Thursday, May 28, 2009

Antara Isme

Secara tiba-tiba, isu ini dibangkitkan semula. Tidak tahulah apakah motif disebalik keinginan pihak tertentu membawa semula Chin Peng kembali ke Malaysia, namun isu sebegini pasti mengundang pelbagai pandangan; sama ada menyokong mahupun membantah cadangan tersebut. Selain itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa terdapat organisasi yang sedang menyuburkan semula benih-benih komunisme juga mengundang pelbagai reaksi. Hal ini juga secara tidak langsung akan menimbulkan persoalan – siapakah yang cuba "menghidupkan kembali" ideologi komunis tersebut?

Kisah kekejaman komunis adalah satu episod yang tidak boleh diringkaskan dalam satu jurnal sahaja. Acap kali semasa sambutan Hari Merdeka, kisah tersebut juga merupakan antara kisah-kisah yang selalu diceritakan bagi penghayatan generasi akan datang (selain daripada kekejaman tentera Jepun). Dan sehingga kini, kita masih dimomokkan dengan betapa kesan tinggalan ideologi komunisme masih lagi tidak pupus dan sentiasa cuba disuburkan oleh pihak-pihak tertentu. Sama ada motif politik ataupun tidak, perkara sebegini seharusnya dipandang serius oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab kerana gagasan komunis satu masa dahulu yang menimbulkan keganasan dan huru-hara yang masih lagi meninggalkan kesan bagi mereka-mereka yang pernah merasai zaman tersebut.

Bagaimanapun, sesuatu yang unik tentang "kebangkitan" semula isu ini adalah betapa isu tersebut secara tidak langsung membawa kita kepada tesis Fukuyama iaitu "berakhirnya sejarah" dengan keruntuhan idealisme lain selain demokratik liberal.[1] Andainya benar semangat komunisme masih bertapak di dalam dunia ini, maka bolehlah disimpulkan bahawa "sejarah masih belum tamat?!" Oleh sebab itu, apakah hal ini menunjukkan bahawa gagasan liberal dan demokratik yang dipopular dan dibangunkan oleh barat sebenarnya gagal sama sekali untuk mewujudkan kesaksamaan dan kesejahteraan di dunia ini? (Sudah terang lagi bersuluh – selepas Perang Dingin, terdapat berpuluh-puluh lagi perang yang didalangi oleh kuasa besar Barat dan mereka i.e. Barat yang berteriak kepada dunia bahawa mereka adalah juara demokrasi itu sendiri membawa huru-hara ke dalam negara orang lain!)

Isu berkaitan komunis, demokratik, liberal, sosialis adalah isu yang berkait dengan ideologi, walaupun kadang-kala isu tersebut kelihatan bertembung antara satu sama lain – seperti demokrasi dan liberal. Apabila menyentuh kepada isu ideologi/isme ini, penting sekali untuk kita kembali kepada sejarah ideologi itu sendiri sebelum kita membuat kesimpulan yang konklusif atau kita dapat membuat perbandingan antara satu dengan yang lain. Adalah tidak adil seandainya kita bercakap tentang satu fahaman/ajaran sedangkan kita tidak tahu asas/basis atau fundamental kepada fahaman/ajaran tersebut.

Sebagai contoh, Islam. Ramai dikalangan barat yang bukan Islam melihat Islam dari perspektif yang salah – tidak adil, berat sebelah, kejam, suka berperang, menindas wanita dan sebagainya. Namun, kesimpulan demikian pastilah pada umat Islam adalah kesimpulan yang berat sebelah kerana asal-usul Islam dan pembinaan ketamadunan Islam adalah jauh daripada nilai-nilai negatif tersebut. Malahan, andai dibandingkan dengan zaman pertengahan barat, Islam sangat-sangat menghormati tradisi keilmuan dan pembangunan sains berbanding dengan "konspirasi kegerejaan" tentang perkembangan sains pada ketika itu.[2] Mengapakah pandangan negatif terhadap Islam ini yang lebih ditonjolkan berbanding dengan kecemerlangan dunia Islam sebenar?

Hal ini sebenarnya boleh dikaitkan dengan betapa keengganan pihak tersebut membuat kajian secara terperinci terhadap Islam; dari aspek teologi, sejarah, rangka keilmuan, falsafah. Sebaliknya mereka hanya bergantung kepada padangan umum dan pemerhatian bias masa kini bahawa Islam adalah ajaran yang menuntut kepada peperangan, kekejaman. Lebih daripada itu, pandangan masa kini juga lebih bias terhadap barat sehingga menyebabkan barat begitu takut dengan Islam. Penduduk Palastine yang berjuang untuk mendapatkan hak mereka kembali dikatakan penceroboh/pengganas. Rakyat Iraq yang inginkan pemerintahan sendiri pun dikatakan pengganas.

Oleh sebab itu, amat penting untuk kita mengetahui apakah yang belaku disebalik kewujudan sesuatu isme itu. Kita tidak boleh dengan sewenang-wenang melabel itu sekular dan ini sekular sedangkan akar kepada sekularisme itu tidak kita kaji dengan mendalam. Sekular sebenarnya datang daripada latar belakang kegerejaan dan tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan Islam. Begitu juga dengan istilah reformasi yang dilaung-laungkan sebelum ini – juga mempunyai konotasi kegerejaan.

Maka, begitu juga dengan komunis, kita seharusnya tahu latar belakang kewujudannya sebelum kita dengan mudah melabel itu komunis dan ini komunis. Hal ini bagi menjamin bahawa kita benar-benar faham ideologi komunis dan dapat mengetahui mengapa ideologi sebegini cuba dihidupkan semula dan bagaimanakah caranya kita dapat mengatasi kemaraan ideologi sebegini. Apabila kita cuba memahami sejarah ideologi ini bukan bermaksud kita hendak menganut ideologi tersebut! Sebaliknya, pemahaman kita itu yang sebenarnya menjadi kekuatan kepada kita untuk menangkis serangan sama ada secara fizikal atau saraf sesebuah ideologi/isme.

Lebih baik lagi, seandainya umat Islam sendiri dapat menghasilkan pemahaman tentang isme-isme ini menurut kaca mata Islam sendiri. Sebagai contoh, usaha seminal yang dilakukan oleh Syed Naquib Al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism [3] yang melihat sekularisme dan sekularisasi dari sudut pandangan Islam. Oleh sebab itu, adalah penting untuk kita membuat kajian mendalam sebegini bagi mengetahui apakah perspektif Islam terhadap isme-isme yang berada di sekeliling kita. Memetik kata-kata Nasr, "Dunia barat telah melahirkan banyak orientalis bagi mengkaji Islam dari kaca mata mereka, akan tetapi, dunia Islam melahirkan terlalu sedikit oksidentalis yang dapat mengkaji pelbagai aspek ketamadunan barat dari sains kepada kesenian, dari agama kepada kelakuan sosial; dari kaca mata Islam (from the Islamic point of view).[4]"

Oleh yang demikian, tuntutan sebegini seharusnya kita dapat penuhi supaya pemahaman kita lebih baik dan usaha dakwah kita lebih berkesan. Moga-moga Tuhan permudahkan atas segala usaha kita.

____________________________

Nota hujung


 

1Francis Fukuyama, The End of History and The Last Man, Free Press, 1992. Layari wikipedia bagi mengetahui secara kasar tesis yang dibawa dalam buku ini.

2 Hal ini bukan rahsia. Pada kurun ke-17, berlaku pertelingkahan hebat antara pihak gereja dan pihak yang membawa pandangan baru tentang heliosentrik iaitu teori tentang bumi sebenarnya yang mengelilingi matahari dan bukannya sebaliknya. Teori heliosentrik ini bertentangan dengan kepercayaan yang paling hampir dengan ajaran gereja iaitu geosentrik – matahari mengelilingi bumi. Peristiwa sebeginilah yang membawa idea kepada ahli falsafah sains, Thomas Samuel Kuhn bahawa pemikiran kegerejaan dan pemikiran ahli sains pada ketika itu adalah berbeza dari segi paradigmanya. Maka, apabila paradigma lama tidak dapat diselamatkan lagi, berlakulah "anjakan paradigma" atau "gestalt switch" antara matrik sains yang lama kepada matriks sains yang baru. Baca The Structural of Scientific Revolution, University of Chicago Press, 1962 untuk maklumat lebih lanjut. Versi Bahasa Melayu buku ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah tajuk Struktur Revolusi Saintifik.

3 Cetakan Pertama, 1978. Cetakan kedua oleh ISTAC, 1993.

4 Seyyed Hossein Nasr, A Young Muslim's Guide to the Modern World, 2nd Ed., Kazi Publication, 1994. Juga terdapat terbitan Islamic Text Society, Cambridge.

No comments: