Monday, September 28, 2009

Ulasan Kitab Tafsir/Terjemahan Al-Quran di Malaysia

Niat untuk membuat ulasan tentang kitab tafsir atau terjemahan Al-Quran sudah lama. Ulasan yang penulis maksudkan bukanlah bersifat akademik, bukan juga bersikap kritikan dan pandangan yang bersandarkan ilmu tafsir; kerana penulis tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam ilmu tersebut. Penulis hanya mahu membuat ulasan tentang bagaimanakah tafsir itu di pandang dari sudut sebagai seorang awam.

Penulis sekadar ingin berkongsi tentang sejarah penyusunan, sumber-sumber yang digunakan dan laras bahasa terjemahan yang dipakai, cara susunan dan keistimewaan tafsir yang telah disusun. Tumpuan penulis adalah kepada beberapa buah "tafsir" atau kitab "Al-Quran & Terjemahan" yang bolehlah dikategorikan sebagai tafsir ringkas dalam bahasa Melayu. Hal ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan kepada pembaca beberapa karya tafsir/terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Melayu yang boleh dan senang di dapati di pasaran. Suka diingatkan bahawa undang-undang di Malaysia mensyaratkan sesebuah tafsir/terjemahan Al-Quran dalam bahasa bukan arab seperti Bahasa Melayu perlulah disertakan dengan ayat-ayat Al-Quran yang asal dalam bahasa Arab bagi membolehkannya diedarkan secara sah mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Ulasan Tafsir Mahmud Yunus

Tidak dapat dinafikan bahawa Tafsir Mahmud Yunus merupakan antara kitab tafsir yang paling lama wujud dan lengkap 30 juzuk. Cetakan awal oleh Klang Book Centre merupakan kitab tafsir yang paling banyak beredar di sekitar Malaysia sebelum masyarakat diperkenalkan dengan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman yang popular pada masa kini. Bagaimanapun, tulisan yang digunakan semasa cetakan awal bukanlah dengan Rasm Uthmani menyebabkan kadang kala, pembaca mungkin mengalami kesukaran untuk membaca ayat Al-Quran yang ditulis di dalam tafsir tersebut. Namun, kini edisi Resm Uthmani telah pun diedarkan dan mudah didapati di pasaran dengan mudah.

Penyusun tafsir ini ialah Al-Marhum Prof. Dr. Hj. Mahmud Yunus dari Indonesia dan edaran di Indonesia mengikut satu juzuk ke satu juzuk telah bermula sejak tahun 1938 lagi. Penyusun ada menerangkan di dalam pendahuluan betapa hasrat murni yang telah beliau laksanakan pada awalnya mendapat bantahan yang hebat daripada ulama-ulama tertentu di Indonesia yang menyifatkan tafsiran yang dibuat yang bukan di dalam bahasa arab dikira sebagai haram. Bagaimanapun, beliau telah menjawab tuduhan yang dilemparkan dengan panjang lebar sehingga tiada lagi bantahan dikemukanan.

Pada dasarnya, bahasa yang digunakan untuk terjemahan adalah bahasa Melayu Indonesia. Oleh sebab itu, mungkin akan timbul kejanggalan bagi pembaca yang jarang membaca tulisan dalam Bahasa Indonesia. Akan tetapi, bahasa yang digunakan sebenarnya mudah difahami dan senang dibaca. Malah, dengan edisi baru yang diterbitkan oleh Klang Book Centre, ejaan yang digunakan telah disesuaikan dengan ejaan Melayu Malaysia bagi memudahkan pemahaman pembaca di Malaysia.

Susunan di dalam kitab tersebut juga sangat kemas. Tafsir Mahmud Yunus adalah antara tafsir terawal yang menggunakan susunan ayat Al-Quran dan terjemahan secara sebelah menyebelah. Hal ini telah dituruti oleh beberapa tafsir selepas itu seperti Tafsir Pimpinan Ar-Rahman dan Tafsir Al-Azhar. Pada bahagian bawah muka surat disertakan dengan bahagian "Keterangan ayat" iaitu huraian padat bagi beberapa ayat yang ingin penyusun huraikan. Satu keterangan ayat yang menarik minat penulis adalah bagi keterangan ayat 1-7 Surah Al-Fatihah. Dalam menerangkan maksud Rahman – Rahim, penyusun telah memberi pandangan beliau bahawa tafsiran "Ar-Rahman untuk mengasihi seluruh hamba Allah sementara Ar-Rahim untuk mengasihi orang mukmin" sebagai satu tafsir yang bertentangan dengan ayat dari Surah Al-Baqarah ayat 143 dan Surah Al-Hajj ayat 65 yang menerangkan bahawa Rahim Allah itu adalah untuk seluruh manusia.

Sumber-sumber bibliografi yang digunakan oleh penyusun dalam menyusun tafsir ini tidak disertakan dengan jelas dan lengkap. Akan tetapi, penyusun ada menerangkan bahawa setelah dikaji beberapa kitab tafsir dan naskah agama yang terdahulu seperti Tafsir At-Tabari, Tafsir Ibnu Kathir dan lain-lain, terdapat tujuh sumber tafsir yang digunakan seperti tafsir ayat Al-Quran dengan Al-Quran, tafsir dengan hadis yang bukan dhaif dan maudu' dan sebagainya. Hal ini sekaligus menunjukkan bahawa penyusun telah merujuk dahulu kitab tafsir yang terdahulu dalam mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran.

Secara keseluruhannya, Tafsir Mahmud Yunus ini merupakan tafsir yang sangat sesuai untuk orang awam mendalami maksud dan huraian penting di dalam Al-Quran. Boleh dikatakan bahawa Tafsir Mahmud Yunus sebagai penanda aras kepada kitab tafisr ringkas/terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Malayu di tanah air kita. Huraian-huraian yang diberikan adalah sangat padat dan sangat berguna kepada pembaca. Oleh sebab itulah, penulis memilih tafsir ini sebagai kitab tafsir/terjemahan pertama untuk diulas. Tuntasnya, Tafsir Mahmud Yunus merupakan pendulu kepada kitab-kitab tafsir ringkas dan lengkap yang berada di Malaysia.

No comments: