dengan peristiwa Badar Al-Kubra yang menjadi titik tolak perjuangan mempertahankan agama secara peperangan.[2] Justeru terngiang-ngiang doa Nabi SAW yang dipanjatkan kepada Allah Taala untuk memberikan kemenangan kepada pasukannya kerana andai tidak, tiada lagi manusia di atas muka bumi ini yang akan menyembah-Nya!

Bagi mereka yang lebih peka terhadap sunnah barangkali 17 Ramadan menjadi isyarat yang semakin jelas untuk melipatgandakan amalan mereka kerana sepuluh yang terakhir itu semakin hampir. Lagilah seandainya ditakdirkan Ramadan sekadar 29 hari, sepuluh yang terakhir itu bermula pada 19 haribulan, dan bukannya 20!

Jadi, usaha untuk mendapatkan yang 'lebih baik daripada seribu bulan' itu perlulah ditingkatkan kerana alamatnya telah dikhabarkan oleh Nabi SAW sedemikian[3].

Begitulah adanya, tidak ketinggalan bagi mereka yang mengikut trend semasa maka 17 Ramadan menandakan hari raya semakin hampir. Medium jualan misalnya, jangankan pada akhir Ramadan, berminggu-minggu sebelum puasa pun sudah mengadakan 'jualan sempena raya' bagi meraikan keuntungan berlipat kali ganda sempena menyambut lebaran. Puasa pun belum lagi, dah nak sambut raya!

Ada yang sanggup berhutang sini sana asalkan dapat benda raya; langsir raya, kereta raya, sofa raya. Tak masuk lagi benda-benda yang secara tradisinya dirayakan seperti baju raya, kasut raya dan kuih raya!

Ramadan seharusnya mengajar kita berhemah dalam berbelanja, sebab yang lebih utama ialah menahan diri daripada hawa nafsu. Namun, kalau yang 'raya' itu terlalu dilebihkan, sudah tentu objektif 'moga bertakwa' tidak dapat dicapai.

Selain daripada berpuasa, zakat juga merupakan satu ibadah yang dikaitkan dengan Ramadan; namanya fitrah. Tetapi, alangkah eloknya seandainya ibadah zakat itu secara keseluruhannya diperkasakan; bukan sahaja daripada segi zakat harta dan fitrah, malah agihan zakat itu sendiri hendaklah diperkasakan supaya rancangan seperti 'Bersamamu' itu tidak perlu ditayangkan lagi.

Akhir kata, 17 Ramadan bukanlah sekadar satu lagi tarikh untuk kita bercuti atau mengenang turunnya Al-Quran, sebaliknya harus menjadi penanda aras sejauh mana kita mengamalkan apa yang diturunkan oleh-Nya kepada kita. Betapa umat Islam Malaysia begitu gah dalam bertaranum dan berqiraat sehingga kita tidak pula memahami apa yang kita bacakan! Pak Arab naik hairan betapa lunak dan sedapnya orang kita baca Quran tapi rupanya tak faham apa yang dibaca!

Dan kalau sudah tidak faham, masakan untuk beramal dengannya? 







[1] Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud ‘Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana keimanan dan pengharapan kepada Allah maka diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu. Rujukan hadis boleh dilihat misalnya dalam An-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Ringkasan Riyadh us Solihin disusun semula Syaikh Yusuf Al-Nabhani (KL: Telaga Biru, 2010) m.s. 223.


[2] Hamka, Tujuh Belas Ramadan dlm .  Kesepaduan Iman & Amal Salih (Shah Alam: Pustaka Dini, 2003) m.s. 191-198. Bab ini dikatakan sebagai artikel terakhir sebelum beliau pulang ke rahmatullah.


[3] Majoriti perbahasan berkenaan sepuluh malam terakhir bermula malam ke-20 dalam usaha mendapatkan Lailatul-qadr.  Sebenarnya Lailatul-qadr merupakan misteri yang diberikan isyarat namun untuk mendapatkannya kesungguhan seharusnya bermula seawal malam pertama Ramadan.

No comments: