Penulis bersyukur kerana berada di negeri yang tidak menghadapi rampasan kuasa - walaupun kadang kala tempias beritanya begitu mengujakan. Selangor walaupun diperintah Pakatan Rakyat, kerajaan negeri masih lagi stabil - sedangkan selalu kedengaran ura-ura tentang cubaan-cubaan untuk menggulingkan kerajaan sedia ada; skandal lembu, skandal bogel dan sebagainya.
Begitu halnya juga dengan Johor, sebuah negeri yang dahulunya "intan payung" "jantung hati" Barisan Nasional - walaupun pihak pakatan berjaya menembusi jua beberapa kawasan pada PRU yang lepas, negeri tersebut masih lagi mempunyai kerajaan yang kukuh - tanpa sebarang masalah yang besar sehingga memeningkan kepala segenap lapisan masyarakatnya.
Apa yang berlaku di Perak sebenarnya menuntut kita menginsafi bahawa walau parti mana yang hendak melakukannya - jalan belakang tetap jalan yang membawa kemusnahan dan menyusahkan diri sendiri. Perkara yang sama juga mungkin akan berlaku seandainya apa yang dicanang oleh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan melalui cara belakang i.e. lompat parti hanya mendatangkan keburukan lebih daripada kebaikan dan kepuasan memegang tampuk pemerintahan.
Namun, disebalik teriakan 16 September yang dibawa oleh Anwar, kerajaan PR Perak pula yang tiba-tiba terguling dek angkara keluar parti oleh beberapa orang wakil rakyat PR. Dan kini, setelah perkara tersebut dibawa ke mahkamah, keputusan yang diterima lebih membawa kekeliruan kerana Nizar Jamaluddin diiktiraf oleh mahkamah sebagai "MB yang sah." Oleh sebab itu, secara automatiklah Dr Zambry telah "terbatal" keMBannya!
Keputusan mahkamah perlu dipatuh. Maka, walaupun agak aneh dan pelik, Dr Zambry dan exco-exconya terpaksa keluar daripada pejabat masing-masing dan kembali - sebagai pembangkang?!
Penulis tidak tahu apakah hasrat MB Perak yang sah yang "baru" untuk negeri Perak. Beliau sebenarnya boleh sahaja untuk tidak membubarkan DUN dan menjadi MB kerajaan minoriti. BN pun perlu untuk melakukan undi tidak percaya MB dahulu sebelum mereka boleh menyingkirkan kembali MB lama yang dah jadi MB baru itu. Terpulang kepada kebijaksanaan mereka-mereka (baca: ahli politik) untuk membuat keputusan.
Sudahnya, sentimen politik yang bergolak di Perak tidak pernah habis. Sudah setahun PRU 12 dan suasana kehangatan politik tidak pernah surut. Apakah kita akan bercerita tentang politik sampai kita menunggu satu lagi serangan selsema babi; baru kita cerita isu yang lain. Sekali lagi, terpulanglah kepada "kebijaksanaan" mereka-mereka (sekali lagi baca: ahli politik) untuk membuat keputusan. Sama ada cakap serupa bikin, atau bersorak kerana telur sebiji. Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment