"Bos!" sapa sahabat penulis. "Bos mesti gembira punya," sambungnya lagi dengan wajah yang cukup berseri-seri. Penulis pada asalnya tidak berapa tangkap apakah yang begitu menggembirakan beliau sehingga riak wajahnya, senyumnya begitu lebar. "Kau tak perasan ke, Bos?" tanya beliau kepada penulis. Penulis merenungnya dengan mata yang berkerut. "Aku dah berhenti, Bos," ujarnya lagi menjawab kekeliruan penulis; sekali lagi dengan senyuman yang cukup menggambarkan beliau begitu riang; mungkin tahu bahawa penulis juga akan menyambut kata-katanya dengan riang juga. "Part of it is because of her," terang beliau kepada penulis. Sahabat penulis sudah BERHENTI MEROKOK!
Memori tersebut tergamit tatkala penulis dan rakan-rakan sekuliah penulis melalui hadapan The Mall yang menjadi tempat tumpuan persinggahan bagi mereka yang hadir ke PWTC untuk Pesta Kerjaya – anjuran Kementerian Pengajian Tinggi. Penulis dengan jelas dan nyata memerhatikan gelagat belia/remaja – perempuan pulak tu ! – dengan tidak segan silu menyalakan sebatang rokok lalu menghisapnya – dan hal demikian bukanlah kali pertama penulis bertemu dengan situasi tersebut.
Kini, bukanlah sesuatu yang aneh apabila kita dapat memerhatikan gelagat wanita merokok. Lelaki lebihlah lagi. Harga sekotak rokok keluaran BAT yang dikatakan rokok standard telah meningkat dari RM5.00 kepada RM 9.00. Kalau dahulu, tatkala rokok "bukak" masih dijual, sekotak rokok 20 batang dengan harga 50 sen sebatang – maka keuntungan yang diperoleh dengan menjual "rokok bukak" ini adalah 100%. Sekarang ini, sebatang "rokok bukak" yang dijual secara haram mungkin mencecah RM 1.00 sebatang bagi mendapatkan keuntungan yang sama.
Mungkin apa yang kurang diketahui oleh pelanggan adalah keuntungan bagi satu karton rokok "standard" RM 9.00 (harga kini) adalah sekotak rokok! Maknanya, keuntungan bersih bagi sekotak rokok adalah kira-kira dua batang rokok! Sebab itu, kalau pemborong rokok hendak mengadakan urus niaga, ada diantara mereka yang akan bertanya, "hendak anak atau pun tidak?" iaitu sama ada pekedai ingin rokoknya ditolak mengikut harga borong atau pun ingin keuntungannya dalam bentuk sekotak rokok!
Harga rokok semakin naik; perokok tidak pula dengarnya semakin berkurang. Walaupun mereka berungut; tetapi mungkin atas faktor "siapa yang hendak menyokong perjuangan ini" maka mereka tidak pula hendak membuat bantahan atau piket atau tunjuk perasaan jalanan bagi menyeru kerajaan menurunkan harga rokok. Tidak dinafikan ada diantara perokok yang berjaya berhenti merokok, tidak kurang pula yang mula berjinak-jinak dengan rokok, atau yang berhenti tetapi selepas itu merokok semula.... namun, penulis akui berhenti merokok bukan mudah!
Penulis bercakap bukan atas dasar penulis telah berhenti merokok, atau merokok; sedangkan penulis sebenarnya tidak pernah merokok. Namun, melihat rakan-rakan dan kenalan penulis yang merokok, maka tidak sukar untuk membuat kesimpulan bahawa betapa sukarnya hendak berhenti daripada merokok. Hampir 70 peratus rakan penulis yang lelaki adalah perokok dan daripada pelbagai jenis – yang murah, yang mahal, light, menthol, menthol light, king size, kretek dsb. Kesemuanya mempunyai citarasa sendiri. Ada dikalangan rakan penulis yang kononnya sanggup makan nasi berlauk garam sahaja semata-mata mengikat perut untuk membeli rokok!
Dan rakan-rakan penulis juga terdiri daripada mereka yang boleh dikatakan sebagai "belia" – ada yang ibu bapa tahu yang mereka merokok, ada ibu bapa yang tidak kisah, ada yang ibu bapa tahu yang mereka sudah berhenti merokok – tetapi diorang tak tau pula yang anaknya yang sudah berhenti itu sebenarnya kembali semula merokok! Macam-macam jawapan yang penulis peroleh apabila tanya "Mak ayah tau ke kau merokok?"
Merokok sebenarnya satu perangai – bukan terlalu sangat sebagai satu ketagihan. Kata pembantu kedai penulis yang telah berhenti merokok, "Adik, diorang yang hisap rokok tu sebetulnya action je lebih. Kononnya tak boleh tahan kalau lepas makan tak hisap; mana ada! Itu semuanya eksyen je lebih, lepas sedut pof, pof keluar.... ketagihnya bukan pada dadahnya, tapi pada perangainya!"
Beliau sendiri memakan masa yang amat lama untuk meyakinkan dirinya sendiri bahawa merokok tidak memberi faedah kepadanya. Akhirnya beliau berjaya juga berhenti dan masuk 2009, sudah hampir lima tahun beliau berhenti merokok. Mungkin ada betulnya kata-kata beliau, walaupun perokok mungkin tidak setuju. Namun, kandungan tar, nikotin dalam rokok masih rendah andai dibanding dengan di Indonesia, misalnya. Nikotin pula adalah sejenis alkaloid membantu merangsang katekolamin dan serotonin; neurotransmitter yang biasanya dikaitkan dengan mood dan tekanan darah. Oleh sebab itu, mereka yang menghisap rokok kononnya (dan memang benar dari segi kimia) dapat "mengurangkan stres" sedangkan kesan yang sama daripada pelepasan neurotransmitter terbabit adalah peningkatan tekanan darah (secara paradoksnya – menambahkan stres?!?)
Apa yang penulis nampak adalah proses berhenti merokok – sangat-sangatlah sukar dan sangat-sangat menuntut sokongan moral dan motivasi kendiri bagi perokok itu sendiri. Sebagaimana yang telah penulis bicara pada awal tadi, rakan penulis "berjaya" berhenti merokok disebabkan sokongan oleh kekasihnya yang menyokong sangat-sangat agar beliau berhenti. Sokongan tersebut, dicampur dengan keinginan dalam diri yang benar-benar kuat, barulah seseorang itu boleh berhenti merokok. Tanpa keinginan, azam, iltizam, ikhtiar dan sokongan yang kuat, memang sukar sebenarnya seseorang itu hendak berhenti merokok.
Walaupun kempen gambar-gambar mengerikan dijalankan; walaupun kempen melalui kewangan hebat diperkatakan; walaupun kempen tentang dampak kesihatan diwar-warkan, berhenti merokok merupakan satu proses kendiri yang memerlukan keazaman dan keikhlasan diri sendiri untuk melakukannya. Belum tentu seseorang pakar motivasi mampu memberhentikan seseorang itu daripada ketagih rokok; kalau tak kena caranya. Namun, dengan keazaman diri sendiri dan sokongan yang tersayang, boleh jadi seseorang itu boleh berhenti merokok.
Lebih daripada itu, berhenti merokok merupakan satu perkara; kekal untuk tidak merokok adalah satu perkara yang berbeza. Seseorang boleh berhenti atas sebab sesuatu, dan boleh mula kembali merokok akibat tekanan, stres, kehilangan sokongan dan sebagainya. Boleh sahaja berlaku kalau seseorang itu berhenti kerana "yang tersayang" tetapi kembali merokok akibat berputus kasih dengan "yang tersayang" tadi? Sebab itu, berhenti merokok sebenarnya bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main; malah sebaiknya langkah demi langkah perlu diperkasakan bagi menjemput mereka yang merokok untuk mencuba kehidupan "baru" tanpa rokok.
Dari itu, bagi perokok, cuba-cubalah berhenti merokok; kalau bukan sebab orang lain pun, lakukanlah sebab diri sendiri. Bagi mereka yang mempunyai pasangan yang merokok pula, cuba-cubalah galakkan pasangan agar berhenti merokok. Tak kiralah suami atau isteri, mak budak atau ayah budak, pak we atau mak we, berilah galakan kepada mereka kerana mereka sememangnya memerlukan sokongan tersebut.
Berdoalah selalu agar kita dipermudahkan oleh-Nya untuk berhenti merokok.. Dan tanamkan keazaman agar kita boleh membantu diri kita dan orang lain untuk berhenti merokok.
No comments:
Post a Comment