Monday, April 27, 2009

Babi oh khinzir


 

Pengenalan: Lepas satu, satu lagi...

Kita tidak pun lagi reda dengan isu selsema burung yang melanda kawasan Asia sehinggakan jualan terhadap ternakan burung (seperti ayam) menerima tempias kesannya. Dan kita masih lagi belum reda dengan jangkitan penyakit tropika yang lain – dari Denggi, Chikugunya bawaan Aedes agypti yang menghantui penduduk negara kita dengan sakit sendi luar biasa, demam panas dan kalau sampai ke tahap kritikal Denggi boleh kena Dengue Shock Syndrome. Kini, di negara barat, terutamanya di benua Amerika, mereka dikejutkan pula dengan satu serangan virus baru yang menyerang melalui udara – selesema babi.

Laporan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) sangat membimbangkan. Kononnya gejala ini akan menjadi satu penyakit berjangkit yang berisiko untuk menyerang seluruh dunia – sesuatu yang pada penulis agak aneh juga kerana bagaimanakah selama ini selsema burung yang bermaharajalela di China (yang sangat besar) itupun tidak sampai pula risikonya merebak ke seluruh dunia, selesema babi ini pula mempunyai potensi besar hanya kerana penyakit tersebut bermula di Mexico dan sempadan Amerika Syarikat. Apa yang penulis nampak ialah apa sahaja gejala yang berlaku di Barat adalah "Gejala Dunia" sementara gejala yang tidak berlaku di Barat adalah "Gejala Tempatan." Begitulah kebergantungannya dunia ini kepada Barat!

Virus kacuk-mengacuk

Penulis ingin mengutarakan isu di luar daripada lingkaran/lingkungan (sudah macam tajuk bicarawara TV1 la plak!) perbincangan yang biasa dilakukan – mengapakah selesema babi/khinzir ini (sudah menjadi berita utama Buletin Utama untuk beberapa hari kebelakangan ini) yang sepatutnya hanya menyerang babi (sebab itu namanya selesema babi) boleh bersilang spesies (cross species) kepada manusia? Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang mikrobiologi asas, adalah amat aneh lagi memelikkan kejadian "langgar hukum alam" ini berlaku.

Virus adalah sejenis pseudo-organisma (kalau boleh penulis gunakan istilah itu). Sebab pada udara biasa, virus adalah inert; tidak berpotensi untuk membuat apa-apa kekacauan pun. Kalau virus immunodeficiency manusia (HIV) berlegar-legar di udara, si virus ini sebenarnya tidak "hidup." Sebaliknya virus pada ketika itu dalam bentuk kristal dan tidak boleh membiak pun. Namun, apabila memasuki perumahnya yang spesifik, barulah virus itu tadi "hidup" dan boleh menyerang perumah – itupun kalau perumah itu memenuhi the nature of the host yang diperlukan olehnya.

Caranya memasuki perumah pun perlu diambil kira kerana virus hanya boleh membiak dengan cara yang tertentu sahaja ke dalam perumah. Jadi, kalaupun seseorang itu memakan satu sudu HIV sekalipun, seandainya beliau sihat, dan tidak mempunyai ulser dalaman/luka yang boleh menyebabkan kemasukan virus ke dalam salur darah, beliau tidak akan mengalami sindrom kurang daya tahan melawan penyakit (AIDS) sebab virus tersebut mungkin akan musnah disebabkan jus gaster dalam perut manusia.

Sebab itulah kespesifikan perumah menjadikan nama-nama virus itu spesifik mengikut perumah – virus papiloma manusia (HPV – penyebab kanser serviks), virus mozek tembakau (TMV – menyebabkan kerosakan kepada tembakau) bakteriofaj (phage – virus "makan" bakteria). Maksudnya, sepatutnya, virus mozek tembakau tadi tidak boleh menyerang pokok lain (contohnya pokok pisang) sebab virus tersebut mempunyai keupayaan genetik untuk hanya "menyerang" pokok tembakau (dan famili yang hampir) – bukannya pokok pisang. Kalaupun manusia menghisap rokok yang dicemari oleh virus mozek tembakau, yang beliau dapat hanyalah potensi kanser peparu dan batuk-batuk – bukannya kulitnya menjadi mozek!

Apabila berita tentang virus selesema babi itu adalah "gabungan genetik selesema bagi, selesema burung, manusia dan babi" maka apa yang penulis dapat fikirkan adalah betapa bilakah masanya virus tersebut boleh berkacukan satu sama yang lain sehingga menyebabkan virus yang spesifik tadi boleh menjadi multi-host. Hebat! Ingatkan bunga dan manusia sahaja yang boleh kacuk; virus pun boleh berkacuk-kacuk juga! Maksudnya, virus tersebut bukan sahaja boleh menyerang babi, manusia pun dia serang, ayam pun dia serang – silap-silap, anjing kucing pun mungkin boleh diserang! (belum ada laporan tentang anjing dan kucing).

Penulis kira hal ini perlu dijelaskan oleh saintis. How the nature of the virus that supposes to be host-specific can cross species to another "newer" host! Adakah disebabkan kandungan genetik manusia memang sudah hampir sama sangat dengan babi atau memang virus tersebut sebenarnya berkacuk dengan selesema manusia yang boleh menyerang babi? Malah, usahkan persoalan pasal selesema babi yang baru ini, selesema burung yang sudah tentunya "burung betelur, manusia beranak" – itupun masih tak terjawab kenapa virus tersebut boleh berpindah spesies ke manusia daripada burung!

Konspirasi "Health Industry"

Salah satu industri yang dicanang untuk menjana pendapatan yang besar adalah industri kesihatan. Sumber wikipedia menyebut,

"US healthcare expenditures totaled US$2.2 trillion in 2006. According to Health Affairs, USD$7,498 will be spent on every woman, man and child in the United States in 2007, 20 percent of all spending. Costs are projected to increase to $12,782 by 2016."

Antara lain bermaksud,

"Pembiayaan penjagaan kesihatan US berjumlah USD $2.2 trilion pada 2006. Menurut Jabatan Hal Ehwal Kesihatan, sebanyak USD $ 7498 akan dibelanjakan oleh setiap wanita, lelaki dan kanak-kanak di US pada 2007, 20 % daripada perbelanjaan keseluruhan. Kos ini diunjurkan akan meningkat ke $12 782 pada 2016."

Dapat dilihat disini bahawa pembiayaan kesihatan merupakan salah satu perniagaan yang sememangnya membawa keuntungan. Malah, dalam kempen presiden Barack Obama pun dimasukkan isu insurans kesihatan di dalam kempen tersebut – bukan untuk menghapuskan sebaliknya cuba untuk menambahsedarkan kepentingan "insurans kesihatan." Malaysia tidak kurang juga dalam langkah untuk melaksanakan keperluan insuranss kesihatan kepada rakyat.

Disebabkan badan penulis yang agak besar, ada sahaja salesman insurans/takaful sekian-sekian yang menasihatkan penulis untuk memiliki insurans kesihatan; takut-takut pada umur sekian-sekian pula akan menghadapi pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung. Dicampur dengan situasi insurans kesihatan kini, maka tidak mustahil bahawa industri kesihatan menjadi industri perkhidmatan yang paling pesat berkembang pada abad ini.

Hal ini bukan rahsia. Sudah pelbagai kajian dilakukan bagi mencari ubat kepada penyakit degeneratif sedangkan penyakit tersebut adalah penyakit yang boleh kita elakkan/lambatkan. Dari sakit jantung, kanser, kencing manis, stroke; kesemuanya merupakan penyakit degeneratif yang sebenarnya memerlukan kawalan pada masa awal.

Dicampur pula dengan penyakit jangkitan yang melanda i.e. selesema burung, selesema babi, JE, maka semakin pesat jugalah industri kesihatan kita untuk mencari penawar kepada penyakit-penyakit jangkitan. Lebih berat sebelah lagi, apabila penyakit jangkitan itu berada di negara-negara barat, penyakit tersebut membawa ancaman kepada "dunia" namun seandainya penyakit itu penyakit tropika seperti denggi, trypanonomiasis, leishmaniasis, malaria, maka bukan dunia yang terancam melainkan hanya benua itu, atau negara itu atau wilayah itu sahaja yang terancam!

Walhal, selesema babi merupakan satu selesema yang telah mengancam nyawa manusia sejak bertahun lamanya. Filipina pun sudah menerima ancaman yang sama pada 2007, namun disebabkan Mexico berhampiran dengan US, maka isu ini kita perlu lihat dari sudut "dunia" dan bukannya Mexico per se. Begitulah struktur geografi (atau boleh kita kaitkan dengan ekonomi) penyakit-penyakit yang melanda dunia. Kalau selesema itu berlaku di kutub, tak siapa yang peduli lagi endahkan, tetapi kalau berlaku di US, satu dunia diancam bahaya.

Lalu bergeraklah saintis-saintis terhebat dunia untuk mencari penawarnya – sanggup melakukan apa sahaja untuk mencari penawar selesema babi itu – mungkin kerana sayangkan ternakan babi atau sayangkan duit yang akan dikeluarkan oleh mereka yang menghidapinya. Dan ada kemungkinan memang benar selesema itu boleh diubati, namun, kepentingan ekonomi di sini sangat-sangat nyata. US dengan dunianya dan dunia adalah US. Apa sahaja yang mengancam US mengancam dunia dan apa sahaja yang mengancam bukan US tidak mengancam dunia. Sungguh jelas sekali permainan politik antarabangsa.

Penutup

Seharusnya kita terus berwaspada. Kawal sempadan dan imegresen agar dapat membendung masalah ini daripada merebak ke dalam negara kita pula. Hal ini disebabkan seandaingan negara kita pun kena wabak yang sama, maka kebergantungan kita terhadap US bertambah lagi kepada "ubat selesema babi." (setelah begitu banyak sekali Malaysia bergantung kepada US dari segi ekonomi!) Sudahlah Malaysia adalah antara pengeluar daging babi terbesar Asia Tenggara, ladang babi canggih dan berpusat pun giat hendak dibangunkan. Maka risiko kepada kita sememangnya besar seandainya virus tadi merebak sampai ke Malaysia.

Mungkin ada benarnya andai kita kaji semula ternakan babi ini di Malaysia. Sudahlah membawa implikasi alam sekitar yang buruk, banyak pula penyakit yang disebarkan oleh haiwan ini. Dalam mengejar keuntungan ekonomi, harus kita ingat bahawa kesihatan lebih bernilai daripada trilionan ringgit!

 

No comments: