Wednesday, May 8, 2013

Tsunami berulang

 

Barangkali kini perbincangan politik lebih menjurus kepada sama ada benar-benar berlaku tsunami masyarakat Cina dalam PRU ke-13. Perkataan 'tsunami masyarakat Cina' ini pertama kali diperdengarkan kepada pihak umum apabila PM Najib memberikan ucapannya di PWTC selepas BN berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah pada awal pagi semalam. Sudah tentu ada yang memberi respon apa yang bahawa yang berlaku bukannya hanya kepada masyarakat Cina, malah turut berlaku kepada masyarakat Melayu. Sudah ada golongan penulis, politik mahu pun akademik yang melihatnya sebagai 'tsunami Malaysia.' Benarkah begitu?

Pada hemat penulis, penggunaan istilah baru seperti tsunami Cina atau Malaysia itu sendiri tidak tepat. Tsunami ialah fenomena alam yang mendatangkan kejutan, yang boleh menyebabkan kematian, kecederaan dan kemusnahan alam dan segala binaan dan buatan manusia. Pada kebiasaannya, elemen kejutan pasti wujud; secara tiba-tiba sahaja. Kalau ada 'amaran' (alarm) pun, masa untuk menyelamatkan diri mungkin sangat suntuk atau tiada pun.

Bagaimana pun, dalam konteks menisbahkan apa yang berlaku pada PRU ke-13, keputusan yang diperolehi sebenarnya lebih kurang sama dengan apa yang berlaku sebelum ini. Orang ramai terkejut tetapi bukanlah semua yang terkejut. Malah, ada dikalangan ahli politik turut menyatakan secara jelas, memang kerusi sekian-sekian akan kalah. Apa yang berlaku pada 2008 yang disebut sebagai ‘tsunami politik,’ sebenarnya berulang kembali pada 2013, cuma magnitudnya sahaja lebih kuat. Kejutan mungkin lebih kepada betapa kerasnya pimpinan tertinggi BN berkerja terutamanya Najib untuk meraih mandat yang lebih baik, namun sebaliknya yang berlaku. Usaha tersebut agak tidak berbaloi untuk BN dan Najib.

Namun, sekiranya kejutan benar-benar berlaku, Najib bukanlah PM sekarang ini.

Orang tak iktiraf keputusan PRU secara umumnya, hal itu cerita lain. Perkara sedemikian ialah agenda orang tersebut. Realitinya, orang yang tak iktiraf itu tak dapat jadi PM. Dan sekiranya beliau tidak mengiktiraf pilihan raya pada kali ini, secara automatiknya beliau sendiri tidak mengiktiraf kemenangan beliau dan pakatan beliau sendiri. Jadi beliau hendak buat tunjuk perasaan, menunjukkan yang beliau sebenarnya yang sepatutnya jadi PM dan pilihan raya tak bersih. Sekiranya beliau ikhlas untuk membersihkan pilihan raya, laporkanlah secara terperinci kepada yang berkuasa bersama-sama bukti dan saksi bahawa di manakah yang dikatakan pilihan raya tak bersih, bukannya terus buat sidang media tuduh itu, ini kata itu ini. Media yang datang itu pun yang antarabangsa pula; yang cukup-cukup menyayanginya.

Kembali kepada persoalan tsunami, adakah kejadian PRU ke-13 ini boleh dikatakan mengejutkan? Maka hal ini penganalisis perlu jujur berkenaannya. Pada mulanya, penulis turut terperanjat juga dengan keadaan yang berlaku. Tetapi, setelah dibuat penelitian semula dan dirasionalkan, maka penulis simpulkan seandainya fakta yang benar diberikan kepada rakyat, maka perkara tersebut tidak perlu diterperanjatkan. Apa yang berlaku ialah hasil kepada kegagalan BN dalam menyelesaikan keperluan yang didambakan oleh golongan sasar yang memilih untuk tidak mengundi BN.

Sebagaimana yang penulis pernah bincangkan sebelum ini, golongan pertengahan tinggi dalam pendapatan ekonomi keluarga merupakan mereka yang lebih cenderung kepada Pakatan. Hal ini dikatakan demikian kerana limpahan yang dicurahkan kepada kerajaan tidak sampai kepada mereka. Ada dikalangan mereka yang merasakan 'apalah sangat bantuan sekolah RM 100 kalau nak dibandingkan dengan cukai yang aku bayar.' Lebih-lebih lagi ialah golongan pekerja sendiri atau swasta. Mereka membayar cukai dan bekerja mungkin lebih (ada hingga 6-7 hari seminggu) daripada kakitangan kerajaan namun manfaat yang diperoleh daripada kerajaan tak dapat dinikmati. Kita perlu berlapang dada dalam hal ini dan bukan niat penulis hendak mempertikaikan apa yang kakitangan kerajaan buat dan apa yang kakitangan kerajaan dapat.

Pada penulis, inilah sindrom kerajaan BN yang asyik menyebut tentang 1.4 juta pekerja kerajaan namun, bagaimana dengan yang lain? Sedangkan jumlah pengundi di Malaysia sahaja sudah lebih 13 juta!

Ada keinginan ‘lain’ yang mungkin tidak dipenuhi terhadap golongan sebegini. Golongan sebegini mungkin tak peduli pun siapa yang pegang kerajaan dan sama ada 'hak istimewa orang Melayu' itu dipertahankan (kalau dia orang Melayulah dan lebihlah lagi kalau dia bukan Melayu). Hal ini terjadi bukan kerana mereka tidak menghargai apa yang diberikan kepada kerajaan, sebaliknya mereka tak terasa apa yang telah kerajaan berikan kepada mereka atau merasakan 'apa yang orang lain tak dapat' (macamlah mulia sangat...). Mereka hidup setidak-tidaknya pada zon yang agak selesa atau pun zon ‘mintak bantuan kerajaan tapi tak dapat-dapat!’ (maka dengan kudratku sendiri aku berusaha!)

Keperluan golongan sebegini mungkin berbeza dan bukannya semata-mata bantuan kewangan sahaja yang boleh memuaskan hati mereka. Mungkin mereka tak ingin pun beratur panjang untuk kutip bantuan kewangan daripada wakil rakyat. Mungkin mereka merasa sendiri kerenah birokrasi daripada kerajaan yang terpaksa dilalui hari ke hari. Atau mereka sendiri terlibat dalam duit kopi yang terpaksa dihulurkan hanya untuk mempercepatkan proses di jabatan kerajaan atau untuk melepaskan diri daripada penguatkuasaan yang berlebih-lebihan. Atau disebabkan pergaulan mereka sesama rakan-rakan mereka yang merasai kesemua itu menyebabkan mereka merasa terpanggil untuk turut serta bersikap kurang senang dengan kerajaan.

Justeru, walaupun perkara sebegini telah sering diutarakan, yang bermasalah sebenarnya bukanlah kerajaan sebaliknya 'pegawai kerajaan' dan/atau prosedur mereka. Golongan ini tidak boleh menukar pegawai-pegawai kerajaan dan mengubah sistem yang ada dalam jabatan kerajaan, jadi alternatif lain yang boleh dibuat ialah dengan menukar sendiri kerajaan. Namun, bukan niat penulis untuk menghentam kesemua prosedur dan pegawai kerajaan kerana ramai dikalangan mereka yang benar-benar ikhlas bekerja dan memenuhi tanggung jawab mereka. Mungkin yang bermasalah cuma dalam peratusan yang sedikit. Tapi, penulis ‘terkena’ juga dengan mereka yang negatif.

Penulis sendiri menghadapi saat sukar untuk memohon lanjutan lesen barangan di pejabat KPDNKK hanya kerana keinginan tambahan 'bos' di pejabat tersebut pada benda yang remeh-temeh sedangkan segala dokumen sokongan yang dicatat pada borang permohonan sudah disediakan. Kemudian, pihak di pejabat tersebut meminta penulis untuk mengeposkan sampul ekspres sendiri kepada mereka bagi membolehkan mereka mengepos lesen tersebut kepada penulis. Sudahlah kebetulan, pada ketika itu pejabat pos di sekitar kawasan tiada menjual sampul ekspres saiz yang dikehendaki, jadi satu kerja pula yang perlu dilakukan untuk mencari benda itu.

Soal penguatkuasaan KPDNKK penulis tak mahu ceritalah; nanti terlibat kes feloni pula. Bagaimana pun, jujur penulis katakan masyarakat peniaga boleh dikatakan anti kepada kerajaan lantaran perkara-perkara sedemikian. Ingat, bukan semua peniaga mengikuti program TUKAR atau merasa nikmat daripada barangan 1Malaysia yang disediakan oleh kerajaan (malah, mereka mungkin menganggapnya sebagai saingan). Apatah lagi bagi mereka yang bekerja dengan jualan benda-benda yang berkait rapat dengan subsidi kerajaan dan 'dipantau oleh kerajaan.' Itu tidak termasuk betapa rakusnya kerajaan membina dan/atau membenarkan pasar raya dan pasar raya besar di kawasan perumahan yang pada asalnya sudah berkedai! Ditambah pula dengan kerajaan sendiri memasuki bidang perniagaan yang menyebabkan periuk nasi mereka yang telah sedia berniaga terjejas. Dan kesemua itu tadi pun belum lagi termasuk pelbagai sektor lain yang melibatkan hubungan dengan kerajaan.

Dan itu pun belum lagi masuk perkhidmatan yang kerajaan sendiri mesti sediakan dan selesaikan seperti isu longkang, sampah kumbahan, air dan lain-lain. Apabila kita bercakap tentang ‘kerajaan,’ yang ramai orang faham ialah kerajaan Malaysia dan bukannya segmentasi ‘oh, ini kerajaan negeri,’ ‘oh ini kerajaan pusat,’ dan ‘ini kerajaan tempatan atau orang majlis.’ Ada yang tak sedar dan/atau tidak peduli pun entiti-entiti tersebut wujud dan bidang kuasa mereka berbeza. Boleh dikatakan, hal-hal berkaitan infrastruktur tempatan di bawah kerajaan tempatan dengan pengaruh kerajaan negeri. Tapi, orang pun peduli apa? Oleh hal yang demikian, secara mudahnya untuk membangkitkan isu-isu sebegini ialah melalui peti undi lima tahun sekali itu. Sekali lagi, golongan pekerja sendiri dan swasta tidak berupaya menukar pekerja kerajaan, jadi apa yang boleh dibuat ialah dengan menukar kerajaan!

Kemudian kita bercakap tentang golongan muda dan perkara ini sering menjadi satu enigma juga kepada BN. Dah chat bersama, facebook bersama, tweet bersama, instagram bersama, ketawa bersama menangis bersama; mengapa tidak mengundi parti sama? Golongan ini ada yang tak peduli dan ada yang begitu peduli. Penulis kira biasanya, idealisme mereka yang mula menceburkan diri ke dalam kesedaran politik biasa dikaitkan dengan pihak pembangkang. Masakan tidak, pembangkang bekerja keras untuk mendapatkan mereka dan menggunakan khidmat mereka dan BN tidak boleh salahkan pembangkang. Keterdepanan pihak Pakatan untuk mendekati golongan muda tidak boleh dipertikaikan walaupun rancangan televisyen sentiasa memaparkan sisi betapa 'belia bersama BN.'

Contoh klasik yang boleh dikemukan ialah PAS. Mereka telah mula mengindoktrinasikan bakal-bakal belia mereka seawal tadika lagi dan perkara ini bukan rahsia. Satu ketika dahulu, gejala pijak gambar Mahathir merupakan satu aktiviti di tadika mereka. Kemudian, menjelang muda tatkala di IPT, mereka sudah mewujudkan kader-kader mereka melalui persatuan Islam dan 'AJK Surau yang rata-rata akan menjadi anti-establishment. Seterusnya mereka inilah yang turut serta menyertai PAS setelah mereka berkerjaya nanti.

Mungkin ada yang akan sinis dengan pandangan penulis, kerana bukan semua yang akan menjadi penyokong dan ahli PAS kelak. Namun, susur-galur pembentukan pemikiran siyasah sudah pun diwujudkan seawal kanak-kanak lagi dan sekiranya ibu bapanya menghantar anak-anak ke sekolah Islam pro-PAS (yang sememangnya wujud), mereka telah mengajar dan berinteraksi dengan bakal-bakal penyokong dan ahli mereka di setiap tahap perkembangan dan pembangunan seorang insan dan hal ini merupakan satu proses yang bersistem untuk pembentukan jiwa penyokong PAS sejati.

BN pula tidak berbuat demikian (atau tidak boleh berbuat demikian). Walaupun sekiranya daripada kecil anak-anak di sekolah tadika KEMAS misalnya sudah diajar tentang PM (adakah perkara ini diajar???), tidak ada sukatan pelajaran mereka untuk memijak-mijak gambar pemimpin pembangkang. Walaupun ramai mahasiswa yang dikatakan menyokong BN, kesan mereka tidak seramai tindakan yang dilakukan oleh kumpulan mahasiswa yang dipengaruhi oleh pembangkang. Lebih teruk lagi, corak pemilihan majlis pewakilan mahasiswa dijadikan pula indikator kepada 'orang muda' menyokong BN dan akhirnya, BN hanya syok sendiri sahaja atau data sebenarnya mungkin tiada korelasi!

Mahasiswa kini menuntut pendidikan tinggi percuma dan sering membandingkan secara epal dan durian dengan negara lain. Boleh dikatakan juga, slogan ubah juga menjadikan orang muda begitu teruja mengeksesaiskan hak mereka untuk berubah. Hasilnya, peningkatan penyertaan orang muda (dan peratus keluar mengundi) dalam PRU kali ini dan tidak dapat dinafikan, ramai dikalangan mereka yang teruja untuk memangkah pihak 'ubah.'

Hal-hal sebegitu belum masuk lagi idealisme pihak Pakatan yang menampakkan keidealan/utopia yang menyebabkan orang muda terpengaruh dengan kempen-kempen yang disampaikan oleh pihak tersebut. Malah, penglibatan pembangkang melalui golongan muda perlu diakui lebih menarik minat golongan tersebut berbanding apa yang disediakan oleh BN. Soal peserta beramai-ramai menyertai sesuatu program, lain. Soal peserta turut menyokong parti yang menganjurkan program, lain pula. Dan soal menarik sokongan peserta yang menyertai program supaya mereka betul-betul menyokong parti penganjur program, turut menjadi satu perkara yang berbeza! Jadi, BN barangkali terkabur mata jua dengan kehadiran peserta program mereka kononnya mereka menyokong BN; atau barangkali peserta-peserta yang datang itu tidak berdaftar pun untuk mengundi pada pilihan raya!

Kesimpulannya, kedua-dua faktor ini (pengundi muda, belia) dan golongan kelas menengah tadi gagal ditangani oleh BN dengan sebaiknya sedari 2008 lagi (atau dalam konteks sebenar, selepas 2004). Untuk kali ini, mereka tahu bahawa pihak Pakatan telah melancarkan Ubah, namun mereka tidak mampu menjawab slogan itu dengan berkesan dan akhirnya, kedua-dua golongan ini mengambil tindakan untuk ‘berubah.’ BN tidaklah perlu untuk menyalut gulakan (sugar coated) keadaan yang berlaku dan perlu terima hakikat; jika pun mereka mengatakan sokongan kedua-dua pihak ini meningkat kepada BN, peningkatan itu tidak cukup untuk menentang arus ‘Ubah’ yang dicanang oleh parti lawan.

Apa yang perlu kali ini ialah untuk mengkaji strategi kemenangan Pakatan bagi menyimpulkan apa yang kedua-dua pihak ini mahukan. Apa yang mereka mahu ubahkan? Terlalu lama dah BN memerintah, makanya hendak ubah? ‘Korupsi? Kronisme? Nepotisme? Despotisme? Jingoisme’ Hal ini dikatakan demikian kerana amat malanglah seandainya think tank BN tak mampu mencari sebabnya, menstrategikan dan menyelesaikannya kerana jujurnya, ‘isme-isme negatif’ tadi pun turut ada dalam pihak Pakatan.

No comments: