Apabila membaca komentar yang dilakukan oleh sama ada wartawan, ahli akademik mahupun mereka yang menulis di akhbar, nyata sekali terdapat satu persamaan yang dinukilkan oleh mereka iaitu betapa sambutan Hari Raya Aidil Fitri di Malaysia adalah jauh lebih meriah berbanding dengan negara-negara Islam lain. Seolah-olahnya rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Melayulah yang paling menyambut Aidil Fitri di dalam dunia ini !
Pak Arab pun tidak sama sekali menyambut Aidil Fitri sebagaimana umat Islam Malaysia. Malah, kononnya mereka sebenarnya bersedih sedu sedan kerana Ramadhan telah luput dan telah tamat satu bulan mubarak untuk meningkatkan amal mereka dan mengejar kebaikan dan rahmat berlipat kali ganda. Begitulah perbezaan sambutan Hari Raya Puasa Malaysia dengan yang lain.
Pada pandangan penulis, sambutan sesuatu perayaan; dan dalam kes Malaysia pelbagai perayaan merupakan sesuatu yang unik dan istimewa untuk bangsa tersebut. Amalan balik kampung misalnya, memang lebih dirasai di Malaysia berbanding negara Islam lain pun. Oleh sebab itu, disebalik cakap-sakap yang mengatakan sesuatu sambutan itu lebih disambut dengan adat berbanding ibadah, adat yang baik pula apa salahnya kita amalkan? Justeru, kini kita semakin cemas kerana amalan saling mengunjung antara satu sama lain semakin terhakis disebabkan puluhan malah ratusan cerita/drama, telemovie dan rancangan hiburan di televisyen...!
Satu lagi keistimewaan Syawal adalah amalan "rumah terbuka" yang sering dilakukan oleh mereka yang mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian. Jamuan makan kepada sahabat handai dan kepada saudara mara merupakan sesuatu yang seharusnya kita pandang mulia kerana "rumah terbuka" ini dapat menzahirkan kepada masyarakat bahawa umat Islam merupakan umat yang berkongsi kegembiraan dengan yang lain sekaligus mengeratkan silaturahim sesama masyarakat.
Pun begitu, satu perkara yang merunsingkan juga saban tahun adalah betapa "melantak" semasa raya merupakan amalan yang turut diamalkan oleh masyarakat kita. Sebab itulah tidak hairan seandainya kadar pesakit yang datang ke hospital dan klinik meningkat disebabkan berbagai-bagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, angin ahmar dan sebagainya. Oleh sebab itu, selain daripada kita menyediakan pelbagai juadah yang sememangnya tinggi dengan kolesterol dan minuman yang kaya dengan glukosa, apa salahnya kita sertakan juga dengan buah-buahan yang kaya dengan serat dan sayur-sayuran yang penuh dengan vitamin. Kurangkan garam dan kurangkan gula. Kurangkan "pak aji" dan perasa. Sediakan sekali air suam atau air kosong sebagai alternatif kepada minuman. Dan yang datang berkunjung pun janganlah skeptik sangat dengan berkata, "Air suam aje...?!" Nak jaga badan kena minum air suam sahaja. Kalau tidak, yang diabetes mulalah nak pitam la, pening ini dan pening itu, tak bermaya...!
Satu lagi perkara yang memeningkan kepala juga adalah kemalangan jalan raya. Daripada Ops Statik bawa ke Ops Sikap, kemalangan jalan raya masih lagi penyebab kepada tragedi di Hari Raya. Maklumlah, ramai rakyat Malaysia yang mungkin hendak menunjukkan bakat mereka memandu laju bagi melobi untuk seat driver untuk 1Malaysia F1 team. Akan tetapi, insaflah wahai pemandu yang kita kena ada lesen super baru boleh nak bawa kereta F1. Yang pandu laju bawa-bawalah bertenang dan kurangkan kelajuan sedikit. Yang bawa perlahan pula janganlah terlalu berhati-hati dan gelabah sangat. Cuba kita buat kempen untuk mengikut had laju kebangsaan 90 km/j! Di lebuh raya, taramlah sampai 110 km/j. Ingat pesan iklan, kepulanganmu untuk diraikan, bukannya untuk ditangisi!!!!
Kehadiran Syawal sebenarnya menuntut kita kembali kepada fitrah kita. Dalam kita menyambut dan bersuka ria, ingatlah agenda sebenarnya kita menyambut iaitu meraikan kembalinya kita kepada fitrah. Seharusnya kita tanamkan dalam diri kita bahawa setelah sebulan menjalani latihan dalam madrasah Ramadhan, maka kita sebenarnya meraikan bahawa kita telah berjaya menjalani latihan tersebut dengan jayanya. Maka kita bertakbir, bertasbih dan bertahmid memuji kebesaran-Nya dan mengharapkan segala ibadah yang kita lakukan dalam institusi Ramadhan diterima olehnya. Harus sekali kita berdoa dan mengharapkan bahawa cahaya dan keberkatan Ramadhan itu akan dapa kembali pada tahun-tahun akan datang...
Sebab itulah para Sahabat R.A menangis tatkala menjelang Syawal.... bukan kerana gembira untuk menyambutnya namun kerana sangat sedih meninggalkan bulan Ramadhan yang mulia...
Buat semua pembaca, selamat kembali kepada fitrah dan berazamlah untuk mengamalkan apa yang telah diusahakan dalam madrasah Ramadhan...
Minal a'idin wal faizin....
No comments:
Post a Comment