Biasanya, sesebuah rumah moden pasti mempunyai dapur yang dilengkapi dengan kabinet. Kalau rumah yang fully furnished, usahkan kabinet, sofa dan katil pun disertakan sekali. Pun begitu, andai rumah itu di atas tanah dan ternyata kawasan tersebut adalah habitat anai-anai, usahkan kabinet dapur, kayu pasak rumah pun akan menjadi mangsa anai-anai tersebut. Anai-anai ibarat culprit kepada kerosakan sesebuah rumah yang penuh dengan unsur-unsur kayu kayan. Almari, meja, gerobok, katil kayu, kabinet dapur; kesemuanya akan menjadi mangsa anai-anai andai tidak dijaga dengan betul. Lalu, andai anai-anai sudah menyerang, pelbagai usaha dan banyak wang yang perlu dihabiskan untuk menyelesaikan masalah ini. Ada yang meracun dengan semburan luar sahaja, ada yang meletak umpan supaya anai-anai tadi keluar dan makan umpan tersebut, ada yang kena tebuk lubang kononnya spray tanah – semuanya menjanjikan bahawa anai-anai itu tidak akan datang kembali. Namun, setelah merasai kesemua cara penyelesaian yang dicadangkan, anai-anai di rumah penulis tetap naik dan menyerang! Apakah cara untuk menyelesaikan masalah ini? (tolong bagi cadangan kalau ada!!!)
Pada hari ini (13 April 2009) pula, bermulalah era baru kabinet baru pimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, PM Malaysia keenam. Senarai menteri telahpun dikeluarkan dan pelbagai ulasan – sama ada menyokong atau menentang mereka-mereka yang menyertai kabinet kali ini sudahpun dibuat. Akhbar utama pastilah menyokong penuh kabinet baru ini dengan mengaitkan dengan catch-phrase baru yang dibawa oleh PM baru – "Satu Malaysia." (sebagaimana Pak Lah dengan Cemerlang, Gemilang Terbilang). Tidak kurang bagi akhbar/media alternatif yang sememangnya tidak pernah berpuas hati sedari Najib memegang tampuk pemerintahan lagi (atau memang tidak akan pernah berpuas hati selagi mereka sendiri tidak menjadi menteri).
Adat berkepemimpinan – ada yang menyokong dan ada yang menentang. Sebab itulah tiga daripada empat Khulafa-Arrasyidin yang bergelar Al-Mahdiyin (dalam sebuah Hadis Hasan riwayat Imam Tirmizi) mati dibunuh oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan khalifah Islamiyyah tersebut. Mereka (khulafa-arrasyidin) yang begitu dekat dan pernah hidup semasa zaman Nabi SAW pun tidak dapat memuaskan semua pihak dalam daulah, inikan pula pada masa sekarang ini!
Ada muka baru dan ada muka lama. Ada kementerian yang digabung dan ada pula kementerian yang "dibubarkan." Pastinya yang mendapat perhatian para environmentalist adalah kewujudan kementerian yang berkaitan dengan "tenaga hijau." Pastilah besar harapan rakyat Malaysia; lebih-lebih lagi ahli environmentalist agar kementerian tersebut benar-benar menjalankan fungsi dan benar-benar meutilitikan keterwujudannya bagi memelihara dan memulihara alam sekitar dengan usaha menggunakan tenaga yang kurang memudaratkan persekitaran Malaysia. Moga kewujudan kementerian ini bukan sekadar retorik nama sebaliknya benar-benar menunjangi usaha ke arah apa yang dikatakan sebagai "tenaga hijau" tersebut.
Begitu juga pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) yang mendapat reaksi yang pelbagai; ada yang menentangnya, dan ada juga yang tidak kisah akan pembubarannya – hal-hal sebegini perlu diambil perhatian bagi penjelasan kepada rakyat dan orang yang berkepentingan (stakeholder) agar tidak timbul salah faham tentangnya. Adalah sangat-sangat diharapkan penyerapan agensi-agensi dibawah MeCD seperti MARA, Tekun dll ini akan berjalan dengan lancar dan tidak pula melambatkan sebarang usaha pihak tertentu mendapatkan khidmat latihan, nasihat dan bantuan kewangan daripada agensi tersebut. Semua orang mengetahui bahawa MeCD pada suatu ketika merupakan antara kementerian yang banyak sekali diperuntukkan perbelanjaan untuk pembangunan usahawan dan koperasi.
Kabinet kali ini juga menunjukkan betapa perihatinnya PM terhadap IPT sehingga Kementerian Pengajian Tinggi yang biasanya dicanang oleh penaganalisis untuk diserap ke dalam Kementerian Pelajaran, telah dikekalkan dengan mendapat seorang menteri penuh (yang mana menterinya pun dikekalkan!) Begitulah peripentingnya KPT ini sehingga dikekalkan dan diberi mandat untuk meningkatkan kualiti IPT di Malaysia. Namun, apa yang lebih penting juga adalah betapa KPT dapat bekerjasama untuk memasarkan bilangan graduan yang saban tahun meningkat besama-sama penaiktarafan beberapa maktab kepada kolej, kolej kepada KU dan KU kepada universiti. Selain itu, penaiktarafan kursus tertentu daripada sijil kepada diploma dan diploma kepada ijazah juga perlu diambil kira agar jangan sampai graduanya berlambak-lambak tetapi kerjanya tiada. Atau graduan IT tetapi akhirnya menjadi salesman.
Perlantikan Datuk Seri Sharizat Abd Jalil dalam Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diibaratkan sebagai sireh pulang ke gagang; walaupun secara teknikalnya, beliau dilantik melalui jawatan senator. Sebagai Ketua Wanita Umno yang baru, sewajarnya beliau ditempatkan dalam kabinet; pun begitu, kita juga harus sedar bahawa senetorship hanya boleh bertahan dua penggal (6 tahun) sahaja dan beliau hendak tidak hendak dan mahu tidak mahu perlu juga memenangi pilihan raya umum sebagai ahli parlimen untuk mengekalkan kemunculan beliau dalam kabinet. Begitu juga kepada kebanyakkan senator-senator menteri yang lain; mereka juga perlu melalui jalan yang sama atau hanya berada di dalam jawatan menteri untuk jangkamasa yang singkat sahaja. Namun, bak kata orang, perlantikan menteri adalah hak prerogatif PM; jadi terpulanglah...
Dalam masa itu, pihak Pakatan Rakyat juga hendak mewujudkan kabinet bayangan untuk "memantau" kabinet yang ada pada masa ini. Hal ini merupakan idea ketua umum mereka yang bertaraf bakal bakal PM yang masih belum tercapai hajat hendak menjadi PM. Andai kabinet bayangan ini digunakan sepenuhnya oleh PR, tidak mustahil segala lompong kesalahan dan kekurangan kabinet sebenar kerajaan BN dapat dikenalpasti dan didedahkan. Namun, sebagaimana tidak berlakunya 16 September, begitulah juga kabinet bayangan ini akan menjadi bayangan sahaja seandainya mereka tidak berusaha untuk benar-benar menggulingkan kerajaan sedia ada. Mungkin mereka terpaksa menunggu beberapa tahun lagi, namun, adalah diharapakan yang dinamakan kabinet bayangan ini tidak kekal menjadi bayangan. Walaupun masih ramai lagi yang menyokong dan menjadi penyokong kuat ketua umum, ramai juga yang mula sangsi akan bilakah sebenarnya ketua umum mereka akan menjadi PM seterusnya membawa "Malaysia Baru" yang mereka idamkan.
Sebagaimana kabinet dapur, musuh nyata kepada kedua-dua jenis kabinet yang diwujudkan oleh kedua-dua parti ini tidak pernah menghilang. Musuh utama mereka adalah seperti anai-anai yang sentiasa laparkan kayu kayan untuk dikunyah untuk dibuat makan. Kabinet-kabinet ini akan diratah dengan rakus oleh anai-anai tanpa mengira jenis kayu dan usia kayu – sama ada jati masak ataupun tidak. Anai-anai akan sentiasa meratah mereka sehingga mereka akhirnya rapuh dan jatuh menyembah bumi. Anai-anai yang dimaksudkan adalah diri mereka sendiri......
Mampukah kabinet kali ini bertahan daripada anai-anai ciptaan mereka sendiri ?
No comments:
Post a Comment