Thursday, September 3, 2009

Bagaimana isu diputaralamkan

Beberapa isu di dalam akhbar dan media massa baru-baru ini benar-benar telah membuka mata penulis tentang apa yang dikatakan sebagai "isu". Kebenaran di dalam isu sememangnya tidak bersifat mutlak kerana "kebenaran" itu sendiri bergantung kepada bagaimanakah sesuatu isu itu diputarbelitkan oleh pihak media dan juga pemerhati yang melihat kepada isu tersebut.

Kes Chua Soi Lek contohnya merupakan satu kes yang menarik untuk kita bincangkan. Hal rakaman adegan seks di hotel sekian-sekian merupakan satu isu, namun isu itu ditenggelamkan pula dengan isu moral yang menyelubungi Chua Soi Lek yang sudah beranak isteri. Salah laku moral menjadi pusat kepada perbincangan orang ramai dan yang digembar gemburkan oleh media (sama ada perdana atau alternatif); sedangkan lebih dari itu, kenapakah kita tidak mempertikaikan hak privacy seseorang di dalam kamar hotel? Adakah pihak hotel/orang yang berkenaan mempunyai hak untuk merakam gambar orang lain tanpa pengetahuan orang yang dirakam? Kini, Chua Soi Lek dituduh sebagai orang yang menjatuhkan reputasi MCA dan diberi hukuman dengan pemecatannya daripada MCA sedangkan beliau merupakan seorang Timbalan Presiden.

Namun, hal berbeza pula seandainya kita lihat kepada kes Elizabeth Wong. Tidur tanpa pakaian itu satu hal. Hubungan dengan orang lain pula satu hal lagi. Namun, pihak PR berjaya menjadikan isu tersebut kepada isu privacy pula apabila mendakwa hak bersendirian Elizabeth Wong telah dicabuli. Elizabeth Wong telah berjaya dijadikan sebagai mangsa dalam isu ini dan menuntut kepada belas ihsan orang lain. Isu moral berjaya dihambat walaupun dari segi budaya orang timur (bukannya budaya Islam sahaja), seseorang yang tidak berkahwin lagi sangat-sangat tidak manis seandainya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Kes kematian mendiang Teoh Beng Hock juga memperlihatkan bahawa sesuatu isu itu bergantung kepada bagaimana orang memanipulasikan keadaan supaya keadaan dilihat sebagaimana yang diinginkan. Kes orang jatuh bangunan bukanlah satu kes yang asing di Malaysia. Ada orang yang maut kerana jatuh dari tingkat 2 sekalipun. Namun, kes ini telah berjaya diputaralamkan sehinggakan pihak PR dan kunco-kunconya bersungguh-sungguh menuntut Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat punca kematian. Kenapa hanya Beng Hock? Kalau buatnya orang lain ditemui jatuh dari tingkat sekian-sekian di pejabat kerajaan sekian-sekian, adakah PR dan penyokong-penyokong mereka akan menuntut untuk diadakan satu suruhanjaya menyiasat kematian juga?

Akhirnya, kes kematian itu dipolitikkan untuk kepentingan pihak berkepentingan yang ada. Pihak-pihak berkepentingan telah berjaya menjadikan Beng Hock sebagai mangsa yang perlu dibela.Pelbagai spekulasi diterbitkan bagi menjadikan suasana dan keadaan masyarakat untuk menerima bahawa kes kematian itu merupakan kes bunuh. Soalnya, apakah motif pembunuhan tersebut seandainya betul kes tersebut merupakan kes pembunuhan? Apakah BN akan mendapat manfaat daripada kematian Beng Hock? Mungkinkah Beng Hock sebelum ini adalah penyokong kerajaan BN yang telah defect kepada PR selepas kemenangan PR?

Dan sudah pastilah pihak berkepentingn seperti PR tidak akan menerima sama sekali keputusan seandainya koroner memutuskan bahawa kes itu merupakan kematian mengejut dan tiada unsur bunuh. Mereka pasti bermati-matian akan mempertahankan bahawa kes Teoh Beng Hock merupakan kes bunuh.

Suasana kini lebih kritikal apabila pihak PR kini menuntuk semua rakyat menghakimi apa yang berlaku. Merekalah pendakwa, merekalah hakim, merekalah juri. Hal ini sedikit sebanyak akan menimbulkan sentimen itu dan ini sehingga menyebabkan ketegangan antara masyarakat boleh berlaku. Belum lagi isu-isu yang boleh dikaitkan dengan perkauman seperti arak, berarak dengan kepala lembu, kepala babi di sana sini dan sebagainya.

Akhirnya, sebagaimana yang ditekankan pada awal tadi, sesuatu isu itu bergantung kepada bagaimana isu itu dibentuk, dicorakkan oleh pihak berkepentingan. Bagaimana media perdana dan alternatif merangka dan memanipulasikan isu tersebut untuk dijadikan sebagai provokasi kepada masyarakat yang menerimanya. Rakyat kini yang lebih celik IT, celik huruf dan semakin mudah mendapatkan maklumat sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih mencabar untuk menyaring dan menapis isu dan maklumat untuk dipersepsikan dalam minda

Bak kata Sebastian Stark dalam siri Shark, "Truth is relative. Pick one that works!"

No comments: