Apabila kita telah didedahkan dengan kepelbagaian ilmu, ada juga diantara ilmu-ilmu tersebut yang menarik minat kita untuk mendalaminnya. Dengan asas-asas yang diperoleh daripada pengajian penulis di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, beberapa bidang telah menjadi perhatian penulis untuk mendalaminya. Menulis juga berharap untuk menulis di dalam bidang-bidang tersebut dalam usaha untuk menjadi seorang polymath yang profilik. Penulis bahagikan kepada dua bahagian iaitu bidang major dan minor. Bidang major adalah research interest yang cuba penulis usahakan untuk menjadikannya sebagai bidang utama keilmuan penulis. Bidang minor pula adalah bidang yang akan penulis jadikan sebagai bidang sampingan dalam penulisan; tetapi tidak kurang pentingnya untuk penulis.
Bidang Major
Sains, teknologi dan epistimologi ilmu dalam Islam
Bidang ini merupakan bidang yang sangat sukar kerana perdebatannya adalah bersifat di awang-awangan. Pun begitu, adalah penting untuk kita mewujudkan satu paradigma/weltanschauung pengajian ilmu di dalam Islam sebelum kita asyik menyalahkan sekularisme, sekularisasi dan dampak barat semata-mata sebagai penyebab kepada kemunduran Islam. Perdebatan antara sama ada wujud sains Islam atau sebenarnya sains yang dilakukan oleh orang Islam berjaya menarik perhatian penulis semasa penulis mengikuti kursus Sains & Teknologi Di Dalam Dunia Islam Semasa; tahun 2 di Universiti Malaya. Dua nama yang menarik perhatian penulis adalah Ziauddin Sardar dan Seyyed Hossein Nasr. Kedua-dua orang ini merupakan penulis yang prolifik dalam penghasilan artikel dan buku-buku kritikal dan ilmiah. Sardar misalnya adalah seorang yang polymath dan banyak sekali mengulas isu-isu semasa yang penting bukan sahaja untuk umat Islam, juga untuk masyarakat moden. Melalui karya beliau, penulis berkenalan dengan istilah-istilah pasca-moden, masa hadapan (the future) dalam konteks Islam, teknologi maklumat dan sebagainya. Nasr pula adalah seorang yang tegar menegakkan pandangan sufinya, pengkaji kosmologi Islam, ahli falsafah dan banyak membandingkan aspek sunni dan syiah dalah karyanya (beliau merupakan kelahiran Iran). Karya Sardar benar-benar membuka ruang kepada penulis untuk meneroka bidang yang asing untuk penulis seperti sosiologi, kebudayaan dan media.
Sains sosial termasuklah sosiologi, politik dan budaya
Bacaan penulis terhadap karya Sardar memperkenalkan penulis kepada karya seminal The Myth of The Lazy Natives karangan Almarhum Prof. Dr. Syed Hussein Alatas. Karya ini disifatkan sebagai original dan mendahului gagasan yang dibawa oleh mendiang Edward Said dalam membincangkan orientalisme. Selain itu, karya Alatas juga telah mengkritik idea Tun Dr. Mahathir (The Malay Dilemma) dan buku Revolusi Mental bahawa orang Melayu penuh dengan sifat-sifat negatif dan bersikap bermalas-malasan. Selain itu, Alatas juga telah meneroka isu rasuah yang merupakan penyakit kronik yang bakal memusnahkan masyarakat dan negara seandainya tidak ditangani. Melalui penyelidikan sains sosial juga akan memberi peluang kita meneroka kelakuan manusia melalui pendekatan behaviorisme. Saling kaitan antara bidang tersebut mewujudkan jambatan untuk kita mengetahui sedikit sebanya aspek psikologi gunaan bagi kajian sosial.
Sains Biokesihatan
Bidang kesihatan merupakan bidang yang sangat-sangat menarik minat kepada penulis terutamanya dalam etnofarmakologi i.e. kajian bagaimana sesuatu etnik menggunakan herba untuk tujuan ubatan. Terdapat pengkelasan yang meletakkan ilmu etnobotani sebagai sains sosial dan hal ini telah menyebabkan bidang berada dalam keadaan ambiguiti. Oleh sebab itu, adalah penting untuk kita mengkaji keseluruhan bidang ini supaya mendapat satu pengetahuan dan ilmu yang padat dan rencam bagi membolehkan kajian potensi tumbuhan sebagai ubat dan penyembuh untuk penyakit.
Bidang-bidang minor penulis meliputi bidang ekonomi dan pengajian Islam. Penulis sangat berminat untuk mendalami sejarah kedatangan Islam ke Asia Tenggara; dari segi mazhab anutan, cara penyebaran dan naskah-naskah yang dicetak. Kajian ini tidak dapat tidak menuntut pentelaahan yang benar-benar teliti menyebabkan kekangan terhadap sumber primer yang ditulis dalam tulisan jawi kuno. Penulis terpaksa mengharapkan sumber sekunder sebagaimana karya Almarhum Prof Dr Hamka iaitu Sejarah Umat Islam dan penulisan Mahayuddin Hj. Yahya. Penulis juga sangat berminat menerokai perbandingan tafsir dan kitab terjemahan Al-Quran yang telah ditulis oleh ulama-ulama di Semenanjung Melayu.
Moga-moga Allah Taala memberi kemudahan kepada kita untuk sama-sama mengkaji khazanah ilmu-Nya.
No comments:
Post a Comment