Monday, April 13, 2009

Najib yang saya tahu

(Peringatan: Artikel ini TIDAK merujuk mana-mana sumber bertulis seperti biografi, autobiografi dan sebagainya. Oleh yang demikian, sebarang perkara yang terdapat dalam artikel ini adalah pemerhatian, ulasan dan pandangan peribadi penulis daripada sumber-sumber sekunder yang tak tahu kesahihannya. Sebarang pembetulan dan teguran dialu-alukan.)

Tatkala itu, laungan "Reformasi" masih segar kedengaran di pelosok negara. Pilihan raya ketika itu merupakan pilihan raya hangat kerana dek isu Anwar ditahan atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa, munculnya parti baru, Parti Keadilan Nasional (sekarang PKR). Pembangkang pada ketika itu dikatakan sebagai sangat kuat. Ya, terbukti juga kebenaran tersebut apabila tumbangnya kerajaan BN Terengganu dan kemenangan tipis kerajaan BN di beberapa buah negeri lain.

Tahun itu merupakan tahun 1999, iaitu tatkala bermulalah era Anwar berjuang di luar UMNO dan BN setelah memasuki arena politik. Tahun itu, banyak sekali keputusan luar dugaan yang dianggap pelik lagi aneh. Tahun itu juga memberikan satu kejutan tak disangka-sangka kepada Menteri Pendidikan ketika itu Najib Tun Razak. Tahun itu ialah tahun di mana beliau mencatat majoriti sekitar 200 undi sahaja untuk Parlimen Pekan untuk pilihanraya umum. Kejut lagi mengejutkan....

Apakah yang menyebabkan seorang menteri yang disukai ramai mendapat majoriti yang begitu sedikit. Sehinggakan penulis mendapat info (daripada orang Pekan sendiri) bahawa kononnya Najib menang dek kerana undi pos yang tetiba datang! (info yang tidak boleh penulis sahkan) Ketika itu, BN dok sibuk suruh buat kiraan semula untuk Chini yang majoriti kepada pembangkang sebanyak 5 undi, tetapi pembangkang meletakkan syarat andai Chini dikira semula, Pekan pun perlu kiraan semula. Lalu, BN terus senyap, tak mahu mengambil risiko! (Penulis tak tahu betul ke tak... kata orangla...)

Begitulah politik, seminit orang suka, belum tentu seminit berikutnya orang suka juga. Naik turun macam roller coaster. Tapi, apa yang mendorong orang Pekan pada ketika itu tidak mahu memangkah Najib pada ketika itu? Najib ada buat salah ke di Pekan? Hanya Allah, Najib dan orang Pekan sahaja yang tau. Selepas pilihanraya itu juga Pak Lah dilantik TPM dan bukannya Najib.... Menarik bukan?

Daripada menjadi Menteri Pendidikan; Najib diletakkan pula ke dalam Menteri Pertahanan. Bagaimanapun, bibit-bibit perkembangan kerjaya beliau masih lagi kurang pudar. Bukankah hampir kesemua PM Malaysia pernah memegang portfolio Pendidikan? (Pelajaran sekarang) Jadi, Najib telah "memenuhi" salah satu kreteria tersebut...Dan selepas Mahathir bersara, Pak Lah melantik beliau sebagai TPM; sebagaimana yang telah diramalkan. Tetapi, ada pula komen-komen yang kononnya terdapat "perjanjian" antara Mahathir dengan Pak Lah pasal jawatan PM.. yang itu penulis tak mahu komen.

Kini, hampir sedekad lamanya peristiwa itu berlaku; Mahathir sudahpun meninggalkan jawatan PM; Pak Lah pun telahpun meninggalkan jawatan PM; bintang Najib semakin menyinar. Dalam usia beliau yang 55 tahun, beliau telah menggantikan Pak Lah. Beliau juga merupakan antara PM Malaysia termuda... mungkin boleh mewujudkan empayarnya sendiri sebagaimana Mahathir (andai tak berlaku rampasan kuasa dan negara Malaysia aman..) Tetapi, apa yang lebih penting ialah bagi setiap orang yang bakal berkuasa mengenangkan sejarah liku kesukaran bagaimana mereka hendak berada di tempat mereka ketika ini. Mahathir pernah kalah dalam pilihanraya; malah pernah "dipecat" daripada UMNO. Pak Lah juga pernah kalah pemilihan UMNO dan "disingkirkan". Najib.... ya, beliau pernah hampir kalah dalam pilihanraya...

Apa pun penulis yakin selepas ini Datuk Seri Najib mungkin sukar dikalahkan di Pekan. Beliau pastilah yang akan menjadi piliha rakyat di Pekan. Pun begitu, Najib menerima jawatan PM tatkala sokongan rakyat kepada BN dan UMNO mula beralih arah. Walau diback-up oleh Tun Dr. Mahathir pada pilihan raya dua bukit dan satu batang yang terbaharu, rakyat di kawasan dua bukit masih mahu mengekalkan pimpinan daripada parti sedia ada. Apakah tindakan Najib selepas ini untuk memenangi hati rakyat?

Lebih dari itu, apakah justifikasi sebenar Najib tidak melantik KJ ke dalam kabinet? Alangkan Naib Ketua Pemuda pun jadi Timbalan Menteri, adakah KJ yang dicanang dan diwar-warkan terlibat dengan politik wang tetapi menang mengalahkan Mukhriz dan Khir Toyo dalam pemilihan UMNO yang lepas tidak dilantik oleh Najib? Mukhriz yang kalah pula pegang Timbalan Menteri MITI. Adakah ini yang dimaksudkan oleh YABhg Tun Dr. Mahathir sebagai pembersihan unsur rasuah dalam UMNO yang perlu dilaksanakan dan dituruti oleh Najib? Agaknya kalaupun KJ menang selepas ini semuanya gara-gara politik wang ? Tetapi kalau orang lain menang maknanya dia menang fair and square?

Penulis tak sokong KJ. Jauh sekali hendak memuji apa sahaja tindakan KJ. Tetapi diharapkan pimpinan Najib akan berdiri teguh seadanya sebagaimana yang beliau sendiri tentukan. Janganlah nanti orang boleh bangkitkan bahawa apa yang dilakukan Najib adalah bayangan dan hasrat Tun Dr. Mahathir (akhbar politik Pakatan sudah membayangkan keadaan ini) Dan diharapkan, puak-puak UMNO dan BN semakin insaf betapa mereka semakin tidak popular. Cakaplah apa sahaja. Teriak lah apa sahaja. Tunjukkanlah apa sahaja jasa dan kebaikkan yang anda boleh lakukan dan sertakan. Akan tetapi, selagi mainan persepsi pihak lawan masih mengatasi pihak BN, memang tidak mustahil BN boleh lingkup kepada Pakatan dan pemimpin umumnya yang sudah berpuluh-puluh kali asyik menabur janji "rahsia" besar yang kononnya beliau pada sekian-sekian hari bulan akan dapat menggulingkan kuasa dan mendapatkan kerusi PM bagi memperjuangkan "Harapan Baru Untuk Malaysia". Siapa tahu ia boleh jadi benar...

Bersedialah Najib....

No comments: