Bulan Ramadhan merupakan bulan dibuka pintu rezeki seluas-luasnya. Malah, peniaga-peniaga telah memulakan promosi seawal seminggu mahupun dua minggu sebelum bulan puasa lagi. Pelbagai perniagaan boleh dijalankan dan kesemuanya boleh mengaut keuntungan yang besar. Tidak kurang juga dengan peniaga yang meletakkan harga yang tidak munasabah namun masih dapat menarik pelanggan untuk membeli produk yang ditawarkan.
Pasar Ramadhan di sana sini merupakan sesuatu yang tidak akan dapat kita lihat pada bulan-bulan lain. Pasar yang dikhususkan untuk menjual juadah berbuka puasa berada di mana-mana sahaja kita berada. Pelbagai makanan dan minuman yang dijual bagi memenuhi kepelbagaian citarasa umat Islam dan tidak dilupakan juga mereka yang bukan Islam. Bak temubual di dalam TV, Pasar Ramadhan merupakan tempat yang paling sesuai untuk mendapatkan kuih-muih Melayu yang biasanya sukar untuk diperoleh pada bulan-bulan lain.
Penulis ada membincangkan sepintas lalu pada entri sebelum ini tentang harga jualan makanan di Pasar Ramadhan. Kuih-muih sahaja ada yang sehingga 5 biji untuk RM 2. Air tebu seplastik boleh mencecah RM 3.50 hingga RM 4.00. Bayangkan, harga air tebu yang seplastik boleh sama harga dengan harga nasi ayam sebungkus. Namun, ada sahaja pembeli/pelanggan untuk produk tersebut.
Selain daripada jualan juadah berbuka puasa, terdapat juga bazar khusus untuk menjual pakaian dan peralatan berhari raya. Biasanya, bazar tersebut sama ada diadakan di kawasan tumpuan awam terkenal (seperti di Jalan Masjid India dan Jalan TAR), ataupun di pusat membeli-belah yang turut menyediakan booth-booth tertentu untuk memberikan peluang kepada peniaga-peniaga untuk berniaga. Baju kurung, baju melayu, tudung, songkok dan kopiah merupakan antara pakaian yang dijual di bazar-bazar tersebut.
Pernah sekali penulis meninjau satu bazar yang antara lain menjual "kopiah Haji Abdul." Penulis bertanya kepada penjual, "Berapa harga kopiah ini?" Penjual menjawab, "RM 89 je bang..." Terkejut penulis dengan harga tersebut. Penulis bertanya lagi kenapa mahal sangat. Jawabnya selamba, "Ha, tu lah bang. Jangan ingat kasut saja yang mahal ! Ini kopiah memang terkenal. Ini yang ori punya bang. Ramai yang pakai macam Arwah Ustaz Fadzil Noor, Haron Din." Begitula jawab penjual tersebut. Penulis ada juga meninjau harga kopiah tersebut di tempat-tempat lain. Ada sahaja yang jual RM 45 satu; tak tahu pula apa sebabnya peniaga yang pertama tadi boleh jual sampai RM89!!!
Harga yang pada penulis mahal namun masih mendapat sambutan dan pelanggan masih lagi membeli produk tersebut. Hal ini bermaksud, walaupun kita sering dimomokkan dengan betapa ekonomi semakin merudum, rakyat semakin tidak berduit dan sebagainya, orang ramai sebenarnya masih membelanjakan wang mereka secara domestik. Ada baiknya seandainya kita memikirkan untuk benar-benar meningkatkan taraf hidup mereka supaya mereka. Dalam masa yang sama, perniagaan semasa bulan Ramadhan merupakan satu peluang dan ruang yang besar kepada orang ramai menambahkan pendapatan mereka. Memang benarlah yang dikatakan bahawa Ramadhan merupakan pembuka pintu rahmat dan rezeki.....
No comments:
Post a Comment