Tuesday, September 15, 2009

Perlunya memahami graviti

Semenjak dua menjak ini, isu berkaitan dua buah negara berjiran iaitu Malaysia-Indonesia sering dibangkitkan di media tempatan masing-masing. Sudahlah hubungan Malaysia-Singapura ada pasang-surutnya, kini hubungan Malaysia-Indonesia pula yang menjadi isu yang diketengahkan dengan frasa-frasa seperti "ganyang", Indonesia Raya yang digembar-gemburkan.

Penulis melihat perkara ini dari perspektif sejarah kedua-dua buah negara. Itulah yang membezakan tindak-tanduk bagaimanakah reaksi rakyat dan media kedua-dua buah negara dalam menghadapi konfrantasi mulut sesama sendiri. Jauh disudut hati penulis, isu ketegangan hubungan ini tidak lain kerana salah faham dan sebagaimana bebola salji (snow ball), satu isu apabila dicampurkan dengan isu yang lain mungkin menyebabkan "isu" yang diketengahkan semakin membuak-buak.

Indonesia merdeka dengan susah-payah perit-jereh rakyat mereka. Rakyat, ulama dan pemerintah turut serta berjuang bergadai nyawa untuk mencapai kemerdekaan. Berbanding Indonesia, negara ini mencapai kemerdekaan dengan rundingan. Akan tetapi, hal ini tidak menidakkan bahawa telah banyak yang dikorbankan bagi mencapai kemerdekaan tersebut. Pelbagai isu terpaksa dikompromi demi mencapai satu kata sepakat antara pemimpin kaum di Malaysia yang menyebabkan isu kompromi tersebut terbawa-bawa sampai ke hari ini.

Oleh sebab itu, reaksi rakyat kedua-dua buah negara juga pastilah berbeza dengan asas dan didikan latar belakang yang berbeza. Rakyat Indonesia cenderung untuk bersikap reaktif terhadap isu yang berkaitan dengan negaranya sendiri, mungkin didasari dengan peristiwa konfrantasi regim Sukarno satu masa dahulu. Sebaliknya, rakyat Malaysia; sedar atau tidak, setuju atau tidak; sebenarnya lebih bersikap menerima sahaja apa yang berlaku dan mungkin boleh dikatakan sebagai "masih kurang" untuk bereaktif dengan isu-isu dengan Indonesia. (Tetapi hal ini tidak pula menafikan kebarangkalian rakyat Malaysia untuk bersikap reaktif menjelang masanya nanti..)

Ambil contoh mudah, tatkala isu Manohara sedang, rakan penulis yang mengadakan lawatan sambil belajar ke Jakarta membuat pemerhatian bahawa betapa rakyat Indonesia pada ketika itu berkumpul dan menunjuk perasaan sambil melaungkan slogan betapa mereka kurang menyenangi Malaysia – sedangkan pada ketika itu, pilihan raya Presiden sedang berlangsung. Tidak ada satupun rapat umum pada masa itu bersifat politikal terhadap calon presiden yang bertanding sebaliknya hampir kesemua rapat umum adalah berkaitan dengan Manohara. Isu Manohara-Malaysia telah mengambil tempat sebagai isu popular berbanding isu siapakah bakal Presiden Indonesia!

Isu amah dan pembantu rumah Indonesia juga menjadi isu besar-besaran apabila disebabkan seorang dua pembantu rumah Indonesia yang "dizalimi" majikannya di Malaysia, media dan rakyat di Indonesia menunjukkan reaksi yang begitu agresif apabila mereka melaungkan ganyang Malaysia. Sedangkan tiada pula majikan Malaysia yang membuat rapat umum dan tunjuk perasaan di kedutaan Indonesia di Malaysia tentang betapa ada juga pembantu rumah Indonesia yang lari dari tempat kerja, tidak berkelakuan baik dan sebagainya.

Reaksi sebegini bukan sahaja hadir di dalam bidang politik hubungan dua negara, media hiburan juga menghadapi sindrom yang sama bagi pihak Malaysia. Media hiburan Malaysia lebih bersifat menerima dan terus menerima hiburan seperti muzik, nyanyian dan sinetron dari Indonesia sedangkan sebagaimana yang diketahui umum, berapa keratlah sangat artis Malaysia yang dikenali di Indonesia (Raja SMS termasuk sebagai artis yang TAK dikenali di Indonesia). Ada siaran radio di Malaysia yang lebih keIndonesiaanya daripada keMalaysiaannya. Malah, ponco-ponco lebih orang kenali berbanding J-robik, aerobik dan sebagainya.

Haruslah rakyat kedua-dua buah negara menginsafi keadaan ini. Memang diakui tidak semua rakyat (Malaysia mahupun Indonesia) yang mengambil pusing isu tersebut. Namun disebabkan keadaan inilah sebenarnya hubungan Malaysia-Indonesia kekal sebagaimana sekarang ini apabila sebelah pihak yang terlalu sensitif (Indonesia) akan memperbesarkan sesuatu isu sementara sebelah pihak lagi yang masih lagi acceptable (Malaysia) masih tidak melakukan sebarang perlakuan yang menunjukkan ketegangan.

Maka dengan sebab itu, sepatutnya pihak-pihak berwajib antara kedua-dua negara mengambil perhatian tentang "keistimewaan" ini. Jangan sampai insiden bakar bendera menyelinap masuk ke dalam pihak Malaysia pula kerana ingat, seandainya kedua-dua tegang, perang saudara pula yang bakal berlaku di antara kedua-dua negara. Jangan disebabkan alasan kebebasan informasi, sesuatu isu itu dimanipulasikan oleh pihak tertentu sehingga wujud ketegangan antara kedua-dua buah negara. Dan tatkala keadaan sedemikian berlaku, tiada siapa yang akan menang....

 

No comments: