Thursday, September 24, 2009

Ini aku punya, yang itu pun aku punya juga!!!

Secara tiba- tiba, isu tentang mana asal usulnya sesuatu benda/makanan/tarian/unsur kebudayaan menjadi bualan mulut yang melibatkan "pertikaman" lidah antara dua negara. Secara tiba-tiba, ramai yang ingin mempertahankan itu dan ini sebagai "budaya milik mereka." Lebih melucukan, ada juga berhujah disebabkan nasi lemak negaranya lebih sedap daripada nasi lemak Malaysia, maka nasi lemak adalah berasal dari negaranya!!!

Hal inilah yang berlaku apabila orang ramai mula melihat keuntungan budaya untuk dibuat sebagai sumber ekonomi. Setelah berpuluh-puluh tahun rakyat antara beberapa buah negara hidup dalam kerukunan, kini, timbul pula satu kumpulan daripada rakyat sesebuah negara yang merasakan bahawa mereka jaguh di dalam mempertahankan budaya. Sedangkan budaya itu sendiri rencam dan tidaklah semata-mata milik satu negara sahaja. Malah, kebiasaan terhadap budaya juga boleh berubah dari semasa ke semasa.

Ambil contoh nasi lemak, satu makanan "budaya." Jujur dikatakan bahawa penulis tidak mengetahui dari budaya manakah nasi lemak itu muncul; rasanya berat kepada budaya melayu. Namun, sekarang ini, restoran cina pun ada menjual nasi lemak. Nasi lemak telah mengalami satu perkembangan apabila bukan satu-satu bangsa sahaja yang menikmatinya. Kemuncak kepada perubahan tersebut adalah apabila secara biasanya, nasi lemak dinikmati semasa sarapan namun kini nasi lemak dimakan tanpa mengira sama ada sarapan, makan tengah hari mahupun makan malam.

Namun, apabila kita memperkenalkan bahawa nasi lemak adalah makanan orang Malaysia, apakah ini bermaksud bahawa Malaysia adalah pendulu segala-galanya dalam hal nasi lemak? Apakah rakyat negara lain seperti Singapura misalnya tidak boleh langsung memasak nasi lemak. Atau perlu meletak bendera Malaysia semasa menghidang nasi lemak sebagaimana orang Itali bangga dengan pasta mereka? Lebih-lebih lagi, Malaysia-Singapura mempunyai hubungan "istimewa" apabila kedua-duanya adalah satu negara sehingga tahun 1965 apabila mereka bercerai talak.

Adalah tidak munasabah untuk mengatakan ini budaya ini dan itu budaya itu sedangkan kedua-dua negara pernah menjadi negara yang sama suatu ketika dahulu. Lebih-lebih lagi dalam hal makanan, sudah pastilah kita mempunyai makanan yang hampir sama. Mungkin di Singapura roti pratha, Malaysia panggil roti canai. Asasnya sama sahaja. Adakah hal roti canai, sate, nasi lemak, lontong, lemang, mi goreng, char kwey tiau pun kita hendak tegakkan yang makanan tersebut sekian-sekian yang punya. Lepas itu, apa? Ganyang dan sapu pula?

Malaysia sentiasa tersepit di antara perkara-perkara tersebut. Hal-hal yang kononnya budaya kini tiba-tiba dijadikan isu kerana isu sebenarnya adalah isu ekonomi. Apabila sesuatu itu ada business value, maka sesuatu itu akan dinilai sebagai "budaya." Walhal, berapa kerat sangat budaya yang kita kekalkan atas dasar "budaya" dan sejarah semata-mata??? Kalaulah nasi lemak itu tidak mempunyai economic value, maka tak siapa yang akan mengendahkan makanan tersebut. Tetapi sebab hendak dijadikan sebahagian daripada kempen pelancongan, maka tiba-tiba ada pula "waris yang mengaku harta pesakanya." Sedangkan sebagai masyarakat serumpun kita memang tidak boleh elak ada perkara yang sama dan serupa.


 


 

No comments: