Sunday, May 12, 2013

Mendoakan rahmat kepada mereka

 

Dalam Al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menyeru supaya umat manusia (lebih-lebih lagi umat Muhammad) untuk menghormati dan menyayangi ibu bapanya dan mendoakan rahmat kepada mereka. Misalnya dalam Surah Al-Isra’ 17 ayat 23- 24, Allah berfirman:

Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua orang tua/ibu bapa. Jika salah satu atau kedua-dua daripada mereka telah benar-benar sampai (usia) tua maka janganlah kamu berkata kepada mereka berdua, ‘Ah!’ dan janganlah kamu menengking mereka berdua, dan (tetapi) katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (baik dan lembut). Dan hendaklah kamu merendah diri (bertawaduk/rendahkan sayap) kepada kedua-duanya dengan rahmat/kasih sayang dan katakanlah (berdoalah), ‘Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana keduanya memeliharaku/mendidikku semasa kecil.[1]

Dalam satu lagi ayat Al-Quran, melalui firmannya:

Dan kami wasiatkan/perintahkan kepada manusia untuk berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya (dengan) kelemahan di atas kelemahan (mengandung, melahirkan & menyusui) dan tempoh cerai susunya dalam masa dua tahun, bersyukurlakh kamu kepada-Ku dan kedua ibu bapamu, kepada-Kulah tempat kembali. Dan jika mereka berdua memaksa supaya ka,mu mempersekutukan-Ku sesuatu yang tiada engkau ketahuinya maka janganlah kamu taat kepada mereka, dan bergaulah kepada mereka berdua di (pada masa hidup mereka di) dunia dengan baik (berbakti dan bersilaturrahim), dan turutlah jalan orang yang kembali kepada-Ku (mentaati-Ku) dan kemudian kepada-Kulah tempat kembali kamu semua maka Aku akan memberitahu kamu semua tentang apa yang kamu semua telah kerjakan.[2]

Tidak ketinggalan hadis Nabi SAW yang turut menekankan ketaatan dan kebaktian kepada ibu bapa sebagaimana sabdanya daripada Ibnu Mas’ud:

Aku pernah bertanya kepada Nabi SAW, ‘Apakah amalan yang paling afdhal?’ Jawabnya, ‘Sembahtang pada waktunya.’ Kataku, ‘Kemudian, apa lagi?’ Kata baginda, ‘Berlaku baik/berbakti kepada kedua ibu bapa.’ Kataku, ‘Kemudian, apa lagi?’ Kata baginda, ‘Berjihad fi sabilillah.’[3]

Dalam sebuah hadis yang lain, Abdullah bin Amru telah menjelaskan kepadanya bahawa berbakti kepada kedua ibu bapa semasa mereka masih hidup sebaik-baiknya itu lebih utama dan mendapat pahala daripada Allah sebelum berjihad ke jalan Allah. Justeru, Nabi SAW meminta sahabatnya itu pulang untuk berbakti kepada mereka lain.[4]

Barangkali kita terlupa, betapa firman Allah Taala dan hadis Rasulullah SAW tidak meletak pembatas sebarang hari untuk berbakti kepada ibu bapa dan mentaati kedua-duanya selagi tidak bertentangan dengan had-had Islam seperti kemaksiatan dan kesyirikan. Sedangkan sekiranya mereka bukan Islam sekali pun, masih ada tanggungjawab yang perlu disempurnakan kepada mereka.

Cuma hendak diingatkan dalam kita berhujah untuk berlaku ihsan, berbuat baik dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, hendaklah kita menggunakan hujah yang syarie dan sahih, kerana teras agama dibina oleh asas-asas pendalilan yang sahih. Cukup-cukuplah kita menyiarkan drama yang watak maknya mengucapkan kepada anaknya bahawa ‘syurga engkau pun aku yang tentukan’ seolah-olah seorang ibu itu mempunyai kuasa Tuhan untuk nak menentukan anaknya masuk syurga atau neraka. Dogma ini sekali gus melebih-lebihkan ungkapan Nabi SAW yang menyeru agar si anak melakukan kebaikan kepada ibunya kerana syurga di bawah tapak kaki ibu. Kebaktian kepada ibu itu yang dituntut, mudah-mudahan dengan amal tersebut dapat membawa kepada si anak ke syurga dan bukannya segala-galanya ditentukan oleh si ibu lantaran dia penentu natijah anaknya semasa di akhirat kelak.

Pendek kata, anak-anak tak perlulah menunggu hari tertentu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka kepada ibu bapa mereka. Sambutan tahunan seperti 'Hari Ibu' atau 'Hari Bapa' mungkin ada nilainya namun, apakah nilai tersebut andai hendak dibandingkan dengan hak-hak sebenar yang perlu dipenuhi oleh anak-anak terhadap orang tuanya selama mereka (orang tua) masih hidup. Justeru, hargailah mereka sekiranya ingin dihargai suatu hari nanti.

 

Nota hujung


[1] Maksud Surah Al-Isra’ 17, ayat 23-24 disesuaikan daripada Ahmad Hatta, Tafsir Al-Quran Perkata, 2010 (Chemor, Perak: Maghfirah Pustaka Al-Madani Enterprise, 2012).

[2] Maksud Surah Luqman 31, ayat 14-15 disesuaikan daripada Ahmad Hatta, Tafsir Al-Quran Perkata.

[3] Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas’ud. Rujukan lihat An-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Ringkasan Riyadhus Solihin oleh Syaikh Yusuf Al-Nabhani terj. Abu Khodijoh Abdurrohim (Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd, 2010), 348.

[4] Intipati hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amru. Rujukan hadis lihat An-Nawawi, Ringkasan Riyadhus Solihin, 349.

Saturday, May 11, 2013

Alahai Azmin...

 

Setelah pihak penyokong Husam Musa membuat demonstrasi kecil-kecilan, pihak Anwar membuat demonstrasi besar-besaran, Azmin Ali pula buat sidang akhbar yang 'mengejutkan.' Kalau nak diikutkan, tak ada terkejut mana pun beliau membuat sidang akhbar sebegitu. Kalau dulu, Azmim Ali jualah yang dikatakan sebagai dalang yang menyebabkan tindakan ganas pada Bersih 3.0 sehingga mencederakan sekian orang dan merosakkan harta-benda awam dan sekurang-kurangnya sebuah kereta peronda polis. Tapi kini, dalam twitternya yang 'dihebohkan' oleh media massa arus perdana, beliau menuliskan kata-kata yang amat bertentangan dengan tindak-tanduk bosnya yang mengheret rakyat untuk membantah keputusan PRU ke-13. Ada nada daripada tweetnya itu yang seolah-olah mempersalahkan pihak Pakatan/PKR sendiri kerana tidak mampu untuk memenangi PRU kali ini. Kemudian, ada juga nada lain yang seolah-olah tidak setuju dengan gelagat Anwar yang mengajak rakyat untuk berhimpun demi membantah keputusan yang tidak memihak kepada mereka pada 5 Mei lepas.

Media arus perdana kita apa lagi, turut beria-ialah menyiarkan perkembangan tersebut sehinggakan di pihak media alternatif yang mendakwa Azmin Ali akan keluar parti PKR dan masuk UMNO! Secara tiba-tiba, Azmin dijadikan sebagai anti-hero yang menuntut agar 'pemimpin Pakatan menghormati keputusan PRU' dan 'sudah-sudahlah berpolitik, majulah ke hadapan.' Kemudian, berlakulah sidang media yang di dalamnya, Azmin Ali bukannya meletakkan Ketua Umum PKR sebagai sasaran, sebaliknya Wan Azizah pula yang menjadi bahan kritikan. Pelik, aneh bin ajaib! Maka, terkeluarlah 'janji Anwar' bahawa kerusi MB Selangor akan diberikan kepadanya selepas Anwar masuk parlimen pada 2008.

Nada Azmin pada sidang media itu pun sudah cukup membuktikan beliau kini menuntut janji. Nampak sangatlah beliau akan merajuk kalau tak dapat juga jawatan tersebut selepas PRU kali ini. Sementelah pihak PAS dan DAP pula amat merestui agar Khalid Ibrahim terus memegang teraju negeri termaju. Tapi, macam kata Tan Sri Khalid sendiri, manifesto bukannya janji, jadi cakap-cakap Anwar pun bukanlah janji juga.

Apa yang menghairankan ialah betapa Azmin Ali seolah-olah menghalakan kritikan tersebut kepada Presiden PKR, sedangkan turus tertinggi PKR ialah Ketua Umum; bukannya presiden! Sejak bila pula presiden PKR yang menjadi wakil dalam pertemuan pimpinan tertinggi Pakatan? Bukankah Anwar, Lim Guan Eng dan Tuan Guru Sohibul Al-Fadilah Al-Allamah Al-Ustaz Datuk Seri Hadi Awang yang akan menandatangani sebarang keputusan atau persetujuan yang dibuat dalam Pakatan dan bukannya Wan Azizah!

Jadi, Azmin sendiri perlu bermuhasabah diri untuk mengetahui siapa dirinya dalam PKR dan siapa pimpinan tertinggi dalam PKR dan Pakatan. Kalau nak kritik, halakan kritikan kepada orang yang betul, bak kata kalau berlaku gangguan eletrik, takkanlah hendak salahkan Jabatan Pelajaran pula.

Keengganan Azmin untuk tidak hadir ke 'perhimpunan rakyat' pada 8 Mei di Stadium Kelana Jaya tak sekelumit pun memberi impak kepada kehadiran perhimpunan tersebut. Orang ramai tetap hadir (katanya puluh ribu), pemimpin Pakatan tetap berucap dan kesesakan trafik tetap berlaku. Tak ada siapa pun kata, 'Azmin Ali tak datang, tinggal separuh saja yang hadir!' Orang tetap hadir. Mereka yang hadir kesemuanya dengan matlamat yang sama, untuk menuntut agar kemenangan total diberikan kepada Pakatan tanpa kompromi. Jadi, kalau Azmin rasakan beliau tak hadir memberi impak kepada kehadiran orang, maka beliau sekali lagi perlu menilai dirinya di sisi pimpinan tertinggi PKR dan Pakatan.

Azmin juga menyeru agar kesemua pihak (terutama Pakatanlah kot...) maju ke hadapan dan kini menyelesaikan masalah rakyat. Misal di Selangor, sampah tak angkat, bekalan air terputus, jalan berlubang, banjir kilat dan segala balanya telah dan masih berlaku. Pada masa inilah, Pakatan perlu membuktikan mereka berkhidmat dan menyelesaikan masalah rakyat (dalam tweetnya, 'mempedulikan rakyat'). Nampaknya, Azmin Ali masih kanyiar dalam politik memerintah seperti di Selangor. Sejak bila pula dengan menyelesaikan masalah rakyat, rakyat akan menyokong parti tersebut terutamanya selepas 2008?

Rakyat di Selangor misalnya tidak pernah melihat sampah tak angkat, air tak ada sebagai masalah kepada mereka; sebab itulah mereka memberikan undi yang besar kepada Pakatan dengan majoriti dua pertiga! Jalan lubang bukannya masalah untuk rakyat sebab yang bermasalah bukannya rakyat, tapi jalan! Bekalan air tak cukup, salah SYABAS dan kerajaan persekutuan, bukannya kerajaan negeri. Kalau kerajaan negeri berjaya beli SYABAS, selesai masalah. Settle masalah dengan teknologi membran apa ke bagai. Dua puluh meter padu tetap percuma walaupun kepada yang tertentu sahaja. Sampah? Tak apa, rakyat tak pernah melihat sampah sebagai masalah kerana yang bermasalah ialah sampah, bukannya rakyat! Kalau ada pun, isu-isu tersebut ialah isu-isu terpencil yang diperbesarkan oleh BN dalam media arus perdana!

Azmin Ali tak perlu risau kerana lihat sahaja tempat anak bosnya di Lembah Pantai. Raja Nong Cik dah buat segala-galanya untuk Nurul Izzah dan akhirnya, rakyat tetap memilih PKR. Contoh klasik, lihat sahaja Kelantan. Tetap di bawah PAS kerana rakyat negeri itu mencari kebahagiaan ukhrawi di bawah lindungan Kaabah. Begitulah juga yang akan terjadi kepada Selangor. Kerajaan BN akan terus membantu dan menyelesaikan 'masalah' (yang bukan masalah pun) yang berlaku di negeri itu tapi rakyatnya tetap tak anggapnya sebagai masalah atau tak termakan budi. Malah, rakyat tetap mahukan perubahan dengan 'Ubah' dan sokong Pakatan. Rakyat di Selangor menerima seadanya bahawa manifesto bukannya janji dan mereka tak harap pun Pakatan menunaikan janji. Apa yang penting, kerajaan Pakatan dikekalkan untuk kemakmuran, kesejahteraan dan kebajikan rakyat seluruh negeri daripada 'dijajah' kembali oleh kronisme, nepotisme dan ketakcekapan UMNO dan BN. Asal bukan BN!

Intiha, kegiatan Azmin Ali membuat sidang akhbar dan menghentam Presiden PKR sekadar satu lagi sandiwara Pakatan bagi menunjukkan mereka bergaduh sesama sendiri. Mereka melakukan sedemikian bagi memerangkap BN dan UMNO agar terus merasakan diri mereka lebih selesa dan akhirnya, bum rakyat menanamkan tekad untuk mengundi Pakatan! Golongan pengundi muda misalnya, bukannya nak lihat wakil rakyat yang buat kerja. Mereka bukannya menginginkan agar mereka dibelai dengan bantuan kewangan dan program-program yang hebat sampaikan muka mereka masuk TV. Kesemua itu ialah agenda syok sendiri BN yang menyangka orang muda menyokong mereka. Sedangkan yang benar-benar mereka perlukan ialah idealisme perjuangan untuk mendapatkan kerajaan baru yang pada mereka, akan lebih baik daripada kerajaan sebelumnya walau apa pun yang berlaku. Idealisme perjuangan yang membawa kepada utopia itu setakat ini hanya diberikan oleh Pakatan; lantaklah sama ada betul atau pun tidak. Ibarat kata sahabat penulis, ‘asal harga semua barang murah sudahlah, soal sontot ikut depan ke belakang, lain cerita!’

Dan itulah yang Azmin Ali tak faham/buat-buat tak faham. Janganlah sebab tak jadi MB, tiba-tiba nak hentam Pakatan pula!

Wednesday, May 8, 2013

Tsunami berulang

 

Barangkali kini perbincangan politik lebih menjurus kepada sama ada benar-benar berlaku tsunami masyarakat Cina dalam PRU ke-13. Perkataan 'tsunami masyarakat Cina' ini pertama kali diperdengarkan kepada pihak umum apabila PM Najib memberikan ucapannya di PWTC selepas BN berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah pada awal pagi semalam. Sudah tentu ada yang memberi respon apa yang bahawa yang berlaku bukannya hanya kepada masyarakat Cina, malah turut berlaku kepada masyarakat Melayu. Sudah ada golongan penulis, politik mahu pun akademik yang melihatnya sebagai 'tsunami Malaysia.' Benarkah begitu?

Pada hemat penulis, penggunaan istilah baru seperti tsunami Cina atau Malaysia itu sendiri tidak tepat. Tsunami ialah fenomena alam yang mendatangkan kejutan, yang boleh menyebabkan kematian, kecederaan dan kemusnahan alam dan segala binaan dan buatan manusia. Pada kebiasaannya, elemen kejutan pasti wujud; secara tiba-tiba sahaja. Kalau ada 'amaran' (alarm) pun, masa untuk menyelamatkan diri mungkin sangat suntuk atau tiada pun.

Bagaimana pun, dalam konteks menisbahkan apa yang berlaku pada PRU ke-13, keputusan yang diperolehi sebenarnya lebih kurang sama dengan apa yang berlaku sebelum ini. Orang ramai terkejut tetapi bukanlah semua yang terkejut. Malah, ada dikalangan ahli politik turut menyatakan secara jelas, memang kerusi sekian-sekian akan kalah. Apa yang berlaku pada 2008 yang disebut sebagai ‘tsunami politik,’ sebenarnya berulang kembali pada 2013, cuma magnitudnya sahaja lebih kuat. Kejutan mungkin lebih kepada betapa kerasnya pimpinan tertinggi BN berkerja terutamanya Najib untuk meraih mandat yang lebih baik, namun sebaliknya yang berlaku. Usaha tersebut agak tidak berbaloi untuk BN dan Najib.

Namun, sekiranya kejutan benar-benar berlaku, Najib bukanlah PM sekarang ini.

Orang tak iktiraf keputusan PRU secara umumnya, hal itu cerita lain. Perkara sedemikian ialah agenda orang tersebut. Realitinya, orang yang tak iktiraf itu tak dapat jadi PM. Dan sekiranya beliau tidak mengiktiraf pilihan raya pada kali ini, secara automatiknya beliau sendiri tidak mengiktiraf kemenangan beliau dan pakatan beliau sendiri. Jadi beliau hendak buat tunjuk perasaan, menunjukkan yang beliau sebenarnya yang sepatutnya jadi PM dan pilihan raya tak bersih. Sekiranya beliau ikhlas untuk membersihkan pilihan raya, laporkanlah secara terperinci kepada yang berkuasa bersama-sama bukti dan saksi bahawa di manakah yang dikatakan pilihan raya tak bersih, bukannya terus buat sidang media tuduh itu, ini kata itu ini. Media yang datang itu pun yang antarabangsa pula; yang cukup-cukup menyayanginya.

Kembali kepada persoalan tsunami, adakah kejadian PRU ke-13 ini boleh dikatakan mengejutkan? Maka hal ini penganalisis perlu jujur berkenaannya. Pada mulanya, penulis turut terperanjat juga dengan keadaan yang berlaku. Tetapi, setelah dibuat penelitian semula dan dirasionalkan, maka penulis simpulkan seandainya fakta yang benar diberikan kepada rakyat, maka perkara tersebut tidak perlu diterperanjatkan. Apa yang berlaku ialah hasil kepada kegagalan BN dalam menyelesaikan keperluan yang didambakan oleh golongan sasar yang memilih untuk tidak mengundi BN.

Sebagaimana yang penulis pernah bincangkan sebelum ini, golongan pertengahan tinggi dalam pendapatan ekonomi keluarga merupakan mereka yang lebih cenderung kepada Pakatan. Hal ini dikatakan demikian kerana limpahan yang dicurahkan kepada kerajaan tidak sampai kepada mereka. Ada dikalangan mereka yang merasakan 'apalah sangat bantuan sekolah RM 100 kalau nak dibandingkan dengan cukai yang aku bayar.' Lebih-lebih lagi ialah golongan pekerja sendiri atau swasta. Mereka membayar cukai dan bekerja mungkin lebih (ada hingga 6-7 hari seminggu) daripada kakitangan kerajaan namun manfaat yang diperoleh daripada kerajaan tak dapat dinikmati. Kita perlu berlapang dada dalam hal ini dan bukan niat penulis hendak mempertikaikan apa yang kakitangan kerajaan buat dan apa yang kakitangan kerajaan dapat.

Pada penulis, inilah sindrom kerajaan BN yang asyik menyebut tentang 1.4 juta pekerja kerajaan namun, bagaimana dengan yang lain? Sedangkan jumlah pengundi di Malaysia sahaja sudah lebih 13 juta!

Ada keinginan ‘lain’ yang mungkin tidak dipenuhi terhadap golongan sebegini. Golongan sebegini mungkin tak peduli pun siapa yang pegang kerajaan dan sama ada 'hak istimewa orang Melayu' itu dipertahankan (kalau dia orang Melayulah dan lebihlah lagi kalau dia bukan Melayu). Hal ini terjadi bukan kerana mereka tidak menghargai apa yang diberikan kepada kerajaan, sebaliknya mereka tak terasa apa yang telah kerajaan berikan kepada mereka atau merasakan 'apa yang orang lain tak dapat' (macamlah mulia sangat...). Mereka hidup setidak-tidaknya pada zon yang agak selesa atau pun zon ‘mintak bantuan kerajaan tapi tak dapat-dapat!’ (maka dengan kudratku sendiri aku berusaha!)

Keperluan golongan sebegini mungkin berbeza dan bukannya semata-mata bantuan kewangan sahaja yang boleh memuaskan hati mereka. Mungkin mereka tak ingin pun beratur panjang untuk kutip bantuan kewangan daripada wakil rakyat. Mungkin mereka merasa sendiri kerenah birokrasi daripada kerajaan yang terpaksa dilalui hari ke hari. Atau mereka sendiri terlibat dalam duit kopi yang terpaksa dihulurkan hanya untuk mempercepatkan proses di jabatan kerajaan atau untuk melepaskan diri daripada penguatkuasaan yang berlebih-lebihan. Atau disebabkan pergaulan mereka sesama rakan-rakan mereka yang merasai kesemua itu menyebabkan mereka merasa terpanggil untuk turut serta bersikap kurang senang dengan kerajaan.

Justeru, walaupun perkara sebegini telah sering diutarakan, yang bermasalah sebenarnya bukanlah kerajaan sebaliknya 'pegawai kerajaan' dan/atau prosedur mereka. Golongan ini tidak boleh menukar pegawai-pegawai kerajaan dan mengubah sistem yang ada dalam jabatan kerajaan, jadi alternatif lain yang boleh dibuat ialah dengan menukar sendiri kerajaan. Namun, bukan niat penulis untuk menghentam kesemua prosedur dan pegawai kerajaan kerana ramai dikalangan mereka yang benar-benar ikhlas bekerja dan memenuhi tanggung jawab mereka. Mungkin yang bermasalah cuma dalam peratusan yang sedikit. Tapi, penulis ‘terkena’ juga dengan mereka yang negatif.

Penulis sendiri menghadapi saat sukar untuk memohon lanjutan lesen barangan di pejabat KPDNKK hanya kerana keinginan tambahan 'bos' di pejabat tersebut pada benda yang remeh-temeh sedangkan segala dokumen sokongan yang dicatat pada borang permohonan sudah disediakan. Kemudian, pihak di pejabat tersebut meminta penulis untuk mengeposkan sampul ekspres sendiri kepada mereka bagi membolehkan mereka mengepos lesen tersebut kepada penulis. Sudahlah kebetulan, pada ketika itu pejabat pos di sekitar kawasan tiada menjual sampul ekspres saiz yang dikehendaki, jadi satu kerja pula yang perlu dilakukan untuk mencari benda itu.

Soal penguatkuasaan KPDNKK penulis tak mahu ceritalah; nanti terlibat kes feloni pula. Bagaimana pun, jujur penulis katakan masyarakat peniaga boleh dikatakan anti kepada kerajaan lantaran perkara-perkara sedemikian. Ingat, bukan semua peniaga mengikuti program TUKAR atau merasa nikmat daripada barangan 1Malaysia yang disediakan oleh kerajaan (malah, mereka mungkin menganggapnya sebagai saingan). Apatah lagi bagi mereka yang bekerja dengan jualan benda-benda yang berkait rapat dengan subsidi kerajaan dan 'dipantau oleh kerajaan.' Itu tidak termasuk betapa rakusnya kerajaan membina dan/atau membenarkan pasar raya dan pasar raya besar di kawasan perumahan yang pada asalnya sudah berkedai! Ditambah pula dengan kerajaan sendiri memasuki bidang perniagaan yang menyebabkan periuk nasi mereka yang telah sedia berniaga terjejas. Dan kesemua itu tadi pun belum lagi termasuk pelbagai sektor lain yang melibatkan hubungan dengan kerajaan.

Dan itu pun belum lagi masuk perkhidmatan yang kerajaan sendiri mesti sediakan dan selesaikan seperti isu longkang, sampah kumbahan, air dan lain-lain. Apabila kita bercakap tentang ‘kerajaan,’ yang ramai orang faham ialah kerajaan Malaysia dan bukannya segmentasi ‘oh, ini kerajaan negeri,’ ‘oh ini kerajaan pusat,’ dan ‘ini kerajaan tempatan atau orang majlis.’ Ada yang tak sedar dan/atau tidak peduli pun entiti-entiti tersebut wujud dan bidang kuasa mereka berbeza. Boleh dikatakan, hal-hal berkaitan infrastruktur tempatan di bawah kerajaan tempatan dengan pengaruh kerajaan negeri. Tapi, orang pun peduli apa? Oleh hal yang demikian, secara mudahnya untuk membangkitkan isu-isu sebegini ialah melalui peti undi lima tahun sekali itu. Sekali lagi, golongan pekerja sendiri dan swasta tidak berupaya menukar pekerja kerajaan, jadi apa yang boleh dibuat ialah dengan menukar kerajaan!

Kemudian kita bercakap tentang golongan muda dan perkara ini sering menjadi satu enigma juga kepada BN. Dah chat bersama, facebook bersama, tweet bersama, instagram bersama, ketawa bersama menangis bersama; mengapa tidak mengundi parti sama? Golongan ini ada yang tak peduli dan ada yang begitu peduli. Penulis kira biasanya, idealisme mereka yang mula menceburkan diri ke dalam kesedaran politik biasa dikaitkan dengan pihak pembangkang. Masakan tidak, pembangkang bekerja keras untuk mendapatkan mereka dan menggunakan khidmat mereka dan BN tidak boleh salahkan pembangkang. Keterdepanan pihak Pakatan untuk mendekati golongan muda tidak boleh dipertikaikan walaupun rancangan televisyen sentiasa memaparkan sisi betapa 'belia bersama BN.'

Contoh klasik yang boleh dikemukan ialah PAS. Mereka telah mula mengindoktrinasikan bakal-bakal belia mereka seawal tadika lagi dan perkara ini bukan rahsia. Satu ketika dahulu, gejala pijak gambar Mahathir merupakan satu aktiviti di tadika mereka. Kemudian, menjelang muda tatkala di IPT, mereka sudah mewujudkan kader-kader mereka melalui persatuan Islam dan 'AJK Surau yang rata-rata akan menjadi anti-establishment. Seterusnya mereka inilah yang turut serta menyertai PAS setelah mereka berkerjaya nanti.

Mungkin ada yang akan sinis dengan pandangan penulis, kerana bukan semua yang akan menjadi penyokong dan ahli PAS kelak. Namun, susur-galur pembentukan pemikiran siyasah sudah pun diwujudkan seawal kanak-kanak lagi dan sekiranya ibu bapanya menghantar anak-anak ke sekolah Islam pro-PAS (yang sememangnya wujud), mereka telah mengajar dan berinteraksi dengan bakal-bakal penyokong dan ahli mereka di setiap tahap perkembangan dan pembangunan seorang insan dan hal ini merupakan satu proses yang bersistem untuk pembentukan jiwa penyokong PAS sejati.

BN pula tidak berbuat demikian (atau tidak boleh berbuat demikian). Walaupun sekiranya daripada kecil anak-anak di sekolah tadika KEMAS misalnya sudah diajar tentang PM (adakah perkara ini diajar???), tidak ada sukatan pelajaran mereka untuk memijak-mijak gambar pemimpin pembangkang. Walaupun ramai mahasiswa yang dikatakan menyokong BN, kesan mereka tidak seramai tindakan yang dilakukan oleh kumpulan mahasiswa yang dipengaruhi oleh pembangkang. Lebih teruk lagi, corak pemilihan majlis pewakilan mahasiswa dijadikan pula indikator kepada 'orang muda' menyokong BN dan akhirnya, BN hanya syok sendiri sahaja atau data sebenarnya mungkin tiada korelasi!

Mahasiswa kini menuntut pendidikan tinggi percuma dan sering membandingkan secara epal dan durian dengan negara lain. Boleh dikatakan juga, slogan ubah juga menjadikan orang muda begitu teruja mengeksesaiskan hak mereka untuk berubah. Hasilnya, peningkatan penyertaan orang muda (dan peratus keluar mengundi) dalam PRU kali ini dan tidak dapat dinafikan, ramai dikalangan mereka yang teruja untuk memangkah pihak 'ubah.'

Hal-hal sebegitu belum masuk lagi idealisme pihak Pakatan yang menampakkan keidealan/utopia yang menyebabkan orang muda terpengaruh dengan kempen-kempen yang disampaikan oleh pihak tersebut. Malah, penglibatan pembangkang melalui golongan muda perlu diakui lebih menarik minat golongan tersebut berbanding apa yang disediakan oleh BN. Soal peserta beramai-ramai menyertai sesuatu program, lain. Soal peserta turut menyokong parti yang menganjurkan program, lain pula. Dan soal menarik sokongan peserta yang menyertai program supaya mereka betul-betul menyokong parti penganjur program, turut menjadi satu perkara yang berbeza! Jadi, BN barangkali terkabur mata jua dengan kehadiran peserta program mereka kononnya mereka menyokong BN; atau barangkali peserta-peserta yang datang itu tidak berdaftar pun untuk mengundi pada pilihan raya!

Kesimpulannya, kedua-dua faktor ini (pengundi muda, belia) dan golongan kelas menengah tadi gagal ditangani oleh BN dengan sebaiknya sedari 2008 lagi (atau dalam konteks sebenar, selepas 2004). Untuk kali ini, mereka tahu bahawa pihak Pakatan telah melancarkan Ubah, namun mereka tidak mampu menjawab slogan itu dengan berkesan dan akhirnya, kedua-dua golongan ini mengambil tindakan untuk ‘berubah.’ BN tidaklah perlu untuk menyalut gulakan (sugar coated) keadaan yang berlaku dan perlu terima hakikat; jika pun mereka mengatakan sokongan kedua-dua pihak ini meningkat kepada BN, peningkatan itu tidak cukup untuk menentang arus ‘Ubah’ yang dicanang oleh parti lawan.

Apa yang perlu kali ini ialah untuk mengkaji strategi kemenangan Pakatan bagi menyimpulkan apa yang kedua-dua pihak ini mahukan. Apa yang mereka mahu ubahkan? Terlalu lama dah BN memerintah, makanya hendak ubah? ‘Korupsi? Kronisme? Nepotisme? Despotisme? Jingoisme’ Hal ini dikatakan demikian kerana amat malanglah seandainya think tank BN tak mampu mencari sebabnya, menstrategikan dan menyelesaikannya kerana jujurnya, ‘isme-isme negatif’ tadi pun turut ada dalam pihak Pakatan.

Monday, May 6, 2013

Rumusan PRU ke-13

Pendahuluan

Adalah sesuatu yang sangat-sangat jelas corak pengundian pada PRU ke-13. Tidak mahu mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman, kenyataannya, pengundi Cina memang menolak mentah-mentah calon BN. Hakikat itulah yang perlu diterima oleh Najib dan BN, meski mereka telah cuba sedaya-upayanya untuk menarik perhatian dan pengundian kaum itu kepada BN. Riak muka Najib pada sidang akhbar pada malam pengumuman menunjukkan segala-galanya. Sorakan dan gemaan di PWTC memperlihatkan betapa tawarnya senyuman Najib sampaikan beliau sendiri yang selalu bersorak, nampak sangat tak bersorak! Lalu, rakannya 'Tan Sri Mayudin' barangkali terpaksa mengangkat tangannya dengan memegang tangan Najib untuk memperlihatkan bahawa mereka turut melaungkan 'Hidup BN.' Sedangkan, semua orang pun nampak jelas, tak terucap pun sebenarnya kalimah keramat tersebut daripada kedua-dua orang pemimpin itu.

PRU kali ini turut memperlihatkan segala usaha padu yang dicurahkan untuk menawan kembali Selangor musnah begitu sahaja. BN dengan seluruh tenaga, kuasa dan capaian yang termampu telah berkempen untuk Selangor; barangkali melebihi yang lain. Namun, keputusan menunjukkan rakyat Selangor 'Sayangi Selangor tapi Tak Yakini BN.' Tamatlah sudah angan-angan BN untuk 'menyelesaikan masalah air' di sana. Walaupun BN cuba memperlihatkan Selangor mempunyai seribu satu masalah, rakyat Selangor nampaknya mampu bergelumang dengan masalah-masalah tersebut dan tidak memerlukan BN untuk membela mereka.

Polan vs polan

Dalam blog ini penulis pernah menyenaraikan beberapa pertembungan menarik yang boleh dijadikan bahan ulasan sempena PRU kali ini. Pertamanya, pertembungan Gelang Patah yang diibaratkan sebagai pertarungan yang akan 'mendefinisikan hala tuju politik negara kali ini.' Nampaknya, terdefinisilah sudah hala tuju itu. Bekas MB Johor dan 'arkitek pembangunan Johor,' Ghani Othman tewas dengan majoriti yang sangat besar kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang. DAP bukan sahaja mendapat kemenangan monumental di Gelang Patah, malah telah menerobos sama sekali negeri Johor dengan asakan yang cukup dahsyat dengan memenangi hampir kesemua kerusi yang mereka tandingi di sini. Oleh sebab itu, nyatalah di sini yang terkubur ialah karier politik Ghani; macam yang penulis telah usulkan sebelum ini, kalau beliau kalah, memanglah tak dapat apa-apa.

Pada masa yang sama, percubaan Salahudin Ayub untuk mencuri kerusi Parlimen Pulai dan DUN Nusajaya tak kesampaian apabila beliau tewas di kedua-dua kerusi. Nampaknya, auranya sebagai Naib Presiden PAS masih tidak mampu untuk memberikan undi majoriti kepadanya walaupun daripada satu sudut, beliau berjaya mengecilkan majoriti kemenangan bagi kedua-dua buah kerusi yang ditandinginya. Khusus untuk Parlimen Pulai, Nur Jazlan masih mampu bertahan dengan cabaran daripada Naib Presiden PAS itu. Akan tetapi, buat pertama kalinya DUN di bawah kawasannya iaitu Pengkalan Rinting tewas kepada calon DAP. Jazlan dan jentera BN pastinya akan pening kepala untuk merangka semua strategi di kawasan tersebut. Hal ini disebabkan ternyata pembangunan di sekitar Perling dan Bukit Indah mempunyai kaitan yang cukup dekat dengan kawasan Skudai, Tun Aminah dan Gelang Patah yang turut dipenuhi golongan pertengahan tinggi yang majoritinya Cina. Keperluan kawasan ini mungkin sama kerana kedudukannya sebelah menyebelah sahaja.

Di Lembah Pantai, postulat awal yang dibawa oleh penulis sebelum ini sedikit sebanyak benar kerana sungguh pun Raja Nong Cik dilihat sebagai orang yang berpotensi besar untuk menang; lantaran beliau 'turun padangnya,' namun Nurul Izzah tetap mengekalkan kerusinya di situ. Apa yang boleh dilakukan oleh pihak BN ialah terus berkhidmat untuk lima tahun akan datang dan kembali bertanding di sana untuk sekali lagi dengan kemungkinan kalah kepada calon yang sama yang dikatakan 'tak buat kerja.' Soal buat kerja atau pun tidak bukannya isu kerana akhirnya, tugas sebenar wakil rakyat bukannya menyelesaikan masalah rakyat, sebaliknya mereka ialah 'penggubal undang-undang' di parlimen. Kerja betulkan jalan, betulkan longkang, bersihkan kawasan, bertindak dalam mendapatkan bantuan kepada rakyat bukannya kerja mutlak wakil rakyat!

Di Shah Alam, pertembungan yang dijangka sengit antara Khalid Samad dan Zulkifli Nordin memihak kepada penyandang dengan kemenangan yang cukup selesa. Hal ini sekali gus boleh mempertikaikan pemilihan calon ‘luar BN Shah Alam’ yang ‘luar BN’ kerana taktik tersebut tak menjadi langsung. Puaslah si Zulkifli Nordin berkempen sampai tiada suara, kemenangan besar tetap memihak kepada Khalid Samad. Selain itu, corak pengundian di Selangor nampaknya menampakkan sisi sebenar landskap politik di negeri termaju itu yang cenderung kepada Pakatan. Malah, prestasi BN semakin teruk walaupun rakyat disajikan dengan pelbagai kempen yang besar-besaran untuk merampas Selangor. Orang kuat BN Selangor yang menjadi ketua strategi ‘menawan semula Selangor’ pun tumbang di parlimennya sendiri di Sepang! Kalau hendak diikutkan, kekalahan di Selangor merupakan puncak keaiban untuk BN dalam PRU kali ini kerana mereka sangat mendambakan negeri tersebut dan tampak berusaha luar biasa hebat untuk memenanginya dengan kempen di media alternatif dan media utama dengan lagu, karinval, saman kerajaan negeri apa bagai...

Tentang kemenangan Najib di Pekan tak perlulah diulas kerana memanglah beliau dijangka selesa memenangi di sana.

Pasca-PRU ke-13

Nampaknya kegiatan politik tanah air selepas 5/5 mungkin tidak akan surut. Kegagalan BN mendapat jumlah dua pertiga, ditambah pula dengan prestasi di peringkat parlimen yang lebih teruk daripada PRU 12 menjadikan ketaktentuan politik negara berterusan. Kini, sudah ada suara daripada Anwar Ibrahim yang menuntut ini dan itu; 'tidak mengiktiraf' keputusan PRU ke-13 ini. Dengan perangai Anwar yang memang terkenal dengan helah politik yang pelbagai, tidak mustahil ketaktentuan ini akan berterusan dan langkahnya untuk mengkudetakan kerajaan pasti ada. 16 September baru mungkin?

PRU kali ini memperlihatkan kegagalan BN mengatasi perang persepsi yang dibawa oleh Pakatan dan hal ini terbukti dengan prestasi yang sangat buruk di majoriti kawasan pengundi yang mempunyai kepadatan penduduk Cina. Pulau Pinang bolehlah dikatakan sebagai negeri selamat DAP! BN gagal sama sekali menangkis segala serangan yang dilakukan oleh pihak Pakatan dan kini, mereka menerima akibatnya yang teruk. Serangan peribadi kepada calon BN lebih berkesan berbanding kepada calon Pakatan. Hal ini membuktikan bahawa jentera parti BN masih tidak cukup kuat untuk menangkis tomahan yang dibuat daripada pihak Pakatan sehingga pihak Pakatan berjaya dalam pembunuhan karekter terutamanya kepada pemimpin tertinggi BN, Najib.

Isu rasuah, ketelusan, kebertanggungjawaban, makan duit rakyat masih lagi menjadi rencah yang cukup ampuh untuk membangkitkan kebencian pengundi kepada BN dan Najib. Malah, pengundi tak termakan langsung dengan isu LGBT, pluralisme kalimah Allah dan isu moral Anwar Ibrahim yang tidak langsung menjadi ancaman utama kepada pengundi Melayu. Isu moral, ketaktelusan dalam pemilihan DAP dan beberapa masalah yang dibangkitkan oleh BN langsung tidak memberi kesan kepada pengundi Cina bagi menunjukkan bahawa mereka sanggup menerima pemimpin yang bermasalah di pihak Pakatan namun tidak mungkin akan menerima malaikat di pihak BN. Dalam hati mereka, ‘Ubah, ini kalilah’ sahaja.

Sudah ada pemimpin BN yang kalah menyuarakan secara terus terang betapa beliau rasa dikhianati oleh bangsa tersebut betapa pun segala keperluan yang dituntut oleh kaum itu sentiasa dipenuhi. Daripada gaya tulisan di akhbar utama Melayu tertentu, sememangnya laporan yang diberikan menjurus kepada kaum Cina yang langsung 'tidak membalas budi' kepada BN. PM Najib telah melakukan segala-galanya termasuk mempergunakan anaknya yang belajar di negara Tembok Besar untuk berkempen, tetapi keputusan yang diberikan kepadanya sangat-sangat mengecewakan.

Tumbangnya beberapa calon berprofil tinggi seperti Ali Rustam dan Dr Puad Zarkashi turut dikaitkan dengan pola pengundian masyarakat Cina di kawasan majoriti Melayu yang mempunyai penduduk Cina yang signifikan. Hal sebegini akan memberikan lagi cabaran yang sangat besar untuk BN kerana ternyata walau di mana jua, seolah-olah pengundi kaum itu menolak sama sekali calon BN dan akan mengundi calon Pakatan walau daripada parti mana calon tersebut hadir.

Bagaimana pun, daripada satu segi pula, sungguh pun kerusi DAP bertambah secara signifikan di Dewan Rakyat, pihak yang terkalah (the biggest loser) dalam Pakatan ialah PAS. Dengan 21 kerusi (merosot 2 kerusi) yang mereka peroleh, jangan haraplah mereka boleh berbicara lantang tentang hudud dan negara Islam dalam konteks Pakatan. Mereka merupakan parti terkecil dalam pakatan itu dan suara mereka turut menjadi kecil. Ada pemimpin parti peringkat eksekutif yang kalah seperti Mat Sabu dan Salahudin Ayub; akan tetapi diceriakan juga dengan kemenangan Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda PAS, Nashrudin Tantawi yang menewaskan Timbalan Menteri Saifuddin Abdullah di Temerloh. Mereka turut kehilangan Kedah di kerusi negeri walaupun berjaya mempertahankan Kelantan. Hala tuju PAS kini mungkin boleh bertindak sebagai pendesak Islami di dalam Pakatan.

Dan bagi penulis sebagai orang Johor, negeri selatan ini bukan lagi kubu kuat BN. Penerobosan yang cukup besar daripada DAP melenyapkan sama sekali apa yang dikatakan sebagai 'gaya Johor.' Legasi bekas MB terpaksa diteruskan dengan luka yang amat besar dengan kudis di sana sini bagi mempertahankan apa yang dikatakan sebagai 'kubu kuat BN' satu masa dahulu. Kekalahan Puad di Batu Pahat mencatatkan sejarah buat kali pertamanya, PKR berjaya memenangi kerusi di Johor. Bolehlah dikatakan, tamatlah sudah era 'intan payung' dan 'jantung hati' BN Johor kerana mereka sangat lemah di beberapa kawasan pembandaran dan telah mengalami sindrom yang sama dengan negeri-negeri lain di seluruh semenanjung.

Sudah tentu juga corak pengundian kali ini memberikan gambaran jelas kebergantungan BN kepada kerusi luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak. Pembentukan Malaysia pada 1963 memberikan deposit simpanan jangka masa panjang untuk BN. Dalam konteks PRU kali ini, kerusi BN Sabah Sarawak menyumbang 35 peratus kepada kemenangan kerusi parlimen BN dan seandainya ditambah dengan kerusi 'bekas intan payung BN' di Johor ialah 51 peratus; cukup untuk membentuk kerajaan majoriti mudah. Oleh hal yang demikian, penghargaan dan pengiktirafan yang sewajarnya diberikan oleh BN di negeri-negeri tersebut terutamanya di Borneo kerana mereka sentiasa menjadi jaminan kepada BN bagi meneruskan kelangsungannya.

Dalam pada itu, dengan kemenangan selesa BN di Sabah dan Sarawak meneruskan lagi dikotomi penguasaan luar bandar berbanding bandar. Sekali lagi, hampir kesemua ibu negeri di Malaysia ditawan oleh Pakatan memberikan mesej jelas kegagalan BN untuk memahami kehendak pengundi bandar. Pengundi-pengundi berpendapatan sederhan tinggi di bandar misalnya tampak menolak sama sekali calon-calon BN memberi isyarat bahawa keperluan mereka tidak dipenuhi oleh BN. Maklumlah, mereka ialah pekerja swasta, tidak mendapat sebarang manfaat apabila ‘kakitangan kerajaan’ mendapatnya dan mereka adalah golongan pembayar cukai persendirian yang tidak mendapat bantuan BR1M; apatah lagi layak/mahu menyertai produk-produk 1Malaysia.

Daripada satu aspek juga, kegagalan ini menjadi tamparan hebat kepada BN kerana kesemua hasil ekonomi negara berasal daripada bandar-bandar besar sebagai penjana pertumbuhan negara. Sedangkan daripada satu sudut, pembangunan bandar raya seperti Shah Alam, Kuala Terengganu dan Alor Setar ialah hasil daripada usaha BN sebelum ini. BN sebenarnya masih terkial-kial untuk memahami keperluan sebenar golongan kelas menengah di bandar sekali gus memberikan peluang yang cukup besar kepada Pakatan untuk memenangi kerusi di kawasan tersebut. Tambahan pula, tugas pembangkang cuma untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap BN sahaja kepada pengundi bandar.

Penutup

PRU ke-13 turut mencatatkan keputusan yang hampir sama; malah kalau nak diikutkan di peringkat parlimen, pencapaian Najib lebih teruk lagi daripada apa yang dicapai oleh Pak Lah pada 2008. Sementelah pada 2008, BN ‘dikatakan’ penuh dengan pelbagai masalah dalaman daripada UMNO dan MCA-nya, maka adakah pencapaian kali ini mencerminkan wujud masalah dalaman juga? Mungkinkah orang-orang UMNO akan memberontak dan akan menjatuhkan kepimpinan Najib kerana 'pelbagai masalah dalaman?'

Dari satu segi, ramai orang BN yang cuba menuding jari kepada MCA kerana kegagalan parti itu untuk mengembalikan kepercayaan orang Cina, namun disebalik tuduhan tersebut, Najib sendiri telah melakukan segala-galanya untuk menarik minat masyarakat Cina. Adakah tindakan dan langkah yang diambil tidak tepat? Sebagai ketua kepada perikatan BN, beliau mesti bertanggungjawab terhadap kekalahan yang dialami di kerusi-kerusi Cina. Mantra 'Ah-jib Gor' bukanlah satu mantra yang mujarab dan sekadar fatamorgana sahaja, atau sebenarnya sorakan yang diberikan kepadanya cuma sorakan mengejek kesungguhan beliau menarik hati pengundi Cina.

Penulis akui semenjak 8 Mac 2008 hingga hari ini, penulis amat letih dengan keadaan politik tanah air dengan ketaktentuan yang berlarutan. Ditambah pula dengan Pemilihan UMNO yang mendatang dan mungkin turut mencatatkan satu situasi yang sengit di kalangan orang-orang besar dalam parti keramat Melayu itu. Anwar pun masih boleh mengadakan kudeta dan macam-macam lagi helah untuk mengambil alih kerajaan.

Apa yang pasti, situasi ketaktentuan ini boleh jadi berlarutan, mungkin sehingga lima tahun akan datang. Detik berpolitik untuk penentuan PRU ke-14 sudah pun bermula; dan kita terpaksa sekali lagi mengharunginya.

Ya, penulis sudah letih dan semakin hilang tenaga untuk mengikuti perkara sama berulang-ulang kali. Diharapkan situasi selepas PRU ke-13 mampu berubah; atau sekali lagi, rakyat akan dihidangkan dengan segala bala benda yang boleh dipolitikkan.

Letih.

Friday, May 3, 2013

10 meter padu sahaja?

 

Apabila penulis memandu sekitar Larkin, terlihatkah bunting dengan gambar seseorang yang berdiri tegak menggayakan tabik hormat sebagai bahan kempen dirinya dan partinya pada PRU ke-13 ini. Beliau yang dimaksudkan ialah calon PKR bagi Parlimen Johor Bahru, Jeneral Tan Sri Md Hashim Hussein (Bersara). Beliau ialah Panglima Tentera Darat pada tahun 1999 hingga 2002 sebagai jeneral empat bintang. Daripada segi profil, bukan calang-calang sebenarnya nama beliau ni! Dapatlah juga rakyat Johor melihat pertandingan Tan Sri melawan Tan Sri di Johor Bahru apabila beliau menentang veteran UMNO yang amat disenangi di daerah ini iaitu Tan Sri Shahrir Samad.

Dalam kempennya, Jeneral Md Hashim mengeluarkan kenyataan penjawat awam umpama kera; satu palitan kepada dirinya sendiri kerana beliau sendiri seorang penjawat awam, menikmati pelbagai kemudahan tertentu semasa menjadi penjawat awam. Malah, penjawatan beliau sebagai ‘jeneral’ semasa menjadi anggota tentera memberikan seribu satu kelebihan untuk beliau dan mungkin juga limpah kurnia kepada keluarganya. Kini, setelah berhenti daripada jawatan awam pun, beliau mendapat pencen daripada kerajaan.

Namun, usaha beliau menyertai dan menjadi calon kepada PKR kesemuanya terpulanglah kepada hak dirinya sendiri. Usahkan jeneral, bekas pak menteri dan menteri besar UMNO pun kini dikatakan ‘berduyun-duyun’ memasuki Pakatan; maka sudah tentulah pihak Pakatan mengharapkan mereka ini memberikan impak positif kepada pihak tersebut dalam memancing undi untuk PRU kali ini. Sebab itulah dapat penulis lihat beberapa iklan berkenaan Pakatan yang secara spesifik menulis nama-nama mereka yang telah ‘ubah’ untuk menyokong pihak mereka.

Begitulah adanya bunting-bunting dan iklan politik di pihak Pakatan disebalik bunting-bunting dan iklan kempen BN yang lebih kepada kestabilan, kemajuan, menepati janji dan ada jugalah kain rentang yang cukup berbeza yang menyeru agar ‘kekalkan UMNO sebagai tunjang di Johor,’ sebegitulah. Selain itu, terdapat juga iklan-iklan pihak Pakatan tentang apakah yang mereka bakal sediakan kepada rakyat seandainya mereka menang pada PRU nanti lantaran rakyat setuju untuk ‘ubah.’ Janji-janji yang terpapar ialah daripada pemansukhan tol, pemansukhan PTPTN, pengurangan harga minyak dan yang paling mengujakan untuk rakyat Johor ialah sepuluh meter padu air percuma.

Penulis meletakkan secara spesifik air dan Johor kerana mengikut iklan tersebut, perkara itu sahajalah yang mampu dilaksanakan oleh Pakatan seandainya mereka memenangi majoriti kerusi negeri. Soal-soal mansukh tol, mansukh PTPTN dan kurangkan harga minyak hanya akan berlaku sekiranya mereka memenangi majoriti kerusi parlimen dan membentuk kerajaan Malaysia. Itu pun kalau mereka menang...

Namun, penulis tertarik dengan rancangan air oleh pihak Pakatan yang menunjukkan betapa sekali lagi perkara percuma akan dijadikan sebagai barang pertaruhan mereka setelah mereka melakukan perkara yang sama di negeri Selangor. Air percuma (10 meter padu). Memandangkan Selangor mendapat nikmat tersebut (sehinggakan kerajaan negeri disaman kerana ada penduduk yang tidak menikmatinya) sebanyak 20 meter padu, penulis tertanya-tanya, atas alasan apakah Pakatan hanya mampu menawarkan hanya separuh daripada apa yang diperoleh di negeri Selangor?

Sepatutnya, untuk memenangi hati rakyat Johor dalam usaha merampas sebuah negeri yang menjadi ‘buah hati’ dan ‘intan payung’ kepada parti lawan, pihak Pakatan seharusnya menawarkan lebih daripada apa yang telah mereka berikan kepada negeri yang telah ditadbir oleh mereka. Kalau bab air percuma, sepatutnya yang ditawarkan paling kurang pun 25 meter padu dan bukannya makin sedikit. Hal duit mana nak dapat tu tolak tepi dulu sebab bukankah Datuk Seri Anwar Ibrahim pakar ekonomi yang ulung? Beliau mampu membantu kerajaan Pakatan Johor kelak untuk menyelesaikan segala masalah dan bakal dilantik sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf Exco nanti sebagaimana yang berlaku di Selangor! Jadi, apa masalahnya memberikan lebih untuk rakyat Johor?

Tambahan pula, sudah ada ramalan bahawa Johor bakal menjadi negeri termaju di Malaysia dalam masa beberapa tahun lagi. Maka inilah masanya untuk pihak Pakatan mentorpedokan hasrat BN/UMNO mengambil kesemua kredit atas kejayaan Johor maju dan menjadikan segala usaha yang membawa kepada kemajuan Johor ‘dilaksanakan oleh Pakatan.’ Sudah semestinya negeri maju yang didambakan oleh Pakatan ialah negeri yang berkebajikan dan penuh dengan segala kebaikan yang membawa pulangan semula kepada rakyat Johor. Kesemua hasil kekayaan yang akan dijana oleh bakal kerajaan Pakatan kelak akan kembali kepada rakyat Johor; ibarat daripada rakyat kepada rakyat!

Jadi, amat patut juga misalnya, dalam manifesto Pakatan peringkat negeri Johor untuk menjadikan UTM dan UTHM sebagai universiti awam pertama yang mendapat subsidi besar daripada kerajaan negeri Pakatan yang membolehkan kesemua pelajar ambilan semester baru kelak mendapat pendidikan percuma. Sekiranya Johor boleh, tidak mustahil Pakatan boleh melaksanakan perkara yang sama jika berjaya memegang tampuk pemerintahan Malaysia kelak dengan penghapusan pinjaman PTPTN.

Dalam pada itu, penghapusan PTPTN itu mestilah turut dibuat bersama-sama dengan pemulangan semula wang yang telah dibayar kepada PTPTN oleh pembayar-pembayar tegar melalui potongan gaji mahu pun persendirian kerana mereka juga berhak mendapat kenikmatan daripada pemansukhan PTPTN. Pembayar-pembayar ini merupakan insan yang ‘dizalimi oleh pihak kerajaan BN’ kerana terpaksa membayar untuk pendidikan tinggi sedangkan sekiranya Pakatanlah yang memerintah, sudah lama pendidikan tinggi menjadi percuma! Cara nak dapat duit itu terserah kepada Anwar Ibrahim kerana beliau ialah magnet ekonomi dunia yang sangat ditunggu-tunggu oleh pelabur asing. Asal Anwar bersumpah jadi PM, maka berduyun-duyun koglomerat dunia yang dahagakan kredibiliti Anwar menjadi PM untuk memacu ekonomi Malaysia dan dunia ke arah kemajuan yang tiada tandingannya tanpa sebarang nepotisme, kronisme dan korupsi.

Itu pun kalau Pakatan menang PRU ke-13 dan jika Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM! Paling tidak pun, Menteri Kewangan jika orang lain yang jadi PM.

Kembali kepada janji di Johor, diharapkanlah pihak Pakatan lebih berani dengan menjanjikan manfaat yang lebih baik lagi untuk rakyat di sini dengan peningkatan air percuma; setidak-tidaknya pun samalah dengan apa yang dinikmati di Selangor iaitu 20 meter padu. Kemudian, jika benar mereka berjaya, janganlah pula nanti ada sahaja alasan ketidakakuran kepada janji yang telah dicanang semasa PRU dengan alasan meter pukallah, ganguan BN la dan macam-macam lagi alasan. Bagi masyarakat peniaga juga, mereka turut mendambakan nikmat air percuma kerana hasil daripada perniagaan itu pun dibayar kepada cukai dan lesen tak kiralah PBT, negeri mahu pun peringkat pusat. Justeru, nikmat air percuma (penulis menuntut 20 meter padu) itu mesti turut dinikmati oleh golongan peniaga. Hal ini bagi membolehkan rakyat tanpa mengira golongan sentiasa berjimat cermat untuk tidak membayar langsung kepada Syarikat Air Johor demi mendapatkan nikmat air percuma. Baharulah benar-benar Pakatan menjadi kerajaan yang membela rakyat.

Pendek kata, Pakatan hendaklah lebih berani untuk memberikan janji manis di Johor kerana mereka mampu menunaikannya. Ah, pesetankan golongan yang menyaman mereka di Selangor kerana golongan itu tak sedar diuntung! Johor akan menjadi negeri yang jauh lebih maju dan memelihara hak-hak penduduk di Johor nanti. Pihak Pakatan bolehlah berkira-kira untuk membayar pampasan besar-besaran kepada orang Singapura yang membeli rumah di Malaysia kerana pihak Pakatan mementingkan rakyat Johor. Kerajaan BN membuat onar yang maha dahsyat apabila membenarkan lebih 50 peratus hartanah di Nusajaya dimiliki oleh rakyat Singapura! Masa inilah menjadi masa yang penting untuk Pakatan mengembalikan hak-hak orang Johor. Bayar sahajalah pampasan kepada orang-orang Singapura tu untuk mengambil semula tanah Johor. Maklumlah, masa berkempen pun Pakatan jugalah yang menggunakan ‘isu tanah Johor dah terjual kat orang Singapore’ tu!!

Dah kebetulan sebut pasal Singapura, diharapkan dasar-dasar yang akan dibuat oleh pihak Pakatan kelak mestilah memberikan imej terbaik buat Johor untuk mengajar jiran terdekatnya itu untuk belajar erti demokrasi. Pakatanlah yang akan membuktikannya kepada rakyat mereka. Sekiranya slogan ‘Ubah’ berjaya di Johor, maka slogan yang sama juga boleh digunakan oleh parti pembangkang di Singapura untuk mengubah kerajaan PAP di Singapura. Maklumlah, PAP pun sudah memerintah lama di negara pulau itu, pilihan raya 2011 yang lalu barulah ada GRC yang memihak pembangkang! Sudah tentu mereka pun mendambakan kerajaan baru sebagaimana di Johor! Inspirasi pihak Pakatan untuk menakluki Malaysia sudah lama menjadi perhatian untuk media Singapura dan dijadikan bahan perdebatan di sana, moga-moga rakyat mereka juga terbuka untuk berubah!

Ingat, Batu Putih dah hilang Ya Allah, Tanjung Pagar rapat ke pagar!

Anak-anak kita

 

'Nampaknya undang-undang di Malaysia lebih longgar kerana masih membenarkan anak-anak kecil ditinggalkan di rumah dijaga oleh adik-beradik yang lebih tua. Kalau di sini, maunya ibu bapa kepada anak kecil itu kena saman kerana telah melanggar undang-undang penjaga anak bawah umur,' begitulah lebih kurang ayat dalam rencana yang pernah penulis baca. Dalam rencana itu, pengarang rencana membandingkan beberapa peraturan di negara Eropah yang beliau diami kerana belajar di sana dengan negara Malaysia.

Konotasi kepada kenyataan tersebut ialah, nasib baiklah undang-undang di Malaysia tidak cukup tegas sampai kakak pun tak boleh jaga adik seandainya kakak bawah umur. Kalau tidak, tentulah penjagaan kanak-kanak di Malaysia lebih rumit dan akan mengganggu kehidupan orang dewasa pula. Masakan tidak, adik-beradik yang bawah umur menjaga adik pun tak boleh, bagaimana mungkin ibu bapa atau penjaga hendak berenggang daripada mereka walau seketika. Semua anak-anak kena dibawa bersama atau mereka perlu kepada pertolongan dewasa lain untuk menjaga anak-anak.

Hal ini dikatakan demikian kerana anak yang lebih tua, tetapi masih di bawah umur tidak boleh menjaga adiknya. Misalnya kakak yang tingkatan tiga, masih belum layak menjaga adiknya yang darjah dua. Abang yang berumur 17 tahun kiranya masih tidak boleh menemani adik yang lebih muda daripadanya. Keterikatan ini akan menyebabkan ibu bapa tidak mempunyai pilihan lain selain meminta sama ada saudara mara mereka turut serta membantu untuk menjaga anak-anak atau menggaji penjaga untuk keperluan tersebut.

Adakah sedemikian rupa undang-undang di Malaysia?

Bahkan, negara yang mempunyai undang-undangnya yang tersendiri untuk kanak-kanak. Undang-undang di negara ini turut menjaga hak kanak-kana agar mereka tidak berhadapan dengan situasi yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Cuma, perlaksanaan hak-hak kanak-kanak inilah yang boleh dipersoalkan. Kita sering mendengar, 'kalau di negara lain, segini segini' seolah-olah negara ini tidak mempunyai undang-undang yang sama. Sedangkan undang-undangnya wujud namun perlaksanaannya masih lagi tak nampak. Setidak-tidaknya, tanggungjawab untuk memastikan keselamatan anak-anak semasa di bawah jagaan ibu bapa wujud di negara ini.

Akan tetapi, senario yang selalu berlaku memperlihatkan betapa kurangnya kepekaan ibu bapa terhadap anak-anak. Budak tadika dibiarkan ke kedai untuk 'membelikan barang' untuk membantu si emaknya. Pening jugalah kadang-kala si peniaga hendak mengetahui apa sebenarnya yang dikehendaki oleh budak itu kerana budak masih pelat bercakap. Begitu juga budak sekolah rendah ke pasar malam seorang diri untuk membeli makan malam. Budak awal belasan tahun membawa motorsikal bapanya berjalan-jalan; atau kadang-kala sudah pandai berlumba haram dengan rakan-rakan sebaya.

Jika tidak berlaku apa-apa, tidak ada masalah yang timbul. Soalnya, ialah apabila berlaku sesuatu, maka siapakah yang hendak dipersalahkan?

Dalam beberapa jenayah yang berstatus terkenal, anak-anak yang menjadi mangsa kepada penculikan sehingga membawa kematian, maka keadaan mereka diculik ialah ketika mereka tidak di bawah jagaan ibu bapanya. Ada yang berjalan seorang diri di tempat keramaian dan ada yang bersama dengan adiknya di kawasan permainan. Seandainya keadaan demikian berlaku di 'negara Barat,' nescaya ibu bapanya disaman dan anak-anak tersebut dirampas lantaran 'tidak cukup padan (fit)’ untuk menjaga anak. Tetapi, di sini tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana hendak menjaga hati ibu bapa yang sedang bersedih angkara kehilangan orang yang tersayang.

Malah, di Malaysia, begitu ramai daripada anak muda yang menunggang motorsikal atau memandu kereta tanpa sebarang lesen. Mereka ini sama ada memang dibenarkan oleh ibu bapa untuk berbuat demikian atau ada yang melakukannya secara curi-curi. Tatkala berhadapan dengan sekatan polis dan disebabkan takut, mereka akan melakukan perkara bukan-bukan seperti melawan arus cuba melarikan diri. Ada dikalangan mereka yang ditimpa kecederaan kerana hendak lari daripada pihak polis. Sehinggakan wujud kes dek kerana kekhilafan polis sampai anggota polis melepaskan tembakan kepada kereta yang dipandu oleh budak bawah umur yang membawa kepada kematiannya. Tentu perkara ini tidak berlaku sekiranya mereka dapat dihalang sama sekali daripada berbuat demikian oleh ibu bapanya.

Kecederaan dan kematian telah berlaku namun sebagaimana di Malaysia, ibu bapa tidak dikenakan sebarang tindakan kerana kasihan kepada ibu bapa yang menghadapi keadaan jatuh di timpa tangga. Akhirnya, ambil pengajaran sendiri sahajalah.

Sementelah, wujud undang-undang dalam negara ini yang boleh mensabitkan ibu bapa yang cuai sehingga menyebabkan kecederaan mahu pun kematian anak-anak kerana kecuaian mereka menjaga anak sendiri. Pelbagai jawapan yang akan diberikan, senang cerita, 'perkara dah nak jadi, nak salahkan siapa?' Atau 'orang yang melanggar/menyebabkan kematian/menculiklah sebenarnya yang bersalah!'

Sebab itulah daripada satu segi, kerajaan Malaysia memang baik kerana tidak menguatkuasakan undang-undang berkaitan kecuaian ibu bapa/penjaga yang mengakibatkan jenayah, kecederaan atau kematian kanak-kanak. Malah, ada dikalangan politikus yang menjadikan isu penguatkuasa yang bersalah kerana menyebabkan kehilangan, kecederaan atau kematian kanak-kanak. Justeru, tidak hairanlah ada orang yang menyalahkan parti pemerintah yang menyebabkan anak jatuh basikal.

Sudahnya, ibu bapa akan terus menerus meletakkan tanggungjawab keselamatan anak-anak sendiri kepada polis dan pasukan keselamatan semata-mata. Walhal mereka yang sebenarnya membawa anak-anak itu ke dunia sekali gus bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka sendiri.

Thursday, May 2, 2013

Kecoh-kecoh PRU

 

Dengan tempoh berkempen yang tersisa beberapa hari sudah ada cakap-cakap yang negatif bahawa akan berlaku perkara yang tidak elok menjelang hari mengundi kelak. Ada pihak yang dikatakan telah bersiap-sedia untuk melakukan huru-hara untuk mengganggu pengundi untuk keluar mengundi. Ada juga cakap-cakap yang parti sekian-sekian yang akan mengadakan tunjuk perasaan di Putrajaya seandainya parti mereka kalah pada PRU ke-13 nanti. Mereka ingin melakukan demikian kerana merasakan pilihan raya di negara ini masih tidak cukup 'bersih' lagi. Mungkin hal ini boleh dikaitkan dengan kekalahan parti yang mereka sokong.

Sedangkan hari mengundi pun belum lagi, sudah ada cakap-cakap begitu; yang menimbulkan persoalan adakah tindakan sebegitu sudah dirancang dirancang lama? Adakah parti politik yang bertanding pada PRU kali ini tidak bersedia menerima kekalahan yang akan berlaku kepada calonnya? Malah, terdapat gesaan agar mengubah kerajaan di jalanan seandainya tidak dapat mengubahnya di kotak undi! Sudah tentulah tidak langsung menurut lunas demokrasi kerana menggunakan jalanan untuk 'mengubah' kerajaan.

Penulis juga turut mendapat SMS yang menyatakan bahawa akan ada pihak tertentu yang akan cuba menghalang orang membuang undi pada hari mengundi, maka janganlah takut untuk mengundi bagi 'mengubah' sedia ada. Nada SMS tersebut seolah-olah ada pihak sedang berusaha untuk cuba menghalang orang membuang undi. Penulis pun tak tahu apakah faedahnya sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk menghalang orang untuk mengundi kerana akhirnya, undi rakyat jualah yang mereka pinta sama ada untuk mengekalkan kerajaan atau pun untuk mengubah kerajaan. Melainkan pihak tersebut sudah mempunyai maklumat tertentu bahawa pengundi sasaran itu memang tidak akan menyokong parti mereka, baharulah tindakan menghalang pengundi untuk tidak mengundi; masuk akal.

Itu belum lagi cerita Nurul Izzah Anwar yang dikatakan telah menggunakan gambar seorang anggota tentera yang telah mengundi bagi menjadikannya isu bahawa dakwat kekal yang digunakan adalah tidak kekal. Nampaknya anggota tentera terbabit merasakan dirinya menjadi mangsa eksploitasi YB menunggu bagi Parlimen Lembah Pantai dan menegaskan beliau akan membuat laporan polis seandainya gambarnya terus dijadikan modal politik untuk mempertikaikan penggunaan dakwat kekal.

Di Putrajaya, sekurang-kurangnya dua orang penduduk membuat laporan polis apabila mereka didatangi kumpulan tertentu yang cuba untuk menghasut mereka untuk tidak mengundi dan/atau cuba untuk mencalitkan dakwat tertentu di jari mereka. Salah satu daripada pengadu dengan jelas dan nyata menyebut kumpulan tersebut mengenakan pakaian yang mempunyai lambang parti politik tanah air semasa melakukan gerak kerja terkutuk itu. Macam biasalah, parti tersebut boleh menafikan bahawa ahli mereka menggunakan taktik kotor semasa berkempen; tetapi kini terpalit sudah nama parti itu dengan taktik kotor tersebut.

Isu dakwat kekal dalam PRU ke-13 bukanlah isu yang baru apabila sudah ada akhbar terbitan pihak Pakatan yang mempersoalkan kekekalan dakwat tersebut. Mereka seolah- olah menghentam sama sekali penggunaan dakwat kekal kerana dakwat yang digunakan 'tidak cukup kekal.' Kononnya mereka yang telah dicalit dengan dakwat tersebut boleh dengan mudahnya mencuci dakwat itu pada hari pengundian awal dan akan bertindak sebagai pengundi berganda yang akan mengundi pada hari mengundi sebenar. Pada hemat penulis, hal ini sekali gus menuduh pegawai polis dan tentera sebagai ‘barua kerajaan’ kerana golongan inilah yang majoritinya akan melaksanakan pengundian awal dan akan dicalit dahulu dengan dakwat kekal.

Kita mesti ingat pihak manakah sebenarnya yang beria-ia inginkan penggunaan dakwat kekal. Masih segar dalam ingatan penulis bahawa pihak SPR sudah pun berhasrat menggunakan dakwat kekal pada PRU ke-12 bagi mengelak pengundian berganda, namun mendapat bantahan yang maha dahsyat daripada parti-parti politik tertentu. Natijahnya, dakwat kekal tidak digunakan pada 2008. Selepas itu, apabila SPR mencadangkan kaedah yang lebih canggih iaitu penggunaan biometrik untuk pengesahan pengundi, pihak yang sama juga beria-ia tidak mahu SPR melaksanakannya kerana kononnya akan mudah berlaku penipuan. Pihak penentang itu kini mengusulkan agar biometrik digantikan dengan DAKWAT KEKAL! Mereka berarak berkali-kali membawa isu yang sama (dan isu-isu yang lain) sehingga akhirnya, pihak SPR akur dengan kebanyakkan usul yang didesak oleh pihak tersebut.

Kini, penulis tidak terperanjat seandainya dakwat kekal dijadikan isu yang besar dalam PRU kali ini. Mulalah ada yang menuduh SPR itu dan SPR ini sehingga menyebabkan parti mereka kalah pada PRU ini. Pengundi hantu, eksploitasi undi, penipuan pengiraan; demikianlah antara mainan pihak tertentu bagi menidakkan kemenangan pihak lawan. Yang betul cuma seandainya parti mereka yang menang; yang sebegini tidak ada masalah dan bersih, Insya-Allah.

Kegiatan pihak tersebut menyerang kredibiliti badan berkecuali kerajaan memang sudah dijangka. Melainkan kemenangan memihak kepada mereka, SPR, polis dan tentera akan menjadi mangsa hentaman mereka sebagai asbab kepada kekalahan mereka dalam pilihan raya. Anehnya, mereka sendiri telah mengadakan kajian segini-segini dan mendakwa mendapat info penting daripada ‘Bukit Aman’ mengatakan bahawa mereka bakal menang, jadi mengapa perlu takut untuk bertanding secara bersih tanpa sebarang prasangka buruk kepada badan pelaksana pilihan raya.

Mereka yang berkata bersih perlulah membersihkan hati mereka terlebih dahulu sebelum membuat persepsi buruk kepada orang ramai kononnya SPR tak bersih. Maklumlah, sekiranya benar juga kaitan pihak-pihak ini dengan golongan kapitalis luar negara yang sentiasa inginkan pangkalan strategik di negara bumi bertuah ini dan mahukan boneka-boneka politik mentadbir-urus negara, maka pihak-pihak tersebut ialah pengkhianat yang maha besar kepada rakyat dalam negara ini.

Pascapenulisan: Khabarnya orang Yahudi pun mendoakan kejayaan pihak tertentu di negara ini! Apa nak takut, doa tomoi pun dah...

Wednesday, May 1, 2013

Hari pekerja

 

Setiap tahun pada hari pertama bulan Mei, Malaysia, Singapura dan negara-negara lain menyambut Hari Pekerja. Hari yang didedikasikan untuk semua insan yang begelar pekerja disambut dengan sehari cuti; mungkin untuk merenggangkan otot dan/atau berehat. Bagaimana pun, barangkali tidak ramai yang tahu bahawa yang dikatakan sebagai 'hari untuk pekerja' pada asalnya ialah 'hari buruh' bagi mengenang jerih payah golongan buruh bekerja untuk aristokrat; atau keadaan yang senada dengannya.

Kita sering diceriterakan betapa indahnya pekerja di luar negara yang mendapat manfaat yang begitu banyak berbanding di Malaysia. Masa bekerja lima hari seminggu tanpa mengira jenis pekerjaan merupakan sesuatu yang begitu ideal. Setiap jam dibayar dengan harga yang lebih. Walaupun tidak banyak cuti peristiwa sebagaimana Malaysia, mereka mudah sekali mendapat cuti untuk perkara lain seperti cuti bersalin, cuti anak sakit, cuti itu dan cuti ini. Kalau cuti bersalin, bapanya pun turut boleh bercuti. Kerja lebih tidak pernah ada dalam kamus pekerjaan mereka.

Bukan sahaja pekerja yang mendapat begitu banyak keistimewaan, yang menganggur pun mendapat manfaat kerana dibayar elaun tidak bekerja! Hebat! Duduk goyang kaki pun boleh dapat kerja hasil subsidi kerajaan. Sudah tentu hal sebegini akan menerbitkan rasa cemburu pekerja Malaysia kerana orang yang tak kerja pun dibayar gaji.

Jadi, kalau di negara luar jangan haraplah kalau nak ke pekan pada hujung minggu sebab pekerja perlu diberi hak untuk bercuti pada Sabtu dan Ahad. Semua tutup kedai. Dibayar gaji lebih pun tak pernah wujud dalam pemikiran mereka kerana hak tak boleh diganti dengan wang. Baik cuti daripada dibayar lebih. Lagi pun, pembayaran gaji lebih hanya menyebabkan ketidakcekapan dalam penggunaan sumber sedia ada. Apabila sumber tak cekap digunakan, hasil akan mengalami pembaziran dan hal yang sebegini akan menjadikan sesebuah firma itu mengalami kerugian.

Oleh hal yang demikian, pekerja di luar negara sentiasa kelihatan terpelihara kerana mereka mendapat apa yang mereka mahukan. Gaji yang padan untuk kerja sekian jam. Sudah tentulah kebajikan pekerja akan mampu terpelihara kerana polisi yang memihak kepada pekerja. Perkara inilah yang berlaku di negara-negara Eropah.

Akan tetapi, apabila mereka menghadapi krisis, pekerja jugalah yang menjadi galang-gantinya. Ramai dikalangan pekerja yang diberhentikan kerja lantaran untuk meningkatkan lagi kecekapan penghasilan. Maka, makin banyaklah juga duit kerajaan yang perlu digunakan untuk 'menggaji' penganggur-penganggur yang wujud. Elaun ini mesti diberikan bagi menghormati hak penganggur. Sudahnya, kerajaan terpaksa meminjam wang daripada luar untuk membayar penganggur dan pekerja kerajaan. Maka, apabila keadaan semakin memucak, kerajaan berhutang lebih banyak daripada yang mereka mampu bayar.

Satu ketika, negara seperti Sepanyol mempunyai kadar pengangguran sebanyak 20 peratus walaupun pasukan bola sepak mereka mempertahankan dua kali kejuaraan Euro. Greece hampir diisytiharkan bankrup. US telah meningkatkan siling hutangnya hanya kerana untuk membayar gaji pekerjanya. Kesemuanya bermula apabila pekerja mereka telah membuat keputusan yang salah sehingga menyebabkan kesan yang cukup besar kepada ekonomi negara. Namun, kita pun tak tahu sama ada mereka yang terlibat dikenakan sebarang tindakan atau masih kekal hidup senang lenang dengan kekayaan yang sedikit merosot atau mungkin bertambah!

Oleh hal yang demikian, dapatlah dikatakan disini pekerjalah yang mampu menjana ekonomi negara dan pekerja jugalah yang boleh meranapkan negara. Peranan pekerja bukan sekadar mendatangkan penghasilan kepada firma mahu pun kerajaan, malah merekalah jua yang menentukan hala tuju negara; terutamanya bagi yang bertaraf ketua eksekutif dan ketua pengarah. Mereka juga sebenarnya taraf pekerja dan mereka juga menikmati kelebihan sebagai pekerja dan perlu dipertanggungjawabkan sebagai seorang pekerja!