Khutbah Jumaat minggu ini di Surau belakang kolej kediaman penulis di Bangi cukup panjang dan menarik sekali. Selain daripada ucapan-ucapan tipikal seperti "Kita hendaklah mentaati Allah dan bukannya manusia", atau "seorang Sultan pemerintah dunia juga perlu mentaati dan bertakwa kepada Allah," khutbah pada kali ini menyentuh pekara utama yang dikaitkan dengan satu hari yang bakal disambut - Hari Ibu. Dan cuma dalam konteks yang lebih Islamik, kedua-dua ibu dan bapa adalah insan yang telah difirmankan oleh Allah Taala sebagai yang paling selayaknya diberi "ihsan."(dari satu segi, yang lelaki lebih-lebih lagi dituntut untuk berbakti dan berlaku ihsan kepada ibunya)
Banyak sekali ayat-ayat dalam Al-Quran dan sabda Nabi SAW yang berkaitan dengan tanggung jawab menjaga dan berlaku ihsan kepada ibu dan bapa. Penulis percaya, ramai diantara kita juga ada menghafaz ayat-ayat dari Surah Luqman (yang menjadi ayat hafazan semasa SPM) yang menyentuh tentang berlaku baik terhadap ibu bapa selagi kedua-duanya tidak mengajak ke arah jalan yang mempersekutui Allah - pun begitu, masih ditekankan pada rangkaian ayat tersebut bahawa kita dituntut untuk berhubungan dan bergaul dengan baik kepada mereka di atas dunia ini (Rujuk Surah Luqman, ayat 14 dan 15).
Dan satu lagi ayat Al-Quran yang sering menitip dibibir penceramah/dirujuk dalam tazkirah berkiatan tanggung jawab kepada ibu bapa adalah ayat daripada surah Isra' yang antara lain intipatinya adalah hendaklah kita berlaku ihsan/berbuat baik kepada ibu bapa dan seandainya mereka telah tua, maka janganlah kita berbahasa kasar kepada mereka (seperti berkata "Ah!" atau "Cis"). Dan kita dituntut bertutur dengan mereka dengan perkataan yang mulia (Surah Al-Isra' ayat 23)
Cuma penulis ingin mengaitkan pula dengan satu Hadis Nabi SAW riwayat Muslim dari Umar Al-Khattab Ra. yang begitu masyhur yang antara lain menyebut "Ihsan ialah mengabdikan diri kepada Allah sebagaimana kita dapat melihat-Nya dan walaupun kita tidak dapat melihat-Nya, Dia sudah tentu dapat melihat kita" (Hadis ini yang digelar sebagai Hadis Jibril yang diletakkan sebagai hadis kedua dalam Matan Arba'in Nawawiyah/Kitab Hadis 40 Nawawi).
Maksudnya, berlaku baik itu sebenarnya mempunyai konotasi keTuhanan yang seharusnya dihayati oleh seluruh umat Islam. Maka lebih-lebih lagi seandainya ihsan itu dikaitkan pula dengan ibu bapa - maka dapat kita insafi bahawa begitu tingginya tuntutan untuk berlaku baik kepada ibu bapa - satu perintah Allah yang membawa maksud pengabdian kepada-Nya.
Sebab itulah banyak sekali kita dengar sama ada ceramah, tazkirah, motivasi yang mengaitkan peranan anak-anak terhadap ibu bapa. Lalu diingatkan lagi seandainya mereka masih hidup, maka berbaktilah kepada mereka dan seandainya mereka telah tiada, maka doakanlah kerahmatan kepada mereka.
Perkara-perkara sebegini sebenarnya tidak perlu kita tunggu wujudnya hari Ibu bapa untuk kita kenangkan. Penulis tidak mengatakan sambutan sebegitu perlu ataupun tidak, namun sewajarnya penghayatannya tidak memerlukan kita menunggu satu "hari" untuk kita kenang dan insafi bahawa merekalah jualah yang berkorban segala-galanya untuk kita menjadi kita pada hari ini.
Sebab itu, perbanyakanlah diri kita dengan satu doa yang ma'tsur dari Al-Quran dan cuba kita hayati maksudnya lalu kita insafi mafhumnya "Ya Tuhanku, ampunilah dosa-dosa ku dan kedua-dua ibu bapaku dan PELIHARALAH kedua-duanya sebagaimana mereka menjagaku ketika kecil"
Moga Allah Taala merahmati kita dan ibu bapa kita. Wallahu waliyuttaufiq.
No comments:
Post a Comment