Isu selipar: Semua orang boleh main wayang...
Kenyataan seorang perwakilan MIC di dalam upacara penutup Mesyuarat Agung Tahunan parti tersebut menggemparkan bukan sahaja ahli parti MIC, malah turut mengundang reaksi negatif daripada pelbagai pihak yang menjadi pengulas kepada isu tersebut. Mengalungkan selipar ke gambar Tun Dr. Mahathir; begitulah syor yang dibuat oleh perwakilan tersebut sebagai reaksi beliau terhadap kenyataan yang dibuat oleh Tun bahawa Datuk Seri Samy Vellu kononnya Samy Vellu penyebab kepada apa yang berlaku kepada masyarakat India pada hari ini.
Tidak semena-mena, sekali lagi Tun Mahathir mendapat perhatian semula setelah beberapa ketika dorman daripada membuat sebarang kenyataan. Disebalik begitu ramai yang tampil mengkutuk dan mengkritik kenyataan yang dibuat oleh ahli MIC tersebut; tak kenang jasa, tak kenang budi.... pelbagai tomahan juga dikenakan kepada beliau. Kemuncak tindakan yang dikenakan adalah penggantungan keahlian MIC yang dibuat oleh Presiden MIC, Samy Vellu.
Tun Mahathir dalam reaksinya pula berkata bahawa beliau tidak "terasa" apa-apapun dengan cadangan gantung selipar tersebut. Malah, beliau melahirkan perasaan kesal beliau kerana tiada pula pembela beliau tatkala suatu ketika dahulu, ada di kalangan ahli UMNO sendiri (bertaraf menteri) yang mencadangkan agar keahlian UMNO beliau digantung. Beliau dikatakan lebih sedih dengan kecaman daripada ahli UMNO sendiri berbanding dari pihak yang lain.
Nampak gayanya cara dan perawakan Tun Mahathir tidak ubah bagai orang yang merajuk dengan kisah silam. Apa yang berlaku pada masa lalu itu lebih terkesan di hati dan sanubari beliau kerana kecaman terhadap beliau datang dari UMNO sendiri, sedangkan tatkala itu semua orang pun tahu bahawa Presiden UMNO dan PM pada ketika itu adalah Pak Lah. Tetapi, semua orang perlu menerima kenyataan bahawa sebarang statement yang dikeluarkan oleh Tun pada masa Pak Lah menjadi PM akan dilayan berbeza berbanding dengan semasa Najib menjadi PM. Gravitinya berbeza. Orang dulu sokong Pak Lah. Sekarang dah sokong Najib. Dan yang menekan supaya Najib naik jadi PM pun Tun Mahathir. Dan kalau ikut mantik mudah, yang menyokong Najib mestilah sokong Mahathir juga.
Tun Mahathir pada ketika itu menuntut Pak Lah untuk letak jawatan dan bertanggungjawab terhadap kegagalan BN dan UMNO. Walaupun berat, Pak Lah akhirnya tetap mengalah juga dan memberikan jawatan PM dan Presiden UMNO kepada Najib. Bagaimanapun, satu kata-kata Pak Lah yang mahu tak mahu kita kena terima juga adalah "Saya tak pernah keluar dari UMNO." Sebaliknya Tun Mahathir pernah keluar UMNO kerana "sayang kepada UMNO." Tindakan Tun Mahathir "keluar" daripada UMNO dirasionalkan dengan betapa beliau sebenarnya "sayang" kepada UMNO. Umpama kalau orang tu sayang keluarga dia, dia tak tahan dengan karenah keluarganya, maka tindakan paling layak pada ketika itu adalah keluar daripada keluarganya atas alasan sayang kepada keluarganya????
Begitulah ayat-ayat politik. Putar belitnya lebih panjang daripada tayangan Telenovela Amerika Latin. Penulis tak memihak kepada ahli MIC yang mencadang gantung selipar, atau Tun Mahathir, atau Nazri Aziz mahupun Pak Lah. Cuma hendak juga mengingatkan UMNO dan BN bahawa mereka pun sebenarnya tak berubah apa-apa pun sepanjang Najib memegang jawatan PM. Tatkala mereka "riak bagai nak rak" dengan kekalahan tipis di Manek Urai, Anwar Ibrahim dengan bangganya menjaja ke sini sana bahawa PR semakin diterima di Semenanjung atas alasan SEMUA pilihan raya kecil di Semenanjung milik PR. Masakan tidak?! Memang semua pilihan raya kecil Semenanjung pasca 13 Mei 2008 dimenangi oleh Pas dan PKR!!!
Realiti: Insafi nasib LDP di Jepun
Seharusnya kekalahan di Permatang Pasir membuka MATA sebesar-besarnya untuk ahli UMNO menilai mengapa mereka boleh kalah dengan begitu teruk di sana. Mengapakah calon yang mereka pilih itu masih mempunyai isu moral itu dan ini. Mengapakah selepas kekalahan calon mereka, barulah mereka hendak mengakui bahawa telah salah pilih calon? Atau sebenarnya mereka tiada calon yang sesuai pun untuk bertanding di kawasan tersebut? Mengapakah UMNO masih memberikan alasan yang sama untuk kekalahan tersebut? Salah pilih calon. Kelemahan calon dieksploitasi; sudah tahu calon bakal ada isu tersebut, kenapa apabila sudah kalah baru nak tergadah???!
UMNO sebetulnya belum menampakkan perubahan yang nyata. Dan sebagaimana yang telah penulis bebelkan sebelum ini, seandainya PR berjaya memerintah di negeri-negeri milik mereka kalaupun tak lebih baik, namun sebaik atau hampir sebaik BN, maka rakyat pasti tidak teragak-agak untuk memberi peluang kepada PR untuk memenangi PRU 13.
Ambilah peristiwa tumbangnya LDP di Jepun sebagai pengajaran besar kepada BN bahawa rakyat BOLEH memberi peluang kepada pembangkang WALAUPUN pakatan di dalam pembangkang terumbang ambing. Banyak sebenarnya isu-isu prinsipal yang menjadi pertelingkahan di kalangan anggota DPJ sendiri, namun rakyat tetap boleh memberi mandat kepada mereka. Tidak mustahil walaupun terdapat ketaksefahaman antara PAS, DAP dan PKR terutamanya di dalam isu keagamaan, bangsa, hak istimewa, mereka masih boleh menang pada pilihan raya akan datang.
Apabila orang Cina semakin menyokong PAS
Akhirnya, kita perlu ingat bahawa segala-galanya adalah disebabkan kuasa. PAS boleh sahaja menutup sebelah mata tentang hukum hudud sebab mereka tahu sekarang ini, orang Cina lebih menyokong mereka berbanding UMNO. Ulama-ulama PAS pun sudah mengeluarkan "fatwa" bahawa orang bukan Islam yang menyokong perjuangan Islam patut disokong (merujuk kepada sokongan terhadap DAP Perak... dan mungkin DAP seMalaysia). Pok Nik pun sudah menyalahkan orang Islam sendiri kerana orang bukan Islam menghina Islam. Maka, segala-galanya mungkin berlaku. Orang Cina sekarang sudahpun beralih arah untuk menyokong perjuangan PAS!!!! Mereka sudah memangkah PAS!!! Maka tidak keterlaluan bahawa mereka TELAH MENERIMA PAS sebagai pemimpin mereka!!!!
Najib: Berubah atau rebah...!
Di pihak BN dan UMNO sendiri, mereka perlu melaksanakan tindakan perubahan itu sendiri dan bukannya beretorik tentang KPI, NKRA, 1Malaysia dan pelbagai lagi retorika yang lain. Kenapa "nilai-nilai" yang menjadi teras 1Malaysia lebih lambat digembar-gemburkan berbanding 1Malaysia itu sendiri. Hal ini menunjukkan betapa kerajaan sebenarnya tidak langsung bersedia untuk membuat pengisian 1Malaysia itu sedari awal lagi sebelum terma 1Malaysia itu diperkenalkan. Kini, barulah terhegeh-hegeh untuk menerangkan itu dan ini sedangkan terdapat persepsi rakyat yang menyamakan 1Malaysia dengan Malaysian Malaysia.
Lebih penting, dikalangan komponen BN sendiri perlulah berubah dari segi perawakan, pendekatan dan sistem supaya rakyat tidak melihat betapa kelam kabutnya BN. Kalaulah ditakdirkan PRU ke 13 berlaku sekarang dan ketika ini, memang BN akan kalah dan kekalahan tersebut adalah pasti. MCA dengan krisis dalamannya sendiri, MIC pun dengan krisis kepimpinannya sendiri. UMNO pun masih tak geti-geti nak cari calon yang sesuai untuk bertanding... bagaimanakah rakyat hendak memberikan undi kepada BN yang sedang huru-hara sedangkan permainan persepsi oleh Anwar Ibrahim dan pihak PR terbukti jauh lebih berpengaruh berbanding kempen tradisional BN???
Penutup: Perlu buktikan di Bagan Pinang
Pendek bicara yang panjang, UMNO seharusnya memainkan peranan mereka dengan berkesan untuk memastikan kemenangan besar mereka di pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang. Kini, sudah ada cakap-cakap tentang calon ini dan calon itu yang bertanding di DUN tersebut dan hal ini menimbulkan suasana kurang senang bukan sahaja di kalangan ahli UMNO, malah mungkin pengundi pun akan turut terkesan dengan keadaan tersebut. UMNO perlu pilih calon yang betul-betul sesuai dan bersih agar mereka beroleh kemenangan pada pilihan raya tersebut.
Malah, seharusnya mereka menang besar pada pilihan raya kecil tersebut kerana hal ini memberikan kemenangan moral kepada diri mereka sendiri. Namun, seandainya mereka gagal, maka semakin suramlah masa depan mereka dan PR akan menjadi semakin yakin serta kelak akan mampu meyakinkan rakyat di tempat lain pula bahawa Malaysia telah semakin menerima mereka. Insaflah ahli UMNO dan BN kerana seandai tidak, seandainya mereka kalah lagi di pilihan raya kecil kali ini, moral mereka semakin terhakis dan pepecahan yang lebih teruk akan melanda mereka pada masa akan datang....
Sekadar pandangan dari seorang pemerhati...
No comments:
Post a Comment