Menyentuh isu tentang kesatuan umat Islam, kita bukan sahaja berbicara tentang isu kesatuan umat Islam di peringkat negara sahaja (e.g. kerjasama UMNO-PAS, penglibatan NGO Islam dan sebagainya), kita juga harus meluaskan cakupan tentang kesatuan Islam di peringkat antarabangsa. Kerjasama antara umat Islam seharusnya dibuat dengan lebih rencam lagi agar umat Islam dapat dijadikan contoh kepada orang yang bukan Islam sebagai umat yang bersatu padu.
Ambil satu contoh, isu penetapan tarikh-tarikh penting dalam kalender Islam seperti permulaan Hijriyah, pemulaan Ramadhan, Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Adalah sangat penting untuk kesepakatan dilakukan antara negara-negara sekitar Asia Tenggara tentang bilakah sebenarnya tarikh-tarikh tersebut agar setiap sambutan yang dijalankan adalah secara bersama tanpa ada yang tercepat dahulu mahupun terlambat pula.
Ambil contoh untuk tahun ini, bayangkan seandainya Singapura menyambut Hari Raya Puasa pada hari Isnin sementara Johor sudah menyambutnya awal sehari, apakah yang akan berlaku kepada umat Islam Singapura yang mempunyai saudara mara di Johor? Adakah mereka perlu meraikan Aidil Fitri (beraya/berbuka) sejurus mereka datang melepasi tambak Johor sedangkan pihak autoriti agama Islam di Singapura mengisytiharkan Aidil Fitri di Singapura pada hari Isnin? Perkara ini sekadar satu contoh....
Lebih-lebih lagi, umat Islam serantau di Asia Tenggara mengikuti mazhab yang sama iaitu Mazhab Syafie, maka seharusnya ada kata sepakat dibuat antara autoriti agama Islam bagi setiap negara bagi melancarkan perlaksanaan ibadah mahupun sambutan perayaan. Perbezaan tarikh antara satu negara dengan negara yang lain sedikit sebanyak menimbulkan isu-isu tentang ajaran mana yang sepatutnya diikuti...Mungkin seandainya berlaku perbezaan Hari Raya Haji di Malaysia dengan Arab Saudi mungkin tidak dapat dielakkan kerana Malaysia dan Arab Saudi adalah saling berjauhan.
Begitu juga dengan isu-isu lain yang selalu diperdebatkan. Kadang-kala, adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila seandainya dalam satu-satu isu itu kita tidak habis-habis berdebat dari semasa ke semasa sedangkan yang sepatutnya kita cari adalah bagaimana caranya kita bersatu dan bukannya berbalah. Kalau hal seperti qunut Subuh pun kita sampai tidak berpuas hati dengan pihak itu atau dengan pihak ini, bagaimana mungkin kita hendak buktikan bahawa umat Islam sebenarnya bersatu kepada mereka yang bukan Islam?
Oleh sebab itu, kerjasama dan kesatuan antara umat Islam serantau perlu dipertingkatkan. Kita janganlah terlalu ego untuk mengatakan bahawa kitalah yang sentiasa betul sedangkan yang lebih tahu sah batalnya amalan kita adalah Allah Taala. Ingatlah firman Allah Taala dalam Al-Quran, "Dan berpeganglah kamu kepada tali Allah, dan janganlah kamu berpecah belah." Mari kita hayatinya dan amalkan tatkala kita menuju ke fitrah kita kembali....
No comments:
Post a Comment