Cerita-cerita yang ditayangkan sempena lebaran kadang-kala memberi pengajaran, ada yang sekadar hiburan dan ada juga yang mencampurkan hiburan dan pengajaran.
Semasa pulang ke kampung tempoh hari, setelah tiba, penulis tertonton sebuah filem yang dilakonkan oleh seorang pelakon komedi yang satu ketika dahulu meletup-letup dengan lakonannya yang dikatakan kelakar. Plot ceritanya diringkaskan, dua orang kembar seiras diwasiatkan untuk berkahwin empat untuk melayakkan mereka mewarisi harta peninggalan ayahnya yang cukup-cukup besar (boleh beli Boeing 747 gamaknya!). Namun, pada akhir cerita tersebut, salah seorang daripadanya terpaksa menceraikan tiga isterinya kerana desakan mereka dan memberikan mereka sejuta sebagai memenuhi janji sebab perkahwinan tersebut (hendak memenuhi wasiat untuk mendapat harta pesaka).
Jadi, sebab kepada perkahwinan tersebut ialah kerana semata-mata harta pesaka. Kemudian, dilakonkanlah dialog antara lawak dan antara tidak agar isteri-isteri lelaki tadi beratur untuk diceraikan. Selepas itu, satu persatu diceraikanlah isteri tersebut talak satu melainkan yang terakhir yang berloghat Kelantan iaitu dengan talak dua kerana menipu. Moral cerita itu ialah poligami boleh membawa kebaikan kalau kena gayanya dan poligami tidak akan berjaya seandai tidak ‘ditakdirkan’ oleh-Nya.
Penulis tidaklah mahu mengulas isu takdir kerana isu tersebut mengundang perbahasan yang perlu diperincikan; apatah lagi melibatkan akidah dan kepercayaan. Akan tetapi, apa yang menarik perhatian penulis ialah betapa mudahnya pakatan untuk nikah-ceraikan isteri lantaran memperoleh habuan harta pesaka daripada suami selepas wasiat bapa mentua dipenuhi. Kalaulah semudah itu untuk kahwin cerai, apatah lagi poligami bagi mencapai hasrat harta, maka alangkah mudahnya sesuatu perkahwinan itu didirikan dan diceraikan![1]
“Pada aku, itu cuma cerita je la... Untuk hiburan sahaja,” kata kawan penulis ketika kami berbual-bual.
“Masalahnya, dia (cerita itu) menggunakan isu talak sebagai sesuatu yang nak diambil ringan. Macam main-main sedangkan soal talak ni bukannya boleh dibuat main!” terang penulis pula.
Lalu penulis bertanyakan beliau apa pendapat beliau (daripada apa yang telah beliau pelajari dan fahami) tentang seseorang yang bergurau dengan si isteri dan menceraikan isterinya ketika bergurau?
“Eh, jatuh talak kalau macam tu![2]” jawab beliau dengan tegas.
“Sebab itu soal-soal sebegini tak boleh dibuat main. Kita sudah ada pemikiran yang ustaz cuma halau hantu, macam mana pula dengan isu nikah cerai dengan senang-lenang?” penulis membalas sambil mengaitkan soal cinta dan kasih-sayang yang membawa kepada perkahwinan itu sebenarnya datang daripada Tuhan, adakah kita hendak mempermainkannya dengan mewujudkan kisah nikah-cerai dengan sebegitu mudah sekali sebabnya?
Sama ada hiburan boleh dijadikan medium dakwah itu masih lagi menjadi khilafiyah. Ada yang mengatakan boleh, ada juga yang dengan mudah berhujah, ‘kalaulah dengan menyanyi (dan berlakon) itu merupakan satu cara yang baik untuk dakwah, nescaya Nabi SAW telah melakukannya terlebih dahulu.’ Masing-masing punya alasan yang tersendiri sama ada terlalu longgar atau terlalu ketat (rigid).
Bagaimanapun, jika kita lihat plot penceritaan yang hendak dikaitkan dengan agama pun kadang-kala terlalu tipikal. Sama ada cerita hantu, nikah-kahwin dan soal kehidupan yang menceritakan seseorang itu terlalu ekstream meninggalkan agamanya dengan digelumangi dosa dan akhirnya sama ada bertaubat atau menerima balasan buruk; bukanlah sesuatu yang segar dalam erti kata uslub dakwah pun. Adakah semua manusia seekstream sebegitu?
Namun, apabila kita menggunakan perkara-perkara keagamaan dalam karya kita, maka kita sebenarnya bertanggungjawab terhadap karya tersebut dan kemungkinan-kemungkinan yang timbul daripada karya itu. Seandainya ada dikalangan Dato’- Dato’ orang kaya yang tiba-tiba terasa hendak meniru wasiat untuk kahwin empat, bagaimana? Implikasi agama juga akan timbul apabila wasiat tersebut memerlukan seseorang melakukan sesuatu yang belum tentu dirinya mampu, walaupun perkahwinan itu sesuatu yang boleh diwasiatkan.
Kesan negatif lain ialah seolah-olah mencerminkan begitu mudahnya kita berhelah dengan menggunakan poligami apabila ada yang berkahwin kerana hendakkan harta semata-mata lantas boleh pula bercerai selepas harta itu diperloleh. Sedangkan ikatan perkahwinan itu ialah sesuatu yang suci dan menjadi pendinding kepada masalah sosial; tetapi kini digunakan sebagai satu helah yang mudah untuk keperluan duniawi semata-mata!
Bukanlah hendak menulis yang negatif sahaja, sebab soal wasiat, perkahwinan, persefahaman suami-isteri-isteri dan tolak ansur mencerminkan sesuatu tuntutan agama yang murni. Cuma cara diakhirinya cerita itu dengan ‘beratur untuk diceraikan’ tidak melambangkan sikap dan kemurnian dalam perkahwinan dan poligami dan barangkali memberi persepsi buruk kepada yang tidak faham.
Soal sama ada penonton boleh fikir ke tidak, sebenarnya tidak timbul. Kita tidak boleh menganggap kesemua penonton mempunyai laras pemikiran yang sama. Tambahan pula, judul komedi bukan sahaja ditonton oleh yang dewasa, malah kanak-kanak pun turut serta menontonnya. Oleh yang demikian, seharusnya filem-filem sebegini mempunyai klasifikasi PG 13 agar yang dewasa boleh memberi didikan kepada yang kecil.
Isu berkaitan filem Islamik atau yang mengaitkan unsur-unsur hukum-hakam Islam patut dibincangkan secara panjang-lebar oleh mereka yang berkepentingan (jabatan agama, ulama, pemerintah etc.). Kita tidak mahu sama sekali industri hiburan kita menjadi sebagaimana di Barat yang berlandaskan your taboo is not my taboo; sanggup melacurkan prinsip-prinsip agama untuk kepentingan wang ringgit dan atas nama kebebasan bersuara.
Ada filem dan drama daripada sana yang terang-terangan menghina agama dalam dialognya[3]; tetapi atas nama lakonan dan hiburan, perkara tersebut tidak diendahkan. Maka, usahlah kita hendak ikutkan sangat cara mereka memperguna dan memainkan sentimen agama dalam plot cerita, walaupun yang cuba kita mainkan itu sekadar sekelumit sahaja daripada agama!
[1] Menurut Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a. bermaksud seorang wanita dinikahi kerana empat perkara: hartanya keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Kahwinlah wanita yang berpegang kepada agama, nescaya kamu bahagia. Rujukan hadis misalnya dalam Alawi Abbas Al-Maliki et al, Ibanah Al-Ahkam Syarah Bulugh Al-Maram jil. 3, terj. Nor Hasanuddin H. M. Fauzi (KL: Hidayah Publication, 2011), 335.
[2] Menurut Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda dengan maksud, ‘Ada tiga perkara yang andai dikatakan bersungguh-sungguh, menjadi sah dan seandainya dikatakan secara bergurau juga sah, iaitu kahwin, talak dan rujuk.’ Mengikut mazhab Syafie dan Hanafi, jatuh talak terhadap si isteri seandainya si suami melafazkannya secara bergurau, Lihat perbahasannya dalam Al-Maliki et al., Ibanah Al-Ahkam Syarah Bulugh Al-Maram, jil. 3, 502-504. Hadis yang sama disyarahkan oleh Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi sambil menukilkan beberapa contoh dan keadaan. Menurutnya lagi, seandainya suami yang mentalak isterinya dengan bergurau itu masih bersama dengan isterinya sehingga menyebabkan kelahiran seorang anak, jadilah anak tersebut anak luar nikah. Rujuk Muhammad Idris Al-Marbawi, Bahru Madzi, jil. 9, (KL: Al-Hidayah Publication, 2006), 31-34.
[3] Seperti dialog ‘I don’t believe in God and He hates me’ menunjukkan betapa Tuhan sendiri dipermain-mainkan. Perkara sebegini membuktikan bahawa dunia Barat begitu sekular sehingga hal berkaitan Tuhan pun boleh dipersenda. Beginilah sebenar-benarnya yang dikatakan sebagai ‘agama suku, dunia suku.’ Konteks sekular dan kesekularan perlulah dilihat daripada asal kewujudannya kerana tradisi tersebut bukannya daripada pandangan alam dan kebudayaan Timur, apatah lagi Islam.
No comments:
Post a Comment