Wednesday, April 29, 2009

BioCereer dan Pesta Buku

Pengenalan: Pesta buku saban tahun

Sejak tahun dua di UM, penulis tidak pernah melepaskan peluang untuk ke Pesta Buku Antarabangsa yang biasanya diadakan pada bulan April. Walaupun tidak layak digelar "ulat buku", namun, penulis tidak akan melepaskan kesempatan untuk menyertai suasananya di PWTC. Kadang kala, buku-buku yang sukar diperoleh di pasaran mungkin boleh diperoleh di Pesta Buku tersebut. Masuk tahun ini, adalah tahun ketiga penulis ke Pesta Buku (setelah tahun 2008 penulis berada di Johor Bahru selepas tamat pembelajaran di UM. Pada penulis, Pesta Buku, sebagaimana juga dengan PC Fair, merupakan satu medan untuk melihat perkembangan penulisan ilmiah, juga judul-judul ringan dan pelbagai perkembangan daripada kamus elektronik, alatan mempelajari bahasa dan sebagainya.

Tahun ini, Pesta Buku diadakan tatkala penulis sedang menghadapi peperiksaan akhir semester 2 untuk Master penulis. Selain itu, terdapat juga "BioCereer Fair" di KL Convention Centre, maka penulis memperuntukkan satu hari suntuk untuk pergi kedua-dua venue tersebut. Di KLCC, warga yang hadir tidaklah berapa ramai, malah ada sahaja lot-lot untuk pameran yang kosong. Banyak yang hadir adalah dari kalangan graduan menganggur dan pelajar sekolah – lengkap beruniform sekolah mahupun uniform pengakap. Atas sebab namapun BioCereer Fair, maka penulis pun sempat meletakkan resume penulis dibeberapa buah syarikat yang hadir membuat pameran di situ, dengan harapan akan diberi peluang untuk menyertainya. Kita tunggu dan lihat....

BioCereer di KLCC: Pengalaman dan "Pengkonfiusan"

Hadir ke BioCereer memberi imbauan memori kepada penulis yang telah mengambil kursus Biokesihatan di UM. Ada peserta pameran (exhibitor) yang mempamerkan barangan jualan mereka (peralatan diagnosis, skru untuk kegunaan masalah tulang) dan tidak kurang ada yang mempamerkan produk runcit mereka (supplement herba, racun serangga) dan hasil kajian mereka (contohnya Asid Kojik). Bagi yang mempamerkan barang jualan perubatan yang sophistikated, tiadalah penulis mahu memberi komen – cuma dapatlah tahu perkembangan alat diagnostik semasa (semacam auto analyzer). Namun, bagi yang mempamerkan hasil kajian dan jualan, maka itulah masanya penulis menggunakan kapasiti sebagai pelajar Biokesihatan untuk mendapatkan "maklumat yang lebih lanjut."

Di pameran Asid Kojik, beria-ialah pempamer (exhibitors) tersebut menjelaskan bahawa kajian mereka merupakan kajian pertama di Malaysia (sudah semulajadi kita hendak memasarkan produk kita/membentangkan hasil, kita akan katakan kita yang terbaik dan signifikan, bukan?). Selain daripada digunakan untuk kosmetik, Asid Kojik juga dikatakan boleh digunakan sebagai anti-browning untuk buah-buahan – maka dengan menggunakannya bolehlah buah itu tahan lebih lama.

Disebabkan penggunaan untuk kosmetik (sebagai agen pemutih kulit), maka penulis pun bertanya, "Apakah side effect kepada penggunaan Asid Kojik ini ?" Apakah nilai LC50 untuk Asid Kojik ini? Adakah terdapat sebarang adverse reaction penggunaannya?" Maka orang yang mempamerkan itu tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan – "kami tak kaji lagi!" Bagaimanakah kita hendak katakan produk kecantikan itu baik dan selamat sedangkan kita tidak mengkajinya kesan sampingannya lagi? Mujurlah ketika itu, setelah melayan pengunjung lain, seorang lagi pempamer (mungkin yang ini pensyarah atau pengurus projek) pantas menjawab "Currently there are no side effect as far as we concern. We now are at phase 3 and there are no side effects. It is safe."

Nampaknya projek tersebut telah melepasi fasa demi fasa bagi penciptaan drug dan mungkin akan dipasarkan pula pada masa akan datang. Khabarnya, Jepun (sebagaimana namanya pun begitu) merupakan pengeluar Asid Kojik yang terbesar dan melalui kajian ini, Malaysia juga cuba memasuki pasaran Asid Kojik.

Moga-moga usaha ini berjaya. Namun penulis masih lagi skeptikal; seandainya mungkin penggunaan sebagai anti-browning itu tidak memberi kesan ketara, namun, sebagai pemutih kulit, apakah status kulit tersebut (biasanya kulit muka) apabila bertambah putih? Adakah sinaran UV tidak akan menyebabkan kerosakan pada kulit yang semakin putih? Adakah benar kulit yang lebih putih akan lebih rintang terhadap sinar UV berbanding yang tidak? Soalan itu hanya mereka yang mengkaji sahaja yang boleh jawab. Cantik itu satu hal, namun terbuktikah kita bahawa kulit yang lebih putih itu lebih sihat berbanding yang tidak? (satu soalan subjektif kepada wanita yang sememangnya gemar "mencerahkan" wajah mereka).

Tambahan pula dengan pelbagai produk antioksidan (penulis mengkaji antioksidan dalam projek tahun akhir di UM) menyebabkan penulis berasa skeptik keberkesanannya kepada kita. Antioksidan memang boleh bertindak sebagai "agen antipenuaan" namun antioksidan tetap tidak dapat mencegah penuaan per se yang berlaku dalam hayat manusia.(seakan-akan mempersoalkan kajian sendiri pulak!......)

Satu paradoks adalah kita menghirup udara i.e. oksigen untuk pertukaran tenaga di dalam badan (glukosa + O2 ==>Tenaga + CO2+Air), namun, dalam proses pengoksidaan tersebut pula yang juga mengundang pengoksidaan jasad-jasad badan (seperti sel) oleh radikal bebas (free radical) dari udara kita ini untuk "memusnahkan" badan. Dan pada ketika itu, apa yang kita perlukan adalah "anti-pengoksida" sedangkan kita sebagai manusia memerlukan oksigen???? Sudah semestinya kita tidak boleh menyaring yang masuk dalam badan kita hanya "oksigen semata-mata" dan sedangkan kita pun akan keracunan oksigen seandainya kita menghirup oksigen semata-mata!

Lebih pelik lagi apabila ada dikalangan produk dipasaran pula menjual produk yang dioksigenkan, (contohnya air yang dimasukkan oksigen ke dalamnya) sedangkan seboleh mungkin pula, untuk tujuan kesihatan, seeloknya air tersebut adalah air yang anti-oksida kerana yang kita perlukan adalah anti oksidan untuk menghalang pengoksidaan oleh radikal bebas; sedangkan oksigen kita boleh hirup dengan biasa di dalam udara. Soalan sebegini yang bermain difikiran penulis sampaikan penulis tidak tahu "which is which?" Malah, kalau fikir dari segi immunologi lagi pelik – radikal bebas jugalah yang digunakan oleh neutrofil (sejenis sel darah putih untuk pertahanan badan) untuk memusnahkan jasad asing i.e. bakteria dalam badan – jadi radikal bebas ini baik ke jahat?!. Jadi bagi pembaca yang ingin mencabar minda, bolehlah memikirkannya......

Pesta Buku nan Sardin

Hadir ke Pesta Buku merupakan satu perkara yang tidak akan penulis lepaskan. Terdapat beberapa buah buku stok lama yang hanya terdapat di Pesta Buku; penulis sempat mendapatkan beberapa buah buku tulisan Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebelum ini. Namun, mungkin harinya kurang betul (hari Sabtu) maka pengalaman sebaliknya yang penulis rasakan untuk pesta buku kali ini. Suasana bersesak-sesak sehinggakan pendingin hawa tidak terasa hawanya. Bau manusia pula yang lebih terbau.

Secara keseluruhannya, penulis mendapati terdapat tambahan dan kesungguhan penglibatan daripada agensi kerajaan yang terlibat dalam terbitan buku. DBP misalnya menyediakan satu ruangan khas untuk organisasi mereka menjual keluaran mereka. Namun, apa yang penulis dapat lihat adalah betapa penekanan pada tahun ini lebih tertumpu kepada alatan eletronik (seperti CD dan DVD) sahaja. Ada juga buku dijual namun tidak sebanyak yang penulis jangkakan. Mungkin sudah mahu menukar pendekatan jualan di Pesta Buku (kerana mereka juga ada membuat jualan potongan sehingga 80 peratus untuk satu-satu tempoh masa dan pada ketika itu, sudah tentu majoritinya adalah buku!)

Begitu juga penglibatan besar-besaran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM ) sehingga menyediakan hadiah Perodua MyVi kepada pengunjung dan bersilap mata. Penulis tidak mengambil kisah sangat tentang MyVi tersebut namun kaedah tersebut sememangnya menarik minat pengunjung untuk hadir ke booth mereka (tetapi tak tahulah bagaimana dengan menggunakan kaedah tersebut dapat melariskan jualan mereka – mungkin ada caranya yang penulis tak kaji). Pun begitu, dapat dilihat bahawa ITNM begitu bersungguh-sungguh membanyakkan sekali buku-buku terjemahan yang pada penulis merupakan satu perkembangan yang sangat sihat. Antara karya terjemahan Bahasa Melayu adalah karya agung tulisan Herman Hesse, buku kritikan yang mendapat perhatian ramai tulisan Francis Fukuyama iaitu The End Of History and The Last Man dan juga oleh penulis terkenal lain seperti Huntington, Edward Said, Ismail Raji Al Faruqi dan John L. Esposito. Penulis sangat-sangat memuji perkembangan yang sihat ini dan berharap agar institut tersebut akan terus menterjemahkan lagi buku-buku yang signifikan kepada kita contohnya dari penulis lain pula seperti Nasr, Sardar yang bersifat evergreen dan mungkin juga karya agung seperti Shakespeare pula!

Penutup: Cabaran dan Harapan

Walaupun kesardinan pengunjung ke Pesta Buku tahun ini tidak dapat dinafikan, masih banyak aspek yang kita perlu kaji sama ada rakyat Malaysia gemar membaca ataupun tidak. Lebih ramai yang tertumpu di booth komik, novel karya cinta dan majalah hiburan sebenarnya memperlihatkan watak sebenar rakyat Malaysia. Namun, tidak pula dengan keadaan tersebut kita boleh buat kesimpulan bahawa rakyat Malaysia tidak suka membaca buku-buku yang lebih berat. Biasalah, kalau semua orang suka baca buku "karya agung" maka sudah pasti sturktur masyarakat kita pun jadi berbeza! Akan tetapi, apa yang lebih penting adalah penanaman sikap suka membaca itu yang sebenarnya jauh lebih penting berbanding dengan apa yang dibaca.

Kehadiran penulis-penulis juga mencuri perhatian penulis pada Pesta Buku kali ini. Kalau yang lepas, antara yang hadir adalah Datuk Dr Fadzillah Kamsah; tahun ini, mungkin sebab suasana hujung minggu, ramai sekali penulis yang hadir memeriahkan suasana – Malim Ghozali P.K, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dan Azizi Ali antara yang penulis terserempak. Malah, personaliti TV1 – Sayed Munawar pun hadir ke Pesta Buku tersebut. Hal ini sebenarnya memberi peluang kepada mereka mendekatkan diri dengan pembaca buku mereka dan manalah tahu, memberi idea baru kepada mereka untuk menulis apa yang diharapkan oleh pembaca!

Selain itu, penulis sangat berharap agar harga buku yang berada dipasaran ini dapat dikurangkan; lebih-lebih lagi yang diimport. Bukan sebab nak sangat baca buku import, namun ada sesetengah buku (terutamanya buku teks pengajian tinggi) sangat-sangat mahal dan sukar diperoleh. Lagi pula kalau karya tersebut merupakan karya yang lama dan hanya diterbitkan di luar negara. Sebagai contoh, karya seminal Almarhum Prof. Dr Syed Hussein Alatas, The Myth of Lazy Natives, harganya boleh mencecah hingga ratusan ringgit hanya kerana buku tersebut diterbitkan di luar negara. Sepatutnya usaha menterjemahkan buku-buku seminal ini dibuat malah; penerbitan versi Malaysia (dalam bahasa asal pun tidak mengapa) harus diusahakan.

Tuntasnya, perkembangan semasa memperlihatkan terdapat usaha yang dilakukan untuk menggalakkan rakyat membaca, pun begitu, usaha yang berterusan dan penambahbaikan tetap diperlukan dan harus diterap agar kewujudan masyarakat membaca benar-benar menjadi realiti. Bukankah firman Allah Taala yang pertama sekali dinuzulkan ke atas muka bumi ini adalah Iqra' ! – Bacalah kamu!


 

No comments: