Thursday, September 17, 2009

Jangan Berharap Kepadanya...

Kita biasanya meletakkan harapan yang tinggi kepada sesuatu yang belum pasti. Namun, perlu diingat, dalam berharap kita juga perlu ingat bahawa tidak semua harapan kita akan menjadi realiti. Tidak semua impian kita akan dikabuli. Apatah lagi tatkala kita dengan terang lagi nyata dapat membezakan yang mana intan dan yang mana kaca.

Begitulah juga apabila ramai sekali umat Islam yang bergantung harap kepada Presiden Amerika, Barack Obama. Bukan kerana hendak memperkecilkan kebolehan beliau. Jauh sekali hendak merendah-rendahkan kapabiliti beliau. Namun yang nyata, penguasaan pihak Zionis di dalam pentadbiran Amerika Syarikat pasti akan menafikan niat murni yang cuba untuk dizahirkan oleh beliau. Beliau pasti sudah mengetahui buruk baik apabila mengambil keputusan untuk "bermain dalam bidang politik."

Nyata sekali juga, di dalam pihak Demokrat sendiri, ada yang tidak menggemari beliau. Bak kata Jimmy Carter, masih ada orang yang tidak dapat menerima seorang berkulit hitam untuk menjadi presiden Amerika Syarikat. Seandainya benar kenyataan itu, maka seharuslah kita semua insafi bahawa betapa racistnya manusia walau dimana mereka berada. Sebenarnya kita tidak boleh mencari satu contoh yang perfect sesebuah negara yang berjaya mengawal isu perkauman. Maklumlah, negara Malaysia dan pentadbirannya juga dituduh mengamalkan perkauman oleh sesetengah pihak....

Kembali kepada kisah Obama. Aura yang dibawa oleh beliau begitu berkesan sekali. Dengan menggunakan jargon Change, kempen beliau telah berjaya menambat hati pengundi-pengundi di Amerika Syarikat. Namun, realitinya, beliau tidak akan dapat melakukan sebarang perubahan kerana beliau sendiri tertakluk dengan pengaruh-pengaruh di belakang beliau yang ingin menjaga kepentingan. Pengaruh itu tidak lain dan tidak bukan adalah pihak Zionis. Menurut Dr Chandra Muzaffar, Zionis menguasai lima bidang di Amerika Syarikat iaitu politik, kewangan, akademik, media dan hiburan.

Aura Obama inilah yang digunakan oleh pelbagai pihak lain. Berkiblatkan perubahan, aura inilah yang digunakan oleh Parti Demokratik Jepun dan pemimpinnya, Yukiyo Hatoyama (DPJ) untuk menumbangkan penguasaan 54 tahun parti LDP. Walaupun masih terlalu awal untuk menjangkakan sesuatu, timbul persoalan juga akan apakah perubahan dapat dilaksanakan oleh pihak yang menang setelah taburan dibuat? Apa yang pasti, kempen perubahan gaya Obama jualah yang menjadi kelebihan untuk DPJ untuk menang.

Begitulah hebatnya Obama. Walaupun beliau berjaya memberi inspirasi kepada orang lain untuk berubah, beliau sendiri tidak mampu untuk membuat perubahan yang diinginkan. Hal ini bermaksud, walaupun kita mampu memberi keyakinan kepada orang lain bahawa kita mampu mengubah, sebenarnya sangat-sangatlah sukar untuk kita sendiri untuk berubah. Oleh itu, janganlah kita terperangkap dengan laungan perubahan sedangkan kita sendiri tidak bersedia untuk menghadapi apakah sebenarnya yang patut kita ubah....

__________________

Nota hujung

Wawancara Mingguan Malaysia dengan Dr. Chandra Muzaffar pada 13 September 2009


 

No comments: