Sudah beberapa kali pucuk pimpinan negara jiran di Utara Semenanjung ini telah bertukar. Dari seorang bisnesman sehingga kini kepada seorang yang berumur kurang 40 tahun, peralihan kuasa di negara "gajah putih" itu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Penyokong kuat bagi sama ada pembangkang mahupun pihak kerajaan sanggup melakukan apa sahaja bagi menunjukkan sokongan dan kesetiaan kepada pemimpin mereka dan sanggup membawa sebarang ketakpuasan hati ke jalanan bagi meluahkan perasaan yang terbuku di dada mereka. Malah, peristiwa rampasan lapangan terbang yang menelan kerugian yang besar itu sebenarnya masih lagi berada dalam kita.
Penulis tidak mahu mengulas situasi politik di Thailand; parti apa yang terlibat, siapa yang betul, siapa yang salah. Namun, kesannya lebih kita perlu perhatikan dan insafi. Kalau hendak mengulas struktur politik dan pertelagahan negara tersebut, nescaya bukanlah penulis yang arif tentangnya. Akan tetapi, kesan apa yang dikatakan sebagai "suara rakyat" itu sangat jelas; dan mungkin hal yang demikian akan melanda negara kita andai kita tidak mengambil tindakan dan langkah berjaga-jaga.
Atas nama demokrasi, kerajaan digulingkan. Atas nama demokrasi, tunjuk perasaan jalanan diadakan. Atas nama demokrasi, lapangan terbang dirampas. Atas nama demokrasi dan keadilan, persidangan antarabangsa terpaksa dibatalkan. Hal ini sebenarnya sedikitpun tidak memberi faedah kepada rakyat Thai. Bak kata akhbar mereka yang dipetik oleh Berita Harian, 12 April 2009 daripada laporan AFP, "The Day Everyone is a Loser." Kesemuanya rugi. Baik penunjuk perasaan mahupun kerajaan.
Lebih daripada itu, sekali lagi, tunjuk perasaan ini membabitkan gangguan kepada warga asing yang hadir ke Thailand. Dan sememangnya itulah hasrat dan matlamat utama penunjuk perasaan; mereka mahu memburukkan kerajaan mereka sendiri di hadapan delegasi dan warga asing yang datang ke Thailand – demi untuk menunjukkan betapa tidak sahnya kerajaan Thai pimpinan Abhisit Vijjajiva. Sememangnya itulah matlamat mereka. Mereka mahu dunia mengetahui bahawa mereka tidak berpuas hati dengan PM mereka. Mereka mahu dunia mengetahui bahawa mereka tidak menyokong parti kerajaan mereka. Mereka mahu dunia mengetahui bahawa pemimpin yang mereka sokong tidak mendapat sewajarnya.
Adalah tidak adil untuk kita memihak kepada sesiapa kerana hanya mereka i.e warga Thai sahaja yang lebih arif tentang situasi, sejarah dan masalah mereka. Hanya mereka yang lebih arif tentang lanskap politik mereka. Dan hanya mereka yang lebih arif tentang "the plight of their survival" dalam negara mereka. Namun, kesan daripada perbuatan mereka sebenarnya jelas. Kesan daripada tindakan yang mereka lakukan itu sebenarnya nyata. Memetik semula laporan AFP daripada akhbar The Nation, "The Day Everyone is a Loser."
Hal inilah yang berlaku apabila "kuasa rakyat" hendak dizahirkan. Sama ada betul atu tidak tindakan tersebut adalah bergantung kepada perspektif. Bagi sebelah pihak pastilah tidak menyokong. Bagi sebelah yang lain sudah tentu tindakan sedemikian menunjukkan "kuasa rakyat" semakin berkembang (the peoples power is emerging). Bagi yang menyokong, pastilah pelbagai hujah yang akan disertakan bagi menguatkan tindakan mereka. Dan bagi yang membangkang, mereka juga pasti akan menjustifikasikan setiap tindakan mereka untuk menghalang tindakan yang satu lagi. Namun akhirnya kita kena ingat, "The Day Everyone is a Loser!"
Budaya sebegini sebenarnya semakin menular dalam masyarakat Malaysia. Maklumlah, kesemua permintaan dan keinginan rakyat hendak dituntut dan dipenuhi. Hak bersuara. Hak beragama. Hak menyokong dan membangkang. Hak menjadi kerajaan. Hak menjadi PM. Hak menang bola. Hak bahasa ibunda. Hak Bahasa Melayu; pelbagai lagi hak itu dan ini hendak dituntut. Sudahnya, pasti ada sahaja pihak yang mengambil kesempatan membuat perhimpunan bagi memperjuangkan hak mereka. Polis yang datang terpaksa berkawal. Mereka terpaksa menebalkan muka dan telinga mendengar kutukan dan cacian daripada pihak yang memperjuangkan hak. Maklumlah, polis Malaysia bukannya "cepat dan betul" tetapi kononnya "sebat dan pukul!"
Rumah kena tanah runtuh, dituduh polis dan tentera yang curi barang; atau tak jaga barang. Kereta pecah, dituduh polis tak jaga kereta, kes rogol, dituduh polis tak cegah jenayah. Tak cukup bukti, dituduh polis leka buat siasatan. Cukup bukti, dituduh polis "implant" bukti. Bukti dibawa ke hulu ke hilir, dituduh polis usung tilam; lebam biji mata, dituduh polis kaki pukul – Polis nak suraikan keadaan dituduh polis gilakan darah. Polis tahan nak minta bantu siasatan, dituduh polis salah tahan orang, akhirnya polis juga yang bersalah....Sebenarnya, tiada siapa pun yang menang dalam hal ini.
Ada pemimpin kita yang begitu gah berkata tentang intergriti, tetapi tidak semua pun puak-puaknya yang menyokong. Ada pemimpin yang bercerita tentang rasuah, sendiri amalkan rasuah. Ada pemimpin kita yang melaungkan keadilan, namun diri sendiri tidak berlaku adil. Ada pemimpin yang sibuk berjuang untuk bahasa, namun tatabahasa sendiri tunggang tebalik. Ada pemimpin yang gah membincangkan perkongsian kuasa, namun diri sendiri gila kuasa. Kita sebenarnya lebih senang mengata daripada membuat.....
Tumbangnya kerajaan Suharto disebabkan rakyat. Tumbangnya kerajaan Thailand juga disebabkan rakyat. Tumbangnya kerajaan Estrada di Filipina pun disebabkan rakyat. Kita telah melihat di sekeliling kita pergolakan kuasa. Malah kita juga merasai sendiri ada kerajaan negeri di Malaysia yang tumbang; namun apakah kita tidak menginsafi lagi betapa kita masih lebih baik daripada mereka di luar sana? Atau kita tetap tegar hendak bawa segala perkara dijalanan bagi menunjukkan kuasa yang kita ada?
Orang yang sering mengambil kesempatan sedang menunggu tumbangnya kerajaan kita. Dan mereka sedang menunggu kerajaan baru itu digulingkan pula oleh orang lain. Sudahnya, kitaran guling-mengguling akan berlaku - seandainya itulah yang kita mahu. Apabila keadaan itu berlaku, memang benarlah apa yang dikata – hari semua orang rugi. Bersediakah kita ke arah itu?!
No comments:
Post a Comment