Tuesday, April 14, 2009

HAIRAN LAGI PELIK

Penulis cukup terperanjat, rasa hampa, kecewa dan bimbang dengan perkembangan politik yang berlaku di tanah air pada masa kini. Hal ini disebabkan laporan yang telah dibawakan oleh Buletin Utama pada 5 April 2009 tentang kempen pilihan raya kecil yang berlaku di Bukit Gantang. Ada satu video yang ditayangkan oleh pihak media berkenaan yang menunjukkan seorang bukan Islam telah menggunakan ayat suci Al-Quran dengan menyebut kalimah arabnya bagi membuat hujah terhadap kempen mereka di ceramah yang rata-rata dihadiri oleh bukan Islam. Apa yang sangat penulis runsingkan adalah betapa parti yang bertanding atas nama ISLAM dan asyik menyebut mereka adalah pendukung ISLAM yang tulen akan menggunakan ayat suci Al-Quran untuk melariskan kempen mereka dan lebih buruk lagi, bukan mereka sendiri yang mengucapkan ayat suci tersebut sebaliknya mereka wakilkan kepada sekutu mereka yang bukan Islam untuk menyampaikan ayat suci tersebut kepada bukan Islam!

Penulis hendak perkara sebegini diperjelaskan melangkaui pemikiran politik per se. Adakah hal ini wajar dibolehkan? Sedangkan mereka sebagai sebuah parti Islam pun tidak pula dalam usaha berdakwah kepada mereka yang bukan Islam untuk memahami ajaran Islam; mereka menggunakan pula sekutu mereka yang bukan Islam untuk memberi ajaran tentang Islam! Mereka membolehkan sekutu mereka itu menggunakan ayat Al-Quran untuk retorik ucapan yang belum tentu diimani oleh si pengucap, apatah lagi oleh yang mendengar. Aneh lagi tidak dibuat orang! Mengapakah bukan mereka sendiri yang menyampaikan ayat tersebut?

Penulis yakin, selepas isu ini diwar-warkan oleh TV3, pasti ada sahaja golongan ulama dalam parti Islam itu yang akan menghalalkan tindakan tersebut; hatta mungkin ulama parti itu akan nukilkan dalil naqlinya sekali; namun, sampai bilakah sikap talam dua muka dan hipokrasi sebegini harus dihalalkan? Lebih lagi dalam ceramah agama dan khutbah Jumaat, ada dikalangan ulama parti Islam ini yang secara terang-terang meminta jemaah menyokong Gobind Singh walaupun beliau bukan Islam sebab kononnya beliau menegakkan kebenaran, menegakkan keadilan dan menegakkan yang hak! Persoalan yang ingin penulis lontarkan adalah apakah sumbangan Gobind ini dalam tujuan menegakkan syiar Islam? Adakah disebabkan beliau berkata-kata kesat lalu digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat kerana melemparkan tuduhan yang beliau sendiri tiada buktinya itu dikatakan sebagai penegak kebenaran?

Apa sahaja perkara yang dilakukan oleh pihak pemerintah sekarang ini (baca BN) akan dilabel sebagai sekular, tidak Islamik, tidak adil, melanggar syariat Islam sedangkan mereka (baca PAS) dengan terang lagi bersuluh bersekongkol dengan sebuah parti yang tidak akan mempertahankan agama Islam apatah lagi hendak membangunkan syiar Islam andai pakatan mereka memenangi pilihan raya umum kelak! Mereka dahulunya melabel diri mereka jaguh Islam dengan mempertahankan agenda menegakkan hudud Allah dan perlaksanaan negara Islam kini semakin menyimpang daripada perjuangan mereka yang asal untuk mempertahankan Islam. Kononnya cara mereka bersekongkol dengan sebuah parti yang sudah nyata lagi sahih sekular itu dianggap lebih aula' dan lebih makbul berbanding parti lawannya yang juga ditunjangi oleh orang Islam.

Penulis sebenarnya apolitical. Walaupun kelihatan tulisan penulis lebih banyak cenderung berlawanan dengan pihak Pakatan Rakyat; bukan bermaksud penulis menyokong Barisan Nasional. Tetapi, dalam isu-isu berkait dengan penggunaan kesucian Islam untuk tujuan politik sempit sememangnya penulis cukup-cukup menyampah lagi tidak akan memberi sokongan. Memang benar, Islam merangkumi cara hidup termasuk politik, tetapi hal ini bukan bermaksud kita boleh gunakan nama Islam dan ayat Quran untuk berpolitik bagi meraih undi semata-mata. Lebih-lebih lagi, penulis sangat menyampah dengan tanggapan yang apa sahaja yang kononnya PAS buat itu semuanya bersifat Islamik, berlandaskan hukum Islam dan apa sahaja yang dilaksanakan oleh Umno itu tidak Islamik.

Sebenarnya inilah yang sangat-sangat disukai oleh musuh-musuh Islam. Dua puak yang sudah sememangnya Islam bergaduh sesama sendiri bagi menegakkan kononnya mereka lebih "Islam". Lihat sahaja di Afghanistan, di Iraq, dan di Palestine! Apakah kita semua terlalu buta untuk melihat apa yang berlaku di dunia masa kini?

Dalam suasana politik masa kini, diam tak diam, masa hadapan bakal pemerintah negara bukan lagi terletak di tangan orang-orang Melayu Islam sebaliknya terletak kepada orang-orang bukan Melayu untuk memilihnya. Orang Melayu Islam sedari dahulu lagi berpecah kepada dua kelompok. Namun, orang bukan Melayu biasanya akan memilih secara saksama pilihan mereka walaupun mereka berbeza ideologi politik. Mereka akan pergi ke tokong yang sama, kuil yang sama, gereja yang sama, makan di kedai yang sama (tanpa pula dipertikai) kerana pada mereka adalah kemandirian suara dan hasrat mereka yang hendak diketengahkan ke depan. Tetapi, orang Melayu Islam; makan satu tempat yang sama – dituduh konspirasi; sembahyang pun ada "surau/masjid Pas", "surau/masjid Umno" – sudah terpecah dua!

Dalam hal dakwah, kita umat Islam sering terlupa bahawa dakwah yang terbaik adalah melalui perbuatan kita, perangai kita dan akhlak kita, bukannya kata-kata dan ucapan semata-mata. Sebab itulah apabila ditanya oleh sahabat tentang akhlak Nabi SAW, Saidatina Aishah r.a. menjawab "Akhlak Nabi SAW adalah Al-Quran." Maksudnya Nabi SAW menzahirkan Al-Quran itu dalam dirinya sebagai akhlaknya. Adakah sikap, sifat dan perangai kita yang saling kutuk mengutuk, keji mengeji kata mengata, fitnah memfitnah, maki carut marut ini hendak kita jadikan sebagai "akhlak" kita untuk berdakwah kepada yang bukan Islam? Dan adakah Gobind Singh akan memasuki Islam dengan perangai kita yang mempergunakan nama Islam untuk menegakkan agenda politik?

Islam itu suci namun bukan bermakna Islam itu hanya eksklusif kepada Pak Lebai, Tok guru dan Pak Syeikh yang melitupkan kepalanya dengan serban sahaja. Dan cara berdakwah Islamiyyah bukanlah dengan kata semata-mata. Lebih dari itu, kalau niatnya pun salah semasa menukilkan surah Al-Aura itu, bagaimanakah pula kita hendak katakan itu merupakan dakwah Islamiyyah? Penulis sangat berharap agar pihak parti Islam ini akan benar-benar mempunyai modus operandi untuk memberikan dakwah kepada saudara seperjuangan bagi keadilan dan hak seperti Gobind, Karpal, Ngeh, Ngor, Guan Eng dan Kit Siang. Andai tidak, apa ertinya kita sekadar membenarkan mereka mengucap ayat Al-Quran semasa ceramah politik sahaja tanpa usaha membawa mereka mengenal Islam?

Untuk itu, badan tarbiyyah parti Islam perlu dipergiatkan. Kita asyik bercerita tentang betapa ramainya orang Melayu Islam murtad atau melakukan perkara yang membawa kepada kemurtadan. Namun, tidak pula kita menggunakan ilmu dan kebijaksanaan yang kita ada untuk menarik kaum yang bukan Islam ke dalam Islam. Bukankah dakwah itu tanggung jawab dan suruhan?! Dan siapakah lagi yang seharusnya mendahului tanggung jawab ini kalau bukan parti Islam (bukan bermakna hanya mereka yang buat kerja, tetapi mereka yang kaya dengan ilmu Quran dan hadis seharusnya mendahului yang lain, yang kononnya bersekongkol dengan musyrikin..)

Akhir kata, Islam bukan terletak pada nama (sungguh cliche sekali ayat ini; tetapi sememangnya begitu). Berapa banyak kisah pada zaman Nabi yang menceritakan bahawa hidayah adalah milik mutlak Allah Taala dan sehingga sakaratulmaut sekalipun, hanya Allah yang akan memberikan taufi-Nya dan hidayah-Nya. Syurga neraka, pahala dosa adalah milik mutlak dan HAK mutlak Allah untuk memberinya kepada hamba-Nya. Janganlah kita pula hendak berlagak Tuhan dan asyik sangat memuja tok guru kita sedangkan yang maksum cuma Nabi. Bukan bermaksud bahawa kita tidak perlu mentaati tok guru tetapi kalau kita asyik membabi buta sahaja, bukankan itu akan melemahkan kita? Allah kurniakan akal untuk berfikir; dan gunakanlah ia sebaik mungkin.....

No comments: