Mungkin ada yang mempersoal mengapkah seorang yang mempunyai asas biologi mempelajari statistik. Apakah kaitannya statistik dengan biologi itu? Mungkin kompartmentasi pembelajaran telah menyebabkan stigma sebegitu sering dizahirkan. Sedangkan dalam apa hal pun, segala-galanya ada kaitan – Sama ada fizik dengan biologi, biologi dengan matematik, kimia dengan fizik, sains sosial dan sains tulen. Namun, disebabkan kompartmentasi itulah yang menyebabkan apa yang sepatutnya ada kaitan nampak seperti tiada kaitan.
Malah, asas kepada statistik moden seperti ujian ANOVA, taburan F, rekabentuk ujikaji (DoE) dibangunkan oleh ahli biologi – lebih tepat lagi seorang ahli genetik – Roland Fisher. Dari sudut lain pula, penemuan Watson dan Crick (struktur helix ganda dua) pula adalah penemuan bersama seorang ahli biologi (Watson) dan ahli fizik (Crick) – juga melibatkan hubungan merentasi disiplin ilmu pengetahuan.
Akan tetapi, kaedah DoE misalnya kini lebih dekat dikaitkan dengan statistik, kejuruteraan berbanding biologi. Statistik pula dikaitkan dengan matematik dan bagi pengkaji sains sosial dan sains tulen cuma "mengaplikasikan" sahaja statistik dalam kerja mereka. Begitulah keadaannya sekarang ini.
Penulis ada mempelajari biostatistik semasa tahun pertama pengajian sarjana muda; kalau tidak, alamatnya memang habis pengetahuan matematik dalam kehidupan penulis. Akan tetapi, apabila mempelajari Master Kualiti dan Produktiviti, statistik sekali lagi bermain-main difikiran penulis. Hendak buat macam mana? Banyak aspek yang perlu dibuktikan dengan nombor berbanding pemerhatian sahaja!
Berlaku juga incommensurability semasa pembelajaran penulis – SEM kalau dahulu yang penulis tahu cuma scanning electron microscope – mikroskop elektron generasi baru yang membolehkan kita melihat spesimen (seperti mikrob atau sel) dalam keadaan 3D (berbanding TEM yang hanya membolehkan spesimen dilihat dalam bentuk 2D. Sesudah buat Master pula, satu lagi istilah SEM yang penulis temui iaitu Structural Equation Modeling – model persamaan berstruktur khusus untuk analisis regrasi berganda. Itulah alatan yang perlu penulis gunakan untuk projek tahun akhir penulis. Pening juga hendak menganalisis menggunakan SEM ini!
Belajarlah ilmu yang bermanfaat – moga kita dapat manfaatkannya dalam kehidupan kita dan menjadi nilai tambah kepada kita untuk digunakan dalam sebarang masalah yang timbul. Bagi mereka yang sudah sampai ke tahap tinggi dalam keperluan motivasinya, pembelajaran adalah satu cognitive needs untuk dirinya. Ilmu yang bermanfaat tidak akan sia-sia untuk dirinya...
No comments:
Post a Comment