Setelah pihak penyokong Husam Musa membuat demonstrasi kecil-kecilan, pihak Anwar membuat demonstrasi besar-besaran, Azmin Ali pula buat sidang akhbar yang 'mengejutkan.' Kalau nak diikutkan, tak ada terkejut mana pun beliau membuat sidang akhbar sebegitu. Kalau dulu, Azmim Ali jualah yang dikatakan sebagai dalang yang menyebabkan tindakan ganas pada Bersih 3.0 sehingga mencederakan sekian orang dan merosakkan harta-benda awam dan sekurang-kurangnya sebuah kereta peronda polis. Tapi kini, dalam twitternya yang 'dihebohkan' oleh media massa arus perdana, beliau menuliskan kata-kata yang amat bertentangan dengan tindak-tanduk bosnya yang mengheret rakyat untuk membantah keputusan PRU ke-13. Ada nada daripada tweetnya itu yang seolah-olah mempersalahkan pihak Pakatan/PKR sendiri kerana tidak mampu untuk memenangi PRU kali ini. Kemudian, ada juga nada lain yang seolah-olah tidak setuju dengan gelagat Anwar yang mengajak rakyat untuk berhimpun demi membantah keputusan yang tidak memihak kepada mereka pada 5 Mei lepas.
Media arus perdana kita apa lagi, turut beria-ialah menyiarkan perkembangan tersebut sehinggakan di pihak media alternatif yang mendakwa Azmin Ali akan keluar parti PKR dan masuk UMNO! Secara tiba-tiba, Azmin dijadikan sebagai anti-hero yang menuntut agar 'pemimpin Pakatan menghormati keputusan PRU' dan 'sudah-sudahlah berpolitik, majulah ke hadapan.' Kemudian, berlakulah sidang media yang di dalamnya, Azmin Ali bukannya meletakkan Ketua Umum PKR sebagai sasaran, sebaliknya Wan Azizah pula yang menjadi bahan kritikan. Pelik, aneh bin ajaib! Maka, terkeluarlah 'janji Anwar' bahawa kerusi MB Selangor akan diberikan kepadanya selepas Anwar masuk parlimen pada 2008.
Nada Azmin pada sidang media itu pun sudah cukup membuktikan beliau kini menuntut janji. Nampak sangatlah beliau akan merajuk kalau tak dapat juga jawatan tersebut selepas PRU kali ini. Sementelah pihak PAS dan DAP pula amat merestui agar Khalid Ibrahim terus memegang teraju negeri termaju. Tapi, macam kata Tan Sri Khalid sendiri, manifesto bukannya janji, jadi cakap-cakap Anwar pun bukanlah janji juga.
Apa yang menghairankan ialah betapa Azmin Ali seolah-olah menghalakan kritikan tersebut kepada Presiden PKR, sedangkan turus tertinggi PKR ialah Ketua Umum; bukannya presiden! Sejak bila pula presiden PKR yang menjadi wakil dalam pertemuan pimpinan tertinggi Pakatan? Bukankah Anwar, Lim Guan Eng dan Tuan Guru Sohibul Al-Fadilah Al-Allamah Al-Ustaz Datuk Seri Hadi Awang yang akan menandatangani sebarang keputusan atau persetujuan yang dibuat dalam Pakatan dan bukannya Wan Azizah!
Jadi, Azmin sendiri perlu bermuhasabah diri untuk mengetahui siapa dirinya dalam PKR dan siapa pimpinan tertinggi dalam PKR dan Pakatan. Kalau nak kritik, halakan kritikan kepada orang yang betul, bak kata kalau berlaku gangguan eletrik, takkanlah hendak salahkan Jabatan Pelajaran pula.
Keengganan Azmin untuk tidak hadir ke 'perhimpunan rakyat' pada 8 Mei di Stadium Kelana Jaya tak sekelumit pun memberi impak kepada kehadiran perhimpunan tersebut. Orang ramai tetap hadir (katanya puluh ribu), pemimpin Pakatan tetap berucap dan kesesakan trafik tetap berlaku. Tak ada siapa pun kata, 'Azmin Ali tak datang, tinggal separuh saja yang hadir!' Orang tetap hadir. Mereka yang hadir kesemuanya dengan matlamat yang sama, untuk menuntut agar kemenangan total diberikan kepada Pakatan tanpa kompromi. Jadi, kalau Azmin rasakan beliau tak hadir memberi impak kepada kehadiran orang, maka beliau sekali lagi perlu menilai dirinya di sisi pimpinan tertinggi PKR dan Pakatan.
Azmin juga menyeru agar kesemua pihak (terutama Pakatanlah kot...) maju ke hadapan dan kini menyelesaikan masalah rakyat. Misal di Selangor, sampah tak angkat, bekalan air terputus, jalan berlubang, banjir kilat dan segala balanya telah dan masih berlaku. Pada masa inilah, Pakatan perlu membuktikan mereka berkhidmat dan menyelesaikan masalah rakyat (dalam tweetnya, 'mempedulikan rakyat'). Nampaknya, Azmin Ali masih kanyiar dalam politik memerintah seperti di Selangor. Sejak bila pula dengan menyelesaikan masalah rakyat, rakyat akan menyokong parti tersebut terutamanya selepas 2008?
Rakyat di Selangor misalnya tidak pernah melihat sampah tak angkat, air tak ada sebagai masalah kepada mereka; sebab itulah mereka memberikan undi yang besar kepada Pakatan dengan majoriti dua pertiga! Jalan lubang bukannya masalah untuk rakyat sebab yang bermasalah bukannya rakyat, tapi jalan! Bekalan air tak cukup, salah SYABAS dan kerajaan persekutuan, bukannya kerajaan negeri. Kalau kerajaan negeri berjaya beli SYABAS, selesai masalah. Settle masalah dengan teknologi membran apa ke bagai. Dua puluh meter padu tetap percuma walaupun kepada yang tertentu sahaja. Sampah? Tak apa, rakyat tak pernah melihat sampah sebagai masalah kerana yang bermasalah ialah sampah, bukannya rakyat! Kalau ada pun, isu-isu tersebut ialah isu-isu terpencil yang diperbesarkan oleh BN dalam media arus perdana!
Azmin Ali tak perlu risau kerana lihat sahaja tempat anak bosnya di Lembah Pantai. Raja Nong Cik dah buat segala-galanya untuk Nurul Izzah dan akhirnya, rakyat tetap memilih PKR. Contoh klasik, lihat sahaja Kelantan. Tetap di bawah PAS kerana rakyat negeri itu mencari kebahagiaan ukhrawi di bawah lindungan Kaabah. Begitulah juga yang akan terjadi kepada Selangor. Kerajaan BN akan terus membantu dan menyelesaikan 'masalah' (yang bukan masalah pun) yang berlaku di negeri itu tapi rakyatnya tetap tak anggapnya sebagai masalah atau tak termakan budi. Malah, rakyat tetap mahukan perubahan dengan 'Ubah' dan sokong Pakatan. Rakyat di Selangor menerima seadanya bahawa manifesto bukannya janji dan mereka tak harap pun Pakatan menunaikan janji. Apa yang penting, kerajaan Pakatan dikekalkan untuk kemakmuran, kesejahteraan dan kebajikan rakyat seluruh negeri daripada 'dijajah' kembali oleh kronisme, nepotisme dan ketakcekapan UMNO dan BN. Asal bukan BN!
Intiha, kegiatan Azmin Ali membuat sidang akhbar dan menghentam Presiden PKR sekadar satu lagi sandiwara Pakatan bagi menunjukkan mereka bergaduh sesama sendiri. Mereka melakukan sedemikian bagi memerangkap BN dan UMNO agar terus merasakan diri mereka lebih selesa dan akhirnya, bum rakyat menanamkan tekad untuk mengundi Pakatan! Golongan pengundi muda misalnya, bukannya nak lihat wakil rakyat yang buat kerja. Mereka bukannya menginginkan agar mereka dibelai dengan bantuan kewangan dan program-program yang hebat sampaikan muka mereka masuk TV. Kesemua itu ialah agenda syok sendiri BN yang menyangka orang muda menyokong mereka. Sedangkan yang benar-benar mereka perlukan ialah idealisme perjuangan untuk mendapatkan kerajaan baru yang pada mereka, akan lebih baik daripada kerajaan sebelumnya walau apa pun yang berlaku. Idealisme perjuangan yang membawa kepada utopia itu setakat ini hanya diberikan oleh Pakatan; lantaklah sama ada betul atau pun tidak. Ibarat kata sahabat penulis, ‘asal harga semua barang murah sudahlah, soal sontot ikut depan ke belakang, lain cerita!’
Dan itulah yang Azmin Ali tak faham/buat-buat tak faham. Janganlah sebab tak jadi MB, tiba-tiba nak hentam Pakatan pula!
2 comments:
Semua rakyat Malaysia membayar cukai Melayu,cina,India dll bangsa. kami tak mahu wang cukai yang kami bayar disalah gunakan oleh kerajaan yang memerintah. Kadar inflasi yang tinggi menunjukan kerajaan yang memerintah tak cekap harus kah kita pilih lagi. Kau tu dah beli rumah ke belum ? kalau belum itu menunjukan kau tak mampu walaupun berpangkat.
Terima kasih saudara Raduan. Penulis pun menginginkan utopia kecekapan kerajaan dan moga-moga kalau berlakulah sebarang 'peralihan kuasa' rakyat mampu menikmatinya.
Namun, soal korelasi antara aku dah beli rumah dengan pangkat aku tu kau tak payah nak campur. Aku pun tak sentuh dalam tulisan aku ini.
Kau tau ke aku ada pangkat ke tak? Aku pun tak kenal kau, tak tau pangkat kau. Dah tu kalau aku dah beli rumah,kau nak kata apa pula? Kalau aku ada rumah tapi aku tak de pangkat, apa pulak yang kau nak kata?
Post a Comment