Saban tahun, bulan Mei merupakan satu bulan yang penuh dengan "Hari Sambutan"; Hari Pekerja, Hari Ibu, Hari Guru, Hari Menuai. Antara hari-hari yang disambut itu, Hari Pekerjalah yang paling signifikan sekali untuk hampir keseluruh rakyat Malaysia – yang bergelar pekerja. Selain daripada diberi cuti, sambutan peringkat agensi kerajaan, syarikat turut diadakan di peringkat negara dengan acara penyampaian hadiah dan penghargaan. Tema untuk sambutan juga diwar-warkan; bagi tahun ini temanya adalah Keranamu Malaysia Maju, satu tema yang pada penulis menghimpunkan segenap hasrat pekerja di Malaysia – pengiktirafan bahawa kerana pekerja, maka Malaysia negara yang tercinta ini maju. Syabas kepada kesemua pekerja di Malaysia!
Kebetulan pula pada tahun ini, dalam kita menyambut Hari Pekerja, timbul juga satu isu yang secara tidak sengaja dibangkitkan iaitu tentang doktor hospita kerajaan yang ditangkap "curi tulang" oleh salah seorang timbalan menteri baru-baru ini. Lanjutan daripada itu, menteri yang bertanggung jawab dengan tidak teragak-agak terus membela doktor dengan menyatakan bahawa perkara tersebut adalah satu salah faham. Selain itu, terdapat juga maklum balas melalui surat di dalam akhbar yang ditulis oleh doktor-doktor kerajaan menceritakan kesukaran dan tekanan yang dihadapai oleh doktor kerajaan dan betapa rakyat Malaysia begitu bertuah kerana mendapat perkhidmatan doktor kerajaan yang murah, ubatan murah, "anak disambut oleh doktor" yang berdedikasi, salinan x-ray yang murah perkhidmatan pakar yang murah dan sebagainya. Bandingan dengan perkhidmatan doktor diluar negara juga dibuat apabila isu insurans kesihatan mengekang sebahagian rakyat mereka daripada mendapatkan khidmat kesihatan.
Sekali lagi, penulis mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada doktor kerajaan. Tetapi janganlah ambil hati sangat kalau pesakit tidak ucap terima kasih; sedangkan kita pergi ke bank, marah-marah itu tak kena ini tak kena pun kita tidak pula hendak "berterima kasih" dengan pekerja di kaunter bank; negara kita aman, rumah tak dimasuki pencuri, perompak kena tangkap; kita tidak pula jumpa setiap polis hendak ucap terima kasih, apakah doktor kerajaan merasakan bahawa khidmat mereka tidak dihargai – sedangkan perofesion lain pun mengatakan perkara yang sama?!
Sebab itu, walaupun dilihat sebagai satu isu yang berasingan, penulis cenderung untuk mencantumkan isu itu dalam satu perbincangan – isu pekerja/penyedia perkhidmatan dalam menghadapi tuntutan memenuhi kepuasan pelanggan sedangkan dirinya sendiri tidak berpuas hati. Doktor misalnya perlu memenuhi tuntutan pesakit –hendak sembuh, hendak rawatan pantas, hendak rawatan murah, hendak bersalin sebaik mungkin sedangkan doktor sendiri berkorban masa, tenaga dan emosi menghadapi karenah pesakit, gaji yang ala kadar, persepsi buruk pelanggan terhadap hospital kerajaan, tidak diberi ucap terima kasih oleh pesakit.
Namun, dari satu sudut, adakah doktor sahaja yang menghadapi ketidakpuasan pelanggan dan ketidakpuasan dalam diri setelah perkhidmatan diberikan? Guru juga memperjuangkan perkara yang sama dalam konteks yang berbeza – disiplin pelajar, tekanan hendak menghasilkan lulusan berbelas A atau setidak-tidakpun cemerlang, kena jaga aktiviti ko kurikulum lagi, urusan pentadbiran lagi. Sedangkan masyarakat asyik memandang serong tugas guru – tak tahu mengajar, rotan melampau-lampau, guru cetek ilmu, pengajaran dan pembelajaran yang tidak berkualiti, guru makan berdiri, murid makan berlari.
Malah, penulis lebih mengambil berat tugas polis – tangkap salah, tidak tangkap pun salah; saman salah tak saman pun salah; pukul salah, tak pukul pun salah – sedangkan mereka pun boleh juga meluahkan rasa tidak berpuas hati yang sama – jadi peronda tengah malam buta – demi menjamin keselamatan penduduk, tapi penduduk maki semacam sebab kononnya mengganggu privacy penduduk pula, kes bunuh tidak dapat diselesaikan – dikatanya polis tidak cekap, hendak suraikan tunjuk perasaan dituduh sebagai barua kerajaan; mendakwa orang penting dalam politik dituduh polis implant bukti, semasa berlaku bencana (seperti tanah runtuh) mereka berjaga siang malam – mangsa pula menuduh polis yang curi barang rumah mangsa – atau polis tidak jaga rumah mangsa yang sudah runtuh.
Kalaulah tukang sapu sampah pun mempunyai mentaliti yang sama, nescaya dalam akhbar pun mereka hendak suarakan perasaan dihati – penduduk Malaysia tak reti-reti buang sampah di tempat yang betul, kalau sampah sudah bertimbun, makin ditimbunkan lagi sampah tersebut, gaji tukang sapu sedangkan mereka hari-hari membanting tenaga menyapu sampah. Oleh sebab itu, memang pelbagai sekali ketidakpuasan hati yang kita boleh luahkan apabila kita bercakap isu kerja. Belum lagi isu naik pangkat, naik gaji, kontrak kepada tetap – semua kita boleh perjuangkan.
Kita boleh terpekik terlolong tentang jasa kita kepada orang lain, namun siapakah kita hendak terpekik terlolong kalau kerja pun tidak ada? Kita boleh kata orang lain bertuah sebab mendapat perkhidmatan kita; namun siapakah kita kalau kita hendak berkhidmat pun, orang tidak sudi menerima perkhidmatan kita. Kita boleh luahkan betapa kita telah begitu dedikasi dalam kerja tetapi tidak dibayar secukupnya, tetapi siapakah kita kalau kitalah orang yang ke hulu ke hilir untuk mencari kerja, gaji pun tiada; apa yang hendak kita perjuangkan?
Kadang kala, kita sendiri tidak tahu betapa bertuahnya kita kerana mendapat apa yang kita ada. Lalu kita bandingkan apa yang kita tiada dengan orang lain yang ada; atau kita zahirkan betapa kita telah buat sebaiknya untuk orang lain namun orang lain tidak menghargai kita. Semua orang ada isu, semua kerja ada isu – namun untuk benar-benar memahami isu tersebut, cuba tanya diri kita – sebab apa kita hendak berkhidmat sekian-sekian. Sebab apa aku hendak jadi doktor; sebab apa aku hendak jadi polis; sebab apa aku hendak jadi guru; sebab apa aku hendak jadi pensyarah; sebab apa aku jadi pekerja kaunter bank; sebab apa aku jadi ini dan itu. Kalau keadaan dan situasi kerja tersebut tidak menggambarkan sebab kita menyertainya – maka berhenti sahajalah. Atau carilah organisasi lain yang akan menghargai kita. Atau kalau kita tidak berpuas hati sangat dengan apa yang kita ada dan sumbangkan; cuba kita renungkan apa yang orang lain telah berikan dan sumbangkan kepada kita.
Sekadar renungan, dari mata seorang penganggur....
P/s: Untuk semua pekerja Malaysia tidak kira siapa, dan apa pangkat – Selamat Berkhidmat untuk Rakyat!
No comments:
Post a Comment