Wednesday, April 15, 2009

Diluah mati emak, ditelan mati bapa, dibiar sahaja, semua mati!

Tragedi bas ekspres berlaku lagi dan kali ini enam nyawa lagi melayang gara-gara kemalangan yang disifatkan sangat ngeri itu. Dan sekali lagi kemalangan berlaku berhampiran dengan susur keluar lebuh raya; dan kali ini dilaporkan bahawa pemandu bas utama dan kedua mempunyai saman, waran tangkap. Pemandu bas ekspres bagi laluan perjalanan tersebut atau bagi syarikat tersebut didakwa oleh penumpang sering memandu laju. Dan buat julung kalinya, sekali lagi, tuding-menuding jari berlaku bagi meletakkan kesalahan tersebut ke bahu yang sepatutnya.

Nasi sudah menjadi basi. Kalau ditanak semula pun akan tetap basi. Kalau dicampur ragi awal-awal, bolehlah jadi tapai... Tapi sudah jadi basi, tak boleh ubah dah....Begitulah perumpamaan kes ini. Kalaupun saman/tangkapan/pemenjaraan berlaku, nyawa yang melayang tetap tidak boleh dikembalikan. Yang mati tetap mati. Cuma diharapkan selepas saman/tangkapan/pemenjaraan itu, yang lain boleh ambil ikhtibar – tapi, apakah ikhtibar yang boleh diambil?

Setelah asyik puas dipersalahkan, akhirnya syarikat bas, persatuan pengguna, kesatuan pekerja kini mempersoalkan pula mengapakah JPJ dan polis tidak bertegas dalam mengambil tindakan? Sudah ada waran tangkap, kenapa tidak ditangkap? Beginilah adat salah-menyalahkan. Tidak siapa yang ingin menerima kesalahan. Penulis setuju juga dengan teguran/pangacuan kesalahan tersebut, namun, adakah kita semua hendak menerimanya? Adakah kita daya untuk menghadapi road block yang mungkin akan memakan masa berjam-jam untuk tangkapan/saman dibuat? Demi membersihkan drebar bas daripada dibiarkan melakukan kesalahan, adakah semua orang perlu menanggungnya. Bukankah dahulu kita juga yang mengadu bahawa tindakan JPJ menahan bas menyusahkan semua orang?

Bagaimana pula dengan keluarga pemandu bas? Pasti ada juga suara yang menyeru agar kita memikirkan kehidupan mereka yang tidak menentu. Gaji berdasarkan trip. Nasib mereka juga perlu diperjuangkan...

Sebab itulah penulis syorkan dibuat satu KAJIAN MENYELURUH tentang pengangkutan awam di Malaysia dari bas ekspres, bas henti-henti, LRT, kereta api, kapal terbang, komuter.

Sebagai makluman, tahun lepas masa pergi satu ujian untuk memasuki perkhidmatan awam (penulis tak lulus ujian itu...) salah satu perkara yang dibincangkan dalam ujian tersebut adalah tentang perkhidmatan pengangkutan awam. Macam-macam "hentaman" bergeliga yang diluahkan oleh peserta ujian tersebut; pintu bas tak cukup besar lah, tempat duduk untuk warga emas dan orang kurang upaya tidak disediakanlah, penduduk berasak-asak lah... kes kemalanganlah...

Disebabkan masa itu penulis masih mentah, jadi penulis pun terikutlah flow perbincangan "ala parlimen" tersebut (penulis penyokong kerajaan – jadi kena menyokong bahawa perkhidmatan awam Malaysia kononnya baik.) TANPA LANGSUNG MENGELUARKAN INPUT PENAMBAHBAIKAN YANG LOGIK DAN BOLEH DIPRAKTIKKAN. Kalau setakat pintu bas besar mana pun hendak kita jadikan perdebatan ala parlimen, penulis kira kita sudah mensalahtafsirkan fungsi parlimen itu sendiri!

Penulis ingin mengutarakan beberapa penyelesaian praktikal yang boleh kita fikirkan dalam hal mengurangkan kemalangan bas ekspers; salah satu daripadanya ialah penanda-arasan (benchmarking – ada yang menterjemahkan pengukur-taraan, penulis lebih gemar istilah pertama).

Kita sedia maklum bahawa bukan semua syarikat bas ekspres yang mengadapi masalah kemalangan maut memanjang – ada syarikat yang mempunyai track record yang baik. Oleh yang demikian, salah satu cara untuk menyelesaikan masalah syarikat yang menghadapi track record yang buruk tersebut adalah dengan membuat benchmarking dengan syarikat yang mempunyai rekod yang baik. Andai syarikat tersebut tidak mampu/tidak dapat beroperasi sebaik sebagaimana syarikat yang telah menjadi tanda aras, maka lesen untuk syarikat tersebut hendaklah ditarik!

Hal ini bukan sahaja akan mendorong penambahbaikan dalam perkhidmatan, malah, kenaikan harga tiket bagi perkhidmatan juga dapat dirasionalkan dengan peningkatan kualiti perkhidmatan syarikat bas ekspres. Penanda arasan ini akan membolehkan syarikat tersebut berdaya saing dari segi imej dan keselamatan dan mampu memberikan saingan yang sihat bagi memperoleh pelanggan – bukan semata-mata hanya mengharapkan trip yang banyak sahaja.

Selain itu, pihak penguatkuasa pun perlulah lebih aktif menjalankan tanggungjawab bagi membuat tahanan terhadap mereka yang sudahpun diblacklist. Laporan tentang betapa pemandu sekian-sekian mempunyai sekian-sekian saman dan sekian-sekian waran tangkap sebenarnya mencerminkan kelemahan penguatkuasaan pihak berwajib. Kalau sudah ada waran tangkap, buat apa dibiarkan bebas? Takkanlah hendak berlaku kemalangan maut barulah kita bercerita tentang waran tersebut?

Pendek kata, penyelesaian bagi masalah bas ekspres maut ini memerlukan kesepakatan antara semua pihak. Kalau zaman kabinet menteri yang lepas sebuah bas itu terletak dalam penguasaan beberapa kementerian; Kementerian Pengangkutan (bagi JPJ), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (bagi LPKP), Kementerian Dalam Negeri (bagi Polis) – mungkin ada benarnya kita mengurangkan karenah birokrasi tersebut. Banyak sangat menteri untuk sebuah bas!

Penulis juga ada mendapat emel bahawa di kilometer sekian-sekian, memang selalu diletakkan bahan yang boleh membahayakan pengguna lebuh raya di atas jalan (seperti minyak, paku, dan lain-lain) kononnya untuk membolehkan kemalangan dan tukang tarik kenderaan (towing service) akan dapat mengambil kesempatan dari kemalangan tersebut. Penulis kira dakwaan sebegini juga perlu disiasat dan badigol yang terlibat disebalik kejadian sebegini seharusnya dihadapkan ke muka pengadilan atas tuduhan cubaan membunuh –andai benar situasi tersebut berlaku !

Diharapkan mereka yang bertanggungjawab dapat mengambil langkah pratikal bagi menyelesaikan masalah ini. Mungkin cadangan penulis bukanlah satu cadangan yang baru, tetapi kemalangan yang berlaku sebenarnya menunjukan kelemahan ketara yang masih tidak dibuat penambahbaikan. Selain itu, kita juga seharusnya menerima bahawa tindakan penambahbaikan ini pasti akan mendatangkan kesan yang kurang digemari oleh sesetengah pihak – namun yang lebih penting daripada itu adalah nyawa pengguna. Berjuta manapun wang dibelanjakan, yang pergi pasti tidak akan kembali lagi....

No comments: