Monday, May 6, 2013

Rumusan PRU ke-13

Pendahuluan

Adalah sesuatu yang sangat-sangat jelas corak pengundian pada PRU ke-13. Tidak mahu mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman, kenyataannya, pengundi Cina memang menolak mentah-mentah calon BN. Hakikat itulah yang perlu diterima oleh Najib dan BN, meski mereka telah cuba sedaya-upayanya untuk menarik perhatian dan pengundian kaum itu kepada BN. Riak muka Najib pada sidang akhbar pada malam pengumuman menunjukkan segala-galanya. Sorakan dan gemaan di PWTC memperlihatkan betapa tawarnya senyuman Najib sampaikan beliau sendiri yang selalu bersorak, nampak sangat tak bersorak! Lalu, rakannya 'Tan Sri Mayudin' barangkali terpaksa mengangkat tangannya dengan memegang tangan Najib untuk memperlihatkan bahawa mereka turut melaungkan 'Hidup BN.' Sedangkan, semua orang pun nampak jelas, tak terucap pun sebenarnya kalimah keramat tersebut daripada kedua-dua orang pemimpin itu.

PRU kali ini turut memperlihatkan segala usaha padu yang dicurahkan untuk menawan kembali Selangor musnah begitu sahaja. BN dengan seluruh tenaga, kuasa dan capaian yang termampu telah berkempen untuk Selangor; barangkali melebihi yang lain. Namun, keputusan menunjukkan rakyat Selangor 'Sayangi Selangor tapi Tak Yakini BN.' Tamatlah sudah angan-angan BN untuk 'menyelesaikan masalah air' di sana. Walaupun BN cuba memperlihatkan Selangor mempunyai seribu satu masalah, rakyat Selangor nampaknya mampu bergelumang dengan masalah-masalah tersebut dan tidak memerlukan BN untuk membela mereka.

Polan vs polan

Dalam blog ini penulis pernah menyenaraikan beberapa pertembungan menarik yang boleh dijadikan bahan ulasan sempena PRU kali ini. Pertamanya, pertembungan Gelang Patah yang diibaratkan sebagai pertarungan yang akan 'mendefinisikan hala tuju politik negara kali ini.' Nampaknya, terdefinisilah sudah hala tuju itu. Bekas MB Johor dan 'arkitek pembangunan Johor,' Ghani Othman tewas dengan majoriti yang sangat besar kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang. DAP bukan sahaja mendapat kemenangan monumental di Gelang Patah, malah telah menerobos sama sekali negeri Johor dengan asakan yang cukup dahsyat dengan memenangi hampir kesemua kerusi yang mereka tandingi di sini. Oleh sebab itu, nyatalah di sini yang terkubur ialah karier politik Ghani; macam yang penulis telah usulkan sebelum ini, kalau beliau kalah, memanglah tak dapat apa-apa.

Pada masa yang sama, percubaan Salahudin Ayub untuk mencuri kerusi Parlimen Pulai dan DUN Nusajaya tak kesampaian apabila beliau tewas di kedua-dua kerusi. Nampaknya, auranya sebagai Naib Presiden PAS masih tidak mampu untuk memberikan undi majoriti kepadanya walaupun daripada satu sudut, beliau berjaya mengecilkan majoriti kemenangan bagi kedua-dua buah kerusi yang ditandinginya. Khusus untuk Parlimen Pulai, Nur Jazlan masih mampu bertahan dengan cabaran daripada Naib Presiden PAS itu. Akan tetapi, buat pertama kalinya DUN di bawah kawasannya iaitu Pengkalan Rinting tewas kepada calon DAP. Jazlan dan jentera BN pastinya akan pening kepala untuk merangka semua strategi di kawasan tersebut. Hal ini disebabkan ternyata pembangunan di sekitar Perling dan Bukit Indah mempunyai kaitan yang cukup dekat dengan kawasan Skudai, Tun Aminah dan Gelang Patah yang turut dipenuhi golongan pertengahan tinggi yang majoritinya Cina. Keperluan kawasan ini mungkin sama kerana kedudukannya sebelah menyebelah sahaja.

Di Lembah Pantai, postulat awal yang dibawa oleh penulis sebelum ini sedikit sebanyak benar kerana sungguh pun Raja Nong Cik dilihat sebagai orang yang berpotensi besar untuk menang; lantaran beliau 'turun padangnya,' namun Nurul Izzah tetap mengekalkan kerusinya di situ. Apa yang boleh dilakukan oleh pihak BN ialah terus berkhidmat untuk lima tahun akan datang dan kembali bertanding di sana untuk sekali lagi dengan kemungkinan kalah kepada calon yang sama yang dikatakan 'tak buat kerja.' Soal buat kerja atau pun tidak bukannya isu kerana akhirnya, tugas sebenar wakil rakyat bukannya menyelesaikan masalah rakyat, sebaliknya mereka ialah 'penggubal undang-undang' di parlimen. Kerja betulkan jalan, betulkan longkang, bersihkan kawasan, bertindak dalam mendapatkan bantuan kepada rakyat bukannya kerja mutlak wakil rakyat!

Di Shah Alam, pertembungan yang dijangka sengit antara Khalid Samad dan Zulkifli Nordin memihak kepada penyandang dengan kemenangan yang cukup selesa. Hal ini sekali gus boleh mempertikaikan pemilihan calon ‘luar BN Shah Alam’ yang ‘luar BN’ kerana taktik tersebut tak menjadi langsung. Puaslah si Zulkifli Nordin berkempen sampai tiada suara, kemenangan besar tetap memihak kepada Khalid Samad. Selain itu, corak pengundian di Selangor nampaknya menampakkan sisi sebenar landskap politik di negeri termaju itu yang cenderung kepada Pakatan. Malah, prestasi BN semakin teruk walaupun rakyat disajikan dengan pelbagai kempen yang besar-besaran untuk merampas Selangor. Orang kuat BN Selangor yang menjadi ketua strategi ‘menawan semula Selangor’ pun tumbang di parlimennya sendiri di Sepang! Kalau hendak diikutkan, kekalahan di Selangor merupakan puncak keaiban untuk BN dalam PRU kali ini kerana mereka sangat mendambakan negeri tersebut dan tampak berusaha luar biasa hebat untuk memenanginya dengan kempen di media alternatif dan media utama dengan lagu, karinval, saman kerajaan negeri apa bagai...

Tentang kemenangan Najib di Pekan tak perlulah diulas kerana memanglah beliau dijangka selesa memenangi di sana.

Pasca-PRU ke-13

Nampaknya kegiatan politik tanah air selepas 5/5 mungkin tidak akan surut. Kegagalan BN mendapat jumlah dua pertiga, ditambah pula dengan prestasi di peringkat parlimen yang lebih teruk daripada PRU 12 menjadikan ketaktentuan politik negara berterusan. Kini, sudah ada suara daripada Anwar Ibrahim yang menuntut ini dan itu; 'tidak mengiktiraf' keputusan PRU ke-13 ini. Dengan perangai Anwar yang memang terkenal dengan helah politik yang pelbagai, tidak mustahil ketaktentuan ini akan berterusan dan langkahnya untuk mengkudetakan kerajaan pasti ada. 16 September baru mungkin?

PRU kali ini memperlihatkan kegagalan BN mengatasi perang persepsi yang dibawa oleh Pakatan dan hal ini terbukti dengan prestasi yang sangat buruk di majoriti kawasan pengundi yang mempunyai kepadatan penduduk Cina. Pulau Pinang bolehlah dikatakan sebagai negeri selamat DAP! BN gagal sama sekali menangkis segala serangan yang dilakukan oleh pihak Pakatan dan kini, mereka menerima akibatnya yang teruk. Serangan peribadi kepada calon BN lebih berkesan berbanding kepada calon Pakatan. Hal ini membuktikan bahawa jentera parti BN masih tidak cukup kuat untuk menangkis tomahan yang dibuat daripada pihak Pakatan sehingga pihak Pakatan berjaya dalam pembunuhan karekter terutamanya kepada pemimpin tertinggi BN, Najib.

Isu rasuah, ketelusan, kebertanggungjawaban, makan duit rakyat masih lagi menjadi rencah yang cukup ampuh untuk membangkitkan kebencian pengundi kepada BN dan Najib. Malah, pengundi tak termakan langsung dengan isu LGBT, pluralisme kalimah Allah dan isu moral Anwar Ibrahim yang tidak langsung menjadi ancaman utama kepada pengundi Melayu. Isu moral, ketaktelusan dalam pemilihan DAP dan beberapa masalah yang dibangkitkan oleh BN langsung tidak memberi kesan kepada pengundi Cina bagi menunjukkan bahawa mereka sanggup menerima pemimpin yang bermasalah di pihak Pakatan namun tidak mungkin akan menerima malaikat di pihak BN. Dalam hati mereka, ‘Ubah, ini kalilah’ sahaja.

Sudah ada pemimpin BN yang kalah menyuarakan secara terus terang betapa beliau rasa dikhianati oleh bangsa tersebut betapa pun segala keperluan yang dituntut oleh kaum itu sentiasa dipenuhi. Daripada gaya tulisan di akhbar utama Melayu tertentu, sememangnya laporan yang diberikan menjurus kepada kaum Cina yang langsung 'tidak membalas budi' kepada BN. PM Najib telah melakukan segala-galanya termasuk mempergunakan anaknya yang belajar di negara Tembok Besar untuk berkempen, tetapi keputusan yang diberikan kepadanya sangat-sangat mengecewakan.

Tumbangnya beberapa calon berprofil tinggi seperti Ali Rustam dan Dr Puad Zarkashi turut dikaitkan dengan pola pengundian masyarakat Cina di kawasan majoriti Melayu yang mempunyai penduduk Cina yang signifikan. Hal sebegini akan memberikan lagi cabaran yang sangat besar untuk BN kerana ternyata walau di mana jua, seolah-olah pengundi kaum itu menolak sama sekali calon BN dan akan mengundi calon Pakatan walau daripada parti mana calon tersebut hadir.

Bagaimana pun, daripada satu segi pula, sungguh pun kerusi DAP bertambah secara signifikan di Dewan Rakyat, pihak yang terkalah (the biggest loser) dalam Pakatan ialah PAS. Dengan 21 kerusi (merosot 2 kerusi) yang mereka peroleh, jangan haraplah mereka boleh berbicara lantang tentang hudud dan negara Islam dalam konteks Pakatan. Mereka merupakan parti terkecil dalam pakatan itu dan suara mereka turut menjadi kecil. Ada pemimpin parti peringkat eksekutif yang kalah seperti Mat Sabu dan Salahudin Ayub; akan tetapi diceriakan juga dengan kemenangan Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda PAS, Nashrudin Tantawi yang menewaskan Timbalan Menteri Saifuddin Abdullah di Temerloh. Mereka turut kehilangan Kedah di kerusi negeri walaupun berjaya mempertahankan Kelantan. Hala tuju PAS kini mungkin boleh bertindak sebagai pendesak Islami di dalam Pakatan.

Dan bagi penulis sebagai orang Johor, negeri selatan ini bukan lagi kubu kuat BN. Penerobosan yang cukup besar daripada DAP melenyapkan sama sekali apa yang dikatakan sebagai 'gaya Johor.' Legasi bekas MB terpaksa diteruskan dengan luka yang amat besar dengan kudis di sana sini bagi mempertahankan apa yang dikatakan sebagai 'kubu kuat BN' satu masa dahulu. Kekalahan Puad di Batu Pahat mencatatkan sejarah buat kali pertamanya, PKR berjaya memenangi kerusi di Johor. Bolehlah dikatakan, tamatlah sudah era 'intan payung' dan 'jantung hati' BN Johor kerana mereka sangat lemah di beberapa kawasan pembandaran dan telah mengalami sindrom yang sama dengan negeri-negeri lain di seluruh semenanjung.

Sudah tentu juga corak pengundian kali ini memberikan gambaran jelas kebergantungan BN kepada kerusi luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak. Pembentukan Malaysia pada 1963 memberikan deposit simpanan jangka masa panjang untuk BN. Dalam konteks PRU kali ini, kerusi BN Sabah Sarawak menyumbang 35 peratus kepada kemenangan kerusi parlimen BN dan seandainya ditambah dengan kerusi 'bekas intan payung BN' di Johor ialah 51 peratus; cukup untuk membentuk kerajaan majoriti mudah. Oleh hal yang demikian, penghargaan dan pengiktirafan yang sewajarnya diberikan oleh BN di negeri-negeri tersebut terutamanya di Borneo kerana mereka sentiasa menjadi jaminan kepada BN bagi meneruskan kelangsungannya.

Dalam pada itu, dengan kemenangan selesa BN di Sabah dan Sarawak meneruskan lagi dikotomi penguasaan luar bandar berbanding bandar. Sekali lagi, hampir kesemua ibu negeri di Malaysia ditawan oleh Pakatan memberikan mesej jelas kegagalan BN untuk memahami kehendak pengundi bandar. Pengundi-pengundi berpendapatan sederhan tinggi di bandar misalnya tampak menolak sama sekali calon-calon BN memberi isyarat bahawa keperluan mereka tidak dipenuhi oleh BN. Maklumlah, mereka ialah pekerja swasta, tidak mendapat sebarang manfaat apabila ‘kakitangan kerajaan’ mendapatnya dan mereka adalah golongan pembayar cukai persendirian yang tidak mendapat bantuan BR1M; apatah lagi layak/mahu menyertai produk-produk 1Malaysia.

Daripada satu aspek juga, kegagalan ini menjadi tamparan hebat kepada BN kerana kesemua hasil ekonomi negara berasal daripada bandar-bandar besar sebagai penjana pertumbuhan negara. Sedangkan daripada satu sudut, pembangunan bandar raya seperti Shah Alam, Kuala Terengganu dan Alor Setar ialah hasil daripada usaha BN sebelum ini. BN sebenarnya masih terkial-kial untuk memahami keperluan sebenar golongan kelas menengah di bandar sekali gus memberikan peluang yang cukup besar kepada Pakatan untuk memenangi kerusi di kawasan tersebut. Tambahan pula, tugas pembangkang cuma untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap BN sahaja kepada pengundi bandar.

Penutup

PRU ke-13 turut mencatatkan keputusan yang hampir sama; malah kalau nak diikutkan di peringkat parlimen, pencapaian Najib lebih teruk lagi daripada apa yang dicapai oleh Pak Lah pada 2008. Sementelah pada 2008, BN ‘dikatakan’ penuh dengan pelbagai masalah dalaman daripada UMNO dan MCA-nya, maka adakah pencapaian kali ini mencerminkan wujud masalah dalaman juga? Mungkinkah orang-orang UMNO akan memberontak dan akan menjatuhkan kepimpinan Najib kerana 'pelbagai masalah dalaman?'

Dari satu segi, ramai orang BN yang cuba menuding jari kepada MCA kerana kegagalan parti itu untuk mengembalikan kepercayaan orang Cina, namun disebalik tuduhan tersebut, Najib sendiri telah melakukan segala-galanya untuk menarik minat masyarakat Cina. Adakah tindakan dan langkah yang diambil tidak tepat? Sebagai ketua kepada perikatan BN, beliau mesti bertanggungjawab terhadap kekalahan yang dialami di kerusi-kerusi Cina. Mantra 'Ah-jib Gor' bukanlah satu mantra yang mujarab dan sekadar fatamorgana sahaja, atau sebenarnya sorakan yang diberikan kepadanya cuma sorakan mengejek kesungguhan beliau menarik hati pengundi Cina.

Penulis akui semenjak 8 Mac 2008 hingga hari ini, penulis amat letih dengan keadaan politik tanah air dengan ketaktentuan yang berlarutan. Ditambah pula dengan Pemilihan UMNO yang mendatang dan mungkin turut mencatatkan satu situasi yang sengit di kalangan orang-orang besar dalam parti keramat Melayu itu. Anwar pun masih boleh mengadakan kudeta dan macam-macam lagi helah untuk mengambil alih kerajaan.

Apa yang pasti, situasi ketaktentuan ini boleh jadi berlarutan, mungkin sehingga lima tahun akan datang. Detik berpolitik untuk penentuan PRU ke-14 sudah pun bermula; dan kita terpaksa sekali lagi mengharunginya.

Ya, penulis sudah letih dan semakin hilang tenaga untuk mengikuti perkara sama berulang-ulang kali. Diharapkan situasi selepas PRU ke-13 mampu berubah; atau sekali lagi, rakyat akan dihidangkan dengan segala bala benda yang boleh dipolitikkan.

Letih.

No comments: